Jumaat, 30 Ogos 2013

SEKALI FIKIR BETUL TAPI YANG SYUHADA' DISISI ALLAH SWT....MEREKA BERUNTUNG KERANA ALLAH SWT KURNIAKAN SYURGA...KERANA ITU ALLAH JANJIKAN...ALLAH TIDAK MUNGKIR JANJI

Krisis Mesir : Nyawa rakyat Mesir tidak berharga
Posted on Thursday, August 29 @ 20:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering



*Identiti Penganalisis Sosiologi Mesir dirahsiakan atas faktor keselamatan.

SINAR Harian memulakan kupasan isu di Mesir sejak dari hari penggulingan Presiden Mohamed Mursi pada 3 Julai. Susulan daripada itu kupasan demi kupasan dilakukan hingga memaparkan penderitaan rakyat di Mesir.

Pendekatan pandangan saintis politik juga diambil kira bagi mengimbangi kisah krisis di negara itu. Kini, Sinar Harian menemu ramah seorang lagi penganalisis dari Mesir yang pakar dalam bidang kajian ‘Arab Spring’ sejak 2010.

Beliau melontarkan pandangan bebas dan membawa suara harapan rakyat di negara itu. Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita Farush Khan, Ketua Meja Global Liza Hasan, jurufoto Rosli Taib, jurukamera Md Nidzam Osman dan Yusrizal Yusuf.




[SAKSIKAN VIDEO WAWANCARA DI SINAR TV : http://bit.ly/17lqrUE]

Apakah permintaan dan harapan saudara untuk masa depan di Mesir ketika ini?

Apa yang kami mahu sangat mudah. Permintaan utama adalah demokrasi dan rakyat bersatu. Jika dahulu kami sering berbicara tentang negara dan empayar kegemilangan Islam, tetapi kini, kami tidak lagi dibenarkan bercakap mengenai kerajaan Islam. Kami disekat daripada bercakap mengenai empayar Islam. Kami juga tidak boleh bercakap mengenai Ikhwanul Muslimin (IM).

Adakah tindakan kerajaan sementara kini membunuh demokrasi yang hanya bertahan setahun ketika pemerintahan Mursi?

Demokrasi di Mesir tercalar akibat tindakan kerajaan sementara. Mereka melakukan keganasan hingga rampasan kuasa ketika Mesir berada dalam pemerintahan demokrasi. Perkara ini amat merbahaya bukan sahaja untuk Mesir tetapi untuk mana-mana negara lain.


Adakah demokrasi benar-benar diamalkan di Mesir ketika pemerintahan Mursi kerana beliau dikecam dan digelar sebagai diktator?

Itu tidak benar. Rakyat yakin demokrasi mampu memerintah dan mereka melakukan pemilihan secara pilihan raya. Pada pilihan raya pusingan pertama, parti Islamis mendapat 75 peratus. Pada Pilihan Raya Parlimen, IM mendapat 40 peratus secara tunggal dan 25 peratus diperoleh oleh kumpulan salafi, lima peratus memihak kepada parti-parti lain. Ini menyaksikan satu perkembangan baik; membawa kesemua parti ke arah demokrasi dan mereka dapat menerimanya. Tetapi jika demokrasi dihentikan, ini bermakna mereka memberi mesej kepada rakyat bahawa demokrasi gagal berperanan sekali gus mengembalikan semula kepada era pemerintahan tentera.

Adakah perkara ini memberi tamparan kepada Mesir?

Perkara ini memberi kesan negatif kepada seluruh negara Islam kerana menjadikan contoh Mesir sebagai negara Islam yang gagal dalam pelaksanaan demokrasi. Mereka mengambil demokrasi dari rakyat dengan cara keganasan.

Adakah benar tentera melakukan keganasan pada 13 dan 14 Ogos di Dataran Rabaa Adawiyah, Nadha dan Tahrir?

Dataran Tahrir menjadi pilihan kerana di situ pernah berlaku revolusi pada 21 Januari 2011. Ketika perhimpunan mega dataran ini dikuasai oleh pro kerajaan yang mahu menunjukkan mereka mempunyai ramai pengikut. Pro Mursi pula tidak mahu membuat kekecohan dan tidak mahu membuat sebarang konflik. Bagi mengelakkan perkara itu, mereka memilih dataran Rabaa Adawiyah di Kaherah dan Dataran Nadha di Giza. Mereka mahu menunjukkan perhimpunan ini adalah aman. Mereka juga mahu menunjukkan jutaan rakyat menyokong Mursi, sekali gus membuktikan ini adalah kuasa dan suara rakyat.

Apa yang berlaku di situ?

Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi. Ramai rakyat tidak sedar tentang gempur dan pembersihan di kawasan itu kerana Menteri Dalam Negeri (Mohamed Ibrahim), memberi jaminan tidak akan menyerang Rabaa Adawiyah. Beliau berjanji menyuraikan kumpulan pro Mursi yang berhimpun secara aman. Ketika itu ada sebilangan mereka pulang ke rumah. Namun penyokong Mursi berasa tertipu dan ragu-ragu dengan kehadiran puluhan trak tentera dan kereta perisai. Tiba-tiba serangan berlaku.

Adakah benar tentera melakukan keganasan?

Serangan itu berlanjutan selama 11 jam. Selama itulah pro Mursi cuba mempertahankan diri. Bayangkan bagaimana rakyat dengan tangan kosong boleh mempertahankan diri? Tentera datang membawa kereta perisai dan bulldozer yang biasanya digunakan dalam peperangan. Untuk apa tentera datang membawa bulldozer? Ini bermakna tentera berniat ‘membersihkan’ rakyat yang berhimpun dan membawa mereka ke kawasan tertentu. Tentera mempunyai niat untuk membunuh rakyat sendiri.
Seorang pegawai perubatan mengesahkan tentera membunuh rakyat dengan peluru terlarang oleh negara antarabangsa. Tentera menggunakan senjata berat. Selepas itu, tentera juga pergi ke klinik yang dipenuhi mangsa cedera lalu membunuh mereka. Sedangkan, Nabi SAW sendiri pernah bersabda, jika musuh cedera, jangan diapa-apakan lagi.

Apakah tindakan paling kejam dilakukan dan mengapa jumlah kematian dipalsukan?

Tentera pergi ke klinik yang sarat dengan mangsa cedera. Mereka menggunakan bulldozer meroboh dan membakar klinik. Tindakan itu dilakukan supaya jumlah mangsa maut tidak boleh dikira. Oleh itu, mereka hanya mengatakan jumlah kematian 900 orang, sedangkan angka sebenar ialah 5,000 orang maut dan 10,000 lagi cedera.

Adakah mereka mengugut waris ketika ingin mengambil jenazah?

Apabila anggota keluarga mahu mendapatkan kebenaran pengebumian, mereka ditawarkan dua pilihan. Pertama melaporkan, IM membunuh mereka dan kedua mereka meninggal dunia dengan cara membunuh diri. Ramai terpaksa menggunakan alasan membunuh diri untuk mendapatkan kembali mayat anak atau saudara mereka. Pengakuan ini banyak disebarkan ke media.


Adakah benar mereka menculik dan membakar jenazah?

Mereka menculik jenazah dan menipu kononnya jenazah itu adalah tentera dan polis. Jika ada mengatakan kematian ke atas polis menjangkau 25 peratus sila kemukakan bukti.

Adakah IM punca segala kekecohan ini?

Tuduhan itu adalah pembohongan terbesar kerana untuk 80 tahun IM tidak pernah melakukan serangan ganas. Tetapi ketika rampasan kuasa itu, terdapat kumpulan jihad dari pro keganasan, Jamaah Islamiyah, Al Qaeda. Jadi ketika rampasan kuasa itu, mereka semua berada di situ. Tuduhan mengatakan IM melalukan demonstrasi ini adalah permulaan segala kekufuran untuk melabelkan IM mengetuai keganasan. Di Mesir, terdapat lima kumpulan Islamis. Ada kumpulan bukan pengganas seperti IM Muslimin. Tetapi ada juga kumpulan pengganas seperti Al Qaeda. IM hanya satu bahagian daripada kumpulan bersekutu yang menentang rampasan kuasa bagi memulihkan kesahihan. Kumpulan ini diwujudkan oleh 30 kumpulan anggota. Tidak adil untuk menuduh IM melakukan keganasan kerana IM telah wujud sekian lama dan tidak pernah menyokong atau melakukan keganasan.



Sumber : Sinar Harian
29 Ogos 2013

GST: Jangan aniaya rakyat kerana kelemahan BN

Harakahdaily, 30 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dengan ekonomi serantau yang semakin tidak menentu dan kejatuhan ringgit yang mendadak, melepasi 8 peratus tahun ini, PAS berasa amat tidak wajar bagi kerajaan untuk melaksanakan GST.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, GST bakal memberikan tekanan kos hidup pada rakyat, terutamanya golongan pendapatan pertengahan ke bawah di kawasan bandar lebih-lebih jika kegawatan ekonomi berlaku.

“Jangan kerana kelemahan pentadbiran kerajaan BN, rakyat dianiaya secara berganda dengan penarikan balik subsidi daripada program rasionalisasi subsidi dan kemudian dipaksa membayar lebih untuk barangan keperluan melalui GST di dalam Bajet 2014,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh beliau. Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan penyelesaian kepada masalah-masalah yang membawa ekonomi negara ke tahap yang membimbangkan hari ini di mana hutang negara hampir melepasi paras 55% KDNK (Keluaran Negara Dalam Kasar) dan fiskal defisit yang mencecah RM14.9 bilion.

Meningkatkan pendapatan negara melalui GST tidak berguna tanpa penyelesaian sebenar kepada punca ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan projek tanpa tender yang menyebabkan perbelanjaan kerajaan melambung tanpa kawal.

Contoh terbaik yang boleh dilihat rakyat ialah pada projek KLIA2. Projek KLIA2 yang sehingga kini tidak diketahui tarikh siap telah memperlihatkan kosnya meningkat lebih 2 kali ganda daripada RM1.7 bilion pada 2009 semasa ia dimulakan kepada RM4 bilion pada tahun ini.

Apa gunanya pendapatan negara ditingkatkan tanpa menutup ruang kebocoran kewangan di dalam sistem pentadbiran negara?

GST tidak boleh menyelesaikan masalah ekonomi negara yang berpunca daripada ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan projek tanpa tender.

Tanpa pengurusan kewangan yang cekap dan efektif, apa-apa cara mempelbagaikan pendapatan kerajaan hanya merugikan rakyat kerana duit lebih yang dijana akhirnya akan terbazir begitu sahaja di dalam sistem pentadbiran yang penuh kebocoran tanpa membawa manfaat kepada ekonomi negara.

Dengan ekonomi serantau yang semakin tidak menentu dan kejatuhan ringgit yang mendadak, melepasi 8 peratus tahun ini, PAS berasa amat tidak wajar bagi kerajaan untuk melaksanakan GST.

GST bakal memberikan tekanan kos hidup pada rakyat, terutamanya golongan pendapatan pertengahan ke bawah di kawasan bandar lebih-lebih jika kegawatan ekonomi berlaku.

Jangan kerana kelemahan pentadbiran kerajaan BN, rakyat dianiaya secara berganda dengan penarikan balik subsidi daripada program rasionalisasi subsidi dan kemudian dipaksa membayar lebih untuk barangan keperluan melalui GST di dalam Bajet 2014.

Jika kerajaan boleh memikirkan cara seperti meletakkan para peminjam PTPTN di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) (Alhamdulilah, ia sudah ditolak kini) untuk mendapat kembali wang, mengapa kerajaan tidak mahu berusaha memikirkan cara menutup kebocoran kewangan di dalam sistem pentadbiran dan berusaha mendapatkan kembali duit kerajaan yang dibazirkan seperti yang tertera di dalam laporan tahunan audit negara?

Jenayah meningkat, di mana silapnya?

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail ,
Jenayah menjadi-jadi dan mengerunkan kita, begitu juga kemalangan jalan raya yang boleh dikatakan setiap hari berpuluh pengguna jalan raya dan lebuh raya terbunuh. Begitu juga masalah sosial yang semakin hari semakin menjadi-jadi terutama sekali dalam kalangan remaja.

Dimana silap dan salahnya kita hingga berlaku sedemikan rupa walaupun negara kita dikategorikan sebagai sebuah negara yang aman dan damai kerana tiada peperangan atau rusuhan kaum hingga membawa kepada perang saudara saperti dinegara-negara Islam yang lain di.

Adakah kerana kita tidak mahu menghayati agama Islam sepenuhnya atau seikhlasnya maka bala didatangi dari berbagai-bagai sudut supaya manusia balik kefitrah menginsafi dan kembalikan hak Islam itu kepesadanya kembali.

Atau kerana tiadanya penguatkuasaan yang tegas tentang pendatang yang dikatakan halal ataupun haram menjadikan salah satu sebab utama berlakunya jenayah. Kalau 30 tahun dahulu untuk melihat pendatang asing boleh dikira dengan jari dan itu pun pelancong dan pekerja yang benar-benar berkerja sebagai buruh binaan sahaja. Sekarang ini seolah-olah pendatang yang bermacam rupa dan bentuk manusia telah kelihatan lebih ramai dalam Komuter atau LRT dibandar-bandar besar daripada rakyat tempatan kita sendiri.

Jenayah bunuh membunuh, rogol, rompak dan samun seolah-olah telah menjadi amalan mereka hingga rakyat dinegara ini rasa terancam dan tidak begitu selamat lagi. Begitu juga kemalangan di jalan raya seolah-olah tunggu masa menunggu giliran siapa pula yang akan menjadi korban mati. Yang dikhuatiri orang yang memandu secara selamat menjadi mangsa kepada pemandu yang rakus dan tidak sayangkan nyawa.

Apa sudah jadi dengan remaja kita kerana ramai sudah memenuhi pusat serenti dan ramai lagi menunggu giliran untuk kesana. Penagih semakin hari semakin ramai dan untuk teruskan hidup dengan dadah mereka yang ketagih tegar ini terpaksa meragut, merompak dan ketahap membunuh serta menyamun keluarganya sendiri. Itu satu hal tetapi apa yang membimbangkan bukan lagi pergaulan bebas tetapi seolah-olah berlakunya seks bebas dimana-mana hingga ada sumbang mahram saperti bapa kandungnya merogol anaknya sendiri. Institusi kekeluargaan sudah longgar iaitu anak-anak tidak lagi menghormati ibu bapanya.

Walauapapun kita mesti kembali kepada syariat Islam untuk mengatasi semua ini. Pertama sekali benteras dahulu amalan rasuah secara total dan hukumkan seberat-beratnya kepada pelaku dan jangan hanya bermusim sahaja.Tegakkan balik segala ajaran Islam kerana ia benteng kuat daripada berlakunya musibah yang dihadapi sekarang ini.
Syiah: PR tolak kerana bercanggah hukum
  • Ahmad Yahaya Ahmad Yahaya
1 / 1
ALOR SETAR - PR menegaskan bahawa keputusan untuk menolak enakmen berkaitan anti Syiah pada persidangan Dun baru-baru ini bukan disebabkan masalah Syiah, tetapi kerana Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 yang diperkenalkan adalah bertentangan dengan Syariah sebenar.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, penolakan keputusan itu juga tidak ada kaitan sama ada penyokong PR terlibat dalam fahaman itu.


Fasal 17

“Kami menolak kerana Rang Undang-undang ini bertentangan di beberapa fasal dengan Syariah yang sebenar. Contohnya pada fasal ke 17 yang menyentuh berkenaan dengan meminum minuman memabukkan.

“Disebut di sini, apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Padahal, dalam undang-undang Islam, orang yang minum arak perlu disebat. Sekurang-kurangnya, sebutlah perkataan sebat,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Pokok Sena, semalam.


Fasal 21

Menurutnya, fasal ke 21 yang berkaitan persetubuhan luar nikah (zina) juga bertentangan dengan Syariah yang sebenar apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Dalam undang-undang Islam yang sebenar ialah disebat atau bagi yang sudah berkahwin berdasarkan hadis ialah direjam, itu hukuman yang sebenar.


Fasal 37

“Kemudian pada fasal ke 37 yang menyentuh berkenaan Qazaf. Hukuman yang disebut ialah didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ayat ALLAH menyebut, sekiranya tidak boleh mengemukakan empat orang saksi, maka si pelaku ini hendaklah disebat 80 kali sebatan. Ini hukuman Syariah yang sebenar,” katanya.

Beliau yang juga Adun Alor mengkudu turut menegaskan bahawa percanggahan itu menyebabkan semua Adun PR terpaksa menolak Rang Undang-undang tersebut yang jelas bertentangan dengan hukum Syariah.

“Macam mana kami nak terima. Dalam hal ini, kami tidak bersedia sekiranya selepas undang-undang ini dilaksanakan kerana diluluskan oleh Adun, dan pada satu ketika orang yang didakwa mohon supaya digunakan hukum Syariah yang sebenar, maka Adun-Adun yang akan bertanggungjawab.

“Kalau kami mati pun, kamilah yang kena tanggung hukuman yang tidak betul kepada semua,” katanya.


Fasal 7 & 8

Tambahnya, fasal 7 dan 8 berkenaan mempersendakan ayat-ayat al-Quran dan menyebabkan Islam dipandang hina juga perlu disemak semula.

“Tidakkah dengan memasukkan fasal 17, 21 dan 37 dalam enakmen ini menyebabkan Islam dan al-Quran dipersenda kerana tidak buat yang sebenar. Memang Exco Agama, Mohd Rawi Hamid menyatakan bahawa Syiah ini kita perlu hadapi bersama kerana ia satu kesalahan dan kesilapan.

“Tetapi, Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 yang dinyatakan tidak dapat lari dari angka tiga, lima dan enam yang cukup bertentangan dengan apa yang kita sebut berdasarkan hukum syarak dan Syariah yang sebenar,” katanya.


Tiada perkataan Syiah

Ahmad berkata, sepanjang pembacaan beliau pada buku Rang Undang-undang yang diberikan juga tidak terdapat satu pun perkataan Syiah.

“Saya baca dari muka depan hingga belakang, tidak jumpa pun perkataan Syiah dalam rang undang-undang. Fasal mana dan berapa yang boleh dikatakan berkaitan dengan Syiah ini,” katanya.
Mayat bayi dalam loji kumbahan
  • Mayat bayi dalam loji kumbahan Keadaan mayat bayi yang ditemui terapung dalam loji kumbahan, pagi semalam.
1 / 1
TELUK GADUNG – Warga kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi ditemui dalam loji kumbahan berdekatan Kolej Redang, dekat sini, pagi semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di permukaan loji kumbahan oleh seorang juruteknik syarikat kontraktor, 39, yang ingin memulakan kerja pembersihan di kumbahan tersebut.

Mayat bayi perempuan yang mungkin baru dilahirkan itu dipercayai agak lama dan berkemungkinan masuk ke dalam loji kumbahan itu melalui saluran najis berukuran kira-kira 20 sentimeter dari tandas asrama.

Pemeriksaan awal mendapati bayi terbabit mengalami kecederaan pada bahagian badan, lengan dan tengkorak kepala pecah dan ia berkemungkinan berusia dalam tempoh 48 jam.

Siasatan awal polis mendapati kawasan kejadian berpagar dan dipercayai tidak berkunci semasa kejadian.

Mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hosital Dungun untuk pemeriksaan lanjut serta dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah ketika mengesahkan kes berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut termasuk melihat rakaman kamera tertutup (CCTV) serta menyoal siasat beberapa saksi yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut Ismail, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Rektor UiTM Dungun, Profesor Madya Dr Abdol Samad Nawi ketika dihubungi berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

"Kita tak boleh komen apa-apa, biarlah polis siasat dahulu kes ini kerana ia adalah kes polis,” katanya.
Pelayan kedai makan didakwa rogol kenalan
  • Pelayan kedai makan didakwa rogol kenalan Tertuduh keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah merogol kenalannya.
1 / 1
KOTA BHARU - Seorang pelayan kedai makan di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol kenalannya yang juga remaja bawah umur, Jun lalu.

Muhammad Iskandar Ismail, 19, dari Kampung Pauh, Jalan PCB di sini, didakwa merogol remaja 14 tahun lima bulan itu di kampung berkenaan pada jam 1 pagi.

Dia dituduh di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus oleh pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilawani Mat Rifin.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada prosiding semalam, dia mengaku tidak bersalah.

Susulan itu, hakim menetapkan sebutan semula pada 2 Oktober depan. Sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh dan memohon tarikh untuk menunggu laporan perubatan dan kimia mangsa.

Tiada ulasan: