Jumaat, 6 Mei 2011

Pakai skirt hanya level sukan tinggi....LAWAK2....LANGGAR HUKUM LEVEL SUKAN JADI TINGGI...CETEKNYA ILMU AGAMA...HUKUM ALLAH LANGGAR GITU SAJA

Osama: Kenapa Najib bergembira bersama Amerika?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan dunia akan lebih aman sejurus selepas Osama bin Laden diisytiharkan mati dibunuh oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama?

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kata-kata Najib bahawa dunia lebih aman dengan kematian Osama adalah terlalu mudah (simplistik) dan naif.

Bagi beliau, Najib cuba menguatkan lagi penguasaan geo-politiknya untuk memahami satu fakta yang terang lagi bersuluh bahawa 'Osama dan keganasan adalah hasil ciptaan AS.'

Selain Dr Dzulkefli, pelbagai pihak turut mengecam kenyataan Najib yang berkata, dunia akan lebih aman, selamat dan adil dengan kematian Osama.

Akhbar Berita Harian (gambar kiri) yang dikawal Umno juga secara terbuka menolak pandangan itu apabila menyiarkan satu rencana bertajuk "Tiada jaminan kematian Osama penamat keganasan global".

Bahkan, akhbar Umno sendiri, Utusan Malaysia juga nampaknya bertembung pandangan dengan Najib dalam isu ini.

Para pemimpin pertubuhan Islam juga menolak pandangan simplistik dan bodek Amerika Najib itu.

Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini kerana Amerika Syarikat sendiri dianggap sebuah negara imperialis yang sentiasa berusaha untuk meluaskan pengaruh mereka ke seluruh dunia, khususnya negara Islam dengan menaja keganasan.

“Kenyataan Najib itu mungkin kurang tepat kerana sebenarnya kuasa Amerika sendiri tetap akan meluaskan pengaruh imperialisme mereka ke seluruh dunia yang sebenarnya menggalakkan keganasan itu sendiri,” kata Sheikh Abdul Halim.

Beliau juga percaya bahawa keamanan dunia tidak hanya bergantung dengan kematian seorang Muslim yang sering dilabel pengganas seperti Osama.

“Keamanan ini asasnya adalah keadilan sebagai sebuah idea yang akan menghapuskan penindasan.

“Untuk memastikan keadilan ini mengambil tempat, ia memerlukan usaha bersama. Seorang individu sahaja tidak akan mampu untuk mewujudkan keadilan atau pun mencetuskan keganasan,” kata Sheikh Abdul Halim.

Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar) dan Setiausaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama juga merakamkan kutukan keras terhadap tindakan tentera Amerika membuang jenazah As Syahid Osama ke laut.

“Tindakan ini adalah suatu penghinaan yang jelas dan dunia harus membantah sikap Amerika yang sama sekali tidak boleh diterima.

“Jenazah As Syahid sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat andainya dan diuruskan pengkebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim,” tegas mereka.


PM membodek Amerika


“PM terlalu 'membodek' AS dan Obama. Islam menolak sebarang keganasan. Namun, kita kena faham mengapa keganasan terus berlaku?” bidas Dr Dzulkefly (gambar) dalam ulasannya mengenai hal ini.

Menurut Dr Dzul, terdapat dua penyebab utama kezaliman AS iaitu dalam bentuk polisi dan tindakan.

“AS pembekal WMD (weapon of mass destruction – senjata pemusnah besar-besaran) serta terus membekalkan senjata tercanggih dengan penyelidikan mereka termasuk kepada Iraq (Saddam), Israel dan lain-lain merupakan punca kezaliman akibat daripada tindakan.

"Ketidakadilan polisi pula berlaku khasnya di kawasan Timur Tengah dan Palestin juga merupakan salah satu bentuk kezaliman AS,” terangnya lagi.

Najib sepatutnya, kata Dr Dzul peka dengan hati-budi dan maruah umat Islam khususnya di Timur Tengah dan Palestin, di mana kezaliman terhadap negara-negara Islam di sana dibiarkan berterusan oleh kuasa-kuasa di Barat.

“Berdekad Barat mengizinkan kezaliman. Inilah punca segalanya,” ujar beliau. “PM sepatutnya kata - dunia tidak akan selamat kalau Amerika masih bersikap dwi-standard menyokong keganasan di Timur Tengah dan Palestine walaupun Osama dibunuh.”

Selain itu, Dr Dzul berkata Najib juga harus bertanya balik kepada Obama, “Bukankah Osama anak didik Amerika? Mengapa Osama berpaling tadah selepas tamat blok Russia?”, di mana menurutnya ia adalah disebabkan sikap dwi-standard AS sendiri.

Sekiranya Najib ingin menjadi juara umat Islam, Dr Dzul menasihatkan beliau supaya jangan bertindak semata-mata kerana ingin membodek Obama dan AS untuk kerana mahu diundang ke White House dan merenungkan siapa penaja kezaliman yang sebenarnya di dunia ini.

“Malangnya apabila ada pemimpin negara umat Islam yang membodek AS kerana mahu diundang ke Rumah Putih. Tindakan ini amat mengaibkan umat Islam.

"PM kalau mahu jadi juara umat Islam, jangan bertindak 'membodek’ Obama-AS. Jangan berbolak-balik! PM perlu menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf dengan kadar segera bagi menjaga sensitiviti umat Islam,” nasihat Dr Dzul.

Persoalan yang harus direnungkan semua umat Islam


Sebagai pemimpin Islam, patutkah Najib mengeluarkan kata-kata begitu, atau lebih tepat lagi, adakah Najib terlupa bahawa dirinya seorang Islam dan juga seorang pemimpin yang majoritinya Islam ketika mengeluarkan kenyataan tersebut yang ternyata akan menyinggung sensitiviti umat Islam sedunia?

Ataupun, itu sememangnya jiwa Umno seperti yang dinyatakan oleh MCA tempoh hari, apabila parti tersebut menyuruh PAS membuang perjuangan Islamnya sekiranya ingin menerima jemputan Umno menyertai Barisan Nasional (BN)?

Jikalau Umno masih ingat akan perjuangan Islam, sepatutnya MCA sudah lama melenting untuk keluar daripada BN.

Adakah ini bermakna MCA, yang kebelakangan ini telah semakin menunjukkan belang anti-Islamnya, masih sanggup berada dalam BN sehingga kini semata-mata kerana mereka 100% yakin dan pasti bahawa Umno sudah tidak berpaksikan lagi pada Islam dalam segala tindak-tanduknya?

10,000 pengguna telah daftar eharakah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad memaklumkan bahawa Harakah adalah akbar alternatif pertama mempunyai edisi digital atau epaper, ketika ditemui selepas Mesyuarat Lajnah Penerangan PAS Pusat, baru-baru ini.

Harakah melancarkan epaper pada Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam pada Jun, 2009.

Dengan adanya eharakah ini, ianya banyak menyelesaikan masalah ahli-ahli PAS dan penyokong-penyokong DHPP untuk mendapatkan akhbar tersebut di pasaran yang terhad.

Sejak itu berbagai cadangan dan komen telah diberikan untuk mempertingkatkan lagi kualiti akhbar berkenaan.

Selepas setahun ianya beroperasi, Harakah sekali lagi berjaya membina kepakaran dalam pengurusan dan pembangunan akhbar digital dan beralih ke alamat baru di bawah jenama Harakah, iaitu http://epaper.harakah.net.my berbanding dengan sebelum ini menggunakan alamat pihak ketiga, iaitu Nurfairshop (http://epaper.nufairshop.com.my)

Pengurus Perniagaan & IT Harakah, Suhaimi Embong ketika dihubungi memberitahu lebih 10,000 pengguna telah berdaftar eharakah untuk melanggan akhbar digital tersebut sejak epaper Harakah dilancarkan.

Bagi meraikan sokongan pengguna dan pembaca Harakah sempena dengan penyambungan semula permit penerbitan Harakah oleh KDN baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa satu promosi baru e-harakah telah dipersetujui.

Secara ringkasnya, harga eharakah akan lebih murah sehingga hampir 40 peratus berbanding dengan akhbar cetak, harga langganan eharakah untuk sebulan sebanyak lapan edisi adalah RM15.00 sahaja berbanding dengan RM16.00 untuk akhbar cetak.

Manakala harga langganan eharakah untuk 3 bulan (26 edisi) adalah RM45.00 sahaja berbanding dengan RM52.00 untuk edisi cetak, 6 bulan (52 edisi) hanya dengan RM85.00 berbanding RM104 untuk edisi cetak dan 1 tahun (104 edisi) hanya RM150.00 bagi edisi cetak.

Di bawah promosi eharakah ini juga, kami menawarkan lebih diskaun untuk pelanggan setia yang menyambung langgananan mereka, yakni bagi sambungan langganan 3 bulan seterusnya hanya perlu bayar RM 40 sahaja.

Begitu juga dengan penyambungan langganan 6 bulan kedua, pelanggan perlu bayar sebanyak RM70.00 sahaja. Manakala untuk tempoh setahun kedua, pelanggan hanya perlu bayar sebanyak RM130.00 sahaja.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut, sila emel kepada epaper@harakah.net.my atau telefon 03-40213425.

Pakai skirt hanya level sukan tinggi
Nick Josh Karean

Peraturan pakaian (BWF) The Badminton World Federation yang mengatakan adalah wajib bagi pemain badminton perempuan memakain skirt adalah hanya untuk Level 1 hingga 3 perlawanan.

Ini bermakna hanya level sukan yang tinggi, Grand Prix dan ke atas dipengaruhi oleh peraturan yang akan dilaksanakan pada tarikh 1 Jun 2011.

Dan bertentangan dengan beberapa salah faham mengenai hal ini, peraturan wajib tidak bererti bahawa pemain wanita perlu membuang seluar pendek atau seluar trek panjang yang boleh dipakai di dalam skirt.

Pemain wanita boleh terus memakai seluar pendek atau seluar panjang jika mereka ingin di dalam skirt, seperti mana yang sudah sering dilakukan oleh beberapa pemain yang sedia ada.

Dan BWF telah mengembangkan pedoman pelaksanaan untuk digunakan bersama Peraturan baru untuk memastikan bahawa ia tidak akan dengan apa-apa cara menyebabkan diskriminasi terhadap keyakinan keagamaan atau lain-lain pandangan.

"Peraturan baru telah disalahertikan oleh beberapa pihak sebagai bermakna bahawa perempuan tidak boleh memakai seluar pendek atau seluar ketat atau seluar trek panjang ketika mereka bersukan badminton, dan mereka hanya perlu memakai skirt pendek sahaja. Ini tidak benar,” kata Naib Presiden BWF, Paisan Rangsikitpho.

Sila lihat di link ini pakaian-pakaian wanita yang dibenarkan: http://www.bwfbadminton.org/file_download.aspx?id=33012

Umno musuh nombor 1 negara
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Bagaimana PAS boleh bersatu dengan Umno sedangkan Umnolah yang 'menjajah' bumi dan rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, Umno bertindak zalim terhadap rakyat dan bumi Malaysia dengan mencengkam kebebasan rakyat dan bertindak tanpa keadilan kepada rakyat dan bumi Malaysia.

“Fatah dan Hamas boleh bersatu menentang Israel, mengapa Umno dan PAS tidak dapat bersatu membela umat Melayu?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Hamas setuju untuk bersatu dengan Fatah semata-mata atas tujuan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Israel.

Katanya lagi, penjajahan Israel zalim, yang mencengkam kebebasan rakyat Palestin dan penjajahan yang menidakkan keadilan sejati kepada rakyat dan bumi Palestin.

“Bagaimana boleh kami, PAS bersatu dengan golongan (yakni Umno) yang mengamalkan budaya rasuah, yang mempratikkan budaya politik samseng dan yang mempersendakan hukum Allah SWT?” soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Justeru, PAS tegasnya akan terus memperjuangkan untuk meminda Perlembagaan dan undang-undang negara agar badan keadilan dan perundangan (judiciary) benar-benar bebas dan Peguam Negara (AG) bertanggungjawab kepada Parlimen.

Selain itu, tambahnya SPR, SPRM dan ROS diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan pembentukan IPCMC dan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Kesimpulannya, kata beliau kembalikan supremacy of parliament yang telah dinodai oleh Kerajaan Umno BN semenjak merdeka lagi.

“Jika Umno jujur dia membentangkan pindaan perlembagaan dan undang-undang, kalau Umno itu ikhlas, maka pulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Di samping, beliau juga mahu Umno BN menubuhkan Suruhanjaya-suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pembelian kapal selam Scopene, saham-saham allocation untuk Bumiputra dari 1970 sehingga sekarang dan siapa penerimanya, penggunaan pendapatan minyak dan gas negara daripada 2004-2009, kes kematian pegawai kastam, Sarbani dan kes PKFZ.

"Kami menentang parti Umno bukan kerana dia Umno, kami menentang parti Umno kerana mereka zalim, mereka menindas rakyat Malaysia, mereka merompak harta negara dan mereka (parti Umno bukan ahli Umno) adalah musuh nombor satu negara,” ujarnya.


Pangkalan sokongan terhadap PAS di Sarawak
Suhaimi Mokhtar

PAS telah mempunyai pengkalan sokongan di Sarawak. Hampir 10,000 mengundi PAS dalam lima kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 16 April lalu yang menyaksikan PAS tidak memenangi sebuah kerusi pun di Dun Sarawak.

Jika PAS bertanding lebih banyak kawasan tentu sokongan terhadap PAS melebihi jumlah yang digarapnya dalam lima kawasan pilihanraya berkenaan. Pengkalan sokongan ini hendaklah dibangkit dan disuburkan bagi meningkatkan prestasi PAS dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang bagi menyerlahkan kehadiran PAS dalam politik Sarawak dirasakan.

Setakat ini antara tiga komponan Pakatan Rakyat (PR)yang menyertai pilihanraya Sarawak –PAS,PKR,DAP--,DAP lah yang paling menyerlah dengan memenangi 12 kerusi Dun dari enam kerusi pada pilihanraya 2006.PKR lebih kecundang ,walaupun memenangi tiga kerusi apabila diambil kira lebih 40 kerusi yang dipertandingkan oleh PKR.

DAP bertanding 15 kerusi dan memenangi 12 kerusi. Tulisan yang disiarkan oleh Harakah Daily menjelang pilihanraya lalu telah membuat ramalan yang tepat bahawa DAP akan membuatkan kehadirannya lebih menyerlah, kerana sikap pengundi Cina (di bandar) yang anti kerajaan dan bersifat terbuka, berbanding dengan sikap pengundi etnik Bumiputra.

Penyertaan SNAP sebagai parti tertua Sarawak bertanding sendirian telah sedikit sebanyak memberi kesan balas terhadap PR apabila pakatan itu gagal membawa SNAP kedalam pakatan,walaupun SNAP langsung tidak memberi impak dalam politik Sarawak,sebagaimana yang ditunjukkan dalam keputusan pilihanraya.

Pangkalan sokongan terhadap PAS ini walaupun tidaklah sebesar yang diharapkan kerana harapan PAS ialah sekurang-kurangnya mampu memenanngi dua buah kerusi dari lima yang ditandingi.Jika PAS memenangi dua kerusi Dun sebagaiman yang diharapkan ,tentulah pangkalan perjuangan PAS akan lebih menyemarakkan.

Bagaimana pun dengan jumlah undi hampir 10,000,tanpa memenangi sebuah kerusi pun,PAS sewajarnya berlapang dada menghadapi mehnah perjuangan dan tidak cepat hilang pedoman,lalu meleraikan rasa sabar dari dada-dada para pejuang dan aktivis sedangkan ia bukan sifat fitrah Pergerakan Islam.

Ibarat dalam peperangan,pangkalan sokongan 10,000 penyokong mampu disebar luaskan untuk nanti mencapai kemenangan satu hari nanti,dengan syarat para pejuang istiqamah untuk bergerak secara bersepadu untuk mengembangkan sayap keseluruh pelusuk negeri untuk meraih sokongn seterusnya sambil melaksanakan aktiviti dakwah memperkenalkan islam yang sebenarnya kepada masyarakat Sarawak.

Masyarakat islam Sarawak masih tidak memahami islam secara syumul sebagai satu cara hidup yang komprehensif dan kerana itu menjadi tugas dan tanggungjawab pejuang PAS untuk menjelaskan hakikat perjuangan islam yang sebenarnya dan bukanlah islam yang digembar-gemburkan,mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Jika masyarakat islam sendiri tidak memahami islam sebagai nizumlhayat,apalagi masyarakat bukan islam.Ruang dan peluang yang wujud di Sarawak dengan pangkalan sokongan 10,000 orang dilima kawasan pilihanraya mampu dijadikan permulaan langkah untuk menyemarakkan sokongan lebih padu.

Kekalahan PAS dalam pilihanraya Dun Sarawak bukanlah sesuatu yang perlu terus diratapi,kerana ia adalah adat perjuangan.Rasululallah S.A.W. sendiri pernah menang dan kalah dalam peperangan untuk menegakkan islam.jadikan kekalahan sebagai motivasi untuk bangkit bagi meraih kemenangan nanti.

Kekalahan PAS untuk mencapai kemenangan satu dua kerusi telah menyebabkan kepimpinan PAS dikecam hebat sehingga ada pihak mendesak supaya PAS menukar kepimpinan yang ada.Begitu mudah menuding jari menyalahkan beberapa pribadi dalam kepimpinan sedangkan kepimpinan dalam pergerakan islam berteraskan sura dan jamaai yang bersifat kolektif dan tanggungjawab bersama.

Kepada pihak-pihak ini disarankan supaya mengalami sendiri pahit getir perjuangan dan tidak hanya melihat dari kejauhan tanpa terlibat secara langsung dalam kancah perjuangan politik islam yang sentiasa ditekan dan dicemburui oleh kalangan pemerintah-pemerintah sekular.

PAS dalam jatuh bangun perjuangan untuk menegakkan syariat islam yang menjadi ubar perjuangan sentiasa dilanda tribulasi tetapi berkat kegigihan semangat perjuangan yang membara oleh para pemimpinnya,ahli dan penyokongnya PAS mampu berada ditahap yang ada sekarang.

PAS yang memulakan sejarah perjuangan nya pada 1951, walaupun wujud pergerakan-pergerakan Islam lain sebelumnya, hanya mampu memenangi sebuah kerusi Majlis Perundingan Persekutuan pada pilihanraya sebelum merdeka pada tahun 1955.

Pada tahun 1959 PAS memenangi kerusi-kerusi Dewan Rakyat dan menghantar hampir kesemua pimpinannya keparlimen ketika itu disamping menguasai dua buah negeri,iaitu Kelantan dan Terengganu.Penguasaan Dun Terengganu menjadi pendek apabila kerajaan PAS kalah undi tidak percaya ,akibat satu konspirasi politik kotor dan jijik oleh Umno-Perikatan ketika itu.

PAS pernah mengalami zaman gemilangnya dengan menjadi parti yang mempunyai bargaining power nya yang tersendiri,walaupun tidak memerintah nagara.PAS juga pernah kalah teruk dalam pilihanraya, apabila hanya mempunyai saorang ahli parlimen yang disandang oleh Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kini PAS telah mempunyai kekuatan, berkat kegigihan semangat perjuangan yang dicurahkan oleh pimpinan,ahli dan penyokong disegenap peringkat, dari peringkat tertinggi hinggalah keperingkat paling bawah, walaupun masih tidak mampu menerajui negara. Kalau tidak ada kekuatan masakan Umno melalui presidennya merayu-rayu agar PAS sanggup menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno.

PAS mempunyai bargaining power yang kukuh dan utuh dan mampu menolak saranan Najib yang bimbang dan takut Umno akan kecundang dalam pilihanraya ke-13.Bimbang dan takut kalau PAS benar-benar akan menggantikan Umno.

Pilihanraya Dun Sarawak juga mengajar Umno-BN bahawa Sarawak tidak mampu lagi memberi kerusi parlimen yang banyak kepada Umno-BN kerana kerusi-kerusi parlimen dikawasan kaum Cina akan digondol oleh DAP. SUPP, sebuah parti dukungan orang Cina Sarawak pun tidak mampu mempertahankan kerusi-kerusi tradisional mereka.

Begitulah jatuh bangun PAS sehingga dalam keadaan sekarang telah mampu memerintah beberapa buah negeri bersama PR.InsyaAllah kehadiran PAS akan lebih cemerlang dalam pilihanraya ke-13 nanti.

Berdasarkan realiti politik etnik yang wujud di Sarawak,maka kehadiran PAS diSarawak tidaklah sangat mengecewakan walaupun tidak memenangi sebuah kerusi pun.Sekurang-kurangnya PAS telah mampu berdakwah kepada rakyat Sarawak tentang kesyumulan islam yang sebenarnya.

Sebagai perbandingan, di Semenajung sendiri,seperti dinegeri Johor PAS tidak pernah meraih kemenangan dalam mana-mana pilihanraya sehinggalah pada pilihanraya lalu apabila berlaku tsunami politik, PAS berupaya memenangi beberapa buah kerusi di Dun Johor.Ini adalah pertanda baik bagi PAS yang suatu hari nanti akan menggantikan Umno.Kekalahan PAS di Sarawak mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Kekalahan itu mengajak PAS dari kepimpinan tertingginya hinggalah para penyokong diakar umbi untuk muhasabah diri bagi meneruskan perjuangan menegakkan Islam.


Gagal faham konsep pembangunan sebab ekonomi menjunam

Afiq Hazami, Pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Akibat dari kegagalan pemimpin negara yang ada kurang memahami konsep pembangunan yang sebenar menyebabkan ekonomi negara terus menjunam, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian sewaktu menghadiri program wacana ekonomi yang berlangsung di Menara MPAJ dekat sini petang semalam (gambar).

Program tersebut yang mengulas tentang isu pengangkutan awam di Lembah Klang mengenai penambahbaikan dan cabaran, Anwar berkata "Pembangunan yang hendak dilaksanankan perlulah bermula dari hati yang tulus dan berlandaskan ketaqwaan."

Tegas beliau lagi, masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di Lembah Klang atau kawasan di sekitar Kuala Lumpur ini disebabkan oleh pembangunan yang tidak seimbang.

"Sekiranya apa yang kita bangunkan tetapi kesannya merobohkan apa yang ada, bukanlah satu cara yang bijak untuk kita katakan sebagai satu pembanguanan," katanya lagi.

Menurut beliau lagi, sebanyak RM24 billion telah diberikan subsidi kepada sektor korporat seperti penjana bebas, konsesi lebuhraya setiap tahun, berbanding hanya RM11 billion subsidi minyak kepada rakyat yang sekarang cuba ditarik balik.

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia menjelaskan kadar tol terus meningkat selepas beliau tidak lagi memegang jawatan tersebut.

Hal ini menurut beliau mendapat desakan daripada golongan yang mahu meningkatkan harga tol dan seterusnya membebankan rakyat.

Di samping itu, beliau juga turut menimbulkan persoalan mengenai kenaikan harga minyak pada dewasa kini yang mana memberi beban kepada rakyat.

Selain itu, gejala rasuah yang sukar dibendung, menyebabkan negara mengalami kebocoran sebanyak RM21 billion, jelas beliau ketika menyentuh isu rasuah.


Anak syarikat kerajaan Kedah tanggung Puteri Umno
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 6 Mei: Sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) didakwa telah menymbangkan dana tetap kepada Puteri Umno ketika Kewdah ditadbir oleh BN sebelum ini.

Ia melibatkan sumbangan dana syarikat milik kerajaan (GLC) itu kepada Pergerakan Puteri Umno Kedah yang berjumlah RM30,250 bagi tempoh Julai 2003 hingga Februari 2004.

Pendedahan ini dibuat melalui laman blog prokerajaan 'Kedah La Ni' dan turut disebarkan melalui laman sosial 'facebook' penyokong-penyokong kerajaan termasuk Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Turut disenaraikan adalah butiran lengkap sumbangan syarikat kepada sayap Umno itu yang menyalahi matlamat penubuhan syarikat dan dikategorikan sebagai perbelanjaan tidak berkepentingan ketika pergerakan tersebut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaakub (gambar).

Mengikut rekod perbelanjaan syarikat 2003, pergerakan itu menerima sumbangan cek berjumlah RM1,000 (27 Julai), RM7,000 (5 Ogos) dan RM1,000 (22 Disember). Manakala pada 2004 pula, mereka menerima RM7,000 (5 Januari), RM4,250 (24 Februari) dan RM10,000 (25 Februari).

Sidang Dun Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan pendedahan penyelewengan dana GLC berjumlah hampir RM8 juta oleh pengurusan terdahulu hingga mengakibatkan STDC mengalami kerugian.

Susulan pendedahan itu Pemuda PAS Alor Setar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 April lalu dan menyerahkan dokumen berkaitan penyelewengan bagi membantu siasatan.


Najib jangan cabar kami – PKR Selangor
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei: “Sekali lagi, saya ingatkan Najib, jangan pernah cabar kami, Keadilan dan Pakatan Rakyat Selangor.

“Kami telah bersedia untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa. Jentera telah kami susunkan, barisan pertahanan telah kami ampuhkan demi terus mempertahankan Selangor, dari kezaliman dan penindasan Umno walau apa cara sekalipun,” tegas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak pada majlis 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan' di Shah Alam malam semalam.

“Saya ingin mengingatkan Najib agar jangan pernah berani cabar kami. Jangan jadi penderhaka kepada rakyat Selangor,” katanya yang juga Ketua Wanita PKR.

Tambahnya, melalui ucapan itu, jelas membuktikan bahawa Najib kini sudah terlalu desperado (terdesak) dan sudah gila kepingin mahu memerintah Selangor.

Malah, katanya secara terang-terangan telah menunjukkan bahawa beliau akan bermain cara kotor demi merampas Selangor.

“Saya yakin beliau akan menggunakan cara yang lebih teruk berbanding di Perak.

“Saya mahu mengingatkan Najib, Kerajaan Selangor yang dipilih adalah berdasarkan atas mandat pilihanraya yang adil dan bersih,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Ampang.

Maka, katanya niat Najib mahu merampas dengan cara kotor adalah suatu penghinaan dan penderhakaan kepada autonomi rakyat Selangor.

“Jika benar-benar Najib, yang juga selaku Perdana Menteri mahu merampas Selangor, dan seorang pemimpin yang berani berhadapan dengan rakyat, saya mencabar beliau untuk bersedia berdebat dengan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen saya, yakni di Ampang dan saya sendiri sedia menjadi penganjur utamanya,” katanya.

Laksana 10 perkara atau Hari Amarah lebih besar
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf) menuntut pelbagai pihak melaksanakan 10 perkara sempena perhimpunan aman Hari Amarah Rakyat yang diadakan di Dataran Masjid Negara dan di hadapan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini.

Pengerusinya, Azmi Abdul Hamid menegaskan, pihaknya memberikan tempoh sebulan kepada pihak-pihak terbabit untuk mengambil tindakan terhadap tuntutan-tuntutan itu dan sekiranya tidak, perhimpunan kemarahan mereka akan dilanjutkan dengan perhimpunan lebih besar dari yang diadakan hari ini.

Tuntutan pertama dari pihaknya berupa tuntutan ke atas Majlis Raja-Raja Melayu agar campur tangan untuk menghentikan gejala menabur fitnah dan menghina undang-undang Islam berkaitan sumpah laknat yang dilakukan secara bertentangan dengan hukum syarak, di samping diperalatkan untuk mempertahankan tuduhan zina yang mengaibkan keperibadian seseorang.

Menurut beliau, manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dituntut melaksanakan peruntukan undang-undang terhadap pelanggaran Jenayah Syariah Qazaf dalam kes tuduhan zina dan liwat yang kini sedang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, selain itu, Saf turut menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan terhadap media massa yang menyiarkan bahan lucah yang membawa kepada penyebaran fitnah dan mencetuskan kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat.

"Pihak kami juga menuntut pihak mufti-mufti di negeri-negeri di seluruh negara menyuarakan ketegasan mereka terhadap fitnah zina dan penguatkuasaan hukum qazaf serta menegur dengan keras mereka yang terbabit dalam penyebaran dan menyemarakkan fitnah zina.

"Sementara sidang Parlimen akan datang dituntut membentangkan keperluan untuk mengkaji ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang dimandatkan untuk menjalankan pilihanraya secara bebas dan profesional," katanya.

Di samping itu, Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis yang ditubuh pada tahun 2008 untuk mengkaji tingkah laku badan kepolisan di negara kita yang telah menghasilkan 125 cadangan bagi pembaikan polis pula, dituntut dilaksanakan sepenuhnya melalui penubuhan sebuah suruhanjaya bebas, Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (ASP/IPCMC).

"Kami juga menuntut agar imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dipulihkan segera akibat beberapa insiden yang telah mencemarkan wibawa agensi tersebut dalam melaksanakan fungsinya secara bebas, berintegriti dan profesional," tegasnya yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Perkara-perkara lain yang turut dituntut termasuk menuntut Majlis Raja-Raja Melayu bertindak untuk mempertahankan kedudukan Islam di negara ini mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan, bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terjamin.

"Menerusi perhimpunan ini, kami menuntut agar agensi yang berkaitan dengan undang-undang iaitu polis, Peguam Negara, Ketua Hakim Mahkamah Sivil dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah melaksanakan tugas merek dengan telus, berintegriti dan profesional," tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura) menegaskan, pihaknya juga turut menuntut menteri kabinet memberikan perhatian serius kepada semua suara kemarahan yang dilafazkan pada hari ini dan meneliti setiap isu yang dibangkitkan secara khusus mahupun secara umum dan mengambil tindakan sewajarnya.

Kesemua tuntutan itu dikeluarkan dengan persetujuan bersama kesemua pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut yang melibatkan parti-parti politik dan lebih 80 NGO termasuk Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy), Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Perhimpunan yang turut mendapat kerjasama Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah di tanah air itu diadakan selepas solat Jumaat, dengan disertai lebih 1,000 orang dari seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Selesai tuntutan itu dibacakan, beliau dengan diiringi Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Rozan, Exco Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, beberapa pemimpin lain dari PAS, PKR dan beberapa NGO, bergerak beramai-ramai menuju ke Pejabat Jawi untuk penyerahan memorandum.

Disebabkan halangan pihak polis, hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan mengiringinya untuk penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan itu yang diterima oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jawi, Abdul Murad Wahab bagi pihak Pengarah Jawi.

Terdahulu dari itu, beberapa orang pemimpin politik dan NGO turut berucap. Masing-masing mengutuk keras budaya politik kotor, hina, lucah dan fitnah yang sedang berleluasa di negara kita.

Hilang dua bidang tanah angkara Umno

Harakah

PENDANG, 6 Mei: Seorang ahli Umno kecewa dengan tindakan parti itu yang mengakibatkan beliau kehilangan dua bidang tanah milik keluarga.

Tanah itu dicagarkan kepada bank untuk tujuan perbelanjaan membina pejabat Umno Bahagian Pendang, 30 tahun lalu.

Ahli Umno terbabit, Mohamad Said Awang Kechik (gambar bersama rakan-rakan) berkata, tiada pemimpin Umno tampil menyelesaikan baki pinjaman overdraf yang ditanggungnya sehingga salah seorang rakan perniagaan, Yahya Abu membuat pembayaran RM15,346 kepada bank pada 19 September 1995 untuk mengelakkan dua tanah itu dilelong.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi diarah menjelaskan pembayaran semula pinjaman sebanyak RM25,000 oleh bank melalui perintah mahkamah pada Mei 1997 untuk mengelakkan tanah itu dilelong.

"Sebagai tindakan susulan, kami memutuskan berjumpa dengan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Dr Afifuddin Omar yang menjadi Timbalan Menteri Kewangan ketika itu dan memohon beliau membuat permohonan pelupusan baki dan caj faedah pinjaman mencecah lebih RM100,000 ketika itu.

"Dr Affifuddin memberi respons dan membuat permohonan pelupusan baki pinjaman overdraf itu kepada bank melalui surat bertarikh 1 Ogos 1997, bagaimanapun tiada jawapan balas dikemukakan bank," katanya.

Mohamad Said mendakwa, beberapa kali berjumpa dengan pihak Umno Bahagian, termasuk Ketua Bahagian, Datuk Mohd Rozai Shafian tetapi tidak mendapatkan kerjasama sewajarnya.

"Saya mendesak Umno negeri segera menjelaskan tuntutan dan sekiranya tidak diberi perhatian, kami sekeluarga akan membawa tikar dan bantal untuk ke pejabat Umno yang dibina menggunakan wang kami," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media dekat sini yang dihadiri puluhan media arus perdana termasuk RTM namun hanya sebuah akhbar sahaja yang melaporkan isu tersebut.

Selain itu beberapa ahli Umno yang hadir turut melahirkan kekecewaan sehingga mengungkap 'Umno buat kami macam paria' ketika sidang media tersebut.

Ujar mereka, pada 1979 ahli-ahli Umno sanggup meminjam duit daripada bank untuk menyiapkan bangunan Umno Bahagian Pendang.

"Ahli-ahli Umno tersebut pinjamkan duit kepada Umno Bahagian, bukan sikit RM15,000. Malangnya bila siap bangunan itu, Umno bahagian tak mahu bayar balik dekat depa sampai la.

"Mereka pergi minta tolong dengan Najib. Najib tak layan suruh pi jumpa Umno negeri. Mereka nak jumpa Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah. Malang sungguh, surat dan telefon kepada Ahmad Bashah juga tidak dilayan.

"Inikah budaya kerja pemimpin di peringkat negeri?" luah mereka.


Osama: Shura hantar nota bantahan petang ini

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura) akan mengetuai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar nota bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini jam 4.30 petang ini berhubung pembunuhan Osama bin Laden.

Nota bantahan itu juga bagi mendesak AS menghentikan pencerobohan ke atas Pakistan dan Afghanistan bagi memburu musuh AS.

Menurut Setiausaha Agung Shura, Azmi Abdul Hamid, pembunuhan Osama dan cara jenazahnya dikebumikan dengan membuangnya ke laut merupakan satu penghinaan yang dasyat kepada umat Islam.

Tindakan tentera AS menceroboh masuk ke Pakistan tanpa menghiraukan bantahan rakyat negara itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat sesebuah negara.

Selain itu, gabungan itu turut mengecam pandangan beberapa pemimpin negara Islam termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian Osama akan menjadikan dunia lebih aman.

"Kami (gabungan NGO Islam) menyatakan pandangan pemimpin di beberapa negara Islam bahawa kematian Osama akan memberi keamanan kepada dunia tidak mewakili pandangan umat Islam.

"Mereka (pemimpin Islam) banyak menyokong pembunuhan Osama termasuk Malaysia. Itu bukan sentimen rakyat Malaysia dan kami tidak mengiktiraf pendapat itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, gabungan itu akan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan persidangan khas bagi membincangkan pencerobohan AS ke Pakistan untuk membunuh rakyat yang disyaki pengganas dan musuh AS.

"Kami ingin menuntut supaya PBB mengadakan persidangan khas membincangkan pencerobohan AS ke Pakistan untuk membunuh. Ini namanya pembunuhan di luar penghakiman.

"Usul itu mesti dibuat oleh Malaysia kerana ini tidak akan meredakan kemarahan umat Islam dan orang yang cintakan keadilan," katanya yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Menurutnya, penyerahan nota bantahan itu akan diketuai oleh Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dan telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan AS.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk sama-sama menyertai himpunan di hadapan kedutaan AS petang ini sebagai tanda sokongan mereka.

Sementara itu, di Masjid Negara akan diadakan Perhimpunan Hari Kemarahan Rakyat selepas solat Jumaat.

Program itu anjuran Saf Anti Fitnah (SAF) yang menggabungkan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy) dan Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat.

Penganjuran perhimpunan itu turut bekerjasama dengan Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah.

"Kita akan maklumkan kepada orang ramai mengenai penyerahan nota bantahan ini dan menjemput mereka untuk turn bersama-sama ke Kedutaan AS. Kita anggarkan ratusan umat Islam akan turut serta," katanya.



Tiada ulasan: