Isnin, 9 Mei 2011

BILA KITA SUKA BUKA PEKUNG ORANG..SEDANGKAN KITA BUKAN BAIK SANGAT..JUGA BANYAK PEKUNG...MAKA PEKUNG2 KITA TERBUKA SATU-SATU..YANG BAIK MUSABAH DIRI

Sobree serah borang permohonan sertai PAS
Harakahdaily

KOTA BHARU, 9 Mei: Setelah berteka-teki kemanakah Sobree Shafii akan pergi selepas keluar dari Umno akhir tahun lepas, hari ini terjawab apabila beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS.

Sobree menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz di pejabat MB Kelantan jam 10.30 pagi tadi.

Sobree Shafii digelar penglima hitam Umno sejak tahun-tahun 80-an

Menurut Mohd Sayuti Omar dalam blognya, ekoran kemasukan Sobree ke dalam PAS itu, seorang orang kanan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa akan mengambil keputusan yang sama bersama beberapa pengikutnya.


Dengan berlangsung peristiwa itu pada pagi ini maka tamatlah teka teki mengenai kedudukan Sobree yang sebelum ini kabur sama ada hendak bersama PKR atau Pas.

Sobree meninggalkan Umno akhir tahun lepas selepas kecewa dengan sistem diamalkan parti berkenaan dan juga tindak tanduk pemimpin parti berkenaan.

Katanya semasa mengumumkan keluar dari Umno, beliau rela kecewa di luar Umno dari kecewa di dalam Umno.

"Kalau Tuhan mahukan saya menyertai PAS, tidak ada usaha lain yang saya boleh lakukan melainkan akur saja sebab saya makhluk kerdil di mana sepanjang masa dalam kawalan takdir Allah," ujarnya tenang dalam satu majlis sebelum ini.

Mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Nik Abdul Aziz hari ini, Sobree melahirkan rasa gembria yang amat sangat.

"Saya tidak ada bahasa untuk melukiskan perasaan gembira saya kecuali hanya bersyukur kepada Allah dan terima kasih banyak kepada Tok Guru dan seluruh kepimpinan PAS Kelantan," ujarnya.

Beliau juga menyifatkan kemurahan hati Tok Guru untuk menerima borang kemasukannya menggambarkan sikap tawaduk, rendah diri dan jiwa besar Menteri Besar Kelantan itu sebagai seorang mursyid.

"Beliau senang saja menerima kemasukan saya bila saya menyatakan hasrat, tanpa ada dolak dalih dan membayangkan berbagai kemungkinan dan implikasinya," ceritanya.

Sebelum ini beliau sudah berjumpa dengan Nik Aziz dan setiap kali berjumpa MB itu selalu bertanya beliau bila nak serah borang dan berceramah bila mana beliau mula memberi gambaran berminat dengan PAS.

Malam esok Sobree akan muncul di pentas ceramah di Ketereh buat pertama sekali sebagai bakal ahli PAS bersama Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Husam Musa.

Katanya dalam ceramah itu dia akan mendedahkan kepincangan kepimpinan Umno Ketereh khasnya mengenai Alwi Che Amat.

PA Exco Negeri Sembilan sertai PAS

(Gambar: Anuar [dua dari kanan] ketika bercakap kepada media selepas umumkan sertai PAS)

Sebelum ini, bekas Pembantu Khas (PA) Exco kerajaan Negeri Sembilan, Yunus Rahmat iaitu Anuar Hashim meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS itu kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefli Mohd Omar.

Anuar berkata, beliau meninggalkan Umno kerana parti itu sudah membelakangi perjuangan asalnya dan menyalahgunakan Islam.

"Umno telah mengambil pendekatan fitnah dalam politiknya dan ia sudah tidak selari dengan kehendak Islam," kata beliau dalam satu sidang media bersama Pesuhjaya PAS Negeri Sembilan itu.

"Saya menyertai PAS kerana perjuangannya sentiasa konsistem dengan Islam sejak dahulu hingga kini," kata Anuar.

Zulkifli Yahaya: Kenapa rebat cukai UUM ditolak?
Zulkifli Yahaya

Buletin Utama TV3 cuba memanipulasi isu penolakan rebat cukai tanah yang dipohon UUM.

Pihak UUM sebelum ini telah merayu kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja seperti yang dinikmati pada 2006-2008, berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar. UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun lagi.

Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.

Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan? Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat-syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang ‘tidak disengajakan’ itu untuk menjelaskan cukai.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57% dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir, mereka tidak pernah menggunakan hujah ‘ala UUM’ untuk meminta rebat cukai.

Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas UUM ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00. Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.

Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakanhasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30 bagi satu meter persegi. Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan ‘precedent case’ atau kes duluan untuk dijadikan rujukan. Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31 juta setahun.

Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan pembayar cukai tanah. UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok turut meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?

Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00. Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjangkan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilangan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.

Jika pihak UUM masing ‘membuat bising’ kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.

USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi. Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi 'Universiti Uzur Malaysia' yang perlu diberi rebat. Miskin sangat ke?

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya ‘double standard’ kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN. Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat ‘gila-gila’ itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.

Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi politik.

Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka ‘eloklah’ mereka meneruskan niat busuk tersebut.

Soalan politik yang mereka ajukan kepada kerajaan negeri sekarang ialah; jika masa BN dulu mereka boleh beri rebat, mengapa sekarang tidak?
Jawapannya begini:

1) Mengapa kerajaan negeri Perlis yang diperintah BN kini tidak memberi rebat kepada UNIMEPS yang kadar cukainya jauh lebih tinggi dari UUM? (Jawapan dalam bentuk soalan)

2) Kerajaan negeri dulu hilang hasil dari RM4,933,071.00 akibat pemberian rebat, tetapi perbelanjaan pengurusan negeri terutamanya dalam bidang kebajikan rakyat banyak diambil alih oleh Pusat akibat kelemahan kerajaan negeri pada masa itu. Sekarang kerajaan perlu berdikari kerana bantuan Pusat tidak lagi melalui negeri. Sekalipun Kedah masih dibawah pemerintahan kerajaan BN Pusat namun Kedah adalah antara negeri yang dianaktirikan oleh BN Pusat. Ramai dari senarai penerima bantuan E-Kasih ditamatkan bantuan bulanan oleh Pusat sedangkan senarai E-Sinar di bawah negeri terus menerima bantuan.

3) Di samping perlukan dana untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat, kerajaan negeri kini terpaksa menjelaskan hutang tinggalan BN lalu sebanyak RM2.3 Billion, di mana RM1.83 Billion darinya adalah hutang berkaitan air.

4) Kerajaan kini sangat mementingkan kebajikan rakyat, justeru akan mempastikan setiap sen duit yang menjadi hak rakyat diguna untuk kesejahteraan rakyat. Ini berbeza dengan kerajaan lalu yang lebih mementingkan 'orang kaya' (UUM) dari rakyat yang ramai masih miskin.

Masalah penempatan Bukit Botak hampir selesai
Khaulah Azwar

(Antara tetamu dan pemilik tanah Bukit Botak di majlis pelancaran rumah contoh oleh MB Selangor)

SELAYANG, 9 Mei: Masalah kawasan penempatan penduduk Bukit Botak yang gagal diselesaikan lebih 20 tahun oleh kerajaan sebelum ini mula menampakkan jalan penyelesaiannya selepas tiga tahun diambil alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Ia berlaku hasil kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk menangani isu ini demi kepentingan penduduk yang terlibat.

Perkara ini diakui Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar (MB) Selangor petang semalam ketika memberi ucapan perasmiannya dalam majlis lawatan kerja bersama penduduk ke rumah contoh projek Bukit Botak.

Walaupun baru tiga tahun lebih mentadbir negeri ini, Pakatan telah membuktikan kesungguhnya mengatasi masalah rakyat di Bukit Botak ini, katanya.

Menurut beliau, berbagai kaedah digunakan dan dibincang bersama dengan pihak-pihak terlibat untuk memberikan keyakinan kembali kepada rakyat disitu setelah dalam tempoh 20 tahun gagal di selesaikan oleh kerajaan sebelum ini.

Penyelesaian kawasan penempatan Bukit Botak tidak kesampaian sejak sekian lama untuk 2,300 keluarga pemilik tanah di kawasan seluas 201 hektar ini.

“Saya sangat memahami perasaaan penduduk di sini. Tempoh 20 tahun bukanlah satu masa yang singkat. Jika ada yang melahirkan anak pada mula projek penempatan semula ini dilakukan dulu sudah tentu anak itu kini sudah menamatkan persekolahan mereka bahkan kalau yang hidup ketika itu sudah menjadi arwah dan tidak sempat menikmati rumah idaman mereka,” katanya.

Kegagalan demi kegagalan yang berlaku sebelum ini mestilah ditangani segera berdasarkan kemampuan kerajaan negeri.

Dengan kuasa yang ada sebagai Menteri Besar, satu dokumen telah dikelaskan semula di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) untuk menceritakan secara terbuka isu kawasan ini.

Rakyat khususnya penduduk di Bukit Botak ini wajib diberikan maklumat yang tepat supaya mereka tahu apa masaalah sebenar yang memberi kesan kepada mereka, kata Khalid.

(GAMBAR: Khalid memotong riben pelancaran rumah contoh Bukit Botak selepas tiga tahun menguruskannya)

Dengan kecuaian dan kegagalan pimpinan masa lalu telah juga memberi kesan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menangung kerugian ini.

"Jesteru itulah satu pendekatan dibuat dengan menang-menang (win-win approach) telah dibincangkan dan kata putus dicapai untuk melaksanakan apa yang kita lihat perkembangannya pada hari ini," kata Khalid.

Khalid berkata lagi, antara pendekatan dilakukan kerajaan negeri adalah dengan menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil alih tanah Bukit Botak sambil mengarahkan PKNS membuat satu pelan pembangunan menyeluruh.

Ini adalah bertujuan mengadakan rumah kediaman yang selesa dengan harga yang berpatutan, katanya.

Langkah ini adalah cara yang terbaik kerana ianya bukan hanya melibatkan masalah lantikan pemaju yang baru tetapi juga berkaitan isu pemilikan tanah, lot-lot yang telah hilang dan kos infrastruktur yang telah dikeluarkan oleh PKNS sebelum ini.

"Dengan berbagai mehnah yang dilalui akhirnya kerja-kerja penempatan semula telah mencapai 31 peratus sebagaimana yang dijadualkan hingga pertengahan April 2011.

"Saya yakin, projek ini akan selesai pada pertengahan Jun 2012 selepas 21 bulan dilakasanakan," janji Khalid.

Ujarnya jumlah rumah yang dibina ialah sebanyak 1422 unit dengan kontrak bernilai lebih RM139 juta.

"Harapan saya ia akan memberi kepuasan kepada semua pihak dengan melihat sendiri pembinaan rumah tersebut. Dengan itu pada masa akan datang, kita akan dapat mencari penyelesaian yang wajar kepada banyak lagi masalah perumahan yang tertangguh," katanya.

Beliau percaya semua rakyat inginkan kediaman yang selesa untuk keluarga mereka.

Beliau juga mengharapkan agar rakyat yang bakal menerima rumah ini tidak akan menjualkan kepada orang lain kerana bukan begitu mudah untuk mereka memperolehi kediaman yang selesa dengan harga yang begitu murah RM99,000 seunit untuk rumah jenis berkembar satu tingkat.

Sais 30 kaki x 73 kaki yang lengkap dengan 3 bilik tidur dengan keluasan binaan 850 kaki persegi dan sebahagiannya dibiayai oleh PKNS sebanyak RM79 juta.

"Namunpun begitu jika penduduk disini ingin menjual juga saya dan pihak PKNS tidak menghalang sama sekali tetapi perlu membuat kajian terlebih dahulu untung dan ruginya,” kata beliau.

Sementara itu, Othman Bin Omar, Pengurus Besar PKNS pula melahirkan rasa syukurnya dan berterima kasih kepada MB Selangor yang telah Berjaya menyelesaikan masalah penduduk Bukit Botak setelah selama 20 tahun gagal dilunaskan oleh kerajaan dahulu.

Kos keseluruhan projek ini berjumlah RM216 juta dan daripada jumlah itu RM79 juta akan ditanggung oleh pihak kami PKNS.

"Sebagai pemaju yang prihatin kita mengutamakan kesejanteraan rakyat Selangor. Sumbangan PKNS bagi projek sebegini akan menjadi tanggungajwab sosial korporatnya yang berterusan," katanya.

Majlis perasmian rumah contoh telah dilaksanakan oleh Khalid dengan diiringi Exco kerajaan negeri Iskandar Adul Samad, Ahli Parlimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan lain-lain lagi.

Felda gagal urus kebun, peneroka adu Suhakam
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Seramai 20 peneroka dari sembilan Felda di Johor hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan kegagalan anak syarikat Felda,Technoplant menguruskan kebun mereka.

Kegagalan Technoplant itu menyebabkan peneroka terpaksa menanggung hutang wang tanam semula sehingga mencecah RM90 ribu setahun.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),Mazlan Aliman itu turut mendedahkan bukti bergambar kebun yang dipenuhi semak samun akibat tidak diselenggara Technoplant.

Aduan dan memorandum tersebut didengar Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah.

PAS alat DAP: Mahathir makin merapu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Mei: PAS menganggap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir semakin merapu kerana mendakwa PAS alat DAP.

Beliau dilapor menyatakan perkara itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Umno Cheras.

Mahathir juga mendakwa kewujudan PAS menyebabkan orang Melayu berpecah.

“PAS hendak tanya balik kepada Tun Dr Mahathir kenapa Umno diwujudkan pada tahun 1946, sedangkan sudah ada Parti Kebagsaan Melayu Malaya (PKMM) 1945 yang mewakili orang Melayu,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Ini, katanya menunjukkan Umno juga parti yang ditubuhkan untuk memecah belah orang Melayu atas restu penjajah.

Beliau berkata, buktinya kenapa Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Darurat 1948 sehingga semua parti yang tidak sealiran diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

Jelasnya, isu PAS alat DAP adalah modal lapuk Umno ketika orang Melayu menolak Umno dan cuba untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi kuda tunggangan MCA, Gerakan dan MIC.

“Siapa yang bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan?

“Apa bukti PAS alat DAP?” soalnya.

PAS, tambahnya boleh membuktikan pengkhianatan Umno kepada Melayu atas nama Melayu terutama di zaman Mahathir memerintah negara selama 22 tahun.

Katanya, pada 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang tinggal di tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort, 300 ekar tanah rezab Melayu di Pulau Redang Terengganu dijual kepada Vicent Tan.

Nampaknya, kata beliau Mahathir masih cuba untuk membodohkan rakyat kononnya ulama yang berada di dalam Umno menubuh PAS kerana tidak mendapat tempat kerana tidak pandai berbahasa Arab.

“Faktanya ialah ulama keluar untuk menubuhkan PAS kerana teguran ulama mengenai judi tidak diperdulikan, maka ulama merasakan perlu ada jamaah yang bebas daripada Umno supaya Islam terpelihara,” jelasnya.

Beliau menambah, dulu Mahathir menipu rakyat mengatakan PAS ditubuhkan restu penjajah tetapi hakikatnya Umno direstui penjajah.

“PAS ingin mengingatkan kepada Tun Mahathir tidak boleh tipu orang dalam semua masa, insya Allah Pas akan membetulkan fakta yang ditipu oleh Tun supaya rakyat tahu siapa pengkhianat Melayu dan Islam,” katanya.

PAS, ujarnya merasa geli hati apabila Tun memuji perjuangan PAS zaman Dr Burhanudin Helmi dan Datuk Asri, kerana perjuangan mereka betul.

Soalnya, bukankah Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab sehingga PAS ditendang daripada BN, ketika krisis politik di Kelantan.

“Beliaulah orang yang diamanahkan oleh Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut, akhirnya PAS ditendang kerana menentang undang-undang darurat di Parlimen.

“Bukankah waktu itu PAS dipimpin oleh Datuk Asri Muda? Kenapa sekarang baru memuji Datuk Asri?” soalnya lagi.

Komplot Kristian: Apakah DAP sasarannya? Tidak…
Analisis Harakahdaily

Selepas kegagalan yang memalukan dalam agenda “1Melayu, 1Bumi”, media tradisional Umno, Utusan Malaysia dan barisan blogger mereka cuba sekali memainkan isu yang cukup sensitif dan berbahaya untuk kestabilan negara dengan menuduh bahawa para pemimpinDAP berkonspirasi dengan paderi Kristian bagi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan membolehkan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri.

Di atas permukaan, DAP dan agama Kristian dilihat sebagai sasaran sebenar Utusan. Namun, harus diingatkan di dalam politik, kebanyakan drama hanya membenarkan penonton tepi jalan melihat apa yang hendak diperlihatkan – dengan ini bermaksud ada pihak yang inginkan rakyat percaya bahawa sasaran sebenar mereka ialah DAP dan juga Kristian.

Persoalannya, adakah begitu keadaannya?

Sudah tentu tidak. DAP hanya sebuah catur yang digunakan sebagai batu lonjatan untuk melumpuh imej politik musuh yang paling digeruni Umno di minda pengundi-pengundi kawasan pedalaman. DAP bukanlah musuh terbesar Umno. Ia juga bukanlah PKR.

Musuh terbesar Umno ialah PAS.

Sebab untuk setiap kerusi Umno, jika ia kalah, kebarangkaliannya besar ia akan menjadi kerusi PAS di kawasan-kawasan pedalaman. Selepas majoriti bukan Melayu meninggalkan komponen parti Barisan Nasional kerana kebiadapannya, Umno sedar bahawa talian hayat politiknya kini bergantung sepenuhnya di tangan pengundi-pengundi kawasan pedalaman.

Dengan alasan tersebut maka pengundi-pengundi kawasan pedalaman mesti di’cuci’ minda sehingga melihat ‘tiada pilihan lain’ selain Umno. Dengan ungkapan ‘tiada pilihan lain’, ia bermaksud PAS mesti dibunuh dengan segala modal yang ada.

Membunuh DAP tidak akan membantu Umno untuk mengembalikan undi-undi bukan Melayu yang hilang, akan tetapi dengan melakar DAP seteruk parti syaitan, Umno berharap pengundi-pengundi kawasan pedalaman akan menekan PAS, ataupun lebih baik lagi memarahi PAS kerana sanggup bekerja dengan parti syaitan tersebut untuk menyingkirkan sebuah parti orang Melayu, Umno (bukan Barisan Nasional) yang sering digambarkan sebagai parti tunggal pembela orang Melayu di negara ini.

Bacalah analisis penganalisa politik Harakahdaily di bawah dan pembaca bolehlah membuat penilaian sendiri terhadap permainan terbaru Umno.

20 April:


Ekoran kejayaan DAP di Sarawak, editor Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menggesa Umno untuk mengepalai pergerakan kontroversial “1Melayu, 1Bumi”. Ramai pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah membela akhbar milik Umno tersebut walaupun menerima pelbagai kecaman daripada seluruh pelosok negara terhadap cadangan tersebut, yang dilihat bertembung dengan konsep 1Malaysia laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lebih mengejutkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, penyokong kuat Perkasa memberikan amaran supaya Utusan dan Perkasa membatalkan hasrat tersebut kerana cadangan tersebut adalah tidak baik untuk negara.

Semasa mencadangkan pergerakan “1Melayu, 1Bumi” Zaini menulis bahawa DAP berjaya menyatukan orang Cina, maka tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

“Jika PAS degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.“

komentar:


DAP digunakan sebagai alasan untuk memaksa PAS untuk bersama Umno demi orang Melayu. Umno cuba menggambarkan seolah-olah PAS ialah parti Melayu yang ‘pelik’ di mata pengundi-pengundi pedalaman yang majoritinya orang Melayu.

Malah, Umno dan Utusan cuba menjaja idea bahawa kejayaan DAP di Sarawak ialah petanda bahawa orang Cina telah menolak kepimpinan orang Melayu.

Serangan ini dipatahkan dengan hujah ringkas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan membetulkan persepsi bahawa kejayaan DAP di Sarawak hanya membuktikan bahawa orang Cina telah menolak pemimpin Cina dalam Barisan Nasional (BN) kerana DAP hanya menang dengan mengalah calon Cina daripada BN.

Oleh itu, soal orang Cina menolak kepimpinan Melayu langsung tidak berbangkit, terang Tuan Ibrahim.

30 April:


Najib menyeru Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meninggalkan DAP dengan mendakwa bahawa parti tersebut tidak memperjuangkan Islam. Perdana Menteri juga menjemput PAS untuk menyertai Barisan Nasional untuk melaksanakan usaha memperkasakan agenda bangsa, agama dan negara.

Pada masa yang sama, MCA pula mengugut pengundi Cina dengan mengatakan bahawa parti tersebut akan menolak sebarang jawatan kabinet pada masa hadapan sekiranya terus tidak mendapat sokongan daripada kaum tersebut pada pilihanraya umum akan datang.

komentar:

Sekali lagi, Umno menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS dengan menjemput parti Islam tersebut untuk menyertai BN bagi memperkasakan bangsa, agama dan negara walaupun mengetahui sepenuhnya PAS akan menolak usul tersebut sekali lagi kerana tidak mahu bersama memperjuangkan kemungkaran Umno dan kekal bersama Pakatan Rakyat.

Pencacai Umno, MCA pula secara diam akur dengan skrip politik Umno dan cuba menggambarkan bahawa Barisan Nasional akan menjadi kerajaan orang Melayu sahaja jika betul mereka menolak sebarang jawatan kabinet kerana orang Cina tidak menyokong mereka.

Secara tidak langsung, Umno dan MCA dengan sengaja membuka jalan kepada plot berbahaya dengan memberikan gambaran kepada pengundi-pengundi bahawa sebuah 'dikotomi berbahaya' akan wujud dengan kerajaan Melayu-dominan di satu sisi dan pembangkang yang Cina-dominan di sisi yang lain – dan semua ini terjadi kerana Pakatan Rakyat.

Kerana mengetahui bahawa PAS akan menolak sekali lagi dalam usaha ke arah menjayakan plot berbahaya tersebut, skrip politik telahpun disiap-sedia di mana Umno akan menuduh PAS lebih sanggup bekerja dengan parti yang dituduh syaitan oleh Umn iaitu DAP daripada bersama Umno untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam.

Skrip tersebut juga menggambarkan Umno bersifat baik hati dengan melupakan persengketaan lama dengan PAS dengan jemputan tidak ikhlas tersebut tanpa menghiraukan fakta bahawa parti orang Melayu Barisan Nasional tersebutlah yang menganiayai kerajaan orang Islam PAS di Kelantan selama 2 dekad yang lalu.

Pada masa yang sama, Umno juga memberitahu pengundi-pengundi pedalaman bahawa parti PAS angkuh dan mengikut telunjuk DAP menyebabkan parti tersebut meninggalkan perjuangan membela orang Melayu.

Seramai lapan pemimpin tertinggi PAS, termasuk Murshidul Am, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang sinonim walaupun berasingan bahawa parti Islam akan kekal bersama Pakatan Rakyat dengan matlamat untuk mengeluarkan Umno dari Putrajaya dalam pilihanraya umum ke 13.

1 Mei:


Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyeru PAS untuk meninggalkan perjuangan Islam jika parti Islam tersebut ingin menerima jemputan Najib untuk menyertai BN. Chua juga turut mendakwa bahawa Najib amat memahami pendirian MCA yang menolak dasar Islam PAS walaupun mengetahui bahawa perdana menteri menggunakan Islam sebagai alasan untuk kerjasama antara Umno dan PAS.

komentar:


Atas keceluparan dan sentimen anti-Islam Presiden MCA Chua Soi Lek (gambar), hasrat Umno untuk membunuh persepsi politik orang pedalaman terhadap PAS dipatahkan lagi akibat kesungguhan segelintir pemimpin MCA untuk menunjukkan kepada pengundi-pengundi Cina bahawa merekalah yang betul-betul anti Islam demi meraih sokongan.

5 Mei:


Utusan memainkan isu kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang menuduh golongan yang menentang penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

komentar:

PAS sekali lagi ditekan kerana menolak pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno atas nama Islam versi Umno yang menghalalkan judi, menghalalkan penganiayaan terhadap negeri Islam yang lain dan menganggap rasuah sebagai sebahagian daripada amalan hidup.

Mufti mempunyai wibawa yang tinggi di kalangan pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman, dan oleh sebab itu, PAS terpaksa berhati-hati untuk mengatasi perangkap Umno ini dengan menjaga wibawa seorang mufti sambil menolak penyatuan dengan Umno supaya parti Melayu Barisan Nasional tidak dapat menggunakan sebarang alasan untuk sekali lagi membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS.

Sekali lagi, persoalan ringkas berikut daripada Tuan Ibrahim (gambar bawah) cukup untuk menghalang kemaraan Umno dalam isu ini.

“Sebagai seorang mufti, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.

"Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, samada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”

7 Mei:


Utusan, Pembela, Perkasa dan Dr Mahathir semuanya memainkan isu konspirasi Kristian pada masa yang sama.

Malah Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Informasi, Telekomunikasi dan Budaya Rais Yatim turut serta memberikan kredibiliti kepada komplot yang diwar-warkan tersebut dengan memberikan amaran kepada golongan yang mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

MCA, seperti biasa tidak terlalu berani bersuara dan membenarkan Umno untuk meneruskan plot jahatnya. Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekadar mengatakan laporan Utusan itu sebagai omong-omong tanpa memberikan sebarang kritikan terhadap Utusan yang memainkan sentimen yang berbahaya tersebut.

Menyedari permainan berbahaya Umno ini, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Hadi telah mengingatkan bahawa perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah untuk menjunjung perlembagaan negara, terutamanya Islam sebagai agama persekutuan dan bersama membidas permainan Utusan yang berbahaya tersebut.

komentar:


Seperti yang diterangkan Tuan Ibrahim, dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli Parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut.

Sebagai langkah untuk membetulkan persepsi pengundi-pengundi kawasan pedalaman, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang majoritinya Islam.

“Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut?

“Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Jadi, jikalau sudah tahu perkara konspirasi Kristian itu tidak berasas dan tidak logik, mengapa Umno masih ingin mainkan isu yang serba berbahaya ini?

Jawapannya mudah – untuk mencipta satu ‘common enemy’ (musuh bersatu) yang tidak wujud di minda pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman supaya menekan PAS untuk bekerjasama dengan Umno untuk mengatasi kemelut buatan Umno ini.

Sekali lagi, segala plot yang Umno mainkan sasarannya ialah PAS, dan memaksa parti Islam tersebut ke satu penjuru supaya para pengundi Melayu pedalaman hanya akan lihat Umno sebagai satu-satunya pilihan yang ada untuk membela bangsa dan agama Islam pada pilihanraya depan kerana mereka tahu parti Islam tidak akan bersama mereka dalam kerja menfitnah dan menkucar-kacirkan negara.

Selepas plot menjatuhkan Anwar dengan video lucah gagal, Umno sekarang bertukar menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk memainkan sentimen pengundi-pengundi Melayu pedalaman terhadap PAS, dengan menuduh parti Islam tersebut tidak berupaya untuk mempertahankan mereka dan menjadi kuda tunggangan kepada bukan Islam yang mereka sering gambarkan sebagai golongan dominan di Pakatan Rakyat.

Dengan memainkan isu sensitif ini juga, ia juga menunjukkan bahawa Umno tidak selesa untuk mengadakan piliharaya umum sekarang ini, kerana dengan menggunakan Kristian sebagai mangsa untuk kenakan PAS, parti Melayu Barisan Nasional itu tahu bahawa deposit kekalnya di Sarawak dan Sabah akan terjejas lebih teruk lagi berbanding keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang lepas.

Dengan pengumunan Suruhanjaya Pilihanraya semalam bahawa ia sudah mula 0membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya, rasanya pilihanraya umum akan dipanggil selepas kawasan majoriti Melayu dipecahkan dan kawasan majoriti Cina digabungkan untuk membolehkan Umno memenangi lebih banyak kerusi dengan hanya bergantung kepada pengundi pedalaman.

Jadi, siapa lagi yang melihat DAP dan Kristian sebagai sasaran sebenar Umno? Untuk menumpaskan Umno, semua pihak berkewajiban untuk menyedarkan pengundi-pengundi Melayu pedalaman untuk menyokong PAS, yang kini semakin dilihat sebagai parti pengaman dan penstabil berbanding Umno yang suka mengkucar-kacirkan negara dengan sentimen berbahaya demi kepentingan politik.

Mahasiswa koyak, pijak Utusan tanda bantah
Afiq Hizami, Pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini membuat satu laporan polis berhubung laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?'

Laporan itu dibuat presidennya, Ahmad Syazwan Hassan di balai polis Pantai dekat sini kira-kira jam 11.30 dengan diiringi 20 wakil pertubuhan pelajar lain termasuk bukan Islam yang berkumpul di luar pekarangan balai polis tersebut.

Menurut Ahmad Syazwan, kenyataan akhbar Utusan yang dikeluarkan pada 7 Mei 2011 boleh mejejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana bersifat provokasi yang menyentuh sentimen agama di negara ini.

Menurut beliau lagi Utusan Malaysia dilihat tidak bijak dan kredibitinya dipertikai apabila mengambil sumber hanya daripada blog yang bersifat pandangan peribadi penulis.

Beliau juga mahu tindakan yang tegas diambil terhadap pihak Utusan mengenai kenyataan tersebut.

Selain itu, beliau juga menggesa pihak Utusan meminta maaf dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat media milik Umno itu.

"Tindakan ini adalah untuk memberi pengajaran terhadap mana-mana media yang juga mencetuskan sentimen agama yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini", katanya

Sementara itu, menurut Presiden Majlis Pewakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Zaini berkata tindakan Utusan itu cuba mengaut keuntungan politik tanpa mengira kesannya kepada rakyat di negara ini.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Mohd. Safwan Anang pula mahu mahasiswa menolak budaya fitnah dan provokasi dilemparkan akhbar tersebut.

Pandangan sama turut disokong Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM, Mohd Hazim Mohd Noh.

"Kami bersikap tegas terhadap mana-mana media yang cuba mencetuskan sentimen perkauman ini, saya berharap segala unsur fitnah dan khabar yang tidak benar dari sumber yang betul hendaklah diselidik terlebih dahulu agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan tidak menjejaskan keharmonian yang sedia ada di negara kita," katanya.

Sehubungan itu, mereka turut mendesak agar tindakan tegas diambil kepada pihak akhbar tersebut.

Sebagai tanda bantahan, mereka turut membaca akhbar utusan secara terbalik sebelum mengoyak dan memijak akhbar terbabit.


Anak Kartika ditemui mati lemas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Mayat anak sulung bekas model sambilan Kartika Sari Dewi yang dilapor hilang dua hari lepas, ditemui terapung di Sungai Perak di Sungai Siput awal hari ini, lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 1 pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengahari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai dekat Sungai Siput, katanya ketika dihubungi.

Azman berkata kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada pukul 12 tengah hari Jumaat lepas, ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut.

Gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya, kata beliau.

Semalam Dewan Pemuda PAS negeri Perak berkesempatan menziarahi ahli keluarga Kartika di Kampung Jawang.

Rombongan diketuai , Zawawi Hassan bersama timbalan, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan rakan exco yang lain.

Dalam usaha mencari, Pemuda PAS Perak telah menyalurkan hampir 20 orang anggota Jabatan Amal negeri Perak dengan pasukan khas bersama bot penyelamat, membantu pasukan penyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba Malaysia, Pasukan Polis dan juga Jabatan Pertahanan Awam.

Pemuda PAS Perak juga semalam mengadakan solat hajat agar anak kepada Kartika ditemui segera.

Pemuda PAS Perak juga berharap Kartika sekeluarga agar tabah dengan ujian yang telah menimpa keluarganya.

Menanti Umno terjerat perangkap sendiri
Ahmad Lutfi Othman
Agak ramai bersetuju dengan rumusan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal dalam pilihan raya umum akan datang. Kecenderungan pengundi Melayu menjadi perbahasan menarik, manakala mood masyarakat Tionghua yang berterusan menolak BN seperti sukar hendak dilentur lagi. Rata-rata membayangkan pengundi India, walaupun masih tidak dapat menerima MIC, tetapi mungkin "ada yang berpatah balik".

"Bukan saja DAP yang untung besar dengan mengekalkan prestasi Mac 2008, malah mungkin dapat melonjak lagi," seorang pembaca dari Ipoh memberi respons kepada tulisan saya. "Dan jika tiada usaha luar biasa dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat Melayu di luar bandar, terutama di kawasan bukan kubu tradisi PAS, saya juga percaya Umno boleh mempertahankan undi dan kuasa mereka," tambahnya.

Namun, seperti kata Perdana Menteri, Najib Razak, "selagi semboyan belum dibunyikan, persiapan (menghadapi pilihan raya) boleh ditingkatkan." Ya, biar segenting mana sekalipun kedudukan PAS, berdepan dengan pelbagai tipu helah dan gugatan mencabar, khususnya berkaitan senarai pendaftaran pemilih yang mudah dimanipulasi, segalanya masih boleh dipengaruhi dan diperbetulkan.

Namun, untuk menggagalkan usaha terancang BN itu, ia memerlukan kerja kuat, berkemahiran dan mempunyai dana mencukupi. Proses pendaftaran pemilih dalam sistem First-Past-The-Post (FPTP) memang terdedah kepada "kerja jahat" elit penguasa. Oleh itu, masih ada desakan agar reformasi pilihan raya dapat dilaksanakan segera, antara lain memperkenalkan elemen sistem pengundian Proportional Representation (PR).

Mungkin proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, ala gerrymandering, tidak dapat dipraktikkan lagi disebabkan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, namun masih banyak ruang boleh diekspolitasi. Kadang-kadang ia sukar dihidu dan hanya dapat dikesan selepas pilihan raya, mengakibatkan pembangkang sekadar gigit jari.

Harakah telah mendedahkan komplot di antara Umno-BN, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya dirancang rapi bagi memindahkan pengundi ke kawasan strategik, menurut kepentingan parti itu, terutama di Selangor. Ini belum dikira taktik jahat memberikan kad pengenalan kepada warga asing, membolehkan mereka mengundi BN dalam PRU13.

Keghairahan (sebenarnya keserakahan) Najib, yang juga Pengerusi Umno Selangor, untuk merampas kuasa di negeri termaju itu tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak salah untuknya menawan kembali Selangor dan juga negeri-negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat tetapi biarlah "bertarung secara anak jantan".

Ia mengingatkan kita tentang taktik kotor Najib menumbangkan kerajaan pilihan rakyat di Perak (waktu itu Pengerusi Umno Negeri) pada 2009. Rekod menunjukkan, hampir semua negeri yang pernah jatuh ke tangan pembangkang, diambil alih BN (sebelumnya Perikatan) secara "keji" misalnya dalam kes Kelantan (1978), Terengganu (1961, 2004) dan Sabah (1994). Target berikutnya adalah Selangor. Operasinya berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain.


Melihat "permainan" Umno-BN terkini, mereka seolah-olah tidak mahu membuang masa lagi untuk meraih kepercayaan pengundi Cina yang dirasakan semakin menjarak, sebaliknya tertumpu untuk mengaut sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu. Pengundi Melayu perlu dipindahkan ke kawasan yang mana BN kalah dengan majoriti kecil (lebih membabitkan kerusi PAS dan KeADILan) dengan membiarkan kawasan di sebelahnya yang mungkin sedia dimenangi DAP mendapat majoriti lebih besar.

Pokoknya, dalam sistem FPTP, menang dengan majoriti satu undi atau 10,000 undi tidak membawa apa-apa perbezaan. Oleh itu, Umno merancang untuk menyerakkan undi Melayu ke kawasan yang begitu diperlukannya, dengan andaian orang Melayu adalah asset buat mereka. Dalam proses gerrymandering selepas PRU1999, andaian Dr Mahathir Mohamad, pengundi Cina akan memberikan kelebihan kepada BN.

Akhirnya, strategi menyerakkan pengundi Cina itu, walaupun berjaya pada 2004, sehingga membentuk banyak kerusi campuran, telah "membunuh" BN pada 2008.

Pelawaan Najib agar PAS bekerjasama dengan Umno, dan meninggalkan Pakatan Rakyat (terutama DAP) juga dilihat mahu mengikat simpati umat Islam. Umno cuba mempamerkan watak "merendah diri", sekali gus mempersepsikan PAS sebagai parti "penuh kesombongan" yang menolak tawaran perpaduan. Meskipun dari segi jumlah penguasaan kerusi Parlimen, PAS berada di tangga terendah berbanding DAP dan KeADILan, namun ia tetap berada pada posisi paling penting dalam percaturan politik Melayu.

Strategis Umno cukup sedar hal ini. Justeru, perancangan secara halus difokuskan untuk melemahkan potensi PAS yang cukup membahayakan kedudukan Umno itu. Sekali pandang, seolah-olah Umno menghalakan sasarannya kepada KeADILan, tetapi bagi saya, yang lebih digeruninya adalah PAS.

Dalam pilihan raya umum 1999, PAS pernah mencipta kejutan apabila majoriti pengundi Melayu memihak kepadanya, terutama di negeri-negeri Malay belt, pengaruh PAS cukup dominan. Dan sekiranya pimpinan PAS berupaya menampilkan sosok parti itu yang meyakinkan orang Melayu, selain membetulkan persepsi salah mereka, dan dalam masa sama mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, tidak mustahil penguasaan BN di Putrajaya dapat ditamatkan.

Mengandaikan undi Melayu adalah "simpanan tetap" BN hanya mengundah padah buat Najib, apatah lagi dalam suasana kematangan berpolitik semua kaum makin meningkat. Bagaimanapun ia lebih banyak bergantung kepada ketekunan PAS untuk melakukan usaha luar biasa menawan hati dan membetulkan persepsi masyarakat Melayu dalam tempoh sesingkat ini.


917 pelajar cemerlang dapat anugerah
Rizal Tahir

PENGKALAN CHEPA, 9 Mei: Kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM458,500 kepada 917 orang pelajar cemerlang bagi peperiksaan SPM, STAM dan STPM sama ada di bawah kelolaan Yik mahupun Jabatan Pendidikan Negeri.

Setiap pelajar cemerlang itu masing-masing mendapat RM500 seorang dan sumbangan kali ini merupakan tahun ketiga berturut-turut.

Peruntukkan itu bagaimanapun dijangka bertambah memandangkan masih ramai lagi pelajar cemerlang di negeri ini termasuk di luar Kelantan belum mendaftar untuk mendapatkan sumbangan cenderahati itu.

Dari 917 orang penerima, hanya 12 orang yang bernasib baik menerima sumbangan itu dari Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah kecemerlangan peperiksaan 2010 di Putik, dekat sini sebentar tadi berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai golongan ilmuan bermula di peringkat bawahan hingga ke institusi pondok.

Menurutnya, Islam begitu menggalakkan umatnya mencari ilmu kerana dengannya manusia dapat mengurus alam ini dengan lebih sempurna.

“Kerana itu walaupun dengan rezeki yang begitu terbatas, kerajaan negeri amat menghargai mereka khususnya pelajar cemerlang.

“Saya mewakili kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada ibubapa kerana berjaya mendidik anak-anak hingga menjadi pelajar yang cemerlang,”ujarya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah Arshad, dalam ucapannya mengharapkan semua pelajar cemerlang tanpa mengira bangsa dan agama diharap bukan sahaja dapat menjaga Kelantan, sebaliknya negara agar lebih aman.

Menurutnya semua lapisan masyarakat bertanggugjawab menjaga keamanan negeri dan negara mengikut ilmu yang ada pada diri masing-masing.


Tiada ulasan: