Selasa, 20 Ogos 2013

PERANAN IBLIS@SYAITAN DAN KUNCU2NYA DAN MENJAHANAMKAN MANUSIA

Isu Sunni-Syiah agenda lemahkan umat Islam

Khairul Azlam Mohamad, 20 Ogs 2013
MARANG: Umat Islam diingatkan agar tidak leka dan terpengaruh dengan agenda barat mahu melemahkan Islam dengan permasalahan mazhab Sunni-Syiah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan isu kontroversi antara mazhab Sunni-Syiah perkara lama yang sengaja ditimbulkan semula.

Justeru, katanya secara sedar tetapi bodoh atau jahil isu perbalahan mazhab tersebut telah melekakan umat Islam tentang kebangkitan Islam di seluruh dunia.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, asyik dengan pertikaian mazhab hingga umat Islam sendiri lupa musuh sebenarnya adalah Israel serta kuasa-kuasa besar dunia.

“Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula.

“Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog pada Majlis  Ramah Mesra Idulfitri anjuran Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Dewan Tok Guru Rusila, baru-baru ini.

Katanya, umat Islam juga wajar memahami bacaan politik antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dunia termasuk Israel.

Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan kuasa besar dunia yang dipengaruhi Israel cukup bimbang dengan kebangkitan Islam seluruhnya terutama di Mesir dan Turki.

Menurutnya, 90 peratus dunia Islam hari ini ahli Sunnah termasuk Mesir dan Turki merupakan negara Sunni yang mampu menguasai serta memimpin dunia Islam.

“Seorang pimpinan dari Syiah pernah mengatakan depan saya, bahawa kebangkitan Islam mesti dipimpin oleh ahli Sunnah. Orang Syiah tidak boleh pimpin kerana 90 peratus dunia Islam adalah ahli Sunnah. Merekalah (Sunni) yang layak memimpin dunia Islam.

“Sebab itulah seluruh kekuatan barat mengepung Mesir, mengepung Turki kerana barat mengetahui jika berlaku kemenangan di Mesir dan Turki akan menguasai dunia Islam seluruhnya.

“Iran tidak boleh menguasai dunia Islam dan ini bacaan politik antarabangsa yang kita kena faham,” jelasnya di hadapan lebih 500 peserta perantau.

Hadir sama sebagai tetamu khas pada majlis perantau tersebut Penaung Majlis Permufakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan wakil kerajaan Hamas Palestin, Syeikh Dr Ahmed al-Najjar.

Kata Ustaz Abdul Hadi, sepatutnya pihak yang berautoriti membincangkan masalah antara mazhab adalah di kalangan ahli-ahli agama, ahli ilmu akademik dan bukan golongan yang ‘bodoh’ serta jahil.

“Dalam hal ini kita kena sedar dalam masalah mazhab ini sepatutnya dibincang oleh ahli-ahli ilmu, jangan yang bodoh. Dalam Sunni ada bodoh, dalam Syiah pun ada yang bodoh dan ini ‘penyakit’ yang kita sedang hadapi hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pengaruh mazhab Syiah dalam masyarakat Melayu bukan perkara baru tetapi sejak kedatangan Islam ratusan tahun lalu.

Namun, katanya orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini masih lagi berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah.

CCRIS bukan penyelesaian pinjaman PTPTN

Muhammad Faizal, 20 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membukti kerajaan tidak prihatin serta menzalimi golongan muda yang telah tamat belajar.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan sepatutnya lebih peka kepada permasalahan mereka yang sukar mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian sehinggakan gagal membayar pinjaman PTPTN.

"Saya melihat keputusan kerajaan itu adalah satu tindakan yang tidak wajar, kalau sebelum ini kita dari Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan PTPTN bagi membantu golongan pelajar.

"Tetapi tindakan kerajaan ini jelas menzalimi golongan pelajar, mereka perlu dibantu bagi mencari jalan penyelesaian untuk meringankan beban hutang PTPTN tetapi sebaliknya berlaku," jelasnya ketika ditemui di Gombak semalam.

Beliau berkata kerajaan juga tidak memikirkan langkah yang proaktif bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada golongan pelajar sebaliknya merasakan CCRIS jalan terbaik kepada golongan tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam, PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar bermula bulan ini.

Tindakan tersebut turut dipersetujui Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata CCRIS langkah terbaik untuk mereka yang gagal membayar PTPTN.

10 Adun Kelantan angkat sumpah Timbalan Exco

Aslani M | Foto Zamani Mohd Zain, 20 Ogs 2013

KOTA BHARU: Seramai 10 Adun hari ini mengangkat sumpah sebagai Timbalan Exco kerajaan negeri, berperanan membantu anggota-anggota Exco melaksanakan tugas harian.

Mereka mengangkat sumpah dan menandatangani akuan pelantikan di hadapan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di pejabat Menteri Besar hari ini.

Adun Kadok, Azami Mohd Noor dilantik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli.

Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Perpaduan Masyarakat.

Abdul Rahman Yunus (Demit) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Hassan Mahmood (Tawang) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan.

Abdul Azziz Kadir (Jelawat) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau.

Muhammad Awang (Gual Periuk) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

Dr Md Yusnan Yusof (Melor) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau.

Mohd Zaki Ibrahim (Kelaboran) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat.

Wan Ubaidah Omar (Kijang) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.

Mohd Nazlan Mohamad Hasbulah (Limbongan) – Timbalan Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan NGO.

Selain itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan.

Manakala Wan Nik Wan Yussof pula mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar.

Hadir sama menyaksikan majlis berkenaan Mohd Amar, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Faudzi Che Mamat, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azlan Abdul Halim dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

“Pelantikan Timbalan Exco dapat membantu meringankan tugas-tugas anggota Exco terutamanya mewakili Exco pada program-program tertentu.

“Melalui persefahaman kerja membolehkan anggota-anggota Exco menumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang memerlukan penyelesaian segera,” kata Menteri Besar ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Menurutnya Timbalan Exco akan disediakan kemudahan pejabat di Kota Darulnaim atau mana-mana agensi yang berkaitan dengan portfolio masing-masing.

Oleh itu beliau berharap tugas-tugas pentadbiran kerajaan berjalan lebih lancar terutamanya bagi menyelesaian masalah rakyat dengan kehadiran timbalan-timbalan Exco.

Jadikan budaya sebagai kuasa dunia - Mahfuz

Muhammad Faizal, 20 Ogs 2013


KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan budaya negara ini akan menjadi satu kuasa dunia baru dalam usaha meningkatkan imej negara pada masa akan datang.
Berkata pada satu pertemuan dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan apa gunanya negara ini kaya dengan budaya jika perkara itu tidak diketengahkan sebagai satu kuasa baru.

"Saya telah ketengahkan isu ini pada persidangan parlimen yang lepas apabila saya melihat terlalu banyak pembaziran dilakukan oleh kerajaan dalam soal pelaksanaan tugas kementerian berkaitan.

"Apabila terlalu memikirkan untuk menetapkan tugas-tugas kementerian, saya melihat soal budaya negara ini tidak mempunyai hala tuju sehinggakan ia diabaikan terus," jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu pada pertemuan itu semalam di Gombak.

Menggunakan istilah 'Kuasa Budaya Dunia', Mahfuz tidak menolak ia akan dapat menaikkan nama Malaysia dipersada dunia sehinggakan menjadi ikutan negara-negara luar.

"Saya yakin kita mempunyai platform terbaik untuk ketengahkan isu ini, dan terdapat banyak Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan soal budaya, mereka mampu melaksanakan.

"Imej negara bukan sahaja boleh kita naikkan melalui kuasa ekonomi atau pun teknologi tetapi budaya mampu melakukannya.

"Bagaimana negara barat tidak menyatakan budaya itu sebagai satu kuasa tetapi ada satu badan yang telah membawa budaya itu keluar dari negara mereka sehinggakan kita sendiri terpengaruh dengan budaya mereka sebagai contoh budaya K-Pop," sambung beliau lagi.

Beliau yang menghargai pertemuan dengan Paksi kerana ia merupakan satu pemangkin baru kepada halatuju budaya negara ini untuk menjadi 'Kuasa Budaya Dunia'.

Beliau yang turut berharap, Paksi akan terus ketengahkan isu kuasa budaya ini untuk menjadikan budaya itu lebih baik serta berada pada landasan yang betul.

"Pertemuan dengan Paksi ini amat saya harga, dan saya yakin usaha yang dibawa akan menaikkan martabat budaya negara.

"Istilah budaya bukan hanya terletak pada tarian atau lagi tetapi ia mempunyai skop yang luas, saya yakin Paksi akan terus ketengahkan kuasa budaya untuk meletakkan ia pada martabat yang betul," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau akan berbincang dengan kepimpinan PAS pada mensyuarat akan datang dan memastikan pertemuan pimpinan PAS dibawah Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat untuk membincang program bersama Paksi dengan parti itu.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut hadir pada pertemuan itu juga menyokong usaha Paksi meningkat budaya negara dan beliau akan memastikan pertemuan antara pimpinan PAS dapat direlasasikan seberapa segera

Q&A: Fidyah itu wajib, jangan abaikan

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 20 Ogs 2013
Soalan 1: Boleh ustaz terangkan dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan
pembayaran fidyah?


Fidyah adalah bayaran yang wajib dikeluarkan bagi mereka yang telah meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab yang tertentu. Sebab-sebab ini boleh jadi kerana keuzuran yang diharuskan syarak, ataupun kerana kelalaian diri sendiri.

Mungkin ada orang menganggap fidyah seperti denda. Hakikatnya, fidyah diwajibkan demi mendidik manusia agar tidak mengambil lewa ibadah puasa. Andai seseorang meninggalkannya, maka mereka wajib bersegera mengqadakannya.

Kegagalan mengaqada puasa sehingga masuk Ramadan berikutnya, bukan sahaja sudah dikenakan fidyah; bahkan hakikatnya mereka sudah pun berdosa kepada Allah SWT.

Dalil mengenai kewajipan fidyah ada dinyatakan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya di dalam surah al-Baqarah, ayat 184 yang bermaksud: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (kerana uzur atau tidak mampu berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.”

Soalan 2: Apakah situasiyang menyebabkan fidyah dikenakan?


Islam adalah penuh pengertian. Allah SWT tidak memberatkan hamba-Nya, andai mereka uzur atau tidak mampu berpuasa, maka diharuskan berbuka. Hal ini ada dinyatakan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).” (Surah al-Baqarah : ayat 184)

Biasanya, fidyah akan dikenakan kepada mereka yang menghadapi situasi berikut:

a. Wanita yang kedatangan haid atau melahirkan anak dan kedatangan nifas, maka mereka memang tidak dibolehkan berpuasa. Maka mereka wajib mengqada puasa itu sebanyak hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Apabila mereka gagal mengqadakannya sehingga datangnya Ramadan berikutnya, maka wajiblah mereka membayar fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan.

b. Wanita yang sedang mengandung atau menyusukan anak kecil. Dalam kes ini, seandainya wanita berkenaan tidak berpuasa Ramadan semata-mata kerana bimbangkan keselamatan kandungan atau anak kecilnya, maka wanita berkenaan wajib mengqada puasa dan juga mengeluarkan fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Seandainya wanita itu tidak berpuasa hanya semata-mata bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya wajib mengqadakan puasanya dan tidak wajib mengeluarkan fidyah; kecuali berlaku kecuaian seperti dalam kes (1) di atas.

c. Orang-orang yang sedang bermusafir atau ditimpa musibah kesakitan yang menyebabkan mereka tidak mampu atau tidak boleh berpuasa atau atas sebab-sebab lain yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa, maka wajib bagi mereka mengqadakan puasa dan seandainya mereka melalaikannya seperti kes (1), maka wajib mereka mengeluarkan fidyahnya.

d. Orang-orang yang sudah terlalu tua dan amat uzur sehingga tidak mampu berpuasa pada bulan Ramadan dan jika berpuasa membahayakan diri pula, maka mereka diizinkan oleh syarak untuk tidak berpuasa dan wajiblah bagi mereka mengeluarkan fidyah sepanjang hari atau sebulan puasa yang ditinggalkan.

e. Orang-orang yang sakit yang serius yang telah menghalangi kemampuannya untuk berpuasa sepanjang hayatnya (misalnya koma), maka wajiblah dikeluarkan fidyah ke atasnya oleh para warisnya.

Soalan 3: Apakah ukuran Fidyah?


Fuqaha menetapkan bahawa, fidyah hendaklah dikeluarkan sesuai dengan makanan asasi di sesebuah tempat berkenaan. Ibn Qudamah misalnya menyatakan: “Memberi makan seorang miskin adalah sebesar satu mudd gandum atau setengah sha’ kurma.” (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 249).

Pada sisi Syafi’iyah dinyatakan: “Apabila orang yang terlalu tua terpaksa berbuka, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.” (Fiqh al-Manhaji, hal. 506).

Pada sisi Hanafi pula: “Boleh membayar fidyah dengan wang, iaitu dengan memberikan wang yang sama nilaninya dengan setengah sha’ gandum atau satu sha’ kurma kepada seorang miskin.” (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 249).

Maka, berdasarkan pernyataan di atas, ada dua pandangan, sama ada mengeluarkan fidyah dengan makanan asasi atau dengan wang. Dalam konteks amalan hari ini, sudah pasti memberikan wang adalah lebih praktikal; namun pada sisi Syafie, memberikan makanan asasi dianggap lebih utama.

Soalan 4: Bagaimanakah caranya untuk melakukan pembayaran fidyah?


Mengeluarkan fidyah boleh dilakukan, sama ada dengan mencari sendiri golongan fakir dan miskin ataupun membayar harga fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan kepada pihak pusat zakat.

Jika di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) boleh menerima harga fidyah, dan ditetapkan secupak beras bersamaan RM1.75. Maka, darabkan sahaja jumlah hari yang ditinggalkan puasa itu dengan RM1.75 dan boleh dikeluarkan kepada pihak LZS. Selanjutnya, pihak LZS akan menyalurkan kembali fidyah berkenaan kepada fakir dan miskin yang memerlukan.

Soalan 5: Bagiamana pula dengan orang yang mahu membayar fidyah setelah lama tidak membayarnya? Adakah wajib digandakan?


Wajiblah bagi orang yang berkenaan dengan segera mengira fidyahnya dan mengeluarkannya. Jika sukar untuk mengiranya, boleh layari laman sesawang LZS iaitu http://www. e-zakat.com.my/ kalkulator-zakat/ fidyah/. Bahkan, mereka boleh juga meminta pegawai zakat untuk menolong mengirakannya.

Ada juga yang bertanya, adakah fidyah ini berganda? Pendapat tentang gandaan ini sebenarnya adalah khilaf dalam kalangan fuqaha. Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada tahun 2001, maka diputuskan bahawa tidak wajib menggandakan fidyah.

Walau bagaimanapun, ia masih tergantung kepada kemampuan pembayar fidyah itu sendiri. Seandainya mereka mampu dan mahu membayar gandaan fidyah berkenaan, maka hukumnya adalah dibolehkan.

http://www.hamizul.com/

Q&A: Bermusafir pada hari Jumaat

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 19 Ogs 2013
Soalan;

Saya mohon pendapat mengenai solat bagi orang yang bermusafir. Situasi adalah seperti berikut -

1. Saya menaiki penerbangan pada hari Jumaat. Bertolak dari Kuala Lumpur jam 10 pagi dan tiba di Alor Setar jam 10.45 pagi. Adakah saya perlu mengerjakan solat Jumaat atau cukup sekadar solat Zuhur?

2. Saya menaiki penerbangan pada hari Jumaat. Semasa solat Jumaat sedang berlangsung, saya masih berada di dalam kapal terbang. Apabila tiba di destinasi, adakah cukup sekadar saya mengerjakan solat Zuhur sahaja?

Sekian, diharap ustaz dapat membantu dalam perkara tersebut. Terima kasih.

Jawapan;

Soalan di atas menyentuh hukum bermusafir pada hari jumaat. Solat jumaat sebagaimana sedia diketahui adalah wajib ke atas lelaki muslim. Telah disepakati oleh para ulama bahawa haram orang yang wajib atasnya solat jumaat bermusafir apabila telah masuk waktu jumaat iaitu apabila matahari telah tergelincir dari tengah langit pada hari jumaat. Adapun bermusafir sebelum itu, terdapat khilaf (beza pandangan) antara ulama;

a. Menurut mazhab Syafiie; haram bermusafir pada hari jumaat setelah terbit fajar (masuk waktu subuh) sekalipun waktu jumaat belum masuk, kecualilah jika yakin dapat mengerjakan solat jumaat di tengah perjalanan atau di tempat tujunya, maka tidaklah haram bermusafir. Dikecualikan juga kepada orang yang terpaksa bermusafir kerana takut ketinggalan rombongannya, harus baginya bermusafir sekalipun terpaksa meninggalkan solat jumaat.

b. Menurut jumhur ulama(mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali); tidak diharamkan bermusafir pada hari jumaat selagi belum masuk waktunya (yakni sebelum tergelincir matahari pada hari jumaat), kerana solat jumaat hanya wajib apabila telah masuk waktunya. Saidina Umar RA pernah berkata; “Jumaat tidak menghalang dari musafir” (al-Mughni, Imam ibnu al-Qudamah). Namun demikian, menurut mazhab Maliki dan Hanbali; walaupun tidak diharamkan, makruh hukumnya.

Merujuk kepada soalan di atas; berdasarkan mazhab Syafiie kewajipan solat jumaat tidak gugur dari saudara kerana saudara bermusafir selepas fajar pada hari jumaat (iaitu jam 10 pagi), maka wajiblah saudara mengerjakan solat jumaat di perjalanan atau bila tiba di destinasi. Adapun mengikut jumhur ulama, kewajipan jumaat gugur dari dari saudara kerana saudara bermusafir sebelum masuk waktu solat jumaat.

2. Untuk soalan kedua; orang yang tidak dapat menunaikan solat jumaat, hendaklah dia menggantikannya dengan solat zohor.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tiada ulasan: