Khamis, 15 Ogos 2013

SAMSENG PUN MATI...MUNGKIN MEREKA MATI DULU...ALLAH SAJA YANG TAHU

‘Jika ROS percaya difitnah, mereka boleh dakwa kami’

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: DAP akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman untuk menuntut dua penjelasan mengapa parti itu perlu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) DAP baru-baru ini, sebagai usaha terakhir bagi menuntut dan mendesak supaya penjelasan diberikan.

“Tanpa dua penjelasan itu, pimpinan DAP tidak akan mampu menjelaskan kepada perwakilan DAP di kongres parti mengapa pimpinan parti mengalah dan menyerah begitu mudah," ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau berkata, DAP bersedia untuk mengadakan pemilihan semula jika penjelasan yang diberikan munasabah, sah dan disertakan dengan fakta berasas.

“Kami juga tidak berpuas hati dengan tindakan ROS berulang kali berkelakuan tidak profesional, tidak beretika dan juga menyalahi undang-undang dengan membuat pengumuman media yang tidak mempunyai asas fakta. Jika ROS percaya bahawa mereka telah difitnah DAP, mereka boleh mendakwa kami di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengulangi pendiriannya bahawa pemilihan CEC yang diadakan Disember tahun lalu dijalankan secara teratur dan bersih serta dijalankan mengikut prosedur.

“CWC DAP mengulangi bahawa pemilihan CEC lalu dijalankan secara teratur dan bersih," jelasnya lagi.

Lim berkata, gangguan komputer telah menyebabkan pengumuman calon yang berjaya salah, namun DAP terus mengambil langkah segera membetulkannya dan turut memanggil sebuah firma perakaunan untuk mengesahkan keputusan yang diperbetulkan.

“Tidak ada sebarang kesilapan dalam pengiraan undi atau penjumlahan tetapi hanya dalam pengumuman keputusan,” tegasnya.

Sehingga hari ini, ROS masih gagal menjawab permintaan DAP untuk mengemukakan penjelasan atau bertemu serta berbincang berhubung isu ini.

Solat di depan tandas

Harakahdaily, 14 Ogs 2013

(Dua orang sedang solat di depan tandas di sebuah pusat membelibelah di Kuala Kangsar)


KUALA KANGSAR: Ketika sebuah surau di Tanjung Sedili Johor digunakan oleh sekumpulan penganut Buddha untuk bermeditasi, di sebuah pusat membeli belah dekat Kuala Kangsar, umat Islam terpaksa solat di perkarangan tandas.

Ini kerana kemudahan surau tidak disediakan oleh pusat membelibelah berkenaan.

Menurut seorang penceramah bebas, Ustaz Farhan Mazlan yang kebetulan ke pusat membeli belah itu, beliau dan rakan-rakannya terpaksa solat di depan tandas itu kerana tiada ruang solat di sediakan.

"Bayangkan, tikar dibentangkan betu-betul depan ruang tandas bersebelahan dengan kaunter bayaran untuk masuk ke tandas itu,"kata beliau kepada Harakahdaily.

Di sekitar Kuala Lumpur pula, banyak surau di pusat membeli belah dan bangunan komersial dibina di sebelah ruang letak kereta.

Ia menyebabkan ia sangat tidak sesuai serta panas,  seolah-olah diketepikan dari arus kemodenan bangunan yang serba lengkap dan moden itu.

Antara pusat membeli belah yang mempunyai surau di kawasan letak kereta adalah Ampang Park, Sogo dan beberapa pusat belibelah yang kelihatan moden tetapi suraunya terpinggir.

Garisan Merah: Malaysia tidak harus setuju TPPA

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak harus menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya ‘Garisan Merah' yang dikemukakan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil tidak diterima oleh negara-negara TPPA lain.

Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, termasuk CAP dan Sahabat Alam Malaysia dan lain-lain pertubuhan alam sekitar, sosial, kesihatan dan organisasi buruh telah mengeluarkan satu set ‘Garisan Merah' atas permintaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memberi maklumbalas pada hari terbuka yang diadakan pada 1 Ogos 2013.

Demikian ditegaskan Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, 'Garisan Merah' yang merangkumi banyak perkara dalam TPPA termasuk perdagangan barangan, perkhidmatan, pelaburan, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, perolehan kerajaan, persaingan dan perusahaan milik kerajaan, hak harta intelektual, kesihatan awam, keselamatan makanan dan pelabelan, produk halal dan lain-lain telah dihantar kepada semua Menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada 12 Ogos, 2013.

'Garisan Merah' tersebut, ujarnya mencerminkan kebimbangan utama kami mengenai kesan negatif TPPA kepada rakyat Malaysia, memandangkan TPPA adalah dimodelkan dari template Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat (USFTA) yang lain.

Beliau berkata, suatu perbandingan semua USFTA yang lepas menunjukkan bahawa US mempunyai template yang kuat dan mungkin hanya 5% daripada teks FTA yang dicadangkan boleh diubah.

Katanya, negara-negara lain yang merunding USFTA sering menyedari bahawa template US yang tidak fleksibel adalah tidak sesuai dengan mereka dan setelah memulakan rundingan USFTA, tidak melengkapkannya.

Menurutnya, daripada 63 buah negara yang telah memulakan rundingan USFTA, 43 negara telah tarik diri apabila mereka menyedari peruntukan US tidak memihak kepada kepentingan negara mereka.

Ini, ujar beliau termasuk Malaysia, di mana di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memutuskan untuk tidak menandatangani USFTA. Menurut laporan, Kabinet dahulu mempunyai 58 Garisan Merah, berdasarkan tuntutan Amerika Syarikat.

Justeru, tegasnya Malaysia tidak harus menandatangani TPPA berdasarkan Garisan Merah yang dilampirkan, kerana pihaknya mempunyai keraguan serius US akan menerima Garisan Merah ini, setelah mempertimbangkan pengalaman lampau negara-negara lain dengan US.

“Dengan ini kami menyeru kepada kerajaan supaya tidak menandatangani TPPA. Malaysia harus keluar dari rundingan TPPA sekarang, memandangkan negara-negara lain juga telah menarik diri dari rundingan USFTA sebelumnya.

“Kerajaan Malaysia harus mementingkan rakyat jelata dan bukan menjaga kepentingan korporat/komersial. Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk tarik diri daripada TPPA sekarang,” ujarnya lagi.

Garisan Merah (Red Lines) Masyarakat Sivil Malaysia dalam Rundingan TPPA

1. Bab Perdagangan Barangan (Trade in Goods)

(a)   Tidak harus ada penghapusan tarif (tarif sifar) yang meliputi semua produk. Perlu ada pengecualian untuk produk sensitif (pengeluar tempatan akan terjejas jika terdapat  penghapusan tarif atau pengurangan tarif yang curam). Oleh itu perlu ada  pengecualian bagi beras, produk makanan yang lain, tanaman tembakau, alkohol, sektor automobil dan lain-lain produk industri sensitif di mana terdapat pengeluaran tempatan.
(b)   Tidak harus ada pengharaman atau sekatan ke atas cukai eksport. Malaysia bergantung kepada cukai eksport untuk membolehkan pemprosesan tempatan dan pengeluaran beberapa komoditi, termasuk kayu-kayan, perikanan, minyak sawit. Cukai eksport juga merupakan sumber pendapatan kerajaan.
(c)    Tidak harus ada "yarn forward rule" dalam industri tekstil dan pakaian (di mana  pengeluar  pakaian di Malaysia perlu mengambil stok benang hanya dari negara-negara TPP, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran).

2. Bab Perkhidmatan (Services)

(a)     Bab perkhidmatan perlu merangkumi liberalisasi secara senarai positif bukan secara  senarai negatif seperti yang dituntut. Dalam rangka senarai negatif, semua sektor  dianggap liberal sepenuhnya melainkan diletakkan di “senarai negatif”. Bahayanya   termasuk semua sektor baru (yang tidak disenaraikan) secara automatik dibuka kepada syarikat-syarikat dari negara-negara TPP lain; dan sektor-sektor yang sedia ada yang kemudiannya negara memutuskan untuk dibangunkan di peringkat tempatan,  sudah terbuka.

3. Bab Pelaburan (Investment)

(a)    Tidak perlu bab pelaburan.
(b)    Sekiranya bab pelaburan masih ada, Malaysia tidak harus bersetuju kepada mekanisme atau peruntukan penyelesaian pertikaian pelabur - negeri (Investor-to-State Dispute  Settlement - ISDS) kerana kerajaan akan terdedah kepada tuntutan dan tindakan  undang-undang daripada pelabur asing dari negara-negara TPP.
(c)     Ia tidak harus menyekat peraturan aliran kapital; dan dengan itu bab ini tidak patut mengharuskan pergerakan bebas aliran kapital.
(d)    Tidak harus ada peruntukan mengenai "layanan yang adil dan saksama."
(e)    Tidak harus ada peruntukan pengambilalihan (expropriation). Sekurang-kurangnya, tidak harus ada peruntukan mengenai pengambilalihan/ rampasan yang merangkumi  "pengambilalihan tidak langsung."
(f)     Tidak harus ada sekatan ke atas keperluan prestasi di luar ketetapan WTO.
(g)    Ia tidak mengikat kerajaan-kerajaan negeri dan tempatan kerana sudah ada beberapa pertikaian pelaburan yang mengakibatkan kerajaan persekutuan untuk membayar ganti rugi wang bagi pelanggaran peruntukan perlindungan pelaburan oleh kerajaan negeri / tempatan.

4. Perolehan Kerajaan (Government Procurement)

(a)    Tidak harus ada sebarang bab perolehan kerajaan.
(b)    Jika masih terdapat bab ini, ia mesti mempunyai peruntukan atau pengecualian yang berkesan yang membenarkan kebebasan untuk Malaysia mengekalkan dasar memberi keutamaan untuk pembekal tempatan, dan untuk menetapkan keistimewaan untuk masyarakat tempatan tertentu, berdasarkan objektif negara.
(c)    Jika terdapat bab perolehan kerajaan, ia perlu mempunyai tahap ambang yang cukup tinggi dan memadai.
(d)    Ia juga perlu membenarkan ofset (penggantian) yang mencukupi.

5. Harta intelek (Intellectual Property – IP)

(a)    Tidak harus ada bab harta intelek.
(b)    Jika terdapat bab IP, ia tidak seharusnya melampaui Perjanjian Pertubuhan Perdagangan  Dunia (WTO) mengenai Perdagangan Berkaitan Aspek Hak Harta Intelek (World Trade Organization’s Agreement on Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights –TRIPS).
(c)    Paling penting, sepatutnya tidak ada sebarang pelanjutan tempoh paten.
(d)    Tidak perlu sebarang peruntukan yang memerlukan eksklusiviti data, hubungan antara status paten dan pendaftaran perubatan, paten utuk kegunaan baru atau pengharaman  ke atas pra-geran pembangkang paten, dan lain-lain.
(e)     Tidak harus ada lanjutan untuk jangka hak cipta.
(f)      Tidak harus ada peruntukan yang memerlukan paten ke atas tumbuh-tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma yang berlaku secara semulajadi. (Ini akan menentang Akta Paten 1983.)
(g)    Tidak harus ada sebarang peruntukan yang memerlukan Malaysia untuk menyertai    Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991.  (Convention for the Protection of New Varieties of Plants – UPOV). Malaysia sudah mempunyai Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang tidak mesti dipinda  oleh kerana peruntukan TPPA).
(h)    Tidak perlu apa-apa peruntukan yang memerlukan Malaysia untuk menyertai Perjanjian Budapest Mengenai Pengiktirafan Antarabangsa Penyerahan Mikroorganisma untuk Tujuan Prosedur Paten [Budapest Treaty on the International Recognition of the Deposit of Microorganisms for the Purposes of Patent Procedure] (1977), sebagaimana yang dipinda pada tahun 1980.

6. Persaingan and Perusahaan Milik Kerajaan (Competition & State Owned Enterprises)

(a)     Tidak harus ada bab persaingan
(b)     Sekiranya ada bab persaingan, ia tidak boleh dikuatkuasakan melalui penyelesaian pertikaian kerajaan-kerajaan.
(c)     Tidak harus ada sebarang peruntukan atau seksyen mengenai perusahaan milik kerajaan,kerana ini akan menyekat operasi atau daya maju mereka.

7. Bab Perkhidmatan Kewangan (Financial Services)

(a)           Bab ini tidak harus memerlukan Malaysia untuk meliberalisasikan perkhidmatan kewangan atau mengikat tahap keterbukaan kewangannya.
(b)          Ia dalam apa jua cara tidak mengurangkan keupayaan atau ruang dasar Malaysia untuk mengawal selia sektor kewangan, terutamanya bagi tujuan kestabilan kewangan.
(c)           Malaysia tidak boleh dihalang daripada mempunyai ruang dasar maksimum untuk memperkenalkan atau mengukuhkan kawalan kapital dalam aliran masuk dan aliran keluar dana.
(d)          Bab ini tidak harus memerlukan Malaysia membuka kepada penubuhan atau penyebaran instrumen kewangan yang baru, terutamanya yang diperkenalkan oleh institusi asing, kerana risikonya kurang diketahui.

8. Telekomunikasi

(a)           Tidak harus ada bab telekomunikasi.
(b)          Sebarang bab telekomunikasi tidak harus mempunyai obligasi tambahan mensasarkan 'pembekal utama' seperti Telekom Malaysia (kerana keuntungan dan keupayaan untuk mencapai objektif sosial Telekom Malaysia boleh terjejas)

9. Keselamatan Makanan dan Pelabelan

(a)      Tidak harus ada sebarang peruntukan (contohnya dalam bab mengenai technical barriers to trade (TBT) atau sanitary and phytosanitary (SPS) yang menyekat keupayaan Malaysia untuk mengawal selia bagi tujuan keselamatan makanan; khususnya TPP tidak harus mempunyai peruntukan perubahan kepada undang-undang yang sedia ada [iaitu Akta Biokeselamatan 2007 dan Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan) 2010] yang memperuntukkan pengenalpastian dan pelabelan organisma yang diubahsuai secara genetik (GMO) dan hasilan organisma sedemikian, termasuk makanan GM.

10. Kesihatan Awam

(a)       TPPA mestilah tidak mengandungi peruntukan-peruntukan yang mengurangkan keupayaan pesakit dan kerajaan untuk mendapatkan ubat-ubatan pada harga yang berpatutan.
(b)       Ia tidak harus mempunyai sebarang peruntukan yang tidak menggalakkan atau menghalang daya maju dan pertumbuhan pengeluaran dan penggunaan ubat-ubatan generik.
(c)       Langkah-langkah kawalan tembakau (seperti peraturan mengenai pembungkusan rokok, dan pengiklanan produk tembakau) harus jelas dikecualikan daripada TPP.
(d)       TPP mestilah tidak menyekat keupayaan kerajaan untuk menghendaki pengisytiharan bahan kuantitatif atau label amaran kesihatan pada alkohol dalam cara yang besar dan menonjol seperti yang dihasrat untuk tujuan kesihatan pengguna

11. Produk Halal

(a)       TPP tidak seharusnya mengurangkan keupayaan kerajaan untuk mengawal produk halal. Oleh itu perlu ada pengecualian dari TPP bagi peraturan-peraturan mengenai produk halal.

12. Pengecualian

(a)                Bab pengecualian perlu mempunyai pengecualian berkesan (contohnya untuk krisis kewangan, kesihatan, alam sekitar, perlindungan pengguna, halal dan lain-lain) yang dikenakan kepada semua bab.

Cari jalan banteras jenayah, bukan hidupkan EO

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dinasihatkan lebih banyak menghabiskan masa untuk memikirkan cara untuk membanteras jenayah daripada mengambil peluang setiap kali berlakunya jenayah tembakan sebagai alasan untuk menghidupkan kembali Ordinan Darurat (EO).

Jumlah pengikut penjenayah EO yang telah dibebaskan pada 2011 telah meningkat kepada 260,000 orang mengikut perkiraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika betul statistik yang dikemukakan beliau, apakah gunanya EO dalam membanteras jenayah tembakan?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan apakah kerajaan bercadang hendak menahan 260,000 orang ini tanpa bicara sebagai langkah penyelesaian kepada jenayah tembakan yang semakin berleluasa kini.

Menurutnya, menahan suspek tanpa bicara tidak membantu menjawab persoalan bagaimana senjata api kini mudah dimiliki oleh para penjenayah di Malaysia.

“Masalah sekarang ialah tidak diketahui berapa orang yang memiliki senjata api haram di dalam negara,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau PAS berpendapat KDN perlu menfokuskan kerja kepada mematahkan saluran bekalan senjata api haram ke dalam negara.

“Gunalah segala perisikan yang ada dan bantuan daripada Unit Khas (Special Branch) untuk mengesan kebocoran senjata api ke tangan orang yang tidak berlesen,” ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, KDN juga harus mengaturkan semula keutamaan kerja polis supaya fokus utamanya adalah untuk membanteras jenayah dan membuat rondaan di jalan-jalan.

“Biarlah sekurang-kurangnya 60 peratus polis ditugaskan membanteras jenayah,” katanya.

Jenayah: Jangan tunggu Malaysia jadi bandar koboi

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan mencadangkan supaya kerajaan segera melaksanakan Syariat Islam di negara tercinta ini ekoran jenayah bunuh yang semakin berleluasa.

“Rakyat perlu bangkit mendesak. Jangan tunggu Malaysia jadi seperti Mexico atau Bandar Koboi,” tulisnya di facebook.
DPPM melihat insiden jenayah tembak mati, letupan bom sehingga mengorbankan atau mencederakan orang lain seperti yang berlaku sehari dua ini menguji kesabaran rakyat terhadap kredibiliti kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

“Apakah suatu kebetulan jenayah seumpama ini berlaku di zamannya ketika beliau baharu sahaja menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri,” tanya Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil

Dalam satu kenyataan, beliau berkatar rakyat menanti dengan penuh sabar apakah jalan penyelesaian terhadap isu jenayah berat.

Katanya, kejadian itu mewujudkan suatu kebimbangan di kalangan rakyat terhadap keselamatan mereka.

“Jenayah berat ini pula bukan hanya berlaku di kawasan sunyi, malah ia berlaku di kawasan awam. Bahkan jenayah sudah semakin menghampiri rumah mereka dan boleh berlaku bila-bila masa serta di mana sahaja,” katanya.

Isu itu, kata beliau seharusnya diselesaikan dengan segera.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, yang diamanahkan menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang di bawahnya agensi penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) perlu mengambil langkah segera mencari punca masalah serta penyelesaiannya.

Menruutnya, isu yang ditimbulkan seperti bagaimana senjata api boleh mudah diperolehi, dimiliki oleh segelintirrakyat, dari mana puncanya, sejauh mana rangkaian kongsi gelap, samseng, serta penjenayah beroperasi di negara ini perlu kepada jawapan yang konkrit.

Katanya, selagi kes-kes jenayah berat tidak dapat diselesaikan atau ditangani dengan tegas dan cekap, selagi itulah keupayaan pasukan keselamatan termasuk menterinya dipersoalkan.

“Jika berlaku lagi jenayah seumpama ini, bererti rakyat semakin ketakutan untuk keluar dari rumah mereka sendiri. Ia fenomena yang tidak sihat, menggelisahkan dan mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau adalah lebih baik dengan berfikir panjang dan demi kemaslahatan umat, Menteri Dalam Negeri mengambil langkah segera termasuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku serta sanggup mengundurkan diri dari karier beliau.

“Sebagai ketua kerajaan dan agensi yang berada di bawahnya, beliau perlu bertanggungjawab terhadap setiap nyawa dan darah rakyat yang terkorban, anggota pasukannya yang terkorban dan dikerahkan bagi membentengi rakyat di samping jutaan duit yang diperuntukkan bagi membiayai operasi demi operasi yang dijalankan,” katanya.

Hapus undi pos, awal jika BN dapat sokongan rakyat

Harakahdaily, 14 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghapuskan sistem undi pos dan undi awal jika benar mereka mengamalkan ketelusan dalam proses pilihan raya umum.

DPPM menganggap sudah sampai masanya kekuatan BN diukur pada populariti dan sokongan pengundi asas dan awam jika mereka benar-benar kuat dan mendapat mandat yang padu daripada pengundi.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, kajian Merdeka Center baru-baru ini mengesahkan bahawa tanpa undi awal dan undi pos, BN akan kehilangan 22 kerusi Parlimen dalam Pilihanraya Umum ke-13.

“Merdeka Center telah mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa berlakunya penyelewengan dan penipuan dalam pilihan raya umum terutama undi pos dan undi awal terbukti benar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebenarnya, ujar beliau rakyat sudah lama mengetahui bahawa undi pos dan undi awal adalah fixed deposit tetap kepada BN.

Katanya, dalam penemuan dan pendedahan sebelum ini, sudah ramai bekas anggota tentera tampil ke hadapan membuktikan bahawa mereka terlibat secara langsung dalam penyelewengan undi pos termasuk mengundi lebih dari sekali.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat pula tanpa jemu mendesak agar kedua-dua sistem itu dihapuskan sama sekali.

Katanya lagi, himpunan Bersih memasuki pusingan keempat, namun SPR dan BN gagal untuk menghapuskan sistem itu yang ternyata memihak kepada BN dalam setiap pilihanraya.

“Soalnya, sampai bilakah BN akan terus memanipulasi sistem ini untuk kepentingan mereka?

“Apakah BN berani menghadapi kenyataan bahawa mereka sememangnya bergantung kepada sistem yang penuh penipuan dan penyelewengan?” tanya beliau.

Justeru, kata beliau DPPM mengajak BN agar berpijak di bumi realiti dengan berpaksikan sokongan rakyat untuk memerintah.

“Jangan hanya kerana kemaruk untuk terus berkuasa, sokongan rakyat dalam pilihanraya bukan lagi menjadi penentu, sebaliknya menggunakan tangan-tangan hitam seperti undi pos dan undi awal sebagai talian hayat untuk mereka berkuasa.

“Bebaskan rakyat dan negara ini sepenuhnya dengan mengamalkan politik bersih, pilihanraya bersih untuk demokrasi yang makmur dan telus di negara ini,” tegasnya.

23 cedera, pro Morsi diserang samseng upahan

Harakahdaily, 14 Ogs 2013

(Antara ulama Al-Azhar yang turut cedera diserang samseng upahan semalam)

MESIR: Penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi yang berarak ke bangunan Kementerian Dalam Negeri semalam diserang oleh sekumpulan samseng upahan.

Aljazeera melaporkan samseng upahan tersebut telah melemparkan batu dan botol kaca ke arah peserta yang berarak dari atas balkoni bagi mencetuskan provokasi.

Suasana kelam kabut sehingga pergelutan tercetus dan polis kemudian melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Beberapa ribu penunjuk perasaan pro demokrasi telah mengambil bahagian dalam perarakan tersebut apabila pergelutan bermula.

Reuters pula menyebut samseng tersebut turut membaling batu ke arah penyokong Morsi.

Dua lelaki memegang parang dilihat mengejar peserta dalam perarakan tersebut.

Ribuan menyertai perarakan tersebut termasuk ulamak Al-Azhar, wanita dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Rabitah Ikhwan melaporkan sekurang-kurangnya 23 orang cedera termasuk  ulama Al-Azharakibat serangan samseng yang dilindungi oleh polis tersebut.

Tiada ulasan: