Rabu, 28 Ogos 2013

KENA SEDAR APA TINDAKAN DIDUNIA AKAN DIPERSOALKAN OLEH ALLAH SWT

Kisah Ashabul Ukhdud dan iktibar Mesir

Dunbukitpayong, 28 Ogs 2013
Pada zaman dahulu ada seorang raja. Baginda mempunyai seorang ahli sihir. Setelah ahli sihir itu merasakan dia telah tua, berdatang sembahlah dia kepada raja menerangkan dia telah tua dan hampir sampai ajalnya. Dia memohon kepada raja agar raja mencarikan anak kecil, kerana kepada anak itu akan diperturunkan segala ilmu sihirnya. Permohonan itu dikabulkan raja, lalu diserahkan kepadanya seorang anak kecil dan datanglah anak kecil itu berulang-ulang kepada tukang sihir itu mempelajari sihirnya.

Di antara tempat tinggal tukang sihir dan tempat tinggal anak itu ada pula tinggal seorang pendeta. Anak itu sentiasalah singgah pula berteduh di tempat kediaman pendeta itu dan banyak pula dia mendengar ucapan-ucapan daripada pendeta tua itu yang amat menarik hatinya. Maka kalau dia terlambat datang kepada tukang sihir, tukang sihir itu marah lalu memukulnya. Dan kalau dia terlambat pulang ke rumah orang tuanya kena marah pula mengapa terlambat pulang. Lalu diajarkan oleh pendeta tua itu suatu jawaban, kalau ditanya oleh tukang sihir itu mengapa lambat, jawablah kerana terlambat turun dari rumah dan kalau ditanya pula di rumah mengapa terlambat, katakan guruku tukang sihir menahanku.

Dalam tempoh tersebut selalulah dia pulang dan pergi ke rumah tukang sihir dan tetap singgah di rumah pendeta. Pada suatu hari orang yang lalu lintas yang berjalan di jalan yang ditempuhnya kelam kabut kerana ada binatang buas mengganggu, sehingga orang merasa takut lalu di situ. Ketika itu anak kecil itu berada di sana. Lalu dia berkata “Akan aku uji manakah yang lebih dapat aku gunakan, ajaran tukang sihirkah atau ajaran pendeta. Lalu diambil sebiji batu dan dia ucapkan “Ya Allah! Kalau ajaran pendeta itu yang benar di sisi Engkau, lebih dari ajaran tukang sihir maka bunuhlah binatang ini! Supaya manusia yang lalu di jalan ini tidak terhalang,” Lalu dilemparkan batu itu kepada binatang tersebut. Maka matilah binatang itu dan orang ramai boleh lalu seperti biasa.

Setelah dia mengadap pendeta itu diceritakanlah pengalamannya itu kepada pendeta itu. Maka berkatalah beliau “Wahai budak, kamu telah mencapai darjat yang lebih tinggi daripada yang aku capai! Tetapi aku peringatkan engkau bahawa engkau akan menderita dan banyak ujian. Maka kalau ujian itu datang, janganlah engaku beritahu akan perhubungan engkau dengan aku.”

Sejak waktu itu nama anak itu kian terkenal dan dapatlah dia mengubati orang ditimpa kusta dan penyakit lain-lain.

Raja mempunyai seorang pembesar yang selalu diajak raja bermesyuarat. Kebetulan pembesar itu buta.

Pembesar buta itu mendengar cerita tentang anak itu lalu datanglah dia membawa hadiah sebanyak-banyaknya dan berkata “Sembuhkanlah butaku! Hadiah ini adalah untukmu dan jika aku sembuh hadiah ini aku tambah lagi,”

Anak itu menjawab, saya tidak ada kuasa menyembuhkan apa juapun penyakit. Yang Maha Kuasa menyembuhkannya hanyalah Allah. Kalau tuan sudi beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada Allah memohon kepada-Nya agar tuan disembuhkan. Mendengar ajakan anak itu maka berimanlah pembesar buta itu. Lalu anak itu berdoa maka pembesar itupun sembuhlah dan celiklah kedua belah matanya.

Setelah matanya sembuh datanglah kembali dia ke majlis raja. Raja sangat tercengang lalu bertanya :

“Siapakah yang menyembuhkan matamu?,”

Pembesar itu menjawab “Tuhanku,”

Dengan hairan raja bertanya pula : “Apakah aku yang engkau maksudkan?,”

Dia menjawab : “Bukan! Tuhanku dan tuhan Tuanku adalah Allah,”

“Engkau mengakui ada lagi tuhan selain aku?,”

Pembesar itu tetap menjawab : “Tuhanku dan tuhan Tuanku adalah Allah,”

Raja sangat murka mendengar jawaban itu, sehingga orang pembesar itu ditangkap dan diseksa. Oleh sebab tidak tahan menderita sakit, dibukanya rahsia bahawa guru yang mengajarnya ialah anak kecil tersebut.

Anak kecil itupun ditangkap lalu ditanyai apakah benar dia dapat menyembuhkan orang berpenyakit kusta, buta dan lain-lain. Anak itu menjawab bahawa semua itu tidak benar! Dia tidak dapat menyembuhkan sesiapapun jua. Yang menyembuhkan segala sakit hanyalah Allah Yang Maha Kuasa.

“Akukah yang engkau maksudkan?,” tanya raja.

“Bukan,” jawab anak itu, “Tapi Allah!,”

“Apakah engkau mengaku pula ada tuhan selain aku?,” tanya raja lagi.

Dengan tegas anak itu menjawab pula : “Tuhanku dan tuhan raja ialah Allah,”

Mendengar jawapan demikian anak itu diseksa. Dia dipaksa mengaku dari mana dia mendapat pelajaran yang amat ganjil itu. Oleh sebab tidak tahan diseksa maka dia menunjukkan pendeta yang mengajar dia. Pendeta itu segera ditangkap. Diapun diseksa dan dipaksa meninggalkan agama yang dianutinya, mengatakan ada tuhan selain raja, namun pendeta itu tidak mahu. Akhirnya kerana tidak mahu meninggalkan agama bertuhan kepada Allah itu, diperintahkan raja menggergaji kepala pendeta itu. Kepalanya digergaji terbelah dua dan mati.

Kemudian dipaksa pula pembesar yang telah sembuh dari buta itu meninggalkan agama bertuhankan Allah dan kembali hanya bertuhan kepada raja. Diapun tidak mahu. Diapun digergaji juga, sampai terbelah dua badannya lalu mati.

Lalu dihadapkan anak kecil itu. Dia pun mulai dipaksa meninggalkan agama yang diimaninya, Tetapi dia tidak mahu. Lalu raja memerintahkan anak kecil itu dibawa ke puncak gunung, dan raja memerintahkan: “Apabila sampai di puncak gunung, paksa dia sekali lagi kembali kepada agama kita. Kalau dia tidak juga mahu lemparkanlah dia ke bawah.

Maka dibawa dia ke puncak gunung. Sampai di sana anak kecil itu berdoa : “Ya Allah, peliharakanlah aku dari mereka dengan kekuasaan-Mu,” Tiba-tiba bergoncanglah gunung itu dan orang-orang yang menghantar itulah yang jatuh dan anak kecil itu selamat.

Diapun turun dan terus mengadap raja. Lalu raja bertanya : “Apa khabar orang-orang yang aku suruh menghantarkan engkau ke gunung?”

Anak itu menjawab :”Tuhanku telah memeliharakan daku dari mereka.”

Rupa-rupanya raja belum puas. Sekali lagi ditangkap dan disuruh hantarkan anak kecil itu dengan sebuah sampan ke tengah laut. Diperintahkan kepada orang yang menghantarnya supaya memaksa anak itu kembali kepada agama asalnya, kalau tidak mahu ditenggelamkan dia ke laut. Sekali lagi anak itu menadahkan tangan ke langit, maka datanglah angin ribut yang sangat besar. Tenggelamlah seluruh orang yang diperintahkan menghantarnya itu dan dia sendiri selamat berenang ke tepi. Dan kembali dia mengadap raja.

Diapun ditanya apa yang telah terjadi. Dia menjawab, tuhannya telah menolongnya dan orang-orang itu telah tenggelam semuanya. Kemudian dia berkata kepada raja : “Hai raja, Tuanku tidak akan dapat membunuhku kalau dengan cara demikian. Tuanku hanya boleh membunuhku jika tuan kerjakan apa yang aku suruh. Kalau tidak, tidaklah berhasil maksud Tuanku menyingkirkan aku dari dunia ini.”

Lalu raja bertanya : “Apakah yang engkau minta itu?”

Anak itu menjawab : “Tuanku arahkan rakyat berkumpul di satu tempat. Kemudian naikkan aku ke atas kayu palang (salib), lalu Tuanku ambil satu anak panah kepunyaanku sendiri dari dalam busurnya. Kemudian Tuanku bidik aku dengan tepat, lalu baca : “Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini.” Dengan melakukan demikian barulah Tuanku dapat membunuhku.

Permintaannya dilakukan oleh raja, diambil anak panahnya dari busurnya lalu mengucapkan: “Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini” lalu dipanahnya anak kecil itu, kena tepat pada jantungnya dan terkulailah kepalanya, sedang tangannya memegang pangkal panah yang telah tersisip di dadanya dan diapun matilah. Tiba-tiba terkeluar dari mulut seluruh orang yang hadir: “Kami beriman dengan Tuhan anak kecil ini”

Gempitalah suara di tanah lapang itu menyatakan iman kepada Tuhan Allah yang dipercayai oleh anak kecil itu. Maka berbisiklah seseorang kepada raja : “Tidakkah Tuanku perhatikan? Bukankah apa yang Tuanku takuti selama ini telah terjadi? Budak kecil itu mati tapi semua orang telah menganut ajarannya?,”

Sangat murkalah raja apabila melihat manusia telah berbalik arah. Lalu raja memerintahkan menangkap orang-orang yang terang-terang menyatakan percaya kepada Tuhan anak kecil itu, dan baginda mengarahkan lubang-lubang atau parit-parit besar digali. Dan diancamlah orang: “Barangsiapa yang masih berpegang kepercayaan anak kecil itu, akan dimasukkan ke dalamnya dan dibakar. Dan barangsiapa yang kembali kepada agama pusaka nenek moyang mereka akan selamat.”

Mendengar itu, tidaklah mereka mundur, malahan mereka berduyun-duyun mendekati lubang yang ternganga menunggu giliran dibakar. Maka adalah diantara mereka itu seorang perempuan yang sedang mendukung anaknya, seketika telah dekat ke pinggir lubang itu, timbul ragu-ragu dalam hatinya. Tiba-tiba berkatalah anak dalam dukungannya itu : “Teguhkanlah hatimu, ibuku! Ibu adalah di dalam agama yang benar,”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim dan diriwayatkan juga oleh an-Nasa’i dan juga Tirdmizi dari Shuhaib.

Tersebut lagi cerita lain tentang lubang pembakaran itu, iaitu ketika Raja Dzu Nuas beragama Yahudi memaksa penduduk Najran yang telah lama memeluk agama Nabi Isa AS. Setelah raja beragama Yahudi itu menakluki negeri tersebut dipaksa penduduk supaya memeluk agama Yahudi. Orang Nasrani diwaktu itu dibawah pimpinan pendetanya yang sangat tua, sehingga kemanapun berjalan, dia ditandu. Ketika Yahudi menanyai akidahnya, dia menjawab bahawa dia beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada syariat Nabi Isa AS dan dia tidak akan merubah kepercayaannya itu. Maka ditangkaplah dia dan para pengikutnya, digali lubang dan dinyalakan api di dalamnya dan dilemparkanlah mereka ke sana. Dan mereka masuk ke dalam lubang itu dengan tidak mengeluh, kerana yakin akan pendiriannya.

Ibnu Katsir menyatakan dalam tafsirnya bahawa penggalian lubang dan pembakaran terhadap orang yang beriman yang teguh pada keyakinannya itu, bukanlah kejadian satu kali, malahan berkali-kali. Ibnu Katsir menyalin keterangan dari dari Ibnu Abi Hatim bahawa penggalian lubang pembakaran itu pernah terjadi di Yaman pada zaman raja-raja Tubba’, di Konstantinople pada zaman Konstantin memaksa orang Nasrani melepaskan kepercayaan mereka yang asli tentang tauhid, dan kejadian yang serupa berlaku juga di Iraq iaitu di negeri Babil dizaman Raja Bukhtinashr (Nabukadnesar) yang membuat berhala dan memaksa orang menyembah berhala itu.

Maka Nabi Danial tidak mahu mengorbankan kepercayaannya kepada Allah Yang Maha Esa bersama kedua temannya yang beriman iaitu ‘Izriya dan Mikhaail. Lalu dibuat lubang dan diunggunkan kayu-kayu kering ke dalamnya dan dimasukkan ketiga-tiga orang beriman itu ke dalamnya. Namun sesampai mereka ke dalam api yang bernyala itu, mereka tetap hidup dengan segar bugar dan keluar dengan selamat. kemudiannya, dimasukkan pula sembilan orang yang dianggap pemberontak kepada raja, semuanya hangus terbakar.

“Petikan dari Kitab Tafsir al-Azhar karangan Almarhum Professor Dr. Hamka” - (dari tafsir surah al- Buruj)

Bandingkan dengan keadaan di Mesir, Syiria, Palestin dan di mana-mana sahaja tempat yang Umat Islam diganyang. Sebenarnya mereka sedang dipaksa “terjun dalam  parit yang di dalamnya api sedang menyala-nyala. Sucinya perjuangan mereka jauh meninggalkan kita yang masih terkial-kial dengan ujian yang sedikit. Moga kita juga dikurniakan kekuatan seperti mereka insyaAllah. Wallahua’lam.

http://dunbpayong.blogspot.com/

Gambar tentera pembebasan Syria tembak kereta kebal Assad

http://kachipemas.blogspot.com, 28 Ogs 2013

Gambar Tentera Pembebasan Syiria menembak Kereta Kebal Al Asad

FSA (free syria army) telah berjaya mengebom kereta kebal tentera basyar al-assad..apabila tentera basyar cube keluar utk melarikan diri, penembak tepat FSA telah berjaya menembaknya..
Seperti pemanah hebat di zaman Rasulullah 'Saidina Hamzah'...ALLAHUAKBAR! !
-FREE SYIRA-
sumber syria care

Sinar pertahan penyiaran temubual Mohammad Selim

Harakahdaily, 28 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Sinar Harian mempertahan laporan akhbar mereka semalam yang memuatkan wawancara dengan seorang saintis politik Mesir, Profesor Dr Mohammad Selim berhubung konflik Mesir.

Menurut penjelasan di Sinarharian Online semalam, penyiaran wawancara berjudul 'Dalang konflik Mesir didedah' bersama pensyarah tersebut adalah untuk memberi ruang dari sudut pandang berbeza berkenaan krisis yang melanda negara itu.

"Sebelum ini, kami memuatkan pelbagai laporan di muka hadapan Sinar Harian dengan tajuk 'Rakyat Tentang Tentera', 'Sapu Bersih' yang menggambarkan kekejaman Al-Sisi terhadap rakyat Mesir termasuk bagaimana 'Sumpah Ikhwanul Muslimin' bagi menjawab penentangan rakyat terhadap rampasan kuasa sehingga berakhir dengan pertumpahan darah.

"Sinar Harian sentiasa mengambil pendirian untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah seimbang," penjelasan itu dipetik.

Semalam, akhbar bahasa Melayu itu mengundang kritikan banyak pihak selepas menyiarkan pandangan Prof Mohammad Selim yang dilihat sebagai bias kepada kerajaan kudeta yang dipimpin tentera Abdul Fatah Al-Sisi.

Ianya merujuk kepada beberapa dakwaan termasuk menuduh peserta pro Morsi di Rabaah dan Nahdhah melakukan rusuhan bersenjata sehingga memaksa pihak polis dan tentera mesir menggunakan kekerasan terhadap mereka.

Maklumat itu bagaimanapun dilihat bercanggah dengan laporan media antarabangsa yang turut membuat liputan di sana yang mendakwa, himpunan tersebut berlangsung aman sehinggalah digempur pihak tentera yang menembak peserta dengan peluru hidup.

Video-video berkaitan serang itu juga kini berserakan di internet yang menunjukkan kekejaman tentera Mesir ketika menangani peserta himpunan tersebut.

Ianya termasuk menggunakan penembak tepat untuk membunuh peserta dan membakar mayat-mayat di dataran Raba'ah.

"Sinar Harian mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda sekalian di atas pandangan mahu pun juga kritikan hangat terhadap paparan Sinar Harian bertarikh 26 Ogos yang berjudul 'Dalang konflik Mesir didedah.'

"Untuk itu mulai esok,  Sinar Harian akan mendapatkan pula pandangan seorang pakar akademik yang mempunyai pengetahuan mengenai gerakan Ikhwanul Muslimin," kata kenyataan itu.

Kelesuan hari merdeka: Terima kasih Rais Yatim

Shahbudin Husin, 28 Ogs 2013
Di sana-sini sekarang orang bercakap tentang sambutan Hari Merdeka tahun ini yang kelihatan lesu dan tidak bermaya. Bukan saja semakin kurang percakapan orang ramai mengenai merdeka dan sambutannya, bahkan kibaran bendera Malaysia di kenderaan, rumah dan pejabat juga hampir tidak kelihatan. Pemasangan bendera di jalan-jalan utama di sekitar Kuala Lumpur juga belum kelihatan sehingga ini.

Apa tema Hari Merdeka tahun ini pun ramai yang tidak mengetahuinya.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Merdeka tahun ini paling lesu dalam sejarah 56 tahun kemerdekaan negara. Hanya beberapa hari saja lagi menjelang tanggal 31 Ogos, suasana sambutan dan kemeriahan sama-sekali tidak dirasakan. Tarikh kemerdekaan seolah-olah tiada istimewanya dan tidak berbeza dengan hari-hari biasa.

Tidak seperti negara lain yang ghairah dan meriah setiap kali tibanya ulang tahun hari kemerdekaan, negara kita seperti sudah hilang semangat seperti itu. Tiga negara yang menyambut hari kemerdekaan pada bulan Ogos ini iaitu Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan pada 15 Ogos dan Indonesia ada 17 Ogos dikatakan tidak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dan rakyat ketiga-tiga negara itu tetap teruja menanti ketibaan detik bersejarah itu.

Kenapa hanya di Malaysia ia menjadi lesu dan kurang ghairah?

Jika diimbas kembali, sebenarnya sambutan hari kemerdekaan dan menjelang tibanya detik 31 Ogos setiap tahun tidak pernah ada cacat-celanya dan setiap rakyat ghairah menanti serta merayakan detik pembebasan negara daripada penjajahan negara asing. Semua orang bercakap tentang merdeka, jalan-jalan dipenuhi bendera manakala TV, radio dan akhbar pula tidak henti-henti menyiarkan rencana atau lagu yang bertemakan kemerdekaan.

Keadaan itu bagaimanapun tercemar pada tahun lalu iaitu 2012 apabila kerajaan melalui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Rais Yatim telah merompak sambutan Hari Merdeka tahun itu untuk kepentingan politik Umno dan BN. Oleh sebab 31 Ogos 2012 dianggap detik paling dekat dengan tarikh pilihan raya umum, sambutan pada tahun tersebut telah dimanipulasikan semahu-mahunya untuk kepentingan kempen Umno dan BN bagi menghadapi pilihan raya.

Buat pertama kali tema Hari Merdeka 2012 bersamaan dengan tema kempen politik Umno dan BN iaitu Janji Ditepati. Walaupun banyak bantahan mengenai tema itu, Rais berkeras mahu menggunakannya dan berjaya meyakinkan Najib dan kerajaan untuk turut bersetuju dengannya.

Tidak cukup dengan itu, pada malam 31 Ogos tahun lalu juga telah diadakan perhimpunan besar-besaran yang majoritinya dihadiri oleh ahli Umno dan komponen BN Stadium Bukit Jalil di mana Najib selaku Perdana Menteri telah berucap dengan intipati yang jelas bermotifkan politik dan keinginan untuk memenangi pilihanraya.

Akhbar dan TV pula digunakan untuk mengaitkan sambutan hari kemerdekaan dan kaitan dengan Umno dan akhirnya sambutan Hari Merdeka 2012 telah menjadi milik Umno dan BN sepenuhnya. Rakyat yang menganuti fahaman politik yang lain atau tidak terikat dengan mana-mana fahaman politik jadi tersisih dan hilang selera untuk turut sama meraikannya sedangkan sepatutnya Hari Merdeka adalah milik semua rakyat tanpa mengira ideologi dan fahaman politiknya.

Semua ini tidak lain adalah kerana idea cetek Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Merdeka yang ketika itu terlihat amat ghairah mahu mempromosi kepimpinan Najib sambil mengharapkan agar beliau terus dipilih sebagai calon pilihan raya dan dikekalkan lagi sebagai menteri kabinet.

Walaupun Rais juga melahirkan rasa kesal atas kelesuan sambutan tahun ini dengan mengatakan harga bendera lebih murah daripada harga sekotak rokok tetapi sebenarnya beliaulah juga yang menurunkan harga, bahkan melelong sambutan merdeka tahun lalu.

Kelesuan dan ketidakghairahan rakyat meraikan sambutan Hari Merdeka tahun ini tidak lain adalah kesan daripada tindakan Rais Yatim itu. Jika perayaan merdeka 2012 tidak dirompak untuk kepentingan politik Umno dan BN serta tidak dilelong dengan harga yang murah, sambutan pada tahun ini mungkin tetap sama meriahnya seperti tahun-tahun sebelumnya.

Hari ini Ahmad Shabery Cheek yang mengambil alih tugas selaku Menteri Penerangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Merdeka, terpaksa memikul beban yang ditinggalkan Rais itu. Beliau juga mungkin lambat menyedari kesan daripada tindakan Rais itu, lalu tidak pula melakukan sesuatu yang agersif untuk sambutan merdeka tahun ini. Jika kesan daripada apa yang dilakukan Rais itu dapat disedari lebih awal, mungkin kelesuannya tidaklah begitu dirasakan seperti sekarang ini.

Walaupun sambutan hari kemerdekaan tahun ini seperti ingin dikembalikan semula kepada rakyat dengan temanya juga lebih rasional iaitu Malaysia berdaulat: Tanah tumpahnya darahku tetapi keghairahan yang telah hilang itu bukanlah mudah untuk dikembalikan. Mungkin ada segolongan rakyat yang memerlukan masa untuk berbuat demikian.

Untuk tahun ini dan mungkin beberapa tahun lagi, kita haruslah mengakui bahawa kerana kesilapan dan salah percaturan yang dilakukan oleh Rais Yatim itu maka kita terpaksalah meraikan hari kemerdekaan ini dalam suasana yang lesu dan tidak bermaya.

Terima kasih Rais Yatim!!

Pembinaan jambatan ke-3 Klang dijangka hujung tahun

Harakahdaily, 28 Ogs 2013
KLANG: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang merentasi Sungai Klang kini dalam proses terakhir membuat reka bentuk.

Menurutnya, pembentangan pelan reka bentuk akan dibentangkan esok selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak teknikal dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jangkaan kita tender akan dibuat selepas bulan Oktober atau November dan selepas itu kita akan mulakan proses pembinaan,” katanya dipetik Selangorku.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya akan mengambil kira semua faktor termasuk kesesuaian dengan kawasan dan keadaan bentuk sungai.

“Kita juga akan mengambil kira tentang struktur jalan yang akan disambungkan dengan jambatan itu,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Anugerah Prihatin Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sebuah hotel di sini.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang menggunakan RM300 juta daripada rizab negeri bagi melaksanakan projek itu.

Jambatan sepanjang dua kilometer termasuk jalan penghubung dengan enam korong itu bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas lebih 200,000 kenderaan yang menggunakan jambatan sedia ada.

Bala menunggu peminjam PTPTN

Subky Latif, 28 Ogs 2013
Gara-gara BN memenangi semula PRU 13, para peminjam PTPTN kini diancam bala sepanjang hidup jika gagal menjelaskan pinjaman itu selepas tamat pengajian di institusi pengajian tinggi nanti.

Mereka yang gagal melunaskan pinjaman itu sama ada kerana sengaja tidak mahu menjelaskannya atau tidak terdaya menunaikannya atas kesempitan hidup akan disenaraikan di bawah CCRIS itu Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.

Mangsa itu akan hilang kelayakan untuk memiliki kereta, rumah dan lain-lain sebagai tambahan kepada sekatan keluar negara. Status mereka mungkin sama dengan orang yang muflis. Jika mereka orang Islam tidak layak menunaikan haji dan umrah.

Kerana takut ugutan itu mengancam peluang Umno dalam PRU14, Pemuda Umno menentangnya. Kerajaan pun takut kesannya, maka tidak jadi ia kuatkuasakan setakat ini.

Seingat saya, si muflis sebelum merdeka dulu layak memiliki basikal. Dia tidak boleh memiliki motosikal. Masa itu belum ada motosikal kecil seperti Honda. Pakaian yang dibolehkan kain kaki iaitu kain tebal.

Mungkin tindakan terhadap peminjam PTPTN kurang sedikit zalimnya dari yang dialami oleh peminjam along. Tindakan yang dikenakan along menyiram cat merah pada kediaman, ancaman bunuh secara kejam. Jika peminjam melarikan diri, keselamatan keluarga terancam.

Peminjam PTPTN tidaklah dikenakan demikian tetapi deranya seperti lain-lain peminjam yang tidak dapat menjelaskan hutang yang pinjaman itu dibuat sebagai pilihan. Pinjaman pilihan itu ialah sebagai modal perniagaan, membeli harta/saham, rumah, kenderaan dan sebagainya.

Pinjaman PTPTN adalah keperluan asasi bagi melanjutkan pelajaran. Menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi adalah keperluan. Ia bukan pilihan lagi. Tiada cara bagi rakyat cerdik dari keluarga yang tidak berada melanjutkan pelajaran melainkan pinjaman atau biasiswa. Zaman biasiswa mudah, maka alternatifnya ialah PTPTN.

Dera yang dicadangkan itu mungkin patut bagi dikenakan kepada penyangak yang mendaftar menjadi ahli Umno bagi meminjam duit dari Mara dan Bank Bumiputera dulu. Kerana mereka diterima jadi Umno, maka mereka berpeluang mendapat pinjaman yang banyak. Antaranya tidak membayar hutang itu dan ramai juga hutang itu dihapus kira.

Penyangak seperti itu patut dikenakan tindakan seperti yang dicadangkan kepada peminjam PTPTN. Tetapi pelanggan PTPTN malangnya ialah kerajaan yang ada mengira pelajaran tinggi untuk       rakyat adalah satu perniagaan. Ia bukan hak asasi belia yang cerdik. Siapa yang hendak belajar tinggi mesti berbayar. Kerajaan bina univrsiti atau benarkan universiti dibina bagi dilanggan oleh belia yang cerdik. Mereka diberi pinjaman supaya mereka boleh menjadi pengguna kepada institusi pengajian tinggi itu.  Dengan  demikian profesor ada pekerjaan dan dapat gaji  tinggi.

Jika tiada pinjaman seperti PTPTN, maka tiada orang yang belajar di universiti yang banyak itu. Dengan adanya PTPTN berlumba-lumbalah orang mendirikan universiti dan kolej. Seperti orang berlumba-lumba mendirikan tadika, kerana ia boleh dijadikan medan perniagaan.

Tetapi telah ada tawaran pengajian tinggi boleh diadakan percuma – tanpa PTPTN – seperti yang digagaskan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 lalu.  Sumber yang ada,  kawalan kewangan yang berhemah, kerajaan boleh mengadakan pengajian tinggi percuma.

BN tidak menyanggupi tanggungjawab itu kerana ketirisannya, bahkan ia bocor. Kebocoran itu menyebabkan negara bankrap, bukan sekadar mengadakan pengajian tinggi percuma.

Justeru, memasukkan PTPTN di bawah CCRIS itu satu penindasan, maka ia ditentang juga oleh Pemuda Umno. Tetapi tentangan Pemuda Umno lebih berbentuk politik. Ia menolaknya kerana takut kalah pilihan raya akan datang kerana adanya  tawaran Pakatan Rakyat untuk memansuhkan PTPTN itu. Sikap Pemuda Umno bukan disebabkan ia satu penindasan. Bagi PR, PTPTN adalah penindasan dan memasukkannya di bawah CCRIS pula adalah penindasan berganda.

Tiada ulasan: