Isnin, 2 Disember 2013

TAK MAHU DIMAKAN SERIGALA...KERANA TIADA JEMAAH....ATAU TAK AKTIF DALAM JEMAAH....ATAU DAH LAMA MENINGGALKAN JEMAAH...PAKAI PETUA MUDAH...MAKAN PAKAI DAN GUNA APA YANG ADA...TIDAK BERCITA2 TINGGI ...TAK TERLIUR DENGAN KEMEWAHAN...MEMADA LAH SERTA IKHLAS DALAM IBADAH/PERJUANGAN.....IN SHAA ALLAH SELAMAT

SHAH ALAM: Wakil rakyat PAS Selangor akan terus memberi sumbangan kepada parti dengan potongan gaji sebanyak 30 peratus setiap bulan dan bersedia membuat tambahan ekoran kenaikan gaji bermula tahun 2014.

Adun Meru, Dr Abdul Rani Othman berkata, selepas pilihan raya umum ke-12 tahun 2008 semua Adun PAS Selangor membuat ketetapan selaras dengan keputusan PAS Pusat menyumbang 30 peratus kepada parti.

"Kita telah lakukan potongan gaji sama ada exco dan Adun 30 peratus. 20 peratus untuk tabung negeri dan 10 peratus untuk tabung kawasan," katanya ketika ditemui di lobi Annex, SUK.

Beliau berkata, sebenarnya pada tahun 2008 Adun-adun PAS yang memberi sumbangan kepada gaji kakitangan yang bekerja di Pusat Khidmat Masyarakat.

Hal ini kerana katanya, kerajaan negeri hanya memberi gaji kepada kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat setakat RM800 dan ia tidak cukup untuk mereka membiayai kehidupan keluarga.

"Kita tambah gaji mereka sehingga ada yang mencecah RM1,500. Kita guna duit gaji kita sendiri," katanya.

Beliau setuju dengan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menaikkan gaji Adun kerana duit mereka memang diagihkan kepada parti dan rakyat di kawasan masing-masing.

Menjawab pertanyaan pertukaran Pesuruhjaya PAS Selangor kepada Iskandar A Samad katanya, "Saya tidak ada masalah dan saya telah melakukan sujud syukur apabila mendapat tahu pertukaran itu."

Beliau mengakui boleh menumpukan permasalahan masyarakat di Dun Meru.
KOTA BHARU: Pemuda menyifatkan PAS Kelantan merasai kehilangan seorang murabbi apabila jawatan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS negeri digantikan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Setiausaha Pemuda PAS Kelantan, Borhanuddin Ahmad berkata, bekas pesuruhjaya terbabit banyak menyumbang jasa, tenaga, idea malah seluruh kehidupannya untuk memperkuatkan PAS.

“Namun semestinya realiti kehidupan yang perlu diterima. Biar apa pun Ustaz Ahmad juga merupakan sosok peribadi paling layak meneruskan legasi yang ditinggalkan Tok Guru.

“Semoga Allah merahmati Tok Guru Dato' Bentara Setia dan mudah-mudahan pelantikan Ustaz Ahmad sebagai Pesuruhjaya PAS yang baru akan meneruskan kecemerlangan PAS di Tanah Serendah Sekebun Bunga,” katanya di sini.

Pada mesyuarat kali pertama jawatankuasa PAS Pusat malam tadi, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan Ustaz Ahmad dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Selain itu Menteri Besar Kelantan juga dilantik Bendahari PAS Pusat, manakala Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah pula dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS Pusat.

“Pemuda PAS Kelantan merakamkan kalungan tahniah kepada Ustaz Ahmad Yakob atas keputusan mesyuarat tersebut. Pelantikan berkenaan merupakan suatu penghargaan besar buat rakyat negeri ini,” ujarnya.

Borhanuddin juga berkata, kehadiran beberapa nama besar dalam jawatankuasa PAS Pusat sebagai suatu amanah bagi mengekalkan kemenangan Islam di Kelantan.

Menurutnya juga model negeri berkebajikan dan Membangun Bersama Islam perlu dilebarluaskan dengan penyertaan tokoh-tokoh baru yang ada kewibawaan masing-masing.

“Semoga Allah merahmati semua pimpinan dan Pemuda PAS Kelantan akan teguh berdiri mempertahankan negeri ini, seiring Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, Insya Allah,” katanya.
Saya mengenali secara dekat Che Salmi, pengasas Pasaraya Sabasun yang mesra dikenali sebagai Abang Long sekitar akhir tahun 2011 semasa mula memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu.

Antara program awal anjuran Lujnah yang telah diadakan adalah Forum Kepenggunaan. Selain daripada YB Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Pusat, Che Salmi juga adalah salah seorang ahli panel forum tersebut yang telah dipengerusikan oleh Saudara Zulkifli Sulong, mantan Ketua Editor Harakahdaily.

Mengenalinya sebagai seorang yang ‘simple’, senang diajak berbicara, merendah diri tetapi tegas dan serius dalam memberikan pendapat. Sebelum bersua dengannya buat pertama kali, saya telah mendengar tentang peribadinya sebagai seorang dermawan yang banyak menyumbang untuk pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

Sepatah beliau menceritakan diawal perbualan kami bahawa aktiviti perniagaan telah menjadi minatnya semenjak ketika menuntut di Amerika Syarikat lagi.

Ada saya bertanya, “dari mana timbulnya nama SABASUN?”

Jawabnya, “SABASUN berasal dari perkataan SABAR SUNGGUH.”

Mengambarkan bagaimana retetan perjalanan beliau sebagai antara anak Melayu Islam di Terengganu secara khususnya dan di Malaysia amnya yang mula menceburi industri perniagaan runcit bermula dari kecil-kecilan dengan segala kepayahan dan penuh kesabaran sehingga akhirnya berkembang dan menjadi antara pasaraya tumpuan pelanggan sekitar Kuala Terengganu.

Kewujudan Pasaraya SABASUN ini memberikan peluang kepada ramai pengusaha IKS dari kalangan Melayu Islam untuk memasarkan barangan keluaran mereka yang tidak mendapat tempat di pasaraya besar milik bukan bumiputera.

Ketika berforum bersamanya yang bertemakan ‘Barang Naik Harga, Rakyat Tanggung Bahana’, saya menyimpan beberapa bait ungkapan yang dilontarkannya dan kekal diingati sehingga sekarang. Antaranya:

“Apabila harga barang naik, air mata rakyat akan jatuh…”

“Pihak berkuasa di KPDNKK melarang para pengusaha pasaraya mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada umum setiap kali berlakunya kenaikan harga barangan…”

“Kuota bekalan minyak masak yang diagihkan kepada peniaga hakikatnya telah tidak diperbaharui semenjak beberapa tahun yang lalu…”

“Setiap kali pihak PDRM membuat tawaran diskaun pembayaran saman trafik atau operasi besar-besaran bagi memburu pemandu yang mempunyai saman tertunggak, pasaraya akan menjadi lengang disebabkan orang ramai memperuntukkan wang yang ada bagi menjelaskan saman…”

“Ketika dunia menghadapi krisis makanan, ketika itu sesiapa yang mempunyai bekalan makanan, maka dialah yang paling kaya. Lebih kaya dari orang yang memiliki seketul emas…”

Ketika ditubuhkan NGO R bagi memperjuangkan supaya dikembalikan semula royalti minyak milik rakyat Terengganu, Che Salmi adalah salah seorang penggiatnya yang aktif.

Lagu ‘Pulangkan’ yang menjadi lagu tema NGO R Terengganu pernah saya nyanyikan bersamanya ketika menyampaikan ceramah anjuran NGO R di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

Rupanya beliau juga seorang ahli muzik yang berbakat besar.

Ini hanyalah secebis coretan tentang seorang hamba Allah yang telah dinafikan haknya sebagai orang Melayu, Islam dan rakyat dalam sebuah negeri berdaulat Terengganu.

SABASUN yang diasaskannya dengan penuh SABAR dan KESUNGGUHAN akhirnya akan menjadi korban kerakusan mereka yang berkuasa. Kenapa semua ini harus berlaku? Sebidang tanah yang sedang berdiri di atasnya satu premis perniagaan milik seorang Melayu Islam nak diambil untuk diberikan kepada orang asing, khabarnya Syarikat Jaya Jusco?

Sudah tak ada lagikah tanah lain untuk diambil bagi didirikan pasaraya baru yang pemiliknya adalah orang asing tersebut? Atau ada dengki dan dendam kesumat yang perlu dilunaskan bagi memuaskan hati orang-orang tertentu?

Apakah kerana Che Salmi adalah seorang Melayu Islam yang tidak menjadi ahli Umno? Lantas tak ada apa-apa komisyen yang Umno boleh dapat daripada perniagaan beliau!
ALOR SETAR: Polis Kedah sedang memburu seorang remaja lelaki dipercayai teman Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, yang dipercayai dibunuh bersama dua adiknya dalam satu kejadian Jumaat lepas.
   
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata remaja itu dipercayai berada di Arau, Perlis diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung pembunuhan itu.
   
"Polis mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi yang membantu siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
   
"Saya yakin remaja belasan tahun ini dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kereta Spanco Proton Preve kepada Ketua-Ketua Polis Daerah negeri ini di Ibu pejabat Kontinjen Kedah di sini, hari ini.
   
Mayat dua adik Nor Syafikah, Puteri Nurul Akma, 3; dan Nur Izzati Husna, 12; ditemui pukul 3.45 petang semalam dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat Nor Syafikah ditemui di sawah Kampung Alor Senibong, Langgar pada petang Sabtu.
   
Tiga beradik itu berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini.

Tiga beradik itu keluar dari rumah mereka dengan motosikal dikendali oleh Nor Syafikah Nadia pukul 7.30 malam hari Jumaat lepas dan tidak balik selepas itu.
   
Ahmad berkata polis yakin tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.
   
Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan. 
   
Sementara itu bedah siasat mayat Puteri Nurul Akma, dan Nur Izzati Husna dibuat pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, katanya. 
   
Mengenai kereta polis, Ahmad berkata ia adalah bagi menggantikan kereta-kereta lama diserahkan oleh Ibu pejabat Polis Bukit Aman dalam dua peringkat berjumlah 115 buah.
   
Bagi peringkat pertama Polis Kedah menerima 80 buah dan daerah 'panas' diberi keutamaan iaitu Kuala Muda sebanyak 12 buah; Kota Setar (11); Kubang Pasu (9); Kulim (8) dan Langkawi (5) dan bakinya untuk daerah-daerah lain, katanya. - Bernama
Isu ustaz Kazim dilantik sebagai ahli Majlis Teertinggi Umno agak luas dibincangkan. Secara ringkas, beberapa kesimpulan yang boleh dibuat ialah:

1. Umno ketandusan tokoh agama untuk ditonjolkan sehingga sanggup kutip dari mana ditemui.

2. Istiqamah dalam perjuangan Islam bukanlah satu perkara mudah. Ia adalah prinsip penting yang sentiasa diingatkan oleh Allah dalam al-Quran, Nabi SAW dalam hadisnya dan para salafussoleh dalam ucapan masing-masing.

3. ‘Kambing yang keseorangan mudah dibaham serigala’. Itulah perumpamaan Nabi SAW supaya sentiasa bersama dalam aktiviti jemaah Islam seperti PAS ini. Kalau hanya mengaku ahli, sedangkan disiplin dan aktiviti parti tidak diikuti, nescaya ia akan memakan diri.

4. Ilmu agama tidaklah boleh diukur dengan hanya pandai berceramah sahaja. Ilmu sebenar ialah apabila diamalkan. Di antara ilmu itu ialah beramal dengan pesanan Nabi SAW: ‘Tolonglah saudara kamu sama ada dia zalim atau dizalimi.’ Para Sahabat berkata: ‘Menolong orang dizalimi itu kami faham. Tapi bagaimana pula menolong orang yang zalim?’ jawab Baginda SAW: “Kamu cegah dia dari kezalimannya.’ maksud hadis.

Umno parti zalim. Ia menindas rakyat dengan pelbagai tekanan ekonomi, pelbagai cukai tidak patuh syarak, pelbagai akta bercanggah dengan keadilan Islam, pelbagai hukum yang membelakangi hukum Allah, pelbagai bentuk pembaziran dan rasuah. Masih belum zalim lagikah? Cara menolong Umno ialah bukannya masuk ke dalam menganggotai Majlis Tertinggi Umno tetapi ‘mematikan’ Umno supaya kezalimannya dihilangkan. Itulah cara membantu Umno. Justeru, saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan: ‘Berilah peluang kepada mereka membetulkan Umno..’

Pengalaman sebelum ini telah menunjukkan orang agama sebenarnya tiada tempat dalam Umno. Kalaupun ada hanya layak membaca doa di hujung majlis yang kekadang ia adalah majlis mungkar sahaja. Kalau benar mereka mahu memerima teguran, Presiden PAS bersama ahli Parlimen PAS dan PR serta ADUN dalam Dewan Rakyat dan DUN telah ‘bersyarah’ dan menasihat panjang lebar bagaimana sepatutnya negara ini ditadbir dan diurus. Ada mereka peduli?

5. Kemasukan Ustaz Kazim (jika berlaku) ke dalam Majlis Tertingg Umno akan menyebabkan sebahagian orang Melayu Islam terkeliru, lalu mereka berkata: ‘Lihat ustaz Kazim pun jadi ahli MT Umno’ lalu mereka melihat seolah-olah perjuangan PAS dan Umno sama sahaja sedangkan tidak sama antara permata dan kaca. Namun, berapa ramaikan dari masyarakat ini yang ‘jauhari’?

Saya ada melihat satu klip video ustaz Kazim berceramah mengulas isu kejahatan dan kebaikan pemerintah serta sokongan kepada kerajaan dan lain-lain, tetapi apa yang dapat saya rumuskan ialah hujahnya agak dangkal. Thats all.

Untuk Ustaz Kazim, lu pikirlah sendiri.

Nik Muhammad Nasri Nik Malek,
Ketua Lajnah ICT Dan Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu
MESIR: Seorang jutawan Mesir yang menetap di Denmark, Mohammed Salamah meminta salah seorang dari 14 muslimat Mesir pro-Morsi yang dipenjarakan 11 tahun oleh mahkamah Iskandariah untuk mengahwini anak beliau.

Salamah menyatakan demikian dalam status Twitter yang dipetik rassd.com yang meminta muslimat itu berkahwin dengan anaknya yang juga pewaris tunggalnya.

Mahkamah Iskandariah minggu lepas menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun kepada 14 muslimat yang sebahagian daripada mereka berumur di bawah 15 tahun kerana terlibat menyertai demonstrasi menyokong Morsi.

Hakim-hakim tersebut didakwa merupakan penggerak kempen "Tamarrud" yang menggulingkan Mursi dan seorang daripada mereka adalah bekas pegawai polis perisikan "Amn Daulah".
BANGKOK: Pemimpin antikerajaan Suthep Thuegsuban (gambar), mendedahkan beliau bertemu dengan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra semalam.
   
Beliau berkata dalam pertemuan di hadapan ketua-ketua tertinggi tentera, beliau berkata kepada Yingluck "dengar kehendak rakyat dan kembalikan kuasa kepada mereka'.
   
Beliau membuat pendedahan itu di atas pentas di hadapan penyokongnya di Kompleks Pusat Kerajaan lewat malam semalam.
   
Beliau berkata mesyuarat itu berjalan dengan baik dan mendakwa tiga Komander angkatan tentera, termasuk Ketua Tentera Jen Prayuth Chan-ocha, telah menyatakan bahawa mereka 'akan bersatu padu mempertahankan negara'.
   
Mesyuarat itu berlangsung di tengah-tengah keganasan di ibu kota selepas penunjuk perasaan cuba untuk menyerang Rumah Kerajaan, yang merupakan pejabat Yingluck. Bagaimanapun cubaan itu gagal.
   
Malam tadi, Polis Jen Pracha Promkok, seorang daripada lima timbalan perdana menteri, menasihati orang ramai agar berkurung di dalam rumah dari pukul 10 malam hingga 5 pagi tadi, demi keselamatan mereka. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tertarik dengan istilah 'pendakwah bebas' yang selalu disebut-sebut oleh masyarakat.

“Saya faham maksud bebas tersebut ialah tidak terikat dengan mana-mana fahaman organisasi khususnya politik,” ujar beliau menerusi facebook, semalam.

Tetapi sebenarnya, jelas beliau pendakwah sebenarnya tidak mungkin bebas.

Dalam arus politik, kata beliau seseorang semestinya mempunyai pendiriannya masing-masing apatah lagi seorang pendakwah yang bertanggungjawab membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Di dalam Islam, cuma ada iman atau kufur. Di akhirat kelak, cuma ada neraka atau syurga. Begitu juga di dunia, yang ada ialah benar atau batil,” ujarnya lagi.

Tegasnya, seorang pendakwah wajib memilih untuk menyeru manusia kepada kebenaran atau kebatilan.

“Dia tidak boleh bebas tanpa apa-apa pendirian politik,” kata beliau.

Beliau berkata, jika dia benar-benar menjadi bebas dari sudut pendiriannya, lambat laun mudahlah ia dimakan oleh 'serigala'.

Justeru, tambah bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak pelik jika mana-mana 'pendakwah bebas' tiba-tiba dimakan oleh 'serigala'.
Sama ada pendakwah bebas, Ustaz Kasim Elias menerima atau menolak tawaran menjadi ahli MT UMNO masih lagi menjadi tanda-tanya. Ustaz Kazim sendiri belum memberi kata putus. Katanya, beliau perlu berjumpa Perdana Menteri, Najib Razak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya.

Menurutnya, beliau ingin mendapat jaminan daripada Perdana Menteri agar perlantikan itu tidak menghalang kerja-kerja dakwahnya. "Tunggulah saya sembahyang istikharah dulu," tambahnya lagi.

Namun demikian, sementara perlantikan beliau ini terus menjadi pertikaian, Ustaz Kazim juga mengesahkan bahawa beliau masih merupakan ahli Pas kawasan Tambun, Perak. Meskipun dulu, katanya, ada ura-ura mahu memecatnya tetapi sehingga ini beliau tidak pernah menerima apa-apa surat pemecatan atau surat daripada jawatankuasa disiplin Pas.

"Sepatutnya Pas merasa sedikit malu dengan UMNO kerana mereka boleh menjemput orang yang di luar UMNO untuk menduduki kerusi MT dan Pas tidak pernah menjemput saya, apatah lagi menjadi teman yang mesra," katanya dalam rakaman video sidang akhbarnya yang tersebar di laman-laman sosial sekarang ini.

Soalnya benarkah Pas yang patut berasa malu atau Najib yang lebih patut merasa malu?

Tindakan Najib mempelawa seseorang yang masih menjadi ahli Pas untuk menduduki kerusi MT UMNO seharusnya juga menunjukkan beliau tidak berhati-hati dan mengkaji latar belakang seseorang itu sebelum membuat tawaran. Membuat pelawaan kepada ahli Pas ini umpama suatu penghinaan dan perlekehan paling teruk kepada kira-kira 3.4 juta ahli UMNO dan seolah-olah tidak ada seorang pun daripada jutaan ahli yang dibanggakan itu yang lebih baik dan setanding dengan Ustaz Kazim yang masih merupakan ahli Pas.

Bukankah di dalam UMNO masih ramai lagi mereka yang berpengetahuan agama yang boleh dijadikan ahli MT UMNO?

Kalau benarlah seperti kata Tengku Adnan bahawa perlantikan Ustaz Kazim untuk membetulkan kekurangan mengenai Islam dalam UMNO, apakah Ustaz Fathul Bari yang mendapat undi tertinggi sebagai Exco Pemuda UMNO, bukan calon yang sesuai untuk melakukan tugas itu?

Atau apakah Dr Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang dipecat daripada Pas dan tidak menganggotai mana-mana parti, tidak merupakan calon yang lebih baik atau setanding dengan Ustaz Kazim?

Atau jika Najib terlalu ghairah dan teringin untuk melantik ahli Pas juga menduduki kerusi MT sebagai menunjukkan UMNO lebih mencintai Islam berbanding Pas, apakah tidak boleh dilantik bekas Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa yang sudah pun kerap dibawanya ke keluar negara sebelum ini?

Melantik mereka yang masih belum menjadi ahli UMNO sebagai ahli MT juga menunjukkan sikap "double standard" Najib dalam menghayati semangat perlembagaan parti. Ini kerana dalam perlembagaan menetapkan, sebagai contoh, mereka yang ingin bertanding AJK Bahagian mestilah sekurang-kurangnya sudah menjadi ahli UMNO tidak kurang 3 tahun manakala kalayakan untuk bertanding ketusi MT pula mestilah juga pernah menduduki kerusi AJK Bahagian.

Seharusnya, dalam soal perlantikan ahli MT, semangat perlembagaan itu juga dihayati dengan sebaiknya. Kalau pun syarat pernah menduduki AJK Bahagian mahu diketepikan, setidak-tidaknya syarat sebagai ahli UMNO mestilah sentiasa dijunjung untuk menunjukkan bahawa UMNO sebenarnya menghormati ahli-ahli sendirinya.

Walaupun kuasa Najib sebagai Presiden UMNO dalam melantik ahli MT ini merupakan kuasa mutlaknya tetapi menawarkan kerusi MT kepada Ustaz Kazim yang masih merupakan ahli Pas ialah umpama seorang lelaki yang menghebohkan mahu mengahwini seorang wanita dan membuat pengumuman rasmi mengenainya sedangkan wanita tersebut masih lagi menjadi isteri yang sah kepada lelaki lain.

Siapakah yang lebih malu sebenarnya? - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memaklumkan penceramah bebas Mohammad Kazim Elias yang dilantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno telah dipecat dari PAS pada Ogos lalu.

Menurut beliau, surat pemakluman pemecatan keahlian itu juga telah dihantar kepada Kazim sejurus selepas itu dan tiada sebarang rayuan dikemukakan kepada PAS.
Keputusan pemecatan itu dibuat dalam Mesyuarat PAS Pusat pada 25 Ogos lalu.
Katanya, selain Kazim, tiga lagi individu yang turut dipecat ialah bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin, bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Hassan Basri dan bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha.

"Kita dah pecat beliau Ogos lalu, dan kita telah hantar surat kepada beliau.

"Kita anggap sampai kepada beliau, kerana kita tidak menerima pengembalian surat itu dan kita juga tak dapat apa-apa respons daripada beliau," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kazim yang hari ini mengisytiharkan keluar dari PAS selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

Mustafa berkata, tidak timbul soal Kazim mengisytiharkan keluar dari PAS kerana sememangnya beliau sudah dipecat dan bukan lagi ahli PAS.

Tiada ulasan: