Selasa, 10 Mei 2011

LAWAK DAN GURAU...DAH SEMUA NAIK.....AKHIR SEKALI PEMBANGKANG NAIK....HEHEHE

Kenapa pandang kat perut saya - Anwar
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 9 Mei: "Ehhh kenapa semua pandang kat perut saya," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memulakan ceramahnya di Kuala Ibai dekat sini baru-baru ini dalam siri jelajah seluruh negara beliau.

Ia disambut gelak ketawa para hadhirin di majlis itu. Dari isu yang serius iaitu tuduhan menjadi pelaku dalam video seks menjadi santai.

Inilah caranya Anwar, yang menghadapi pelbagai tuduhan tidak baik dari musuh politiknya dalam apa yang digelar sebagai 'gutter politic' atau politik longkang yang sangat hina itu.

Sejak dari awal isu video seks datang, Anwar menegaskan beliau bukanlah lelaki yang menjadi pelaku dalam video seks itu.

"Muka macam saya tetapi perut bukan saya," kata Anwar dalam satu sidang media sebaik sahaja video itu mula didedahkan kepada wartawan di Carcosa Sri Negara oleh Trio Umno.

Sebelum inipun, inilah caranya Anwar menghadapi isu ini. Beliau menjadikan tuduhan yang serius ini dengan rileks tetapi penuh kepedihan untuk pihak yang menuduh beliau.

"Muka macam saya, tetapi bila lihat perut bukan saya. Ada yang suruh saya tunjukkan, Salahudin (Ayub, Naib Presiden PAS) minta saya buka baju, tunjuk tetapi Ustaz (Datuk Seri Tuan Guru Abdul) Hadi Awang kata tak payah," kata Anwar dalam majlis itu.

Dalam keceriaan menghadapi tuduhan itu, Anwar mengaku beliau tertekan dengan tuduhan yang dihadapkan kepada beliau itu.

"Saya ada perasaan, ada anak-anak, ada Azizah (Datuk Seri Wan Azizah, isteri beliau)," kata Anwar di Kuala Terengganu itu.

Bagi Anwar, politik mengaibkan orang dengan fitnah ini adalah sesuatu yang beliau tidak akan biarkan dan akan lawan.

Anwar membawa cerita dalam sejarah kerajaan Melayu sebelum ini yang antara lain sangat menitip beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.

"Jangan sesekali aibkan rakyat kamu. Kalau kamu aibkan juga, mala petaka atas kamu. Tetapi nampaknya Umno melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.

"Lihatlah dalam pilihan raya akan datang, rakyat akan tumbangkan kamu," kata Anwar dengan disambut sorakan gemuruh para penyokongnya yang mendengar ucapan beliau malam itu.

Bagi Anwar, tindakan pihak musuh politiknya sangat tidak sesuai dengan keperluan negara sebenarnya.

Yang diperlukan negara sekarang adalah pengurusan ekonomi yang baik agar manafaatnya dirasai oleh rakyat tetapi media Umno sibuk memainkan isu video seks dan mendakwa beliau pelakunya.

Bagi beliau, negara terus menghadapi masalah apabila pemimpinnya sibuk mengkayakan kroni dan anak beranak masing-masing.

"Tun Dr Mahathir, umur dah 85 tahun masih sibuk lagi, anak dia Mokhzani, antara orang Melayu paling kaya di Malaysia. Najib, baru tiga tahun jadi PM, adik dia, Nazir, antara Melayu paling kaya di negara ini.

"Bagaimana mereka ini dapat kumpul harta sebanyak itu?" soal Anwar.

Sehubungan itu, beliau mahu Pakatan Rakyat khasnya PAS perlu menang di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang untuk membuat perubahan.

"PAS kena menang di Terengganu sebab kita nak ubah bukan untuk membalas dendam. Saya jamin, kita tidak akan telanjangkan dia sebagaimana saya kena. Saya hanya nak buktikan kepada rakyat, kita boleh buat," kata Anwar dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Antara perubahan yang dijanjikan Anwar adalah royalti minyak 10 peratus untuk rakyat Terengganu, penurunan segera harga minyak runcit, penurunan kadar tarif elektrik dengan mengkaji semula perjanjian dengan Pembekal Tenaga Bebas (IPP) dan sebagainya.


Agama rasmi: Jangan provokasi, kemudian ISA
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 9 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada pihak tertentu agar tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan ketegangan kaum di negara ini berhubung isu ‘Kristian agama rasmi’.

Menurutnya, tindakan seumpama itu tidak demokratik yang sengaja cuba dicetuskan pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya.

“Saya melihat isu sehari dua ini lebih bersifat kepada satu permainan politik pilihan raya.

“Saya harap jangan provokasikan di saat hampir pilihan raya macam masa-masa lalu. Kemudian ambil tindakan ISA di kalangan orang tertentu. Ini suatu tindakan yang tidak demokratik dan tidak betul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Keempat, Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12, di sini hari ini.

Katanya, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat semua parti menerima apa yang sudah diasaskan dalam Perlembagaan.

Menurutnya, Islam agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja yang termaktub dalam Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Pakatan Rakyat.

Menurutnya, sebarang isu yang berkaitan dengan polisi dan dasar akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat.

“Dengan sebab itu, saya tidak risau dengan isu ini. Sebab, saya melihat isu ini lebih ke arah isu mainan politik pilihan raya. Ini satu benda yang tidak betul di kalangan pihak tertentu,” ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mahu semua pihak supaya menjaga keharmonian kaum di negara ini.

Beliau juga menyarankan agar diadakan siri perbincangan dan dialog dari masa mengenai perkara itu sebagaimana isu kalimah Allah sebelum ini.

“Dan kerajaan pernah menganjur melalui IKIM, dalam isu kalimah Allah dulu, saya hadir sendiri dan melibatkan kalangan akademik, kita bincang. Itu lebih baik. Cara berilmu dan bukan lepas tangan begitu sahaja,” ujarnya.

Perasmian Sidang Dun Terengganu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Bendahara Raja.


40% RMM untuk pembeli 35 tahun ke bawah
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Ketika Umno BN sedang rancak menyusun pelbagai fitnah termasuk mengatakan kerajaan Selangor menzalimi rakyat dalam rangka menawan kembali negeri itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus menyusun pelbagai program untuk membantu dan membela rakyatnya.

Terbaru, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan 40 peratus rumah mampu milik (RMM) yang diperkenalkannya akan dikhaskan untuk pembeli berumur 35 tahun ke bawah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad menjelaskan, rumah mampu milik yang telah diperkenalkan itu berkeluasan antara 750 hingga 850 kaki persegi dan berharga antara RM69,000 hingga RM100,000 seunit.

Menurut beliau, rumah-rumah tersebut dalam bentuk pangsapuri akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju-pemaju swasta yang bersetuju menyertai program itu.

Katanya, lebih 2,000 unit rumah akan dibina di pelbagai lokasi di Selangor dengan fasa pertama akan dilancarkan di Bangi pada 31 Mei depan.

"PKNS juga telah mengenal pasti 6 tapak untuk membina rumah-rumah mampu milik itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Rumah-rumah mampu milik itu, menurut beliau, adalah untuk mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan.

"Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengawal jualan rumah mampu milik itu agar hanya mereka yang layak dapat membelinya," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan menganjurkan Seminar Rumah Mampu Milik pada 5 Julai ini di SACC Convec, Shah Alam.

"LPHS dan PKNS akan mengendalikan seminar ini dan akan membentangkan rekabentuk-rekabentuk rumah mampu milik yang telah dihasilkan oleh PKNS," katanya.

Beliau yang juga Adun Chempaka memberitahu, tujuan seminar itu diadakan adalah untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan terhadap rekabentuk-rekabentuk yang telah dihasilkan itu.

"Para pemaju, para profesional, ahli-ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dijemput ke seminar tersebut," jelasnya.

Selepas petrol, gula pula naik 20 sen
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Bemula esok, rakyat Malaysia terpaksa membeli gula dengan harga RM2.30 sekilogram iaitu peningkatan sebayak 20 sen berbanding harga sekarang RM2.10.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom yang berkata kenaikan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada hari ini.

Kenaikan itu berlaku selepas lima hari rakyat negara ini dikejutkan dengan kenaikan 20 sen harga petrol RON 97 yang kini dijual dengan harga baru RM2.90 seliter

Jelas Mohd Zain, walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

"Langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat," kata Mohd Zain.

Penyelarasan subsidi itu akan membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM116.6juta.

Sebelum ini banyak pihak menyelar tindakan kerajaan dalam usaha mereka 'menyelaraskan subsidi' beberapa barangan keperluan rakyat selaku pengguna.

Kenaikan harga gula ini, turut dibimbangi akan memberi kesan kepada kepada harga makanan dan minuman pula.

Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).

Pada masa itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Tiada ulasan: