Khamis, 15 Ogos 2013

BILA AKAL TAK BERFUNGSI...LUPA HUKUM ALLAH DIDUNIA DAN DIAKHIRAT...INGAT LU SAPE...MAKHLUK SAJA....TUNGGU BALASAN DARI ALLAH...KITA YANG BERIMAN BERDOA PADA ALLAH TANPA HENTI....INSYAALLAH MUSUH2 ISLAM AKAN MUSNAH

Ilmam gesa kerajaan pantau keselamatan pelajar M'sia

Harakahdaily, 15 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) menggesa kerajaan Malaysia bertindak segera bagi menyelamatkan nyawa dan kebajikan mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut di Mesir supaya proses pendidikan dapat berjalan seperti biasa.

Naib Presidennya, Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan mahasiswa melalui saluran wakil Ilmam yang berada di Kaherah.

"Ilmam mendoakan keselamatan mahasiswa di Mesir dan mengharapkan pihak kerajaan Malaysia juga sentiasa memantau dari semasa ke semasa perkembangan mahasiswa di sana," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam operasi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera semalam, sekurang-kurangnya 30 ulama Al-Azhar, serta lebih 2000 orang penyokong Presiden Dr Muhammad Mursi terbunuh termasuk wartawan dan jurugambar.

Dalam pada itu, Ilmam juga katanya menyokong desakan agar kerajaan Malaysia mengadakan sidang khas parlimen tergempar bagi menyatakan kekesalan terhadap insiden pembunuhan kejam itu.

Malaysia juga ujarnya perlu mendesak negara-negara Islam melalui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Liga Arab bertindak di atas pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai ini yang disifatkan mencemarkan nama baik Islam dan  seluruh negara umat Islam amnya.

"Umat Islam juga diseru untuk mengadakan qunut nazilah sebanyak-banyaknya mendoakan pertolongan bagi saudara seakidah kita dan menghancurkan perancangan dan tindakan golongan yang zalim.

"Ilmam juga mengarahkan semua ahli Iimam turun bersama-sama di dalam himpunan yang akan diadakan mulai hari ini, Jumaat dan Sabtu di seluruh negara bagi membela nasib umat Islam di Mesir dan khasnya mahasiswa Mesir yang sedang menuntut di sana," katanya.

Surau: Exco agama harap kejadian tidak berulang

Mohd Sabri Said, 15 Ogs 2013
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi amaran dan nasihat kepada semua pengusaha hotel, resort dan juga kompleks membeli belah agar peristiwa yang berlaku di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi tidak berulang di sini,

Exco Agama, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Abdul Malik Kassim ketika mengulas perkara itu menegaskan, sekiranya kejadian seumpama itu berlaku di negeri ini kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik.

"Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengenakan undang-undang kepada mama-mana pihak yang mencemarkan kesucian Islam.  Apa yang berlaku di resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor itu harus diambil aktibar, " ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru pihak pengusaha resort agar mendapatkan kelulusan pihak berkuasa agama termasuk hal berkaitan arah qiblat, bangunan serta lain-lain kebenaran sebelum mendirikan sebuah surau.

Bukan itu sahaja tambahnya, surau tersebut sewajarnya diseliakan oleh satu jawatankuasa bagi memastikan ia dalam keadaan bersih dan berfungsi.

Menurut undang-undang enakmen kesalahan jenayah Pulau Pinang 1996 Seksyen 32, memusnah atau mencemarkan masjid, surau dan sebagainya atau tempat ibadah lain atau apa-apa kelengkapanya dengan niat menghina atau mempersendakan agama Islam adalah satu kesalahan.

Jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000 ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala berkaitan pembangunan, mana-mana pemaju mesti mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Perancang terlebih dahulu.

Jika tidak mereka boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 19 (1) Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Sementara pemaju juga boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 70 (13) (b) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Adakah MAS akan dijual kepada Syed Mokhtar?

Abdul Aziz Mustafa, 15 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: PAS menuntut penjelasan adakah cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala supaya kerajaan menjual syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ada kaitan dengan tawaran Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengambilalih 69.3 peratus saham Khazanah Nasional Bhd dalam syarikat penerbangan nasional itu.

Persoalan itu dibangkitkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merasakan tindakan itu mencurigakan ketika akhbar The Edge melaporkan MAS akan membuat keuntungan dalam separuh kedua 2013 dan menjana aliran tunai yang positif.

"Adakah saranan Idris itu merupakan muqaddimah kepada perlaksanaan rancangan hendak menjual MAS kepada Syed Mokhtar?

"Adakah para pemimpin dan bekas pemimpin Umno berada di belakang saranan Idris itu?" soalnya.

Apa yang sangat membimbangkan, katanya, ialah apabila laporan juga menyatakan, Syed Mokhtar membuat tawaran untuk mengambil alih pegangan dalam MAS dengan syarat kerajaan menjamin subsidi minyak atau bahan bakar selama 60 tahun.

Bagi Mahfuz, kerajaan sepatutnya memberi dorongan dan merancang apakah bantuan yang boleh diberikan ketika MAS dilaporkan mencapai rekod jumlah penumpang setinggi 84.3 peratus dalam bulan Jun, mengatasi jumlah 81.4 peratus dalam bulan Disember tahun lalu, di mana Disember biasanya adalah musim cuti.

"Malah akhbar tersebut melaporkan kejayaan MAS itu berjaya mengatasi SIA (Singapore Airlines) yang dianggap pemimpin industri penerbangan di rantau ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz menyifatkan pencapaian itu menunjukkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan kakitangan bawahannya dalam MAS melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Pencapaian beliau dalam mengemudikan MAS adalah setaraf dengan yang diiktiraf sebagai terbaik di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurut laporan The Edge, dalam suku kedua 2013 di mana secara tradisinya faktor muatan (load factor) adalah rendah, Ahmad Jauhari dan kakitangan di bawahnya berjaya meningkatkannya kepada yang tertinggi dalam sejarah MAS, iaitu 80.4 peratus.

Lebih mengkagumkan, lapor akhbar itu, MAS berjaya mencapai prestasi sedemikian di dalam sektor antarabangsa dan domestik.

"Malah, jika akhbar melaporkan Maybank IB Research menjangkakan MAS boleh membuat untung dan menjana aliran tunai yang positif, ia jelas menunjukkan bahawa kegigihan Ahmad Jauhari dan kakitangannya berjaya meletakan MAS dalam posisi membuat untung daripada keadaan rugi.

"Dengan perkembangan sebaik itu, mengapa Idris menyarankan supaya kerajaan keluar dari industri penerbangan dengan menjual MAS?" Mahfuz terus mempersoalkan.

Bagi beliau, kita sepatutnya menyokong Ahmad Jauhari dan warga MAS yang sedang gigih berusaha untuk mengembalikan kegemilangan MAS sebagai salah satu syarikat penerbangan yang diiktiraf di peringkat dunia.

"Saya berharap Idris segera memahami bahawa Malaysia tidak perlukan amalan pengurusan 'slash and burn' yang dihebohkan menjadi amalan ketika beliau memimpin MAS dahulu," kata Mahfuz.

Ikram gesa Malaysia desak Mesir henti pembunuhan

Harakahdaily, 15 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) menyeru kerajaan Malaysia untuk menggunakan pengaruh politik dan diplomatik untuk mendesak rejim tentera Mesir untuk menghentikan pembunuhan tidak berperikemanusiaan.

Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas dan pembunuhan beramai-ramai oleh pihak keselamatan Mesir dan tentera ke atas orang awam yang tidak bersenjata yang berhimpun secara aman di Kaherah, semalam.

Katanya, adalah sesuatu yang sangat malang dan kejam apabila tentera Mesir yang kononnya mahu menegakkan demokrasi beralih kepada senapang dan bertindak ganas membunuh rakyat Mesir sendiri.

“Kami menuntut supaya pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak, wanita dan lelaki, yang tidak bersenjata itu dihentikan serta-merta dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.

Mesir: Abim gesa Malaysia nyatakan pendirian tegas

Harakahdaily, 15 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa ketegasan kerajaan Malaysia untuk menyatakan pendirian tegas berhubung dengan tragedi sebagai bukti ketegasan dan keperihatinan umat Islam ke atas perkembangan semasa yang berlaku di Mesir.

“Seharusnya Malaysia meneladani ketegasan kerajaan Turki yang tampil selaku jurubicara ummah di pentas antarabangsa,” ujar Presidennya, Amidi Abd Manan dalam satu kenyataan sambil menegaskan Abim mengecam tragedi berdarah medan Rabaah Al-Adawiya, semalam.

Sesungguhnya, tegas beliau tragedi itu merupakan kemuncak kepada episod malang yang melanda rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa 4 Julai 2013 yang lalu,”

Katanya, Abim menilai rentetan peristiwa yang dihadapi rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa tersebut sebagai bukti kegagalan pihak tentera di bawah kepimpinan Jeneral Al-Sisi untuk mencetuskan kestabilan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Tambahnya, ternyata rampasan kuasa tersebut hanyalah langkah lapuk dan terbelakang yang tidak menjamin kestabilan politik jangka panjang.

Menurutnya, tragedi medan Rabaah Al-Adawiya itu dikhuatiri akan merebak menjadi konflik berdarah yang akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di rantau Timur Tengah & Afrika Utara.

Beliau berkata, sekiranya ia berterusan ia adalah satu titik hitam dalam perkembangan politik umat Islam kontemporari yang berasaskan kepada kesedaran Karamah Insaniah (Human Dignity).

“Tragedi ini merupakan penafian terhadap nurani Ummah yang mendambakan pembelaan menerusi lunas-lunas kemanusiaan yang ditetapkan. Seharusnya sebarang perbedaan pandangan serta kritikan ditangani menerusi hikmah yang dibuka menerusi saluran demokrasi.

Lebih 2,000 terkorban, hospital dibakar, jurufoto ditembak

Harakahdaily, 15 Ogs 2013


MESIR: Menurut sumber Ikhwan, lebih 2000 penyokong legitimasi yang berkampung di Medan Raba'ah Adawiyah terkorban digempur pihak tentera sejak pagi semalam.

Seorang peserta himpunan, Tahaluf Wathani berkata, berdasarkan kiraan jenazah yang dikumpulkan, terdapat 2600 jenazah sehingga kini di Medan Raba'ah Adawiyah.

Selain jumlah korban itu, dianggarkan kira-kira 15,000 lagi mengalami cedera dan luka akibat serangan tersebut.

Dalam pada itu serangan oleh pihak tentera sejak semalam turut mensasarkan jurugambar dan wartawan di lapangan yang menyaksikan beberapa orang daripada petugas media turut terkorban.

Jurugambar bagi saluran Misr25, Ahad Abelgawad, turut ditembak mati dalam pembunuhan beramai-ramai semalam.

Seorang lagi jurugambar Mus'ab Asy Syami juga terkorban. Beliau digelar sebagai hero jurugambar di kalangan rakannya kerana sentiasa berjaya merakam gambar-gambar terbaik sepanjang berlakunya perhimpunan.

Selain itu, anak perempuan kepada seorang tokoh Ikhwan Muslimin turut menjadi mangsa kekejaman tentera rejim semalam.

Asmaa Mohamed El Beltagi, 17, anak perempuan El-Beltagi maut selepas terkena tembakan peluru hidup yang dilepaskan pihak tentera.

Tidak cukup dengan itu, pihak tentera juga dilaporkan turut membakar bangunan hospital di lapangan dalam keadaan ribuan jenazah ditempatkan dan mereka yang cedera sedang menerima rawatan.

Menurut laporan TV Al-Quds, pasukan tentera dan polis telah membakar Hospital Lapangan di Medan Rabiatul Adawiyah yang terdapat di dalamnya jenazah-jenazah penyokong Morsi dipercayai bagi melupuskan bukti pembunuhan.

Tentera juga turut menggunakan jentolak dan kereta perisai merobohkan khemah-khemah penyokong Morsi yang didirikan di medan Raba'ah itu.

Malah ada diantara khemah dibakar oleh pihak tentera dalam keadaan ada di kalangan penyokong khususnya kanak-kanak dan wanita masih berlindung di dalamnya.

Setakat ini, Medan Raba'ah sepenuhnya telah dikawal oleh pihak tentera, manakala penyokong Morsi kini bergerak ke Medan Alf Maskan sebagai pusat baru himpunan.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Mesir lantikan kudeta, Dr Mohammed El Baradei juga mengumumkan meletakkan jawatan.

Jabatan Presiden Sementara (kerajaan haram kudeta) Mesir juga telah mengeluarkan kenyataan bagi perintah darurat yang berkuat kuasa selama sebulan bermula dari waktu asar hari semalam.

Tiada ulasan: