Posted on Saturday, August 31 @ 02:11:54 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Oleh: laniismaa
"Vision Networks, syarikat milik Afdlin Shauki telah memperolehi tender kerajaan melalui Perbadanan Filem Nasional (Finas) untuk untuk menghasilkan treler Tanah Tumpahnya Darahku sempena hari kemerdekaan untuk ditayangkan di pawagam yang panjangnya hanya 2 minit 40 saat berharga RM450 000.
Treler itu mula ditayangkan pada 28 Ogos lalu sehingga 3 September depan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56.
Pada Rabu lalu, Ahmad Idham meneusi Twitter miliknya mempersoalkan langkah Finas dan meminta penjelasan berhubung kos berkenaan yang dianggap tinggi untuk sebuah iklan pendek.
Hari ini Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) pula mempersoalkan tindakan Finas dalam soal pemberian tender tersebut. Jurey Latiff Rosli yang juga Presiden Gafim berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan agensi berkenaan dan mendesak supaya Finas menjelaskan bagaimana sesebuah tender iklan yang mempunyai bajet besar diberi.
“Gafim sebenarnya sokong apa-apa sahaja usaha kerajaan yang menerbitkan iklan merdeka bagi kesedaran orang ramai. Cuma apa yang perlu dijelaskan adalah proses pemilihan produksi dalam memberikan tender dan bagaimanakah keterbukaan yang dibuat oleh pihak Finas?,” soalnya kepada mStar Online.
Selamat menyambut hari kemerdekaan untuk semua. Afdlin Shauki tentu seronok dengan bayaran akan diperolehi. Ahmad Idham dan Gafim boleh melaporkan kepada SPRM… - EkEleh.com"
Rakyat diharap bersatu sokong Impian Malaysia: Kit Siang
Posted on Saturday, August 31 @ 02:21:40 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Ketua Perlimen DAP, Lim Kit Siang berharap rakyat dapat bersatu menyokong Impian Malaysia ke arah membina negara Malaysia yang lebih bersatu-padu, demokratik, bebas, adil dan makmur untuk semua warganya, agar Malaysia dapat berdiri megah di mata dunia.
Katanya, harapan terlalu tinggi memandangkan sejak beberapa bulan lalu bahasa dan politik kebencian, kecurigaan, dan wasangka semakin menguasai ruang awam, sama ada di media cetak atau internet, sehingga menyebabkan ramai warga Malaysia bimbang mengenai masa depan negara.
“Rakyat Malaysia tidak seharusnya membiarkan jurang antara kelompok, rintangan, dan kegagalan menghalang kita daripada terus berusaha mencapai Impian Malaysia untuk membentuk masyarakat majmuk di mana semua warganya bersatu sebagai satu bangsa melampaui perbezaan kaum, agama, budaya, dan bahasa sebagaimana yang dihadapi rakyat Amerika yang terus mengorak langkah mengejar American Dream walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan kegagalan yang mengganggu proses pembinaan negara Amerika,” katanya dalam mesej Hari Kebangsaan ke-56, hari ini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Rabu lalu, rakyat Amerika merayakan ulangtahun ke-50 ucapan bersejarah Martin Luther King Jr, “I have a dream”, yang disampaikan di Washington pada 28 Ogos 1963.
Menurutnya, dalam ucapan itu, Martin Luther King Jr mengimbau American Dream, iaitu impian untuk mewujudkan sebuah negara yang inklusif di mana keadilan dan kebebasan dinikmati secara setara oleh semua warga Amerika tanpa mengenal warna kulit atau kepercayaan.
“Telah banyak kemajuan dicapai Amerika Syarikat sejak lima dekad lalu dalam mengejar matlamat itu, bagaimanapun usaha menyempurnakan American Dream masih berjalan.
“Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, dan daerah adalah warganegara yang patriotik.
“Walaupun berbeza kaum, agama, bahasa, budaya, dan daerah, kita adalah bangsa Malaysia yang setia tidak berbelah-bagi kepada negara. Kita berkongsi satu tanah air, Malaysia, tanah tumpah darah kita. Justeru itu kita wajib bersatu sebagai satu bangsa untuk mengembangkan keagungan negara ini dengan memanfaatkan kekayaan budaya, nilai, dan tradisi pelbagai kaum, agama dan kebudayaan yang telah bertapak di Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan Impian Malaysia sebagai tapak, takdir Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan sebagai sebuah negara terulung di dunia akan tercapai.- Roketkini
Jalur Gemilang kurang kerana merdeka ‘diUmnokan’
Posted on Friday, August 30 @ 19:06:48 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
TEMERLOH: Menjelang beberapa jam sahaja lagi negara akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-56, rata-rata dilihat rakyat bagaikan tidak cakna dan tidak mempedulikan 31 Ogos tarikh yang dianggap 'keramat' oleh kerajaan itu.
Ini dapat diukur dengan kurangnya pengibaran bendera Jalur Gemilang pada kenderaan, premis-premis perniagaan dan di rumah kediaman sehingga sambutan merdeka tahun ini dilihat suram dan hambar jika dilihat daripada sambutan rakyat.
Dalam tinjauan sepanjang perjalanan dari plaza tol Bentong ke Kuantan, jumlah kenderaan yang lalu-lalang, didapati yang melekatkan atau mengibarkan Jalur Gemilang hanya boleh dibilang dengan jari.
Begitu juga dengan kebanyakan premis perniagaan seperti restoran, pusat membeli-belah dan stesen minyak, bangunan swasta, pejabat dan bangunan di kawasan komersial di beberapa jalan utama di Kuantan dan Temerloh juga dilihat tidak berbuat demikian.
Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun jelas sekali gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.
Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil melahirkan rasa kecewa kerana kurangnya sambutan masyarakat terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-56 negara.
Lebih memalukan, pihak kerajaan atau penaja ada mengedarkan bendera percuma tetapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya.
Namun tindakan tidak mengibarkan Jalur Gemilang ini tidak boleh dirumuskan bahawa rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotiknya.
Bagi ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 74, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘bosan’ terutama golongan muda yang disumbatkan dengan maklumat seolah-olah hanya diperjuangkan oleh Umno bersama gabungannya MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.
Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan hak milik Umno semata-mata.
Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan mulai sekarang supaya rasa bersemangat mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.
“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.
Alang berkata, memang tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaan secara bertulis di London tetapi tidak harus juga dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya.
“Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang menyabung nyawa dan bermandi darah demi kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara,” jelasnya.
Tambahnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan iaitu pada April 1945 di tengah-tengah bandar Temerloh.
Bagi peguam Ahmad Nizam pula, roh merdeka sudah hilang di hati rakyat kerana biasanya kalendar bulan merdeka setiap tahun hanya menjurus kepada persembahan hiburan melulu tanpa memberikan manfaat dalam membina kesedaran merdeka.
Katanya, sepatutnya dikenang juga tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Asiah Ghani dan lain-lain yang lebih terkehadapan memperjuangkan kemerdekaan.
“Jauh sebelum Perikatan ditubuhkan, telah wujud persepakatan dan kerjasama di antara parti politik kiri Melayu melalui PUTERA dengan parti dan pertubuhan Bukan Melayu yang bergabung di bawah AMCJA yang kemudiannya melahirkan Perlembagaan Rakyat 10 Perkara yang dianggap sebagai asas Perlembagaan Malaya Merdeka.
“Tanpa menafikan peranan dan jasa besar Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan namun yang dikesalkan adalah penafian peranan serta pengorbanan tokoh-tokoh progresif, parti-parti politik yang tidak senada dengan kepentingan kolonial di samping peranan golongan cerdik pandai agama serta para pengarang yang jasa dan peranan mereka tidak dimartabatkan di tempat sepatutnya di persada sejarah kemerdekaan tanahair,” katanya.
Tambahnya, keadaan ini berlaku kerana Umno mahu menunjukkan bahawa merekalah kononnya yang paling ulung memperjuangkan kemerdekaan dan sekaligus telah membohongi sejarah.-HD
Tragedi niat murni
Posted on Friday, August 30 @ 20:14:36 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering
Ampang :
Niat baik seorang lelaki yang cuba merempuh motosikal dinaiki dua
peragut bertukar tragedi apabila kenderaan itu terlanggar wanita yang
diragut penjenayah terbabit hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
(Gambar : KONDOMINIUM Palm Villa tempat Sharinawati diragut, semalam)
Kejadian menyedihkan itu berlaku di depan Kondominium Palm Villa,
Jalan Cempaka, di sini, jam 2.40 pagi, semalam ketika mangsa,
Sharinawati Abu Bakar, 30, yang juga eksekutif syarikat penerbangan
AirAsia X baru pulang dari tempat kerja.Sebelum kejadian, lelaki berusia 20-an menaiki Proton Wira bersama rakannya di lokasi kejadian ternampak Sharinawati disamun dua lelaki bermotosikal.
Dengan niat mahu menolong mangsa, lelaki terbabit cuba merempuh motosikal suspek dengan cara mengundur kenderaannya dengan laju, namun tersasar dan melanggar Sharinawati manakala suspek berjaya melepaskan diri.
Mangsa yang dijadualkan berkahwin Disember depan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke sebuah hospital swasta di Jalan Ampang, di sini, oleh pemandu kereta terbabit.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
Harian Metro @ 30 Ogos 2013
Tengku Razaleigh Mahu Berundur Sebagai Ketua Bahagian Gua Musang
Posted on Friday, August 30 @ 18:43:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
GUA MUSANG, 30 Ogos (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah sampai masanya bagi beliau berundur sebagai ketua bahagian setelah hampir 50 tahun berkhidmat kepada masyarakat di sini.
"Sudah sampai masanya untuk saya berundur dan carilah pemimpin baharu untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya.
Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata keputusannya untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang juga adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih layak.
PRU13 lalu adalah yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu sehingga ada pemimpin baharu yang dapat menggantikannya.
"Saya diminta untuk terus menerajui Umno bahagian ini dan terserahlah kepada ahli Umno bahagian itu (selepas ini) untuk menentukan siapa pemimpin yang paling layak memikul tanggungjawab berkenaan kerana ramai yang layak dipilih," katanya kepada pemberita selepas majlis Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang bersama Orang Asli di Kampung Lambok, di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan kepimpinan Umno Oktober ini, Tengku Razaleigh enggan mengulas lanjut.
"Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama tengoklah pada 28 Sept ini untuk bertanding atau tidak," katanya.
Beliau mengingatkan bahawa mengikut peraturan baharu parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 Sept (untuk Majlis Tertinggi).
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan