Khamis, 12 Mei 2011

TIDAK MUSTAHIL..APA SAJA BOLEH ALLAH JADIKAN....'KUN' KATA ALLAH MAKA JADILAH...TAK MUSTAHIL MUNCUL PEMIMPIN YG TERFIKIR DEK KITA.....

Lepas ayam kaki 4, pesara jumpa keli bertompok
Elissa Helmy
Mei 12, 11
12:15pm

Pesara tentera terkejut, apabila seekor daripada ikan keli yang ditangkapnya bersifat ganjil setelah didapati warna pada badannya bertompok-tompok seakan-akan badan lembu tenusu.

Osman Abd Majid, 53 atau lebih dikenali sebagai Man Petai oleh orang-orang kampung berkata, beliau menemui ikan berkenaan pada Jumaat lalu, semasa mengangkat jaring di sebatang sungai yang terletak kira-kira 30 meter di hadapan rumahnya di Taman Desa Molek Seksyen 1 Ayer Molek, Melaka.

Menurutnya, warna pada badan ikan berkenaan terdapat empat warna iaitu hitam, putih, coklat dan merah.

"Semasa mengangkat jaring, pada mulanya saya ingatkan objek yang saya tangkap itu seekor ular kerana warna badannya yang ganjil namun setelah saya tarik jaring perlahan-lahan, rupa-rupanya ia seekor ikan dari spesis keli.

"Saya terus bawa ikan tersebut ke sebuah warung berhampiran yang biasa saya duduk bersama rakan-rakan untuk ditunjukkan kepada mereka. Mereka pun hairan apabila melihat rupa ikan keli yang saya perolehi ini," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Beliau berkata, sebaik mengetahui perkara berkenaan, ramai rakan-rakannya yang menelefonnya untuk membeli ikan keli berkenaan yang beratnya hanya 250 gram.

"Ada juga di antara rakan-rakan yang menawarkan untuk membeli ikan ini. Ada yang hendak bayar sampai RM30 tetapi saya belum hendak menjualnya.

"Bagaimanapun, sekiranya ada yang menawarkannya dengan harga yang menarik saya bersedia berunding," katanya.

Keganjilan ketiga

Osman berkata, sepanjang usianya, beliau belum pernah menemui ikan jenis berkenaan biarpun aktiviti menangkap ikan keli ini sering dilakukannya sejak dari kecil lagi.

"Sebelum ini pun, rumah saya memang tepi sungai dan selalu menangkap ikan tetapi tidak pernah pula menemui ikan seperti ini yang agak ganjil.

"Apabila saya meletakkan ikan ini ke dalam akuarium bersama ikan lain, ia bersifat agak garang dan tidak sesuai kecuali bersama ikan keli lain," katanya.

Menurut Osman, kejadian menemui benda ganjil ini adalah yang ketiga di dalam hidupnya setelah lima tahun lalu menemui jering yang berwarna kehijauan.

"Dua bulan lalu, saya menemui ayam berkaki empat di warung Pak Arif yang terletak tidak jauh dari sini dan Jumaat lalu, saya jumpa pula ikan ganjil ini.

"Peliknya semua benda yang saya temui berlaku pada hari Jumaat," katanya.


PSM: K'jaan hipokrit, halang sambutan Hari Pekerja
Abdul Rahim Sabri
Mei 12, 11
11:54am

Sekumpulan aktivis PSM dan NGO hari ini berhimpun di hadapan bangunan Kementerian Sumber Manusia bagi menuntut agar kerajaan menghormati sambutan Hari Pekerja.

Mereka menuntut supaya kerajaan tidak menghalang pekerja daripada merayakan sambutan Hari Pekerja yang disambut oleh masyarakat pekerja di seluruh dunia.

Setiausaha agung PSM S Arutchelvan yang mengetuai anggota parti dan juga aktivis NGO itu turut membidas tindakan kerajaan yang didakwanya bersikap "hipokrit" kerana tidak membenarkan sambutan Hari Pekerja.

Sedangkan Malaysia merupakan ahli dalam pertubuhan antarabangsa bagi buruh (ILO), katanya.


"Kita mahu memberitahu bahawa kita sudah bosan. Dalam akhbar dan televisyen ditunjukkan pekerja berarak di seluruh dunia. Mereka digambarkan OK.

"Tetapi setiap kali hari pekerja (di Malaysia) kita dihalang oleh polis dan FRU untuk merayakan hari pekerja," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan satu notis bantahan kepada kementerian itu.


Kebebalan Utusan dan pengakhiran sebuah regim
Ahmad Lutfi Othman

Memang kebal sungguh Utusan Malaysia. Akhbar yang dianggap lidah rasmi Umno itu -- tetapi tidak tertakluk dengan syarat-syarat ketat Kementerian Dalam Negeri sepertimana sekatan kepada semua organ parti, termasuk Harakah -- boleh berbuat apa sahaja. Ya, apa sahaja yang terfikir dalam lintasan fikiran dan benak editornya, tanpa perlu risau kemungkinan direntap permitnya atau dipenjarakan wartawannya.

Mungkin segala peraturan yang membelenggu dan menganggu tidur para editor lain, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak terpakai untuk Utusan. Ya, betullah! Utusan itu akhbar keramat untuk Umno, mempunyai imuniti tersendiri, tidak dapat disentuh oleh undang-undang.

Oops ... sebenarnya, sebagai seorang pengamal media, apatah lagi diamanahkan menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, saya sentiasa cuba mengelak daripada menyinggung media lain. Menerajui akhbar memang terdedah kepada pelbagai risiko, terutama kesilapan yang tidak disengajakan. Ia memerlukan keputusan segera dan bijaksana dalam waktu singkat. Harakah juga pernah silap lapor.

Bagaimanapun, merujuk laporan Utusan, terutama yang dipaparkan di muka depannya, pada Sabtu 7 Mei lalu, ternyata ia bukan lagi "kesilapan" biasa. Malah, pemilihan tajuk atau tema besarnya dirancang teliti, secara berniat jahat. Soal kestabilan politik, keharmonian kaum dan ketenteraman awam yang selama ini menjadi mentera palsu Umno dipertaruhkan dengan sewenang-wenang.

Justeru, saya dengan berat hati terpaksa menegur Utusan, yang semakin keterlaluan "bermain api", dengan motif untuk "membakar" seteru politik Umno, sedangkan yang bakal binasa adalah negara keseluruhannya. Slogan 1Malaysia pun tidak perlu menunggu masa lama untuk hangus. Kalau berita itu benar sekalipun, adalah amat tidak wajar diperbesarkan, apatah lagi ia hanya imiginasi kotor editornya.

Rasukan Utusan bukan bermula dengan "Kristian agama rasmi". Tentunya ramai pembaca (maafkan saya jika anda sudah lama tidak membelek Utusan, sekadar terbaca jika dijadikan kertas membungkus nasi lemak) masih ingat bagaimana Utusan mula meracau selepas keputusan pilihan raya umum 2008. BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah lima negeri, termasuk negeri-negeri termaju seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain Perak, Kedah dan Kelantan.

Ingat lagi kes ternakan babi di Selangor? Isu doa untuk Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang? Dan rentetan polemik tidak menjadi yang cuba diketengahkan Utusan, atas satu mauduk besar, iaitu kepentingan Melayu tergugat teruk selepas PRU12. Melayu Tanjong seolah-olah baru teraniaya selepas BN kehilangan kuasa. Di Perak, persepakatan luar biasa Pakatan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Adun PAS untuk menjadi menteri besar dipersepsikan dengan wajah yang cukup hodoh, juga atas sentimen perkauman.

Sejarah persuratkhabaran negara kita, yang bermula dengan akhbar Jawi Peranakan (1876), sebenarnya sudah menempuh tempoh masa yang cukup lama dan matang, iaitu selama 135 tahun. Begitu juga dengan latar belakang Utusan, yang dilahirkan pada 29 Mei 1939. Utusan diasaskan dengan modal RM12,290 yang dikumpulkan daripada lebih 500 orang Melayu Singapura dan Tanah Melayu, yang terdiri daripada golongan guru, petani, peniaga dan keluarga diraja.

Perjuangan Utusan, yang memang pada mulanya mewakili aspirasi orang Melayu, telah dikhianati pemimpin Umno demi kuasa. Dan kini, bagi merebut kembali kuasa yang hampir terlepas daripada Umno (bukan daripada orang Melayu), Utusan meracau lagi. Lebih teruk, ia merencanakan siri pembohongan. Semata-mata berbohong dan berdusta tentulah tidak sedahsyat merancang pertelagahan agama dan persengketaan kaum seperti tertonjol pada 7 Mei itu, tetapi ia tetap satu jenayah serius.

Tanpa segan-silu Utusan cuba mempamerkan ia juga merujuk sumber berita. Tetapi, aduh ... berdasarkan blog yang popular dengan berita palsu dan adu-domba! Dalam etika kewartawanan, kaedah Utusan itu hampas dan langsung tidak bertanggungjawab. Kata Presiden PAS, "sangat tidak beramanah".

Tanpa menunggu kesahihan berita Utusan itu, pihak polis terus melompat memberi amaran, dan disiarkan Mingguan Malaysia di muka depan, lagi. Menteri yang sepatutnya menjaga ketenteraman awam, Hishammuddin Hussein bingkas menyerang "penganjur" persidangan paderi-paderi itu, sambil melahirkan rasa sedih "kerana ada pihak pembangkang yang mempolitikkan agama". Alahai.

Selepas pemimpin Kristian yang dituduh itu menyanggah dakwaan Utusan, penjelasan mereka hanya disiarkan di muka dalam, tersorok kecil. Dan blogger yang melaporkan berita palsu itu tidak pula diambil tindakan. Rasanya polis pun belum memanggil mereka; mengulangi kes penayangan video lucah oleh trio Dato' T. Dan menjadi beban pula kepada yang mangsa yang dituduh untuk membersihkan diri, bukannya tanggungjawab orang yang menuduh untuk membuktikan dakwaannya.

Teringat saya nasib malang Suara Keadilan yang diharamkan KDN hanya kerana mendakwa Felda mungkin bankrap, dan hingga kini belum dipulihkan permit penerbitannya. Begitu juga dua majalah yang pernah saya kendalikan, Detik dan Wasilah, turut dikuburkan tanpa diketahui sebab "kematiannya".

Biarlah Utusan terus kebal dalam penjagaan Umno walaupun sarat dengan pembohongan dan manipulasi. Rakyat, termasuk orang Melayu, tidak sebodoh itu untuk terus terperangkap dalam jerat Utusan. Begitulah ... mana-mana regim yang melalui tahap akhir hayatnya selalu tersilap membaca realiti dan lebih kerap mengulangi kesalahan.

Tiada ulasan: