Rabu, 25 Mei 2011

ADA BAIK KITA TAK GILA PANGKAT ATAU KUASA...SEBAB SEGALA PEMIMPIN AKAN DITANYA KEMIMPINANANNYA...JANGAN TAK SERUPA ALLAH KEHENDAKI

Peneroka Kesedar dihimpit kemiskinan
M Faqih

GUA MUSANG, 25 Mei: Harapan peneroka apabila menyertai rancangan kemajuan tanah (RKT) setidak-tidaknya kehidupan mereka berubah setelah memiliki kebun sendiri.

Namun lain pula bagi peneroka di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) apabila ramai sekarang berada di bawah garis kemiskinan tegar.

Rata-rata peneroka berpendapatan antara RM350 sehingga RM500 sebulan hasil elaun sara hidup yang dibayar Kesedar selepas pokok sawit mereka ditebang bagi projek tanam semula.

Dengan jumlah pendapatan itu ramai peneroka tidak dapat membayar yuran persekolahan anak-anak dan menampung sara hidup harian.

Sedangkan bantuan sara hidup di bawah Felda RM1,000 sebulan bagi tahun pertama.

Abdul Shakur Che Daud, 43 dari Kesedar Paloh 2 berkata, sejak projek tanaman semula kelapa sawit dijalankan ramai peneroka sekarang dihimpit kemiskinan.

Katanya, jumlah elaun sara hidup tersebut dibayar Kesedar setiap bulan dalam tempoh empat tahun sehingga pokok sawit yang ditanam berbuah.

”Jumlah sara hidup sebanyak itu dipotong lagi setiap bulan sebanyak RM20. Kalau peneroka menerima RM350 dipotong RM20 maka tinggal RM330.

”Jumlah elaun sara hidup sebanyak itu menyebabkan rata-rata peneroka di bawah Kesedar sekarang semakin terhimpit sehingga ramai tidak mampu membeli keperluan harian seperti orang lain,” kata beliau ketika ditemui di sini.

Sedangkan penubuhan Kesedar pada 1978 bertujuan mengimbangi komposisi penduduk di antara Kelantan selatan dengan utara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Abdul Shakur berkata, matlamat membantu penduduk miskin seperti digaris di bawah akta Kesedar seperti tidak lagi berlaku sekarang.

”Cuba bayangkan dengan pendapatan sara hidup sebanyak RM330 sebulan hendak menghantar anak ke sekolah pun susah.

”Sekarang isteri dan anak-anak peneroka terpaksa bekerja di tempat lain bagi menyara kehidupan. Ada juga anak peneroka terpaksa berhenti sekolah,” ujarnya.

Fauzi Hassan, 58 dari Paloh 1 bagaimanapun hairan mengapa setiap bulan peneroka dipaksa membayar tunai RM20 kepada Kesedar sebelum mendapat elaun sara hidup yang diterima melalui bank.

(Ikuti kisah duka peneroka Kesedar dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)


Tiada biasiswa: Arahan BN atau JPA

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA) amat kecewa kerana ramai pelajar lepasan SPM yang mendapat 8A+, khususnya yang bukan berketurunan Melayu, tidak mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sekiranya diberikan biasiswa, biasiswa yang ditawarkan itu hanyalah biasiswa dalam negeri (PIDN) dengan kursus-kursus yang ditawarkan tidak setaraf dengan kecemerlangan mereka.

Presiden MISA, Kishur Goonasaran (gambar) berkata, kejadian itu bertentangan dengan arahan Perdana Menteri dan Kabinet bahawa kesemua pelajar itu harus mendapat biasiswa JPA dengan kursus-kursus yang bersesuaian dengan pencapaian akademik mereka.

Menurut beliau, sepatutnya setiap arahan dari Perdana Menteri dan kabinet haruslah dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan dengan sepenuhnya.

Katanya, jadi timbul persoalan, mengapa lain yang disuruh lain yang dibuat dan apakah ini satu bentuk sabotaj dari pihak JPA terhadap semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Atau apakah ada satu bentuk arahan secara halus dari pihak Kerajaan BN untuk JPA?" katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MISA, di sini, hari ini.

Disebabkan kejadian itu, MISA berpendapat tiada gunanya Kerajaan BN menubuhkan 'Talent Corp' untuk mengatasi masalah 'Brain Drain' di Malaysia dengan memberi insentif kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk pulang berkhidmat di Malaysia.

Katanya, jika pelajar cemerlang seperti itu yang sepatutnya disanjungi dan dihargai dengan pemberian biasiswa diabaikan, ia tentunya hanya akan menyumbang kepada statistik 'Brain Drain'.

"Kita harus mengatasi punca utama masalah tersebut, bukannya hanya bertindak setelah semuanya sudah terlambat seperti kata pepatah, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya," katanya.

Dengan itu, katanya, JPA ternyata telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya secara adil tanpa diskriminasi terhadap para pelajar kita yang bakal menjadi tonggak negara.

"Ini juga adalah satu kegagalan yang jelas dari pihak kerajaan yang memperjudikan masa depan anak muda Malaysia. Kami amat kesal kerana perkara ini berulang setiap tahun tanpa ada jalan penyelesaian yang mutlak," katanya.

Pada masa yang sama, MISA juga inginkan supaya setiap pelajar cemerlang lepasan SPM tahun 2010 diberikan pembiayaan biasiswa daripada agensi kerajaan yang lain seperti BNM dan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kami ingin menyeru kepada kerajaan supaya tidak lagi berdolak-dalik dalam hal ini. Janganlah memperjudikan masa depan anak-anak kita untuk kepentingan politik sempit. Kami di MISA inginkan supaya isu ini diselesaikan dalam kadar segera," tegasnya.

Pelajar-pelajar cemerlang yang diabaikan oleh kerajaan itu, menurut beliau, berjumlah 363 orang melibatkan kesemua bangsa termasuk India, Cina dan lain-lain bangsa dan kesemua mereka kini sedang membuat rayuan kepada JPA agar permohonan mereka itu dipertimbangkan kembali oleh JPA.

Sekiranya rayuan mereka itu tidak dipertimbangkan, MISA bercadang untuk mengadakan perarakan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) Isnin ini, 30 Mei, jam 11.00 pagi untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dengan segera dan membetulkan perkara itu.

"Selain itu, MISA turut menuntut agar nama-nama pemohon biasiswa JPA, nama-nama mereka yang berjaya dan nama-nama mereka yang gagal disiarkan di dalam akhbar utama di tanah air.

"Sekiranya pihak JPA tidak berkemampuan berbuat demikian kerana tiada wang untuk membayar kepada pihak akhbar bagi penyiaran senarai nama pemohon-pemohon, senarai nama pemohon yang berjaya dan senarai nama pemohon yang gagal, pihak MISA dan NGO-NGO India boleh membiayainya," katanya sinis.

Dalam hubungan ini, beliau hairan apabila pihak JPA enggan menyiarkan senarai nama mereka itu di akhbar, pada hal untuk menyiarkan senarai nama pelatih-pelatih PLKM, kerajaan tidak pula berfikir panjang walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

Selain itu, MISA turut menuntut Kerajaan BN agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja Biasiswa, bagi memantau proses temuduga oleh panel penemuduga terhadap para pemohon biasiswa JPA.

"Penubuhan Suruhanjaya Diraja Biasiswa itu amat penting, bagi membolehkan temuduga dan proses pemberian biasiswa bukan lagi dikuasai oleh GLC dan bukan juga menteri-menteri yang berkuasa penuh dalam hal ini," katanya.

MISA juga turut mendesak Kerajaan BN agar turut menyiarkan senarai nama panel penemuduga biasiswa JPA di akhbar, bagi membolehkan kesemua pihak menilai dengan adil prestasi dan kredibiliti mereka, demi keadilan kepada kesemua pihak.

Pada sidang media itu, MISA turut menampilkan seorang pelajar cemerlang berketurunan India dari Seremban, Negeri Sembilan, Heamanathaa d/o Padmanabalan yang mendapat 10A+, 1A dalam SPM tahun lalu yang didakwa telah menjadi mangsa diskriminasi berhubung pemberian biasiswa JPA.

Heamanathaa yang hadir bersama ayahnya bercita-cita untuk menjadi doktor dan ingin melanjutkan pelajaran di luar negara, tetapi kini hanya ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk peringkat diploma bermula 29 Mei ini, bagi menjadi guru mata pelajaran bahasa Inggeris.


Selangor sedia tapak baru rumah anak yatim
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti kawasan baru yang sesuai untuk dibina premis baru bagi menempatkan kanak-kanak dari Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, selepas bangunan lama disahkan tidak selamat diduduki.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mengarahkan Pegawai Daerah Hulu Langat supaya mencari tapak baru yang lebih selamat di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menawarkan tapak baru yang akan dikenal pasti itu kepada Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia untuk dibina premis baru.

“Kita akan wartakan tapak ini sebagai tapak untuk rumah kebajikan anak-anak yatim dan Madrasah Al-Taqwa bolehlah memohon tapak berkenaan untuk membina bangunan baru dengan bayaran premium paling rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan tapak untuk membina bangunan bagi melaksanakan program-program kebajikan dengan hanya mengenakan bayaran premium tanah sebanyak RM1.

“Bagaimanapun, NGO ini perlu mematuhi semua peraturan dan menjalin kerja sama dengan pihak berkuasa dalam melaksanakan program-program kebajikan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya lagi.

Mengenai anak-anak yatim di Madrasah al-Taqwa, Tan Sri Khalid berkata, usaha sedang dijalankan untuk menempatkan mereka di sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah menyumbangkan RM1,000 untuk mangsa dan keluarga manakala kerajaan negeri menyumbang RM5,000. Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula menyalurkan sumbangan RM217,000 untuk diagihkan kepada semua mangsa dan keluarga.

Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga membiayai penempatan sementara ahli keluarga mangsa di Azwen Resort, sepanjang kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal juga dihantar bagi membantu pihak berkuasa menjalankan kerja mencari dan menyelamat selain bantuan keperluan harian kepada semua pihak yang terlibat.


Azizan tolak timbalan presiden, tanding AJK

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya bertanding jawatan ahli jawatankuasa pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, bulan depan.

Setiausaha akhbarnya, Helmi Khalid memberitahu, Ustaz Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menolak bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS untuk memberi tumpuan kepada Kedah.

Ustaz Azizan antara yang dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini selain penyandang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Sehingga kini, Nasharudin, Tuan Ibrahim dan Mohamad mengesahkan bertanding jawatan tersebut sementara Salahuddin mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang.

Husam pula mengesahkan bertanding jawatan naib presiden.

Tiada ulasan: