Sabtu, 21 Mei 2011

SAPE PUN TAK BOLEH LAWAN STRATEGI ALLAH....WALAUPUN IA LANGGAR HUKUM ALLAH...MEREKA YG LAWAN ALLAH AKAN BINASA

Utusan: PAS tidak akan sahut seruan Perkasa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Mei: PAS tidak akan menyahut seruan Perkasa untuk mempertahankan akhbar Utusan Malaysia yang kononnya akhbar orang Melayu.

“Layakkah akhbar Utusan Malaysia mewakili orang Melayu sedangkan etika laporan yang dilaporkan oleh akhbar tersebut tidak menepati ciri-ciri Melayu jauh sekali dengan ajaran Islam.

“Tepatnya akhbar ini ialah Utusan Umno, bukan mewakili suara orang Melayu,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, pemberitaan yang dilaporkan lebih kepada provokatif dan fitnah.

Tambahnya, terbaru dengan berita yang sensasi kononnya Malaysia akan menjadi negara Kristian seperti yang disiarkan oleh akhbar tersebut pada 7 Mei lalu.

“Menyiarkan berita untuk membangkitkan emosi orang Islam, sekiranya tidak kena gaya negara boleh terbakar tetapi alhamdulillah PAS berjaya menenangkan keadaan umat Islam,” katanya.

Menurutnya, Utusan beruntung kerana mereka kebal dari tindakan undang-undang.

Katanya, rakyat Malaysia tentu masih ingat, Suara Keadilan yang menyiarkan berita Felda bankrap, terus diberi amaran dan permit digantung.

Tegasnya, Utusan Malaysia tidak layak mewakili suara orang Melayu, kerana budaya Melayu tidak menerima unsur lucah dan fitnah.

“Melayu yang dikaitkan mesti beragama Islam, sudah tentu tidak boleh menerima tatacara budaya seperti ini,” katanya.


Harakah guna sistem iklan red-ads
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Harakah sedang mempertingkatkan pengurusan iklan bagi membolehkan pelanggan-pelanggannya berurusan secara langsung melalui sistem iklan red-ads yang baru dibangunkan menggunakan teknologi web dan internet.

Sistem Iklan Red-Ads yang masih dalam versi Beta (Beta Version) ini dibangunkan secara dalaman (in-house) oleh Kumpulan IT Harakah berdasarkan kepada pengalaman Harakah menguruskan iklan banner/text dalam Harakahdaily dan iklan classified dalam Harakah Cetak.

Mulai sekarang, pelanggan-pelanggan iklan Harakah boleh mencuba untuk menguruskan sendiri iklan mereka dengan berdaftar dalam Sistem Iklan Red-Ads, terus kepada link http://red-ads.harakah.net.my ataupun melalui portal bersepadu Myharakah.net melalui link http://myharakah.net

Hasil cadangan pelanggan-pelanggan, terdapat beberapa classified category yang telah disediakan seperti, announcement, business, clothing & accessories, education, electrical & electronics, event, food & beverage, furniture, Health & Beauty, Home Accessories, Information Technology, Real Estate, Religious, Sports, Tourism & Lodging, Trade, Wedding. etc

Sempena dengan muktamar kali ini, pihak Harakah memberikan iklan classified secara percuma untuk dipaparkan dalam web Iklan Red-Ads melalui link http://red-ads.harakah.net.my bagi menghargai sokongan kesetiaan pelanggan-pelanggan Harakah.

Sungguhpun begitu, pihak Harakah mempunyai hak untuk membuang atau tidak menyiarkan mana-mana iklan yang tidak memenuhi terma dan syarat yang ditentukan dari masa ke semasa.

Saya nak solat di stadium, kapten jadi imam

Muhamad Yusri Amin

KOTA BHARU, 20 Mei: “Insya Allah, apabila stadium itu siap nanti, kalau umur saya panjang, saya mahu menunaikan solat di stadium itu dengan ‘kapten’ bola menjadi imam sembahyang,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Beliau mengulangi persetujuan kerajaan negeri untuk membina kompleks sukan yang menempatkan stadium utama dengan muatan 40,000 penonton.

Pembinaan itu, menurutnya akan dilaksanakan di atas tanah milik kerajaan negeri kira-kira 40.5 hektar bernilai RM159 juta di Bukit Merbau, Pasir Puteh dan tender pembinaan kompleks sukan itu dibuka kepada mana-mana pemaju yang berminat.

“Kelantan akan buat stadium baru. Ini kerana stadium yang ada sempit dan mengalami kesesakan penonton, tetapi stadium itu stadium yang bercampur dengan masjid.

“Orang lain buat juga stadium, tetapi kita mahu ada ‘benda lain’ pada stadium yang kita buat itu iaitu stadium bercampur masjid,” katanya.

Menurutnya lagi, masjid itu tidak dibenarkan dibina berasingan dari ruang stadium sama ada di tingkat atas atau di luar bangunan stadium, bahkan hendaklah dibina berhampiran dengan tempat duduk penonton bagi memudahkan orang ramai bersolat dengan kadar segera.

Katanya, pembinaan ruang solat (masjid) itu sekadar boleh memuatkan antara 10 hingga 30 orang pada satu-satu ruang solat.

“Jadi semua ruang bangunan dalam stadium itu terdapat antara 10 hingga 30 tempat ruang untuk solat. Bangun (penonton) daripada kerusinya, boleh bersolat segera.

Mengenai royalti minyak, beliau yang juga Mursyidul Am PAS menyifatkan golongan yang enggan menyerahkannya kepada rakyat Kelantan sebagai golongan zalim dan jahat.

Beliau yakin bahawa golongan itu akan menerima balasan dari Allahdi atas kezaliman yang dilakukannya.

“Kita di Kelantan yang pastinya ialah kita ada telaga minyak. Allah menjadikannya sejak berjuta tahun dahulu, telaga itu terpilih berada di bumi Kelantan, namun royalti minyak itu tidak diberikan kepada Kelantan sehinga kini. Jadi orang ini orang zalim dan jahat.

“Didoakan supaya doa kita mustajab agar diberikan royalti minyak kerana royalti itu harta kita.

“Harta orang walau pun satu sen, kita tidak mahu. Yang kita mahu ialah harta kita. Walau pun satu kerana ianya harta kita, kita nak. Begitu kaedah kita sebagai orang Islam,” katanya.

Pengundi baru strategi jahat BN rampas Kedah

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Mei: PAS menyifatkan pertambahan mendadak pengundi baru di Kedah sehingga 26,000 orang pada suku pertama tahun ini sebagai satu strategi jahat Kerajaan BN dengan kerjasama SPR, bagi membolehkan BN merampas Kedah dari PAS.

Strategi jahat seperti itu pernah dilakukan oleh BN di Terengganu pada PRU Ke-11 tahun 2004 lalu untuk membolehkan BN merampas Kerajaan Terengganu dari PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan, PAS amat ragu dengan pertambahan pengundi sebanyak itu di Kedah, memandangkan pertambahan sebenar berdasarkan pendaftaran yang dilakukan oleh PAS pada suku pertama tahun ini sehingga Mac lalu hanyalah sebanyak 4,000 orang sahaja.

Menurut beliau, sebelum ini PAS yang mendahului SPR dalam pendaftaran pengundi baru, tetapi kini angkanya ternyata jauh menyimpang dari jumlah yang sebenar.

Lebih meragukan lagi, katanya, berdasarkan semakan, didapati pertambahan pengundi-pengundi baru yang dilakukan oleh SPR itu bukannya pengundi-pengundi yang didaftarkan di Kedah, tetapi di Kuala Lumpur.

"Ini sememangnya jelas satu strategi jahat BN dengan kerjasama SPR yang perlu diketahui oleh rakyat," jelasnya pada sidang akhbar di Pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Strategi jahat itu juga, menurut beliau, turut dilakukan oleh BN dengan kerjasama SPR di Selangor dalam menghadapi PRU Ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, strategi jahat itu sememangnya amat sukar untuk diatasi oleh PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia turut membabitkan kerjasama SPR sendiri.

Dalam masa yang sama, PAS dan Pakatan Rakyat juga tidak mempunyai ruang masa yang mencukupi untuk melakukan semakannya kerana masa yang diberi amat pendek.

"Sungguhpun begitu, PAS dan Pakatan Rakyat tetap akan terus mengadakan bantahan mengenai perkara itu kerana ia jelas satu strategi jahat BN untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berharap agar orang ramai sedar dengan taktik jahat yang digunakan oleh BN dalam menghadapi pilihanraya di negara ini kerana ia jelas melanggar peraturan sama sekali.


Gelombang hijau tenggelamkan gelombang merah
M Faqih
KOTA BHARU, 20 Mei: Gelombang hijau petang ini mewarai padang perdana tempat berlangsung Himpunan 10,000 anak muda. Ia ternyata menenggelamkan gelombang merah dilancarkan Umno tahun lepas.

Anak muda lelaki dan perempuan tanpa mengira usia berbondong-bondong melangkah menuju ke tempat perhimpunan tersebut yang bermula jam 4 petang.

Tanpa ada upah dan kerahan membabitkan penjawat awam seperti gelombang merah, anak-anak muda berbaju hijau dan berketayap putih bersemangat. Laungan takbir bergema berulang kali di atas padang.

Tanpa menghiraukan pancaran terik matahari di ambang sore pemuda memenuhi khemah tempat pendaftaran sebelum bersila di atas tikar.

Ada juga anak-anak muda berjubah putih memenuhi sebahagian padang. Mereka hadir memberi sokongan bagi mempertahankan ketuanan Islam.

Tema perhimpunan tersebut ‘Tolak Umno Islam Selamat’ ternyata memberi suntikan baru selepas gelombang merah Umno kelihatan berada penghujungnya.

Program bermula dengan solat Asar berjemaah, diikuti celoteh Bob Lokman, anak tempatan yang kini menjadi ikon remaja apabila berubah daripada seorang seniman kepada pejuang Islam.

Persembahan dikir barat oleh Kumpulan Sri Halaqat menghiburkan anak-anak muda dengan dendangan lagu-lagu dikir berunsur nasihat.

Kira-kira jam 6 petang hampir seluruh padang dipenuhi anak-anak muda. Ikut sama pada program tersebut Nisa’ di kalangan muslimat muda.

Tempat parkir di sekitar Stadium Sultan Mohamad Ke-IV penuh sesak, begitu juga di Bazar Tok Guru. Laluan Jalan Mahmood jem dengan kenderaan bertali arus.

Sepanjang Jalan Hospital di kiri kanan jalan pula berderetan bas disewa pemuda kawasan dari seluruh Kelantan.

Himpunan tersebut merupakan kali kedua selepas himpunan serupa pernah diadakan menjelang pilihan raya umum lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman mengajak anak-anak muda bangkit selepas Umno kini semakin terdesak.

Katanya, Umno sekarang sudah kehilangan moral apabila terpaksa menggunakan taktik kasar bagi menghalang rakyat Kelantan menuntut royalti minyak.

“Ada rakan kita dipukul ketika sedang memasang sepanduk bagi menuntut royalti minyak pada Jumaat lalu. Ini mengggambarkan keadaan Umno benar-benar terdesak.

“Pemuda PAS tidak pernah takut dengan segala ugutan tersebut. Kita berjuang memastikan Umno terus hanyut dalam arus politik di negara ini,” katanya memulakan ucapan pada perhimpunan tersebut.

Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat, Ustaz Firdaus Jaafar berkata, Kelantan menjadi benteng terakhir bagi mempertahankan perjuangan Islam.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizat Kayan pula memberitahu kubu terakhir Umno di negara ini ialah Johor.

“Kuatnya Umno di Johor sama dengan kebalnya PAS di Kelantan yang menjadi kubu akhir bagi mempertahankan Islam,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya mempertahankan kemenangan perlu dengan kerja keras kerana Umno masih mempunyai segala kuasa bagi mempertahankan saki baki kuasa mereka.

Hadir sama pada petang tadi, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhamad Fadzli Hassan.

Manakala malam ini diadakan solat sunat hajat dan bacaan al Quran 100 kali khatam.

Selepas itu diadakan ikrar Jentera Pemuda PAS Kelantan dan berakhir dengan amanat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.






Tiada ulasan: