Parlimen: Masa kian suntuk, kotak hitam MH370 luput
- Apr 03, 2014
- HARAKAHDAILY
Justeru Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mengulangi desakan agar Kabinet segera menyokong pembentukan Jawatankuasa Parlimen dengan menegaskan bahawa kelalaian sedemikian tidak akan dapat dimaafkan.
Ini, katanya kerana keputusan berkenaan peranan Ahli Parlimen bukan sahaja akan membantu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul berkenaan tragedi pesawat hilang itu, malah ia akan memulihkan keyakinan dunia terhadap Malaysia.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, masa kian suntuk untuk menemui kotak hitam pesawat MH370 sebelum baterinya luput.
Justeru, ujarnya masa juga kian suntuk Parlimen Malaysia memainkan peranan yang begitu penting dalam merungkai tragedi MH370 sebelum sidang ditangguh Khamis depan.
Lagi gegaran di Chile, cetus amaran tsunami
- Apr 03, 2014
- HARAKAHDAILY
Gegaran kedua itu munyusul sehari selepas gempa 8.2 pada skala Richter melanda rantau kelmarin.
Pejabat Kecemasan Chile dan tentera laut mengeluarkan amaran tsunami dan mengarahkan pemindahan daripada kawasan-kawasan rendah di pantai utara.
Gegaran menyebabkan bangunan bergegar dan orang ramai berlari keluar bangunan menuju ke pelabuhan Iquique, yang merupakan salah satu bandar yang menyaksikan beberapa kerosakan dari gempa besar malam Selasa.
Tetapi tiada laporan terbaru mengenai kerosakan atau kecederaan daripada gegaran terkini itu.
Dilaporkan, gegaran itu berpusat 12 batu selatan Iquique pada kedalaman 25 batu , kata Kajian Geologi Amerika Syarikat .
Ia dirasai di seluruh sempadan di selatan Peru , di mana orang-orang di bandar-bandar di Tacna dan Arequipa dilaporkan melarikan diri dari bangunan dan berada dalam ketakutan.
Dalam gegaran pertama pada selasa lalu, pihak berkuasa negara melaporkan berlaku enam kematian.
Kira-kira 2,500 rumah telah rosak di Alto Hospicio, kawasan kejiranan yang miskin di kawasan bukit di atas Iquique yang didiami hampir 200,000 orang.
Chile adalah salah satu negara yang paling terdedah kepada tsunami, ekoran kedudukan geografinya
Wan Azri adalah Papagoma, menteri jemput naik Scorpene
- Apr 03, 2014
- SALMIYAH HARUN
Menteri Pertahanan dalam jawapan kepada soalan lisan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengesahkan Wan Azri telah menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011.
Jawapan menteri terbabit turut menyatakan nombor kad pengenalan Wan Azri dan memberitahu individu itu menaiki kapal selam bersama media lain tujuan perkongsian maklumat.
Rafizi menanyakan soalan itu untuk mendapatkan pengesahan identiti Papagomo kerana umum mengetahui bahawa Papagomo telah menaiki Scorpene atas jemputan menteri.
"Perkara ini telah disebarluas melalui blog-blog Umno sendiri yang mengesahkan bahawa Papagomo telah berada di dalam Scorpene malah gambar-gambar tersebut tersebar luas," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.
Setakat ini, jelas Rafizi, Wan Azri telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia adalah Papagomo.
Jawapan menteri itu, kata Rafizi akan memberi beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Azri.
Ini kerana katanya, semasa memberi keterangan di dalam kes saman Ahli Parlimen Permatang Pauh terhadapnya, Wan Azri tidak mengaku beliau pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.
"Jawapan Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Azri telah berbohong kepada mahkamah.
"Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memberi keterangan palsu kepada mahkamah. Kesalahan ini boleh dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan kesalahan yang boleh ditahan," katanya.
Rafizi akan membuat laporan polis terhadap Wan Azri atas kesalahan berbohong di dalam mahkamah pada hari selasa 8 April ini supaya tindakan segera diambil terhadap Papagomo.
"Saya ingin melihat sama ada pihak polis akan mengambil tindakan menahan Papagomo serta merta dan mahkamah mengenakan hukuman penjara yang sewajarnya terhadap Papagomo," tegasnya yang akan memfailkan saman terhadap Wan Azri atas fitnah yang mendakwa beliau dipecat daripada Petronas kerana pecah amanah.
Rafizi dalam pertanyaan lisannya semalan meminta Menteri Pertahanan menyatakan tarikh dan tahun Wan Azri dibenarkan menaiki kapal selam Scorpene dan apa tujuan individu tersebut menaiki kapal itu.
MH370: Misi mencari 27 hari, meliputi 223,000 km persegi
- Apr 03, 2014
- HARAKAHDAILY
Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak lapan pesawat dan sembilam kapal akan membantu dalam misi pencarian hari ini.
"Sebuah daripada pesawat itu ditugaskan untuk menggugurkan boya penanda datum yang dilengkapi alat khas untuk mengesan lokasi pesawat itu di kawasan pencarian," menurutnya.
JACC dilancarkan pada 1 April di Perth bagi menyelaraskan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370.
Menurut kenyataan itu, keadaan cuaca hari ini dijangka cerah dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer, dan hujan sekejap-sekejap diramal berlaku di kawasan selatan Lautan Hindi.
Menurutnya, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memberi tumpuan di kawasan tempat pesawat itu berakhir mengikut analisis teknikal membabitkan pelbagai aspek yang pertama kali dilakukan berdasarkan komunikasi satelit dan prestasi pesawat, yang disalurkan pasukan penyiasat nahas udara antarabangsa terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
FAM pilih teraju baru?
- Apr 03, 2014
- SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Kalau negara seperti Korea Selatan dan Jepun suatu ketika dahulu adalah saingan kita dan kita mampu kalahkan mereka, kini telah mencapai bertaraf dunia. Yang perlu ialah komitmen yang tinggi dan kena berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu dan tidak mustahil untuk mencapai cita-cita itu.Kita yakin boleh melakukannya.
Dalam masa yang sama disyorkan juga semua Pegawai-Pegawai Kanan dalam persatuan induk FAM juga dapat memberikan laluan agar kita berikan muka-muka baru mengisikan jawatan tersebut agar ianya mampu mengubahkan segalanya nanti.
Saya mancadangkan agar Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi Presiden dan Tan Sri Annuar Musa sebagai Timbalannya atau sebaliknya dan begitu juga AJK yang lainnya hendaklah juga diharapkan semuanya muka-muka baru bagi menerajui FAM supaya bertenaga dan dapat mengembalikan kekuatan kekentalan dan semangat 'Mokhtar Dahari' disetiap pemain bola sepak negara nanti.
Ahli parlimen Eropah kriritk hukuman mati 529 rakyat Mesir
- Apr 03, 2014
- HARAKAHDAILY
Kritikan itu dikemukakan secara berdepan kepada Menteri Luar Mesir Nabil Fahmy ketika beliau hadir berucap kepada Suruhanjaya Hubungan Antarabangsa Parlimen Eropah, di sini pada Selasa.
Mario David, wakil Portugis di Parlimen Eropah bertanya kepada Fahmy bagaimana seorang calon presiden (Abdul Fatah Al-Sisi) boleh bertindak sedemikian manakala beratus-ratus orang telah diberikan hukuman mati.
Ahli parlimen Sepanyol Jose Ignacio Salafranca pula berkata hak asasi manusia menjadi kunci kepada kestabilan politik dalam peralihan kuasa di Mesir.
Walau bagaimanapun, Fahmy berkata 529 orang dihukum mati belum menerima keputusan akhir mereka dengan berkata "hukuman mati adalah sebahagian daripada undang-undang. "
Kalau Tak Tahan Kritikan, Berhentilah Jadi Menteri...
Posted on Thursday, April 03 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Berikutan kritikan dalam banyak media terhadap kerajaan, yang sebahagian besarnya berpunca daripada kenyataan bercanggah, maklumat tidak tepat, kelewatan menyalurkan maklumat dan seumpamanya berkenaan operasi pencarian pesawat MH370, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein membayangkan akan mengambil tindakan saman terhadap perbuatan media yang didakwanya salah lapor itu.
Menurut sepupu Najib Razak itu, kerajaan telah mengumpul bukti sejak hari pertama operasi lagi dan apabila tiba masanya, kerajaan patut menyaman mereka.
Walaupun beliau mendakwa sudah mengumpul bukti sejak hari pertama operasi mencari MH370 lagi tetapi tindakan Hishammuddin ini dipercayai lebih didorong selepas pengumuman Perdana Menteri pada 24 Mac lalu yang membawa erti pesawat MH370 telah terhempas di Lautan Hindi dan semua penumpangnya terkorban, telah menimbulkan rasa marah waris mangss kerana sehingga ini tiada bukti kukuh mengenainya.
Sementara kenyataan Najib yang berbunyi "berakhir di Lautan Hindi" itu ditafsirkan oleh media sebagai "terhempas" serta disiarkan secara meluas keesokannya dan tidak dianggap salah tafsir oleh kerajaan, namun kerajaan hanya menganggapnya salah lapor selepas tujuh hari kemudian, itu pun setelah waris penumpang dari China meluahkan kemarahan mereka.
Sebelum itu pula, sudah beberapa kali maklumat tidak tepat dan bercanggah dikeluarkan oleh kerajaan. Ketidaktepatan maklumat itu bukan sahaja mengenai bagaimana penumpang yang menggunakan pasport curi boleh meloloskan diri, bahkan juga dalam hal semudah mengenalpasti ayat perbualan terakhir antara kokpit dengan pusat kawalan udara.
Sebab itu, setelah masuk hari ke 25 ini, maklumat kerajaan yang seolah-olah meyakini pesawat itu telah terhempas semakin diragui. Meski Najib turut terbang ke Perth untuk meninjau operasi mencari dan menyelamat, pemergian beliau turut juga diselubungi dengan pelbagai andaian dan persepsi.
Di ketika Hishammudin mengugut mahu menyaman media, di waktu yang sama Ketua Pengarah DCA, Azharuddin Abdul Rahman pula dilaporkan menghalau media dalam sebuah persidangan yang sepatutnya beliau turut menyentuh tentang perkembangan terkini mencari dsn menyelamat MH370.
Kenapa secara tiba-tiba media dimusuhi dan dijauhi? Adakah apa-apa yang cuba disembunyikan?
Dalam isu kerajaan dengan media, terutamanya dalam saat tegang seperti operasi yang sedang berjalan sekarang, kritikan memang tidak boleh dielakkan, terutamanya jika ianya berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri. Kalau pihak kerajaan dan agensinya bersikap telus dan tidak berbelit-belit dalam memberikan maklumat, media biasanya hanya menyalurkan saja apa yang dinyatakan itu.
Tetapi jika maklumat A bertukar B keesokan harinya, dan lusa menjadi C pula, tentulah media akan memberikan kritikan. Media arus perdana atau yang dikawal oleh kerajaan mungkin akan cuba melindungkannya tetapi media baru tentu saja akan mengkritiknya dan kerajaan seharusnya menerima baik kritikan seumpama itu.
Namun sekiranya media melontarkan fitnah, barulah kerajaan mempunyai pilihan untuk mengemukakan saman. Kritikan bukanlah fitnah. Mentafsirkan berakhir di Lautan Hindi sebagai sama erti dengan terhempas juga bukanlah fitnah.
Najib dan Hishammuddin adalah anak bangsawan yang tidak biasa dengan kritikan. Sejak lahir mereka sudah terbiasa dengan puji-pujian dan kawan-kawan yang mengelilingi mereka juga hanya terdiri daripada kalangan yang suka memuji. Tetapi dengan memilih karier sebagai pemimpin, kritikan tidak dapat diasingkan. Ia harus diterima sebagai asam garam dan cabaran.
Penonjolan watak suka kepada pujian amat terserlah apabila Hishammuddin, di sebalik kekalutan pesawat MH370 yang masih hilang, terlihat amat gembira dan teruja apabila seorang remaja Perancis, Victor Lopez yang berusia 15 tahun menulis surat menyatakan rasa kagumnya terhadap personaliti beliau yang ditontonnya melalui televisyen semasa operasi ini.
Hishammuddin bukan saja menurunkan tandatangannya pada sekepiing kad untuk dihadiahkan kepada remaja itu, tetapi turut berharap akan berjumpanya suatu masa nanti. Tidak dipastikan pula, jika pertemuan itu diadakan nanti, apakah beliau akan terbang ke Paris atau remaja itu akan diterbangkan dengan pembiayaan penuh ke Kuala Lumpur?
Memanglah penilaian Victor Lopez terhadap Hishammuddin tidak sama dengan penilaian rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bukan saja kenal Hishammddin melalui televisyen tetapi juga kenal ketika beliau memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan dan deretan isu yang gagal diselesaikannya. Rakyat Malaysia juga kenal ketika beliau mencium keris dan kemudian menarik baliknya.
Sebenarnya itulah Hishammuddin. Kritikan, walau untuk kebaikan akan sentiasa dianggap menyusahkan manakala pujian, biar sekecil mana sekali pun, akan diperbesarkan dan dianggap penting dalam kehidupannya.
Sebagai pembayar cukai, yang dalam erti kata lain turut menyumbang bayaran kepada gaji dan elaun para menteri, tentulah tidak boleh jika beliau mengharapkan rakyat memberi pujian dan sokongan saja. Kalau tidak betul dan ada silapnya, maka bersedialah menerima kritikan pula.
Kalau terasa berat sangat beban kritikan yang ditanggung dalam isu pesawat yang hilang ini, berhentilah jadi menteri dan kembalilah kepada dunia yang penuh puji-pujian dan sanjungan seperti yang biasa dinikmatinya sebelum ini. (SH 02/04/2014)
SHAHBUDIN HUSIN
http://shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan