Khamis, 29 Ogos 2013

SERONOK DENGAN LAUNGAN...BAGAIMANA LAUNGAN DIAKHIRAT NANTI

TPPA: M'sia perlu tolak, hanya untungkan AS

Anis Nazri , 28 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Penasihat Ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaakob mendakwa Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) meupakan projek Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan untuk menentukan AS menguasai perdagangan dunia.

Perjanjian itu juga katanya adalah cubaan untuk mengelirukan masyarakat rantau Pasific dengan menyatakan TPPA sebagai perjanjian perdagangan bebas untuk mewujudkan persaingan.

Sedangkan, dakwa Dr. Rosli, TPPA itu hanya akan memberi kuasa monopoli kepada AS untuk terus menguasai perdagangan dunia dengan meletakkan negara-negara peserta dalam keadaan bahaya.

Tambah Dr. Rosli, jika AS benar-benar ikhlas, rundingan itu tidak perlu dilakukan secara rahsia, selain tidak melibatkan masyarakat sivil yang telibat secara langsung dengan kesan TPPA ini.

Difahamkan, AS turut membawa 600 wakil syarikat korporat AS bersama-sama dalam rundingan TPPA itu, sedangkan negara peserta tidak mempunyai wakil sedemikian.

"Ekoran itu, timbul keraguan apabila penglibatan mereka itu dilihat untuk mengetengahkan agenda korporat mereka, sedangkan merugikan negara-negara peserta," dakwa Dr. Rosli.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menghalang kerajaan menandatangani TPPA itu.

Beliau berkata biarpun berbeza pandangan politik dengan bekas Perdana Menteri itu, ia boleh berubah apabila menyentuh soal kepentingan rakyat.

Sementara itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak yang memberi jaminan untuk tidak menandatangani TPPA jika memberi kesan mudarat kepada rakyat, Dr. Rosli berkata banyak perkara yang belum diselesaikan melalui rundingan tersebut.

"Biarpun rundingan sudah memasuki pusingan ke-19 yang dikatakan pusingan terakhir, banyak antara perkara utama masih tidak selesai-selesai seperti sistem penyelesaian pelaburan (ISDS) yang memberi kuasa kepada syarikat korporat untuk tidak mengadakan perbicaraan di negara peserta TPPA jika berlaku sebarang pertikaian kelak," jelas bekas Timbalan Pengarah Bank Negara itu.

Sayyid Qutb selepas 47 tahun kesyahidannya

Dakwahinfo, 28 Ogs 2013

Pada 29 Ogos ini, genaplah 47 tahun syahidnya Sayyid Qutb, salah seorang pejuang dan pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir. Walaupun jasadnya telah lama meninggalkan kita, namun perjuangannya terus disambung oleh generasi Ikhwan di Mesir pada hari ini. Sebagai mengenang pengorbanan dan jasanya, wajarlah kita menelusuri serba  sedikit sejarah beliau.

Syed Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir.  Beliau mendapat didikan awal  di rumah daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Sewaktu berusia 6 tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur’an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafalnya.

Kehidupan Awal di Kaherah


Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb mulai berhijrah ke kota Kaherah. Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.

Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung semula pengajiannya.  Beliau memasuki  sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Kaherah.  Pada tahun 1930 beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah.

Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan di Kementerian Pendidikan. Oleh itu, beliau melakukan kajian demi kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan politik dan dunia penulisan. Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Hal ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan agar Syed Qutb dihantar “berkursus” di Amerika Syarikat.

Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal.

Bagaimanapun, semenjak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupan Syed Qutb. Era ini boleh dikatakan sebagai era kesedarannya kembali kepada Islam. Namun pada peringkat ini beliau masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam.  Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian dibukukan dengan tajuk “At-Taswir Fanni Fil Qur’an” pada tahun 1939. Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an. Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk  “Masyahidul Qiamah Fil Qur’an”.  Kedua-dua penulisan itu telah menemukan semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil dahulu.

Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan  sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul “Al-Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”. Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.

Syed Qutb Bersama Ikhwan Al-Muslimin
Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam Ikhwan al-Muslimin, sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966.  Bagi Syed Qutb, tempoh itu sangat penting. Beliau sendiri menganggap tahun 1951 sebagai tahun kelahirannya semula.

Syed Qutb menyertai Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.

Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr. Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku “Al-’Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”, karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb ) adalah sebahagian daripada kita (Al-Ikhwan).  Seterusnya Imam al-Banna telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa “orang ini”  (Syed Qutb) akan menyertai  al-Ikhwan tidak lama lagi.

Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah bersama dengan al-Banna.  Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta menyambut berita tersebut.

Sekembalinya  dari Amerika Syarikat,  Syed Qutb terus  mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhir menemui suatu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna, Ikhwan masih bertenaga kerana memperoleh saf kepimpinan yang berwibawa untuk meneruskan kepimpinan.  Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai Mursyidul Am,  Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan  Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah,  dianggap sebagai “ideolog” kepada Ikhwan al-Muslimin.

Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam.  Antaranya ;
1- Hadha  al-Din.
2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
2-  Khasa’is  al-Tasawwur al-Islamiyy.
3- Maalim fi al-Tariq.
5- Tafsir Fi Zilal al-Qur’an.

Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya kemuncak kepada Tauhid Uluhiyyah Allah SWT ialah hak-Nya dari sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri’. Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah  pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.

Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir iaitu “Revolusi Julai 1952. Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja Mesir, dijayakan oleh gerakan “Dubbat  al-Ahrar” pimpinan Kolonel Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.

Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri Pelajaran Mesir. Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi Mesir akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun kerajaan revolusi menolak untuk melaksanakan pemerintahan Islam.  Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb merasakan perkara tidak baik akan berlaku.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah.  Ekoran daripada itu tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali,ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun  hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.

Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan ayariat Allah.

Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Syed Qutb seorang yang bermaruah.  Sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar wakil menemui Syed Qutb. Melalui wakil itu, Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis  kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan. Namun Syed Qutb dengan tegas menjawab;

“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan”.

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah mengejutkan Dunia Islam.  Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut.

http://dakwah.info

Laporlah SPRM tapi bayar gaji kakitangan Insaniah

Salmiyah Harun, 28 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Apa jua tindakan yang diambil Kerajaan Kedah berhubung isu Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB), Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir digesa terlebih dahulu membayar gaji 268 kakitangan IHSB yang tertunggak sejak Mei lalu hingga 25 Ogos.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu sebenar adalah keengganan kerajaan Kedah untuk membayar tunggakan gaji kakitangan IHSB namun mereka cuba mengalihkan isu ini dengan menimbulkan pula isu penyelewengan.

"Kalau ada di kalangan mereka (268 kakitangan) yang menyeleweng sila ambil tindakan kepada orang berkenaan. Takkan kesemua mereka ini menyeleweng," tegas Mahfuz kepada Harakahdaily.

Malah beliau turut mencabar Mukhriz Mahathir untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan sebelum ini jika benar-benar berlaku penyelewengan.

"Tidak perlu hendak buat kertas putih, kalau buatpun tetapi tidak ada tindakan tidak ada gunanya juga. Ada bukti ambil tindakan. Ambil report SPRM, dan report pada polis jenayah perdagangan, kita bersedia," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bahkan katanya, kerajaan Kedah tidak ada sebab untuk terus menahan gaji kakitangan terbabit kerana mereka berhak mendapat hak masing-masing.

"Takkan kesemua 268 kakitangan itu tidak betul, kita desak kerajaan Mukhriz bayar gaji mereka dulu. Kerajaan Kedah tidak seharusnya melepaskan marah kepada mereka," katanya.

Mahfuz turut memberitahu sejak PAS memerintah Kedah berapa banyak dakwaan penyelewengan yang dibuat oleh Umno BN, namun satu tindakan pun tidak pernah diambil.

"Kita 'no problem', jika hendak siasat SPRM pun kita 'no problem' silakan," tambah Mahfuz.

Semalam di dalam sidang Dun Kedah, isu tersebut telah dibangkitkan ekoran itu Kerajaan Kedah bersedia mempertimbang cadangan untuk menyediakan 'kertas putih' mengandungi penjelasan berhubung pelbagai isu berkaitan.

Sekat air: Hukum rakyat kerana tidak pilih BN?

Harakahdaily, 28 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah supaya Kedah menyekat laluan air ke Pulau Pinang adalah kerana kepentingan politik sempit.

Demikian dinyatakan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Amir Ghazali (gambar) sebagai respons kepada kenyataan Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata di dalam sidang Dun Kedah semalam.

“Kenyataan Ahmad Bashah adalah satu kenyataan yang dangkal, tetapi turut sama mencerminkan rupa sebenar pemimpin Umno.

“Mereka rela untuk menghukum rakya semata-mata kepentingan politik sempit mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai seorang Timbalan Menteri beliau bukan sahaja mewakili kepentingan kawasan Bakar Bata sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan, rakyat Pulau Pinang dan Kedah hakikatnya mempunyai mempunyai hak yang sama terhadap air Sungai Muda.

Tambahnya, tidak pernah dalam sejarah penubuhan negara Malaysia semenjak merdeka, hak milik dan soal pembekalan air dari sumber air menjadi pertikaian.

Namun menjadi tugas pertama, katanya Menteri Besar Kedah adalah untuk menuntut sesuatu yang sangat penting untuk kebajikan rakyat Pulau Pinang, seolah-olah cuba untuk menghukum rakyat Pulau Pinang kerana tidak memilih Barisan Nasional.

“Demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan kebajikan kedua-dua negeri, saya menggesa agar Menteri Besar Kedah menarik saja balik tuntutan beliau yang tidak berasas, zalim dan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya lagi.

SPR perlu berubah, bukan sekadar setiausaha baru

Muhammad Faizal, 28 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menyambut baik lantikan Pegawai Pembangunan Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan perubahan bukan hanya tertumpu kepada lantikan setiausaha yang baru tetapi kepada keseluruhan SPR agar lebih telus.

"Lantikan setiausaha yang baru itu merupakan proses di dalam pentadbiran apabila ada pegawai yang berpencen, saya menyambut baik lantikan tersebut.

"Apa yang kita inginkan sebenarnya adalah perubahan keseluruhan kepada operasi SPR dan bukan hanya sesetengah jawatan, kita mahukan sebuah pentadbiran yang lebih telus dan adil," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai meminta agar Abdul Ghani dapat membuat pembaharuan di dalam SPR apabila beliau memegang jawatan tersebut serta melihat setiap pandangan yang telah dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

Abdul Ghani akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Kamaruddin Mohamed Baria yang telah pun bersara pada 13 Ogos yang berkuatkuasa 19 Ogos lalu.

"Revolusi menyeluruh" rakyat Mesir Jumaat ini

Abdul Malik, 28 Ogs 2013
MESIR: Gabungan Kerjasama Kebangsaan telah menyeru rakyat Mesir untuk kembali turun ke jalan-jalanraya di seluruh negara itu pada Jumaat ini, 30 Ogos bagi meneruskan bantahan mereka terhadap rampasan kuasa berdarah.

Ramai pemerhati menjangkakan jutaan rakyat Mesir bakal membanjiri dataran-dataran dan jalanraya di negara itu sebelum solat Jumaat bagi mendesak dikembalikan hak mereka yang dirampas sejak 3 Julai lalu.

Seorang penulis dan penganalisis politik Mesir, Wael Qandil berkata, 30 Ogos ini bakal dijadikan hari revolusi menyeluruh rakyat bagi mempertahankan prinsip-prinsip asas bagi Revolusi 25 Januari.

Yang utama ialah menggulingkan rejim Mubarak dan meminta dia dibicarakan di mahkamah, penghapusan unit polis jahat bernama "Amn Daulah" dan kebebasan bersuara yang dijanjikan khasnya dalam hak mengadakan himpunan.

Namun, ketiga-tiga natijah Revolusi 25 Januari ini telah mula dicabuli mutakhir ini khasnya apabila Mubarak dibebaskan, kembalinya unit polis "Amn Daulah" melakukan kerja-kerja ganas, tangkapan dan penderaan terhadap rakyat serta tiada lagi jaminan kebebasan dan hak untuk berhimpun secara aman.

Penipu sebenar melaung nyaring ‘patriotisme’

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: “Ada sesuatu yang dirasakan amat tidak kena dalam kita menghampiri Hari Kebangsaan ke-56, Sabtu ini,” kata Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang.

Ini ekoran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menimbang-nimbang idea untuk memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan setiap premis mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bukan Merdeka, tetapi tiga hari kemudian hasratnya kendur setelah mengakui amat kecewa kerana mendapati ibu pejabat-ibu pejabat kerajaan di Putrajaya sendiri tidak menunjukkan contoh dengan mengibarkan bendera kebangsaan.

Beliau mengadu: “Mereka masih menunggu kerajaan memberikan mereka bendera.”

“Mengapa perkara ini terjadi sedemikian?” tanya Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan

Katanya, dalam perhimpunan-perhimpunan raksasa Pakatan Rakyat sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama, daerah, usia, atau jantina telah berdiri dengan bangga menyanyikan lagu kebangsaan apabila lagu itu dimainkan yang mempamerkan patriotisme dan kecintaan mereka terhadap negara.

“Apakah patriotisme sebegitu lesap begitu saja?” tanya beliau.

Katanya, sudah tentu tidak.

“Saya bersetuju dengan penulis Kee Thuan Chye bahawa ‘patriotisme adalah semangat yang kita sematkan dalam jiwa–kecintaan terhadap negara kita. Ia adalah semangat yang membuatkan kita memutuskan untuk mempertahankannya, barangkali juga untuk mati deminya’.

“Saya pernah mendapat kesempatan untuk menyebut di Parlimen bahawa disebabkan semangat patriotisme dan cinta saya terhadap negara, demi mengejar Impian Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan daerah, saya bersedia hilang kebebasan apabila ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” jelasnya.

Sebab itu beliau curiga dengan ‘patriotisme’ para pemimpin yang bersedia untuk memperkaya diri menerusi korupsi dan penyalahgunaan kuasa sehingga mengorbankan hak rakyat dan kepentingan negara.

Katanya, kalangan yang paling nyaring melaungkan ‘patriotisme’ selalunya adalah penipu sebenar dalam negara.

Justeru, ujar beliau ada benarnya ungkapan Dr. Samuel Johnson yang terkenal iaitu ‘patriotisme adalah jalan akhir bagi para bajingan’.

Kembali melihat realiti di Malaysia hari ini, beliau berkata, selepas lebih seratus hari setelah pilihanraya 5 Mei, majoriti rakyat Malaysia daripada semua kaum yang mengundi Pakatan Rakyat telah dipandang serong dan dijadikan sasaran fitnah.

Menurutnya lagi, selain menghentam kaum Cina dan India, Perdana Menteri dan kerajaannya telah gagal untuk membuktikan bahawa beliau dan kerajaannya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

Justeru, kata Lim masih tidak terlambat untuk rakyat Malaysia merayakan Hari Kebangsaan ke-56 dalam perpaduan dan keharmonian tetapi langkah sulung yang perlu diambil ialah mengakui dan menghormati patriotisme 51% rakyat Malaysia yang telah mengundi Pakatan Rakyat dan 47% yang telah mengundi BN dalam PRU13 lalu.

Masalah sisa: Insinerator mahal, bukan pilihan bijak

Harakahdaily, 29 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang setelah membaca penyelesaian yang dicadangkan oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan jumlah sisa pepejal yang semakin meningkat di negara ini.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris menytakan demikian sebagai mengulas kepada cadangan kerajaan untuk membina tiga insinerator berskala besar dengan kapasiti 1,000 tan sampah sehari di Taman Beringin, Kuala Lumpur; Bukit Payung, Johor dan Sungai Udang, Melaka.

Dilaporkan bahawa rakyat Malaysia menghasilkan 33,000 tan sisa pepejal setiap hari pada tahun lepas berjumlah kira-kira 12 juta tan metrik setahun dan sekurang-kurangnya 95 - 97 peratus daripada semua sisa pepejal di Semenanjung Malaysia berakhir di tapak pelupusan, manakala tiga hingga lima peratus diproses dalam kilang-kilang kitar semula.

“Ini adalah kadar kitar semula yang sangat mengecewakan dan pembaziran sumber-sumber berharga yang  sebaliknya boleh dipulihkan untuk diguna semula,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Kerajaan Malaysia telah berlengah-lengah dalam mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan penjanaan sisa sebaliknya memilih penyelesaian yang mahal dan kurang bijak dengan insinerator yang akan menunu sisa yang boleh ditukar menjadi sumber.

Malangnya, kata beliau Malaysia telah membina beberapa insinerator kecil di Langkawi, Tioman, Pangkor dan Cameron Highlands walaupun ia tidak merupakan satu strategi yang baik.

“Sumber kami di Cameron Highlands memaklumkan bahawa insinerator di tanah tinggi tersebut yang telah disiapkan setahun yang lalu tidak beroperasi, mungkin kerana ia terlalu mahal untuk dioperasi sebab bahan api yang lebih diperlukan untuk menunu sisa organik yang banyak dijana di kawasan ini,” jelasnya.

Beliau berkata, bahan-bahan yang tinggi kandungan kelembapan seperti sisa organik biasanya terlalu basah untuk diinsinerasi dan memerlukan input bahan api lain, ini akan meningkatkan kos operasi dan menimbulkan beban kewangan.

CAP, jelas beliau telah membantah beberapa cadangan untuk membina insinerator di negara ini kerana ianya berpotensi menjejaskan kesihatan awam, alam sekitar, ekonomi dan iklim.

Selain itu, ujarnya bahan buangan adalah sangat sesuai untuk diasingkan disumber janaan, dikompos dan dikitar semula.

Menurutnya, pengkomposan sering diabaikan dalam program pengurusan sisa pepejal perbandaran kita walaupun ia boleh dilakukan dalam skala yang sangat kecil dan berteknologi rendah, dan boleh dijalankan di peringkat rumah atau di peringkat kejiranan.

Katanya, pemilihan insinerator akan membawa kepada peningkatan kos pengurusan sisa pepejal.

Menurut beliau lagi, rakyat Malaysia yang tidak menentang pembinaan insinerator akhirnya akan terpaksa membayar untuk penggunaan teknologi usang yang mahal manakala menghalang usaha dan sistem baru dalam pengurusan sisa atau sumber yang boleh mengurangkan kos dalam jangka pendek dan panjang.

Beliau menjelaskan, insinerator dan lain-lain teknologi pelupusan sisa yang mencemar adalah tidak logik untuk menyelesaikan krisis sisa Malaysia.

“Kita perlu bergerak ke arah ‘Sisa Sifar’ yang merupakan satu pendekatan sistem keseluruhan yang bertujuan untuk mengubah cara bahan-bahan  mengalir melalui masyarakat, dan bermatlamat sisa sifar.

“Kita perlu kurangkan sisa melalui pengurangan penggunaan, pemulihan sumber, pengkomposan, kitar semula dan memastikan bahawa produk dihasilkan untuk digunakan semula, dibaiki atau dikitar semula kembali ke alam semula jadi atau pasaran,” ujarnya.

Justeru, ujar beliau CAP menggesa kerajaan Malaysia untuk melabur dalam amalan sisa sifar dan melenyapkan semua idea-idea pembinaan insinerator.

Tiada ulasan: