Selasa, 6 Ogos 2013

ISLAMLAH SATU2NYA AGAMA YANG DITERIMA OLEH ALLAH SWT...YANG LAIN ALLAH TOLAK

Didik Chetz, bukan hukum di media

., 06 Ogs 2013
Pelatih anjing Maznah "Chetz" Yusof perlu dididik bukannya dihukum. Islam tidak terhina kerana video Chetz, kerana ia tidak bertujuan begitu.
Chetz mungkin seorang yang tidak tinggi ilmu agamanya. Video memuatkan video tersebut juga bukan untuk menghina sesiapa, tapi kerana ketaksuban beliau dalam menyayangi anjing sehingga seolah-olah beliau inginkan anjingnya dimuliakan sama dengan kita memuliakan manusia.

Ini cuma satu kelakuan yang jahil, yang boleh diperbetulkan tanpa mengenakan sebarang hukuman.

Wajarkah Chetz dicemuh sebegitu rupa di media sehingga menimbulkan kemarahan melampau pada beliau seolah-olah beliau sebagai seorang manusia yang tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan?

Sebagai pelatih anjing, diyakini sekurang-kurangnya Chetz pernah menyelamatkan sebilangan anjing-anjing yang sedang kebuluran dan pernah berkata-kata baik dan melakukan benda baik dalam hidupnya, dan ada orang yang pernah mendapat kebaikan daripada sifat baiknya itu. Atas nilai ini sahaja wajar dipuji kerana majoriti manusia di dunia ini tidak lagi boleh bersifat sedemikian.

Jika binatang yang dipilih Chetz ialah kucing, dan bukannya anjing, sudah tentu Chetz tidak dicemuh sebegitu rupa. Salahkah Chetz lebih menyayangi anjing?

Tak salah orang Islam memiliki anjing, tapi mesti kena pada caranya dan mengenali cara untuk menghindari diri daripada perkara yang haram dan belajar membersihkannya menurut kaedah syarak. Harus diingat memegang anjing bukan suatu dosa walaupun ia adalah najis mughalazah. Perkara ini boleh dididik apabila mendapati ada umat yang jahil mengenainya, tapi jangan sesekali disamakan kelakuan jahil itu dengan niat menghina Islam.

Tidak dinafikan ada umat Islam yang tersinggung dengan perbuatan Chetz, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

Sempena Hari Raya yang bakal menjelang, saya mengesyorkan agar umat Islam di Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan Chetz untuk memaafkan beliau.

Mungkin ada pihak yang baik hati boleh memuatkan pula satu video untuk mengajar umat Islam mengenai anjing, dan cara membersihkan najisnya untuk tujuan mendidik daripada terus mencemuh Chetz.

Barangkali juga kalau ada yang sanggup mengambil risiko untuk memuatkan video seseorang Muslim menerima duit rasuah lalu diambilnya duit itu untuk memberikan sedekah kepada mereka yang susah dan alim, dan melihat apakah ia akan menimbulkan reaksi yang sama seperti video Chetz?

Jika ya, bagus, kerana ini menunjukkan perubahan pada umat Islam untuk melihat perkara yang haram pada nada yang sama. Jika tidak, tepuk dada tanya iman, apakah sikap dwi-standard umat Islam pada perkara yang haram ini telah menghina Islam itu sendiri kerana melanggar syariat Islam yang utama ialah  berlaku adil dalam semua perkara?

Sudah tentu rakyat masih ingat bagaimana tiada reaksi pelbagai institusi agama yang kini mengecam Chetz terhadap segelintir pemimpin BN, seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang pernah menghina Islam.

Apakah bilamana pemimpin negara yang melakukannya maka ianya dibolehkan tetapi apabila rakyat marhaen yang melakukannya seluruh media dan institusi agama mengecamnya? Mari kita didik rakyat agar lebih memahami tuntutan agama dari kita mencemuh mereka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Ogos 2013

Dakwat kekal juga boleh diguna pada Hari Raya

Harakahdaily, 06 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Rupa-rupanya dakwat kekal bukannya berguna pada pilihanraya sahaja, tetapi ia berguna pada Hari Raya Puasa juga, tulis Aspan Alias.

Menurutnya, kalau semasa pilihanraya dakwat kekal digunakan untuk mengelak sesiapa dari mengundi dua kali, semasa hari raya pula ia digunakan untuk mengelak kanak-kanak datang menuntut duit raya berulang kali.

“Jadi kepada pemimpin PKR, ingat dakwat kekal ini sangat penting, ia boleh digunakan oleh semua orang baik semasa pilihanraya tetapi juga semasa pilihanraya,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com sebagaimana di bawah.

Posting kali ini adalah posting yang relaks dan tidak tertumpu kpada isu serius seperti politik dan keselamatan negara yang terancam dengan siri pembunuhan bersenjata yang berlaku 9 hari berturut-turut itu. Kita sedang berada di ambang Hari Raya Aidulfitri yang sangat ditunggu-tunggu setelah sebulan beribadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun hijrah 1434 ini.

Saya terjumpa seorang yang baru keluar dari bank untuk mengeluarkan wang kertas satu ringgit (RM1) yang agak banyak juga. Wang kertas seringgit itu tentulah untuk dijadikan sebagai wang untuk diberikan kepada kanak-kanak yang sangat bergembira di hari raya ini. Dia berkata yang dia ramai anak-anak saudara dan kanak-kanak kampungnya selalu akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan duit raya semata-mata.

Seperti juga kita semua, ramai yang berkemampuan untuk menghulurkan wang raya ini tentulah berasa gembira melihat anak-anak kecil bersukaria apabia mendapat duit raya seringgit dua dari kita. Saya bertanya kepadanya bagaimana kalau yang ramai-ramai itu datang berulang kali kerana tentu dia tidak akan dapat tahu siapa yang sudah menerima dan belum menerima duit raya dia itu?

Kawan saya itu berjenaka, “Itulah, saya ingat saya hendak pergi ke SPR sahaja untuk mendapatkan dakwat kekal dari Suruhanjaya itu.” Bila saya tanya apa kena mengena dengan dakwat kekal dengan duit raya itu dia menjawab, “Ialah…apabila anak-anak saudara atau kanak-kanak kampung datang menerima duit raya, kita suruh dia celup jari telunjuk mereka ke dalam dakwat kekal tu supaya kita dapat mengenali siapa yang sudah menerima duit raya dan siapa yang belum menerimanya!” Jawapannya ini amat menggelikan hati saya mendengarnya.

Rupa-rupanya dakwat kekal ini bukannya berguna pada pilihanraya sahaja, tetapi ia berguna pada Hari Raya Puasa juga. Kalau semasa pilihanraya dakwat kekal digunakan untuk mengelak sesiapa dari mengundi dua kali, semasa hari raya pula ia digunakan untuk mengelak kanak-kanak datang menuntut duit raya berulang kali.

Jadi kepada pemimpin PKR, ingat dakwat kekal ini sangat penting, ia boleh digunakan oleh semua orang baik semasa pilihanraya tetapi juga semasa pilihanraya. Kalau tidak berpuas hati penggunaan dakwat kekal semasa pilihanraya gunakanlah semasa Hari Raya. Kepada pemimpin UMNO pula dakwat ini boleh digunakan untuk mempastikan penyokong yang ramai-ramai itu tidak meminta duit raya berulang kali.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin, dan pada sesiapa yang ramai anak-anak saudara dan cucu saudara itu jangan lupa untuk membawa balik kampung bersama dengan dakwat kekal.

Andalus, selepas terlucutnya keadilan

Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, 06 Ogs 2013
Keadilan datangnya daripada Allah. Salah satu daripada nama-nama Allah ialah “Yang Maha Adil”. Keadilan lazimnya digandingkan dengan kebenaran, kerana tanpa mengetahui etika tersebut, kita tidak dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya, apatah lagi amal bakti yang diiktiraf sebagai berkebajikan di sisi Allah Taala. Di dalam Surah Al-Maidah ayat 8, Allah menyebut :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”


Ayat ini membuktikan bahawa kebenaran dan keadilan tidak dapat dipisahkan. Seorang Muslim yang dibimbing wahyu Allah pasti meyakini bahawa menerima keadilan adalah ketaatan, menegakkannya adalah kewajiban dan memperjuangkannya adalah jihad. Dalam urutan keutamaan yang ditentukan oleh Islam dalam sebuah pemerintahan menurut Imam al-Mawardi, keadilan terletak di tempat yang tinggi selain daripada amanah. Ketinggiannya itu mengatasi perkara-perkara lain seperti kestabilan dan kemakmuran ekonomi. Kerana kestabilan negara yang dipimpin oleh pemerintah yang korup, sebenarnya adalah kestabilan yang palsu.

Sekiranya nilai kebenaran dimanipulasi dan keadilan dikesampingkan dalam sesebuah etika pemerintahan, maka tunggulah detik-detik kehancuran. Masyarakat tidak lagi percaya dan yakin dengan sistem perundangan yang rosak serta pemerintahan yang zalim. Natijahnya masyarakat akan menyelesaikan masalah masing-masing dengan caranya tersendiri seperti pemberontakan, pengeboman, keganasan dan apa jua cara kekerasan sehingga menumpahkan darah.

Dalam Islam, keadilan merentasi batas kaum dan bangsa bahkan agama. Hanya apabila keadilan telah ditegakkan dan kezaliman dihapuskan, maka kebaikan-kebaikan yang lain akan terlaksana dengan jayanya. Begitupun perlu kita fahami bahawa keadilan bukan hanya satu konsep yang berkaitan dengan pemerintahan dan politik sahaja, walaupun sehingga ke hari ini konsep keadilan terus menjadi tema penting terutamanya dalam bidang pemerintahan. Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman juga merupakan antara falsafah sistem kehakiman dalam Islam.

Sebelum tema keadilan menjadi konsep politik, ia adalah konsep terulung bersifat metafizik yang diperjuangkan Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, keadilan tidak lebih daripada satu perkataan yang boleh membangkitkan emosi, bahkan penegakan syiarnya juga adalah sebuah agenda Islam bagi meneruskan legasi perjuangan baginda Rasulullah SAW. Oleh itu, Ibn Khaldun (1332 M - 1406 M) di dalam “Muqaddimah”, turut mengaitkan ketidakadilan adalah penyebab kerosakan struktur negara sekaligus memporak-perandakan bangsa.

Ketika Islam tersebar di Andalus, keadilan adalah mercu tanda penyebaran dakwah yang menjadi haruman di kota yang penuh berprestij itu. Kehadiran umat Islam di Andalus bukanlah suatu bentuk yang agresif mahupun permisif, tetapi atas permintaan pemerintah bahagian Ceuta (wilayah Sepanyol terletak di Afrika Utara) ketika itu yang bernama Count Julian untuk membalas dendam terhadap Raja Don Roderic yang telah melakukan kekejaman dan penindasan di Andalus. Maka, jemputan Count Julian itu adalah untuk mengembalikan keadilan di Andalus dengan meyakini umat Islamlah pelopornya yang layak dijadikan pautan.

Kehadiran Islam di Andalus sekali gus menjadikan kota itu sebagai model terbaik bagaimana toleransi beragama telah dilaksanakan oleh umat Islam jauh sebelum konsep itu kini kononnya diperjuangkan oleh Barat. Ramai sejarawan Barat sendiri termasuk Edward Gibbon (1737 M – 1794 M) mengakui bahawa ketika zaman Andalus diperintah oleh orang Islam yang memakan tempoh ratusan abad, orang-orang Kristian dan Yahudi hidup dalam kedamaian dan keamanan. Namun, malangnya toleransi beragama yang dicontohkan oleh umat Islam tidak dihargai baik oleh orang-orang Yahudi mahupun Kristian.

Toleransi hancur setelah Andalus berada di tangan orang-orang Kristian. Sejarah mencatatkan pada abad ke-13 sahaja, 3 juta orang Islam dan 2 juta orang Yahudi diusir dari Andalus. Bukan hanya umat Islam dipaksa tukar agama, bahkan masyarakat Kristian yang beraliran “Unitarian” juga dipaksa bertukar kepada “Trinitarian”. Seramai 40 ribu orang Yahudi menerima “Converso” (masuk Kristian secara paksa). Ia berlaku setelah Andalus ditakluki Ferdinand III. Masjid Cordova yang indah dan megah, dibina Abd al-Rahman al-Dakhil pada 788 Masihi ditukar menjadi gereja pada 1236 Masihi.

Tahun-tahun berikutnya berlaku operasi pemurtadan secara besar-besaran di Andalus. Tribunal kegerejaan dilaksanakan dengan amat kejam, orang Kristian yang tidak mengamalkan ajaran Trinitarian digantung dan dibakar, sehingga masyarakat Andalus berada dalam kegelapan kembali setelah berada dalam kemuncak ketamadunan. Hanya pada 1813 M inkuisisi tersebut dinyatakan sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan dihapuskan pada 1834 M. Inkuisisi itu jugalah yang menimbulkan kebencian masyarakat Eropah kepada agama dan dan melahirkan semangat ilmiah moden dan rasional melampau sehingga anti kepada konsep ketuhanan.

Begitupun sebenarnya titik-titik hitam dalam sejarah pemerintahan khilafah Islam di Andalus mula memperlihatkan petanda kejatuhannya apabila keadilan tidak lagi menjadi prinsip pentadbiran mereka. Ketika keadilan dibakul-sampahkan, bukan hanya cahaya ketamadunan dan keilmuan hilang dari bumi Andalus, kedamaian beragama juga hilang dari bumi yang kini disebut Sepanyol itu. Populasi masyarakat Islam di Andalus ketika itu semakin berkurangan akibat penindasan dan operasi pemurtadan beramai-ramai.

Ayuh kita perhatikan ketika Al-Hakam I (796M) menaiki takhta menggantikan ayahnya iaitu Hisham, bahawa ayahandanya telah berpesan, “Hendaklah kamu (wahai Hisham) berlaku adil kepada semua tanpa mengira miskin atau kaya, berbuat baik dan berlemah lembut kepada orang yang bergantung kepadamu. Kerana semuanya sama-sama ciptaan Allah. Amanahkan penjagaan kota-kota dan daerah-daerahmu kepada ketua yang setia dan berpengalaman; kenakan hukuman tanpa belas kasihan menteri-menteri yang menindas rakyatmu...”

Namun, malangnya Al-Hakam I tidak mengikuti pesan ayahnya. Al-Hakam I justeru tidak peduli nasib rakyatnya, bahkan kejam terhadap mereka. Beliau merupakan sultan pertama yang dikelilingi 6 ribu pengawal peribadi. Beliau menghukum rakyatnya dengan kejam walaupun atas kesalahan kecil, sehingga menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan berlakulah beberapa siri pemberontakan. Pada zamannya juga Barcelona jatuh ke tangan Kristian, dan ia adalah kejayaan besar pertama diperoleh oleh Kristian. Kejayaan tersebut telah memberikan momentum “reconquesta” (penaklukan kembali) kepada golongan Kristian untuk menyerang umat Islam. - rujuk “al-Mu'jib fi Talkhis Akhbar al-Maghrib”

Selain percubaan serangan yang ingin dilakukan oleh kaum Kristian untuk melakukan reconquesta terhadap kerajaan-kerajaan Islam di Andalus, perpecahan dalaman akibat perbezaan kasta kepada umat Islam turut berlaku. Sifat angkuh golongan autokrat terhadap golongan bawahan, antara bencana tertewasnya tentera Islam dalam peperangan Las Navas de Tolosa pada 1212 Masihi, perang di mana kembalinya titik peralihan golongan Katholik menguasai Andalus. Dalam peperangan tersebut berlaku keengganan sultan dinasti al-Muwahidun mendengar nasihat panglimanya berbangsa Barbar yang lebih berpengalaman. Kekalahan itu menyebabkan 70 000 orang Islam disembelih atas arahan ketua bishop wilayah Toledo, Rodrigo Jiménez de Rada.

Zaman kejatuhan Andalus juga ditandai dengan kerakusan golongan pemerintah yang sanggup memperalatkan ulama. Perkara ini diakui Ibnu Khaldun di mana beliau sempat menyaksikan peristiwa bagaimana kerajaan-kerajaan Islam yang gagah perkasa di Andalus, tumbang satu persatu akibat fungsi dan peranan ulama tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya. Ibnu Khaldun menceritakan ketika beliau berada di Andalus, ulama sering diperalatkan golongan pemerintah. Penghargaan terhadap ulama yang pada awal Islam benar-benar jujur dan ikhlas bertukar menjadi pemanfaatan para pemimpin (umara) terhadap kaum ilmuwan (ulama).

Jelas Ibnu Khaldun lagi, bibit-bibit zaman kejatuhan Andalus ketara terpampang apabila sering berlaku perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat sehingga pemerintah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka. Pertikaian dalaman berlaku setelah kekuasaan tidak lagi berada di tangan pemimpin yang adil. Kerajaan-kerajaan kecil yang dinamakan dengan “Muluk al-Tawaif”  atau taifa de reyes, terlalu lemah untuk melawan gelombang reconquesta. Maka, adalah suatu kebodohan jika kesilapan-kesilapan masa lalu itu kita ulangi di masa ini.

Benar, umat Islam pernah memiliki model kemajuan yang indah dan gemerlapan di masa lalu. Tetapi, sungguh malang apabila cita-cita kegemilangan berhujung dengan kejatuhan demi kejatuhan, apatah lagi jika kejatuhan tersebut berpunca daripada keruntuhan nilai-nilai keadilan sedangkan Islam menegaskan umatnya berlaku amanah dan adil. Untuk kembali bangkit, yang kita perlukan adalah kesungguhan dan keikhlasan, bukan hanya semangat dan slogan-slogan kosong. Yang jelas nasib umat Islam pada masa depan ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini.

http://www.tarbawi.my

Kelantan kutuk keras kudeta tentera di Mesir

Aslani M, 06 Ogs 2013
KOTA BHARU: Ketika kerajaan Malaysia masih membisu rampasan tentera ke atas kerajaan pimpinan Dr Muhammad Morsi di Mesir, kerajaan Kelantan sekali lagi mengutuk keras pihak yang melanggar batasan demokrasi.

“Kerajaan Kelantan mengutuk pihak yang tidak menghormati demokrasi. Sedangkan kita tahu ketua tentera yang dilantik Morsi sendiri dilaporkan merampas kuasa,” kata Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Sedangkan katanya, Presiden pilihan majoriti rakyat di Mesir itu telah berjaya menyelamatkan Mesir daripada kejatuhan moral secara berterusan di bawah kepemimpinan lama.

Menurutnya juga di mana-mana sahaja musuh sentiasa bekerja keras bagi menghalang kebangkitan Islam dengan melakukan pelbagai cara dan tindakan. “Saya sebagai mewakili kerajaan Kelantan mengutuk keras rampasan kuasa yang dilakukan tentera Mesir sehingga mengundang konflik yang berterusan sekarang.

“Keadaan serupa juga boleh menimpa negara-negara Islam lain. Musuh tidak pernah berdiam diri bagi melemahkan pengaruh Islam,” katanya pada himpunan Solidariti Mesir – Syria di Qaryah Ramadan malam tadi.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Presiden Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM), Zulkfili Yusof, wakil Dewan Ulama PAS Kelantan, Asri Mat Daud dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Program diadakan selepas selesai solat tarawih. Pada sebelah petang KPKM mengadakan pertemuan dengan kira-kira 500 pelajar Kelantan di Mesir yang baru pulang bercuti.

Sebelum itu ribuan yang hadir di Qaryah Ramadan menunaikan solat hajat untuk rakyat Mesir dan Syria diimamkan Sheikh Hesham Abdul Bary Mohamed Rageh. Imam dari Mesir terbabit membaca doa hampir setengah jam ketika rakaat kedua.

Malam tadi juga diadakan program  sejuta zikir diketuai Dr Azhar Abdullah dari KIAS. Ahli-ahli Jemaah turut dibekalkan tasbih dan doa Sayyidul Istighfar.

Qaryah Ramadan terus menjadi tumpuan ramai, lebih-lebih lagi anak-anak perantau yang balik bercuti sempena Aidilfitri. Jemaah juga dibekalkan bugger oleh petugas sebagai pengalas perut.
Sebaik sahaja selesai program berkenaan, hujan lebat mencurah-curah sehingga ramai menunggu awal pagi untuk pulang ke rumah.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan dan rakyat Kelantan membantu sekadar termampu bagi meringankan penderitaan rakyat di Syria dan Mesir yang dilanda konflik sekarang.

Apabila Datuk Seri Najib menyeru kepada Islam

Mohammad Faizal Che Yusof, 06 Ogs 2013
Teruja? Memang teruja bila mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru untuk rakyat menerokai kandungan kitab suci al-Quran dengan membaca dan memahami ayat demi ayat seterusnya mengajak umat Islam menjadikan generasi sekarang sebagai generasi al-Quran.

Memetik daripada laporan Bernama 5 Ogos 2013 sewaktu merasmikan pusat percetakan Mashaf al-Quran di Kuala lumpur, antara lain beliau menyebut, "Jadikanlah pembacaan al-Quran itu sebagai budaya kita, mudah-mudahan kita akan memperolehi keberkatan dan petunjuk,".

Biarlah entah berapa kali kata-kata sedemikian telah dilontarkan oleh Datuk Seri Najib, saya tetap teruja dengan gesaan tersebut. Dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, saya mendoakan kata-kata yang dilafazkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tersebut mampu menusuk ke jantungnya, tertanam di lubuk hati beliau yang paling dalam untuk beliau mendahului yang lain melaksanakan dan mengotakan apa yang dikata.

Biarlah ucapan beliau tersebut umpama manisnya kempen pilihan raya, itu tidak kisah. Nama pun ahli politik. Apatah lagi laporan tersebut juga dipautkan dalam ruang politik.

Mendahului gesaan tersebut sehari sebelumnya, dalam ucapan beliau di Pekan, Datuk Seri Najib telah menyeru agar seluruh umat Islam di negara ini bersatu dengan mencari titik pertemuan biarpun berbeza ideologi politik. Beliau nyatanya sedar bahawa politiklah antara punca membawa kepada umat Islam di negara ini berpecah lantaran gagal memahami al-Quran dan menhayati isi kandungannya.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum PRU 13 lalu, seorang ulama Umno ada menyebut kepada saya. “Alangkah baiknya apabila orang-orang PAS masuk Umno. Orang-orang PAS ni baik. Mereka berpegang kepada Islam. Masuk Umno, dakwahlah orang-orang dalam Umno supaya semua orang Umno jadi baik dan berpegang kepada Islam”.

Satu persoalan yang boleh kita fikirkan, adakah perpecahan itu secara mutlaknya salah? Mari kita renung satu perumpamaan ini. Sepohon pohon jati ditebang. Dikerat dan dipotong batangnya. Maka pohon jati yang tadinya satu dan bersatu kini telah pecah dan terpisah.

Apakah kebaikan hilangnya kesatuan pohon jati tersebut? Akhirnya pohon jati yang dipecah dan dikerat tadi disatukan dengan pelbagai rupa bentuk yang dinamakan perabot dan pelbagai binaan.

Perbezaan pendapat dan perpecahan kesatuan itu adalah lumrah alam yang telah ditentukan Allah. Justeru, terpulang kepada kitalah untuk mengurus perbezaan dan perpecahan tersebut agar kebaikan akhirnya diperoleh.

Apabila politik dikatakan menjadi punca kepada perpecahan umat Islam, ia bukanlah menjadi masalah besar jika kita kembali kepada apa yang difirmankan Allah SWT agar kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Tidak perlu timbul gesaan untuk orang PAS masuk Umno kerana PAS sendirinya akan hilang apabila Umno ikhlas melaksanakan dan menegakkan hukum Allah. Itulah jaminan PAS sebagaimana yang sering disuarakan oleh Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Aziz Hj Nik Mat, mantan menteri besar negeri Kelantan.

Datuk Seri Najib pastinya sedar selama ini siapa yang menjadi mangsa kepada perbezaan ideologi politik ini. Siapa yang teraniaya dalam banyak isu apabila berbeza politik. Siapa yang dinafikan pelbagai hak apabila berbeza politik. Tentunya tiada individu muslim yan gakan menolak apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan langkah untuk benar-benar memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran secara menyeluruh dan tidak terpilih.

Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri seharusnya sedar dan faham apabila seruan kepada Islam dilaungkan, ia bermakna setiap individu muslim atas apa jua kapasiti wajip tunduk kepada setiap inci perintah dan larangan Allah dan sedia dipertanggungjawabkan pada hari mahsyar kelak.

Menyeru kepada Islam bermakna kesediaan permerintah menyediakan keperluan kepada setiap hamba rakyat, tidak terhad kepada mereka yang kita sayangi, bahkan juga kepada rakyat miskin, golongan OKU, permudahkan perjalanan rakyat yang bermusafir bukan kesulitan pelbagai saman  dan keperluan mereka yang bukan beragama Islam.

Menghayati al-Quran bermakna setiap janji mesti dikota, tiada lagi pengkhianatan atas apa jua alasan dan tiada lagi diskriminasi terhadap rakyat atas apa jua justifikasi.

Justeru, Datuk Seri Najib wajar memulakan langkah untuk rakyat sama-sama faham dan terus menghayati setiap isi kandungan al-Quran. Lunaskan setiap janji pilihan raya, tunaikan segala persetujuan termasuklah perjanjian royalti dan petroleum antara Petronas dan kerajaan negeri, pastikan rakyat menikmati pembangunan negara meskipun tidak menyokong Umno, benteras dan perangi setiap jenayah termasuk amalan rasuah.

Jika gergaji dan kapak yang menebang dan memecahkan pohon jati, gergaji dan kapak jugalah menyatukan kayu jati. Demikianlah halnya apabila politik dikatakan memecah belahkan rakyat, politik jugalah alatnya menyatu padukan rakyat.

Sekali pemimpin sedia melaksanakan keadilan, seribu kali rakyat yang cintakan Islam akan bersama. Sebaliknya, satu langkah menafikan keadilan, seribu penentangan bangkit menolak kepimpinan. Moga Ramadhan 1434H meninggalkan bekas-bekas takwa untuk bekalan menempuh hari mendatang buat Malaysia yang tercinta. – 28 Ramadhan 1434H.

Tiada ulasan: