Sabtu, 24 Ogos 2013

KUASA AKAN HILANG BILA ALLAH MATIKAN....HILANG LANGSUNG KUASA BILA ALLAH KIAMATKAN DUNIA...DIHIMPUNKAN DIPADANG MAHSYAR

Demokrasi: Masa depan Ikhwan di hujung tanduk?

Abu Marwan, 24 Ogs 2013
Sebaik sahaja Presiden Mohamed Morsi diguling melalui kudeta tentera dengan bantuan kuasa asing, ramai pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin telah ditangkap oleh pihak keselamatan Mesir. Tentera dan polis telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pimpinan Ikhwan dan gerakan Islam yang lain seluruh Mesir.

Dr. Muhammad Morsi pula terus ditahan atas dakwaan menggalakkan keganasan dalam peristiwa di Istana Presiden, Istana Ittahidiah beberapa bulan lalu serta berkomplot dengan gerakan Palestin Hamas melakukan keganasan. Beliau yang dipilih melalui pilihanraya selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada awal tahun lepas kini ditahan di tempat yang tidak diketahui.

Dalam perkembangan berkaitan, Mursyidul  Am (Ketua) Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Badie’ juga telah ditangkap oleh pihak berkuasa Mesir. Begitu juga dengan timbalan beliau, Dr. Khairat Shater serta Muhammad Rasyad Bayoumi, Mustafa Abdul Azim Basylawi, Muhammad Abdul Azim Basylawi dan Atif Abdul Jalil As-Samr yang kesemuanya merupakan pimpinan Majlis Tertinggi Ikhwan Muslimin. Dr. Safwat Hegazi yang merupakan pimpinan gerakan Salafi juga telah ditahan oleh pihak keselamatan Mesir.

Dalam masa yang sama, pihak junta tentera juga teru memburu pimpinan Ikhwan yang lain termasuk Dr. Essam Erian dan Dr Mohamed Beltagy. Rumah-rumah mereka telah diserbu dan digeledah bagi menangkap pimpinan Ikhwan. Junta tentera juga sedang bersiap bagi mengisytiharkan terus pengharaman gerakan Ikhwan Muslimin di seluruh Mesir. Begitu juga dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) dijangka akan diharamkan terlibat dalam mana-mana proses pilihanraya dan demokrasi di Mesir.

Jika Ikhwan Muslimin diharamkan oleh pemerintah Mesir, ia bukan perkara baru kerana mengulangi peristiwa lebih 60 tahun yang lalu apabila kerajaan Mesir mengisytiharkan “Perang Terbuka” terhadap Ikhwan Muslimin. Pemerintah telah bertindak  membubarkan gerakan Ikhwan Muslimin dan kesemua cawangannya di seluruh Mesir yang berjumlah 3,000 cawangan telah ditutup. Lebih 4,000 ahli Ikhwan Muslimin ditangkap dan dipenjarakan. Ibu pejabat Ikhwan Muslimin diserbu dan dimusnahkan. Semua harta Ikhwan Muslimin dibekukan.

Media massa Mesir yang kini dikuasai sepenuhnya oleh junta tentera juga sedang menjalankan propaganda agresif bagi melabelkan Ikhwan Muslimin sebagai pertubuhan ganas dan ‘terroris’. Hampir setiap jam Ikhwan Muslimin dan pimpinan mereka dipaparkan di semua sebagai pertubuhan ‘terroris’ yang amat bahaya kepada masyarakat Mesir. Mereka dikaitkan dengan keganasan dan pembunuhan serta melakukan perang bersenjata terhadap junta tentera dengan mendapat bantuan kuasa luar. Ahli-ahli Ikhwan juga dikaitkan dengan pembakaran berpuluh-puluh gereja Kristian di seluruh Mesir.

Namun inilah realiti yang terpaksa dilalui oleh Ikhwan Muslimin selepas berlakunya perubahan politik baru yang melanda seluruh dunia Islam akibat dari kesan ‘Arab Spring’. Walaupun mereka telah berjaya menang dengan cemerlang pilihanraya Presiden dan parlimen Mesir dengan menguasai majoriti kerusi parlimen, mereka tetap diragui.

Walaupun Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman melalui proses demokrasi, mereka amat dicemburui dan digeruni.

Walaupun agenda reformasi politik Ikhwan di Mesir bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus melalui demokrasi, mereka dilihat tidak mempunyai tempat di dalam politik demokrasi bukan sahaja di Mesir tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Apakah perubahan politik baru yang melanda seluruh dunia Islam akibat dari ‘Arab Spring’ sudah tidak relevan lagi bagi gerakan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam lain yang terlibat dalam kancah pilihanraya dan demokrasi?

Dan apakah dengan pengharaman Ikhwan Muslimin serta menangkap pimpinan mereka merupakan tanda berkuburnya ‘politik Islam’ di Mesir dan dunia Islam?

Mesir: Selangor bawa pulang pelajar berperingkat

Selangorku, 24 Ogs 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berusaha membawa pulang rakyat negeri ini yang berada di Mesir secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan dan penerbangan ditetapkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha dijalankan dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen bagi memastikan segala urusan dijalankan secara tersusun dan lancar.

Beliau berkata, statistik terkini menyatakan lebih 1,300 rakyat Selangor menuntut di Mesir dengan lebih 40 orang dilaporkan sudah dihantar pulang.

Yakin ia selesai dalam masa satu hingga dua bulan, katanya, sebahagian pelajar tidak mahu pulang ke tanah air kerana menghadapi peperiksaan.

“Kita ada pegawai yang ditugaskan untuk menjaga penuntut yang berada di sana dan mereka yang akan memantau keadaan dan menyalurkan segala maklumat kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Gotong Royong Perdana Peringkat Selangor di sini, pagi ini.

Mesir bergolak selepas Presiden Mohamed Morsi yang dipilih secara demokratik tahun lalu, digulingkan rejim tentera negara itu pada 3 Julai lalu.

Mengikut laporan tidak rasmi, ribuan penyokong Morsi terkorban dalam keganasan yang didalangi rejim berkenaan.

Sirul, Azilah bebas Najib makin tidak bebas

Harakahdaily, 24 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dengan pembebasan Sirul Azhar dan Azilah Hadri semalam, persoalan yang bermain-main di fikiran rakyat ialah siapakah sebenarnya yang membunuh dan mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Menurut penulis Shahbudin Husin, di laman-laman sosial Facebook dan Twitter, isu ini menjadi paling hangat semalam dengan pelbagai pihak tampil sama ada meluahkan kemarahan, sindiran dan pelbagai tafsiran mengenai keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Baginya, walaupun Altantuya bukan warga Malaysia, rakyat kita tampaknya begitu prihatin dalam soal keadilan sejagat, lebih-lebih lagi kes pembunuhan melibatkan beliau merupakan kes yang dianggap berprofil tinggi.

Sementara ada pihak yang gembira dan menitiskan airmata kerana pembebasan Azilah dan Sirul itu, ramai juga pihak yang meluahkan rasa kecewa dan dukacita dengan keputusan itu.

“Bapa Altantuya yang tentu paling kecewa menuntut kerajaan Mongolia supaya campur tangan dalam hal ini,” tulis beliau di dalam blognya.

Baca lagi

Dah ramai nak beli, tokey tutup kedai pulak!

http://sanusimdnor.blogspot.com, 24 Ogs 2013
Ramai pelajar Medic kena balik di zaman krisis di Mesir. Kerajaan Pusat kata nak beralih ke Rusia dan negara-negara lain yg kosnya tentu jauh lebih tinggi. Apa akan jadi kepada pelajar tanggungan sendiri? 

Fakulti Perubatan KUIN di mulakan dgn 23 pelajar dan fasiliti pengajian di fakulti ini memang disediakan dengan perbelanjaan besar, kos pengajian pun mahal, tapi tak semahal di Rusia atau negara-negara lain. Malah, pelajar kita kena mulai semula  dengan belajar bahasa.

Pada saat seperti ini, sayang sekali, Kuin swastakan pulak fakulti perubatannya kepada Mahsa College,  yang juga sebuah IPT swasta yang pasti berbeza dari byk sudut, termasuk menanggalkan falsafah Islam dalam melahirkan doktor yg dirancang di KUIN.

Saya berpendapat KUIN akan jadi opsyen terbaik pelajar medic yg terpaksa balik... Falsafah pendidikan utk melahirkan doktor-doktor di KUIN hampir sama dengan di Mesir - Doktor yang lahir dari acuan Islam- Dari 23 org pelajar mungkin boleh jadi 50-100 orang. Ada fakulti perubatan IPTA negara ini bermula dgn 17 org sahaja di awalnya, kini menjadi 'kilang doktor'

Demikian juga kursus-kursus baru yang lain, bermula dengan 5-6 orang bukan satu masalah besar bagi sebuah IPT yg sedang berkembang. Kata bekas Timbalan Rektor UIAM, ada kursus yang kami mulakan di UIAM dulunya, hanya dengan 5 pelajar, sekarang sudah sesak dan terpaksa dihadkan. Demikian KUIN, bertatih dahulu barulah berlari. Lama kelamaan dgn promosi dan kualiti yg baik, ia boleh berkembang.

Kalau dah dpt pemimpin dan pentadbir yang 'bukan ahli' dalam bab univerisiti, jadilah spt apa yg terjadi kpd KUIN di Era Mukhriz. Mau segera untung! Kesian!

Larangan gila kuasa

Nasrudin Hassan, 24 Ogs 2013
Maksud hadis:
Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata, Nabi SAW berkata kepadaku: Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian hadis:

Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan perkataan lain menjadi orang yang gila kuasa.

Ini adalah kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara yang mudah.

Kebiasaannya orang yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik.

Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu tersebut mempunyai kepentingan tertentu.

Kepimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati.

Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkannya sedangkan dialah orang yang paling layak insya Allah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah akan dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.

Fauzi Ghadzali meninggal, hilangnya seorang pejuang

Muhammad Faeez Azahar, 24 Ogs 2013



IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak merakam takziah kepada keluarga bekas tekong pasukan kebangsaan Sukan Asia Busan 2002, Mohd Fauzi Ghadzali yang menghembuskan nafas yang terakhir jam 5.40 pagi tadi.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, beliau meninggal dunia selepas selepas berbulan-bulan menanggung derita akibat mengalami kanser liforma.

Beliau berkata, Fauzi pernah menghangatkan negara khususnya arena sukan apabila kemenangan pasukannya dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 2011 ditarik balik kerana Allahyarham memakai pakaian menutup aurat.

Menurutnya, Allahyarham yang mewakili pasukan Negeri Perak ketika itu memakai seluar panjang 'sut trek' dalam pertandingan tersebut.

Jelas Raja Iskandar, akibatnya daripada 'kedegilannya' demi mempertahankan prinsip Islam, pengadil perlawanan telah membatalkan kemenangan Pasukan Perak dan Fauzi dikenakan kad merah serta dibuang daripada kejohanan.

"Pemuda PAS menyifatkan kehilangan Fauzi Ghadzali adalah sangat besar buat negara khususnya dalam arena sukan.

"Keberanian beliau mempertahankan prinsip Islam sangat dipuji dan harus diiktiraf sebagai pejuang," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, Pemuda PAS Perakn telah menobatkan Fauzi sebagai Ikon Anak Muda dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak tahun lalu.

Ini katanya berdasarkan keberaniannya sebagai seorang pemain sukan muslim mempertahankan serta berkata benar dalam mengangkat martabat Islam dan ianya harus dicontohi oleh generasi muda negara kini.

Fauzi katanya teruja ketika dimaklumkan bahawa beliau terpilih menjadi seorang ikon dan sangat terharu dengan keprihatinan Pemuda PAS Perak dalam mengambil perhatian tentang kisahnya.

"Kami berharap jasanya akan diiktiraf dan menjadi tauladan kepada masyarakat di Malaysia khususnya kepada semua atlet

"Marilah bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah buatnya agar ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," jelasnya.

Jelasnya, bagi yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarganya, bolehlah disalurkan melalui akaun Maybank 157091034688 atas nama Mohd Fauzi Ghadzali.

Undang-undang apa perlu untuk buktikan pembunuh?

Abdul Aziz Mustafa, 24 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Undang-undang apa yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan mereka yang membunuh Altantuya Shaariibuu dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.


"Sebelum ini, Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) berkata, beliau berharap dikembalikan dikembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) untuk membantu pihaknya menangani jenayah dengan lebih berkesan.

"Sekarang, apabila Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Altantuya, undang-undang apa, tatacara penyiasatan serta prosedur pertuduhan yang bagaimana pula yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan mereka yang membunuh Altantuya Shaariibuu dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin juga yakin, sudah sampai masanya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes pembunuhan Altantuya itu.

"Beberapa kes seperti kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes video (Datuk) V K Lingam dapat memperlihatkan kepada rakyat penyiasatan yang berkesan dapat dilakukan melalui penubuhan suruhanjaya siasatan diraja.

"Kes pembunuhan Altantuya juga nampaknya memerlukan suruhanjata siasatan yang sama untuk membolehkan dikenalpasti tanpa keraguan lagi kesemua yang terlibat dalam pembunuhan wanita malang itu," katanya.

Bagi Salahuddin, rakyat perlu menuntut dan mendesak tindakan yang sewajarnya untuk menangani kes itu bagi mengelakkan Malaysia menjadi bahan persendaan.

"Apa yang berlaku itu memberi kesan yang sangat memalukan kepada sistem perundangan di Malaysia serta perlaksanaannya.

"Bila kedaulatan undang-undang terhakis sehingga ke tahap yang memalukan, ia bukan sahaja memburukkan imej negara malah menakutkan pelabur," katanya.

Keadaan itu memburukkan lagi keadaan di negara ini, kata beliau lagi, kerana sebelum ini pun dilaporkan bahawa para pelabur asing bimbang tentang keadaan keselamatan di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Setev Shaariibuu, bapa kepada Altantuya, sangat sedih dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan dua bekas anggota polis yang dituduh membunuh anaknya pada Oktober 2006 itu.

"Tiba masanya kerajaan Mongolia membuat kenyataan berhubung keputusan itu," Malaysiakini memetik beliau berkata.

Rakyat Mesir masih sayang Ikhwanul Muslimin

Khairul Azlam Mohamad, 24 Ogs 2013



MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ikhwanul Muslimin masih disayangi oleh rakyat Mesir apabila partinya menang besar dalam pilihan raya yang diadakan di peringkat parlimen.

Beliau berkata Ikhwanul Muslimin pernah diharamkan pada tahun 50-an tetapi kerja-kerjanya masih diteruskan oleh ahli-ahlinya.

“Ikhwanul Muslimin masih disayangi oleh rakyat negeri Mesir. Bila diumumkan demokrasi dan diadakan pilihan raya tiba-tiba mereka (Ikhwan) menang besar kerusi parlimen.

“Dibatalkan kemenangan menyebabkan Hosni Mubarak digulingkan dan buat pilihan raya semula tetapi menang Ikhwanul Muslimin juga kerana rakyat Mesir menyokongnya,” kata beliau ketika berucap pada majlis ceramah Isu Mesir Berdarah di Dewan Tok Guru, Rusila malam semalam.

Menurutnya, apabila Dr Mohamed Morsi menang mewakili Ikhwanul Muslimin pelbagai fitnah serta konspirasi dilakukan bagi menjatuhkan kerajaan Islam.

“Bila Dr Mohamed Morsi menang, dia calon Ikhwan, parti Islam kononnya, ada dakyah jika Islam menang dan parti Ikhwan naik akan jahanamlah Mesir.

“Kita kena faham, ini suatu kezaliman yang sangat dahsyat dan bagi kita orang Islam tidak boleh biarkan begitu sahaja,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh umat Islam agar mengambil sikap prihatin dengan nasib malang yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

“Apa yang penting, kita hendaklah bersama dengan kumpulan Islam dan pemimpin yang memperjuangkan Islam.

“Marilah kita sama-sama bersimpati dengan sahabat-sahabat di Palestin, di Syria, di Mesir dan semua negeri orang Islam yang menghadapi penindasan termasuk di Bangladesh. Kita semua adalah saudara seIslam.

“Jika sekiranya apa yang berlaku di Mesir, kita tidak terasa apa pun itu menandakan orang Islam ‘roh’ dia tidak ada, perasaan dia tidak ada dan sifat iman tidak ada dalam diri dia,” jelasnya lagi.

Ustaz Abdul Hadi bersama pimpinan di pentas serta para hadirin mengangkat empat jari sebagai simbol keteguhan, kekuatan, perjuangan dan kesatuan untuk seluruh penduduk yang mencintai kebebasan.

Pada majlis yang turut disertai wakil Kerajaan Palestin, Abu Eyash Ahmed An-Najjar tersebut berjaya mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM13,400 bagi membantu umat Islam di Mesir, Syria dan Palestin.

Tiada ulasan: