MP PAS, BN tuntut Pusat naik taraf lapangan terbang
- Dec 03, 2013
- SALMIYAH HARUN
Mereka mengakui bahawa satu-satunya lapangan terbang di negeri itu wajar dinaik taraf segera kerana keperluan mendesak dengan aliran keluar masuk para pelancong ke negeri Kelantan.
Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary (gambar) melahirkan rasa kecewa apabila cadangan ini telah dibangkitkan beberapa kali di dalam Dewan Rakyat, malangnya kerajaan memberi jawapan yang mengecewakan.
"Ahli Parlimen Kelantan beberapa kali membangkitkan persoalan ini namun sehingga ini tidak ada apa-apa tercatat dalam bajet ini.
"Sudah sampai masanya lapangan terbang ini dijadikan lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Jumlah pelancong keluar masuk terlalu ramai," katanya ketika berbahas di dalam dewan.
Beliau juga mempersoalkan mengapa peruntukan kali ini hanya memperuntukkan kepada Lapangan Terbang Sarawak dan Sabah sahaja.
"Saya minta tambah peruntukan untuk Lapangan Terbang di Pengkalan Chepa ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga mengakui lapangan terbang itu antara yang tertua dan wajar ianya diperbesarkan sebagai penerbangan di peringkat antarabangsa.
Bahkan katanya, dengan menaik taraf lapangan terbang itu sekali gus menjadikan Kelantan sebagai pintu masuk utama pelancong dari luar negara.
"Dan yang paling penting, terutama bagi jemaah haji daripada Kelantan agar mereka boleh terus ke Arab Saudi, inilah keperluan mendesak yang perlu disegerakan," katanya ketika mencelah memohon penjelasan daripada Marzuk.
Dalam jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Karpawi menegaskan lapangan terbang sudah dinaik taraf dengan memanjangkan landasan lapangan terbang itu.
"Menaik taraf akan ada dalam perancangan supaya dapat memenuhi keperluan masa akan datang," katanya.
Rakyat Kelantan mahu halangan politik diketepi
- Dec 03, 2013
- Aslani M
Ini kerana sejak tempoh itu banyak kemudahan yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan dinafikan termasuk projek rumah awam kos rendah, lebuh raya, pembesaran landasan kapal terbang dan pelabuhan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, pelbagai alasan yang dicipta sebelum ini bagi menghalang hak tersebut membuatkan rakyat menjadi muak.
“Oleh itu kami berharap kunjungan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini dapat menyelesaikan masalah yang belum selesai.
“Rakyat Kelantan ternanti-nanti apakah tindakan susulan daripada pertemuan tersebut terutamanya melibatkan pembangunan bagi manfaat rakyat,” katanya di sini.
Baru-baru ini Ahmad mengunjungi hormat Perdana Menteri di Putrajaya. Turut sama pada kunjungan tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim dan anggota-anggota Exco, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Datuk Hanifa Ahmad.
Antara isu utama dibincangkan termasuk pembinaan lebuh raya, menaik taraf lapangan terbang, isu royalti dan pelaksanaan undang-undang syariah di Kelantan.
Nor Azariza berkata, isu yang dibincangkan pada pertemuan tersebut sebenarnya bukanlah perkara baru.
Tarif elektrik: Rakyat Sabah tanggung beban berganda
- Dec 03, 2013
- HARAKAHDAILY
Malah, kata ketuanya, Lahirul Latigu kenaikan terbaru yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili adalah mendadak iaitu 16.9 peratus berbanding 14.89 peratus di Semenanjung.
“Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan. Pengguna akan terpaksa membayar bil yang lebih tinggi bagi setiap penggunaan elektrik,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Dewan Pemuda PAS Sabah memandang serius terhadap pengumuman kenaikan tarif elektrik akibat daripada semakan terhadap subsidi elektrik dan gas oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Kenaikan tersebut adalah sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowatt kepada 38.53 sen/kwj di Semenanjung manakala kenaikan 16.9 peratus atau 5 sen KW kepada 34.52 sen/kwj yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2014.
Pemuda PAS Sabah membantah kenaikan tersebut kerana penstrukturan kenaikan 15 peratus iaitu dari 25.50 sen/kwj kepada 29.25sen/kWj tarif elektrik di Sabah dan Labuan baru saja dilakukan pada 15 Julai 2011.
Malah kenaikan terbaru yang diumumkan oleh menteri terbabit adalah mendadak iaitu 16.9 peratus berbanding 14.89 peratus di Semenanjung.
Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan. Pengguna akan terpaksa membayar bil yang lebih tinggi bagi setiap penggunaan elektrik.
Walaupun dimaklumkan 62 peratus tidak berada dalam kategori penyelarasan tersebut, tetapi ada baki 38 peratus atau 158,000 pengguna adalah mereka yang akan terkesan secara langsung. Ditambah kos hidup yang tinggi, terutamanya di bandar-bandar utama kenaikan tarif letrik ini sudah pasti akan tambah menyukarkan kehidupan.
Namun apa yang dibimbangi ialah, kenaikan ini pasti akan menyebabkan tekanan kos pengeluaran terhadap pemain industri. Sebarang kenaikan kos sudah pasti akan mendorong kepada kenaikan harga.
Dan, pada tahap ini seluruh rakyat di Sabah akan menerima kesan daripada kenaikan tersebut. Malah yang amat dibimbangi ialah rakyat Sabah akan menanggung beban berganda akibat dari kenaikan tersebut.
Sepatutnya, kementerian perlu memberi fokus terhadap pembaikan servis terlebih dahulu. Di Sabah, penyedia bekalan elektrik SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) lebih sinonim dengan panggilan "Sabah Electricity Sure Blackout" kerana masalah gangguan bekalan elektrik masih menjadi masalah utama.
Indeks Sistem Purata Gangguan (SAIDI) masih tinggi pada 557 minit/pengguna pada 2012 walaupun terdapat penurunan berbanding 2867 minit pada tahun 2009. Ini cukup jauh dibandingkan di Semenanjung yang telah mencapai kecekapan tahap bawah 100 minit iaitu 66 minit pada 2009 lagi.
Keadaan ini lebih kritikal apabila 23% kawasan pedalaman di Sabah masih tidak mempunyai liputan bekalan elektrik menurut Laporan Rancangan Malaysia Ke-10.
Kenaikan ini sudah pasti memberi lebih keuntungan kepada Syarikat IPP atau Penyedia Tenaga Bebas. Pergantungan masih tinggi terhadap IPP ini dengan daripada 785MW keseluruhan keupayaan penjanaan SESB, 314MW adalah dijana oleh IPP bermakna kerajaan terpaksa membayar sumber subsidi yang tinggi untuk menampung syarikat-syarikat ini.
Alasan kenaikan gas asli tidak boleh diterima kerana Sabah adalah antara pengeluar petroleum yang utama. Data yang diperolehi pada tahun 2011 mencatatkan hasil petroleum yang dikeluarkan dari perut bumi Sabah adalah sebanyak RM16.24 billion. Kenapa tidak dikembalikan manfaat hasil dari bumi Sabah ini kepada rakyat Sabah walau sedikitpun?
Rakyat di Sabah sudah lama terbeban dengan kos hidup yang tinggi akibat dasar dan polisi berat sebelah UMNO dan Barisan Nasional. Polisi Kabotaj umpamanya telah lama menekan harga barang lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Menerusi polisi inilah rakyat Sabah akan merasai kesan berganda kerana barang-barang terpaksa menghadapi tekanan kos akibat kenaikan tarif elektrik di semenanjung, seterusnya tekanan kos akibat kenaikan tarif di Sabah juga berlaku setelah sampai di sini.
Ditambah pula dengan kenaikan harga minyak dan terbaru cukai GST yang bakal menyusul, nampaknya kehidupan di Sabah akan menjadi bertambah sukar..!
Inilah mungkin 'hadiah' kepada rakyat Sabah setelah memberi undi yang besar mempertahankan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya ke-13 lepas.
Menteri, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili selaku Ahli Parlimen Sabah dari Kota Marudu sepatutnya berasa malu kerana tidak berupaya menjalankan tugasnya menjaga kepentingan rakyat Sabah.
Pemuda PAS Sabah menasihatkan agar beliau berundur jika tidak mampu lagi mempertahankan hak rakyat yang diwakilinya.
Hishamuddin masih perlukan rawatan lanjut di hospital
- Dec 03, 2013
- HARAKAHDAILY
Beliau kini berada di bawah pengawasan doktor di hospital itu.
Menurut kenyataan pejabat Menteri Pertahanan hari ini, doktor pakar menasihatkan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno supaya berehat buat sementara waktu.
Hishammuddin, 52, menjalani prosedur angioplasti itu selepas disahkan mengalami masalah saluran arteri sempit. - Bernama
MBKT sedia berunding dengan pemilik Sabasun
- Dec 03, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini menafikan dakwaan pemilik Sabasun, sebuah super mini market yang beroperasi di sini, kononnya ditindas MBKT ekoran lesen perniagaannya digantung.
Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata isu itu timbul berikutan kegagalan pihak Sabasun mematuhi prosedur bagi membolehkan MBKT meluluskan permohonannya.
"MBKT sehingga kini masih menunggu kedatangan pemilik Sabasun untuk bersemuka... sebaliknya dia menggunakan hebahan di media sosial pembangkang untuk memburuk-burukkan imej MBKT dan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Adzlan mahu pemilik Sabasun menghentikan tohmahan itu dan datang berbincang untuk menyelesaikan masalah.
Menurut beliau Sabasun dikategorikan sebagai sebuah 'super mini market' dan bukannya 'hipermarket' yang tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Baru-baru ini, isu mengenai kononnya MBKT dan kerajaan negeri Terengganu menindas usahawan Melayu tersebar luas di Internet ekoran Sabasun gagal menyambung lesen perniagaannya.
"MBKT banyak bertolak ansur selama ini dengan pihak Sabasun walaupun mereka banyak melakukan kesalahan seperti menambah binaan bangunan tanpa kelulusan dan permohonan pelan kepada MBKT.
"Sabasun adalah tempat tumpuan ramai... jika tiada kelulusan bangunan bermakna tiada kelulusan bomba dan agensi-agensi lain dan jika berlaku kemalangan seperti kebakaran dan runtuhan, MBKT juga boleh disaman," kata Adzlan.
Mengulas dakwaan Sabasun kononnya MBKT tidak mahu menjual sebidang tanah bersebelahan premisnya untuk dijadikan kawasan parkir, sebaliknya dikenakan sewa RM4,000 sebulan, Adzlan berkata MBKT tidak boleh sewenang-wenangnya menjual aset mereka, terutama lokasi strategik dalam bandar.
Mengikut perjanjian, MBKT memberi sewa kepada Sabasun sekitar tahun 1996, sebidang tanah untuk tapak parkir, namun dikatakan Sabasun melanggar perjanjian dengan membina struktur bangunan di situ. - Bernama
Kenapa Mahathir lepaskan Petronas tapi Proton tidak?
- Dec 03, 2013
- HARAKAHDAILY
"Saya hanya letak jawatan dalam Petronas. Proton bukan milik kerajaan, ia milik DRB-Hicom Berhad. Saya akan teruskan perjuangan saya bersama Proton," jelas bekas Perdana Menteri itu.
Bagi blogger Shahbudin Husin, keadaan itu menampakkan seolah-olah beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang jawatan dalam kerajaan tetapi akan terus berjuang bersama Proton.
“Maknanya, tidaklah beliau hanya akan berehat dan lebih banyak tidur saja selepas ini,” tulis beliau di dalam blognya, sebagaimana di bawah.
Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sudah sah mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas. Namun tindakannya berbuat demikian dengan menulis surat kepada Najib hanya beberapa hari menjelang Perhimpunan Agung UMNO, menimbulkan sedikit tanda-tanya walaupun diketahui umum beliau kini sudah berusia 88 tahun dan baru saja menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
Ramai yang bimbang jika tindakannya mahu meletakkan jawatan secara tiba-tiba kerana ada tujuan lain atau sebagai luahan rasa tidak puas hatinya yang semakin membesar terhadap kepimpinan Najib. Takkan tiba-tiba "burung tempua bersarang rendah", begitu reaksi banyak pihak mengenainya.
Dalam masa yang sama pengunduran Mahathir ini juga menimbulkan persoalan tentang siapakah pengganti yang akan mengambil alih tempatnya. Jawatan sebagai Penasihat Petronas biasanya diberikan kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa dan sumbangannya kepada negara.
Sebelum Mahathir, jawatan itu pernah disandang oleh Hussein Onn. Apakah dengan pengunduran Mahathir ini, Najib akan melantik Pak Lah pula ke jawatan itu? Atau tokoh-tokoh lain seperti Tengku Razaleigh dan Daim Zainuddin turut dalam pertimbangan Perdana Menteri untuk diberikan jawatan tersebut?
Mahathir sendiri ketika bercakap kepada pemberita semalam berkata, pengundurannya adalah kerana beliau sudah tua dan perlu banyak berehat.
Beliau juga dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya agar mengurangkan aktiviti dan tidak terlalu aktif, sementara perjalanan ke luar negara pula hanya boleh dilakukan sekali saja dalam sebulan.
"Saya perlu lebih rehat dan banyak tidur," kata Mahathir lagi.
Walaupun faktor kesihatan dan perlu banyak berehat ini dapat diterima sebagai alasan pengundurannya, tetapi kesangsian tetap ada kerana jawatan sebagai penasihat itu bukanlah tugas sepenuh masa yang memerlukannya menguruskan perjalanan Petronas, pergi ke pejabat setiap hari atau menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting.
Kedudukannya sebagai Penasihat Petronas hanyalah kerana jasa dan kedudukannya ssbagai bekas Perdana Menteri. Beliau tidak perlu ke pejabat setiap hari dan jika hanya tidur di rumah saja pun, tiada siapa yang akan marah atau menegurnya.
Jadi, kenapa perlu meletakkan jawatan?
Dalam masa yang sama juga, sebagaimana yang dipetik daripada laporan Berita Harian, Mahathir memberitahu, beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas saja tetapi akan kekal sebagai Penasihat Proton.
Ramai juga bingung, boleh pula beliau kekal sebagai Penasihat Proton. Apakah bezanya Petronas dengan Proton?
"Saya hanya letak jawatan dalam Petronas. Proton bukan milik kerajaan, ia milik DRB-Hicom Berhad. Saya akan teruskan perjuangan saya bersama Proton," jelasnya.
Keadaan ini menampakkan seolah-olah beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang jawatan dalam kerajaan tetapi akan terus berjuang bersama Proton.
Maknanya, tidaklah beliau hanya akan berehat dan lebih banyak tidur saja selepas ini.
Malahan, semalam juga, ketika bercakap mengenai rasuah yang didakwanya masih berkembang dalam UMNO dan juga kerajaan, Mahathir juga berkata, beliau ada idea untuk membendung rasuah dalam UMNO dan juga kerajaan dan akan mencari platform untuk menjelaskan idea tersebut.
Maknanya juga, beliau akan lebih sibuk bercakap mengenai rasuah selepas mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas ini. Bahkan mungkin juga lebih aktif, lebih aktiviti dan lebih banyak bergerak berbanding sebelum ini.
Namun demikian, apa pun alasan mengenai pengunduran Mahathir ini, persepsi orang ramai, terutama ahli UMNO terhadapnya serta kemungkinan yang bakal berlaku selepas ini, rata-rata mengharapkan beliau terus sihat, cergas dan panjang umurnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan