Kenapa syaitan jadikan bilik air sebagai rumah
Detik Islam, | 22 Ogs 2013 |
Sebuah
hadis, Rasulullah SAW bercerita bahawa Iblis meminta tempat tinggal
kepada Allah SWT seperti halnya Allah SWT memberikan tempat tinggal
anak-anak Adam berada di bumi.
'' Ya Allah, adam dan keturunannya Engkau beri tempat tinggal di bumi, maka berilah pula aku tempat tinggal,'' kata iblis.
Allah SWT berfirman;'' Tempat tinggalmu adalah air (bilik mandi atau jamban),'' (HR. Bukhari).
Dari situlah kemudian iblis menggoda setiap orang yang memasuki rumahnya yang berupa bilik mandi, jamban atau tandas.
Godaan iblis bermacam cara. Contohnya menggoda manusia agar;
1. Berada lama di dalam bilik mandi.
2. Bernyanyi atau berkata-kata.
3. Bermain-main air atau sesuatu yang lain (bawa i-pod mendengar muzik).
4. Membisik seseorang supaya kencing sambil berdiri.
5. Membiarkan baju yang kotor tergantung dalam bilik mandi.
6. Melupakan seseorang untuk berdoa ketika akan masuk atau keluar dari bilik mandi.
7. Melakukan perkara tidak sopan.
8. Melakukan Wuduk sambil telanjang.
9. Menconteng dinding bilik mandi.
10. Merancang kejahatan.
Oleh
itu berhati-hatilah sewaktu berada di dalam bilik air atau bilik
mandi. Tips yang baik adalah dengan mandi, buang air dan lain-lain
sewajarnya saja. Lebih cepat lebih baik.
Q&A: Puasa pada Jumaat secara tunggal dalam Syawal
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 22 Ogs 2013 |
Saya sedang melakukan puasa sunat 6 Syawal bermula hari Selasa dan Rabu tetapi hari khamis saya tidak sambung berpuasa, tetapi saya ingin menyambung semula hari Jumaat tetapi hari sabtu saya tidak sambung puasa tersebut. Persoalannya adakah dibenarkan dalam Islam jika puasa hari jumaat sahaja tidak disambung dengan khamis atau Sabtu. Mohon penjelasan daripada Ustaz.
Jawapan;
Berpuasa pada hari Jumaat secara tunggal dilarang oleh Nabi SAW dalam hadisnya; "Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali ia telah berpuasa sebelumnya atau berpuasa selepasnya" (Soheh al-Bukhari; 1985, dari Abu Hurairah RA). Juwairiyah binti al-Harits RA (isteri Nabi SAW) menceritakan: Nabi SAW telah masuk menemuinya pada hari Jumaat. Pada hari itu ia (yakni Juwairiyah) sedang berpuasa. Lalu Nabi bertanya kepadanya, “Adakah kamu telah berpuasa kelmarin?” Juwairiyah menjawab, “Tidak.” Nabi bertanya lagi, “Adakah kamu ingin berpuasa besok?” Jawabnya, “Tidak.” Maka Nabi berkata kepadanya, “Berbukalah” (Soheh al-Bukhari; 1986).
Menurut ulama; larangan dalam hadis di atas adalah larangan makruh, bukan larangan haram. Dari pemerhatian saya, tidak ada ulama yang mengecualikan larangan tersebut pada bulan Syawal. Oleh itu, sebolehnya kita mengelak dari berpuasa pada hari jumaat secara tunggal termasuk dalam bulan Syawal. Namun jika kita melakukannya, puasa masih sah, kerana puasa makruh masih sah walaupun tidak digalakkan.
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
Anjing dan isu masyarakat Malaysia
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, | 23 Ogs 2013 |
Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hari raya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.
Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;
Samakan Dengan Anjing
Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.
Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah, maksudnya:
“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.
Islam Benci Anjing?
Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah, maksudnya;
“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.
Sementara dalam hadis pula, Nabi SAW bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” (Riwayat al-Bukhari).
Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.
Bolehkah muslim memiliki anjing?
Dalam al-Quran, Allah menyebut, maksudnya;
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisab-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 4)
Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.
Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.
Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah.” (Riwayat al-Bukhari).
Memelihara Anjing Dalam Rumah
Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi SAW:
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah.” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.
Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.
Q&A: Status zakat terlebih bayar
Ustaz Hamizul Abdul Hamid, | 23 Ogs 2013 |
Jawapan: Terima kasih di atas komitmen saudara dalam menunaikan zakat, sehinggakan mahu membayar lebih daripada apa yang telah pun ditaksirkan oleh pihak pegawai zakat. Mudah-mudahan Allah SWT menerima amalan saudara berkenaan dan diberikan keberkatan yang berkekalan hendaknya dalam rezeki saudara, amin.
Baiklah, demi menjawab persoalan saudara, suka dinyatakan bahawa ibadah zakat itu adalah ibadah khususi, yang sudah tertentu kaedah perlaksanaannya. Sama seperti dengan ibadah khususi yang lain, seperti solat, puasa dan haji, ia telah ditentukan oleh Islam kaedah perlaksanaannya (kaifiatnya). Maka, di sini dapat kita fahami, dalam melakukan ibadah khususi berkenaan, kita tidak boleh mengubah, mengurangkan atau menokok tambah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh syariat di dalamnya.
Maka, demikianlah kondisinya dalam ibadah zakat dan telah pun dijelaskan oleh para fuqaha bahawa, zakat adalah ibadah harta yang mestilah dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat tertentu. Salah satu syarat perlaksanaan zakat ialah, harta itu mestilah dikeluarkan dengan kadar tertentu apabila ia mencapai paras nisab. Bagi kebanyakan harta zakat, selain haiwan ternakan, produk pertanian dan harta galian, maka kadar yang wajib dikeluarkan adalah sebanyak 2.5 peratus atau menyamai 1/40 sahaja.
Hal ini adalah bersandarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Baihaqi daripada Saiyidina Ali kwjh)
Dan begitu juga sebuah hadis yang lain: “Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu.” (Hadis sahih Imam Bukhari daripada Anas r.a)
Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham = 5 dirham).
Oleh itu, seseorang yang telah ditaksirkan zakatnya dengan tertentu jumlahnya, maka itu sebenarnya dibuat adalah atas kehendak dalil di atas. Jika saudara memiliki RM100,000.00, maka zakatnya hanyalah 2.5% X RM100,000.00 = RM2,500.00; dan tidak perlulah saudara mengeluarkan jumlah yang lebih kerana memang telah tertentu bahawa zakatnya adalah jumlah yang tersebut.
Namun begitu, seperti mana yang saudara pertanyakan, apakah kondisi atau kedudukan wang yang sengaja dilebihkan? Adakah ia masih dikira zakat atau menjadi sedekah biasa?
Maka, sudah pastilah ia tidak menjadi zakat kerana zakat adalah jumlah yang tertentu. Jika diberikan dengan jumlah yang lebih, maka lebihan itu hanyalah bersifat sunat sahaja (sedekah sunat).
Hal ini boleh disandarkan kepada sebuah hadis yang sangat panjang ketika mana Nabi Muhammad SAW memerintahkan amil pada zaman baginda agar turun ke ceruk desa menaksir zakat haiwan ternakan. Di penghujung hadis itu, Nabi SAW menegaskan: “Zakat ghanam (kambing atau biri-biri) ialah ghanam yang lepas (yang meragut secara bebas atau saaimah). Mulai dari 40 ekor hingga 120 ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dari 120 ekor hingga 200 ratus, zakatnya dua ekor Syaatun. Dari 200 ekor hingga 300 ekor, zakatnya tiga ekor Syaatun. Dari 300 ekor hingga seterusnya, tiap-tiap 100 ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dan siapa yang mempunyai ghanam kurang dari 40 ekor (belum mencapai nisab ghanam), biarpun hanya kurang seekor (39 ekor), tidak wajib zakat baginya, kecuali kalau dia suka membayarnya (maka dia masih boleh mengeluarkannya dan pihak amil boleh menerimanya).” (Hadis sahih Imam Bukhari daripada Anas r.a)
Hadis ini menunjukkan, dalam pemberian zakat ghanam di atas, dek kerana hanya terkurang seekor kambing misalnya, maka pemilik ternakan tidak wajib mengeluarkan zakat ternakannya. Namun, Nabi SAW juga menyatakan, jika dia masih mahu memberikan kambingnya kepada pihak pengutip zakat, ia masih boleh diterima dan kala itu, sungguh pun hakikatnya ia bukanlah kambing zakat; namun ia adalah kambing sedekah yang perlu diraikan oleh amil, yakni diterima dengan baik dan didoakan ke atas pembayarnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Demikian jugalah, dalam kes hari ini, memang ramai umat Islam yang melebihkan potongan zakat dan pihak amil wajar menerimanya, kerana memang Islam menggalakkan sedemikian.
Walau bagaimanapun, suka juga diingatkan kepada pembayar zakat bahawa kemungkinan besar mereka masih mempunyai pelbagai jenis zakat harta yang lain yang boleh dilunasi lewat potongan gaji bulanan, misalnya zakat qada yang lalu, zakat simpanan atau zakat bagi pihak orang lain (isteri atau suami yang mewakilkannya untuk menunaikan zakat dan ia boleh disekalikan dalam satu resit dan satu nama, namun semasa membuat potongan saudara sendiri memaklumi bahawa sekian jumlah adalah zakat pihak pasangan), dan dalam kaedah ini, syarak tiada halangan untuk menerimanya.
Hal ini kerana, kaedah potongan gaji hanyalah satu alternatif dalam menunaikan kewajipan zakat, dan ia diharap mampu meringankan dan mempermudahkan umat Islam demi menunaikan ibadah zakat itu sendiri.
Kesimpulannya, saudara boleh melebihkan amaun bayaran zakat berkenaan dan mudah-mudahan, ia dikira oleh Allah SWT sebagai infak yang suci dan ikhlas demi membolehkan saudara mendapat pelbagai keberkatan dan ganjaran besar yang dijanjikan Allah SWT, di dunia dan akhirat, amin.
http://www.hamizul.com
Q&A: Himpun puasa enam dengan puasa qadha
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 23 Ogs 2013 |
Jawapan;
Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu menunaikan puasa Qadha yang tertanggung atasnya terlebih dahulu kerana berbuka pada bulan Ramadhan, kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang paling baik (afdhal) kerana Rasulullah SAW bersabda;
“Hutang dengan Allah lebih utama untuk ditunaikan.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas RA)
Dalam pada itu, harus dihitung puasa enam dari puasa Qadha yang dilakukan dalam bulan Syawal mengikut pandangan mazhab Syafi’ie. Namun yang paling baik ialah mengasingkan kedua-duanya (yakni dilakukan berasingan) untuk mengelak pertikaian dari pandangan mazhab lain (yang tidak mengharuskannya) di samping dapat memperbanyakkan amal soleh. Dan harus juga ia mendahulukan puasa enam hari dalam bulan syawal dan menunaikan puasa qadha pada bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadhan berikutnya”.
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
Anjing Dan Permasalahan Fiqh Sekitarnya
by abidfana
Bagi Muslim yang berasal dari Malaysia, kebanyakan kita agak fobia apabila melihat anjing ini. Ini kerana jarang kita berjumpa dengan anjing yang jinak di tanah air. Kebanyakannya adalah anjing liar. Saya pernah hidup berjiran dengan rakan berbangsa India yang membela anjing. Di depan rumahnya, ditampal papan tanda besar “Awas Anjing” dengan imej anjing yang ganas. Natijahnya, saya jadi takut dengan anjing.
Takut dengan anjing itu terbawa-bawa sampailah ke UK. Semasa awal permukiman saya di sini, punyalah seksa kalau berjumpa dengan anjing. Terutamanya di taman, atau di kaki lima di bandar, atau di car boot sale, asal jumpa anjing mesti ada antara orang Melayu yang lari ketakutan. Padahal anjing di sini semuanya jinak-jinak belaka. Kalau ada yang menerkam, itu tandanya anjing itu sedang teruja atau amat excited dengan kita. Anjing di sini suka mengenali kawan tuannya, dan cara anjing mengenali kita ialah dengan menghidu tangan kita.
Oleh kerana anjing di sini terlatih, jarang kita dengar kes serangan anjing. Kalau ada pun, ianya membabitkan spesis yang bahaya, terlarang, dan dipelihara tanpa kebenaran. Anjing yang menyerang manusia biasakan akan terus dihukum ‘tidur’.
Akan tetapi, tahukah anda yang sebenarnya ada juga orang Islam yang memelihara anjing, termasuklah golongan ulamak. Kawan saya yang mengaji pondok di Pattani menyatakan yang tok guru pondoknya memelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Saya juga pernah menziarahi rumah rakan karib saya di sebuah kampung tradisional Melayu di Tumpat, Kelantan. Rumah di situ dibina tinggi, kerana lokasinya di tebing sungai. Kawan saya memaklumkan yang zaman dahulu, ramai yang memelihara anjing di bawah rumah masing-masing untuk tujuan keselamatan. Kebetulan rakan saya ini adalah berketurunan tok guru dan mufti diraja Kelantan, maka beliau menunjukkan beberapa keping gambar lama pegawai istana termasuklah Mufti dan Sultan. Ada antara gambar tersebut menunjukkan seorang berimej tok guru sedang memegang anjing (dengan tali) bergambar bersama kerabat diraja. Dan jangan terkejut, ada juga orang Melayu yang bersungguh-sungguh membela anjing, khususnya anjing yang terbiar atau dizalimi manusia di Malaysia, seperti di capaian ini dan juga ini. Saya harap anda tidak bersangka jahat dengan pemilik website tersebut.
Saya cuba untuk meringkaskan beberapa persoalan fiqh mengenai anjing seperti berikut:
Hukum Memelihara Anjing
Sebahagian ustaz menggunakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud di bawah untuk mengharamkan Muslim memelihara anjing di dalam rumah seperti di bawah:
لا تدخل الملائكة بيتاً فيه صورة ولا كلب
Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai gambar dan anjing.
Hadith di atas termasuk di dalam hadith dho’if. Imam al-Bukhari dan Syeikh al-Albani adalah antara sebahagian ulama’ hadith yang mendho’ifkan hadith ini.
Akan tetapi, di sana terdapat sepotong hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim yang menyentuh mengenai hukum memelihara anjing di rumah, iaitu:
من اقتنى كلباً إلا كلب ماشية أو كلب صيد نقص من عمله كل يوم قيراط
Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing berjalan (untuk tujuan menjaga ternakan atau keselamatan) dan anjing perburuan, maka berkuranganlah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirat (ukuran yang amat besar).
Berdasarkan metodologi fuqaha’ dalam memahami nas ini, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi Muslim memelihara anjing di dalam rumah melainkan untuk tujuan keselamatan dan juga perburuan. Ini kerana setiap sesuatu yang mengurangkan dosa itu adalah antara petunjuk kepada hukum haram.
Dan ada juga hadith sahih riwayat Muslim yang boleh menjadi penguat kepada hadith Abu Daud di atas, iaitu:
وعن عائشة رضي الله عنها أنها قالت : ( واعد رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام في ساعة يأتيه فيها فجاءت تلك الساعة ولم يأته وفي يده عصا فألقاها من يده وقال : ما يخلف الله وعده ولا رسله . ثم التفت فإذا جرو كلب تحت سريره ، فقال : يا عائشة متى دخل هذا الكلب ههنا ؟ فقالت : والله ما دريت فأمر به فأخرج فجاء جبريل ، فقال رسول اله صلى الله عليه وسلم : واعدتني فجلست لك فلم تأت . فقال : منعني الكلب الذي كان في بيتك إنا لا ندخل بيتاً فيه كلب ولا صورة ) رواه مسلم
Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar (patung)”.
Bagaimana pula dengan sebagai pemelihara anjing Muslim yang berhujah antaranya pemuda Ashabul Kahfi memelihara anjing? Di sana ada dua jawapan:
1. Memang benar, antara sumber hukum di dalam Islam ialah syariat umat sebelum Muhammad (syar’ man qablana). Akan tetapi, syariat umat terdahulu adalah tertakluk kepada syariat baru setiap kali diutuskan nabi baru dan wahyu baru. Hadith sahih di atas secara jelas mengharamkan Muslim memelihara anjing di dalam rumah.
2. Pemuda Ashabul Kahfi tersebut memelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Selain itu, tiada petunjuk yang menyatakan kisah itu memberi sesuatu nilai dari aspek fiqh mengenai kenajisan anjing.
Mengulas isu ini, Syeikh Ahmad Kutty, pensyarah kanan Pengajian Islam di Islamic Institute of Toronto, Canada berkata bahawa adalah haram untuk memelihara anjing di rumah, melainkan untuk tujuan berikut:
1. Perburuan. Ini dijelaskan di dalam surah al-Ma’idah ayat 4 dan juga dalam beberapa potong hadith yang lain, dan perkara ini juga termasuk di dalam amr ta’abbudiy (sila rujuk penjelasannya di bawah).
2. Untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya memerlukan.
3. Untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti polis dan kastam.
4. Untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah.
5. Untuk membantu penternakan haiwan.
Adakah Anjing Itu Najis?
Untuk menjawab persoalan ini, satu-satunya hujjah yang paling kuat digunakan sebagai rujukan ialah sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
طُهُور إناء أحدكم إذا ولَغ فيه الكلب أن يغسله سبْع مرات إحداهن بالتراب، أو أُولاهن بالتراب، أو عفِّرُوه الثامنة بالتراب
(Cara) menyucikan bekas kamu sekiranya dijilat anjing ialah dengan membasuhkan sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah, atau dimulakan dengan tanah, atau basuhan kelapan dengan tanah.
Hadith ini sebenarnya memberikan maksud yang anjing itu adalah najis. Ini kerana perkatan tuhur di awal hadith berkenaan iaitu yang bermaksud ‘cara menyucikan’ menunjukkan sifatnya yang bernajis, kerana penyucian itu hanyalah diperlukan untuk zat yang bernajis sahaja. Najisnya dianggap sebagai berat (mughalazah) kerana cara penyuciannya yang membabitkan proses samak.
Pun demikian, masih wujud khilaf ulamak dalam kenajisan anjing. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah meringkaskan khilaf itu seperti berikut:
1. Anjing itu tidak najis keseluruhannya sama ada bulu kulit atau cecair badannya (kecuali najisnya yang dianggap mutawassitah). Ini adalah pendapat mazhab Maliki. Akan tetapi sekiranya anjing itu menjilat sesuatu, maka ianya perlu disamak. Syeikh Yusuf al-Qaradawi cenderung kepada pendapat ini.
2. Anjing itu najis termasuklah bulu dan cecair badannya (seperti peluh dan air liur). Ini adalah pendapat mazhab Shafie, dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal.
3. Anjing itu najis pada cecair badannya sahaja, bukan pada bulu kulit badannya ketika kering. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan pendapat kedua di dalam mazhab Hanbali.
Imam Ibn Taimiyyah lebih cenderung kepada pendapat yang ketiga. Pendapat ini selari dengan keharusan membela anjing di dalam rumah untuk tujuan di atas. Sekiranya ia najis keseluruhan, bagaimana mungkin ianya dibenarkan untuk dipelihara dalam keadaan tertentu? Justeru, najis anjing menurut Ibn Taimiyyah ialah pada cecair badannya sahaja.
Dengan penuh penghormatan, saya secara peribadi tidak dapat menerima pendapat Imam Malik kerana zahir nas hadith di atas, dan juga kerana metodologi ulamak fiqh dan ulamak usul di dalam memahaminya. Imam Malik dilihat menggunakan metodologi yang agak mudah, memahami dan mengeluarkan hukum secara zahir daripada hadith di atas.
Bagi orang awam, memahami hadith tidak boleh dilakukan tanpa kepakaran ilmu alat seperti ilmu bahasa arab, ilmu hadith dan seumpamanya, justeru urusan seumpama ini perlu diserahkan kepada mujtahid. Perbezaan pandangan ulamak mazhab adalah disebabkan perbezaan metodologi yang mereka gunakan di dalam mengeluarkan hukum daripada nas. Justeru sekiranya anda tiada ilmu alat, janganlah sampai tahap mencerca ulamak mazhab lain seperti yang saya dapati wujud dalam beberapa komuniti yang bersungguh-sungguh ingin membela anjing. Ada antaranya yang menyatakan pendapat ‘Ustaz Shafie’ adalah pendapat yang tidak selari dengan nas, sedangkan mereka tiada ilmu alat yang setanding dengan al-Imam al-Shafie r.a.
Saya hanya menyatakan khilaf hukum ini secara ringkas sahaja. Perbahasan setiap mazhab dalam menentukan kenajisan anjing sebenarnya adalah agak panjang.
Seperkara lagi, saya juga cenderung untuk menyatakan yang kenajisan anjing, dan juga cara mencucinya adalah amr ta’abbudiy atau perkara ibadah yang perlu kita tunduk kepada arahannya tanpa berfikir alasan logiknya secara melampau. Saya tidak nafikan ada kajian saintifik untuk menyokong kenajisan anjing seperti kandungan kumannya, tabiat kotornya atau tabiat pemakanannya, akan tetapi kandungan kuman juga mungkin terdapat dalam haiwan peliharaan yang halal dijaga kita di dalam rumah. Dan ada juga anjing terlatih atau yang dibiakkan menjadi bersih secara lahirnya. Justeru, persoalan kenajisan anjing ini tidak wajar terlalu dikaitkan dengan logik akal, akan tetapi anggaplah ianya sebagai amr ta’abbudiy.
Cara Samak
Cara samak telah diterangkan secara terang di dalam hadith di atas, iaitu membuang najis itu terlebih dahulu, diikut dengan mencuci anggota yang terkena anjing (tertakluk kepada mazhab pegangan anda) sebanyak 7 kali dengan air mutlaq, salah satunya dicampur dengan tanah.
Di Malaysia, ada dijual produk sabun ‘Taharah’ yang dikatakan memenuhi tuntutan sebahagian air basuhan yang dicampur dengan tanah tersebut.
Adakah Ada Alternatif Tanah Seperti Sabun Untuk Samak?
Ulamak berselisih pendapat di dalam isu ini, yang saya ringkaskan seperti berikut:
1. Pendapat terkuat di dalam mazhab Shafie menyatakan yang tiada alternatif dibenarkan untuk tanah dalam samak. Ini kerana cara cucian tersebut telah diterangkan secara jelas di dalam nas hadith.
2. Pandangan jumhur di dalam mazhab Hanbali menyatakan yang boleh digunakan sabun sebagai ganti kepada tanah dalam semua keadaan. Syeikh Muhammad Shaltut, bekas Syeikhul Azhar cenderung menerima pendapat ini. Ini dikiaskan dengan keharusan menggunakan sebarang bahan kesat termasuklah tisu ketika istinja’ walaupun nas hadith secara jelas menyatakan batu sahaja. Selain itu, menurut Syeikh Shaltut, tanah itu adalah simbolik kepada bahan penguat kepada air yang mencuci najis tersebut. Itu adalah bahan yang ada semasa zaman nabi. Sabun menurut beliau lebih kuat sifat mencucinya berbanding tanah, justeru diharuskan untuk menggunakannya sebagai ganti tanah.
3. Ada yang menyatakan boleh sekiranya sukar atau ada halangan untuk mendapatkan tanah.
Hukum Membunuh Anjing.
Menurut Syeikh ‘Atiyyah Saqar, bekas pengerusi Majlis Fatwa Universiti al-Azhar, berdasarkan beberapa hadith yang sahih merujuk kepada arahan nabi kepada para sahabat membunuh anjing dan membiarkannya pada hadith yang lain, hukum membunuh anjing boleh disimpulkan seperti berikut:
1. Tidak boleh membunuh anjing yang telah terlatih untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan manusia memeliharanya seperti keselamatan, penternakan, jurupandu dan lain-lain.
2. Adapun anjing yang tiada manfaatnya, sekiranya ianya berbahaya seperti buas mengancam kanak-kanak atau manusia umumnya, atau membawa penyakit dan kekotoran, atau menganggu kejiranan dan lain-lain, maka diharuskan untuk membunuhnya untuk tujuan kawalan.
3. Adapun anjing yang tiada manfaat dan tidak pula membawa mudarat, maka ulamak berselisih pendapat sama ada dibolehkan atau diharamkan membunuhnya.
Kesimpulan
1. Adalah amat penting kita mengetahui sekurang-kurangnya secara ringkas hukum mengenai anjing ini, bagi memudahkan kita merasai nikmat keluasan fiqh di dalam Islam.
2. Ianya juga penting untuk mengubah sikap dan persepsi kita terhadap anjing. Islam menyuruh kita mempunyai hubungan yang baik terhadap semua makhluk termasuklah haiwan. Fobia dan imej anjing pada masyarakat Melayu sebenarnya tiada kaitan dengan agama, tetapi lebih kerana faktor persekitaran budaya kebanyakan masyarakat kita sahaja.
3. Ini juga penting bagi memulihkan imej umat Islam di mata non-Muslim. Tahun lepas, timbul isu yang menyatakan Islam sebagai agama yang anti anjing di UK setelah kerajaan memperluaskan lagi penggunaan anjing untuk tujuan sekuriti, dan cadangan ini mendapat bantahan membuta tuli daripada sebahagian komuniti Muslim. Bantahan ini tiada kaitan dengan Islam, tetapi sebaliknya dipengaruhi oleh faktor budaya hidup mereka sahaja.
4. Walaupun ada perbezaan pandangan ulamak mengenai kadar kenajisan anjing, akan tetapi jumhur berpandangan yang haram bagi Muslim memeliharanya di dalam rumah. Sekiranya ada keperluan untuk memelihara anjing untuk tujuan-tujuan seperti di atas, maka anjing itu perlu diasingkan daripada kediaman bagi membolehkan malaikat rahmat memasuki rumah kita.
Allahu a’lam bissawab.
Wajib Sertu Apabila Sentuh Anjing & Babi Atau Seumpamanya
Assalamualaikum ustaz,
ada org pernah beritahu sy, kita tak perlu samak tangan apabila pegang anjing, dengan syarat kedua-dua tangan dan anjing itu dalam keadaan kering
Saya terpegang kasut yang diperbuat daripada kulit khinzir, apabila teringat info seperti yang di atas, saya pun tak samak la tangan saya sbb saya yakin tangan dan kasut tersebut kering. Betul tak tindakan saya ni?
Jawapannya
Mengikut ahli fiqh, sertu adalah lakukan kepada najis yang datang dari binatang anjing, babi dan keturunannya yang dikategorikan sebagai Najis Muqallazah. Dari Ibn Mughaffal, ia berkata :
“Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan membunuh anjing,kemudian bersabda: “Mengapa mereka mengangap penting anjing-anjing itu?” Kemudian Rasul memberi keringanan dalam hal berkaitan anjing pemburu dan anjing penjaga kambing lalu bersabda : “Apabila ada anjing minum di dalam bekas, basuhlah bekas tersebut tujuh kali dan gosoklah dengan tanah pada basuhan kelapan..”
Jangan salah faham kepada mereka yang mengatakan samak kepada anjing dan babi apabila terkena najis tersebut. Orang melayu memang menggunakan perkataan samak terhadap najis tersebut. Samak sebenarnya digunakan untuk membersihkan kulit binatang. Perkataan yang sepatutnya digunakan adalah sertu atau membersihkan Najis Muqallazah.
Cara Sertu
Mengikut pendapat Mazhab Syafie wajib dibasuh tempat yang terkena najis Muqallazah sebanyak tujuh kali iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain). Jika di dapati najis itu tetap ada ain (nampak), baud an rasanya maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.
Sertu menggunakan Sabun Taharah? Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa tidak wajib atau tidak sah menggunakan Sabun Taharah untuk membersihkan najis anjing dan babi kerana kandungan tanah di dalamnya adalah sedikit iaitu 5% sahaja. Begitu juga dengan Mufti Negeri Selangor yang berpendapat bahawa tidak sah menggunakan Sabun Taharah semasa membersihkan najis anjing dan babi, kerana membersih najis tersebut mestilah dengan menggunakan tanah yang asli.
Kesimpulan dari kedua pendapat di atas ialah tidak sah sertu dengan menggunakan barang alternatif lain selain dari tanah, kecuali apabila dalam keadaan darurat sahaja seperti contoh : apabila mengunakan tanah boleh merosakkan barang yang terkena najis anjing dan babi atau boleh mendatangkan kemudharatan kepada orang yang terkena najis anjing dan babi. Maka dari itu dibolehkan menggunakan barang alternatif lain untuk membersihkan najis Muqallazah (anjing dan babi).
Barangan Yang Diperbuat daripada Kulit Babi
Wajib sertu orang yang telah menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit babi seperti contoh kasut, beg, dompet dan sebagainya. Babi merupakan najis yang paling berat iaitu najis Mughallazah. Cara menyucikan najis ini beza dengan Najis Muqaffafah dan Najis Mutawasyitah. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)
Ada pendapat yang mengatakan “kalau kering kedua-duanya tidak perlu dibersihkan”. Sebenarnya pendapat ini adalah salah. Ulamak berpendapat bahawa najis anjing yang kering sahaja tidak perlu dibersihkan, kerana najis anjing itu tidak berat sepertimana najis babi. Kalau najis anjing itu basah atau lembab, maka ia juga wajib dibersihkan. Najis babi atau barang yang diperbuat dari kulit babi wajib dibersihkan kerana ia merupakan najis yang paling berat.
Kenapa Islam suruh umatnya sertu apabila tersentuh babi yang basah atau kering? Ada satu penelitian ilmiah yang diterbitkan pada 1986, dalam Persidangan Tahunan Sedunia tentang Penyakit Alat Pencernaan, yang diadakan di Sao Paulo. Mereka berpendapat :
“Babi banyak mengandung parasit, bakteria, bahkan virus yang berbahaya, sehingga dikatakan sebagai Reservoir Penyakit. Gara-gara babi, virus Avian Influenza jadi ganas. Virus normal AI (Strain H1N1 dan H2N1) tidak akan menular secara langsung ke manusia. Virus AI mati dengan pemanasan 60'C lebih-lebih bila dimasak hingga mendidih. Bila ada babi, maka dalam tubuh babi, Virus AI dapat melakukan mutansi & tingkat virulensinya boleh naik hingga menjadi H5N1. Virus AI Strain H5N1 dapat menular ke manusia. Virus H5N1 ini pada Tahun 1968 menyerang Hong Kong dan membunuh 700.000 orang (diberi nama Flu Hong Kong)."
Kesimpulannya
Islam adalah agama yang memberikan keselamatan kepada umatnya dalam semua amalan ibadah. Setiap perkara yang diwajibkan atau diperintahkan Allah ada tujuan dan maslahahnya. Sertu adalah merupakan cara yang terbaik untuk menghilangkan kuman-kuman (virus-virus) yang terdapat daripada anjing dan babi yang sudah terbukti dapat membahayakan manusia. Wajib dibersihkan kepada pakaian, kenderaan atau tubuh yang terkena najis anjing dan babi. Begitu juga dengan orang yang tersentuh barang yang diperbuat daripada kulit babi dan wajib dibersihkan dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam.
Jika terpegang anjing & barangan dari babi, apa yang patut kita buat?
l dari blog Ustaz Nor Amin..
Assalamualaikum ustaz,
ada org pernah beritahu sy, kita tak perlu samak tangan apabila pegang anjing, dengan syarat kedua-dua tangan dan anjing itu dalam keadaan kering
Saya terpegang kasut yang diperbuat daripada kulit khinzir, apabila teringat info seperti yang di atas, saya pun tak samak la tangan saya sbb saya yakin tangan dan kasut tersebut kering. Betul tak tindakan saya ni?
Jawapannya
Terlebih dahulu saya berikan maksud istinjak sebagai pengetahuan tambahan. Maksud istinjak ialah dalam Bahasa Arab disebut sebagai Dibagh bermaksud pensuci mengikut pandangan Mazhab Syafie.
Mengikut ahli fiqh, samak dan perlaksanaannya dapat dibahagikan kepada samak terhadap kulit binatang iaitu selain binatang yang diharamkan, peralatan dan perkakasan dan terhadap sesuatu yang bersentuhan dengan najis mughallazah. Dari Ibn Mughaffal, ia berkata:
“Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan membunuh anjing,kemudian bersabda: “Mengapa mereka mengangap penting anjing-anjing itu?” Kemudian Rasul memberi keringanan dalam hal berkaitan anjing pemburu dan anjing penjaga kambing lalu bersabda : “Apabila ada anjing minum di dalam bekas, basuhlah bekas tersebut tujuh kali dan gosoklah dengan tanah pada basuhan kelapan..”
Cara Samak
Mengikut pendapat Mazhab Syafie wajib dibasuh tempat yang terkena najis Mughallazah sebanyak tujuh kali iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain). Jika di dapati najis itu tetap ada ain (nampak), baud an rasanya maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.
Samak menggunakan Sabun Taharah? Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa tidak wajib atau tidak sah menggunakan Sabun Taharah untuk menyamak najis anjing dan babi kerana kandungan tanah di dalamnya adalah sedikit iaitu 5% sahaja. Begitu juga dengan Mufti Negeri Selangor yang berpendapat bahawa tidak sah menggunakan Sabun Taharah semasa samak najis anjing dan babi, kerana samak mestilah dengan menggunakan tanah yang asli.
Kesimpulan dari kedua pendapat di atas ialah tidak sah samak dengan menggunakan barang alternatif lain selain dari tanah, kecuali apabila dalam keadaan darurat sahaja seperti contoh : apabila mengunakan tanah boleh merosakkan barang yang terkena najis anjing dan babi atau boleh mendatangkan kemudharatan kepada orang yang terkena najis anjing dan babi. Maka dari itu dibolehkan menggunakan barang alternatif lain untuk menyamak najis Mughallazah (anjing dan babi).
Barangan Yang Diperbuat daripada Kulit Babi
Wajib samak orang yang telah menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit babi seperti contoh kasut, beg, dompet dan sebagainya. Babi merupakan najis yang paling berat iaitu najis Mughallazah. Cara menyucikan najis ini beza dengan Najis Muqaffafah dan Najis Mutawasyitah. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)
Ada pendapat yang mengatakan “kalau kering kedua-duanya tidak perlu samak”. Sebenarnya pendapat ini adalah salah. Ulamak berpendapat bahawa najis anjing yang kering sahaja tidak perlu disamak, kerana najis anjing itu tidak berat sepertimana najis babi. Kalau najis anjing itu basah atau lembab, maka ia juga wajib di samak. Najis babi atau barang yang diperbuat dari kulit babi wajib di samak kerana ia merupakan najis yang paling berat.
Kenapa Islam suruh umatnya samak apabila tersentuh babi yang basah atau kering? Ada satu penelitian ilmiah yang diterbitkan pada 1986, dalam Persidangan Tahunan Sedunia tentang Penyakit Alat Pencernaan, yang diadakan di Sao Paulo. Mereka berpendapat :
“Babi banyak mengandung parasit, bakteria, bahkan virus yang berbahaya, sehingga dikatakan sebagai Reservoir Penyakit. Gara-gara babi, virus Avian Influenza jadi ganas. Virus normal AI (Strain H1N1 dan H2N1) tidak akan menular secara langsung ke manusia. Virus AI mati dengan pemanasan 60'C lebih-lebih bila dimasak hingga mendidih. Bila ada babi, maka dalam tubuh babi, Virus AI dapat melakukan mutansi & tingkat virulensinya boleh naik hingga menjadi H5N1. Virus AI Strain H5N1 dapat menular ke manusia. Virus H5N1 ini pada Tahun 1968 menyerang Hong Kong dan membunuh 700.000 orang (diberi nama Flu Hong Kong)."
Kesimpulannya
Islam adalah agama yang memberikan keselamatan kepada umatnya dalam semua amalan ibadah. Setiap perkara yang diwajibkan atau diperintahkan Allah ada tujuan dan maslahahnya. Samak adalah merupakan cara yang terbaik untuk menghilangkan kuman-kuman (virus-virus) yang terdapat daripada anjing dan babi yang sudah terbukti dapat membahayakan manusia. Wajib disamak kepada pakaian, kenderaan atau tubuh yang terkena najis anjing dan babi. Begitu juga dengan orang yang tersentuh barang yang diperbuat daripada kulit babi dan wajib disamak dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan