Isnin, 23 Mei 2011

MUNGKIN BOLEH HALANG ITU PUN DE IZIN ALLAH...TAKDIR TAK BOLEH DIHALANG..SENDIRI MAU INGATLAH..

PAS jalin hubungan dengan parti politik Ikhwan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Murshid Ikhwan Muslimin, Dr Mohamed Al-Badie’ hari ini telah menghantar ucapan tahniah serta doa kepada Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana terus diberi kepercayaan oleh ahli untuk terus memimpin PAS menjelang Muktamar PAS Ke-57, Jun ini.

Pernyataan itu disuarakan oleh beliau ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi di pejabat baru beliau di Kaherah, bagi memenuhi jemputan menghadiri perasmian Markaz Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Ikhwan Muslimin setinggi 7 tingkat yang berdiri megah di tengah-tengah kota Kaherah.

Dalam pertemuan tersebut, Dr Al-Badie’ juga menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin komited dengan perubahan politik baru Mesir dan kini sedang mengatur persiapan bagi menghadapi pilihan raya.

Menurut beliau, Ikhwan akan terus komited membela kepentingan rakyat Mesir dan sama-sama membangunkan kembali negara yang telah dimusnahkan oleh rejim Mubarak yang bukan sahaja rakus membolot khazanah kekayaan negara, tetapi juga menafikan hak asasi rakyat Mesir dengan melakukan pelbagai bentuk kekejaman dan kezaliman.

Bagi beliau, perkembangan tersebut sejajar dengan nafas dan udara kebebasan yang dapat dirasakan dengan baik di seluruh Mesir kini, setelah rakyat berjaya menumbangkan rejim Mubarak dengan revolusi rakyat 25 Februari lalu.

"Ikhwan Muslimin akan terus berjuang serta komited kepada penglibatan secara demokratik untuk mewujudkan suasana politik baru Mesir yang lebih telus dan adil," katanya.

Beliau juga menegaskan, Ikhwan tetap mengambil sikap untuk terus berdialog dengan kerajaan sementara yang mentadbir Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak serta dengan kuasa besar Barat khususnya Amerika Syarikat dan Britain.

Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman dan merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di negara itu.

Bagi Ikhwan, agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Menurut Dr Syed Azman, dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah daripada seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kepada pimpinan Ikhwan yang telah berjaya membuka pejabat baru yang tersergam indah, walaupun hanya baru selepas 3 bulan kejatuhan rejim diktator Mubarak.

"PAS akan terus komited menjalinkan hubungan dua hala yang lebih rapat dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) dan akan bertukar-tukar pengalaman dalam proses demokrasi dan pilihanraya,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Dr Syed Azman juga tidak lupa melahirkan rasa gembira seluruh rakyat Malaysia melihat perkembangan yang berlaku di Mesir kini.

"Ia turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia bagi memperjuangkan hak dan kebebasan mereka dan bangkit dengan ‘Kuasa Rakyat’, bersesuaian dengan ciri-ciri demokrasi yang sedang diamalkan di Malaysia," tegas beliau yang juga Adun Batu Buruk.

PAS tak halang pelajar terlibat politik
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Mei: PAS menganggap Umno BN 'melanggar peraturan' yang dicipta mereka apabila mereka sendiri memperalat pelajar sekolah, mahasiswa dan institusi pendidikan untuk kepentingan partinya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, dalam pada Umno BN berkata pelajar tidak harus dilibatkan dalam politik, mereka sendiri menggunakan pelajar untuk tujuan politik malah menggunakan sekolah untuk aktiviti parti.

Sebaliknya kata Mahfuz, PAS tidak pernah mendapat peluang yang sama malah pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak dibenarkan menjemput wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk merasmikan mesyuaratnya.

"Umno kata semua pihak tidak harus melibatkan pelajar dalam politik malah ada akta seperti Auku yang menghalang mahasiswa terlibat politik tapi mereka sendiri memperalat pelajar dan institusi pendidikan.

"Hari ini semua mesyuarat Umno buat di sekolah. Kami (PAS) tak dapat peluang masuk sekolah kerajaan untuk nak berjumpa guru-guru dan sebagainya.

"PIBG tak dibenar jemput wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk rasmi mesyuarat hatta menteri besar pun tak boleh rasmi kerana dianggap politik tapi Umno boleh," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini, semalam.

Mahfuz berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai tuduhan pihak tertentu bahawa PAS memperalat pelajar sekolah untuk menghadiri program Munajat Anak Muda Kelantan di Kota Bharu, Jumaat lalu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga berkata, PAS sebaliknya tidak pernah menghalang pelajar terlibat dengan politik kerana ianya merupakan satu proses untuk mematangkan fikiran pelajar.

"PAS tidak pernah kata pelajar tidak boleh terlibat dengan politik. Media lapor kononnya PAS mempolitikkan pelajar. Pelajar yang punya keupayaan pemikiran yang tinggi harus tahu tentang politik negara kita.

"Di sekolah menengah ada diajar tentang sejarah parti politik dan sebagainya. Kenapa nak halang minda pelajar dari terus berfikir? Budak sekarang mindanya cerdik, bukan macam zaman dulu.

"Sekolah untuk mendidik rakyat, bukan menternak rakyat. Kita tak boleh jadikan sekolah sebagai produk industri tapi kita nak produk yang mampu berfikir dalam semua perkara, bukan akademik semata-mata," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari pula menyifatkan kenyataan NGO tajaan Umno, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang mengutuk kerajaan negeri Kelantan membayangkan ketakutan Umno terhadap kejayaan program tersebut.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita mengutuk Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang kononnya menggunakan pelajar pondok dan tahfiz dalam program tersebut.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah dilaporkan berkata bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai seorang yang bertopeng imej warak kerana sanggup memperalatkan pelajar sekolah agama di Kelantan untuk menghadiri program politik.

Meskipun program tersebut menjangkakan 10,000 pemuda yang hadir, namun kehadirannya mencecah 15,000 sehinggakan menimbulkan ketakutan Umno BN terhadap sokongan pemuda Kelantan terhadap kepimpinan PAS di negeri itu.


Tekanan meningkat untuk Tuan Ibrahim

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Tekanan dari pelbagai pihak semakin kuat ke atas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar bertanding jawatan timbalan presiden walaupun sebelum ini beliau telah memaklumkan tidak bersedia untuk ke jawatan itu.

Tekanan itu semakin memuncak apabila ramai yang mula tahu pencalonan yang diterima beliau tidak jauh bezanya dengan dua lagi calon popular timbalan presiden iaitu penyandangnya Ustaz Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Tuan Ibrahim dikatakan menerima 39 pencalonan untuk timbalan presiden manakala untuk naib presiden beliau menerima 97 pencalonan.

Ini bermakna, hampir kesemua kawasan yang diterima pencalonannya (146 pencalonan) ada nama Tuan Ibrahim untuk kedua-dua jawatan itu.

Pencalonan tinggi yang diterima beliau dalam keadaan beliau sudah memaklumkan keberatan untuk bertanding jawatan timbalan presiden juga telah menambahkan tekanan untuk beliau.

Ekoran itu, menurut sumber, ada cadangan agar Tuan Ibrahim bertanding kedua-dua jawatan iaitu timbalan dan naib untuk menghormati pencalonan kawasan-kawasan.

Selain Nasharudin, Mohamad Sabu dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.

Sehingga kini, hanya Nasharudin dan Mohamad Sabu mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden manakala Salahudin membayangkan akan hanya mempertahankan jawatannya sekarang iaitu naib presiden.

Kesemua calon-calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum 26 Mei ini. Jawatankuasa Pemilih 2011 akan mengumumkan calon-calon itu pada 27 Mei ini.

Kita mulai menjadi bangsa yang kebas
http://samadsaid.wordpress.com

TENTULAH ada yang sempat merasakan bahawa bangsanya kini sedang mulai kebas. Banyak peristiwa berlaku hampir secara memburu—khususnya soal pertarungan kuasa yang ternyata amat berat sebelah.

Dan, ini, sengaja dimungkinkan oleh media arus perdana yang tampaknya memang cenderung menjadi media arus durjana. Media begini cenderung, malah sengaja, menghantar atau mengapungkan hanya berita-berita sebelah pihak. Kita hadir, mereka tidak. Kita penting, mereka tidak. Malah, kita benar, mereka tidak. Begitulah.

Segala yang buruk tetap saja di pihak oposisi; sedang yang baik pasti saja di pihak pemerintah. Dengan begitu, kita hanya “dibenarkan” atau “dipaksa” untuk melihat hanya wajah—dan batin—bangsa yang sebelah saja.

Selalunya, malah sentiasa, kita digesa menelan kisah-kisah buruk pihak oposisi saja. (Kisah video lucah contoh klasiknya). Dan oleh ulangan itu, apalagi oleh kekerapannya, maka yang terlihat hanya oposisi yang racun. Di pihak pemerintah sentiasa penawar.

Pihak oposisi tidak punya media yang cukup untuk melawan. Berjuang hanya dua kali seminggu—melalui akhbar tabloid kurusnya—melawan gergasi media arus perdana (akhbar, radio dan TV terbanyaknya) yang seharmal itu, tentulah ia satu perlawanan berat sebelah yang amat lucu. Maklum, yang seorang didera menggunakan keris, sementara yang seorang lagi diwajibkan menggunakan meriam.

Barangkali memang itulah demokrasi ala negara kita.

Kerana demikian keadaannya (maksudnya, kesombongan media arus perdana yang seharmal itu), maka rakyat terbanyak tidak sempat, malah tidak cekap, menyaring fakta dan mewaras tohmah yang ghairah terhidang dalam media yang berat sebelah.
Tampaknya, kita sengaja diasuh untuk menerima saja apa yang dicurahkan oleh media arus perdana. Kerdipan tajuk-tajuk utama berita membenamkan kebenaran yang memangnya ingin dibenamkan. Maka itulah kita mula menjadi bangsa yang kebas.


Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Selangor kritikal

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Selangor, Mohd Radzi Yusof dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Selayang.

Mohd Radzi, 51, (gambar) sebelum ini telah dimasukkan ke Hospital Selayang pada hari Selasa (17 Mei) lepas untuk mendapat rawatan masalah paru-paru yang dihadapinya dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 Mei lalu kerana keadaan bertambah buruk.

Keadaan beliau masih lagi koma dan doktor terpaksa membuat pembedahan kecil untuk menguji tisu pada paru-paru untuk mengenal pasti jangkitan lain.

Walaubagaimanapun keadaaan beliau semakin stabil berbanding semasa mula-mula dimasukkan ke ICU.

Sehubungan itu, pihak pihak jabatan pilihan raya PAS negeri meminta orang ramai bersolat hajat dan mendoakan agar beliau segera pulih.

Sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan yang dikesan sejak Januari lepas.


Utusan sahkan Umno sedang usaha tarik DAP
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Selepas sebulan Harakahdaily dan Harakah menyiarkan cerita kononnya Umno sedang berusaha menarik DAP bersamanya, media Umno Utusan menyiarkan hujah-hujah kenapa ia wajar dilakukan.

Hujah-hujah itu dipaparkan Utusan melalui tulisan salah seorang pemikir (think tank) Umno, Tan Sri Dr Nordin Kardi, bekas Ketua Pengarah Biro Tata Negara dan juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

(Gambar: Rencana Nordin Kardi dalam Utusan 20 Mei)

Melalui tulisan yang disiarkan Jumaat 20 Mei itu, Nordin Kardi memberikan hujah-hujahnya kenapa Umno perlu menerima DAP sebagai rakannya selepas MCA dan Gerakan membuat pelbagai perangai.

Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan laporan Umno sedang berusaha untuk mendekati DAP selepas berjaya memecahkan PAS melalui isu kerajaan perpaduan.

Menurut sumber Harakahdaily, usaha itu dibuat melalui beberapa pemimpin DAP yang ada hubungan dengan pimpinan utama parti itu.

Namun begitu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolak laporan itu dengan berkata, dia sendiri tidak tahu menahu mengenainya dan mustahil DAP meninggalkan Pakatan Rakyat buat masa sekarang.

Ekoran laporan Harakahdaily itu, Utusan melaporkan, pemimpin Umno menolak laporan itu dan menafikannya.

Namun tulisan Nordin Kardi ini membayangkan sesetengah pihak dalam Umno sedang melobi agar Umno menarik DAP menyertai BN.

Dalam tulisannya di Utusan, Nordin Kardi berhujah, ideologi DAP lebih dekat dengan Umno berbanding dengan MCA dan Gerakan yang ada sekarang.

Tambahan pula dengan karenah kedua-dua parti itu sehingga Umno perlu menyebut kepadanya, "take of leave it".

(Gambar: Laporan Harakah yang berdasarkan laporan Harakahdaily 29 April lalu)

"Pemimpin MCA muncul atas kepentingan peluang perniagaan kontrak di Malaysia yang selama ini dimonopoli oleh syarikat-syarikat Inggeris berbanding PAP (Lee Kuan Yew) muncul atas kebimbangan kaum Cina akan diketuai oleh penganut-penganut komunis.

"Ini bermaksud DAP yang berkongsi ideologi dengan PAP itu secocok dengan ideologi Umno yang telah menyingkirkan pemimpin yang cenderung kepada faham kiri.

"Kuan Yew pernah memenjarakan Lim Chin Siong, yang pernah berjuang bersamanya, kerana dikatakan komunis, mirip tindakan Umno menolak beberapa pejuang kemerdekaan yang dikatakan berhaluan kiri.

"Jika hal begini diambil kira, secara ideologi nampaknya Umno dan DAP boleh duduk bersama dengan selesa," tulis Nordin dalam Utusan.

Bagi beliau juga, tuntutan "Malaysian Malaysia" DAP sebelum ini adalah selaras dengan apa yang telah dibuat oleh Datuk Seri Najib sekarang iaitu 1 Malaysia.

"Pada asasnya banyak tuntutan DAP sudah tidak bersesuaian lagi kerana semuanya telah ditunaikan oleh BN - tuntutan kriteria merit ke universiti, tuntutan “Malaysian Malaysia” sudah terangkum dalam “Satu Malaysia”, dasar semuanya inklusif — mewajarkan DAP untuk tidak perlu silu atau meminta maaf kepada pengikutnya untuk menyertai BN. Semua peluang yang diminta telah ada di dalam BN," tulis Nordin.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Umno jangan terlalu bernostalgia tetapi depani realiti.

"Kesampingkan nostalgia dan sentimen tradisi, saya lihat DAP dan PAS akan amat selesa menyertai BN. Jika BN memang benar berhasrat menjadi satu parti tanpa komponen seperti sekarang, ia akan berlaku setelah hal yang saya utarakan ini didahulukan. Mengapa tidak? " tulis Nordin.

LAPORAN HARAKAHDAILY BERKAITAN ISU INI

Umno jemput DAP masuk BN?

DAP akan tolak jemputan Umno sertai BN

Jangan terperangkap dengan jebak Umno

Umno halang rakyat dapat maklumat tepat
Ahmad Danial

MELAKA, 23 Mei: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, kerajaan Umno BN menutup ruang secara total supaya rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat tentang isu-isu semasa.

"Sebab itulah saluran maklumat ditutup dari rakyat oleh kerajaan BN. Tidak ada ruang untuk pimpinan PAS dan PR untuk bercakap di dalam media sama ada elektronik atau cetak.

“Mereka tidak mahu rakyat mengetahui fakta-fakta sebenar tentang penyelewengan, rasuah, kezaliman dan sebagainya," ujar beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian jentera pilihanraya Dun Ayer Molek dan Pusat Adun Rakyat Dun tersebut, dekat sini semalam.

Tambahnya, kerajaan Umno BN juga menjadikan masjid dan surau kosong dengan kuliah dan tazkirah tentang ilmu-ilmu Islam seperti siasah syariah, ekonomi Islam, jenayah dan sebagainya.

Katanya, pemimpin Umno tidak mahu rakyat memahami Islam kerana apabila berilmu dan faham Islam dibimbangi mereka akan menyokong PAS dan PR.

Idris berkata, rakyat juga khasnya orang miskin dibiarkan merempat kerana dengan kemiskinan, rakyat mudah dibeli dan disogok oleh Umno BN ketika kempen pilihan raya.

"Jika rakyat kaya dan berpendapatan tinggi sudah tentu mereka sukar untuk disogok dan dirasuah bagi memancing undi.

“Sebab itulah kita lihat rakyat miskin khasnya di Sabah dan Sarawak masih ramai seperti yang dibongkar pada Pilihan raya Negeri Sarawak baru-baru ini," kata Idris.

Justeru, menurutnya jentera PAS mesti bekerja kuat untuk menyampaikan risalah perjuangan PAS dan PR kepada orang Umno dan golongan tidak berparti supaya mereka dapat memikirkan tentang kedudukan politik dan sosial masyarakat hari ini.

"Risalah, 'banner' dan bahan-bahan lain mesti dipastikan sampai kepada setiap rakyat supaya rakyat boleh berfikir membuat pemilihan yang matang dan bijak pada pilihan raya umum akan datang," kata Idris.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Jentera Pilihan raya PAS Melaka, Mejar (B) Jasme Tompang, Yang Dipertua PAS Jasin, Kamaruddin Sidek dan Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew.



Tiada ulasan: