Rabu, 21 Ogos 2013

TAK MAU JADI SYUHADA KE...ATAU KITA MEMANG TAKUT MATI

NGO serah memo ke kedutaan AS bantah TPPA

Anis Nazri, 21 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Satu perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika, akan diadakan, Jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap perjanjian Trans Pacific Partnership (TPPA) yang berada dalam pusingan akhir rundingan.

Perhimpunan itu dianjurkan sebuah badan NGO yang menamakan mereka sebagai 'Bantah TPPA' dengan tujuan menggerakkan tekanan masyarakat terhadap kerajaan untuk tidak menandatangani perjanjian tersebut.

Pada masa sama, satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada wakil kedutaan bagi menyatakan pendirian rakyat Malaysia berhubung pelaksanaan TPPA ini.

Himpunan tersebut bermula jam 2.30 petang, selepas solat Jumaat dan peserta diminta berkumpul di hadapan Bangunan Tabung Haji sebelum berarak ke kedutaan.

Aktivis Pengupayaan Insan (Api), Nurfitri Amir, berkata memorandum yang bakal diserahkan ke kedutaan itu membawa mesej membantah TPPA tajaan Amerika campur tangan ruang polisi negar dan memperjudiakn masa depan negara.

"Bertemakan 'Stop Neo Kolonism, Kekalkan Kemerdekaan, Tolak TPPA', himpunan sempena persidangan terakhir di Brunei mengenai TPPA ini, para peserta dinjurkan untuk membwa bendera Malaysia bersama," kata beliau pada satu sidang media, di ibu kota hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai untuk turun serta menyertai himpunan tersebut bagi memastikan kerajaan tidak membuat keputusan tanpa mengambilkira pandangan rakyat Malaysia.

Turut serta pada sidang media itu, Pengarah Positive Mlaysia Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG), Edward Low; wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Abdul Muqit Mohamad, dan penyelaras Suaram, Shukri Ab Razab.

Isu berkaitan TPP ini timbul apabila sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tahu-menahu berhubung TPPA ini, sebelum lima perkara antara 29 perkara dalam TPPA itu dibocorkan baru-baru ini.

Beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) membantah rundingan yang dilakukan secara rahsia antara wakil Malaysia melalui MITI dengan AS kerana beranggapan rakyat Malaysia perlu dimaklumkan berkenaan kebaikan dan kesan dari TPPA itu.

Selangor harap lesen tubuh polis bantuan disegera

Selangorku, 21 Ogs 2013
SHAH ALAM: Kerajaan negeri masih menunggu lesen dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membenarkan penubuhan pasukan Polis Bantuan di Petaling Jaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri ketika ini mengharapkan permohohan itu diluluskan dengan secepat mungkin.

“Kita masih meminta supaya Kerajaan Pusat terutamanya pihak polis untuk memberikan kita lesen tubuhkan pasukan itu bagi membantu memantau keselamatan dan ketenteraman awam.

” Walaupun terdapat kos pengendalian, kita sanggup berikan dana untuk perkara itu kerana ia penting. Kita harap ia diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Semalam, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendakwa polis memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan bagi mempertingkatkan keselamatan di premis-premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mahkamah.

Yeoh berkata pasukan Polis Bantuan dengan kekuatan 50 anggota itu boleh membantu PDRM menumpukan rondaan keselamatan di kawasan-kawasan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata ia merupakan projek perintis yang akan ditambah mengikut keperluan dari masa ke semasa dan perlu berkembang ke kawasan PBT lain.

Katanya, beliau menyambut baik perkara itu namun bilangan anggota polis bantuan itu perlu mengikut nisbah antara populasi penduduk mengikut keperluan.

“Kadar nisbah seorang anggota polis 1:1000 ia terlalu ramai, jadi kita rasa ia mesti dikurangkan kepada nisbah 1:300, itu yang perlu dibuat,” katanya.

Perintah berkurung jadikan Kaherah ‘bandaraya hantu’

Abu Marwan , 21 Ogs 2013



KAHERAH: Beginilah keadaan Kota Kaherah menjelang jam 7 malam apabila junta tentera mengisytiharkan perintah berkurung di lapan wilayah di seluruh negara.

Kota Kaherah yang terkenal dengan nama ‘kota yang tidak pernah tidur’ ini sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Adalah dianggarkan ebih dari 20 juta orang penduduk menghuni kota metropolitan ini.

Namun selepas pengisytiharan peintah berkurung oleh rejim tentera, bandaraya ini seolah-olah menjadi ‘bandaraya hantu’.

Tidak ada lagi kenderaan dan hiruk piruk di kota ini dari jam 7 malam sehingga 6 pagi.

Semua aktiviti perniagaan juga berhenti serta-merta dan kedai-kedai ssemuanya ditutup awal bagi mematuhi perintah ini.

Kereta-kereta kebal serta trak-trak tentera dan polis dapat dilihat mengawal kawasan-kawasan yang dianggap berpotensi untuk penyokong Presiden Morsi menganjurkan demonstrasi aman.

Sesiapa sahaja yang melanggar perintah berkurung ini boleh ditangkap dan ada yang cedera ditembak di beberapa wilayah kerana melanggar perintah ini.

Namun sampai bilakah perintah berkurung ini akan dikenakan oleh rejim tentera terhadap seluruh rakyat Mesir?

Walaupun perintah berkurung diistiharkan, hampir setiap malam masih lagi berjalan demonstrasi aman di banyak wilayah di seluruh Mesir bagi membantah rejim tentera serta kemarahan meraka terhadap pembunuhan beramai-ramai terutamanya di Rabaa Adawiah.

Inilah realiti Mesir baru di bawah rejim tentera yang merampas kuasa dari Presiden Dr Mohamad Morsi yang dipilih melalui pilihan raya dan demokrasi.


Bilakah M’sia tampil negara kadar jenayah rendah?

Harakahdaily, 21 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bertanya apakah yang perlu dilakukan agar Malaysia dapat ditampilkan di muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai ‘negara bertuah’ dan ‘rendah kadar jenayah’.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan semalam berkata, laporan muka depan dua majalah antarabangsa bulan lalu seharusnya membuatkan rakyat Malaysia merenung perkembangan di Malaysia setelah selepas 100 hari pilihanraya umum yang baru berlalu dan ketika kita sedang bersiap untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-56 sebelas hari lagi.

Menurutnya, majalah The Economist edisi 20 Julai 2013 menerusi rencana berjudul The Curious Case of the Fall ini Crime melaporkan bahawa “kadar jenayah di negara kaya semakin turun walaupun berdepan dengan masalah kadar pengangguran yang tinggi dan kelembapan ekonomi.”

Berikut ialah kenyataan penuh beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Laporan muka depan dua majalah antarabangsa bulan lalu seharusnya membuatkan rakyat Malaysia merenung perkembangan di Malaysia setelah selepas 100 hari pilihanraya umum yang baru berlalu dan ketika kita sedang bersiap untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-56 sebelas hari lagi.

Majalah The Economist edisi 20 Julai 2013 menerusi rencana berjudul The Curious Case of the Fall ini Crime melaporkan bahawa “kadar jenayah di negara kaya semakin turun walaupun berdepan dengan masalah kadar pengangguran yang tinggi dan kelembapan ekonomi.”

Rencana “ringkasan berita” The Economist itu menyebut:

Di seluruh dunia maju, gelombang jenayah yang bermula pada tahun 1950an kini sedang surut.

Rekod polis (yang meremehkan beberapa jenis jenayah) dan tinjauan di kalangan mangsa (yang tidak selalunya tersedia sebagai sumber data) menunjukkan bahawa kadar jenayah terhadap orang perseorangan dan hartabenda semakin berkurangan sepanjang sepuluh tahun lalu di kebanyakan negara kaya.

Di Amerika, penurunan kadar jenayah bermula sekitar tahun 1991; di Britain, ia bermula sekitar tahun 1995, walaupun kadar jenayah pembunuhan hanya mula berkurangan pada pertengahan tahun 2000-an.

Di Perancis, jenayah melibatkan hartabenda meningkat sehingga tahun 2001–tetapi ia telah berkurangan sebanyak satu pertiga sejak itu. Beberapa jenis jenayah tidak lagi berlaku. Pada tahun 1997, sekitar 400,000 buah kereta telah dilaporkan dicuri di England dan Wales: pada tahun 2012, angkanya hanya 86,000.

Kadar pengurangan jenayah paling ketara di kota-kota utama. Kdaar jenayah ganas telah turun sebanyak 32% sejak tahun 1990 di seluruh Amerika; kota-kota besar mencatatkan kadar penurunan sebanyak 64%.

Di New York, di kawasan sekitar Times Square on 42nd Street, tempat yang dulunya dipenuhi pengedar filem lucah dan penyangak, kini menjadi tempat tumpuan pelancongan berkeluarga. Di kawasan-kawasan perumahan di London, kanak-kanak bermain di kaki lima konkrit yang dulunya menjadi medan penagih dadah. Di Tallinn, anda boleh berjalan kaki pulang ke rumah selepas menonton teater tanpa dicabul, tidak kira pada jam selewat mana pun anda pulang.

Sememangnya orang masih berbahas tentang sebab sebenar yang membawa kepada penurunan ketara kadar jenayah di negara-negara maju, tetapi di Malaysia, 100 hari selepas Pilihanraya Umum ke-13 dan 11 hari sebelum perayaan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyatnya masih berdepan dengan ketakutan dan kebimbangan, apatahlagi senjata api kini mudah diperolehi dan kadar jenayah melibatkan senjata api kerap terjadi.

Apa yang tidak kena dengan Malaysia sehingga negara ini seolah-olah dikuasai hukum rimba?

Kulit depan majalah Time minggu lalu pula menampilkan laporan berjudul WE ARE AUSTRALIA: THE TRUE FACE OF THE LUCKY COUNTRY.

Bolehkah kita membayangkan Malaysia ditampilkan pada muka depan majalah dalam dan luar negeri dalam tempoh tiga bulan dan lalu sebagai “Wajah Sejati Sebuah Negara Bertuah”?

Perkara itu tidak dapat kita bayangkan di tengah marak bahasa dan politik kebencian yang berputar sekitar isu kaum dan agama yang seolah-olah cuba menafikan bahawa kepelbagaian kaum, bahasa, budaya, dan agama di Malaysia adalah aset negara ini yang terbaik, bukannya punca kelemahannya yang terbesar.

Setelah lebih seratus hari pilihanraya umum ke-13 dan sebelas hari menjelang perayaan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyat Malaysia perlu bertanya bilakah dan apakah yang perlu kita lakukan agar Malaysia dapat ditampilkan di muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai “negara bertuah” dan “rendah kadar jenayah”?

Perang Tabuk (3)

Ustaz Abu Muhammad Harits, 21 Ogs 2013
Peperangan tidak terjadi. Tidak diketahui alasan yang pasti mengapa peperangan itu tidak terjadi, walaupun ada yang menyebutkan salah satu alasan itu di antaranya; tentera Rom lebih suka tinggal di dalam wilayah Syam untuk berlindung di kubu-kubunya ketika sampai kepada mereka berita tentang kekuatan pasukan muslimin.

Apa pun alasannya, Rasulullah SAW tetap di Tabuk selama beberapa hari, dan mengirim beberapa pasukan kecil ke sekitar daerah Tabuk. Tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini menambah kekuatan wibawa Islam di wilayah utara jazirah ‘Arab dan membuka jalan ke arah penaklukan daerah Syam sesudah itu.

Walaupun tidak terjadi pertempuran, ada sahabat yang meninggal dunia.

Abdullah bin Mas’ud RA menceritakan, pada suatu malam yang sunyi dia terjaga dari tidurnya kelihatan api di bahagian agak jauh dari pasukan. Beliau berusaha mendekati cahaya api tersebut. Ternyata, Rasulullah SAW, Abu Bakr dan Umar sedang mengurus jenazah Abdullah Dzul Bijadain (kain hitam yang tebal) Al-Muzani.

Rupa-rupanya, Rasulullah SAW bersama kedua sahabatnya itu sudah menggali kuburan untuk jenazahnya. Rasulullah SAW masuk ke dalam liang kubur itu, sementara Abu Bakr dan Umar mendekatkan jenazah itu kepada beliau yang berkata, “Kemarikan jenazah saudara kamu itu.”

Setelah meletakkannya di dalam kubur tersebut, beliau berdoa, “Ya Allah sesungguhnya aku meredhainya, maka redhailah dia.” Mendengar doa itu, Abdullah bin Mas’ud RA berkata dalam hati, “Duhai, kiranya akulah yang dikuburkan itu.”

Onar Kaum Munafik


Perang Tabuk dinamakan juga ghazwatul ‘usrah (Perang Kesulitan), kerana terakamnya pelbagai kesulitan terhadap kaum muslimin, sama ada dalam hal kenderaan, perbekalan, air, cuaca, jalan, mahupun gangguan orang-orang munafik. Akan tetapi, sahabat-sahabat Rasulullah SAW begitu tabah memikul semua kesulitan tersebut di jalan Allah.

Bagaimanapun, kaum munafik tidak pernah membiarkan satu peluang pun untuk menjatuhkan Islam dan kaum muslimin. Lebih-lebih lagi, di dalam peperangan ini. Sejak awal persiapan, mereka sudah mula berusaha meruntuhkan semangat kaum muslimin agar tidak berangkat berjihad di panas yang terik ini.

Dalam masa-masa perang Tabuk inilah turun surat At-Taubah mendedahkan watak asli kaum munafikin. Allah SWT benar-benar membuka aib mereka dan menampakkan kejahatan hati mereka kepada kaum mukminin dengan lengkap dan jelas. Allah SWT menerangkan alasan yang mereka dibuat-buat agar tetap tinggal di Madinah, tidak ikut berperang.

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam uzurnya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta? Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa. (surah at-Taubah : ayat 42-44)

Ibnu Katsir t dalam tafsirnya menerangkan, “Allah SWT mencela orang-orang yang tertinggal dari Nabi SAW dalam perang Tabuk sesudah meminta izin dan menampakkan bahwa mereka adalah orang-orang yang mempunyai uzur, padahal tidak demikian.”

Allah SWT berfirman - (Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh), kata Ibnu ‘Abbas RA, “(Ertinya) ghanimah yang dekat (mudah diperoleh); (dan perjalanan yang tidak berapa jauh), yang dekat juga; pasti mereka mengikutimu untuk mendapatkannya, tetapi perjalanan ke Syam amat jauh terasa oleh mereka. Apabila kamu kembali kepada mereka, tentu mereka akan bersumpah, “Seandainya kami tidak mempunyai uzur, pasti kami berangkat bersamamu.”

Itulah sebagian alasan mereka yang dibuat-buat.

Ada pula di antara mereka yang ikut serta sampai di Tabuk, ternyata berusaha menyebarkan keraguan dalam hati kaum muslimin.

Ketika Rasulullah SAW kehilangan untanya, seorang munafik mengatakan, “Kalau memang Muhammad mengaku nabi dan menyampaikan kepada kamu berita dari langit, mengapa dia tidak mengetahui di mana untanya berada?”

Rasulullah SAW pun berkata, sementara Umarah, salah seorang sahabat ada di dekat beliau, “Ada orang yang mengatakan, ‘Kalau memang Muhammad mengaku nabi dan menyampaikan kepada kamu berita dari langit, mengapa dia tidak mengetahui di mana untanya berada?’ Demi Allah, saya memang tidak mengetahui apa-apa kecuali yang diberitahukan oleh Allah. Dan Allah telah menerangkan kepada saya di mana unta tersebut. Unta itu di lembah itu, di jalan itu, dan talinya tersangkut sebatang pohon.”

Tidak lama kemudian, beberapa sahabat berangkat hendak mencarinya.

Umarah pun kembali ke khemahnya dan berkata, “Demi Allah, sungguh ajaib yang diceritakan oleh Rasulullah SAW tadi, tentang perkataan seseorang yang diberitakan oleh Allah kepada beliau.” Mendengar ucapan Umarah ini, salah seorang yang ada di situ, tapi tidak mendengar langsung perkataan Rasulullah SAW, berkata, “Demi Allah yang diucapkan oleh Rasulullah itu adalah perkataan yang diucapkan Zaid bin Lushaid, sebelum engkau datang.”

Umarah menjadi marah, dia pun mencekik leher Zaid dan mengusirnya dari khemah itu dan melarangnya bersamanya lagi, “Di khemahku ada kejadian begini, dalam keadaan aku tidak tahu? Keluarlah kau dari khemahku, hai musuh Allah. Jangan bersamaku lagi.”

Ucapan berbahaya ini masih tidak begitu berat. Kaum munafik tidak berhenti sampai di situ. Mereka pun merancang membunuh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW mulai bertolak menuju Madinah. Dalam perjalanan, beberapa segelintir munafik mengadakan perancangan untuk membunuh Rasulullah SAW dengan cara menolak Baginda jatuh dari puncak tebing di jalan tersebut. Kemudian, Rasulullah SAW mengatakan, “Siapa di antara kamu mau melalui dasar lembah, itu lebih luas bagi kamu.”

Akhirnya, Rasulullah SAW melalui jalan yang mendaki, sedangkan pasukan muslimin melalui dasar lembah, kecuali beberapa orang yang ingin membunuh Rasulullah SAW tadi. Oleh itu, ketika mereka mendengar ucapan baginda, mereka segera bersiap-siap dan menutupi muka mereka.

Alangkah keji perancangan mereka terhadap Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW memanggil Hudzaifah Ibnul Yaman dan ‘Ammar bin Yasir agar berjalan bersama beliau. Lalu beliau memerintahkan ‘Ammar memegang tali unta, sedangkan Hudzaifah mengekorinya.

Pada waktu mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba terdengar suara di belakang mereka. Rupa-rupanya, orang-orang munafik tadi sedang berusaha menyusul baginda.

Rasulullah SAW marah dan memerintahkan agar Hudzaifah menjauhkan mereka. Oleh sebab melihat kemarahan di wajah Rasulullah, Hudzaifah segera berpusing sambil membawa sebatang tongkat yang berkeluk kepalanya. Kemudian, dia menghadang kenderaan mereka dan memukulnya dengan tongkat.

Hudzaifah pun melihat orang-orang munafik itu dalam keadaan menutup wajah mereka. Hudzaifah mengira mereka menutupi wajah itu sekadar kebiasaan musafir, padahal tidak. Mereka ingin menyembunyikan identiti yang sesungguhnya.

Demikianlah keadaan kaum munafik, mereka menutupi diri, bersembunyi dari manusia, tetapi tidak dapat menyembunyikan diri dari Allah, kerana Allah beserta mereka. Allah sudah memperhitungkan semua tindak-tanduk mereka dan telah menyiapkan balasan yang setimpal buat mereka di dunia dan akhirat.

Rasa takut muncul dalam hati mereka ketika melihat Hudzaifah berdiri di jalan yang akan mereka lalui. Mereka menyangka rancangan mereka sudah diketahui oleh Hudzaifah. Akhirnya, mereka segera bergabung dengan pasukan, sementara Hudzaifah kembali menuju Rasulullah SAW.

Setelah hampir, Rasulullah SAW berkata, “Pukullah kendaraan ini, hai Hudzaifah! Dan berjalanlah, hai ‘Ammar!”
Rombongan Nabi mempercepat jalan mereka hingga tiba di puncak bukit, lalu keluar dari jalan itu menunggu pasukan.

Nabi SAW bertanya kepada Hudzaifah, “Tahukah engkau siapa rombongan pengendara tadi?”
Kata Hudzaifah, “Saya mengenal kendaraan si fulan dan si fulan. Waktu itu malam sangat gelap dan mereka menutupi wajah mereka.”
Rasulullah SAW bertanya lagi, “Tahukah engkau apa yang mereka inginkan?”

Keduanya berkata, “Tidak. Demi Allah, wahai Rasulullah.”
Kata beliau, “Sesungguhnya mereka merancang hendak ikut berjalan bersamaku, dan kalau sudah tiba di jalan yang berbukit, mereka akan mendorongku sampai jatuh.”

Serempak mereka berkata, “Kalau begitu, mengapa Rasulallah tidak memerintahkan mereka dipanggil, agar kami penggal leher mereka?”
Baginda pun berkata, “Saya tidak suka orang akan mengatakan bahwa Muhammad membunuh sahabatnya. Kemudian beliau menyebut nama-nama mereka dan berkata, Rahsiakanlah oleh kamu berdua!” (HR. Ahmad (5/453), pentahqiq Zadul Ma’ad mengatakan rawi-rawinya tsiqat (terpercaya) dan ada penguatnya dalam Shahih Muslim (2779) (11).)

Sejak saat itu pula Hudzaifah dikenal sebagai pemegang rahasia nama-nama kaum munafik lengkap dengan ciri-ciri mereka. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat mengetahui seseorang itu munafik, apabila Hudzaifah tidak mahu menyembahyangkan jenazahnya.

Pada suatu kesempatan, dalam perjalanan yang sukar itu, terdengar pula sebuah ucapan dari salah seorang perajurit, “Kita belum pernah melihat qurra` (tamu, ahli baca Quran) kita seperti mereka ini,” yang dimaksudkannya adalah peribadi Rasul SAW dan para sahabat, “Paling gendut perutnya, tidak (pernah kita lihat) yang paling dusta ucapannya, dan tidak (pernah kita lihat) yang paling takut ketika bertemu (musuh).”

Ketika dilaporkan kepada Rasulullah SAW dan mereka ditanya, mereka mengatakan, “Kami hanya bergurau.”

Namun, ternyata Rasulullah SAW hanya menjawab dengan membacakan firman Allah SWT:

“Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” (Surah at-Taubah : ayat 65)


Dengan tegas pula Allah SWT menyatakan bahwa berolok-olok dengan Allah, ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya adalah kafir:

“Tidak usah kamu minta maaf, karena kamu telah kafir sesudah beriman.”


Para ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil bahwa menampakkan kata-kata kekafiran, baik dengan sungguh-sungguh mahupun bergurau (main-main) hukumnya kafir. Bahkan, tidak ada perselisihan di antara para imam, sebagaimana dinukil oleh Ibnul Jauzi.

Demikianlah keadaan kaum munafik. Pada zaman itu mereka menyembunyikan jati dirinya agar tidak turun ayat mendedahkan kejahatan mereka. Pada zaman ini, mereka dengan terang-terangan menampakkan kejahatan tersebut. Mereka terang-terangan menjadikan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya sebagai bahan ejekan, cemuhan dan hinaan. Mereka berusaha menampilkan citra kekafiran, apa pun bentuknya, adalah baik, sedangkan seruan kembali kepada Islam adalah keburukan, radikal, ekstrem, jumud, statis, kemunduran, dan segudang ejekan lainnya. Mereka lebih bangga dengan semua yang serba-Barat. Kemajuan adalah apa yang datang dari Barat.

Hanya kepada Allah kita memohon, semoga Allah tidak memperbanyak jumlah mereka.

http://www.salafy.or.id

Wajah senyuman begitu indah syuhada di Mesir

http://www.queachmad.com, 21 Ogs 2013
MESIR TERKINI | [GAMBAR] Wajah-Wajah Senyuman Yang Begitu Indah Syuhada Di Mesir | INDAH DAN NIKMATNYA MATI SYAHID. ORANG YANG MATI SYAHID BERCITA-CITA UNTUK HIDUP SEMULA DAN MATI LAGI KERANA TERLALU LAZAT NIKMATNYA

[GAMBAR] Wajah-Wajah Senyuman Yang Begitu Indah Syuhada Di Mesir | INDAH DAN NIKMATNYA MATI SYAHID

Maksud firman Allah Taala:
baca lagi & lagi GAMBAR, Klik TAJUK ENTRI ni"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur syahid) di jalan Allah itu mati,bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan dikurniakan rezeki.

(dan juga) Mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) tiada kebimbangan (berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman". (Surah ALI IMRAN: Ayat 169-171)

Rasulullah SAW bersabda;

Seorang yang mati syahid diberi ENAM kelebihan pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya membasahi bumi:

1. Diampunkan semua dosa dan kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar (pada hari qiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan.
(Hadith Riwayat Bukhari)

Riwayat yang lain disebutkan bahawa terdapat TUJUH kelebihan mati syahid:


1.Diampunkan dosanya ketika titisan darahnya yang pertama dan diperlihatkan tempatnya di syurga.
2.Dipakaikan dengan pakaian iman.
3.Dikahwinkannya dengan 72 orang bidadari.
4.Dibebaskan daripadanya siksa kubur.
5.Aman daripada kejutan besar (iaitu tiupan sangkala).
6.Dipakaikan mahkota kebesaran yang lebih bernilai daripada dunia dan isinya.
7.Orang yang mati syahid dibenarkan untuk memberi syafaat 70 orang daripada keluarganya. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Sabda Rasulullah Saw:

"Tidak sesorang pun yang masuk syurga ingin pulang ke dunia walaupun diberikan kepadanya kekayaan dunia kecuali mereka yang mati syahid.Orang yang mati syahid ingin pulang supaya dia terbunuh (syahid) SEPULUH kali lagi kerana melihat kemuliaan syahid itu." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

YA ALLAH! KURNIAKAN KAMI SYAHID..


sumber: kakisembang.com

Polis tiada kuasa senarai hitam pemandu - Kase

Muhammad Faizal, 21 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff memohon jasa baik Kamar Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang PDRM agar menasihati Ketua Polis Negara (KPN) berkaitan bidang kuasa PDRM sebelum membuat sebarang kenyataan agar tidak menjadi bahan ketawa dunia yang akhirnya akan menjatuhkan maruah pasukan Polis.

Ini ekoran KPN yang dilaporkan sebagai berkata seramai 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan menjelaskan tunggakan saman bakal berdepan tindakan lesen memandu mereka dibatalkan.

Katanya, tindakan tersebut katanya akan dilaksanakan dalam masa terdekat ekoran peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Op Selamat III.

“Kase ingin memaklumkan KPN bahawa PDRM tiada sebarang kuasa di bawah sebarang peruntukan undang-undang untuk menyenarai hitam pemegang lesen memandu,” ujar Zulhazmi dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sejak penubuhan Kase pada Ogos 2009, Kase telah berulang kali menegaskan bahawa pihak PDRM tiada sebarang kuasa untuk menyenarai hitam kenderaan atau pemilik lesen memandu.

Katanya lagi, kuasa untuk menyenarai hitam atau dalam istilah undang-undangnya ialah menghalang transaksi terletak pada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] melalui Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Utusan Online 21 Ogos 2013 melaporkan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai berkata seramai 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan menjelaskan tunggakan saman bakal berdepan tindakan lesen memandu mereka dibatalkan. Tindakan tersebut katanya akan dilaksanakan dalam masa terdekat ekoran peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Op Selamat III.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] geli hati dengan kenyataan tersebut. KASE memohon jasa baik Kamar Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang PDRM agar menasihati Ketua Polis Negara [KPN] berkaitan bidang kuasa PDRM sebelum membuat sebarang kenyataan agar tidak menjadi bahan ketawa dunia yang akhirnya akan menjatuhkan maruah pasukan Polis.

KASE ingin memaklumkan KPN bahawa PDRM tiada sebarang kuasa di bawah sebarang peruntukan undang-undang untuk menyenarai hitam pemegang lesen memandu. Sejak penubuhan KASE pada Ogos 2009, KASE telah berulang kali menegaskan bahawa pihak PDRM tiada sebarang kuasa untuk menyenarai hitam kenderaan atau pemilik lesen memandu. Kuasa untuk menyenarai hitam atau dalam istilah undang-undangnya ialah menghalang transaksi terletak pada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] melalui Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagaimana KPN boleh dengan suka hati mengatakan bahawa terdapat 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan membayar saman? Siapa yang menyenarai hitam? Ironinya lagi, sejak November 2009 Kerajaan telah umumkan bahawa senarai hitam khasnya bagi Notis Pol 170A yang dikenali dengan saman ekor telah ditarik balik. Justeru KASE memohon penjelasan KPN, 1.7 juta yang dinyatakan tersebut saman apa?

Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda pada Disember 2012 hasil gerakan KASE menolak dan mendesak Kerajaan khususnya PDRM dan JPJ menarikbalik polisi senarai hitam pada 2009.

Untuk makluman KPN dan seluruh rakyat Malaysia, Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga hanya memberi kuasa kepada Ketua Pengarah JPJ untuk menggantung atau membatalkan lesen memandu seseorang. KASE mengajak KPN untuk merujuk peruntukkan Seksyen 35 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tujuan tersebut.

Kenyataan paling kelakar daripada KPN ialah tindakan tersebut akan dilaksanakan ekoran peningkatan jumlah kemalangan semasa Op Selamat III. Adakah dengan tindakan 1.7 juta individu tersebut membayar saman maka jumlah kemalangan akan berkurangan? Apa kaitan bayar saman dengan jumlah kemalangan?

KASE memohon KPN supaya lebih teliti mengeluarkan kenyataan dan membuat tindakan. Seharusnya PDRM, Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi Kerajaan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya [JKJR] bekerjasama dengan lebih mantap untuk memberikan kesedaran pengguna tentang keselamatan jalan raya. KASE menyokong sebarang usaha untuk mengurangkan kemalangan demi keselamatan pengguna dan masyarakat. Tindakan dan pendekatan lebih komprehensif perlu dibuat bukan dengan hanya mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan yang tidak bersandarkan undang-undang.

Erdogan dakwa ada bukti Israel dalang jatuhkan Morsi

Harakahdaily, 21 Ogs 2013
ANKARA: Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dalam nada tegas menyatakan beliau memiliki bukti bahawa Israel adalah dalang penggulingan Presiden Dr Mohamad Morsi yang dijayakan tentera pimpinan Abdul Fatah Al-Sisi pada 3 Julai lalu.

Dalam ucapannya yang disiar televisyen Russia Today, Edogan berkata, campurtangan Israel itu boleh dilihat melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang Yahudi daripada Perancis semasa mesyuarat rasmi Israel.

Pada mesyuarat sebelum pilihanraya Mesir pada tahun 2011 itu, yahudi itu mendakwa bahawa Ikwanul Muslimin tidak akan berkuasa walaupun mereka menang pilihanraya.

Erdogan juga mengatakan bahawa Barat mula mendefinisikan kembali demokrasi untuk disesuaikan dengan kehendak mereka, dan bukan ditentukan oleh suara rakyat.

"Apa yang telah mereka perkatakan tentang Mesir? Demokrasi bukan pada kotak undi. Siapa dalang kepada semua ini? Pastinya Israel. Bukti ada dalam tangan kami," katanya.

Beliau juga mengutuk negara-negara Islam yang menyokong pimpinan baru tentera dengan mendakwa mereka ini adalah golongan pengkhianat.

Erdogan sehingga kini, antara pemimpin negara Islam yang telah mengambil pendirian tegas terhadap rampasan kuasa di Mesir.

Selain menamatkan perjanjian kerjasama dengan Mesir, Turkey juga telah memanggil pulang duta mereka minggu lepas.

CCRIS: Cara BN hukum rakyat

Salmiyah Harun, 21 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: BN dilihat tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat apabila mengambil mengambil pendekatan menghukum berbanding mencari mekanisme penyelesaian secara adil kepada rakyat dalam isu pendidikan di negara ini.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, Normala Sudirman berkata, pelaksanaan CCRIS kepada peminjam PTPTN akan menjadi beban kepada ibu bapa dan pelajar kerana  memberi kesan terhadap  kelulusan pinjaman peribadi, kad kredit, sewa beli kenderaan, pembelian rumah dan sebagainya adalah amat mendukacitakan dan jelas menzalimi rakyat.

"Cuba bayangkan anak- anak yang masih belum mendapat peluang pekerjaan tetapi terpaksa membayar pinjaman PTPTN  dan jika telah  diklasifikasikan sebagai engkar , maka akan di 'black list' atau 'disenarai hitamkan' sekaligus  berdepan dengan tindakan akibat pelaksanaan CCRIS yang jelas tidak prihatin dalam mengurangkan beban rakyat.

"Seolah - olah kerajaan BN tidak prihatin dan ingin menzalimi rakyat kerana seharusnya ada jalan penyelesaian atau mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah pelajar yang belum berpeluang mendapat pekerjaan selain daripada pelaksanaan CCRIS ini," tegas beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik kebangsaan( PENDIDIK) .

Jelasnya, mereka yang terlibat dalam membuat pinjaman PTPTN seharusnya mendapat pertimbangan atas faktor belum lagi mendapat pekerjaan, dan bukan sengaja  tidak mahu membayar pinjaman PTPTN.

Misalnya kata beliau, kaedah pungutan kutipan pembayaran semula  dengan mengambilkira insentif yang bakal diberi sekiranya membuat pembayaran PTPTN adalah salah satu cara menggalakkan peminjam melunaskan pembayaran, bukan  dengan 'menghukum' mereka melalui pelaksanaan CCRIS.

"Barangkali, kaedah 'pembayaran lebih anjal'' perlu diperkenalkan kepada mereka," ujarnya.

CCRIS adalah mekanisme yang telah diwujudkan untuk menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan kepada institusi kewangan.

Tiada ulasan: