Khamis, 8 Ogos 2013

RAMADHAN ITU MEMANG PENTING...TAK KURANG PENTING SELEPAS RAMADHAN...JANGAN LEPAS RAMADHAN PERANGAI LAMA DIBUAT BALIK...MAKA SIA2 JADINYA...AKHIRNYA BERJAYA JUGA SYAITAN MENGALAKANI MANUSIA

Kenapa IHSB tuntut dari kerajaan negeri?

Taufik Naaim, 07 Ogs 2013
Sepertimana terbitnya keterangan saya yang lepas tentang masalah tuntutan tunggakan gaji yang diajukan kepada YAB Menteri Besar Kedah, saya ingin memberikan pencerahan kenapa isu tuntutan itu ditujukan kepada beliau.

Dengan rasa rendah diri, kami ingin melahirkan rasa kesal apabila YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN yang kami hormati, membuat kenyataan bagaikan entiti IHSB dan setiap kakitangan yang bekerja di dalamnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kerajaan Negeri.

Seperti yang saya jelaskan di dalam keterangan sebelumnya, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB dan anak syarikat lain menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar.

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini.

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran.

Penerangan ringkas:
1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Seiring dengan status KUIN sebagai sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri. Maka tidak menjadi sesuatu yang janggal untuk mengajukan isu tuntutan ini kepada Kerajaan Negeri sendiri.

Ketahuilah, bahawasanya kami hanyalah kakitangan yang diamanahkan tugas untuk mengoperasikan IHSB dan memastikan segala bentuk servis dan kemudahan disampaikan kepada pelajar KUIN. Untuk menafikan hak kami untuk dibayar gaji, adalah sesuatu yang amat dikesali.

Berkenaan penjelasan status perjawatan kami, sememangnya kami bukanlah di ambil bekerja di bawah Kerajaan Negeri. Kami semua tertakluk kepada perjawatan di bawah IHSB. Namun begitu, penyelesaian masalah bayaran invois dan halatuju anak syarikat oleh YAB Menteri Besar akan dapat memberi gambaran kepada status perjawatan kami.

Sepertimana hari ini, status kami tergantung kerana tiada maklumbalas yang spesifik terhadap kelangsungan halatuju syarikat daripada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar menerusi KUIN. Dan tunggakan bayaran menyebabkan kami tidak mendapat hak kami untuk dibayar gaji.

Maka dengan itu kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera untuk membolehkan masalah pembayaran ini diselesaikan sebelum 30 Ramadhan sempena sambutan Hari Raya.

Penerangan ini tertakluk kepada pemahaman saya melalui rujukan invois dan perjanjian di antara IHSB dan KUIN. Penerangan ini juga tidak berniat untuk menunding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba mencari menyelesaian untuk membolehkan Kolej Universiti INSANIAH terus maju dan berkembang.

Saya terbuka untuk dihubungi oleh sesiapa jua yang prihatin dan ingin turut sama menyelesaikan masalah ini. Saya percaya isu ini mempunyai penyelesaian, dan keterbukaan di antara kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan adalah amat dialu-alukan.

Sekali lagi saya alu-alukan sesiapa juga dari mana-mana organisasi prihatin, badan-badan kerajaan, individu atau pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar sendiri untuk menghubungi saya sekiranya memerlukan penjelasan ataupun perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon 012 424 6269.

Terima kasih di atas keprihatinan anda semua, kami amat menghargai segala usaha anda untuk menyelesaikan masalah ini.

Salam Ramadhan, Salam Syawal yang bakal tiba. - http://www.taufiking.com

Semoga Syawal berjaya memugar tarbiah Ramadhan

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 07 Ogs 2013
Perutusan Idulfitri 1434H

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

بسم الله الرحمن الرحيم. قال الله تعالي : "قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ"

yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah ali-Imran, ayat 26)

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya kita masih diberikan peluang untuk meraikan Syawwal pada tahun ini. Sama ada ini merupakan Syawwal yang terakhir atau tidak di dalam hidup kita, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya perjalanan hidup ini seluruhnya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah SWT. Dia berhak mematikan sesiapa yang dikehendaki pada bila-bila masa yang dikehendaki tanpa sebarang tanda dan amaran.

Segala kebesaran milik Allah SWT yang menguji kita umat Islam pada Syawwal kali ini dengan tragedi-tragedi yang menyayat hati di seluruh dunia. Kesemuanya mengingatkan kita agar sentiasa menyedari dan menginsafi bahawa kerajaan adalah milik Allah SWT. Pada hari ini di saat mana-mana kerajaan berkuasa, belum tentu lagi di hari esok ia akan terus menjadi kerajaan. Hakikatnya, kerajaan di langit dan di bumi semuanya milik Allah SWT.

Saya menyatakan perkara ini bagi mengingatkan kita semua tentang apa yang sedang berlaku di bumi ambiya' iaitu di Mesir pada hari ini. Kita menyambut Syawwal dalam keadaan saudara-saudara kita di Mesir sedang berdepan dengan rampasan kuasa yang sungguh menyayat hati. Sekalipun demokrasi telah mengesahkan kemenangan kerajaan pilihan rakyat, namun muncung senapang sekali lagi menjadi senjata sekular untuk menidakkan demokrasi. Pada saat rakyat di seluruh Mesir bangkit hanya bersenjatakan doa dan perarakan aman sahaja, mereka dipaksa untuk bersahur dan berbuka dengan bedilan peluru oleh tentera negara mereka sendiri.

Ini juga yang berlaku di Syria. Kita laungkan takbir raya pada saat kaum muslimin di Syria sedang melaungkan takbir jihad. Kita melakukan persiapan membeli pakaian hari raya ketika kaum lelaki di Syria menyiapkan kelengkapan perang menentang rejim zalim yang enggan turun dan tunduk pada desakan rakyat. Hasilnya, saban hari kita melihat gambar-gambar mereka yang terkorban di Syria dibunuh tanpa belas kasihan.

Inilah ujian daripada Allah SWT. Ujian kepada tahap persaudaraan yang kita miliki. Justeru, dalam pada kita riang gembira menyambut hari raya pada kali ini, luangkan masa kita untuk sama-sama menadah tangan agar Allah SWT menurunkan pertolonganNya kepada umat Islam di Mesir, Syria bahkan di seluruh dunia termasuklah di negara kita Malaysia. Teruskan berjuang dan berdoa, agar kezaliman melutut sujud di hadapan kebenaran.

Semoga Ramadhan yang berlalu berjaya memahat nilai taqwa dalam benak sanubari kita. Semoga Syawwal yang tiba juga berjaya memugar kembali kekuatan hasil tarbiah Ramadhan yang kita lalui. Ingatlah, jika di bulan Ramadhan berlakunya perang Badar, maka di bulan Syawwal telah berlakunya perang Ahzab. Kedua-duanya dimenangi dengan gilang gemilang oleh Rasulullah SAW.

Tiada yang pelik jika pertolongan Allah SWT yang pernah turun di medan Badar dan Ahzab akan turun buat kesekian kalinya untuk umat Islam pada hari ini. Syaratnya, iman dan taqwa hendaklah menjadi hantaran buat meminang nusrah daripada Allah SWT, Tuhan pemilik segala kerajaan.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Salam hormat, selamat hari raya Idulfitri 1434H

YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Andalus, selepas terlucutnya keadilan

Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, 06 Ogs 2013
Keadilan datangnya daripada Allah. Salah satu daripada nama-nama Allah ialah “Yang Maha Adil”. Keadilan lazimnya digandingkan dengan kebenaran, kerana tanpa mengetahui etika tersebut, kita tidak dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya, apatah lagi amal bakti yang diiktiraf sebagai berkebajikan di sisi Allah Taala. Di dalam Surah Al-Maidah ayat 8, Allah menyebut :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”


Ayat ini membuktikan bahawa kebenaran dan keadilan tidak dapat dipisahkan. Seorang Muslim yang dibimbing wahyu Allah pasti meyakini bahawa menerima keadilan adalah ketaatan, menegakkannya adalah kewajiban dan memperjuangkannya adalah jihad. Dalam urutan keutamaan yang ditentukan oleh Islam dalam sebuah pemerintahan menurut Imam al-Mawardi, keadilan terletak di tempat yang tinggi selain daripada amanah. Ketinggiannya itu mengatasi perkara-perkara lain seperti kestabilan dan kemakmuran ekonomi. Kerana kestabilan negara yang dipimpin oleh pemerintah yang korup, sebenarnya adalah kestabilan yang palsu.

Sekiranya nilai kebenaran dimanipulasi dan keadilan dikesampingkan dalam sesebuah etika pemerintahan, maka tunggulah detik-detik kehancuran. Masyarakat tidak lagi percaya dan yakin dengan sistem perundangan yang rosak serta pemerintahan yang zalim. Natijahnya masyarakat akan menyelesaikan masalah masing-masing dengan caranya tersendiri seperti pemberontakan, pengeboman, keganasan dan apa jua cara kekerasan sehingga menumpahkan darah.

Dalam Islam, keadilan merentasi batas kaum dan bangsa bahkan agama. Hanya apabila keadilan telah ditegakkan dan kezaliman dihapuskan, maka kebaikan-kebaikan yang lain akan terlaksana dengan jayanya. Begitupun perlu kita fahami bahawa keadilan bukan hanya satu konsep yang berkaitan dengan pemerintahan dan politik sahaja, walaupun sehingga ke hari ini konsep keadilan terus menjadi tema penting terutamanya dalam bidang pemerintahan. Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman juga merupakan antara falsafah sistem kehakiman dalam Islam.

Sebelum tema keadilan menjadi konsep politik, ia adalah konsep terulung bersifat metafizik yang diperjuangkan Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, keadilan tidak lebih daripada satu perkataan yang boleh membangkitkan emosi, bahkan penegakan syiarnya juga adalah sebuah agenda Islam bagi meneruskan legasi perjuangan baginda Rasulullah SAW. Oleh itu, Ibn Khaldun (1332 M - 1406 M) di dalam “Muqaddimah”, turut mengaitkan ketidakadilan adalah penyebab kerosakan struktur negara sekaligus memporak-perandakan bangsa.

Ketika Islam tersebar di Andalus, keadilan adalah mercu tanda penyebaran dakwah yang menjadi haruman di kota yang penuh berprestij itu. Kehadiran umat Islam di Andalus bukanlah suatu bentuk yang agresif mahupun permisif, tetapi atas permintaan pemerintah bahagian Ceuta (wilayah Sepanyol terletak di Afrika Utara) ketika itu yang bernama Count Julian untuk membalas dendam terhadap Raja Don Roderic yang telah melakukan kekejaman dan penindasan di Andalus. Maka, jemputan Count Julian itu adalah untuk mengembalikan keadilan di Andalus dengan meyakini umat Islamlah pelopornya yang layak dijadikan pautan.

Kehadiran Islam di Andalus sekali gus menjadikan kota itu sebagai model terbaik bagaimana toleransi beragama telah dilaksanakan oleh umat Islam jauh sebelum konsep itu kini kononnya diperjuangkan oleh Barat. Ramai sejarawan Barat sendiri termasuk Edward Gibbon (1737 M – 1794 M) mengakui bahawa ketika zaman Andalus diperintah oleh orang Islam yang memakan tempoh ratusan abad, orang-orang Kristian dan Yahudi hidup dalam kedamaian dan keamanan. Namun, malangnya toleransi beragama yang dicontohkan oleh umat Islam tidak dihargai baik oleh orang-orang Yahudi mahupun Kristian.

Toleransi hancur setelah Andalus berada di tangan orang-orang Kristian. Sejarah mencatatkan pada abad ke-13 sahaja, 3 juta orang Islam dan 2 juta orang Yahudi diusir dari Andalus. Bukan hanya umat Islam dipaksa tukar agama, bahkan masyarakat Kristian yang beraliran “Unitarian” juga dipaksa bertukar kepada “Trinitarian”. Seramai 40 ribu orang Yahudi menerima “Converso” (masuk Kristian secara paksa). Ia berlaku setelah Andalus ditakluki Ferdinand III. Masjid Cordova yang indah dan megah, dibina Abd al-Rahman al-Dakhil pada 788 Masihi ditukar menjadi gereja pada 1236 Masihi.

Tahun-tahun berikutnya berlaku operasi pemurtadan secara besar-besaran di Andalus. Tribunal kegerejaan dilaksanakan dengan amat kejam, orang Kristian yang tidak mengamalkan ajaran Trinitarian digantung dan dibakar, sehingga masyarakat Andalus berada dalam kegelapan kembali setelah berada dalam kemuncak ketamadunan. Hanya pada 1813 M inkuisisi tersebut dinyatakan sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan dihapuskan pada 1834 M. Inkuisisi itu jugalah yang menimbulkan kebencian masyarakat Eropah kepada agama dan dan melahirkan semangat ilmiah moden dan rasional melampau sehingga anti kepada konsep ketuhanan.

Begitupun sebenarnya titik-titik hitam dalam sejarah pemerintahan khilafah Islam di Andalus mula memperlihatkan petanda kejatuhannya apabila keadilan tidak lagi menjadi prinsip pentadbiran mereka. Ketika keadilan dibakul-sampahkan, bukan hanya cahaya ketamadunan dan keilmuan hilang dari bumi Andalus, kedamaian beragama juga hilang dari bumi yang kini disebut Sepanyol itu. Populasi masyarakat Islam di Andalus ketika itu semakin berkurangan akibat penindasan dan operasi pemurtadan beramai-ramai.

Ayuh kita perhatikan ketika Al-Hakam I (796M) menaiki takhta menggantikan ayahnya iaitu Hisham, bahawa ayahandanya telah berpesan, “Hendaklah kamu (wahai Hisham) berlaku adil kepada semua tanpa mengira miskin atau kaya, berbuat baik dan berlemah lembut kepada orang yang bergantung kepadamu. Kerana semuanya sama-sama ciptaan Allah. Amanahkan penjagaan kota-kota dan daerah-daerahmu kepada ketua yang setia dan berpengalaman; kenakan hukuman tanpa belas kasihan menteri-menteri yang menindas rakyatmu...”

Namun, malangnya Al-Hakam I tidak mengikuti pesan ayahnya. Al-Hakam I justeru tidak peduli nasib rakyatnya, bahkan kejam terhadap mereka. Beliau merupakan sultan pertama yang dikelilingi 6 ribu pengawal peribadi. Beliau menghukum rakyatnya dengan kejam walaupun atas kesalahan kecil, sehingga menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan berlakulah beberapa siri pemberontakan. Pada zamannya juga Barcelona jatuh ke tangan Kristian, dan ia adalah kejayaan besar pertama diperoleh oleh Kristian. Kejayaan tersebut telah memberikan momentum “reconquesta” (penaklukan kembali) kepada golongan Kristian untuk menyerang umat Islam. - rujuk “al-Mu'jib fi Talkhis Akhbar al-Maghrib”

Selain percubaan serangan yang ingin dilakukan oleh kaum Kristian untuk melakukan reconquesta terhadap kerajaan-kerajaan Islam di Andalus, perpecahan dalaman akibat perbezaan kasta kepada umat Islam turut berlaku. Sifat angkuh golongan autokrat terhadap golongan bawahan, antara bencana tertewasnya tentera Islam dalam peperangan Las Navas de Tolosa pada 1212 Masihi, perang di mana kembalinya titik peralihan golongan Katholik menguasai Andalus. Dalam peperangan tersebut berlaku keengganan sultan dinasti al-Muwahidun mendengar nasihat panglimanya berbangsa Barbar yang lebih berpengalaman. Kekalahan itu menyebabkan 70 000 orang Islam disembelih atas arahan ketua bishop wilayah Toledo, Rodrigo Jiménez de Rada.

Zaman kejatuhan Andalus juga ditandai dengan kerakusan golongan pemerintah yang sanggup memperalatkan ulama. Perkara ini diakui Ibnu Khaldun di mana beliau sempat menyaksikan peristiwa bagaimana kerajaan-kerajaan Islam yang gagah perkasa di Andalus, tumbang satu persatu akibat fungsi dan peranan ulama tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya. Ibnu Khaldun menceritakan ketika beliau berada di Andalus, ulama sering diperalatkan golongan pemerintah. Penghargaan terhadap ulama yang pada awal Islam benar-benar jujur dan ikhlas bertukar menjadi pemanfaatan para pemimpin (umara) terhadap kaum ilmuwan (ulama).

Jelas Ibnu Khaldun lagi, bibit-bibit zaman kejatuhan Andalus ketara terpampang apabila sering berlaku perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat sehingga pemerintah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka. Pertikaian dalaman berlaku setelah kekuasaan tidak lagi berada di tangan pemimpin yang adil. Kerajaan-kerajaan kecil yang dinamakan dengan “Muluk al-Tawaif”  atau taifa de reyes, terlalu lemah untuk melawan gelombang reconquesta. Maka, adalah suatu kebodohan jika kesilapan-kesilapan masa lalu itu kita ulangi di masa ini.

Benar, umat Islam pernah memiliki model kemajuan yang indah dan gemerlapan di masa lalu. Tetapi, sungguh malang apabila cita-cita kegemilangan berhujung dengan kejatuhan demi kejatuhan, apatah lagi jika kejatuhan tersebut berpunca daripada keruntuhan nilai-nilai keadilan sedangkan Islam menegaskan umatnya berlaku amanah dan adil. Untuk kembali bangkit, yang kita perlukan adalah kesungguhan dan keikhlasan, bukan hanya semangat dan slogan-slogan kosong. Yang jelas nasib umat Islam pada masa depan ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini.

http://www.tarbawi.my

Ramadhan, Syawal membina jati diri

., 07 Ogs 2013



Perutusan Idul Fitri Presiden PAS

Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Saya ucapkan selamat Hari Raya 'Idulfitri bagi pihak PAS kepada seluruh ahli dan penyokong, juga kepada umat Islam dengan kita menyambut hari yang mulia kurniaan Allah SWT bersempena ibadat puasa sebulan yang telah ditunaikan.

Bukan sahaja dilihat dari sudut Hari rayanya, bahkan dilihat juga dari segi besarnya ibadat Puasa Ramadan. Oleh kerana itulah, ditutup dengan hari raya yang sangat mulia.

Ini menandakan kesyukuran kira kepada Allah SWT, yang mengurniakan nikmat Islam dan nikmat Ramadan yang mendidik kita membina jati diri orang-orang IOslam sehingga mencapai martabat kepada Allah SWT yang menjadi penentuan dan pengukuran martabat diri manusia di sisi Allah SWT.

Ini kerana Allah Taala mengukur manusia bukan berdasarkan kepada baka dan keturunan, kaya dan miskin, pangkat dan warna kulit. Ukurannya ialah sejauh mana ketakwaan kita kepada ALLah SWT ialah yang paling bertakwa kepada Allah SWT. Firman Allah Taala yang bermaksd: "Sesunggunhnya semulia-mulia manusia di sisi Allah SWT ialah yang palaing bertakwa kepada Allah".

Ketakwaan ini bukan sahaja kita mengikut perintah Allah, dalam hubungan kita dengan Allah SWT. Bahkan, hukum Allah yang terkandung dakam ajaran Islam, dalam al-Quran yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Allah Taala amat mengetahui, Dia (Tuhan) yang mencipta alam ini. Maka semua arahan yang ada dalam Islam adalah baik. Ibadah puasa mengajar kita menerima semua arahan yang ada dalam ajaran Islam.

Dengan sebab itu, sekiranya kita melaksanakan semua perkara itu akan membina jati diri kita, yang mengeratkan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia serta hubungan dengan alam sekeliling kita. Bukan saja kita bertakbir pada hari raya dan dalam masa yang sama kita menghayati kebesaran Allah melalui takbir.

Dan akhirnya, saya mengaharapkan supaya kita menyambut hari raya dengan khusyuk, dengan senang, dengan aman dan dengan cara yang tidak melampaui batas . Allah Taala mengajar kita supaya bersedehana dan tidak melampaui batas. Bukan sahaja dalam makan minum kita, pakaian kita, termasuklah dalam perjalanan kita.

Saya mengingatkan yang berjalan menuju ke destinasi yang jauh supaya dapat menjaga keselamatan di jalanraya. Tidak gopoh, bawa kenderaan dengan cermat, dengan teliti kerana itu semua adalah dari ajaran Islam, sementara gopoh pula adalah dari ajaran dan amalan syaitan.

Dan akhirnya , saya doakan supaya Allah Taala memberkati kehidupan kita dan sentiasa memberi pertunjuk kepada kita sehingga kita bertemu dengan Allah dalam keadaan yang diredhaiNya serta hari pertemuan kita dengan Allah adalah hari yang paling bahagia.

Salam hormat, Selamat Hari Raya 'Idulfitri 1434.

YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

PAS Terengganu rai perantau 2 Syawal di Rusila

Harakahdaily, 07 Ogs 2013



KUALA TERENGGANU: Bersempena menyambut Aidilfitri tahun ini, PAS Terengganu menganjurkan Majlis Ramah Mesra Bersama Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) pada Jumaat, 2 Syawal 1434 bersamaan 9 Ogos di Dewan Tok Guru, bersebelahan Masjid Rusila, Marang.

"Program yang dijalankan sejak 10 tahun lalu ini bertujuan untuk mengumpul serta meraikan anak-anak perantauan yang pulang ke kampung halaman," kata Zaidan Abdullah, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Beliau berkata, berikutan sambutan yang memberangsangkan pada tahun lepas, sambutan dikekalkan diadakan pada sebelah malam bagi kali kedua.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Persuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut serta pimpinan PAS negeri yang lain akan hadir dan beramah mesra dengan perantau mulai jam 8 hingga 11 malam.

Katanya, semua perantau anak Terengganu dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut berhubung dengan program ini, boleh hubungi Zaidan (019-9186025) dan Mohd Raziqin (014-8291265).

Tiada ulasan: