Khamis, 3 April 2014

JANGAN SOKONG AJE...KENA BUAT JUGA....BEGITU JUGA KERAJAAN PUSAT....TAHNIAH SERTA SYABAS BRUNIE....IKUTLAH BRUNIE....MELAKSANA HUKUM2 ALLAH TANDA KITA MENG'ESA'KAN ALLAH....JIKA TIDAK MAKA JADI SEBALIKNYA

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen dalam masa yang terdekat.

“PAS Negeri Selangor juga menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membantu hasrat Kerajaan Negeri Kelantan bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 seperti mana yang telah dinyatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini,” ujar Ketua Penerangannya, Zaidy Abdul Talib kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya PAS negeri mengharapkan semoga pembentangan rang undang-undang (private bill) itu yang akan dibawa oleh salah seorang Ahli Parlimen bukan kerajaan akan mendapat laluan yang baik untuk diluluskan di dalam sidang Dewan Rakyat bagi memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 tersebut.

Beliau berkata, PAS Selangor amat yakin dan percaya sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan diberi peluang untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, maka Negeri Kelantan akan menjadi contoh terbaik negeri yang akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah gejala sosial masyarakat dan mendapat keberkatan serta rahmat Yang Maha Esa bertepatan dengan firman Allah Taala di dalam surah Saba` ayat ke 15: "Baldatun toyyibatun warabbun ghafur. " dengan bermaksud "Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah".

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Brunei Darussalam yang kini telah bersungguh-sungguh untuk melaksanakan Undang-Undang Syariah Islam secara menyeluruh di dalam pentadbiran dan perlembagaan negara boleh menjadi contoh yang baik kemurahan rahmat Allah Taala dengan rezeki yang semakin melimpah ruah dan negeri yang aman makmur.

Akhirnya, ujar beliau PAS Negeri Selangor mendoakan semua Kerajaan Negeri Kelantan akan dapat melaksanakan amanah yang telah sekian lama terpendam kerana halangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Semoga hasrat Kerajaan Negeri Kelantan akan dipermudahkan oleh Allah Taala dan akan dicontohi oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang lain,” ujarnya yang juga Adun Taman Templer.
KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini meyokong sepenuhnya ketetapan yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri Kelantan di dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari ini iaitu:

1) Membawa rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi membolehkan Parlimen memberi kebenaran  di bawah peruntukan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993 dapat dilaksanakan; dan

2) Membawa rang undang-undang persendirian (private bill) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk memberi bidangkuasa menjatuhkan hukuman yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah bagi tujuan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam.

Pengarah Juham, Noorazmir Zakaria berkata, bagi memperkemaskan lagi persediaan ke arah perlaksanaan enakmen tersebut dan bagi mengelakkan rang undang-undang yang bakal di bawa itu dari di cabar atas alasan ultra vires perlembagaan dan lain-lain teknikaliti undang-undang, Juham mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Kelantan turut memasukkan usul agar Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan tafsiran perkataan ‘undang-undang’ turut dipinda.

“Pindaan yang dicadangkan ialah dengan memasukkan undang-undang Islam sebagai salah satu takrifan kepada perkataan ‘undang-undang’ yang terkandung di dalam Perkara 160 (2) tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pada masa ini istilah ‘undang’undang’ yang digunakan di dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah meliputi undang-undang bertulis, common law, dan apa-apa adat (custom) atau kelaziman (usage) yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan Malaysia atau mana-mana bahagiannya.

“Dengan pindaan ini, maka dengan sendirinya undang-undang Islam akan diiktiraf di dalam Perlembagan sebagai salah satu sumber kepada undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, Juham juga telah menubuhkan suatu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh peguam-peguam yang mahir di dalam undang-undang sivil dan syariah bagi membantu Kerajaan Negeri Kelantan di dalam melaksanakan keputusan yang dicapai oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana di atas.

Semasa program bersama PAS Kawasan Sepang sabtu lepas, antara topik diskusi yang menarik untuk dikongsi bersama adalah fenomena ‘Yaa Hanaanaa’…

Isunya, ada segelintir aktivis perjuangan Islam yang tak lagi menunjukkan komitmen dengan kerja-kerja dakwah, tarbiyah dan siasah kerana leka dan lebih berminat dengan ‘Yaa Hanaanaa…’

Kononnya kata mereka, kami rasa lebih tenang, relaks, tak ada orang marah dan tak terkejar-kejar masa ke sana kemari.

Saya akui, ya! Tepat sekali! Bila kita sekadar ‘Ya Hanaanaa’ tak ada siapa pun yang akan marah dan bencikan kita. Kita pun boleh relaks. Duit pun tak habis, ada banyak masa lapang, tak perlu ke sana ke mari dan macam-macam lagi.

‘Ya Hanaanaa’ tak salah. Silakan saja siapa yang berminat. Cuma satu soalan mudah saya nak tanya, apakah Islam boleh tegak dengan hanya kita berhanaanaaa?

Sebab apa tak ada siapa yang marahkan kita? Sebabnya sekadar ‘berhanaanaa’, ia tak menggugat sesiapa. Tak ada kezaliman yang ditegur. Tak ada mungkar yang dicegah, amat malang sekali kalau ke arah makruf pun tak diajak.

Imam Hassan Al Banna ada menyebut, “Apabila pintu-pintu penjara mula dibuka, tali-tali gantung mula dipersiapkan untuk kita, itulah tandanya perjuangan kita mula menampakkan kejayaan.”

Sekiranya Islam yang kita bawa tak dimusuhi oleh kuasa kebatilan bermakna ada sesuatu yang tak kena dengan apa yang sedang kita perjuangkan. Sunnah Allah menentukan kebenaran dan kebatilan akan sentiasa bertembung. Apabila bertembung tentunya kita dibenci, dimusuhi. Apabila bertembung tentunya kita perlu berkorban demi apa yang kita yakini. Di sinilah wang ringgit, masa, tenaga, buah fikiran malah mungkin darah dan nyawa akan menjadi pertaruhan.

Pada zaman Salafus Soleh, para sufi berada di saf hadapan perjuangan Islam. Bukannya mereka sekadar leka dengan zikir dan tasbih. Di samping air mata mereka yang mengalir saat berzikir kepada Allah, peluh dan darah mereka juga mengalir di medan perjuangan.

Antara ulama sufi yang terkenal adalah Imam Hassan al-Basri. Saya sempat menziarahi makamnya di Basrah, Iraq. Pada hari kematiannya, Bandar Basrah seakan-akan sunyi sepi kerana hampir keseluruhan penduduknya menziarahi jenazah Hassan al-Basri. Kalau Hassan al-Basri sekadar leka dengan zikir dan Yaa Hanaanaaa, nescaya dia tak akan dikasihi oleh manusia sebegitu rupa. Kenapa dia disayangi dan dikagumi? Kerana beliau adalah seorang ulama sufi, pejuang yang berjasa besar kepada Islam dan umat manusia.

Kepada peminat Yaa Hanaanaa, ajaklah saya sama untuk berhanaanaa kerana saya juga turut berminat. Dalam masa yang sama, saya juga nak mengajak saudara semua untuk kita bersama-sama berjuang demi ketinggian Islam!
KOTA KINABALU: Seorang pelancong dari China dan seorang pekerja resort berasal dari Filipina dilarikan oleh sekumpulan lelaki di sebuah resort di Pulau Singgahmata, bersebelahan Pulau Bum-Bum Semporna, dekat sini, Rabu malam.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada kira-kira pukul 10.30 malam.

"Kita menyerahkan perkara ini kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan seterusnya memberi laporan penuh," katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini, Khamis. - Bernama
SHAH ALAM: Program penjadualan air di Selangor hanya akan ditamatkan selepas paras air di semua empangan di negeri ini melebihi 55 peratus, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengambil langkah konservatif bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi meskipun hujan lebat turun di beberapa kawasan.

“Walaupun ada hujan tetapi saya nak air bertambah di empangan, maka saya menetapkan sasaran setiap empangan mesti lebih 55 peratus kerana ada empangan paras airnya berada di bawah 40 peratus.

“Saya berharap apabila ia sampai ke tahap lebih 55 peratus, maka program pencatuan itu akan ditamatkan,” katanya pada sidang media di Shah Alam semalam.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata penjadualan air juga tidak mungkin berlanjutan sehingga penghujung April kerana hujan sudah mulai turun.

Pengagihan air berjadual peringkat keempat di Lembah Klang yang bermula Jumaat ini akan membabitkan 620,237 pintu rumah di sembilan wilayah.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ismail Kasim berkata sembilan wilayah terbabit ialah Gombak, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Penjadualan air seluruh selangor Peringkat keempat ini yang akan dilaksana sehingga 30 April membabitkan 6.7 juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya kaedah pengagihan dikekalkan iaitu setiap zon menerima bekalan air selama dua hari diikuti dengan dua hari catuan.

Beliau berkata agihan berjadual itu berikutan paras air di empangan utama di Selangor masih rendah kerana kadar hujan yang turun di kawasan tadahan sejak 16 Mac lepas adalah sedikit.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri memanggil Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk memberi penerangan lanjut berhubung penutupan Hotel Quality Shah Alam sehingga menyebabkan 105 kakitangannya diberhentikan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau akan berbincang dengan KDEB kerana Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang menguruskan hotel itu adalah di bawah milikan anak syarikat kerajaan negeri berkenaan.

Beliau berkata penerangan itu akan diadakan selewat-lewatnya minggu depan untuk menjelaskan perkara berkenaan dengan lebih terperinci.

“Kumpulan Perangsang ialah syarikat yang diurusniaga sahamnya di pasaran saham jadi walaupun kerajaan negeri melalui KDEB mempunyai milikan majoriti, tetapi pengurusannya adalah di bawah jagaan alhi lembaga pengarah Kumpulan Perangsang.

“Saya pasti apa-apa keputusan oleh ahli lembaga pengarah mesti mengambil kira tentang kebajikan pekerja dan mengikut tatacara Akta Perhubungan Perusahaan,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Exco, hari ini.

Abdul Khalid berkata keputusan penutupan hotel itu dilakukan sepenuhnya oleh ahli lembaga pengarah dan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan berkenaan.

Beliau turut menafikan keputusan itu dibuat atas arahan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada campur tangan daripada Anwar. Kalau saya sendiri tak tahu, bagaimana pula Anwar tahu?” katanya lagi.

Tindakan drastik itu dikatakan terpaksa dibuat kerana prestasi kewangan hotel yang sudah beroperasi selama 26 tahun itu terjejas.

Bagaimanapun kenyataan seorang pegawai tinggi Kumpulan Perangsang Selangor yang menyebut, pihak pengurusan hotel berusia 26 tahun itu akan membantu pekerja yang diberhentikan.

Ketua jabatan perhubungan awam media dan tanggungjawab sosial korporat Perangsang Selangor, Amin Lin Abdullah berkata semua pekerja tersebut semua pekerja berkenaan akan diberi pampasan bersama gaji terakhir pada bulan Mei.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat memandangkan prestasi kewangan hotel berkenaan tidak berubah walau selepas dengan bantuan subsidi sewa dan juga usaha pihak pengurusan meningkatkan keuntungan dan mengurangkan bebanan kos.

Menurutnya, ruang hotel yang menggunakan tujuh daripada 27 tingkat di bangunan Plaza Perangsang akan dibangunkan semula sebagai ruang pejabat.
BERA: "Saya hanya ibu tirinya dan tidak pernah mendakwa sebagai ibu kandungnya," luah Rosila Abu Samah yang sering dikaitkan media sebagai ibu kepada Mohd Khairul Amri Selamat, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370. 
  
Menurut Rosila, 50, setiap kali ditemubual oleh media baik dari dalam mahupun luar negara, beliau tidak pernah memperkenalkan diri sebagai ibu kandung kepada Mohd Khairul Amri, 29, seperti didakwa.
  
"Apabila ditemubual, saya selalu nyatakan saya ibu tiri kepada Mohd Khairul Amri, namun ada media melaporkan beliau sebagai ibu kandungnya. 
  
"Saya tak nak orang salah faham dan biarlah saya jelaskan sekali lagi yang saya ini hanya ibu tiri kepada beliau," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Bukit Mendi di sini semalam.
  
Katanya, beliau sedar ada pihak yang kurang senang dan menuduhnya mengambil kesempatan daripada tragedi yang menimpa anak tirinya itu.
  
"Saya tidak ada kepentingan dalam situasi ini dan saya berada di sana (Putrajaya) hanyalah sebagai tanggungjawab saya menemani suami saya Selamat Omar, yang merupakan bapa kandung kepada Mohd Khairul Amri.
  
"Jika ada orang tuduh saya dapat wang saguhati yang diberikan MAS, itu tidak benar kerana semua wang itu diserahkan kepada isterinya," kata Rosila yang kesal dengan tohmahan tersebut.
  
Katanya, beliau mendirikan rumah tangga dengan Selamat, 60, sejak 10 tahun lalu dan rapat dengan anak tirinya itu sejak beliau belajar di sebuah kolej di Seremban sehingga mendirikan rumah tangga bersama Erny Marsyila Mustafa.
  
Sehubungan itu beliau berharap perkara itu tidak berpanjangan kerana ia hanyalah salah faham.
  
"Saya mohon maaf kepada ibu kandung Mohd Khairul Amri, Normah Jaafar dan keluarga berhubung perkara itu, saya memang tidak pernah mendakwa sedemikian," katanya.
  
Normah, 56, seorang guru Tadika Kemas pernah menyatakan kurang senang berhubung perkara itu kepada media. - Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) merasa kesal dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, yang telah dirangka tanpa rundingan dengan Suhakam, telah bermula berkuatkuasa semalam (2 April) walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak berkepentingan terhadap ketidakpatuhan akta itu dengan prinsip hak asasi manusia.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, walaupun kerajaan telah mengulangi bahawa elemen hak asasi manusia telah diambilkira dalam menggubal pindaan berkenaan, Suhakam mengulangi kebimbangan ke atas peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penafian hak individu untuk perwakilan undang-undang dan kepada perbicaraan yang adil, serta hak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dalam perbicaraan terbuka mengikut undang-undang.

Beliau dalam satu kenyataan semalam menambah, walaupun Suhakam menghargai hasrat murni kerajaan dalam memerangi jenayah yang serius dan terancang di negara ini, ia masih bimbang bahawa akta itu masih mundur dalam sifatnya dan tidak konsisten dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Katanya, dalam mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa akta itu akan digunakan hanya sebagai pilihan terakhir dan mereka yang ditahan di bawah akta itu akan diberikan kaunseling, Suhakam berpendapat bahawa adalah penting bagi kerajaan untuk menterjemahkan jaminan itu ke dalam peruntukan undang-undang ke arah memastikan pelaksanaan akta yang efektif dan pemulihan bagi tahanan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Tiada ulasan: