Sabtu, 24 Ogos 2013

JANGAN KERA DIHUTAN DISUSUKAN

Beza 3 kerusi, sidang Dun Perak dijangka panas

Muhammad Faeez Azahar, 23 Ogs 2013
IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bermula 26 Ogos ini dijangka panas apabila hanya tiga kerusi yang membezakan Pakatan Rakyat dengan BN.

Pengerusi Sekretariat Adun PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki (gambar) berkata, pihaknya telah meneliti soalan-soalan yang bakal ditanya oleh kelima-lima Adun PAS dalam sidang Dun nanti.

Menurutnya, ianya meliputi aspek kebajikan rakyat, ketelusan serta kecekapan dalam pentadbiran dan polisi kerajaan yang menjadi perhatian oleh masyarakat khususnya di negeri itu.

Beliau menjelaskan, sekretariat Adun PAS telah mengkaji sebaik mungkin agar segala dakwaan serta soalan yang bakal ditanya nanti adalah berasaskan bukti dan fakta yang sahih.

"Adun-Adun PAS Perak sudah bersedia dengan soalan-soalan mencabar yang akan menggegar sidang Dun Perak.

"Soalan-soalan bertulis dan lisan terutamanya akan menjadi medan untuk rakyat mendapat penjelasan daripada kerajaan dalam beberapa isu yang menjadi perhatian masyarakat," katanya kepada Harakahdaily.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu menjelaskan, rakyat mengharapkan semua soalan hendaklah dijawab dengan jujur oleh kerajaan negeri dan tidak berniat untuk menyelindung apa-apa perkara.

Misbahul menyatakan, soalan bertulis yang berkaitan dengan isu-isu rakyat perlu diberi keutamaan untuk dijawab dan jangan ada daripada soalan yang dikemukakan itu tidak dijawab oleh kerajaan.

"Masa soal jawab lisan juga hendaklah diberikan secukupnya agar semua Adun mendapat ruang untuk berhujah tentang soalan yang dikemukakan.

"Rakyat tidak mahu speaker hanya memilih soalan-soalan dari anggota kerajaan sahaja, sebaliknya mesti adil dan saksama terhadap Adun-Adun Pakatan Rakyat khususnya PAS," jelasnya lagi.

Justeru, beliau berkata, PAS menyeru agar rakyat tidak lepaskan peluang untuk mendengar perbahasan dari Adun PAS dan rakan-rakan daripada DAP dan PKR.

Dalam Dun Perak, PAS mewakili 5 Dun iaitu Ustaz Abu Bakar Hussien (Titi Serong), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Ustaz Zawawi Hassan (Gunong Semanggol) Radzi Zainon (Sungai Rapat) dan Husin Din (Selinsing).

1.4 juta Bangla, bagaimana pastikan mereka pulang

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: PAS memandang kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan dengan serius.
“Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

“Apakah kerajaan sudah memikir impaknya terhadap indeks jenayah dan orang setempat dengan kebanjiran warga asing ini?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, melihat kepada kebanjiran warga asing yang sudahpun tidak terkawal kini, apakah kerajaan sudah ada jalan memastikan warga asing ‘tidak hilang’ dari pemantauan negara dan memastikan mereka dihantar pulang apabila habis tempoh kontrak pekerjaan mereka.

Kenyataan penuh beliau di bawah.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan.

PAS memandang perkembangan ini dengan serius. Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

Apakah kerajaan sudah memikir impaknya terhadap indeks jenayah dan orang setempat dengan kebanjiran warga asing ini?

Melihat kepada kebanjiran warga asing yang sudahpun tidak terkawal kini, apakah kerajaan sudah ada jalan memastikan warga asing ‘tidak hilang’ dari pemantauan negara dan memastikan mereka dihantar pulang apabila habis tempoh kontrak pekerjaan mereka?

Bagaimana pula impaknya pada rakyat Malaysia yang dikahwini warga Bangladesh ini? Apakah warga Bangladesh ini akan terus diberi kerakyatan semata-mata mengahwini rakyat tempatan?

Bagaimana kerajaan boleh memastikan golongan ini tidak ‘diMelayukan’ dan dijadikan warganegara semata-mata kerana beragama Islam?

Zahid mewar-warkan bahawa warga Bangladesh akan diberi kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

Tapi bagi PAS, perkara itu bukanlah terpenting, kerana sebelum ini terdapat pelbagai kes di mana kad pengenalan sementara dan berwarna merah juga dapat didaftarkan sebagai pengundi oleh SPR.

Apakah jaminan kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak diberikan kad pengenalan biru dan dapat mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam daftar SPR?

Kerajaan perlu telus untuk memaparkan jumlah yang diminta oleh setiap sektor pekerjaan. Dan apakah peluang pekerjaan tersebut tidak boleh diisi rakyat tempatan?

Krisis ekonomi yang sedang melanda Indonesia dan Thailand tidak harus dipandang ringan. Dengan kebanjiran 1.4 warga Bangladesh ini, apakah rakyat Malaysia perlu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, lebih-lebih lagi sekiranya kemerosotan ekonomi berlaku.

Rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera dan kaum Melayu harus peka kepada isu ini. Terlalu banyak contoh di negara kita di mana warga asing yang beragama Islam dan mengambil keputusan untuk memeluk Islam mengambil kesempatan semata-mata untuk dilihat sebagai seorang Bumiputera dan Melayu untuk menikmati hak-hak sebagai rakyat Malaysia. Mereka tidak akan memilih untuk menjadi orang Cina dan India atau bangsa lain.

Sekiranya situasi ini berterusan, anak-anak kita akan bersaing dengan anak-anak warga asing ini terutamanya dari pelbagai segi sosial dan ekonomi.

Kerajaan perlu memastikan masalah pengangguran di dalam negara diselesaikan dahulu. Jangan kerana semata-mata ada industri yang inginkan buruh murah, maka kedaulatan negara digadaikan. Kerajaan seharusnya mencari penyelesaian bagaimana rakyat sendiri boleh memenuhi ruang pekerjaan ke dalam industri yang memerlukan tenaga buruh rendah dan bukannya dengan mengambil jalan mudah dengan mengambil 1.4 juta warga Bangladesh.

Apakah ini satu lagi cara untuk pihak tertentu mengaut keuntungan hasil daripada komisyen membawa masuk warga Bangladesh yang ramai ini?

Mohon kerajaan BN menjawab.

Beri pendidikan percuma, tolak PTPTN – Pemuda PR

Harakahdaily, 22 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat menganggap keputusan kabinet semalam yang menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN mulai bulan ini adalah hasil kejayaan perjuangan rakyat sehingga kerajaan tunduk dengan tekanan semua pihak.

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua DAPSY, Teo Kok Siong dalam kenyataan bersama.

Bagi Pemuda PR, keputusan kabinet belum cukup melegakan peminjam PTPTN kerana mereka masih lagi terbelenggu dengan hutang yang perlu dijelaskan.

“Pengumuman kerajaan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga atau sekadar tindakan politik bagi meredakan kemarahan rakyat,” ujarnya mereka.

Kenyatan penuh seperti di bawah.

Pemuda Pakatan Rakyat menganggap keputusan kabinet semalam yang menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN mulai bulan ini adalah hasil kejayaan perjuangan rakyat sehingga kerajaan tunduk dengan tekanan semua pihak.

Bagi Pemuda PR, keputusan kabinet belum cukup melegakan peminjam PTPTN kerana mereka masih lagi terbelenggu dengan hutang yang perlu dijelaskan.

Pengumuman kerajaan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga atau sekadar tindakan politik bagi meredakan kemarahan rakyat.

Peminjam PTPTN masih lagi diburu, diambil tindakan-tindakan lain serta dipaksa menjelaskan hutang mereka sekalipun belum mampu melangsaikannya.

Apa yang diketahui, sebahagian besar peminjam PTPTN masih belum keluar dari kemelut ekonomi yang mencengkam hidup mereka akibat kos sara hidup yang tinggi, tiada pekerjaan tetap, pendapatan yang tidak mencukupi atau di bawah tahap kelayakan mereka, selain menampung keluarga dan keperluan-keperluan lain.

Rakyat sebenarnya menginginkan pengumuman kerajaan lebih daripada membatalkan cadangan PTPTN melaksanakan CCRIS.

Golongan belia mahukan peminjam PTPTN diberi kelonggaran atau fleksibility dalam pembayaran hutang atau dikurangkan jumlah pembayaran ke tahap yang memuaskan.

Perbincangan perlu dibuat bagi keselesaan antara golongan belia dengan pihak kerajaan supaya tidak wujud jurang serta ketidak puasan hati antara rakyat dengan kerajaan.

Pemuda PR mendesak agar diwujudkan lebih banyak bantuan kewangan seperti biasiswa kepada mahasiswa segenap peringkat.

Kerajaan perlu melabur dalam aspek pendidikan melalui pemberian biasiswa kerana rakyat adalah aset negara dan pendidikan yang mereka perolehi disumbangkan pula untuk negara di kemudian hari.

Tidak ada salahnya kerajaan berbelanja besar dalam sektor pendidikan demi rakyat kerana rakyat itu jugalah yang akan memberi hasil kepada negara.

Pemuda PR menegaskan, komitmen PR untuk memberikan pendidikan percuma adalah agenda utama yang akan diperjuangkan sehingga akhirnya ianya akan dilaksanakan.

Dengan pendapatan dan hasil negara yang banyak, agenda ini bukan mustahil untuk dilaksanakan malah ianya mampu dilaksanakan sekiranya kerajaan mahu.

Pendidikan percuma adalah impian dan aspirasi rakyat kerana ia adalah keperluan utama rakyat dan PR bertekad tidak ada rakyat yang tercicir mendapat pendidikan sehingga ke tahap tertinggi denagn kemudahan percuma yang semua rakyat di negara ini boleh miliki.

Kelantan agresif penerangan ke pedalaman

Aslani M, 22 Ogs 2013
KOTA BHARU: Mengambil kira kawasan pedalaman di Kelantan kurang mendapat info mengenai kerajaan negeri, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) merancang memperkasakan lagi peranannya.

Antaranya memberi tumpuan melalui program penerangan, aktiviti pemimpin bersama rakyat dan ramah mesra secara lebih agresif di kawasan terbabit.

Selain itu UPKN juga merancang mewujudkan Unit Hubungan Serantau dan membuka pejabat cawangan di luar Kelantan.

Pengarahnya, Wan Yusoff Wan Mustapha (gambar) berkata, Unit Hubungan Serantau diwujudkan bagi membolehkan anak-anak Kelantan yang tinggal di merata tempat mendapat info lebih tepat mengenai kerajaan negeri.

“Anak-anak perantau tinggal di seluruh pelusuk negara. Dengan ada unit khas membolehkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Pejabat cawangan dirancang diwujudkan di Kuala Lumpur.

“UPKN dengan kerjasama sama Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) menyalurkan lebih banyak maklumat dan menganjurkan pelbagai program,” katanya di sini.

Menurutnya unit tersebut akan diketuai seorang Penolong Pengarah dengan dibantu pegawai dan pembantu.

UPKN sekarang mempunyai tiga unit iaitu Penerangan, Penerbitan dan Multimedia dengan bilangan pegawai dan kakitangan seramai 29 orang. Ia diwujudkan sejak 1990.

Selain itu kerajaan negeri juga mempunyai Urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan NGO serta Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.

Wan Yusoff juga berkata, UPKN memberi fokus lebih kepada kawasan di pedalaman memandangkan penduduk di kawasan berkenaan didapati belum mendapat maklumat mendalam mengenai kerajaan negeri.

“Program turun ke bawah akan diberi tumpuan di kawasan berkenaan terutamanya Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

“Penduduk di kawasan terbabit tidak mendapat pendedahan lengkap mengenai kerajaan negeri disebabkan keupayaan penebusan internet di kawasan tersebut masih terkebelakang.

“Tumpuan sekarang mengadakan majlis-majlis penerangan, dialog, pameran dan ramah mesra pemimpin bersama penduduk,” ujarnya.

Selain itu UPKN juga merancang melihat sejauh mana maklum balas rakyat terhadap program dianjurkan kerajaan negeri melalui kajian yang akan dilakukan.

Menurutnya, maklum balas rakyat di peringkat bawah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman cukup penting bagi membolehkan kerajaan negeri merancang agenda bertindak.

Menurutnya juga kerajaan negeri merancang memperluaskan akses internet di kawasan pedalaman dengan mewujudkan rangkaian internet percuma di kawasan pusat bandar, masjid dan pusat khidmat wakil-wakil rakyat.

“Kemudahan internet cukup penting terutamanya bagi membolehkan penduduk mendapat gambaran lebih jelas mengenai sesuatu isu yang berlaku.

“Petugas unit multimedia akan menyalurkan maklumat melalui media baru termasuk facebook bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat segera,” ujarnya.

Sebelum ini Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menjelaskan antara faktor PAS gagal bertapak kukuh di Gua Musang dan Jeli memandangkan banyak maklumat tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

Peserta Felcra digesa semak status perjanjian

Muhammad Faeez Azahar, 22 Ogs 2013

Zamri (kiri) menjawab soalan media sambil diperhatikan Razman.

IPOH: Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) menggesa peserta menyemak semula status dan tarikh perjanjian dengan Felcra.

Pengerusinya, Razman Zakaria berkata, ini sangat penting bagi memastikan peserta tidak terus dibelenggu oleh Felcra dan hak sebenar mereka tidak disalahguna.

Menurutnya, terma perjanjian peserta dengan Felcra mengelirukan dan tidak dijelaskan secara nyata apakah bayaran yang perlu dibayar oleh peserta kepada Felcra serta berapakah amaun yang perlu dibayar sepanjang tempoh perjanjian.

Malahan katanya tempoh perjanjian juga tidak dinyatakan secara jelas kepada peserta Felcra.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, baru-baru ini, Mahkamah Majistret Lenggong telah memutuskan bahawa tuntutan kos pembangunan oleh Felcra terhadap dua orang peserta berikut ditolak dengan kos.

Asas penghujahan peserta katanya adalah berkenaan perjanjian yang ditandatangani di antara Felcra dan peserta tidak sah, tidak mempunyai kuat kuasa serta telah tamat tempoh.

Razman menjelaskan di dalam kedua-dua kes tersebut, tuntutan balas peserta untuk ganti rugi berasaskan bahawa Felcra telah melakukan pencerobohan terhadap tanah peserta berikutan tindakan Felcra yang terus mengusahakan tanah peserta setelah tamat tempoh perjanjian telah dibenarkan oleh mahkamah dengan kos.

"Memandangkan asas utama kes ini adalah berkenaan perjanjian, dan saya difahamkan perjanjian tersebut adalah merupakan perjanjian standard yang digunakan oleh Felcra di seluruh negara.

"Bapa mengesyorkan agar peserta-peserta Felcra di seluruh negara menyemak kembali perjanjian mereka dgn Felcra Bhd terutama tempoh perjanjian," katanya dalam satu sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, peguam, Zamri Ibrahim menggesa agar semua peserta berhati-hati jika Felcra meminta peserta menandatangani apa-apa dokumen untuk memperbetulkan perjanjian yang telah ditandatangani terutamanya perjanjian tambahan.

Ianya kata beliau sangat penting untuk mempertahankan hak mereka masing-masing daripada sebarang risiko.

"Saya peguam mewakili Bapa menasihati peserta agar dapat merujuk kami sebelum menandatangani sebarang dokumen serta perjanjian tambahan.

" Jika perjanjian telah tamat tempoh dan peserta ingin mengusahakan sendiri dan tidak mahu lagi bersama Felcra bolehlah berbincang dengan pihak kami berkenaan apa yang perlu dilakukan.

"Hubungi kami 01113300183 dan kami sudi membantu peserta bagi mengelak daripada terus dibelenggu Felcra," jelas Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak itu.

Pemuda PAS serah sumbangan bantu rakyat Mesir

Harakahdaily, 22 Ogs 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa prihatin dengan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Mesir dalam tragedi yang menyayat hati.

Operasi pembantaian rakyat Mesir oleh rejim kudeta Mesir mencatat korban syuhada di Mesir seramai lebih 2,500 manakala 10,000 orang cedera.

Tentera Mesir bersikap kejam terhadap rakyatnya sendiri sehingga ada yang didera dengan begitu zalim dan mati dalam tahanan dan ada yang di bakar hidup-hidup.

Terpanggil dengan penderitaan itu, DPPM telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM45,000 kepada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Islam Mesir (ILMAM) bagi membantu umat Islam di Mesir.

“Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada umat Islam Mesir untuk keperluan mereka di sana termasuk membeli ubat-ubatan, pakaian, makanan, membiayai anak-anak yatim, ibu tunggal, dan lain-lain lagi,” ujar Bendahari DPPM, Ir Muhd Khairil Nizam Khiruddin.

Katanya, sumbangan itu diserahkan oleh beliau bersama Khairul Faizi Ahmad Kamil selaku Setiausaha DPPM kepada AJK Ilmam, Ustaz Abdul Rahman Tharin. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut adalah Ust Syed Abdul Kadir Al Joffre selaku Naib Presiden ILMAM serta AJK ILMAM. (Gambar atas)

"Sumbangan ini adalah sedikit perkongsian kesedihan dan tangisan umat Islam seluruh dunia selain doa dan munajat yang dipanjatkan setiap hari untuk kesejahteraan mereka di sana," ujarnya lagi.

BN tidak berminat dalami masalah hutang anak muda

Harakahdaily, 22 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

Justeru, PKR memandang berat cadangan PTPTN yang dibawa oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS yang diumumkan minggu ini.

Demikian ditegaskan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Ahmad dalam satu kenyataan media, sebagaimana di bawah.

PKR memandang berat cadangan PTPTN yang dibawa oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS yang diumumkan minggu ini. Walaupun Barisan Nasional akhirnya tunduk kepada bantahan mendadak rakyat, cadangan yang dibawa menteri itu menunjukkan bahawa Barisan Nasional begitu terpisah dari realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan oleh PTPTN ini.

Sehingga kini, kita tidak pernah dimaklumkan sama ada sebarang kajian khusus telah dibuat oleh PTPTN atau Barisan Nasional untuk memahami apakah sebab-sebab sebenar kenapa majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran untuk membayar PTPTN.

Kerajaan Persekutuan juga tidak pernah mengumumkan perincian-perincian berikut yang sangat penting untuk memahami masalah ini dengan menyeluruh agar langkah susulan itu tepat dengan punca masalahnya, iaitu:

1.      Profail pendapatan bulanan bersih peminjam-peminjam PTPTN – berapa ramai yang bergaji di atas RM2,500 sebulan, berapa ramai yang bergaji di bawah RM1,000 sebulan dan lain-lain

2.      Profail kejayaan mendapatkan kerja atau mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan – berapa ramai yang masih menganggur, berapa lama diperlukan sebelum mendapat kerja yang setimpal, berapa orang pemegang ijazah yang mendapat kerja berkelulusan lebih rendah seperti diploma dan lain-lain

3.      Profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang mendapat kerja – berapa ramai peminjam yang berakhir dengan ijazah yang tidak diiktiraf, berapa banyak kolej yang tidak menyediakan kemudahan bertaraf university, peratusan kejayaan graduan kolej-kolej swasta dan IPTS mendapat kerja selepas tamat pengajian

Ini adalah contoh-contoh maklumat yang sangat diperlukan untuk membentuk satu pemahaman yang adil mengenai masalah keberhutangan golongan muda.

Barisan Nasional tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi pandai-pandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat-maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu, PKR akan merintis jalan ke arah memahami masalah keberhutangan peminjam PTPTN dengan melancarkan kajiselidik keberhutangan peminjam PTPTN untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang disenaraikan di atas. Kajiselidik ini boleh disertai oleh semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di internet bermula esok, 23 Ogos 2013. Kajiselidik ini akan disebarkan melalui laman-laman sosial, Twitter dan blog.

Keputusan dari kajiselidik awal ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan tweetup #PTPTN yang akan diadakan pada hari Khamis, 29 Ogos 2013 jam 830 malam di Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya. Semua peminjam/aktivis anti-PTPTN dan pimpinan masyarakat dijemput turut serta di dalam tweetup tersebut yang turut bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

Sudah tiba masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelakkan berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian CCRIS.

Najib diminta jelaskan pelantikan Shahrizat

Hazayani Zakaria, 22 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) meminta Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan berhubung kewajaran pelantikan bekas menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri dalam isu wanita.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, seperti kebiasaan, seseorang yang dilantik menjadi penasihat kepada perdana menteri atau mana-mana kementerian akan diberikan elaun atau gaji serta kemudahan-kemudahan lain.

Justeru tegasnya Najib harus memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana bayaran kepada jawatan Shahrizat akan melibatkan wang rakyat.

"Perdana menteri mestilah memberikan penjelasan kerana pelantikan ini adalah satu pembaziran.

"Kita sudah ada kementerian wanita jadi untuk apa wujudkan kedudukan penasihat yang akan jaga hal-hal wanita juga? Wajarkah wang rakyat yang membayar cukai digunakan untuk membayar elaun penasihat yang tidak penting?" kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Aiman juga berkata, pelantikan Shahrizat itu memberikan tamparan hebat kepada Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim.

Pelantikan itu katanya secara tidak langsung menunjukkan seolah-olah Najib tidak yakin dengan kredibiliti Rohani menerajui kementeriannya.

"Tidakkah ini memberi tamparan yang hebat kepada menteri yang sedia ada dan menunjukkan Najib seolah-olah tidak meletakkan kepercayaan kepada menteri yang ada untuk melaksanakan tugasnya?

"Atau adakah Rohani dilantik hanya untuk mengambil hati orang Sarawak memandangkan Rohani dari Sarawak?" soalnya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan pelantikan Shahrizat ada hubung kait dengan pemilihan Umno pada Oktober depan.

"Mungkin ini merupakan permainan politik dalam Umno sendiri Mungkin Najib terpaksa memberikan jawatan tersebut kepada Shahrizat atas desakan wanita Umno yang pro Shahrizat.

"Jawatan utama termasuk persiden akan dicabar jadi bagi memastikan wanita memberikan sokongan kepada beliau, Shahrizat harus diberikan jawatan khas," katanya.

Tambah Aiman juga, pelantikan itu juga dilihat sebagai penyambung kepada karier politik Shahrizat yang hampir musnah akibat terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan anggota keluarganya.

Shahrizat sebelum ini pernah dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri berhubung hal ehwal pembangunan wanita dan sosial pada 2008, walaupun beliau tewas dalam PRU12 pada tahun itu.

Petisyen Dun Bukit Baru ditangguh 5 Sept

Ahmad Danial, 22 Ogs 2013
MELAKA: Hakim Mahkamah Pilihanraya hari ini menangguhkan keputusan bantahan PAS terhadap petisyen BN bagi Dun Bukit Baru kepada 5 September depan.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim tersebut membuat keputusan tersebut sebentar tadi.

Perbicaraan berlangsung di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini bermula jam 10.00 pagi.

Pasukan peguam BN diketuai oleh Datuk Hafarizam Harun manakala PAS diwakili oleh Zulkhairi Mohamad.

Antara pimpinan PR yang hadir di mahkamah hari ini ialah Adun Bukit Baru, Dr Khalid Kassim; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin dan calon BN yang tumbang di Parlimen Bukit Katil, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Nahas bas: MB K'tan cadang bantuan kepada keluarga

Salmiyah Harun, 22 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas kemalangan yang berlaku semalam wajar menerima bantuan dan sokongan bagi meringankan bebanan ekoran musibah yang dihadapinya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, ia memandangkan angka kematian ekoran nahas terbabit lebih daripada 30 orang dan paling buruk dalam sejarah negara.

Beliau berkata demikian sebagaimana dipetik dalam laman sosial Facebooknya yang turut mendapat respons orang ramai dan mempersetujui cadangan beliau itu.

Sehubungan itu, beliau berharap agar siasatan punca nahas dapat dilakukan secepat mungkin agar ia menjadi iktibar dan pengajaran di masa akan datang.

Di kesempatan itu juga beliau merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam insiden kemalangan bas henti-henti yang terjunam ke dalam gaung sedalam 150 meter dari Genting Highlands.

Kemalangan yang melibatkan bas henti-henti pada 2.25 petang semalam yang meragut 37 nyawa antara kemalangan yang paling buruk dalam sejarah negara ini sejak 17 tahun yang lalu.

Kemalangan itu juga mengakibatkan 16 orang cedera dengan 14 daripada mereka dilaporkan kritikal. Mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (HKL) lima, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa.

Bas yang membawa 53 penumpang dikatakan hilang kawalan 100 meter sebelum melanggar tebing dan jatuh ke dalam gaung.

Tiada ulasan: