Ahad, 1 Mei 2011

NASI LEMAK JELAS HALAL...TIADA RAGU2...KENAPA YANG JELAS HARAM..SIAP ADA NAS...TIDAK GEMPUR...TAK DISEKAT...APA AGENDA SEBENAR...ALLAH AJE TAHU

Tinggalkan Umno, sertai PAS
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Jelasnya lagi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.


Sumpah laknat: Fahami bila harus digunakan
Dr. Dzulkefly Ahmad

Penjelasan ini juga kepada Mamat dan 2kali5, yang membuat komen di blog saya.

Anda berdua perlu dengar jawapan dari ulama Umno dulu kalau nak faham tentang "Sumpah Mubahalah" yang disebut oleh 2-kali5 ayat 61 dari Surah Ali-Imran, bahkan ayat-ayat sebelumnya yakni 58-60.

Kalau tak ada dah ulama dari Umno yang boleh jawab tolong tanya dari ulama yang benar-benar ulama seperti Mufti Perlis atau bekas Mufti Perlis.

Kalau tak dapat juga dari sumber mereka, baru saya rasa terpanggil untuk mendidik kamu berdua tentang "Sumpah Mubalahah".

Paling penting ialah Kena faham sunguh-sungguh (i) bila dan (ii) atas sebab apa, sumpah Mubahalah ini boleh digunakan.

Dalam jenis pertikaian yang bagaimanakah "Sumpah Mubahalah" di haruskan bahkan mungkin sebagaimana satu cara dan kaedah "muktamad" bagi menyelesaikan pertikaian dan dakwaan yang saling bertentangan antara dua (2) kelompok seperti yang menjadi sebab Asbab AnNuzul - atau sebab diturunkan penerangan dan kaedah yang diberi Allah SWT bagi menyelesaikan dakwaan antara kaum seorang pendita dari kaum Najran (Kristian) yang mengaku lebih awal lagi Islam dari RasulAllah dan sahabat-sahabat Baginda.

Lalu disyari'atkan oleh Allah SWT ketika itu untuk kedua-dua pihak memanggil anak-anak, isteri-isteri dan diri-diri mereka sendiri, kedua-dua pihak melakukan Sumpah Mubalahah kerana pertikaian ahlil baatil (golongan yang sesat yang berdebat dengan Nabi ini) hanya akan berterusan (kerana kedegilan mereka) dan hanya dapat ditenangkan dengan kedua pihak saling bersumpah.

Dalam Asbab Nuzul tadi, oleh kerana bila ahlil baatil (golongan yang sesat) ingin terus menerus berdebat dengan Nabi walaupun hujjah mereka telah dipatahkan semuanya, Islam mengharuskan MUBAHALAH ini demi menyelesaikan itu perdebatan mereka dengan menyerahkan kepada ALLAH SWT untuk menimpa azab kepada pihak yang menipu.

(dapat diputuskan dan dimuktamadkan secara begitu kerana tidak ada nas (nusus) dan kaedah lain bagi memuktamadkan pertikaian tersebut dan ruang penghakiman mengikut lunas-lunas Syari'at.

Maka apabila anda faham apa itu sumpah MUBAHALAH, maka anda akan tahu bahawa sumpah mubahalah dalam mensabitkan kesalahan JENAYAH adalah suatu yang BID'AH dan tidak ada dalam ISLAM dan tidak diperakui pun di mahkamah syariah negara kita.

Mubahalah adalah dalam PERDEBATAN ILMU!! dan bukan pertuduhan JENAYAH.

Dalam Jenayah Islam, hanya satu cara, Nabi SAW bersabda 'Bagi pihak yang menuduh DATANGKAN bukti, dan bagi yang tertuduh menafikannya dengan sumpah.

Juga ada pandangan yang mengatakan MUBAHALAH hanya berlaku antara orang Islam dan bukan Islam.

Namun dalam pertuduhan yang dibuat oleh 3 peribadi yang menggelarkan diri mereka itu Datuk T (ada yang kata Trio atau Tipu atau Temberang), tuduhan JENAYAH dibuat terhadap seorang lain dan pertuduhan ini juga melibatkan salah satu daripada MAQASID ISLAM yang lima, iaitu 'Penjagaan Maruah'.

Seharusnya mereka mengikut hukum syara' dengan menyokong pertuduhan mereka dengan BUKTI. Ini yang dituntut Islam. Setiap pertuduhan haruslah dengan bukti kerana hikmah yang sangat besar disebalik itu.

Jika Islam memberi ruang kepada mereka yang menuduh (terutama) Jenayah dengan hanya sekadar bersumpah, umat Islam akan hancur lebur dan kacau bilau dengan semua pihak yang bergaduh akan mula menuduh jenayah zina, liwat dsb dengan hanya bersumpah.

Ini salah faham yang sangat besar yang perlu diperjelaskan. Majoriti ulama keseluruhannya bersetuju bahawa dalam kes jenayah, pertuduhan hanya dengan bukti dan jika MALAH dalam KES pertuduhan zina, ada implikasi yang sangat besar jika mereka tiada bukti.

Mereka yang menuduh boleh sabit dengan kesalahan jenayah QAZAF!!! di Mahkamah Syariah.Sebenarnya, kes ini sekaligus telah membabitkan lontaran tuduhan zina terhadap seorang peribadi Muslim yang berkeluarga (muhsanat) dan memberi erti telah menginvokasi dosa dan JENAYAH 'Qazaf' (yang dibolehkan mereka dirotan 80 kali!) andainya peribadi Trio terbabit tidak mendatangkan bukti yang dituntut Syar'iat Allah SWT yang telah pun diqanunkan menjadi undang-undang Islam (Surah AnNur:4) yakni 4 saksi.

Sumpah Mubalahah bagi menyelesaikan masalah ini sesungguhnya memang tidak boleh digunakan kerana
tiada asas dalam nas dan boleh menimbulkan kacau bilau (chaos) dalam masyarakat umat Islam.

Hanya dengan cara penghakiman dan pembuktian di mahkamah syariah sahaja dibolehkan pertuduhan sebegini dibuat.

Trio ini harus ke mahkamah kalau benar-benar ada bukti kerana tidak cukup dengan ke masjid, bersembahyang sunat dan bersumpah di hadapan kamera.

Masyarakat juga harus diperjelaskan bahawa Mubahalah tidak boleh digunakan dalam kes Jenayah khususnya.


Kenapa kerajaan enggan laksana qazaf
Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 1 Mei: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain mempersoalkan keengganan kerajaan untuk melaksanakan hukum qazaf dalam isu yang membabitkan video lucah.

"Apabila kerajaan sering memomokkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam, kenapa hukuman seperti qazaf yang memerlukan empat orang saksi yang tidak fasik dan adil itu enggan dilaksanakan, sedangkan kerajaan mempunyai ramai ilmuan dan pakar dalam bidang tersebut.

"Sebagai peringatan, jangan kita dilaknat oleh Allah apabila berkemampuan untuk melaksanakan hukum tersebut, tetapi enggan melaksanakannya kerana kepentingan tertentu," tambahnya lagi.

Mengenai tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang memperjudikan sumpah laknat, katanya membuktikan dia adalah seorang yang tidak memahami agama Islam yang sebenar.

Menurut beliau lagi, ianya telah juga menjelaskan secara ketara kehidupan yang penuh kepura-puraan kerana sumpah dijadikan mainan munafik seperti mana yang dijelaskan dalam surah Al-Munafiqun.

"Sepatutnya sebagai seorang yang telah berusia Eskay sepatutnya bertaubat nasuha dan tidak merendahkan maruah sendiri seperti pengakuan yang dibuat.

"Malah sekiranya nasihat seorang imam dari masjid terbabit juga tidak dipedulikan, ini seolah-olah dia orang yang lebih tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan imam tersebut," ujarnya lagi.


Rakyat Malaysia jangan terus jadi tukang angguk
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 30 April: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya mengingatkan seluruh rakyat Malaysia jangan terus menjadi seperti pokka yang asyik mengangguk sahaja kerjanya sepanjang hayat.

Datuk Hashim (gambar) berkata, rakyat negara ini mesti berani menggunakan kuasa mereka untuk membuat perubahan setelah lebih 50 tahun mengiyakan apa sahaja dilakukan oleh kerajaan.

"Jika rakyat negara lain seperti Tunisia menjadi pokka (sejenis haiwan yang suka menganggukkan kepala) lebih 30 tahun, Mesir juga lebih 30 tahun, rakyat Malaysia pula menjadi pokka lebih dari 50 tahun," kata beliau serius dalam seloroh.

Untuk makluman, binatang pokka atau sesumpah mirip mengkarung yang kerjanya hanya mengangguk sahaja tanpa sekali pun mengingkari perbuatan itu meskipun berlaku apa sahaja di sekelilingnya.

Bekas pensyarah UM dan UIAM berusia 72 itu berucap demikian ketika bercakap dalam Bicara Buku Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy di Masjid Negeri, dekat sini, tengah hari tadi.

Turut serta adalah Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Jurnalis dan Editor Majalah Sabili Indonesia, Herry Nurdi dengan moderator oleh Ustaz Nazmi Karim.

Slot Bicara Buku anjuran Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) sempena mesyuarat agung pertama hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Hashim kesal dengan tulisan Ulama Muda UMNO dalam sebuah akhbar harian yang dengan mudah menyimpulkan rakyat tidak mentaati kerajaan sekarang ini boleh dibunuh.

"Rakyat hanya wajib mentaati kerajaan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya," tegasnya sambil menghuraikan dengan lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar.

Menurutnya, mereka yang membaca tulisan seumpama itu hendaklah berhati-hati jangan mudah terpengaruh dengan huraian yang jauh menyimpang dari kehendak dan pengajaran agama.

Sementara itu, ketika membahaskan isi kandungan buku Syeikh Yusuf, Datuk Hashim berkata, terdapat satu pengajaran besar yang terdapat di dalam buku itu.

"Setiap orang yang dilahirkan sebagai Muslim adalah seorang ahli politik yang boleh menggunakan kuasa mereka untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini.

"Rakyat Malaysia sudah memberikan masa kepada kerajaan yang ada ini melebihi lima puluh tahun dan kini sampai masanya untuk mereka menggunakan kuasa ini memilih parti yang berhasrat mengangkat perjuangan kebenaran," tegasnya sambil menunjukkan isyarat mengundi.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung pertama Salimah selepas itu, Datuk Hashim berkata, penubuhan NGO Islam ini tepat pada masanya kerana berlaku berbagai masalah dalam negara ketika ini.

Menurutnya, perjuangan untuk merubah keadaan ke arah penegakan kebenaran akan memakan masa, perlukan pengorbanan dan bersedia dengan cabaran menyentuh perasaan.
Turut berada di pentas adalah Penasihat-penasihat Salimah, Cikgu Azmi dan Mohideen Abdul Kader.


Kumpulan bantah fitnah hadir sumpah laknat
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 29 April: Majlis sumpah laknat oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah berhubung video seks di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini akan berdepan pihak yang menbantah tindakan itu.

Difahamkan kumpulan peguam syarie akan bertemu Eskey bagi mendesak beliau membatalkan niat bersumpah itu kerana ianya salah menurut hukum qazaf.

Selain itu mereka juga turut akan mengadakan sesi penerangan berhubung perkara itu menurut pandangan syarak kepada orang ramai yang datang menunaikan solat.

Selain itu, penyokong Pakatan Rakyat juga dijangka akan berada di sana bagi mengadakan solat hajat 'menolak fitnah jahat' berhubung video seks yang mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Solat hajat tersebut akan diadakan bahagian belakang dewan masjid, sejurus selesai solat Jumaat.

Eskey dijadual melakukan sumpah laknat bagi mendakwa Anwar adalah pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada dua lagi rakan trio 'Datuk T' itu iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Shuib Lazim akan menyertainya.

Media juga hari ini melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi kebenaran kepada Eskay untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul di sini hari ini.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali dilaporkan berkata, tiada sebarang halangan untuk ahli perniagaan itu untuk berbuat demikian meskipun masjid berkenaan adalah di bawah pentadbiran agensi agama itu.

Bagaimanapun tegas beliau, Jawi tidak mempunyai kaitan dengan sebarang tindakan dan urusan membabitkan upacara sumpah laknat mubahalah tersebut.


Jangan permainkan sumpah laknat
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengingatkan semua pihak tidak mempermainkan sumpah laknat seperti yang mahu dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini berhubung video seks yang didedahkannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dalam perundangan Islam, sumpah di hadapan hakim mahkamah syariah mempunyai nilai yang tinggi bagi menjaga martabat seseorang yang dituduh.

Bagaimanapun katanya, penuduh yang menggunakan kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.

"Sumpah mesti di dalam mahkamah atas arahan hakim syarie.

"Kita tengok sumpah ini dah jadi macam satu trend baru untuk menuduh orang. Lepas tuduh, bersumpah nak membenarkan tuduhan.

"Iaitu guna metodologi Islam (sumpah) untuk menghalalkan benda yang bukan syarak (fitnah)," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas hasrat Eskay yang mahu bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau juga turut mengulangi penegasan bahawa Anwar juga tidak perlu bersumpah atas desakan mana-mana pihak kecuali hakim mahkamah syariah.

"Jika Anwar bersumpah di khalayak seperti yang didesak pihak tertentu, adakah ia menjamin bahawa tuduhan ke atasnya itu digugurkan?" soal Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menegaskan Anwar tidak perlu bersumpah mubahalah atau kerana pelaku dalam rakaman video seks masih belum dibuktikan lagi.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya.



Isu nasi lemak untuk lindungi wabak negara
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS sangat prihatin terhadap isu yang berlaku menyentuh aspek pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini termasuklah aspek pemakanan di sekolah.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata, PAS tidak mahu isu pemakanan menenggelamkan isu besar seperti isu akhlak di kalangan pelajar dan belia, isu PPSMI, isu diskriminasi politik termasuk ke atas guru, rasuah, jenayah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain yang belum diselesaikan.

“Apakah isu pemakanan ini serius atau hanya untuk menabiri dan melindungi isu-isu besar yang sedang mewabak dalam negara?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada keputusan Kerajaan untuk menyekat penjualan nasi lemak di sekolah seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar harian bersama dengan sejumlah senarai makanan dan minuman yang lain.

Menurutnya, isu pemakanan untuk pelajar-pelajar bukanlah isu yang sangat besar berbanding dengan isu akhlak dan gejala sosial yang menjadi wabak di kalangan pelajar dan belia dalam negara hari ini.

Beliau menambah, sesuatu isu sepatutnya diselesaikan secara berstrategik dalam erti kata ianya hendaklah mengambil kira kemampuan anggota masyarakat untuk mengikuti aturan dan peraturan yang hendak dikenakan.

“Apakah isu sebenar di kalangan pelajar dewasa ini?” tanya beliau lagi.

Menurutnya lagi, diandaikan isu pemakanan merupakan isu besar, maka ia mestilah dikaji secara teliti di mana spek-aspek kebudayaan dan cara hidup khususnya yang membabitkan aspek pemakanan dalam masyarakat.

Katanya, budaya pemakanan ini tidak boleh ditukar secara drastik dengan suatu penguatkuasaan undang-undang kerana aspek perundangan tidak boleh mengatasi aspek kemanusiaan.

Beliau berkata, menukar menu makanan di sekolah secara drastik membabitkan makanan tradisi seperti nasi lemak walaupun nampaknya mudah tetapi akan menekan kehidupan dan kebiasaan yang belum tentu mendatangkan mudarat, sedangkan memaksa mereka meninggalkannya lebih menyusahkan dan membebankan banyak pihak kerana makanan itu adalah mengenyangkan dan mudah serta menjadi adat dan kebiasaan yang sudah bersebati dalam kehidupan masyarakat.

“Mana satu yang lebih mudarat membiarkan menu nasi lemak seperti biasa ataupun membebankan masyarakat dengan peraturan-peraturan yang baru?

“Apa bezanya nasi lemak dengan nasi minyak, mee kuning, nasi goreng, nasi dagang, roti canai dan seumpamanya?” soalnya lagi.

Oleh kerana itu, ujarnya maka pendidikan kepada anggota masyarakat untuk mengamalkan budaya baru yang difikirkan baik adalah lebih penting daripada memaksa meraka meninggalkan kebiasaan yang tidak terbukti kemudaratannya.

Dalam isu ini, katanya aspek-aspek kemampuan ibu bapa dalam semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar, kamampuan pengusaha-pengusaha kantin dan asrama dan kemampuan sekolah untuk melaksanakan peraturan dan kemampuan pelajar untuk mematuhi adalah isu besar yang memerlukan masa dan proses mendidik untuk memampukan mereka mematuhi peraturan-peraturan yang hendak dijalankan.

Sebagai perbandingan, katanya lagi isu pelajar-pelajar merokok, walaupun ia tidak dibenarkan dan diharamkan, namun peraturan-peraturan yang ada tidak dapat menyekat mereka daripada merokok bahkan masalah menjadi bertambah besar kerana makin ramai pelajar yang merokok.

Beliau berkata isu gengsterisme, pencabulan, pemakaian yang tidak menutupi aurat dan terlalu ketat pergaulan bebas, seks rambang, dadah, arak, ponteng sekolah, rempit, mencuri, ragut, vandalisme tidak menghormati guru dan menderhakai ibu bapa adalah isu-isu yang sangat menyayat hati dan mesti ditangani segera.

Pada hari ini, ujarnya terlalu banyak isu yang sedang berlaku menyentuh bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini yang kalau tidak ditangani akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara dan rakyat.

“Apabila pihak Kerajaan mahu memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adakah ia bermakna isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) telah pun diselesaikan sesuai dengan tuntutan Perlembagaan Negara dan kepentingan nasional serta menjamin hak umat Islam di negara ini?” soalnya.


Tiada ulasan: