Sabtu, 17 Ogos 2013

BANTAHAN WAJIB DIBUAT...MANA BOLEH BUNUH ORANG TAK BERSENJATA...KANAK2...ORANG TUA...DAN WANITA...ISLAM TIDAK BENARKAN

Munajat 100K bertukar ke Padang Merbok

Hazayani Zakaria, 16 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Himpunan Munajat 100K esok bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman kudeta Mesir terhadap rakyatnya bertukar tempat ke Padang Merbok.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pertukaran tempat itu berlaku selepas pihaknya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan polis Kuala Lumpur pagi tadi.

Himpunan anjuran DPPM bersama parti-parti politik serta badan bukan kerajan (NGO) ini pada asalnya dicadangkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak polis Kuala Lumpur tadi bersetuju himpunan esok diadakan di Padang Merbok dan akan mendapat kerjasama penuh daripada polis dan DBKL," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, satu lagi perbincangan akan diadakan dengan pihak polis Dang Wangi petang ini bagi membincangkan pergerakan peserta himpunan esok.

"Kami akan berbincang dengan polis Dang Wangi bagi kelancaran perjalanan program esok," katanya lagi.

Himpunan itu akan diadakan bermula jam 4 petang hingga 9 malam.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beberapa lagi pemimpin dijangka memimpin munajat ini.

Sehubungan itu, penganjur mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk sama hadir memohon doa kepada Allah SWT agar menyelamatkan rakyat Mesir dari tindakan zalim pemerintah pimpinan tentera yang telah merampas kuasa.

Bantah kekejaman Mesir, 1000 berhimpun di P.Pinang

Sabri Said, 16 Ogs 2013
PERMATANG PAUH: Kira-kira 1000 Umat Islam mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah kudeta Mesir yang diadakan di perkarangan Masjid Jamek Permatang Janggus, di sini selepas solat Jumaat hari ini.

Antara yang berucap ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Mohd Noor Harun dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudin,

Turut serta, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Fauzi Mohd Yusuf, Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hasbul  Nizal Zakaria dan Ketua Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Ridwan Ramli.

Kedatangan Umat Islam hari ini bukan setakat menunaikan solat fardhu Jumaat namun juga untuk bersolidariti buat rakyat Mesir.

Tindakan Kerajaan Mesir melancarkan operasi ganas sejak dua hari lalu mengakibatkan kematian lebih 2500 orang yang tidak berdosa.

Berucap dalam perhimpunan itu, semua pemidato melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh pemerintahan kudeta Mesir hari ini.

Apa yang digerakan oleh pemerintahan Mesir sejak berlakunya pengulingan Presiden Mohamad Morsi sebulan lalu bermatlamat membunuh demokrasi tulen setelah keputusan kemenangan Morsi disenangi rakyat manakala dalam masa yang sama mendukacitakan musuh terutamanya blok barat.

Mesir: Umat Islam Melaka turut nyatakan bantahan

Ahmad Danial, 16 Ogs 2013

MELAKA: Kira-kira 1000 umat Islam Melaka berhimpun di hadapan Masjid Negeri Al Azim hari ini bagi mengutuk keganasan kerajaan haram tentera membunuh rakyat Mesir.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek dalam ucapannya pada himpunan itu melahirkan kekesalan dan kesedihan di atas kezaliman dan keganasan kerajaan haram Mesir yang membunuh rakyat yang tidak berdosa dan merampas kuasa dari Presiden yang sah iaitu Dr Mohamad Morsi.

"Kita mengutuk pembunuhan terhadap saudara kita rakyat Mesir yang tidak berdosa yang dilakukan oleh rejim tentera pimpinan Jeneral Al Sisi'

'Umat Islam juga menuntut supaya kuasa Presiden Morsi dikembalikan kerana beliau dilantik secara sah oleh rakyat melalui pilihanraya"ujar Kamaruddin.

Beliau juga menggesa kerajaan haram Mesir menghentikan pembunuhan, pemusnahan masjid dan harta benda awam.

'Kita juga menggesa pertubuhan negara-negara umat Islam OIC, Liga Arab dan kerajaan-kerajaan negera umat Islam mengambil pendirian tegas terhadap tindakan kejam dan zalim kerajaan haram Mesir.'

"Sehingga semua kerajaan umat Islam dan pertubuhan-pertubuhan tersebut diam membisu malah ada yang turut menyokong tindakan kejam kerajaan haram Mesir"tambah Kamaruddin.

Kamaruddin turut melahirkan kekesalan di atas sikap kerajaan Malaysia yang tidak menyatakan pendirian terhadap isu ini.

"Apakah kerajaan Malaysia takut kepada Yahudi, Amerika dan sekutu-sekutunya sehingga kerajaan kita takut untuk menyatakan pendirian tegas kita".

'Kita menggesa satu sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu umat Islam Mesir yang semakin parah sekarang"ujar beliau lagi.

Himpunan tersebut dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Ikram negeri Melaka.

Turut berucap pada himpunan tersebut ialah wakil Ikram, Zairi Suboh, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Musa Mohamed dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Jauhar Md Dawi.

Ribuan himpun di T'ganu bantah kekejaman tentera Mesir

Khairul Azlam Mohamad, 16 Ogs 2013

KUALA TERENGGANU: Kira-kira hampir 3,000 umat Islam di Kuala Terengganu bersolidariti tanda simpati dan kebersamaan dengan rakan seagama dan seaqidah di Mesir.

Himpunan Aman Solidariti anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) tersebut diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Pengadang Baru, bagi mengecam tindakan tentera dan polis Mesir melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyatnya.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, persaudaraan Islam atas nama satu aqidah tidak ada sempadan antara rakyat Mesir dengan umat Islam di Malaysia.

Ini kerana, katanya setiap penderitaan yang sedang dialami oleh rakan Ikhwanul Muslimin di Mesir sekarang turut dirasai ‘kesakitannya’ itu oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Biar pun bumi Mesir berada beribu batu jauhnya, namun atas nama aqidah, atas nama persaudaraan Islam tidak ada sempadan antara mereka dengan kita.

“Walau pun mereka yang sekarang ini merasai sakit dan menderita kerana dizalimi dan dibunuh. Kita juga yang berada di bumi Malaysia ini turut sama merasai ‘kesakitan’ itu," tegasnya ketika berucap pada perhimpinan amat tersebut.

“Kita (PAS) juga telah memberi arahan supaya tidak henti-henti mengadakan munajat dan membekalkan doa yang berterusan kepada mereka , supaya Allah SWT menghantar pertolonganNya kepada umat Islam khasnya dan seluruh rakyat di bumi Mesir yang sedang dizalimi,”  tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sebelum perhimpunan tersebut turut diadakan solat hajat khas kepada umat Islam yang sedang dizalimi di Mesir, Syria dan lain-lain oleh lebih 2,000 ahli jemaah masjid berkenaan.

Antara pimpinan PAS yang turut serta bersolidariti Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Malaysia, Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman dan Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Pelbagai slogan dan gambar Presiden Mesir yang digulingkan tentera, Dr Muhammad Morsi dibawa peserta perhimpunan seperti “Mana Pendirian Malaysia”, “Tentera Sisi Laknatullah”, “Amerika & Israel Dalang Huru-Hara”, “Ya Allah, Laknatilah Mereka Yang Zalim Itu” dan banyak lagi.

Mesir: Umat Islam Perak suarakan bantahan

Muhammad Faeez Azahar, 16 Ogs 2013

IPOH: Ratusan umat Islam berhimpun selepas solat Jumaat di Masjid Negeri Ipoh bagi mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman terhadap kekejaman kerajaan kudeta Mesir yang bertindak kejam membunuh rakyat di negara itu ketika ini.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS Perak itu dihadiri oleh disertai oleh Ketuanya, Ustaz Zawawi Abu Hassan dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss serta pimpinan pemuda PAS negeri.

Turut bersama ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Norazli Musa dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Angkatan Belia Insan Malaysia (Abim).

Pelbagai sepanduk dinaikkan dan laungan bergema tanda solidariti terhadap nasib umat Islam yang sedang dizalimi di bumi anbia itu.

Ustaz Zawawi dalam ucapannya berkata tindakan yang dilakukan oleh tentera Mesir adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan harus dihentikan segera.

Katanya, pihak keselamatan Mesir sewajarnya mengutamakan nyawa dan keamanan orang awam daripada menjadi mangsa korban yang semakin meningkat.

"Umat Islam seluruh dunia perlu bangkit menyatakan bantahan keras terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Mesir yang tidak berdosa.

"Rakyat tanpa mengira parti seharusnya bangkit menyatakan ketidakpuashatian terhadap tindakan kejam tentera Mesir," katanya dan disambut dengan laungan Allahu Akbar.

Dalam pada itu, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss menegaskan, PAS mendesak Kerajaan Malaysia memberikan nota bantahan rasmi kepada pemerintah kudeta Mesir yang semakin bertindak kejam.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM itu menjelaskan, kenyataan di media sahaja tidak cukup dan seharusnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak harus melakukan tindakan yang lebih tegas.

"Negara bukan Islam iaitu Filipina dan Ecuador mengarahkan duta mereka di Mesir pulang tanda mengutuk kekejaman yang berlaku, seharusnya Malaysia sebuah Negara majoriti Islam harus berbuat demikian namun apa yang kita lihat kerajaan tidak bertegas dalam isu ini.

"Kita tidak boleh berdiam diri, kita perlu terus desak, desak dan terus desak agar kekejaman serta kezaliman ke atas orang awam Mesir ini dapat dihentikan segera seterusnya mengangkat kembali kedaulatan undang-undang dan demokrasi di negara itu," tegasnya.

Solat hajat dan bacaan qunut nazilah diadakan selepas selesai sahaja solat Jumaat dan disertai oleh ratusan orang ramai memenuhi ruang masjid.

Kemerdekaan sebenar bila Islam didaulat - MB

Rizal Tahir, 16 Ogs 2013
(Ustaz Ahmad Yakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Datuk Makhtar)

KOTA BHARU: Masih banyak negara walau pun ditadbir bangsa sendiri, namun hakikatnya masih dijajah kerana Islam tidak mendapat kedudukan sepatutnya dalam pentadbiran kerajaan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, mereka tidak menjadikan Allah yang Khaliq itu sebagai tempat pengabdian sebenar bagi umat manusia.

“Pengertian pembebasan daripada penjajahan sebenar apabila manusia dapat membebaskan diri dari mengabdikan diri sesama manusia.

"Inilah sebenarnya erti kebebasan atau kemerdekaan yang sebenar menurut Islam," ujarnya pada majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Padang Adat Istiadat, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, anggota-annggota Exco,  pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, wakil kaum dan NGO.

Ahmad berkata, Makkah contohnya antara negeri yang pernah dijajah di awal kebangkitan Islam.

Bagaimanapun ia dapat dibebaskan setelah kelahiran baginda Rasulullah saw dengan membawa ajaran Islam yang syumul.

"Inilah sebenarnya matlamat yang dibawa Rasul kepada umat manusia agar tidak lari daripada landasan sebenar iaitu kehendak Allah SWT.

"Mencintai negara dan patuh kepada pelaksanaan syiar dalam pentadbiran negara adalah wajib," ujarnya.

Beliau juga berkata, bendera atau jalur gemilang merupakan lambang kemegahan negara yang wajar dihormati.

Oleh itu beliau menyarankan rakyat di negeri itu tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama termasuk badan-badan NGO hendaklah sama-sama mengibarkan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Tiada ulasan: