Rabu, 21 Ogos 2013

NI YANG KITA INGINKAN...KATA2 SUMBANG KATANYA...TIDAK DIPERCAYAI...MAKA AMBIK KAU

CCRIS: Kerajaan lebih teruk daripada along

Harakahdaily, 21 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: “Kerajaan lebih teruk daripada along,” luah Setiausaha Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) Pulau Pinang, Kumaresan Aramugam (gambar).

Menurut beliau, langkah kerajaan untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar untuk membayar balik pinjaman adalah lebih teruk daripada along yang mengutip pinjaman.

Melalui CCRIS kerajaan akan berkerjasama dengan Bank Negara untuk mempengaruhi kelulusan permohonan peminjam PTPTN daripada institusi kewangan.

Mereka yang ingkar untuk membayar balik pinjaman PTPTN akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan yang lain terutamnya apabila membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, dan sebagainya.

“Maknanya bank akan menilai setiap rekod pembayaran sebelum memberi mereka pinjaman,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Kumaresan, hal ini akan merunsingkan lagi peminjam PTPTN ketika mereka membuat permohonan pinjaman di institusi kewangan atau bank.

Katanya lagi, Kerajaan sepatutnya menggunakan kaedah yang lebih mesra untuk mengutip semula pinjaman PTPTN dan bukannya dengan cara kasar dan membebankan seperti itu.

Buat masa ini, ujarnya ramai dalam kalangan graduan yang baru habis belajar memperolehi pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000 dan mereka juga mempunyai perbelanjaan lain seperti tanggungan keluarga, pembayaran ansuran kereta, sewa rumah dan sebagainya.

Beliau menambah, dengan kadar inflasi negara yang tidak menentu harga barangan harian juga semakin mahal dan sekiranya kerajaan menekan peminjam PTPTN untuk membayar balik pinjaman tanpa sebarang mekanisma yang mesra, maka ia  juga sama seperti along yang mengutip semula hutang mereka.

CCRIS: Masa depan anak muda Malaysia terus kelam

Harakahdaily, 21 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan mula gundah dengan sistem pendidikan yang dirasakan gagal dalam melahirkan modal insan yang sewajarnya memberikan pulangan kepada hasil produktiviti negara.

Maka pendidikan akhirnya diniagakan, pekerjaan terus diswastakan kepada tenaga kerja asing, sementara peminjam bagi sebuah keperluan pendidikan terpaksa hidup dalam beban hutang dan diancam masa depan dengan CCRIS.

“Kehidupan mereka daripada dulu tidak pernah terjamin. Masa depan anak muda Malaysia akan terus kelam,” ujar Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhamad Azan Safar (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya meneliti kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II berkaitan peminjam PTPTN ingkar disenarai dalam CCRIS dan saya melihat bahawa ini adalah bukan satu usaha yang baik diperingkat kerajaan untuk menggalakkan pembayaran hutang oleh peminjam PTPTN.

Saya menyedari hakikat setiap hutang mestilah dilangsaikan oleh mereka yang berhutang namun dalam konteks hutang PTPTN ia perlu diklasifikasikan dalam kategorinya yang tersendiri.

Ini adalah kerana hutang yang terpaksa mereka iaitu rakyat tanggung ialah hutang untuk menunaikan sebuah kewajipan dan keperluan yang kerajaan tidak mampu berikan kepada mereka.

Pendidikan sewajarnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ia dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat dalam sesebuah negara.

Bahkan saya tegaskan pendidikan merupakan agenda kebajikan terbesar yang harus dilunaskan oleh pihak pemerintah kerana pendidikan pasti akan mendatangkan pulangan yang baik kepada kerajaan dan meningkatkan produktiviti negara.

Menyenaraikan peminjam PTPTN ke dalam CCRIS di kala pekerjaan yang tidak pernah dijamin kepada lepasan IPTA/IPTS, apatah lagi keperluan sara hidup yang makin tinggi oleh pihak kerajaan hanya menjadikan kerajaan sebagai ‘along berlesen’ bahkan memberikan tekanan kepada anak muda lepasan universiti dari sudut mental dan perasaan.

Mereka baru ingin memulakan kehidupan baru sebagai graduan universiti tetapi dikejar pula oleh pemiutang dengan ancaman CCRIS.

Kerajaan harus memandang pendidikan ialah sebuah pelaburan jangka panjang yang bakal dinikmati negara.

Hasil produktiviti negara akan semakin meningkat seiring dengan ramainya mahasiswa yang bergraduasi daripada universiti.

Gamis sentiasa berpendirian bahawa pendidikan ialah kebajikan yang harus diberikan percuma kepada rakyat kerana setiap yang bergraduasi tidak akan pernah mendatangkan kerugian kepada negara.

Apa bezanya, kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit bagi setiap projek untuk meningkatkan mutu tenaga kerja profesional dan atlet sukan kerana yakin ia akan memberikan pulangan kepada produktiviti negara dengan mereka yang mengikuti sistem pendidikan yang disusun kerajaan Malaysia hari ini yang juga bertujuan meningkatkan hasil produktiviti negara melalui aset modal insan yang dilahirkan dari universiti tanah air?

Melainkan kerajaan sendiri sudah tidak lagi meyakini dengan sistem pendidikan yang dirangkanya sendiri.

Kerajaan mula gundah dengan sistem pendidikan yang dirasakan gagal dalam melahirkan modal insan yang sewajarnya memberikan pulangan kepada hasil produktiviti negara.

Maka pendidikan akhirnya diniagakan, pekerjaan terus diswastakan kepada tenaga kerja asing, sementara peminjam bagi sebuah keperluan pendidikan terpaksa hidup dalam beban hutang dan diancam masa depan dengan CCRIS.

Kehidupan mereka daripada dulu tidak pernah terjamin. Masa depan anak muda Malaysia akan terus kelam.

DAP kesal PTPTN jadikan pelajar mangsa hutang

Roketkini, 20 Ogs 2013
BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong membantah cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk penyenaraian peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) kerana menyebabkan anak muda menjadi mangsa dasar ekonomi kerajaan pusat.

Menurutnya, mereka yang belum membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN akan berhadapan dengan kesukaran untuk memohon pinjaman dengan bank lain.

“Walaupun secara amnya, mengetatkan syarat kredit merupakan langkah yang baik, namun tindakan kerajaan dalam konteks ini tidak mengambil kira pokok pangkal permasalahan yang ada.

“Anak muda tiada pilihan kerana PTPTN bukan kemewahan atau kemudahan, tapi satu keperluan atau satu kemudahan kepada majoriti anak muda dan keluarga mereka kerana dasar ekonomi berunsurkan kapitalisme kroni yang diamalkan kerajaan pusat menyebabkan rakyat biasa terpinggir daripada kekayaan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berdasarkan statistik penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0), 80% isi rumah di Malaysia berpendapatan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan 40% daripada isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Beliau berkata, keadaan ekonomi isu rumah yang suram bertambah buruk disebabkan dasar kerajaan yang mengkomersialkan sektor pendidikan tinggi di Malaysia.

“Pada hari ini, selain 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), terdapat 365 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang melahirkan kira-kira 200,000 siswazah setiap tahun.

“Jelas, kerajaan membenarkan sektor pendidikan tinggi ditransformasi kepada pasaran untuk mengaut keuntungan tanpa mementingkan kualiti serta kebajikan anak muda Malaysia.

“Dalam keadaan ini, anak muda tiada pilihan dan terpaksa berhutang pada usia muda melalui pinjaman PTPTN bagi membiayai pendidikan tinggi mereka dalam keadaan ekonomi keluarga yang suram.

“Dasar ekonomi kapitalisme kroni menghukum rakyat biasa terutama anak muda, justeru, tindakan kerajaan pusat bagaikan menghukum anak muda yang pada asalnya memang tiada pilihan selain berhutang,” tambahnya.

Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY berkata, dasar kerajaan pusat nampaknya hanya menguntungkan pihak bank dan syarikat swasta seperti pengelola IPTS dan akhirnya anak muda menjadi mangsa ekonomi kapitalisme kroni.

Dalam ucapan Parlimen dan sempena Hari Belia Antarabangsa tahun ini, beliau juga membangkitkan tiga kemelut ekonomi yang terpaksa dihadapi anak muda iaitu aliran keluar kepakaran atau brain drain, pengangguran anak muda yang tinggi dan guna tenaga tidak penuh atau underemployment yang berleluasa.

Katanya, antara faktor menyebabkan kemelut itu termasuk sistem pendidikan berciri komersial yang tidak dapat menyediakan siswazah memasuki bidang pekerjaan dan dasar ekonomi kapitalisme kroni yang mementingkan keuntungan dan bukan kebajikan rakyat.

“Melaksanakan penyenaraian CCRIS, maka anak muda yang keluar bekerja akan menghadapi tekanan hidup yang lebih tinggi, contohnya, disebabkan kegagalan dasar pengangkutan awam kerajaan maka pengangkutan persendirian menjadi satu keperluan asas untuk anak muda terutama untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Melalui tindakan kerajaan mengetatkan syarat kredit untuk anak muda, maka pembelian motosikal atau kereta menjadi satu masalah.

“Saya berpendapat tindakan kerajaan adalah tindakan terburu-buru yang tidak mengambil kira kesan buruk kepada rakyat biasa. Ini merupakan langkah simplistik kerajaan yang bertindak semacam “ah long” memberi tekanan kepada anak muda untuk membayar balik pinjaman PTPTN sedangkan kerajaan sendiri gagal menaikkan ekonomi rakyat biasa termasuk anak muda bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kekayaan negara dengan adil,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang berkata, isu itu akan memberi kesan buruk kepada ramai anak muda, maka Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diminta campur tangan dan menginsafkan rakan beliau dalam Kabinet tentang kesusahan anak muda pada masa kini dan memansuhkan rancangan penyenaraian CCRIS itu.

Beliau juga menyeru kerajaan pusat mengkaji semula dasar mengkomersialkan sektor pendidikan dan mempertimbangkan dasar pendidikan tinggi percuma yang disaran dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Naik tarif elektrik tak beban pengguna alasan lapuk

Harakahdaily, 20 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan Malaysia agar tidak menaikkan sebarang kadar tarif elektrik buat masa ini.

Kenaikan kos bahan api menjadi alasan utama kepada semakan dan kenaikan tarif elektrik.

“Walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan keyakinan bahawa ianya tidak akan membebankan pengguna, namun alasan tersebut sudah lapuk dan seolah-olah ingin melepas diri,” ujar ketuanya, Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan Malaysia agar tidak menaikkan sebarang kadar tarif elektrik buat masa ini.

Kenaikan kos bahan api menjadi alasan utama kepada semakan dan kenaikan tarif elektrik.

Walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan keyakinan bahawa ianya tidak akan membebankan pengguna, namun alasan tersebut sudah lapuk dan seolah-olah ingin melepas diri.

Alasan Presiden TNB bahawa pengguna dengan penggunaan bulanan di bawah 200kWj tidak terjejas merupakan alasan yang tidak bertanggungjawab.

Rakyat di Malaysia bukan hanya pengguna elektrik secara domestik sahaja.

Negara Malaysia yang merupakan sebuah negara yang membangun yang mempunyai kilang-kilang perindustrian yang banyak sudah tentu merupakan pengguna elektrik yang besar.

Apabila kadar tarif elektrik naik, secara sifirnya, sudah tentulah kos perindustrian menjadi meningkat. Dan kesannya tentulah kepada rakyat Malaysia kerana harga barang menjadi naik.

Inilah yang merunsingkan rakyat Malaysia. Bagilah alasan apa pun, yang pasti kesannya adalah kepada rakyat.

Rakyat yang terpaksa menanggung bebannya. Siapakh yang mendapat keuntungan dari kenaikan tarif elektrik ini?

Sudah pastilah cukong-cukong pengeluar tenaga bebas (IPP) yang dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Rakyat Malaysia masih lagi di dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Amat malang sekali apabila kegembiraan ini tercalar dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang pastinya akan menambahkan lagi batu bebanan yang menjadi galasan penduduk Malaysia kini.

Kerajaan Malaysia perlulah menyemak semula perjanjian dengan IPP ini.

Perjanjian berat sebelah ini sesungguhnya tidak menguntungkan rakyat mahupun di pihak kerajaan.

Malah, ianya memberikan hasil yang semakin lumayan kepada pemilik-pemilik IPP ini.

Sampai bilakah kerajaan harus membela cukong-cukong ini yang diibaratkan sebagai lintah darat ini?

Mengapakah kerajaan seolah-olah takut untuk menamatkan perjanjian berat sebelah ini?

DPPWP melihat ini adalah satu lagi hadiah buat kerajaan Umno BN kepada semua rakyat Malaysia selepas kemenangan dalam Pilihanraya Umum 13.

Tidak hairanlah jika selepas ini, terdapat banyak lagi kenaikan demi kenaikan di sebalik nama 'menampung kos operasi' dan sebagainya.

Slogan rakyat didahulukan semakin tidak mendapat tempat lagi di hati rakyat apabila rakyat terpaksa mendahulukan semua kepentingan pemimpin Umno BN.

Maka, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Umno BN!

Kelantan ikut Pusat bawa pulang pelajar dari Mesir

Salmah Mat Husain, 21 Ogs 2013
KOTA BHARU: Kelantan menunggu arahan daripada Kerajaan Pusat melalui Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan berhubung usaha membawa pulang pelajar negeri ini dari Mesir.

Menurut Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, kerajaan negeri akan menguruskan perkara itu bersama dengan kerajaan Pusat demi menjaga keselamatan pelajarnya sepanjang pergolakan berlaku.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, urusan membawa seramai 3,300 orang pelajar Mesir pulang ke Malaysia bermula malam tadi menggunakan pesawat komersil.

Urusan penempahan tiket akan dilakukan bermula malam tadi dan penerbangan akan melalui Amman (Jordan) dan Istanbul (Turki) serta beberapa tempat lain.

Ketika memberitahu Harakahdaily, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan bersedia membantu kerajaan Malaysia membawa pulang pelajar ke negeri ini.

“Lebih 1,000 orang pelajar Kelantan berada di sana untuk belajar,” ujarnya.

Pada masa yang sama Kelantan turut menangguhkan pelajarnya untuk meneruskan pengajian masing-masing di negara itu.

Sambungnya, pelajar yang telah tamat pengajian masing-masing ada yang telah pulang.

Kecuali tambahnya, yang sedang mengikuti pengajian kedoktoran yang akan tamat September ini.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, OIC seharusnya mengambil peranan penting untuk mengekang kejadian yang berlaku di bumi anbia itu.

Bagaimanapun, menurutnya ia tidak berlaku sedemikian.

Kesihatan TG Nik Aziz biasa, berehat di HUSM

Salmah Mat Husain, 21 Ogs 2013
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berehat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak Ahad lalu.

Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd Abduh memberitahu, kesihatan Tuan Guru sebagaimana biasa dan perlu berehat.

“Ayah perlu rehat jadi kami rasa di sini tempat yang sesuai untuk ayah berehat,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui petang semalam di HUSM.

Nik Abduh turut mengakui walaupun Tuan Guru tidak lagi menjadi Menteri Besar Kelantan, namun orang ramai mengambil kesempatan untuk bertemu dengannya di rumah atau masjid.

“Dengan usia ayah, tenaga ayah sekarang tidak seperti dahulu lagi membuatkan ayah mudah penat,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru mempertikaikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak membenarkan Presiden Mesir, Dr Muhammad Mursi membina negara Islam di bumi itu.

Beliau turut mengkritik Amerika yang berselindung di sebalik PBB yang tidak mengiktiraf kemenangan kerajaan Mesir di bawah Mursi.

Menurutnya, keganasan yang melanda negara itu amat tidak wajar, kerana Mesir tidak pernah mendakwa negara lain sebagai hak miliknya.

“Sekiranya Amerika atau PBB boleh mengiktiraf Israel sebagai pihak yang tidak mempunyai negara sendiri, kenapa pula tidak boleh menerima kemenangan Mursi yang berjuang di bumi sendiri?”soalnya.

Tuan Guru seterusnya berkata, tindakan yang diambil oleh rakyat negara itu untuk memilih Mursi, bukan pandangan pihak luar, sebaliknya pilihan mereka sendiri.

Lebih 3,300 ulama, pendakwah kutuk As-Sisi

Muhammad Yusri Amin, 20 Ogs 2013
KOTA BHARU: “Kami mengecam keras tindakan kejam Jeneral Abdul Fattah As-Sisi merampas kuasa rakyat dan membunuh mereka tanpa peri kemanusiaan.

“Perdana Menteri Malaysia wajar mengambil langkah segera memprotes tindakan zalim rejim tentera Mesir,” kata Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak.

Menurutnya lebih 3,300 ulama, pendakwah dan ustaz di bawah Dakwah Halaqat mengecam keras tindakan luar perikemanusiaan dilakukan As Sisi.

Dakwah Halaqat mempunyai seramai 3,377 pegawai dan kakitangan. Mereka terdiri daripada pegawai Halaqat, pembantu Halaqat, guru-guru al-Quran dan guru Fardhu Ain.

Menurutnya juga sebahagian pegawai Dakwah Halaqat adalah lepasan Universiti Al Azhar, Mesir.

Oleh itu beliau berharap Malaysia perlu segera menghantar nota bantahan terhadap tindakan zalim tentera Mesir.

“Agenda terkutuk tentera Mesir tidak dinafikan kerana campur tangan kuasa besar asing bertujuan menangguk di air keruh bagi kepentingan ekonomi politik mereka,” tambahnya.

Beliau juga meluahkan rasa ducita negara-negara Arab memberikan sokongan kepada rejim tentera bagi menghalang Presiden Mesir Dr Mohammad Morsi melaksanakan perundangan Islam di Mesir.

Malah negara Arab yang kaya dengan minyak juga bimbang Dr Morsi membantu pelarian dari Syria dan Palestin.

Perintah berkurung jadikan Kaherah ‘bandaraya hantu’

Abu Marwan , 21 Ogs 2013



KAHERAH: Beginilah keadaan Kota Kaherah menjelang jam 7 malam apabila junta tentera mengisytiharkan perintah berkurung di lapan wilayah di seluruh negara.

Kota Kaherah yang terkenal dengan nama ‘kota yang tidak pernah tidur’ ini sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Adalah dianggarkan ebih dari 20 juta orang penduduk menghuni kota metropolitan ini.

Namun selepas pengisytiharan peintah berkurung oleh rejim tentera, bandaraya ini seolah-olah menjadi ‘bandaraya hantu’.

Tidak ada lagi kenderaan dan hiruk piruk di kota ini dari jam 7 malam sehingga 6 pagi.

Semua aktiviti perniagaan juga berhenti serta-merta dan kedai-kedai ssemuanya ditutup awal bagi mematuhi perintah ini.

Kereta-kereta kebal serta trak-trak tentera dan polis dapat dilihat mengawal kawasan-kawasan yang dianggap berpotensi untuk penyokong Presiden Morsi menganjurkan demonstrasi aman.

Sesiapa sahaja yang melanggar perintah berkurung ini boleh ditangkap dan ada yang cedera ditembak di beberapa wilayah kerana melanggar perintah ini.

Namun sampai bilakah perintah berkurung ini akan dikenakan oleh rejim tentera terhadap seluruh rakyat Mesir?

Walaupun perintah berkurung diistiharkan, hampir setiap malam masih lagi berjalan demonstrasi aman di banyak wilayah di seluruh Mesir bagi membantah rejim tentera serta kemarahan meraka terhadap pembunuhan beramai-ramai terutamanya di Rabaa Adawiah.

Inilah realiti Mesir baru di bawah rejim tentera yang merampas kuasa dari Presiden Dr Mohamad Morsi yang dipilih melalui pilihan raya dan demokrasi.





Tiada ulasan: