Kita Semua Adalah Pemimpin
Tarikh:
Oct 08, 2012
Riwayat:
Bukhari dan Muslim
Kategori:
Isu-isu Semasa
Hadith:
Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua
adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan,
ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya,
kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya,
oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya
tentang kepimpinannya”.
Huraian Hadith:
-
Setiap manusia diberi tanggungjawab mengikut kedudukan masing-masing.
-
Semua tanggungjawab yang diamanahkan akan ditanya oleh Allah diakhirat kelak.
-
Islam mengajar umatnya supaya benar-benar beramanah dengan tanggungjawab mengikut lunas-lunas yang diharuskan.
-
Suami dan isteri adalah rakan kongsi dalam kehidupan rumahtangga,
setiap daripada kedua-duanya wajib melaksanakan hak terhadap yang lain.
Ancaman kepada pemimpin yang zalim
Dr. Fathul Bari Mat JahyaPerbuatan khianat dan zalim merupakan dosa besar yang mendapat ancaman berat, tidak kira dilakukan oleh siapa pun. Allah SWT memberi amanah kepada setiap manusia maka siapa saja yang mengkhianatinya nescaya tersedia baginya azab yang pedih. Nabi SAW bersabda, “Takutlah kamu kepada kezaliman, kerana kezaliman adalah kegelapan pada Hari Kiamat.” (Bukhari & Muslim)
Hakikatnya setiap manusia adalah pemimpin, cuma bezanya adalah kecil atau besar kekuasaan. Ini sebagaimana sabda Nabi, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpin. Seorang ketua adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta tersebut.” (Bukhari & Muslim)
Pemimpin negara adalah orang yang paling berat memikul amanah kerana besarnya jumlah orang yang di bawah pimpinannya. Dia akan disoal tentangnya di Akhirat kelak. Pemimpin negara juga lebih mudah membuat kezaliman disebabkan kuasa ada padanya, serta lebih terdedah kepada penyakit nifaq seperti disebut ciri-cirinya dalam hadis; “Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat.”
Maka hendaklah para pemimpin bertakwa kepada Allah dan bertaubat atas perbuatan zalim yang pernah dilakukan. Beratnya beban yang dipikul dan akan dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin, sehingga Nabi SAW bersabda, “Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Ironinya pada hari ini kita dapati manusia merebut-rebut jawatan kepimpinan. Apa yang disebutkan oleh Nabi 1400 tahun dahulu menjadi nyata, “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di Hari Kiamat ia menjadi penyesalan.” (Bukhari)
Islam hakikatnya melarang dari meminta jawatan kepimpinan, dan melarang memberi jawatan kepada orang yang memintanya. Perintah Syarak ini lazim dilanggar dalam politik demokrasi. Ini merupakan satu musibah demokrasi tanpa kita sedari.
Sabda Rasulullah SAW, “Kami tidak akan memberi jawatan pemerintahan kepada orang yang meminta dan orang yang bercita-cita untuk mendapatkannya.” Rasulullah juga bersabda, “Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta kepemimpinan. Kerana jika engkau diberi tanpa meminta nescaya engkau akan ditolong. Namun jika diserahkan kepadamu kerana permintaanmu nescaya ia akan dibebankan kepadamu.” (Riwayat Bukhari)
Oleh itu, orang yang tidak cekap dan tidak berkebolehan untuk memimpin dan mengurus tadbir tidak boleh mengambil jawatan. Sabda Nabi SAW: “Apabila urusan diserahkan kepada selain ahlinya, nantikanlah hari kiamat.” (Riwayat Bukhari)
Abu Zar Al-Ghifari ra. pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau ingin memberi aku jawatan (kepimpinan)?” Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan berkata; “Wahai Abu Zar, engkau seorang yang lemah sedangkan kepemimpinan adalah amanah dan pada hari kiamat nanti ia menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan apa yang harus dia tunaikan dalam kepimpinan tersebut.” (Riwayat Muslim)
Seorang pemimpin wajib berlaku adil hatta dalam urusan yang melibatkan keluarga sendiri. Ketika orang menyuruh Usamah bin Zaid ra. meminta kepada Rasulullah supaya diringankan hukuman seorang wanita yang mencuri kerana keturunannya yang mulia, Rasulullah dengan tegas berkata, “Sekiranya Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Baginda) mencuri, pasti aku potong tangannya.”
Ini contoh yang mesti diikuti, iaitu adil tanpa pilih kasih. Maka sebelum mengambil jawatan kepimpinan, tanyalah pada diri, adakah kamu mampu adil kepada rakyat dan ahli keluarga apabila memiliki kuasa? Ternyata bukan semua orang mampu melakukannya. Ia adalah amanah yang cukup berat. Hendaklah para pemimpin bertakwa kepada Allah dengan menunaikan amanah yang dibebankan atas mereka secara saksama.
Adapun rakyat, hendaklah mereka juga bertakwa kepada Allah dengan menunaikan kewajipan mereka terhadap pemerintah, iaitu dengar dan patuh dalam hal makruf, bersabar atas perkara yang tidak disukai, serta tidak merebut kepemimpinan sesuai amaran Rasulullah yang disebutkan dalam banyak hadis sahih.
Jika hak mereka tidak dipenuhi, mereka tetap wajib taat sebagaimana hadis Salamah Al-Ju’fi ra. yang bertanya kepada Rasulullah: Wahai Nabi Allah, bagaimana jika kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan? Rasulullah SAW bersabda, “Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu.” (Riwayat Muslim)
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 1 September 2013
Pilihlah Pemimpin Yang Takut Kepada Allah
Jika ditanya "Siapa mahu jadi pemimpin?" Pasti ramai yang akan bukan setakat menawarkan diri malah menjadi buruan dan rebutan. Di kebanyakan negara perebutan untuk menjadi pemimpin hingga mencetuskan persaingan sengit, persengketaan, permusuhan, perbalahan, berbunuhan malah hingga ke peringkat tercetusnya perang saudara. Saling berdendam, jatuh menjatuh, kutuk mengutuk, tuduh menuduh, guling mengguling, rampas kuasa adalah perkara biasa sahaja.
Realiti ini sedang berlaku di seluruh dunia. Perebutan untuk menjadi pemimpin itu merupakan simbol cinta dunia yang keterlaluan. Masing-masing terlalu ambisious kerana melihat kepada habuan dan imbuhan yang akan diperolehi. Pihak yang sedia berada di persada kepimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan itu kerana terlalu sayangkan habuan dan keistimewaan yang dikecapi selama ini.
Biarpun banyak seruan dan peringatan dibuat agar tidak menjadikan kepimpinan itu sebagai lubuk kekayaan, namun sukar diterima seruan tersebut kerana terbukti mereka yang memiliki jawatan kepemimpinan itu telah dan sedang tenggelam dalam lautan kekayaan yang melampau.
Cuba bayangkan kalau berlaku di sebuah negara yang pemimpinnya boleh memiliki tanah 1000 hektar dalam tempoh pengurusan hanya dua hari sahaja. Cuba kira pula bagaimana pemimpin di sebuah negara yang para menterinya mendapat habuan 2% setiap kali kontrak kementerian bernilai berbilion ringgit ditandatangani. Begitu juga berlaku di sebuah negara yang lahir ramai "millionaire by-night" yakni dalam satu jamuan malam secara ringkas berjaya memperolehi kawasan balak dengan mudah.
Keistimewaan duniawi inilah yang sering menjadi perhitungan dalam mendorong usaha keras untuk berada di tampuk kepimpinan. Tidak kurang juga yang melihat peluang lain di antaranya ialah populariti, meningkatkan 'self esteem' dan pengaruh.
Jika tawaran kepimpinan itu tanpa habuan, kelebihan, kemudahan atau keistimewaan mungkin ramai yang tidak cicir air liur, tidak ghairah, tidak memberi sebarang reaksi atau sekadar diterima dengan tawar dan hambar. Jika dilantik begitu saja mungkin ditolak dengan alasan membuang masa, membebankan tenaga dan menghabiskan harta benda.
Di sinilah kelihatannya sebagai bukti bahawa tiada yang memandang dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinan itu satu amanah besar, berat dan penuh tanggungjawab di hadapan Allah SWT. Hampir tiada yang melihat kepimpinan itu adalah soal siapa mahu tetapi siapa mampu.
Kepimpinan juga sama seperti bidang lain yang mestilah berasaskan kelayakan. Layaknya seseorang menjadi pemimpin itu adalah kerana dirinya memang memiliki bakat semulajadi, dapat pula memenuhi ciri-ciri kewibawaan dan masak dengan selok belok peranan kepimpinan.
Terlalu luas dan banyak aspek yang perlu difahami dan dihayati oleh seseorang yang bergelar pemimpin. Namun dari keseluruhan aspek itu dapat dirumuskan berdasarkan pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a kepada para pemimpin negeri dan daerah yang hadir dalam pertemuan bulanan.
Kata Sayidina Umar: "Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.
Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu. Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna."
Bersandarkan kepada intipati pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab tersebut bahawa mereka yang berkelayakan menjadi pemimpin itu mesti memiliki dua perkara pokok. Pertama; ketaqwaan, kedua; kepintaran.
Jika pemimpin itu bertaqwa, segala urusannya dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sangat penting para pemimpin dibantu oleh Allah SWT, kerana dengan demikian itu akan terjamin segala urusannya tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya.
Pemimpin bertaqwa apabila menjadi pemimpin dia akan tetap teguh pendirian sebagai wakil Allah SWT. Dia tidak mewakili dirinya atau tidak mewakili mana-mana pihak.
Wakil Allah SWT (khalifah) di atas bumi ini, dia tidak akan memihak kepada sesiapapun. Keadilan akan terjamin di dalam kepimpinannya. Kerana Allah SWT itu Maha Adil maka pemimpin yang mewakili Allah SWT pasti berlaku adil.
Pemimpin bertaqwa bukan sahaja perkara haram atau makruh diketepikannya kerana yang haram itu berdosa dan yang makruh itu dibenci oleh Allah SWT. Orang bertaqwa, dibenci oleh Allah SWT pun sangat dibimbanginya. Malah perkara halal pun sangat berhati-hati. Kerana yang halal itu kalau berbentuk material, keharusan memilikinya tetap ditakuti kerana hisab yang lama di Akhirat nanti.
Pemimpin bertaqwa adalah seorang yang sering membuat muhasabah dirinya, sama ada dalam hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia atau urusan manusia.
Kecacatan, kelalaian lebih-lebih derhaka kepada Allah SWT sangat ditakutinya kerana dengan penuh sedar bahawa dia sedang melakukan kerja kerja Allah SWT. Allah SWT tidak pandang atau dengan kata lain tidak ada nilai bagi orang yang membuat kerja Allah SWT tetapi jauh dari Allah SWT.
Kecacatan dalam urusan manusia di bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi, keperluan kehidupan dan sebagainya akan menjadikan rakyatnya membenci atau memusuhinya. Lebih-lebih lagi ditakuti kalau gagal memimpin dan mendidik hati manusia supaya kenal, taat dan takut kepada Allah SWT.
Penyebab perpecahan adalah sifat mazmumah. Sikap suka disanjung, suka dipuja hingga taksub, suka mempromosi diri adalah mazmumah. Amat penting bagi pemimpin mengenal sifat mazmumahnya. Kerana mazmumah dirinya itu boleh mencacatkan kepimpinannya. Ego, pemarah, tamak, diktator, bakhil membuatkan rakyat benci dan memusuhinya. Hanya pemimpin bertaqwa sahaja yang mampu mendidik diri dan mendidik rakyat.
Pemimpin bertaqwa tidak mudah dengan sewenang-wenangnya menyalahkan orang lain atau rakyatnya yang mengumpat atau mencerca dirinya. Jika pemimpin itu baik, tidak melihat kesalahan diri dan membaiki segala kesilapan dan cacat cela diri.
Mengapa Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a berupaya memimpin dan mentadbir empayar yang luasnya 3/4 (tiga suku) dunia? Kerana urusan Sayidina Umar dibantu oleh Allah SWT dan melaksanakan dua prinsip asas ini iaitu taqwa dan kepintaran. Tidak terpisah antara keduanya.
Hari ini kepimpinan sering rosak dan cacat kerana hanya memiliki kepintaran tanpa taqwa. Akhirnya bukan saja dirinya rosak, kepimpinannya rosak malah rakyat juga turut menanggung akibatnya. Sebab itu rakyat juga turut terlibat dengan seribu satu macam gejala negatif dan mungkar kerana itu manifestasi atau buah dari kepimpinan yang tidak bertaqwa.
Sayidina Umar tidak tidur malam kerana menyelesaikan segala urusan dengan Allah SWT. Dan tidak tidur siang untuk menyelesaikan urusan umat. Sayidina Umar Ibnu Aziz pula menangis hampir setiap malam sepanjang kekhalifahan beliau. Rintihan beliau ialah; "Urusan diri pun belum tentu selamat, ini pula hendak memikul urusan umat."
Pentingnya pemimpin memiliki sifat taqwa dan cerdik, digambarkan dalam pertanyaan Rasulullah ﷺ ketika melepaskan Sayidina Muaz menjadi gabenor di Yaman,
Rasulullah ﷺ bertanya:
“Dengan apa nanti engkau menghukum?”
"Dengan Kitabullah,” jawab Muaz.
“Kalau tidak ada?”
“Dengan Sunnah Rasul-Nya. ”
"Jika tidak ada dalam Sunnahnya?”
Muaz menjawab, “Aku akan berijtihad dengan fikiranku. ”
Rasulullah ﷺ berkata, “Segala puji bagi Alllah yang menyelaraskan fahaman urusan Rasulullah dengan apa yang diredhai Rasulullah. ” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At Tarmizi)
Maka kecintaan Muaz terhadap Kitabullah dan Sunnah Rasulullah tidak menutup pintu untuk mengikuti buah fikirannya, dan tidak menjadi penghalang bagi akalnya untuk memahami kebenaran-kebenaran hebat yang masih tersembunyi yang menunggu usaha orang yang akan menghadapi dan menyingkapnya.
Sejarah telah mengkhabarkan, kecerdasan akal dan keberanian Sayidina Muaz mengemukakan pendapat, hampir menyamai Umar bin Khattab.
Ada di antara kepimpinan di dunia masakini yang sudah di persada puluhan dan belasan tahun. Kedapatankah sifat dan sikap seperti Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Muaz Bin Jabal atau Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz itu? Di zaman kepimpinan umpama merekalah yang dimaksudkan oleh Allah SWT,
بَلۡدَةٌ۬ طَيِّبَةٌ۬ وَرَبٌّ غَفُورٌ۬
"Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT." (Saba' 34:15)
Baik atau 'thaiyibah' itu bererti manusia berada dalam aman damai dan berkecukupan dalam segala keperluan hidup rohani dan jasmani, spiritual dan material. Aman sejahtera kehidupan manusia kerana sangat minimanya segala unsur negatif, maksiat kejahatan dan kemungkaran.
Mendapat keampunan Allah SWT pula adalah kerana majoriti masyarakat Islamnya bertaqwa atau mempunyai ciri-ciri orang soleh. Iaitu orang yang rata-rata menggabungkan iman dan kebaktian. Iman terhadap Allah SWT, kebaktian pula untuk sesama manusia.
Ciri-ciri ini akan tercapai dan berjaya dicetuskan hanya oleh pemimpin yang bertaqwa dan pintar.
محمد فضلي بن يوسف
13 Rabiul Akhir 1432H18 Mac 2011
173 - Memahami Konsep Asas Negara dan Pemimpin Umat Islam
Memahami Konsep Asas Negara dan Pemimpin Umat Islam
Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Siapakah Pemimpin?
Dalam
fiqh Islam, ketua negara atau pemimpin umat Islam disebut dengan
beberapa nama. Ia adalah seperti Khalifah, Imamatul Kubra (pemimpin
utama atau tertinggi), al-Imam, Waliyyul Amr, Imaratul Mukminin atau
Amirul Mukminin, imam al-Muslimin, Sultan, dan al-Malik (raja).
Kemudian, di bawah pemimpin tertinggi akan ada pula wakil-wakil
pemimpin, para pembantunya, menteri-menteri, wali kota, garbenor,
panglima, dan selainnya yang dilantik oleh pemimpin pertama (tertinggi).
Memilih
seorang pemimpin (muslim) bagi menguruskan hal ehwal umat Islam dalam
sesebuah negara hukumnya adalah wajib berdasarkan al-Qur’an, as-Sunnah
dan ijma’ ulama. Tugas pemimpin umat Islam secara umum adalah untuk
menjaga urusan agama dan dunia.
Al-Khaththabi rahimahullah menyebutkan:
ان المراد بأئمة المسلمين الخلفاء وغيرهم ممن يقوم بأمور المسملين من اصحاب الولايات
“Yang
dimaksudkan dengan pemimpin umat Islam adalah para khalifah dan
selainnya dari kalangan para pemimpin yang memegang tanggungjawab
menguruskan hal-ehwal umat Islam (masyarakat).” (Syarah Shahih Muslim,
2/38)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap
kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan
kepimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal
masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan
kepimpinannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 6/296,
no. 1627. Hadis hasan sahih)
Syaikh
‘Abdus Salam B. Barjas rahimahullah telah menggariskan beberapa kaedah
dalam menentukan siapakah dia pemimpin (bagi umat Islam). Yang dengannya
ia perlu ditaati, dihormati serta mendapat hak-haknya sebagai pemimpin
atau pemerintah. Berikut disimpulkan kaedah-kaedah tersebut secara
ringkas yang diambil dari buku beliau Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, pada bab fii Qowa’id Tata’allaq bil Amanah:
1
– Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang memiliki kedaulatan atau
kuasa mentadbir masyarakat atau rakyat. Sama ada dari sudut
perundangan, kuasa, kekuatan, sokongan rakyat, ataupun ketenteraan.
2
– Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang telah dipilih, atau
telah menang dan memegang kuasa pemerintahan, maka dia adalah pemimpin
yang wajib ditaati dan dihormati, tidak boleh dilawan, dan tidak boleh
keluar dari ketaatan kepadanya. Sama ada dia mencapai kerusi kepimpinan
tersebut secara syar’i atau sebaliknya.
3
– Walaupun pemimpin tersebut tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan
sebagai seorang pemimpin yang sah, namun apabila dia telah memegang
kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib untuk ditaati dan haram
menentangnya.
4
– Dibolehkan bagi setiap negara, atau wilayah tertentu memiliki
pemimpin masing-masing tanpa terikat dengan wilayah yang lain apabila
ianya telah berlaku. Setiap masyarakat atau rakyat perlu mentaati
pemimpin tertinggi dan wakil-wakilnya bagi wilayah atau negaranya
masing-masing.
Imam asy-Syaukani rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah Subhanhu wa Ta’ala, surah an-Nisa’ ayat 59, beliau menyatakan:
وأولي الأمر هم: الأئمة، والسلاطين، والقضاة، وكل من كانت له ولاية شرعية لا ولاية طاغوتية
“Ulil
amri adalah para imam, sultan, qadhi, dan setiap orang yang memiliki
kekuasaan syar’iyyah, bukan kekuasaan thaghutiyyah.” (Imam asy-Syaukani,
Fathul Qadir, 2/166)
“Para
ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri di sini
adalah orang yang Allah wajibkan kepada kita untuk taat kepadanya, iaitu
mereka yang memegang kekuasaan dan memimpin. Ini adalah perkataan
jumhur ulama salaf dan khalaf daripada kalangan ahli tafsir, fuqaha’
(ulama fiqh), dan selainnya. Dan ada yang menyatakan ia adalah ulama.
Dan ada pula pendapat lain menyatakan ia adalah pemimpin dan ulama.
Adapun yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai ulil amri di sini
adalah para sahabat sahaja, maka pendapat ini adalah tertolak.” (Syarah
Shahih Muslim, 12/224)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:
وهو
أن النبي صلى الله عليه و سلم أمر بطاعة الأئمة الموجودين المعلومين الذين
لهم سلطان يقدرون به على سياسة الناس لا بطاعة معدوم ولا مجهول ولا من ليس
له سلطان ولا قدرة على شيء أصلا
“Sesungguhnya
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan supaya taat
kepada imam (pemimpin) yang sah (yang wujud), yang diketahui, yang
memiliki (memegang) kuasa perundangan untuk mentadbir urusan masyarakat.
Tidak ada ketaatan bagi pemimpin yang tidak wujud, yang tidak diketahui
(atau tidak diiktiraf) sebagai pemimpin, dan yang tidak memiliki
jawatan (kuasa) kepimpinan ke atas segala sesuatu yang mana secara
asalnya tidak ada ketaatan bagi orang yang tidak memiliki kekuasaan dan
tidak memiliki kemampuan apapun.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah
an-Nabawiyah, 1/115 - Mu’assasah al-Qurthubah)
Ibnu
Baththal berkata, “Para fuqaha’ telah sepakat (ijma’) berkenaan
kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia
mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan
(mutaghallib), dan hendaklah kita berjihad bersama-samanya. Ini adalah
kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan
kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang
dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai
(masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan
apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul
Bari, 13/7)
Sebagaimana
juga perkataan Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H), “Apabila
naiknya Abdul Malik B. Marwan dengan cara keluar menentang Ibnu
az-Zubair, membunuhnya, memaksa rakyat dengan pedang hingga dia naik
sebagai imam (pemimpin) dan diberikan bai’ah, maka wajib pula mentaati
pemerintah yang mutaghallib (yang naik dengan cara yang tidak syar’i)
ini.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/526)
Melantik Pemimpin
Kewujudan
seorang pemimpin bagi umat Islam adalah suatu keperluan. Ini bagi
tujuan menjaga urusan dan kemaslahatan hal-ehwal umat Islam seperti
menjaga keamanan, perpaduan, mengawal serangan musuh, menegakkan agama,
menegakkan undang-undang, dan seumpamanya.
Dalam
al-Ahkam as-Sulthaniyah Imam al-Mawardi menyatakan bahawa pemimpin
dilantik adalah bagi tujuan menggantikan Nabi dalam urusan menjaga agama
dan mentadbir urusan umat Islam. Jadi, adalah suatu kewajiban untuk
melantik pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab dalam urusan
berkaitan tersebut.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
“Wajib
diketahui bahawa melantik pemimpin bagi urusan masyarakat adalah
kewajiban agama yang besar. Urusan keduniaan mereka tidak dapat
ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin). Kemaslahatan bani Adam
tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpunnya mereka (masyarakat) di
bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling memerlukan di
antara satu dengan yang lainnya. Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam bersabda, “Sekiranya kamu keluar di dalam perjalanan (safar)
seramai tiga orang, maka hendaklah kamu lantik salah seorang di antara
kamu sebagai ketua.” Hadis Riwayat Abu Daud daripada Abu Sa’id dan Abu
Hurairah.
Melalui
hadis ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan
supaya dilantik seorang ketua mengetuai satu-satu kumpulan tertentu bagi
sebuah perjalanan. Perintah ini juga dilaksanakan bagi apa jua bentuk
organisasi yang manusia berhimpun padanya.
Allah
Subhanahu wa Ta’ala juga telah mewajibkan amar ma’ruf nahi mungkar
(berdakwah). Dan perkara ini tidak mungkin berlaku tanpa kekuatan dan
kuasa pemerintahan. Begitu juga dengan perkara lain yang diwajibkan oleh
Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti jihad, menegakkan keadilan,
menunaikan ibadah haji, solat Juma’at, solat hari raya, membantu mereka
yang dizalimi serta melaksanakan hudud (perundangan), yang mana kesemua
ini tidak mungkin berlaku tanpa kekuatan dan kuasa pemerintahan.
Berkaitan perkara ini telah diriwayatkan satu hadis, “Sesungguhnya
pemimpin itu adalah bayangan Allah di atas muka bumi ini.” Diriwayatkan
juga, “Hidup selama enam puluh tahun di bawah pemerintahan yang zalim
itu lebih baik daripada satu malam tanpa ada pemerintah.” Sejarah telah
membuktikan perkara tersebut.
Ulama
salaf seperti al-Fudhail B. Iyadh dan Ahmad B. Hanbal pernah berkata,
“Sekiranya kami memiliki doa yang mustajab, nescaya akan kami gunakannya
untuk mendoakan pemimpin.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Bahawasanya Allah meredhai bagi kamu tiga perkara, iaitu hendaklah
kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan
sesuatu apa pun, hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah dan
jangan kamu bercerai-berai, dan hendaklah kamu memberi nasihat kepada
orang-orang yang dipertanggungjawab oleh Allah mentadbir urusan kamu.”
Diriwayatkan oleh Muslim. Dan sabdanya, “Tiga perkara yang dengannya
hati seseorang Muslim tidak ditimpa dengki adalah mengikhlaskan amal
kerana Allah, memberi nasihat kepada para pemimpin umat Islam, dan
berpegang kepada jama’ah umat Islam, kerana doa mereka mengelilingi dari
belakang.” Diriwayat oleh ahli Sunan. Dan juga di dalam ash-Shahih
beliau bersabda, “Agama adalah nasihat, agama adalah nasihat, agama
adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Untuk siapa wahai Rasulullah?”
Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat
Islam, dan untuk umat Islam.” Maka adalah suatu yang wajib untuk
melantik pemimpin. Ia termasuk bentuk perbuatan mendekatkan diri kepada
Allah. Bahawasanya mendekatkan diri kepada Allah melaluinya dengan cara
mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah sebaik-baik taqarrub.” (Majmu’
al-Fatawa, 28/390-391)
Melantik
seorang pemimpin adalah merupakan satu kewajiban yang mana ianya telah
pun ditentukan syara’ berdasarkan ijma’ (kesepakatan) para sahabat dan
tabi’in. Ini antaranya berdasarkan peristiwa wafatnya Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat pun segera membai’at Abu
Bakar serta menyerahkan urusan kepimpinan (pentadbiran) kepadanya. Dalam
sepanjang perjalanan sejarah umat Islam, tidak pernah masyarakat Islam
dibiarkan begitu sahaja tanpa dipimpin oleh pemimpin. Dan keadaan ini
terus berkekalan sehingga hari ini, sekaligus menjadi bukti bahawa
kehadiran seorang pemimpin untuk mentadbir urusan umat Islam adalah
begitu penting. Selain bagi memastikan setiap uruan dapat berjalan
dengan baik, ia juga bagi mengelakkan berlakunya huru-hara, kacau-bilau,
pertelingkahan, dan seumpamanya.
Dalam Islam, pemimpin dilantik dengan cara:
1.
Isyarat daripada nash (hadis-hadis) sebagaimana dilantiknya Abu Bakar
setelah kewafatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
2. Pemilihan oleh Ahlul halli wal ‘aqd (ahli syura atau para ulama).
3.
Isyarat atau perlantikan dari pemimpin sebelumnya. Sebagaimana Abu
Bakar mengisyaratkan ‘Umar untuk menjadi khalifah setelahnya.
4.
Perwarisan, sebagaimana Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Daud. Juga
sebagaimana Yazid mewarisi kepimpinan Mu’awiyah. Kemudian, Yazid
mewariskan kepada anaknya.
5.
Kepimpinan juga boleh berlaku dengan cara yang tidak syar’i, seperti
melalui pemberontakan, rampasan kuasa, atau paksaan. Pemberontakan dan
rampasan kuasa adalah dilarang (haram) di sisi Islam, tetapi apabila ia
telah berlaku dan pemberontak berjaya meraih kuasa kepimpinan, mereka
tetap wajib ditaati (sebagaimana syarat-syarat yang telah atau bakal
dijelaskan). Mereka berdosa atas perbuatan mereka (sebagai pemberontak),
dan itu adalah urusan mereka dengan Allah.
Adapun
mentaati mereka, ia telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil syara’
yang jelas, berdasarkan ijma’ (kesepakatan para ulama), dan bertujuan
mengutamakan maslahah serta menolak mudharat yang lebih besar lagi.
Pada
hari ini, pemerintah mungkin dilantik melalui kaedah demokrasi
berpilihanraya. Kaedah-kaedah yang dipraktikkan sistem demokrasi ini
telah melahirkan banyak perbahasan dan kritikan daripada kalangan ulama
ahlus sunnah wal-jama’ah kontemporari. Di antara tulisan yang baik dalam
menjelaskan sistem demokrasi berpilihanraya dari sudut pandang Islam
setakat pengetahuan penulis adalah buku berjudul Tanwir azh-Zhulumat bi Kasyif Mafasid wa Syubuhat al-Intikhabaat
oleh Syaikh Abu Nashr Muhammad B. ‘Abdillah al-Imam. Buku ini turut
mendapat pengiktirafan daripada Syaikh al-Allamah al-Muhaddis Muqbil B.
Hadi al-Wadi’i rahimahullah.
Asas
sejarah politik demokrasi yang diamalkan kebanyakan negara dunia pada
hari ini berasal dari tamadun Yunani Greek. Ia memiliki slogan, “Dari
rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat.” Sebaliknya, politik Islam secara
umumnya adalah “Dari Allah, untuk Allah, kerana Allah.”
Demokrasi
berpilihanraya membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat untuk
terlibat dalam pemilihan atau perlantikan pemimpin bagi sesebuah negara
Islam. Sehingga sesiapa sahaja sama ada yang muslim atau yang kafir,
yang berilmu atau yang jahil, yang amanah atau yang adil, yang soleh
atau yang fasiq, yang berpendidikan atau sebaliknya, diberikan hak
begitu sahaja untuk terlibat secara langsung melantik siapa sahaja
pemimpin yang mereka cenderungi.
Sedangkan
dalam Islam, pemilihan pemimpin bukan perkara kecil. Ia melibatkan
kriteria kelayakan dan kemampuan yang benar-benar diakui untuk tugasnya
menjaga agama dan urus tadbir masyarakat. Jadi, pemilihan pemimpin tidak
sebegitu mudah diperjudikan dan diserahkan kepada sesiapa sahaja bebas
untuk membuat pilihan.
Walaupun
kaedah pemilihan melalui sistem demokrasi ini tidak syar’i berdasarkan
pendapat yang kuat dan sahih, tetapi barisan pemimpin yang telah
mendapat mandat dan kuasa kepimpinan melaluinya tetap wajib untuk
ditaati sebagaimana dijelaskan dalam cara ke-5 di atas tadi.
Wallahu
a'lam - Analogi mudah yang mungkin boleh disebutkan, ini sama
situasinya dengan hukum merampas tunangan orang adalah haram, tetapi
apabila perkahwinan telah berlangsung (dengan tunangan orang tersebut),
perkahwinan tersebut tetap dianggap sah.
Maksud Politik (al-Siyasah) dan Tujuannya
Al-siyasah (politik) dalam bahasa ‘Arab bererti:
تدبير الأمور والقيام بإصلاحها، يقال: ساس الأمر سياسة أي قام به
Menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya. Apabila dikatakan Sasa al-‘Amr siyasah bererti ia melaksanakannya.
Dalam hadis disebutkan:
كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء
“Bani Israel telah ditadbir (tasusuhum (mereka disiyasahkan)) oleh para nabi.”
أي تتولَى أمورهم كما تفعل الأمراء والولاة بالرعية
Maksudnya,
nabi-nabi menguruskan hal-ehwal mereka sebagaimana yang dilaksanakan
oleh para pemerintah yang menguruskan hal-ehwal rakyatnya.
Al-siyasah
dari sudut istilah pula memiliki beberapa definisi. Di antaranya adalah
mentadbir urusan negara. Juga disebutkan sebagai suatu ilmu atau
kemahiran dalam urusan memerintah negara.
Sebenarnya
politik adalah ilmu dan kemahiran. Ia merupakan ilmu kerana ia memiliki
prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin tertentu yang secara
keseluruhannya membentuk “ilmu politik”. Politik juga dikatakan sebagai
kemahiran kerana ingin ditekankan bahawa dalam realiti perlaksanaannya
ia tidak mungkin terhad kepada semata-mata melaksanakan undang-undang
yang bersifat teori dan tidak juga kepada perlaksanaan sebenar kekuasaan
atau kekuatan, malah ia menuntut kepakaran tertentu yang diperolehi
melalui pengalaman dan pengetahuan berkaitan kaedah-kaedah praktikal
yang tertentu.
Sistem
politik pula adalah satu struktur yang mengatur hubungan di antara para
pemimpin dengan orang bawahan dan ia terbentuk daripada keseluruhan
institusi yang mengatur masyarakat awam dan institusi yang mengatur
kekuasaan. Teks bagi sistem politik terdapat dalam perlembagaan di
pelbagai negara. Sistem-sistem politik juga berbeza-beza berdasarkan
sumber kekuasaan, cara mengatur, dan sturktur negara.
Politik
dari perspektif Islam adalah menjaga hal-ehwal rakyat di dalam dan luar
negara dengan cara yang tidak bertentangan dengan syara’.
Politik
yang syar’i tidak hanya terbatas kepada apa yang disebutkan oleh syara’
secara khusus, tetapi apa yang penting adalah dengan tidak menyalahi
teks al-Qur’an, as-Sunnah, ijma’ umat Islam (para ulama), kaedah-kaedah
syara’, serta ushul-ushulnya secara umum. (Rujuk: Dr. Khalid al-Anbari,
Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul
Salaf al-A’immah, m/s. 9-10)
Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menukilkan,
فقال
ابن عقيل السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح وأبعد عن
الفساد وإن لم يضعه الرسول صلى الله عليه و سلم ولا نزل به وحي
“Menurut
Ibnu ‘Aqil, siyasah syar’iyyah itu adalah apa jua tindakan yang mampu
mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka
daripada keburukan walaupun tidak ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam dan tidak diturunkan wahyu padanya.” (Ibnul Qayyim,
at-Turuq al-Hukumiyat, m/s. 17)
Menurut ‘Abdul Wahhab Khallaf (1357H):
فالسياسة
الشرعية هي تدبير الشئون العامة للدولة الإسلامية بما يكفل تحقيق المصالح
ودفع المضار مما لا يتعدى حدود الشريعة وأصولها الكلية، وإن لم يتفق وأقوال
الأئمة المجتهدين
“Siyasah
asy-Syar’iyyah adalah proses pentadbiran yang selari dengan syara’,
yang mana perjalanan urus-tadbirnya menjaga kepentingan rakyat melalui
ruang lingkup daulah Islam dengan cara-cara yang dapat menjamin
tercapainya kemaslahatan (kebaikan) umum, dapat menolak pelbagai bentuk
kerugian, dan tidak melanggar syari’at Islam serta kaedah-kaedah
asasinya, walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para
imam mujtahid.” (‘Abdul Wahhab Khallaf, Siyasah Syar’iyah, m/s. 15.
Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nadzar fii
as-Siyasah, m/s. 142-143)
Ibnul Qayyim rahimahullah berkata lagi,
لا
سياسة إلا ما نطق به الشرع فغلط، وتغليط للصحابة، وهذا موضع.. فرط فيه
طائفة، وجعلوا الشريعة قاصرة لا تقوم بِمصالح العباد، محتاجة إلى غيرها..
فلما رأى ولاة الأمور ذلك.. أحدثوا من أوضاع سياساتِهم شرًّا طويلاً،
وفسادًا عريضًا، فتفاقم الأمر، وتعذر استدراكه.. فإن الله -سبحانه- أرسل
رسله، وأنزل كتبه، ليقوم الناس بالقسط، وهو العدل.. فإذا ظهرت أمارته وأسفر
وجهه بأي طريق كان، فثم شرع الله ودينه
“Sekiranya
politik adalah apa yang disebut oleh syara’ semata-mata, maka ia adalah
satu kesilapan dan menyalahi para sahabat. Ini merupakan suatu perkara
yang tidak difahami oleh sekumpulan manusia, lalu dengan itu mereka
telah menjadikan syari’at itu lemah dan tidak mampu menangani keperluan
manusia sehingga ia memerlukan (beralih) kepada yang lain. Maka apabila
para pemimpin melihat keadaan ini... mereka pun melakukan kejahatan yang
berpanjangan dan kerosakkan yang berleluasa dalam sistem politik
mereka, lalu ia menjadi semakin rumit dan sukar untuk ditangani.
Sebenarnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutuskan para Rasul-Nya
dan menurunkan Kitab-kitab-Nya supaya manusia dapat berlaku adil... maka
apabila terdapat tandanya dan ia nampak jelas dalam apa bentuk
sekalipun, maka itulah yang dikatakan syari’at dan agama Allah.” (Ibnul
Qayyim, at-Turuq al-Hukumiyat, m/s. 18 – Maktabah Syamilah)
Dr.
Khalid al-Anbari menambah, “Maka dengan itu, kita sendiri perlu
menambah perundangan yang bersesuaian dengan keperluan dan
tuntutan-tuntutan kehidupan kita dengan syarat kita tidak membenarkan
diri kita mencipta undang-undang yang bertentangan dengan nash dan
kandungan syari’at, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi
amaran kepada kita daripada perkara-perkara tersebut.” (Dr. Khalid
al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah
wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 10-11)
Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri mengutarakan sebuah nasihat:
فهي
تُعْنَى بأحكام الإمارة والقضاء وأحوال الوزارات وتدوين الدواوين وإنفاذ
الجيوش وغيرها مما تراه مفصلا في مثل غياث الأمم للجويني، و الأحكام
السلطانية للماوردي وكذا لأبي يعلى الفراء، و التراتيب الإدارية لعبد الحي
الكتاني وغيرهم. ولا شك في وجوبها شرعا وعقلا، لأن أمور الناس لا تنضبط إلا
بإمام عادلا كان أو جائرا، قال ابن حبان البستي ـ رحمه الله ـ: وأنشدني
ابن زنجي البغدادي للأفوه الأودي
لا يُصلح الناسَ فوضى لا سَراة لهم ولا سَـراة إذا جـهّـالهـم ســادوا
والبــيـت لا يـُبتـنـى إلا بـأعـمــدة ولا عـمـاد إذا لم تُــرسَ أوتـــادُ
فإن تـَجـمَّع أوتادٌ وأعمدةٌ وساكنٌ أدركــوا الأمـــر الـذي كــادوا
تُهدَى الأمور بأهل الرأي ما صلـــحت فإن تَوَلَّت فبالأشرار تنقادُ
وذكر
قبلها الحكمة المشهورة: سلطان غشوم خير من فتنة تدوم. قال ابن تيمية: يجب
أن يُعرف أن ولاية أمر الناس من أعظم واجبات الدين بل لا قيام للدين
والدنيا إلا بها، فإن بني آدم لا تتم مصلحتهم إلا بالاجتماع لحاجة بعضهم
إلى بعض، ولا بد لهم عند الاجتماع من رأس ... إلى أن قال: لأنَّ الله تعالى
أوجب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، ولا يتم ذلك إلا بالقوة والإمارة،
ولهذا روي: أن السلطان ظل الله في الأرض ويقال: ( ستون سنة من إمام جائر
أصلح من ليلة بلا سلطان ) والتجربة تبيِّن ذلك
(Yang
disebutkan dengan politik itu) adalah undang-undang pemerintahan,
menegakkan keadilan, badan eksekutif sesebuah negara, pembentukan
barisan tertinggi negara, pentadbiran ketenteraan dan juga yang
selainnya. Perkara ini dengan jelas dapat anda baca dalam kitab Ghiyatul
Umam karya al-Juwaini, al-Akham as-Sulthaniyah karya al-Mawardi dan
juga (dengan judul yang sama) karya Abu Ya’laa al-Farra’, Taratib
al-Idariyah karya ‘Abdul Hayy al-Kattani dan selainnya. Sudah tentu
hukumnya adalah wajib, sama ada menurut syari’at atau akal, kerana
urusan rakyat banyak yang tidak tersusun dengan baik tanpa ada pemimpin
yang adil mahupun yang zalim. Ibnu Hibban al-Busti rahimahullah berkata:
“Ibnu Zanji al-Baghdadi membawakan sebuah syair yang beliau tujukan untuk al-Afwah al-Audi:
Tidak akan selesai urusan manusia tanpa ada pemimpin
Dan tidak ada gunanya apabila orang-orang jahil yang memimpin
Rumah tidak akan terbina tanpa ada tiang
Dan tidak ada gunanya tiang sekiranya bukan dari kayu-kayu yang kukuh
Jika asas tiang dan atap telah terpasang
Barulah penghuninya mendapat keinginan yang hampir terluput
Urusan akan menjadi baik apabila ditangani oleh orang bijaksana
Jika tidak, maka mereka akan dipandu (dipimpin) oleh orang-orang jahil.”
Sebelumnya beliau menyebutkan sebuah kata hikmah yang terkenal:
“Penguasa yang zalim lebih baik daripada kekacauan yang tiada henti.” Ibnu Taimiyyah berkata:
“Setiap
orang perlu tahu bahawa mengatur urusan manusia merupakan kewajiban
agama yang paling agung. Bahkan agama dan dunia tidak akan menjadi baik
tanpa perkara ini. Manusia tidak akan dapat mengatur kepentingan (dan
keperluan) mereka apabila tidak bersatu-padu, mereka pasti saling
memerlukan di antara satu dengan yang lain. Dan mereka perlu bersatu di
bawah seorang pemimpin.”
Seterusnya beliau mengatakan:
“Allah
telah mewajibkan amar ma’ruf nahi mungkar. Dan kewajiban itu tidak akan
dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kekuatan dan
pemerintahan. Oleh sebab itu diriwayatkan dalam sebuah hadis:
“Penguasa adalah naungan Allah di muka bumi.”
Dan disebutkan bahawa:
“Enam
puluh tahun di bawah kepimpinan penguasa yang zalim lebih baik daripada
semalaman tanpa ada pemimpin.” Pengalaman yang banyak berlalu telah
membuktikan hakikat ini.” (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri,
Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 143-144)
Beliau
juga menjelaskan berkenaan perkataan ‘Abdul Wahhab Khallaf “...walaupun
tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para imam mujtahid”:
فإن
المقصود به أن السياسة الشرعية ليست حكراً على الأئمة المتقدمين، بل لا
بأس من أن يجتهد العالم المتبحّر من أولي الأمر فيما يَجدّ للأمة من نوازل
بالقيود السابقة، ولذلك قال: " فالسياسة الشرعية على هذا هي العمل بالمصالح
المرسلة؛ لأن المصلحة المرسلة هي التي لم يقم من الشارع دليل على اعتبارها
أو إلغائها
Maksudnya
adalah: Bahawa politik yang syar’i itu bukanlah hanya tugas para ulama
terdahulu semata-mata. Tetapi setiap alim ulama yang luas ilmunya yang
mampu berijtihad di dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang
sedang dihadapi masyarakat dengan batasan-batasan yang telah disebutkan
di atas. Oleh sebab itu beliau menyatakan, “Siyasah syar’iyah termasuk
usaha mewujudkan maslahah mursalah.” Kerana maslahah mursalah adalah
maslahah (kebaikan) yang tidak ditetapkan secara khusus oleh agama.
(Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri, Madarikun Nadzar fii
as-Siyasah, m/s. 145)
Secara
ringkasnya, tujuan ruang lingkup politik Islam yang paling tinggi dan
penting adalah merealisasikan agama Allah (tauhid) dengan amar ma’ruf
nahi mungkar serta menjaga urusan masyarakat secara syar’i agar sentiasa
mengarah kepada ketaatan (pengabdian diri) terhadap Allah Subhanahu wa
Ta’ala.
Politik
Islam adalah dari Allah iaitu menjaga amanah-Nya dengan cara-cara yang
syar’i, untuk Allah iaitu demi mencari keredhaan-Nya, dan semata-mata
kerana Allah (bukan kerana material dan mengharap redha makhluk).
Apabila hak-hak Allah dijaga dan terpenuhi, insyaAllah hak-hak sesama manusia dan makhluk juga akan dapat ditunaikan sebaiknya.
Tanggungjawab Para Pemimpin Umat Islam
Pertamanya
para pemimpin perlu memiliki sifat amanah yang tinggi dan memiliki juga
kekuatan atau keupayaan untuk mentadbir. Secara umum, tanggungjawab
para pemimpin umat Islam yang paling utama adalah menyatukan rakyatnya
di bawah agama yang bersih dan murni. Para pemimpin perlu bertindak
memelihara agama dan mempertahankan kemurnian Islam dengan menegakkan
keadilan berteraskan tauhid yang benar. Iaitu memberi nasihat dan
berusaha membawa masyarakat kepada pengabdian diri semata-mata kepada
Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan jalan yang syar’i.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيحَةٍ إِلَّا لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ
“Tidaklah
seorang hamba yang diangkat oleh Allah sebagai pemimpin ke atas
orang-orang yang dipimpinnya, kemudian ia tidak menjaga mereka dengan
nasihatnya, melainkan ia tidak akan mencium aroma (wanginya) Syurga.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/62, no. 6617)
Dengan
selesainya persoalan asas-asas agama, masyarakat akan lebih mudah untuk
dibentuk dan mengikuti arahan. Maka, perpaduan dan pentadbiran negara
akan dapat berjalan dengan lebih lancar dan sempurna.
Selain
itu, urusan-urusan utama dalam agama seperti solat berjama’ah,
hari-raya, penyebaran ilmu yang benar, zakat, urusan haji serta yang
selainnya perlu disemarakkan dan dimakmurkan.
Para
pemimpin bertanggungjawab menjaga hal-ehwal keselamatan, perundangan
(termasuk perlaksanaan syari’at hudud), menjaga ekonomi negara, dan
keperluan rakyatnya yang bersesuaian dengan agama. Termasuk dalam urusan
pemimpin adalah memerangi orang-orang yang menentang Islam dan ahli
bid’ah. Semua ini selain menjadi tanggungjawab utama para pemimpin, ia
perlu dibantu pula oleh para ulama (para ilmuan) dalam bidangnya
masing-masing bagi memperkukuhkan kebaikan-kebaikan demi kepentingan
bersama dan bagi meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah menyatakan berkenaan kepimpinan pemimpin umat Islam:
هم
يلون من أمورنا خمساً: الجمعة، والجماعة، والعيد، والثغور، والحدود. والله
لا يستقيم الدين إلا بهم، وإن جاروا وظلموا والله لما يصلح الله بهم أكثر
مما يفسدون، مع أن طاعتهم – والله – لغبطة وأن فرقتهم لكفر
“Mereka
menguasai kita dalam lima perkara, iaitu solat Juma’at, al-jama’ah
(kesatuan umat), hari raya, benteng pertahanan, dan perundangan. Demi
Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka,
walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah
menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding
kerosakkan dengan sebab mereka. Ketaatan kepada mereka adalah suatu yang
terpuji dan memisahkan diri daripada mereka adalah kekufuran.” (Ibnul
Jauzi, Adab al-Hasan al-Bashri, m/s. 121. Rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa
al-Hikam, m/s. 262. ‘Abdussalam B. Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii
Dhau’il Kitab wa as-Sunnah, m/s. 2)
Pemimpin Adalah Perisai Umat Islam
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّمَا
الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ
أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدَلَ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ
أَجْرٌ وَإِنْ يَأْمُرْ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ
“Sesungguhnya
seorang pemimpin itu adalah perisai, rakyat akan berperang di
belakangnya serta berlindung dengannya. Apabila ia memerintahkan untuk
bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla serta bertindak adil, maka ia akan
mendapat pahala. Tetapi jika ia memerintahkan dengan selain itu, maka ia
akan mendapat akibat buruk hasil perbuatannya.” (Hadis Riwayat Muslim,
9/376, no. 3428)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
أي
كالستر لأنه يمنع العدو من أذى المسلمين ويمنع الناس بعضهم من بعض ويحمي
بيضة الإسلام ويتقيه الناس ويخافون سطوته ومعنى يقاتل من ورائه أي يقاتل
معه الكفار والبغاة والخوارج وسائر أهل الفساد والظلم مطلقا
“Maksud
menjadi perisai di sini adalah sebagai tabir yang menghalang musuh dari
mengganggu umat Islam, juga menjaga perhubungan (perpaduan) dalam
kalangan masyarakat, menjaga kehormatan Islam, menjadi yang ditakuti
(dihormati) rakyatnya, dan mereka berlindung kepadanya. Berperang di
belakangnya pula, maksudnya adalah berperang bersama pemimpin melawan
orang-orang kafir, pembangkang (atau pemberontak), kaum khawarij, setiap
orang yang melakukan kerosakan (ahli fasad), dan mereka yang melakukan
kezaliman secara umum.” (Syarah Shahih Muslim, 12/230)
Larangan Merebut Kerusi Kepimpinan
Berdasarkan sebuah hadis:
عَنْ
جُنَادَةَ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ قَالَ دَخَلْنَا عَلَى عُبَادَةَ بْنِ
الصَّامِتِ - وَهُوَ مَرِيضٌ قُلْنَا أَصْلَحَكَ اللَّهُ حَدِّثْ بِحَدِيثٍ
يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهِ سَمِعْتَهُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا
عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا
وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ
إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ
بُرْهَانٌ
Daripada
Junadah B. Abi Umayyah, beliau berkata, “Kami masuk menemui ‘Ubadah B.
ash-Shamit (ketika beliau terlantar sakit), lalu kami pun berkata,
“Semoga Allah memulihkan keadaan kamu, khabarkanlah kepada kami satu
hadis yang dengannya Allah memberi manfaat kepadamu, yang telah engkau
dengar daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Beliau pun berkata,
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajak kami dan kami pun
membai’atnya.” Kemudian beliau berkata, “Di antara perjanjian yang
diambil daripada kami adalah supaya kami membai’atnya untuk mendengar
dan taat di ketika senang dan ketika susah, ketika sukar dan ketika
mudah, mengutamakan beliau (Nabi) berbanding ke atas diri kami sendiri,
tidak berebut (atau mempersoalkan) urusan kepimpinan daripada para
pemiliknya melainkan sekiranya melihat kekufuran yang nyata, di mana ada
bukti (yang boleh dipertanggungjawabkan) untuk kamu kemukakan kepada
Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/444, no. 6532.
Muslim, Kitab al-Imarah, 9/374, no. 3427)
Keutamaan Pemimpin Yang Adil Di Sisi Allah
Daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ
الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ
الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ
يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
“Sesungguhnya
orang-orang yang adil di sisi Allah berada pada mimbar-mimbar dari
cahaya di sebelah kanan ar-Rahman dan kedua Tangan-Nya adalah kanan,
iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga dan
kepimpinan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/350, 3406)
Ancaman Kepada Pemimpin Yang Tidak Beramanah
Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan melalui firman-Nya:
الَّذِينَ
إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ
وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ
الأمُورِ
“(Iaitu)
orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi
nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat
makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah-lah
kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)
Juga firman-Nya:
يَا
دَاوُدُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الأرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ
النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ
اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ
شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
“Wahai
Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka
bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu
dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah
akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari
perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)
Rasulullah
Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi peringatan yang sangat
keras bagi para pemimpin yang tidak amanah kepada Allah terhadap apa
yang dipimpinnya, sebagaimana sabdanya:
مَا
مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ
وَهُوَ غَاشٌ لِرَعِيَّتِهِ إِلّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
“Tidak
ada seorang hamba pun yang mendapat amanah daripada Allah untuk
memimpin rakyat, lalu ia meninggal pada hari meninggalnya di dalam
keadaan mengkhianati rakyatnya melainkan Allah telah mengharamkan syurga
ke atasnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/343, no. 203. 9/353, no. 3409)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
مَا مِنْ أَمِيرٍ يَلِي أَمْرَ الْمُسْلِمِينَ ثُمَّ لَا يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إِلَّا لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمْ الْجَنَّةَ
“Tidaklah
seseorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam, kemudian tidak
membela rakyatnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak juga bersikap
tulus membimbing mereka melainkan ia tidak akan masuk Syurga bersama
rakyatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/345, no. 205. 9/354, no. 3410)
Doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada pemimpin yang tidak amanah secara umum:
اللَّهُمَّ
مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ
عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ
فَارْفُقْ بِهِ
“Ya
Allah, sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia menyusahkan
mereka, maka susahkanlah dia, dan sesiapa yang menguruskan hal-ehwal
umatku, lalu dia mengasihi mereka, maka kasihilah dia.” (Hadis Riwayat
Muslim, 9/351, no. 3407)
Imam
al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah berkata, “Ini adalah peringatan keras
terhadap para pemimpin yang berlaku khianat terhadap urusan umat Islam,
sedangkan Allah Ta’ala telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk
mengatur urusan mereka, menegakkan kemaslahatan agama dan dunia mereka.
Jika seseorang pemimpin berkhianat dan tidak bertanggungjawab terhadap
apa yang telah diamanahkan kepadanya, tidak memberi nasihat, tidak
memberikan maklumat yang perlu mereka ketahui, tidak membela dan tidak
menghalang mereka dari sesuatu perkara yang salah, mengabaikan hak-hak
mereka, tidak menegakkan hukum, tidak menjaga keamanan, tidak membantu
mereka dari ancaman musuh-musuh Islam, tidak berlaku adil kepada mereka,
maka pemimpin tersebut telah berlaku curang kepada mereka (rakyat).
Apa
yang dikatakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah
peringatan (untuk para pemimpin) supaya tidak berlaku curang dan khianat
terhadap urusan umat Islam kerana perkara tersebut merupakan dosa besar
yang dapat membinasakan serta menjauhkannya dari Syurga. Wallahu
a’lam.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 2/166)
Sebaik-baik dan Seburuk-buruk Pemimpin
Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada ‘Auf B. Malik radhiyallahu ‘anhu:
خِيَارُ
أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ
عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ
تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ
قِيل
“Sebaik-baik
pemimpin bagi kamu adalah orang-orang yang kamu semua cintai dan mereka
pun mencintai kamu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk
mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.
Adapun
seburuk-buruk pemimpin di antara kamu ialah orang-orang yang kamu
membenci mereka dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang engkau
semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.” (Hadis
Riwayat Muslim, 9/403, no. 3447)
Pemimpin Daripada Kalangan Quraisy
Rasulullah Shallallahu ‘alaihiu wa Sallam bersabda:
إِنَّ
هَذَا الْأَمْرَ فِي قُرَيْشٍ لَا يُعَادِيهِمْ أَحَدٌ إِلَّا كَبَّهُ
اللَّهُ فِي النَّارِ عَلَى وَجْهِهِ مَا أَقَامُوا الدِّينَ
“Bahawasanya
urusan pemerintahan (kepimpinan) ini adalah di tangan Quraisy selagi
mereka itu menegakkan agama, tidak ada seorang pun yang memusuhi mereka
melainkan Allah akan menyungkurkan wajahnya di dalam neraka.” (Hadis
Riwayat al-Bukhari, 22/45, no. 6606)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:
الناس تبع لقريش في هذا الشأن مسلمهم لمسلمهم وكافرهم لكافرهم
“Manusia
adalah pengikut kaum Quraisy dalam urusan ini, umat Islam pengikut umat
Islam mereka, dan orang kafir adalah pengikut orang kafir mereka.”
(Hadis Riwayat Muslim, 9/329, no. 3389)
Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan:
هذه
الأحاديث وأشباهها دليل ظاهر أن الخلافة مختصة بقريش لا يجوز عقدها لأحد
من غيرهم وعلى هذا انعقد الاجماع في زمن الصحابة فكذلك بعدهم ومن خالف فيه
من أهل البدع أو عرض بخلاف من غيرهم فهو محجوج باجماع الصحابة والتابعين
فمن بعدهم بالأحاديث الصحيحة
“Hadis-hadis
ini dan yang serupa dengannya adalah dalil yang jelas bahawa
kekhalifahan adalah khusus untuk Quraisy, tidak boleh melantik
sesiapapun selain mereka. Perkara ini dikuatkan oleh kesepakatan para
sahabat, begitu juga generasi berikutnya. Sesiapa menyelisihi perkara
ini dari kalangan ahli bid’ah, atau mendatangkan pendapat bertentangan
dengannya, maka mereka terbantah dengan kesepakatan para sahabat dan
tabi’in serta generasi berikutnya berdasarkan hadis-hadis sahih.”
(an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/200)
Walaupun
demikian, sekiranya pemimpin telah berkuasa dan mereka bukanlah dari
kalangan kaum Quraisy, maka mereka masih tetap perlu ditaati berdasarkan
ketetapan para ulama dan kemaslahatan secara umum. Demikian juga
ciri-ciri utama yang lainnya seperti pemimpin itu mestilah adil, amanah,
berkemampuan, merdeka (bukan hamba), sihat fizikal (tidak cacat), dan
selainnya dari ciri-ciri kelayakan menjadi seorang pemimpin sekiranya ia
tidak dipenuhi sedangkan ia telah menjadi seorang pemimpin, maka ia
tetap wajib ditaati secara syar’i. Iaitu ia tidak boleh dijatuhkan atau
diingkari. Ini adalah sebagaimana yang akan dibahaskan dalam beberapa
tempat nanti.
Al-Hafiz
Ibnu Hajar rahimahullah dalam Fathul Bari menjelaskan bahawa telah
berlaku pemerintahan selain daripada penguasa (khalifah) berketurunan
Quraisy sejak zaman al-Hajjaj, ketika pemerintahan bani Ubaid, bani
Abbad, beberapa yang lain di Andalusia, kemudian Abdul Mukmin di wilayah
al-Maghrib (Morocco). Al-Hafiz mengulas hadis berkaitan ini dalam Kitab
al-Ahkam (bab dalam Fathul Bari) dengan panjang lebar dan baik sekali.
Ibnu
Khaldun ada menyatakan bahawa ketetapan berlangsungnya kepimpinan
Quraisy tersebut adalah atas faktor ketaksuban terhadab kabilah Quraisy
pada masa tersebut mengatasi kabilah-kabilah lain. Sekiranya syarat
bangsa Quraisy tersebut dikenakan atas faktor Quraisy semata-mata, maka
tidak terdapat sebarang matlamat di sebaliknya. Ini kerana tugas
penjagaan agama serta pentadbiran dunia memerlukan mereka yang
benar-benar layak tanpa mengira keturunan. Lebih-lebih lagi, sebagai
seorang pemimpin, ia perlu memiliki sokongan, dukungan, berkeupayaan,
memiliki kekuatan, dan berpengaruh. Bukan semata-mata faktor bangsa
tanpa sebarang sebab. Maka, ijma’ yang berlangsung dalam perkara ini
perlu dilihat berdasarkan sebab yang menegakkannya.
Lebih
awal, Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah (Wafat: 505H) telah
menegaskan persoalan ini pada zamannya sebagaimana berikut:
تقدير
قرشي مجتهد مستجمع الصفات، متصد لطلب الإمامة، هذا لا وجود له في عصرنا،
وتقدير اقتدار الخلف على الاستبدال بالإمام والتصرف فيه بالخلع والانتقال،
هذا محال في زماننا
“Jangkaan
wujudnya seorang Quraisy mujtahid yang pada dirinya terkumpul segala
sifat kepimpinan, serta layak untuk memegang jawatan khalifah, adalah
mustahil pada zaman kita ini. Begitu juga dengan anggaran bahawa
wujudnya pengganti yang layak menggantikan imam dan berkuasa memecat
serta memindahkannya juga mustahil berlaku pada zaman kita ini.” (Rujuk:
Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an
wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 134)
Dengan
itu, ketetapan ijma’ bahawa seorang pemimpin itu mesti berketurunan
Quraisy, perkara tersebut adalah berdasarkan kepada kekuatan, ketahanan,
dan keupayaan kaum Quraisy itu sendiri. Tetapi apabila kaum Quraisy itu
sendiri telah lemah dan pengaruhnya juga pudar, maka tuntutan syara’
asal yang menuntut agar urusan agama dapat ditegakkan dan perpaduan umat
Islam terus terpelihara, maka ia perlu lebih diutamakan berbanding
faktor bangsa semata-mata.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ هَذَا الْأَمْرَ فِي قُرَيْشٍ لَا يُعَادِيهِمْ أَحَدٌ إِلَّا كَبَّهُ اللَّهُ عَلَى وَجْهِهِ مَا أَقَامُوا الدِّينَ
“Bahawa
urusan ini berada di tangan Quraisy, tidaklah seseorang yang menentang
mereka melainkan Allah akan menyungkurkannya di atas wajahnya, iaitu
selagi mana mereka menegakkan agama.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/320,
no. 3239)
Selain
itu, terdapat pula hadis-hadis yang menjelaskan supaya taat kepada
pemerintah walaupun ia berketurunan Habsyi (bukan Quraisy), cacat,
seorang hamba, serta bersikap zalim. Ini adalah sebagaimana yang akan
dijelaskan nanti.
Negara Islam
Memiliki
tanah dan kawasan tempat bernaung adalah salah satu lambang atau tanda
kewujudan sesebuah negara. Setiap negara perlu memiliki kawasan (tanah)
yang meliputi ruang daratan, bumi atau lautan, serta udara. Tanah adalah
unsur utama dalam pembinaan sesebuah negara. Sesuatu kelompok
masyarakat tidak akan dikatakan memiliki daulah dan kuasa pemerintahan
selagi mereka tidak memiliki tanah. Penguasaan terhadap tanah adalah
lambang berdirinya sesebuah negara sebagai tempat penduduknya berlindung
menjalani kehidupan serta sebagai pusat menegakkan ketuanannya. Fungsi
tanah tidak hanya menyentuh aspek geografi, tetapi juga berperanan dalam
membina kekuatan maknawi dan menonjolkan ciri-ciri peribadinya. Setelah
penguasaan terhadap tanah dapat difahami, barulah ia pergi kepada
konteks keperibadian yang ditonjolkan olehnya yang sekaligus menentukan
sifat dan wajah sesebuah negara.
Asalnya,
definisi atau penentuan sesebuah negara sebagai negara Islam tidak
disebutkan secara khusus melalui al-Qur'an mahupun as-sunnah. Namun,
dengan bertunjangkan prinsip-prinsip umum yang dijelaskan oleh
dalil-dalil nabawi dan penegasan para ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah,
maka kita akan dapat lihat bahawa sesebuah Negara itu adalah Negara atau
wilayah Islam (Daar al-Islam) apabila ia dipimpin dan dikuasai oleh
umat Islam, pemimpinnya muslim, dan syi’ar solat bebas dilaksanakan di
dalamnya tanpa sekatan. Kriteria asas ini kemudian dikuatkan lagi dengan
majoriti penduduknya yang teguh berpegang kepada agama dan perundangan
syari’ah pula ditegakkan di dalamnya.
Dasar
paling asas ini dapat dilihat melalui sejarah pembentukan kota Islam
Madinah selaku Negara Islam pertama oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam. Ketika baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki kota
Madinah, perkara pertama yang ditegakkan oleh beliau adalah
syi’ar-syi’ar solat. Ini difahami melalui langkah pertama beliau membina
masjid Nabawi diikuti seruan azan. Setelah fasa tersebut berlangsung,
Rasulullah bertindak mempersaudarakan kaum anshar dan muhajirin pula
sebagai langkah awal semaian benih-benih perpaduan di kalangan umat
Islam. Seterusnya berlaku pula perjanjian keamanan dengan golongan bukan
Islam sehingga akhirnya Madinah terus berkembang sebagai sebuah kota
Islam. Peristiwa bersejarah ini dapat dihayati antaranya melalui kitab
al-Rahiq al-Makhtum, yang merupakan antara kitab sirah terkenal era ini
susunan Syaikh Syafiyyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah.
Apabila
kriteria asas ini dapat difahami, suara-suara sumbang pengkafiran dan
penafian keislaman terhadap sesebuah negara yang dikuasai dan dipimpin
oleh umat Islam tidak sepatutnya berlaku. Perlu kita fahami bahawa
selagi seseorang pemimpin muslim menegakkan syi’ar solat dan masih
menzahirkan keislamannya maka ia tetap wajib ditaati dan negara yang
dipimpinnya adalah negara Islam sekalipun mungkin ia bertindak zalim
serta berlaku fasiq. Ini kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya
mengkafirkan seseorang atas alasan semata-mata zalim dan fasiq. Maka,
begitu juga dengan status sesebuah negara yang ia pimpin. Lebih-lebih
lagi dalam masa sama, syari’at sendiri telah menjelaskan kaedah
bermu’amalah dengan pemerintah sama ada yang adil mahupun sebaliknya.
Dan perkara ini telah penulis jelaskan melalui beberapa siri tulisan.
Persoalan
ini perlu dikembalikan kepada kaedah ukur yang benar. Di mana bagi
seseorang muslim yang zalim dan fasiq, ia masih tetap dianggap seorang
muslim selagi mana ia melaksanakan solat dan menzahirkan keislamannya.
Demikian juga bagi sesebuah negara, ia tidak dianggap berstatus kafir
hanya disebabkan pemimpinnya yang zalim atau fasiq, atau dalam sistem
pentadbirannya tidak melaksanakan sepenuhnya dari hukum-hukum Allah
seperti perundangan hudud, ekonomi Islam, atau selainnya atas
sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لينقضن عرا الإسلام عروة عروة فكلما انتقضت عروة تشبت الناس بالتي تليها وأولهن نقضا الحكم وأخرهن الصلاة
“Ikatan-ikatan
Islam akan terlepas satu demi satu. Di setiap kali ikatannya terlepas,
ia diikuti oleh manusia (ikatan seterusnya akan terlepas). Dan yang
pertama kali terlepas adalah hukum (perundangan) dan yang terakhir
sekali adalah solat.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/485, no. 22160. Isnadnya
dinilai jayyid oleh Syu’aib al-Arnauth)
Berdasarkan
hadis ini menunjukkan bahawa hukum Allah yang terpenting sekali dalam
penzahiran keislaman adalah syi’ar solat. Dan batas ukuran inilah yang
menjadi titik penting dalam penzahiran keperibadian seseorang Muslim,
sekaligus membezakan di antara kafir dengan muslim. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
“Bahawasanya
yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran
adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228,
no. 116)
Ini
mudah difahami kerana seseorang pemimpin dan pentadbiran sesebuah
negara tidak bersifat maksum dan sentiasa terdedah kepada pelbagai
kekurangan dan kelemahan yang perlu sama-sama diperbaiki dan
perbetulkan. Bukan untuk sentiasa dikecam dan dikritik tanpa mahu
dibina.
Persoalan
ini juga antaranya dapat diteliti berdasarkan dalil-dalil tentang
kewajiban mentaati pemerintah dan wujudnya larangan memerangi,
menentang, dan menzahirkan sifat kepembangkangan kepada para pemimpin
selagi mana mereka (para pemimpin) menzahirkan keislaman dan tetap
melaksanakan solat. Dalil-dalil dalam persoalan ini saling berkait-rapat
dengan dalil-dalil yang membentuk prinsip-prinsip Ahlus Sunnah
wal-Jama’ah dalam mentaati pemerintah. InsyaAllah persoalan ini akan
diperincikan dalam tulisan seterusnya. Walau bagaimanapun secara
ringkasnya di antara dalil utama yang digunakan dalam bab ini adalah
sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إنه
يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون فمن كره فقد برئ ومن أنكر فقد سلم
ولكن من رضي وتابع قالوا يا رسول الله ألا نقاتلهم قال لا ما صلوا أي من
كره بقلبه وأنكر بقلبه
“Akan
diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan
kemudian kamu mengingkarinya (kerana ia telah melakukan kejahatan).
Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang
mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya
pula kepada mereka yang redha dan patuh kepada keburukan pemimpin
tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai
Rasulullah, adakah kami boleh menentangnya?” Beliau menjawab, “Tidak,
selagi mereka masih melaksanakan solat. Iaitu sesiapa yang membenci dan
mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)
Untuk
kefahaman hadis ini, Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H)
menyebutkan perkataan al-Qadhi ‘Iyadh, “Para ‘ulama telah ijma’
(bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada
orang kafir dan apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka
ia dilucutkan (sebagai pemimpin). Dan beliau turut menyatakan, “Begitu
juga apabila ia meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya
(seruan solat).” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229)
Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari al-Hanafi (Wafat: 1014H) ketika menjelaskan hadis tersebut, beliau berkata:
إقامتهم
الصلاة فيما بينكم لأنها علامة اجتماع الكلمة في الأمة قال الطيبي فيه
إشعار بتعظيم أمر الصلاة وإن تركها موجب لنزع اليد عن الطاعة
“Mereka
menegakkan solat bersama-sama kamu, kerana perkara tersebut merupakan
tanda perpaduan bagi ummat (masyarakat). Telah berkata ath-Thiibi, “Pada
hadis tersebut terdapat maklumat yang menunjukkan keagungan persoalan
solat di mana apabila ia ditinggalkan akan memberi kesan (akibat)
terlepasnya tangan dari ketaatan.” (‘Ali al-Qari, Mirqatul Mafatih
Syarah Misykat al-Mashabih, Kitab al-Imarah wal-Qadha’, 11/307 –
al-Meshkah)
Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204) mengingatkan melalui katanya:
والسمع لأولي الأمر ما داموا يصلون والموالاة لهم، ولا يخرج عليهم بالسيف
“Dan
hendaklah kamu tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada
pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan
hendaklah memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan
pedang (menjadi pemberontak) terhadap mereka.” (as-Suyuthi, al-Amru bil
Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman –
Daar Ibnul Qayyim)
Hadis
ini memberi kefahaman bahawa suatu masa nanti akan berlaku pengangkatan
kepimpinan yang dibenci di kalangan umat Islam. Keduanya, hadis ini
memberi indikasi bahawa sesebuah pemerintahan Islam itu tidak tergugur
(dan tidak boleh dijatuhkan) selagi mana syi’ar solat ditegakkan,
walaupun padanya terdapat beberapa bentuk kemungkaran dan kefasikan.
Ketiganya, hadis ini membatalkan sebahagian pandangan yang menyatakan
bolehnya menzahirkan penentangan, kepembangkangan, dan menafikan hak
kepimpinan bagi sesebuah negara disebabkan kelemahan tertentu, serta
gagal melaksanakan perundangan syari’ah seperti hudud dan qishash.
Manakala sebahagian pandangan yang lain ada yang menafikan keabsahan
kepimpinan sesebuah negara semata-mata tidak ditegakkan Daulah Khilafah
padanya. Pandangan tersasar dan simplistik ini sebenarnya mendekati
ciri-ciri kelompok sesat Khawarij, Syi’ah (Rafidhah), dan Mu’tazilah
pada era awal Islam.
Seterusnya,
bentuk kefahaman tentang kriteria asas sesebuah negara Islam ini juga
dapat diambil berdasarkan penegasan para ulama. Di antaranya adalah
penjelasan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H)
yang mengatakan:
“Bahawasanya
penilaian terhadap sesebuah negara sama ada ia negara kafir atau iman
(Islam) atau fasiq, ianya bergantung kepada sifat penduduknya. Jika
penduduk negara tersebut adalah orang-orang mukmin, maka itu adalah
negara Islam (aulia Allah) pada masa tersebut. Jika penduduknya adalah
orang-orang kafir maka itu adalah negara kafir pada masa tersebut. Jika
penduduknya adalah orang-orang fasiq, maka itu adalah negara fasiq pada
masa tersebut. Dan sekiranya berlaku suatu masa penduduknya berganti,
maka status negaranya juga berganti.
Sebagaimana
sesebuah masjid apabila ditukar menjadi tempat memproses khamar (arak),
atau tempat untuk bersuka-ria (berpesta), atau tempat kesesatan, atau
gereja di mana padanya tempat mensyirikkan Allah. Begitulah juga rumah
memperoses arak dan pusat hiburan (tempat maksiat) dan selainnya apabila
dijadikan (ditukar menjadi) masjid yang padanya tempat mengabdikan diri
(beribadah) kepada Allah akan menjadi mulia dan terpuji berdasarkan apa
yang diperlakukan padanya. Begitu juga sebagaimana seseorang lelaki
yang soleh berubah menjadi fasiq, dan yang kafir pula berubah menjadi
mukmin (beriman) atau mukmin berubah menjadi kafir atau yang sewaktu
dengannya, semuanya itu adalah bergantung pada ciri-ciri yang menghiasi
dirinya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 18/282 - Daar al-Wafaa’)
Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) berkata:
الأذان هو العلامة الدالة المفرقة بين دار الإسلام ودار الكفر
“Adzan adalah tanda yang membezakan di antara wilayah Islam dengan wilayah kafir.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/225)
Lebih awal lagi, penegasan oleh Imam Abu Bakr al-Isma’ili rahimahullah (Wafat: 371H):
ويرون الدار دار الإسلام لا دار الكفر كما رأته المعتزلة، ما دام النداء بالصلاة والإقامة ظاهرين وأهلها ممكنين منها آمنين
“Dan
mereka (Ahlus Sunnah wal-Jama’ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah
negara adalah negara Islam bukan negara kafir sebagaimana pandangan
al-Mu’tazilah, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan
solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya)
pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman.” (Abu Bakr
al-Isma’ili, I’tiqad A’immatul Hadis, m/s. 31, Bab: Daar al-Islam -
Maktabah Syamilah)
Dari kalangan ulama mutaakhirin, Imam Muhammad B. Ali asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1255H) turut menjelaskan:
الاعتبار
بظهور الكلمة فإن كانت الأوامر والنواهي في الدار لأهل الإسلام بحيث لا
يستطيع من فيها من الكفار أن يتظاهر بكفره إلا لكونه مأذونا له بذلك من أهل
الإسلام فهذه دار إسلام ولا يضر ظهور الخصال الكفرية فيها لأنها لم تظهر
بقوة الكفار ولا بصولتهم كما هو مشاهد في أهل الذمة من اليهود والنصارى
والمعاهدين الساكنين في المدائن الإسلامية وإذا كان الأمر العكس فالدار
بالعكس
“Ukuran
bagi menentukan sesebuah negara Islam itu adalah dizahirkankan (tampak)
tanda-tanda agama, iaitu perundangannya sama ada yang bersifat perintah
atau larangan di bawah kawal-selia umat Islam, manakala orang kafir
tidak menampakkan (menzahirkan) kekufurannya melainkan setelah mendapat
kebenaran daripada penduduk negara Islam tersebut. Maka dengan keadaan
yang demikian, sesebuah wilayah itu disebut sebagai negara Islam dan
keberadaan tanda atau syi’ar kekufuran yang wujud (kelihatan) tidak
menafikan penamaan ini kerana ia bukan disebabkan usaha dan kekuatan
dari orang-orang kafir sebagaimana ahluzd dzimmah yang mendiami negara
atau bandar umat Islam dari kalangan orang Yahudi dan Nashara serta
sekutu mereka yang tunduk (kepada peraturan) berlindung dalam naungan
negara Islam. Sekiranya keadaan ini adalah sebaliknya, maka status
negara juga adalah begitu.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar al-Mutadafiq
‘ala Hada’iqil Azhar, 1/976 - Maktabah Syamilah)
Dengan
demikian, cerminan atau status sesebuah negara adalah merujuk kepada
amalan pemimpin dan masyarakat yang mendiaminya. Dari sudut asasnya,
sesebuah negara adalah negara Islam apabila ia dikuasai dan dipimpin
oleh pemimpin muslim, dan syi’ar solat dipraktikkan dengan bebas. Status
sesebuah negara tidak dianggap kafir hanya semata-mata di dalamnya
tidak menegakkan hukum hudud atau perundangan Islam lainnya atas sebab
kelemahan tertentu. Ia juga tidak dianggap kafir semata-mata kerana
dipimpin oleh pemimpin yang zalim dan fasiq.
Kelancangan
dalam melabelkan sesebuah negara sebagai negara kafir (Daar al-Harb)
atau tidak Islam atau sekuler, ditakuti kelak boleh mengakibatkan
lahirnya tanggapan atau pandangan bahawa halalnya memerangi sesebuah
negara Islam (termasuk Malaysia), sekaligus menimbulkan hilangnya
kredibiliti, munculnya bibit-bibit pemberontakan, dan suasana bertukar
huru-hara sebagaimana yang banyak berlaku pada negara-negara luar
tertentu.
Dari
itu, setiap kelemahan dan kelompangan yang terdapat dalam sesebuah
negara umat Islam itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai dalil untuk
bermudah-mudah melabelkan kafir atau tidak Islam terhadapnya.
Sebaliknya, setiap kelemahan dan kelompangan tersebut perlulah
sungguh-sungguh diperbaiki dan ditopang secara bersama oleh para
pemimpin, para ulama, dan masyarakatnya dengan kaedah-kaedah yang syar’i
lagi berhikmah.
Berbilang Negara Dan Wilayah Umat Islam
Terdapat
sebahagian pihak dari kelompok pergerakkan (harakah Islam) yang
menegaskan pendirian mereka bahawa umat Islam wajib bersatu di bawah
sebuah sistem pemerintahan khilafah sebagaimana yang berlaku di era Abu
Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman. Sekiranya ini tidak berlaku, maka seluruh umat
Islam adalah berdosa. Malah lebih mengejutkan adalah tidak perlu taat
kepada para pemimpin yang berkuasa selain melalui sistem khilafah
tersebut.
Mereka
turut membenarkan untuk menjatuhkan para pemimpin hanya atas alasan
zalim dan tidak bertindak adil berdasarkan neraca (perkiraan) kelompok
mereka semata-mata. Menurut mereka juga, para pemimpin yang tidak adil
dan bertindak zalim juga tidak berhak untuk dinasihati, tetapi berhak
dikritik secara terbuka, malah diaibkan. Di antara alasan mereka adalah
kerana bentuk pemerintahan yang berlangsung pada hari bukan lagi di
bawah pemerintahan sistem khilafah dan sudah tidak syar’i.
Berikut
penulis bawakan penjelasannya berpandukan perkataan (fatwa-fatwa) para
ulama ahlus Sunnah wal-Jama’ah sebagai pencerahan.
Imam Abu al-Hasan B. ‘Ali B. Muhammad al-Mawardi rahimahullah (Wafat: 450H) berkata:
وَإِذَا
عُقِدَتْ الْإِمَامَةُ لِإِمَامَيْنِ فِي بَلَدَيْنِ لَمْ تَنْعَقِدْ
إمَامَتُهُمَا، لِأَنَّهُ لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ لِلْأُمَّةِ إمَامَانِ
فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ
“Sekiranya
imamah (kepimpinan dan pemerintahan) diberikan kepada dua orang di dua
tempat yang berbeza (dalam masa yang sama), maka imamah keduanya adalah
tidak sah, kerana umat tidak dibenarkan memiliki dua imam (khalifah)
pada waktu yang sama.” (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sulthaniyah, m/s. 10 -
Maktabah Syamilah)
Menurut Syaikh Dr. Khalid B. ‘Ali al-‘Anbari:
الأصل أن يكون للمسلمين جميعًا إمام واحد
“Hukum
asal bagi umat Islam ialah mereka memiliki seorang khalifah (imam)
sahaja.” (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw
al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 149)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:
والسنة
أن يكون للمسلمين إمام واحد والباقون نوابه، فإذا فرض أن الأمة خرجت عن
ذلك لمعصية من بعضها وعجز من الباقين أو غير ذلك فكان لها عدة أئمة، لكان
يجب على كل إمام أن يقيم الحدود، ويستوفي الحقوق
“Berdasarkan
as-Sunnah, umat Islam hanya memiliki seorang pemerintah sahaja,
manakala yang selainnya hanyalah bertindak sebagai pembantunya. Jika
ditakdirkan umat Islam terkeluar dari peraturan ini sama ada dengan
sebab maksiat (atau kesalahan) yang dilakukan oleh sebahagian
daripadanya ataupun dengan sebab kelemahan sebahagian umat Islam,
ataupun dengan sebab-sebab yang lain, dan mereka memiliki beberapa orang
pemimpin, wajib ke atas setiap pemimpin tersebut menjalankan hukum
hudud dan memberi hak kepada mereka yang layak menerimanya. (Ibnu
Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 24/175-176)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat 774H) menjelaskan:
فأما
نصب إمامين في الأرض أو أكثر فلا يجوز لقوله عليه الصلاة والسلام: "من
جاءكم وأمركم جميع يريد أن يفرق بينكم فاقتلوه كائنًا من كان" . وهذا قول
الجمهور، وقد حكى الإجماع على ذلك غير واحد، منهم إمام الحرمين، وقالت
الكرامية: يجوز نصب إمامين فأكثر كما كان علي ومعاوية إمامين واجبي الطاعة،
قالوا: وإذا جاز بعث نبيين في وقت واحد وأكثر جاز ذلك في الإمامة؛ لأن
النبوة أعلى رتبة بلا خلاف، وحكى إمام الحرمين عن الأستاذ أبي إسحاق أنه
جوز نصب إمامين فأكثر إذا تباعدت الأقطار واتسعت الأقاليم بينهما، وتردد
إمام الحرمين في ذلك، قلت: وهذا يشبه حال خلفاء بني العباس بالعراق
والفاطميين بمصر والأمويين بالمغرب
“Pengangkatan
dua imam (bagi memimpin umat Islam) atau lebih di muka bumi (pada masa
yang sama), adalah tidak dibenarkan. Berdasarkan hadis Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang mendatangi kamu, sedangkan
semua urusan kamu telah bersatu (di bawah seorang pemimpin), dengan
tujuan untuk memecah-belah kesatuan tersebut, maka bunuhlah ia siapapun
orangnya.”
Ini
merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulama. Dan ini adalah berdasarkan
ijma’ sebagaimana yang diriwayatkan lebih dari satu pendapat antaranya
Imam al-Haramain.
Mazhab
Karamiyah mengatakan, dibenarkan mengangkat dua orang imam (pemimpin),
malah lebih juga boleh, sebagaimana yang telah berlaku di antara ‘Ali
dan Mu’awiyah yang keduanya merupakan imam yang wajib ditaati. Mereka
mengatakan, apabila dibolehkan mengutus dua orang Nabi dalam waktu yang
sama dan bahkan lebih dari dua orang, perkara ini turut dibolehkan dalam
imamah, kerana soal kenabian kedudukannya lebih tinggi dari soal imamah
tanpa diperselisihkan.
Sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Imam al-Haramain daripada al-Ustaz Abu Ishaq
bahawasanya dibolehkan mengangkat dua imam (dalam satu masa untuk
wilayah yang berbeza) atau lebih sekiranya pelbagai wilayah terbentuk
dan saling berjauhan serta kawasan telah menjadi terlalu luas.
Walau bagaimanapun, Imam al-Haramaian masih bimbang dengan persoalan ini.
Aku
(Ibnu Katsir) katakan, keadaan ini adalah sebagaimana Bani ‘Abbasiyah
yang berjaya mendirikan pemerintahan di ‘Iraq, Fatimiyyin di Mesir, dan
Bani Umayyah di Maghribi. (Tafsir Ibnu Katsir, 1/222, Tahqiq: Sami B.
Muhammad Salamah)
Imam
al-Qurthubi juga turut membawakan perkataan Imam al-Haramain (al-Imam
Abu Ma’ali al-Juwaini, 419H-478H) tersebut di dalam tafsirnya:
والذي
عندي فيه أن عقد الإمامة لشخصين في صقع واحد متضايق الخطط والمخاليف غير
جائز وقد حصل الإجماع عليه. فأما إذا بعد المدى وتخلل بين الإمامين شسوع
النوى فللاحتمال في ذلك مجال وهو خارج عن القواطع. وكان الأستاذ أبو إسحاق
يجوز ذلك في إقليمين متباعدين غاية التباعد لئلا تتعطل حقوق الناس وأحكامهم
“Pada
pandanganku, perlantikan dua imam bagi satu kawasan yang kecil
sempadannya adalah tidak perlu. Pendapat ini merupakan satu ijma’.
Adapun sekiranya kedudukan jarak yang membezakan di antara dua imam
tersebut jauh serta kemungkinan ini ada, manakala seseorang khalifah itu
berada jauh dari rakyat, maka pada ketika itu al-Ustaz Abu Ishaq
membolehkan untuk dua kawasan yang sempadannya sangat jauh supaya hak
dan hukum-hakam (perundangan) rakyat tidak terabai.” (al-Qurthubi,
al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 1/273)
Qadhi Baitul Maqdis pada masanya, Abu ‘Abdillah Ibnu al-Azraq al-Maliki rahimahullah (Wafat: 869H) berkata:
أن شرط وحدة الإمام بحيث لا يكون هناك غيره لا يلزم مع تعذر الإمكان
“Bahawasanya
syarat supaya umat Islam (di dunia ini) hanya dipimpin oleh seorang
pemimpin sahaja bukanlah suatu kewajiban apabila ianya memang tidak
mungkin dilaksanakan.” (al-Azraq, Badai’ as-Silki fii Thaba’ al-Maliki,
1/76-77. Rujuk: Abdus Salam Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw
al-Kitab wa as-Sunnah, 16-17)
Imam
Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) turut
menjelaskan persoalan ini ketika mensyarahkan hadis berikut:
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال: " من خرج عن الطاعة وفارق الجماعة ومات فميتته ميتة جاهلية
قوله
عن الطاعة أي طاعة الخليفة الذي وقع الاجتماع عليه وكأن المراد خليفة أي
قطر من الأقطار إذ لم يجمع الناس على خليفة في جميع البلاد الإسلامية من
أثناء الدولة العباسية بل استقل أهل كل إقليم بقائم بأمورهم إذ لو حمل
الحديث على خليفة اجتمع عليه أهل الإسلام لقلت فائدته
وقوله وفارق الجماعة أي خرج عن الجماعة الذين اتفقوا على طاعة إمام انتظم به شملهم واجتمعت به كلمتهم وحاطهم عن عدوهم
قوله
فميتته ميتة جاهلية أي منسوبة إلى أهل الجهل والمراد به من مات على الكفر
قبل الإسلام وهو تشبيه لميتة من فارق الجماعة بمن مات على الكفر بجامع أن
الكل لم يكن تحت حكم إمام فإن الخارج عن الطاعة كأهل الجاهلية لا إمام له
Daripada
Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Alihi wa Sallam, “Sesiapa yang keluar dari ketaatan dan berpisah
(keluar) dari al-jama’ah, sekiranya ia mati, maka matinya adalah
kematian jahiliyyah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sabda-nya
“keluar dari ketaatan” maksudnya adalah ketaatan kepada khalifah
(pemimpin) yang telah disepakati atasnya, atau merujuk pemimpin bagi
daerah (atau wilayah) atau negara di mana ia bernaung. Kerana tidak
semua umat Islam pada masa pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah tunduk dan
patuh kepada seorang khalifah ketika itu, malah setiap wilayah ada
pemimpin yang bebas menguruskan wilayahnya masing-masing (mereka bebas
melantik pemimpin bagi wilayah mereka sendiri - pen.), maka sekiranya
makna hadis ini diperuntukkan kepada khalifah yang diakui untuk setiap
wilayah Islam (umat Islam), sudah tentu hadis ini sangat sedikit
faedahnya.
Sabda-nya
“berpisah (keluar) dari al-jama’ah” maksudnya adalah keluar dari
jama’ah (masyarakat umat Islam) yang telah sepakat mematuhi pemimpin
yang menyatukan mereka dan menjaga mereka dari serangan musuh.
Sabda-nya
“sekiranya ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyyah”
perngertiannya disandarkan kepada orang-orang jahiliyyah, dan maksud
dari jahiliyyah tersebut adalah sesiapa sahaja yang mati di dalam
kekafiran sebelum Islam. Itu merupakan perumpamaan bagi yang mati dalam
keadaan keluar dari jama’ah umat Islam yang diumpamakan seperti orang
kafir yang mati sebelum ia menganut Islam, kerana kedua-duanya tidak
tunduk dan tidak patuh kepada pemimpin. Orang yang tidak patuh dan taat
kepada pemimpin diibaratkan seperti orang-orang jahiliyyah yang tidak
memiliki pemimpin.” (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram,
3/258)
Syaikh Muhammad B. ‘Abdul Wahhab rahimahullah (1115H-1206H) menyatakan:
الأئمة
مجمعون من كل مذهب على أن من تغلب على بلد أو بلدان له حكم الإمام في جميع
الأشياء، ولولا هذا ما استقامت الدنيا؛ لأن الناس من زمن طويل قبل الإمام
أحمد إلى يومنا هذا ما اجتمعوا على إمام واحد، ولا يعرفون أحدًا من العلماء
ذكر أن شيئًا من الأحكام لا يصح إلا بالإمام الأعظم
“Para
imam dari setiap mazhab telah bersepakat (ijma’) bahawa sesiapa yang
dapat menguasai sesuatu kawasan atau negeri atau beberapa negeri, maka
dia memiliki keistimewaan sebagai pemimpin (pemerintah) untuk semua
urusan. Jika tidak, sudah tentu dunia ini akan huru-hara. Ini adalah
kerana manusia sejak zaman dahulu sebelum zaman Imam Ahmad lagi
sehinggalah ke hari ini tidak pernah tunduk hanya kepada seorang imam.
Mereka tidak pernah mendengar seorang pun ulama yang mengatakan bahawa
sesuatu hukum itu tidak sah untuk dilaksanakan melainkan melalui
pemimpin tertinggi.” (Muhammad ‘Abdul Wahhab, ad-Durur as-Sunniyyah fi
al-Ajwibah an-Najdiyyah, 12/2)
Imam Muhammad B. ‘Ali asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1255H) turut menjelaskan:
وأما
بعد انتشار الإسلام واتساع رقعته وتباعد أطرافه فمعلوم أنه قد صار في كل
قطر أو أقطار الولاية إلى إمام أو سلطان وف يالقطر الآخر أو الأقطار كذلك
ولا ينفذ لبعضهم أمر ولا نهي في قطر الآخر وأقطاره
التي
رجعت إلى ولايته فلا بأس بتعدد الأئمة والسلاطين ويجب الطاعة لكل واحد
منهم بعد البيعة له على أهل القطر الذي ينفذ فيه أوامره ونواهيه وكذلك صاحب
القطر الآخر فإذا قام من ينازعه في القطر الذي قد ثبتت فيه ولايته وبايعه
أهله كان الحكم فيه أن يقتل إذا لم يتب ولا تجب على أهل القطر الآخر طاعته
ولا الدخول تحت ولايته لتباعد الأقطار فإنه قد لا يبلغ إلى ما تباعد منها
خبر إمامها أو سلطانها ولا يدرى من قام منهم أو مات فالتكليف بالطاعة
والحال هذه تكليف بما لا يطاق وهذا معلوم لكل من له اطلاع على أحوال العباد
والبلاد فإن أهل الصين والهند لا يدرون بمن له الولاية في أرض المغرب فضلا
عن أن يتمكنوا من طاعته وهكذا العكس وكذلك أهل ما وراء النهر لا يدرون بمن
له الولاية في اليمين وهكذا العكس فاعرف هذا فإنه المناسب للقواعد الشرعية
والمطابق
لما تدل عليه الأدلة ودع عنك ما يقال في مخالفته فإن الفرق بين ما كانت
عليه الولاية الإسلامية في أول الإسلام وما هي عليه الآن
“Adapun
selepas penyebaran Islam, semakin luas wilayahnya dan jarak yang jauh
di antara negeri-negerinya, maka telah diketahui bahawa setiap negeri
atau beberapa negeri bergantung kepada seorang pemerintah atau sultan.
Begitu juga dengan negeri yang lain. Seseorang pemerintah itu tidak
memiliki kuasa untuk mengeluarkan perintah mahu pun larangan selain
daripada negerinya atau beberapa negeri yang tunduk kepadanya.
Oleh
itu, berbilang-bilang pemerintah atau sultan bagi setiap negeri
masing-masing diharuskan (dibolehkan). Setiap daripada mereka wajib
ditaati selepas bai’ah yang diberikan oleh penduduk negeri tersebut dan
ia berhak mengeluarkan perintah dan larangan. Begitulah juga dengan
pemerintah bagi negeri yang lain.
Apabila
terdapat segolongan pihak yang cuba merampas kuasa daripada seseorang
pemerintah yang telah memiliki kedaulatan (kuasa) dan juga diberi bai’ah
(kepercayaan) oleh penduduknya, maka pada ketika itu, hukuman ke atas
golongan tersebut ialah dibunuh jika ia tidak bertaubat.
Penduduk
negeri yang lain tidak wajib mentaatinya, atau pun berlindung di
negaranya kerana kedudukan yang jauh antara negeri. Penduduk seperti ini
tidak sampai kepada hal-ehwal pemerintah atau pun sultan mereka, dan
mereka tidak mengetahui siapa yang masih hidup atau yang sudah mati
daripada pemerintah mereka. Kewajiban untuk taat dalam keadaan ini
merupakan satu kewajiban yang tidak terdaya untuk ditanggung. Perkara
ini sedia dimaklumi oleh mereka yang arif dalam bidang pentadbiran
rakyat dan negara.
Maka
ketahuilah kamu tentang perkara ini, kerana ia amat sesuai dengan
kaedah syara’. Dan bertepatan dengan yang sedia ada. Pendapat yang
bercanggah dengannya tidak perlu dihiraukan kerana memang terdapat
perbezaan yang sangat ketara di antara negeri-negeri Islam semasa zaman
awal Islam dengan yang ada sekarang. (Rujuk: asy-Syaukani, as-Sailul
Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar, 1/941)
Persoalan ini juga dapat dijelaskan melalui riwayat yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari berikut:
عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير
Daripada as-Sahmi, “Aku mendatangi Aba Amamah, lalu beliau berkata:
“Janganlah
kamu mencela (mengutuk dan menghina) al-Hajjaj, kerana beliau adalah
penguasa bagi kamu dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh
al-Bukhari, at-Tarikh al-Kabir, 7/18, no. 83 - Maktabah Syamilah)
Aba Umamah tinggal di Syam, manakala as-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah al-Hajjaj.
Ini
juga adalah sebagaimana yang pernah berlaku ketika penghujung era
sahabat. Di mana ‘Abdullah B. Az-Zubair menjadi khalifah dan berkuasa di
Hijjaz, Makkah, Madinah, Iraq, dan Yaman. Dalam masa sama, ‘Abdul Malik
B. Marwan menjadi khalifah di Syam. Kedua-dua mereka dibai’at oleh
rakyat masing-masing dalam wilayah mereka.
Riwayat
ini menunjukkan telah wujud corak pemerintahan di bawah pentadbiran
penguasa yang berbeza bagi wilayah yang berbeza. Dan ia turut
menunjukkan bahawa setiap rakyat wajib mentaati pemerintah mereka
masing-masing.
Imam
an-Nawawi rahimahullah ada menyebutkan tentang beberapa kaedah
seseorang pemimpin boleh menjadi pemerintah, sama ada dengan cara yang
syar’i atau sebaliknya. Berikut beliau menjelaskan salah satu cara yang
tidak syar’i adalah:
وأما
الطريق الثالث فهو القهر والاستيلاء فإذا مات الإمام فتصدى للإمامة من جمع
شرائطها من غير استخلاف ولا بيعة وقهر الناس بشوكته وجنوده انعقدت خلافته
لينتظم شمل المسلمين فإن لم يكن جامعا للشرائط بأن كان فاسقا أو جاهلا
فوجهان أصحهما انعقادها لما ذكرناه وإن كان عاصيا بفعله
“Ada
pun cara (jalan) yang ketiga adalah melalui kekerasan dan paksaan.
Apabila seseorang pemerintah (atau pemimpin) telah meninggal dunia,
kemudian seseorang yang memenuhi syarat menjadi pemimpin muncul tanpa
sebarang bai’ah dan perlantikan, dan memaksa orang ramai dengan
menggunakan kekuatan dan bala tenteranya, pada ketika itu
pemerintahannya sah demi memelihara perpaduan (dan kesatuan) umat Islam.
Ada pun jika ia tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,
maka di sana terdapat dua pandangan, tetapi pandangan yang lebih tepat
adalah diterimanya pemerintahan tersebut berdasarkan apa yang telah kami
jelaskan.” (an-Nawawi, Raudhatuth Thalibin, 10/46)
Beliau juga menyebutkan:
قوله
(إن خليلي صلى الله عليه و سلم أوصاني أن أسمع وأطيع وإن كان عبدا مجدع
الأطراف) يعني مقطوعها والمراد أخس العبيد أي أسمع وأطيع للأمير وإن كان
دنيء النسب حتى لو كان عبدا أسود مقطوع الأطراف فطاعته واجبة وتتصور إمارة
العبد إذا ولاه بعض الأئمة أو إذا تغلب على البلاد بشوكته وأتباعه ولا يجوز
ابتداء عقد الولاية له مع الاختيار بل شرطها الحرية
“(Daripada
Abu Dzarr radhiyallahu ‘anhu), “Sesungguhnya kekasihku Shallallahu
‘alaihi wa Sallam mewasiatkan kepadaku supaya aku mendengar dan taat
walaupun pemimpin tersebut seorang hamba yang tidak sempurna fizikalnya
(cacat: kudung kaki atau tangannya - pent.).” Iaitu menunjukkan keadaan
hamba yang hina. Maksudnya adalah dengar dan taatilah pemimpin walaupun
tarafnya (keturunannya) adalah rendah seperti hamba hitam yang cacat
fizikalnya, kerana mentaati pemimpin adalah wajib. Seseoang hamba boleh
menjadi pemimpin apabila dia diisyaratkan (ditunjuk) oleh pemerintah
(yang sebelumnya), atau apabila dia dapat menguasai sesebuah negeri
dengan kekuatan dan para pengikutnya. Walaupun demikian, hukum asalnya
adalah tidak boleh melantik hamba untuk menjadi pemimpin sedangkan
terdapat pilihan yang lain selain hamba, kerana di antara syarat menjadi
seorang pemimpin adalah merdeka (bukan hamba).” (Syarah shahih Muslim,
12/225-226)
Juga perkataan Imam ash-Shan’ani yang agak tegas (ketika mensyarahkan beberapa hadis):
دلت
هذه الألفاظ على أن من خرج على إمام قد اجتمعت عليه كلمة المسلمين والمراد
أهل قطر كما قلناه فإنه قد استحق القتل لإدخاله الضرر على العباد وظاهره
سواء كان جائرا أو عادلا وقد جاء في أحاديث تقييد ذلك بما أقاموا الصلاة
وفي لفظ ما لم تروا كفرا بواحا
“Hadis
ini dengan pelbagai lafaz menunjukkan bahawa mereka yang keluar dari
ketaatan dan menentang seseorang pemimpin yang telah disepakati oleh
umat Islam di dalam sesebuah wilayah, maka dia berhak dihukum bunuh
kerana akan menimbulkan kerosakkan kepada manusia sama ada pemimpin yang
ditentang tersebut adalah seorang yang adil atau pun yang zalim selagi
mereka masih menegakkan solat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa
hadis atau dalam hadis yang lain disebutkan, “Selagi kamu tidak melihat
kekufuran yang nyata”.” (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul
Maram, 3/261)
Demikianlah
penjelasan dan analisa berpandukan dalil-dalil al-Qur’an, as-Sunnah,
serta perkataan para ulama berkaitan perkara kenegaraan dan
pentadbirannya. Sekaligus menunjukkan keabsahan kaedah-kaedah pembinaan
sesebuah negara tertentu sebagaimana dijelaskan.
Turut
dijelaskan adalah kaedah-kaedah kepimpinan seseorang pemimpin. Yang
mana di sana menunjukkan bahawa para ulama telah mewajibkan kepada umat
Islam supaya taat dan patuh kepada para pemimpin mereka masing-masing di
setiap wilayah.
Tulisan Berkaitan Sebagai Rujukan dan Tambahan Maklumat:
Wallahu a’lam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan