Isnin, 4 Jun 2012

APA NILAI KITA KEPADA PEMIMPIN DAN PEMERINTAH JIKA TUNTUTAN BERSIH DITOLAK...SEDANGKAN TUNTUTAN BOLEH DITUNAIKAN...NI KENAPA DITOLAK...TENTU KITA DAN RAKYAT BOLEH BERFIKIR...TENTU ADA TUJUAN TERSIRAT MEREKA MENOLAK....

Sokongan Najib menjunam, tangguh lagi la PRU13?

http://cenangau.blogspot.com, 04 Jun 2012

Sokongan Najib menjunam 19% & 18%, tangguh lagi la PRU13?


Kalau tengok ke laporan kaji selidik yang Merdeka Center buat memang nampak sangat sokongan kepada Najib sebagai Perdana Menteri turun menjunam.

Kalau tengok ke angka dalam jadual macam yang aku salin tampal kat bawah tu nampak sangat penurunan mendadak terutama sekali untuk segmen pengundi cina dan juga untuk segmen berpendapatan sederhana.

Tapi kalau tengok ke peratus yang sokong Najib tu nampak macam Umno BN masih boleh menang, masih boleh menguasai Putrajaya kalau buat pilihanraya sekarang.
Tapi taktau la pulak, kalau Najib harap untuk dapat balik 2/3 parlimen, kalau takat sokongan macam jadual kat bawah tu nampak macam payah la nak dapat, kalau takat nak menang majoriti mudah memang boleh.

Apa pun, harus barang diingat, masa sebelum PRU12 rasanya takdak kajian yang buat laporan kemundkinan sampai 5 negeri BN akan kalah, macam tu jugak di parlimen aku tak pernah terbaca yang BN akan hilang 2/3.

Jadinya laporan macam ni boleh untuk dibaca, boleh untuk diambik tindakan tapi tak boleh untuk 'beriman', memang sangat-sangat tak sesuai.

Apa pun, kita tunggu sajalah tak kira bila pun Najb nak bubarkan Parlimen. Kuasa tu ada pada dia, kecuali la kalau tiba-tiba Agong berani untuk 'memaksa' atau 'menderhaka' kepada Perdana Menteri.

Setakat hari ni katanya tempoh yang paling popular yang ke depan ni adalah selepas Raya Puasa dan sebelum musim Haji. Parlimen mungkin dibubar dalam bulan puasa.

Apa pun, untuk laporan kajiselidik tu boleh baca di MerdekaReview atau baca terus di MerdekaCenter.



Segmen pengundi Februari Mei Perubahan
Pengundi Cina 56% 37% -19%
Pengundi India 80% 72% -8%
Pengundi bawah umur 30 tahun 64% 61% -3%
Pengundi bawah umur 40 tahun 67% 65% -2%
Pendapatan isi keluarga bulanan RM1500 - RM3000 71% 69% -2%
Pendapatan isi keluarga bulanan RM3000 - RM5000 68% 50% -18%

Sumber: http://cenangau.blogspot.com/2012/06/sokongan-najib-menjunam-19-18-tangguh.html#ixzz1wokaMehA


Himpunan Hijau dan Himpunan Belia mula dibanding

Harakahdaily, 04 Jun 2012

(Perbandingan antara Himpunan Hijau dan Himpunan Sejuta Belia dari kacamata Bob Lokman)

KUALA LUMPUR: Berikutan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya Jumaat lepas di Alor Star, rakyat negara ini mula membuat perbandingan antara majlis anjuran Umno dan PAS.

Mereka membandingkan himpunan itu dengan Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya yang berjalan tidak lama sebelum ini.

Kedua-dua program itu dijadikan titik pertemuan dan perbezaan antara pendekatan Umno yang mewakili Barisan Nasional dengan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Di dalam media sosial khasnya Facebook, penuh dengan gambar-gambar perbandingan antara kedua-duanya.

Mereka menggunakan visual atau gambar untuk menceritakan kebaikan dan keburukan antara satu sama lain.

Turut membuat gambar perbandingan antara Bok Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman melalui Facebooknya.

Persamaan antara kedua-duanya adalah mendapat sambutan ramai atau disertai ramai orang namun mempunyai ciri-ciri yang jelas berbeza.

Untuk Himpunan Hijau, ulamak selebriti, Ustaz Azhar Idrus menjadi tarikan manakala Himpunan Sejuta Belia pula membawa penyanyi K-Pop dari Korea.

Yang menariknya, angka RM2.4 juta bayaran untuk membawa K-Pop ke Himpunan Sejuta Belia menjadi sorotan pelbagai pihak termasuk akhbar MCA, The Star.

The Star sebelum ini melaporkan para pengguna internet di negara ini membantah tindakan kerajaan BN membayar begitu mahal duit rakyat untuk membayar artis yang berpakaian separa telanjang itu.

Ketika mempertahankan dakwaan peserta himpunan belia dibayar, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin juga menyerang Himpunan Hijau dengan mendakwa pesertanya juga dibayar.

Seorang pengguna Facebook, Roza Wira menjawab tuduhan Muhyidin itu dengan berkata, ‎"Peserta dibayar utk ke himpunan hijau"..haha..dah pahtu bakpe mintak derme pulak kalau banyak duit nak bayar..pikir pakai lutut..."

Rakyat ditipu dengan subsidi petrol?

http://blog.marhaen.info, 04 Jun 2012
Sabtu, 02 Jun 2012 03:30 BlogMaster
E-mel Print PDF
Kerajaan mendakwa kualiti RON97 lebih baik berbanding RON95. Disebabkan kualiti yang lebih baik, kerajaan menetapkan harga runcit RON97 sebanyak RM2.90 seliter manakala RON95 yang kurang berkualiti pada harga RM1.90 seliter. Jika dilihat, memang jelas RON97 (RM2.90) berharga lebih RM1 daripada RON95 (RM1.90).
Tetapi, kerajaan juga begitu bangga menyatakan bahawa petrol RON95 telah diberi subsidi kerana rakyat diutamakan. Bukan sedikit tetapi subsidi dan cukai berjumlah RM1.45 terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi menetapkan harga runcit RON95 pada paras RM1.90 seliter.
Dengan harga RM1.90 seliter dan ditambah nilai subsidi RM1.45 seliter yang ditanggung oleh kerajaan, maka harga RON95 TANPA SUBSIDI ialah RM3.35 manakala RON97 yang lebih berkualiti tetapi TANPA sebarang subsidi hanya berharga RM2.90!
Sekiranya kedua-dua gred petrol dijual TANPA sebarang subsidi, maka harga RON95 (RM3.35) lebih tinggi daripada RON97 (RM2.90). Petrol yang lebih berkualiti lebih murah daripada petrol yang kurang berkualiti!
Jika begitulah halnya, adalah lebih baik kerajaan menukarkan subsidi RM1.45 seliter yang diberikan kepada petrol gred RON95 (yang kurang berkualiti) dan memindahkan subsidi berkenaan kepada petrol RON97. Rakyat akan menikmati petrol yang berkualiti lebih baik dengan harga yang jauh lebih murah. Dengan kadar subsidi RM1.45, harga petrol gred RON97 dapat dinikmati oleh rakyat dengan harga RM1.45 seliter!  (RM2.90 - RM1.45).
Dengan harga yang lebih murah dan Rakyat dapat menggunakan petrol daripada gred RON97 yang lebih berkualiti....  RON97 berharga RM1.45 seliter! Macam mimpi!
Tapi kerajaan Barisan Nasional seronok menipu orang-orang tua di kampung dan peneroka Felda dengan perkataan subsidi. Tak mengapa. Teruskan menipu menggunakan perkataan keramat 'subsidi' tetapi pindahkan subsidi berkenaan kepada petrol RON97. Ada berani?
Kalau tak berani, jangan ganggu Rakyat untuk menukar kerajaan yang dapat memberikan harga petrol yang lebih murah. Bukan susah pun kerajaan Pakatan nak lakukan... Pindahkan sahaja subsidi daripada RON95 kepada RON97. Tak perlu pakar kewangan untuk melakukannya..
Analoginya samalah dengan menjual kereta Proton yang berkualiti dengan harga yang lebih murah di luar negara manakala Proton yang kurang berkualiti dijual kepada rakyat di dalam negara dengan harga yang jauh lebih mahal. Haram jadah!!! (pinjam kata-kata Najib)
Siapa yang mahukan harga petrol RON97 berkualiti dengan harga yang lebih murah daripada harga RON95, JOM tukar kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat!
Patutlah DS Anwar berani dan konfiden memberi jaminan, "malam ini kita berkuasa di Putrajaya, esok kita turunkan harga petrol!"
Kepada pemuda-pemudi, abang, adik, kakak, cuba eksplen penipuan subsidi petrol kerajaan Najib ini kepada orang-orang tua di kampung-kampung, di pedalaman, Makcik Kiah, Makcik Jemah, Pak Seman, Pak Sudin di Felda-Felda. Mereka semua ada kereta dan motor yang menggunakan petrol.
- Blogmaster




25% potongan cukai pintu pangsapuri kos rendah

Harakahdaily, 04 Jun 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan pemberian potongan 25 peratus cukai pintu kepada semua pemilik pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor.


Potongan itu akan berkuatkuasa serta merta selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengesahkan pemberian diskaun berkenaan pada  Rabu ini, lapor Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun, potongan 25 peratus itu hanya layak kepada pemilik pangsapuri kos rendah yang mendiami rumah mereka manakala pemilik yang menyewakan kepada orang lain, tidak layak  menerima pemberian istimewa ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pemilik boleh memohon kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dipertanggungjawab untuk memastikan hanya yang layak sahaja yang mendapat diskaun tersebut.

“Kita juga akan beri insentif kepada JMB supaya mereka menjalankan kerja efektif memastikan diskaun tersebut dapat dinikmati oleh mereka yang berhak,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Penyerahan 50 lori pemampat sampah (kompaktor) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ dan  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,  hari ini.

Daripada 50 lori yang berharga RM14.5 juta itu, 28 unit diserahkan kepada MBSA, 18 unit kepada MBPJ,  dua unit untuk Hebat Abadi iaitu anak syarikat KDEB Waste Management  manakala baki dua unit lagi digunakan oleh bengkel untuk perkhidmatan sokongan.

Menteri Besar berkata, diskaun cukai pintu dapat diberikan susulan  kejayaan  Kerajaan Negeri mengurangkan kos pengurusan kutipan dan pelupusan sampah sebanyak RM100 juta setahun.

“Dari RM100 juta ini, saya gunakan 50% untuk memterjemahkan kecekapan kita untuk kesenangan rakyat. Dengan RM50juta ini,  Kerajaan Negeri boleh memberi diskaun 25% cukai pintu untuk pangsapuri kos rendah.  Inilah dikatakan hasil negeri untuk rakyat.  Lebih banyak hasil, maka banyaklah manfaat untuk rakyat,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata, penjimatan ini dapat dilakukan hasil pengurusan telus dan bertanggungjawab yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Di bawah penswastaan melalui Alam Flora sebelum ini,  rakyat tidak mendapat manfaat yang sebaik mungkin sedangkan penswastaan sebenarnya perlu melihat kepentingan rakyat bukan kontraktor sahaja.

“Kerajaan Negeri mampu  ambil alih tugas Alam Flora dan kita telah pun lakukannya. Bukan sahaja kita memberi perkhidmatan yang lebik baik tetapi juga dengan kos yang berpatutan,” kata Menteri Besar.

Beliau juga berharap dengan adanya 50 lori pemampat sampah , kerja pengurusan sampah akan berjalan dengan lebih lancar.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan membeli lagi 50 lori untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

KDEB  telah menandatangani perjanjian dengan pembekal di mana lori pemampat sampah yang rosak akan diganti baharu untuk sementara waktu sehingga lori berkenaan siap dibaiki.

“Menerusi perjanjian ini, syarikat pembekal akan menggantikan lori lain sementara menunggu lori rosak siap dibaiki. Justeru, kita tiada alasan kekurangan lori pemampat sampah kerana rosak,” kata Menteri Besar.


Matlamat Bersih demi keselamatan negara

Majlis Syura Ulamak PAS, 04 Jun 2012

Mukadimah

Demonstrasi Bersih 3.0 telah berlansung dengan jayanya sekalipun berlaku beberapa insiden yang sengaja dirancang oleh pihak tertentu agar ianya dianggap bercanggah dengan kehendak rakyat. Lantaran itu timbullah isu berkenaan hukum demonstrasi sama ada haram atau wajib. Kenyataan dari MAJLIS SYURA ‘ULAMA sengaja dilewatkan sedikit supaya suasana kembali tenang dan semua dapat membacanya dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Tulisan ini akan cuba merungkaikan permasalahan ini dari segi tujuan demonstrasi serta asasnya di dalam sunnah dan sejarah Islam bagi membuang kekeliruan yang sering menghantui golongan yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman.

Realiti Demontrasi Dari Perspektif Dunia Moden:

Demonstrasi adalah salah satu cara makluman kepada awam mengenai ketidak puasan hati terhadap sesuatu kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain setelah cara lisan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Dalam dunia demokrasi hari ini, demontrasi adalah sesuatu yang biasa berlaku di mana-mana negara demokrasi kerana ia adalah wasilah sesetengah golongan memberitahu kepada kerajaan dan rakyat khususnya apabila suara mereka cuba ditenggelamkan atau dimanipulasi oleh pihak yang berkuasa.

Dalam konteks Malaysia hari ini demontrasi ‘duduk dan bantah’ adalah salah satu cara terbaik menjatuhkan kezaliman khususnya sebagaimana yang telah berlaku di Mesir. Demonstrasi yang baik ialah demonstrasi aman, bersih dan tidak dicemari oleh unsur-unsur negatif. Malangnya, sebagaimana yang berlaku pada permulaan demonstrasi di Mesir, demonstrasi dicemari oleh tangan-tangan kotor pihak keselamatan polis dengan melakukan provokasi sehingga berlaku pertempuran kecil antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, adalah menjadi satu kesalahan dalam kontek negara demokrasi apabila pihak parti pemerintah menggunakan jentera kerajaan menghalang demokrasi aman dengan menggunakan jentera kerajaan kerana jentera kerajaan bukan milik parti pemerintah, tetapi ia juga adalah milik rakyat yang melakukan demonstrasi itu sendiri.

Apa yang diperkatakan di atas adalah realiti mukadimah tentang demonstrasi dari perspektif demokrasi dan realiti demonstrasi yang telah menumbangkan kerajaan yang zalim. Apa yang hendak difokuskan di sini ialah demonstrasi dari perspektif hukum Syariat.

Hukum Asal Demonstrasi

Demonstrasi adalah wasilah untuk menzahirkan sesuatu perasaan, tuntutan, bantahan dan seumpamanya. Demonstrasi pada asasnya tidak mempunyai hukum sama ada haram, wajib, sunat, harus atau makruh kerana ketiadaan dalil yang spesifik mengenainya. Hukumnya akan wujud bergantung kepada sebab ianya diadakan. Jika tujuannya baik dan penting, maka hukumnya boleh jadi wajib atau sunat. Jika tujuannya selain dari kebaikan dan kepentingan umat, maka hukumnya sama ada haram atau makruh.

Sama seperti pisau dan pedang, pemilikan dan pembeliannya tidak mempunyai hukum sama ada wajib, sunat, harus, haram atau makruh. Jika pembeliannya untuk tujuan yang wajib atau sunat, maka hukumnya adalah hukum tujuan tersebut. Dan begitulah sebaliknya, jika pembeliannya mempunyai tujuan yang lain, maka hukumnya adalah hukum tujuan tersebut.

Apabila seseorang isteri atau suri rumah membeli pisau yang baik dan tajam bagi memudahkannya menjalankan kewajipan menyediakan makan dan minum keluarga dirumah, maka pembelian pisau tersebut adalah sunat. Jika seseorang membeli pisau bagi tujuan merompak atau menyamun, maka pembelian itu adalah haram.

Begitulah demonstrasi, jika ia diadakan bertujuan yang baik dan murni, seperti mencegah kemungkaran yang besar yang tiada jalan lain melainkan dengan demonstrasi, maka hukumnya adalah wajib. Jika demonstrasi diadakan bagi tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam, seperti menyertai demonstrasi untuk menuntut kebebasan seksual, maka hukumnya adalah haram.

Oleh sebab demonstrasi boleh digunakan sebagai wasilah kebaikan dan wasilah kejahatan, maka ianya tidak mempunyai hukum tersendiri bahkan hukumnya dipengaruhi oleh tujuan dan matlamat demonstrasi itu diadakan. Bagi seseorang ulama di dalam menentukan hukum demonstrasi, mereka hendaklah melihat punca sebenar yang menyebabkan tercetusnya demontrasi tersebut. Penekanan yang perlu dibuat oleh mereka sebelum menentukan hukumnya halal dan haram tidak boleh hanya dilihat hanya kepada pihak kerajaan yang membayar gaji bulanan dan hanya membuka sebelah mata sahaja, tanpa merujuk kepada realiti sebenar yang berlaku dalam sistem pilihan raya sejak sekian lama. Begitu juga dengan kebebasan bersuara melalui media arus perdana yang biasa digunakan oleh semua negara-negara maju dalam dunia demokrasi hari ini. Kebebasan ini bukan sekadar demokrasi, malah ia merupakan tuntutan Islam itu sendiri.

Demonstrasi sebagai wasilah Amar Makruf dan Nahi Mungkar

Syariat menggesa umatnya supaya nasihat menasihati di antara satu sama lain. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
Maksudnya: Agama itu adalah nasihat. Sahabat bertanya: Untuk siapakah nasihat itu? Nabi menjawab: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan umat Islam keseluruhannya.

Bersama-sama kewajipan memberikan nasihat dan amar makruf, bersama itu juga terdapat kewajipan yang serangkai iaitu kewajipan mencegah kemungkaran. Kewajipan ini jelas daripada dalil yang banyak. Di antaranya ialah firman Allah: Maksudnya: dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. – (Aali-Imran: 104).

Bahkan Allah pernah melaknat sekumpulan Bani Israel suatu ketika dahulu kerana mereka tidak menyuruh yang makruf dan tidak mencegah kemungkaran, sekalipun mereka menyeru kepada kebaikan.

Firman Allah SWT:  Maksudnya: Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.

Firman Allah Ta’ala lagi yang bermaksud: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. – (Hud: 113).


Kepentingan mencegah kemungkaran untuk umat

Di sana terdapat ayat-ayat yang menunjukkan bahawa, jika kemungkaran didiamkan dan tidak dicegah, maka azab dan kesengsaraan bukan sahaja menimpa golongan yang zalim dan penyokongnya, tetapi termasuk orang-orang lain yang baik, tekun melakukan ibadat dan kebajikan.

Firman Allah swt: Maksudnya: Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka. – (Al-Kahfi: 59).

Firman Allah Ta’ala lagi: Maksudnya: Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. – (Al-Isra’: 16).

Di samping ayat di atas yang menunjukkan kelayakan azab bagi golongan yang zalim, di sana juga terdapat ayat yang menunjukkan bahawa azab akan tertangguh selagi mana ada golongan pengislah, iaitu golongan yang menentang kezaliman tersebut. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri. – (Hud: 117).

Ini menunjukkan, kewujudan golongan pengislah atau penentang kezaliman dapat menyelamatkan umat daripada dibinasakan oleh azab. Golongan penasihat (An-Naasihun) tidak sama dengan golongan pengislah (Al-Muslihun), di mana nasihat tanpa muslihun tidak boleh mengelakkan umat dari ditimpa oleh azab disebabkan kezaliman pemerintah dan penyokong-penyokongnya.

Selain daripada ayat-ayat suci Al-Quran di atas, di sana terdapat banyak hadis-hadis yang menunjukkan kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Antaranya ialah sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: Maksudnya: barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegah dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lidah, jika ia tidak mampu juga, maka hendaklah dicegah dengan hatinya. Mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman. – (Hadis riwayat Muslim).

Demonstrasi Di Dalam Sirah Dan Sejarah Islam

Apabila kita meneliti hadis dan kitab-kitab sejarah, di samping wasilah amar makruf dan nahi mungkar, demonstrasi sebagai wasilah menentang kezaliman dan kejahatan yang sengaja disembunyikan oleh si zalim bukanlah sesuatu yang baru.

Antara dalilnya daripada hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :

  1. Di dalam Sohih Al-Mawarid, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh Abu Daud di dalam sunannya dan juga oleh Ibnu Hibban di dalam sahihnya, bahawa seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah saw dan berkata: “Wahai Rasulallah, aku mempunyai jiran yang sentiasa menyakitiku.” Nabi berkata: “bersabarlah” sebanyak 3 kali. Sahabat tadi terus mengadu perkara yang sama (menunjukkan ia tidak tahan dengan perbuatan menyakiti oleh jirannya). Kemudiannya Nabi bersabda: “pergilah dan lemparkan barangan kamu di jalanan.” Sahabat tadi mengambil barangannya dan diletakkan di jalanan (sebagaimana yang dicadangkan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) sehingga orang ramai mengerumuninya dan bertanya: “kenapa dengan kamu?”. Lelaki tadi menjawab: “aku mempunyai jiran yang sentiasa menyakitiku” dan ia menceritakan apa yang dilakukan oleh jirannya. Orang ramai mula melaknati jirannya. Akhirnya, jiran yang zalim tadi datang memintanya pulang ke rumah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak akan menyakitinya lagi. - (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban. Al-Albani menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih).

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita, bahawa sahabat tadi dicadangkan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya berada di jalanan dengan barangannya untuk menarik perhatian dan memberitahu orang ramai tentang kezaliman tersembunyi jirannya. Jika kepentingan individu boleh mengharuskan sahabat tadi berada di jalanan, maka kepentingan awam yang melibatkan kezaliman yang disembunyikan oleh pemerintah lebih utama untuk dianjurkan perkara yang sama.


  1. Daripada Ibnu Umar R.A. pernah bersabda: “Jangan kamu memukul dayang-dayang (hamba-hamba perempuan) Allah.” Hadis ini bersempena dengan kedatangan seramai 70 orang wanita datang ke rumah Nabi SAW. Setiap mereka datang mengadu perihal suami mereka yang suka memukul mereka.


Hadis ini juga menunjukkan bahawa, isteri-isteri yang mempunyai masalah yang sama (mempunyai suami yang suka memukul) datang beramai-ramai berjumpa dan mengadu kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan meminta pembelaan. Justeru itu, Nabi mengeluarkan sabda dan arahan supaya jangan memukul isteri dan seterusnya Nabi menceritakan kepada sahabat-sahabat lain tentang peristiwa isteri-isteri yang datang berdemonstrasi meminta pembelaan.


Hadis ini menunjukkan bahawa para isteri berdemonstrasi menuntut supaya mereka dibela daripada kezaliman suami mereka. Nabi mengiktiraf apa yang dilakukan oleh kumpulan isteri-isteri tadi bahkan menyokong dan membela mereka dengan mengeluarkan arahan bukan sahaja kepada mereka, bahkan kepada umat Islam keseluruhannya supaya jangan memukul isteri.


Dr. Saoud Al-Nafiisan berkata: “Apabila perempuan-perempuan di zaman Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar secara berkumpulan dan berseorang pada satu malam mengadu tentang perihal suami mereka yang memudaratkan (suka memukul), bukankah ini demonstrasi aman? Apakah perbezaan antara peristiwa ini berbanding keluarnya bilangan seperti itu, atau bilangan yang lebih sedikit atau lebih ramai, sama ada pada hari ini atau hari esok, (berdemonstrasi) di hadapan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri atau Kementerian Keadilan atau Mahkamah Syariah atau Pusat Fatwa menuntut untuk berfungsi (sebagaimana sepatutnya), menuntut supaya kezaliman pemerintah dihapuskan, menuntut dihapuskan sekatan-sekatan untuk mereka berkahwin, menuntut supaya anak-anak dan suami-suami yang dipenjarakan tanpa tempoh kesudahan dan tanpa dibicarakan. Apabila wanita-wanita di zaman Nabi diharuskan untuk berbuat demikian (berdemonstrasi), maka apakah yang menghalang golongan lelaki (bukan sahaja wanita untuk berbuat benda yang sama?). Katakanlah kebenaran wahai golongan yang dipelihara oleh Allah!!!”.

Selain daripada dua hadis sahih di atas, di sana juga terdapat sejarah yang menunjukkan bahawa demonstrasi juga berlaku di dalam pemerintahan Islam. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Di dalam kitab Al-Kamil Fi At-Taarikh menceritakan, setelah Palestin ditawan oleh tentera Salib, penduduk Halab (terletak di Syria pada hari ini) berarak ke Baghdad (pusat khalifah) berdemonstrasi memprotes kelembapan khalifah bertindak terhadap tentera Salib di Palestin. Mereka menuju ke Baghdad melalu jalan pelbagai. Apabila semua mereka sampai di Baghdad, mereka mula berkumpul beramai-ramai yang akhirnya bukan sahaja disertai oleh penduduk Halab, tetapi ia juga disertai oleh pelbagai pihak termasuk para Fuqaha’ dan ulama’. Setelah mereka berkumpul, mereka mula menuju ke Masjid Sultan. Setelah mereka berdemonstrasi, sultan pada masa itu berjanji untuk menggerakkan tentera berjihad membebaskan Palestin tetapi para penunjuk perasaan perasaan terus berdemonstrasi (duduk dan bantah dan mereka tidak akan bersurai) sehingga kerajaan benar-benar melaksanakan tuntutan mereka (untuk selamatkan Palestin). Demonstrasi berterusan sehingga masuk ke Jumaat seterusnya dan mereka mula bergerak menuju ke Istana Sultan. Mereka bukan sahaja lagi disertai oleh penduduk Halab, tetapi penduduk Baghdad juga mula menyertai demonstrasi tersebut. Apabila mereka sampai di Istana, mereka dihalang masuk oleh pengawal (iaitu polis dalam kontek moden) lalu akhirnya mereka dapat merempuh sekatan tersebut seterusnya mereka merempuh pintu (istana).

Dr Ali Qurrah Daaghi , Setiausaha Majlis Ulama Antarabangsa, menyebut di dalam Mukaddimah Tahqiq kitab Al-Wasit: “tindakan penduduk Halab yang disertai oleh ulama-ulama pada zaman itu adalah pengisytiharan perang terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan kewajiban umat Islam dan pemimpin yang sibuk menjaga kedudukan berbanding berjihad dan perkara-perkara yang dialami oleh orang Islam.”.

  1. Dr. Muhammad Al-Jaabiri di dalam kitabnya Ibnu Rusyd: Sejarah dan Pemikiran menceritakan bahawa, penduduk Cordova (di Sepanyol pada hari ini) di zaman pemerintahan Islam telah menganjurkan demonstrasi bantahan terhadap pemerintah di sana. Demonstrasi itu berlaku disebabkan bantahan mereka terhadap seorang askar yang telah mencabul kehormatan seorang wanita Cordova. Demonstrasi itu seterusnya dapat menukar pemerintah tersebut dan seterusnya mereka melantik kumpulan hakim yang diketuai oleh Ibnu Hamdin.

Peranan demonstrasi di sdnia moden

Di dalam dunia moden, demonstrasi adalah sebahagian cara yang boleh dijadikan wasilah mencegah kezaliman dan menegakkan yang makruf. Ia bukan sahaja berlaku di negara-negara demokrasi yang bebas, tetapi juga ia sudah berlaku di negara-negara ‘demokusi’, iaitu negara yang mengisytiharkan sebagai negara demokrasi, tetapi mengambil pendekatan kuku besi. ‘Demokusi’ adalah istilah ringkasan antara demokrasi dan kuku besi.

Kejayaan demokrasi bukan sahaja lagi sebagai menuntut keadilan, bahkan kuasa demonstrasi pada zaman ini boleh menggulingkan kerajaan zalim dan jahat khususnya setelah kejatuhan regim Zainal Abidin di Tunisia dan Husni Mubarak di Mesir.

Demokrasi aman adalah cara terbaik sebagai wasilah mencegah kemungkaran, khususnya kemungkaran yang tersembunyi yang dilakukan pihak kerajaan, atau kemungkaran yang hanya difahami oleh segelintir kecil dan tidak difahami oleh segelintir yang lain.

Kepentingan demokrasi dilihat lebih berperanan khususnya apabila kerajaan dalam negara Demokusi seperti Malaysia yang mana beritanya dikawal, disekat dan dimanipulasi sehinggakan rakyat kebanyakan tidak dapat memahami realiti sebenar disebalik tindakan-tindakan kerajaan dan agensi-agensinya yang boleh membahayakan negara.

Dalam negara maju yang mengamalkan demokrasi tulen semua pihak boleh bercakap di media cetak dan elektronik, maka demantrasi amat tidak releven. Adapun realiti di Malaysia sangat berbeza,  kerana media cetak dan elektronik dikekang, suara mereka yang membantah pemerintah ditapis, kebimbangan mereka terhadap keselamatan negara disekat dari diketahui umum, isi komentar mereka dimanipulasi oleh media, maka keadaan ini lebih utama untuk mereka keluar ke jalanan bagi memberitahu umum tentang sesuatu perkara yang menjadi kepentingan awam.

Jika di zaman Rasululullah sebagaimana yang diceritakan di atas, kepentingan dan hak peribadi seorang jiran yang dizalimi oleh jirannya yang lain, kezaliman yang ditutup oleh si zalim, kezaliman yang hanya dirasai oleh seorang yang dizalimi, dibenarkan oleh Nabi untuk berdemonstrasi bagi menarik dan memberitahu orang ramai tentang kejahatan jirannya, guna bertujuan untuk mencegah kezaliman sekalipun ianya kezaliman ke atas seorang individu. Di zaman negara Demokusi, kejahatan dan kezaliman kerajaan yang hanya diketahuui dan difahami oleh segelintir masyarakat, kejahatan dan kezaliman yang ditutup dengan pelbagai akta seperti OSA dan sebagainya, kejahatan yang tidak mampu didedahkan dan difahamkan kepada masyarakat awam justeru media yang dikekang dan disekat, maka demonstrasi adalah lebih utama sebagai wasilah, guna bagi mencegah kemungkaran tersebut. Apatah lagi kejahatan dan kezaliman kerajaan yang boleh melibatkan keselamatan negara, maka ianya lebih utama untuk diguna pakai sebagai wasilah pencegahan.

Apakah matlamat Bersih diadakan?

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, hukum demonstrasi sama ada halal atau haram bukan dilihat kepada alat wasilah itu sendiri, atau dengan kata lain tidak boleh diukur kepada keluar ke jalanan membawa sepanduk sahaja, tetapi tujuan demonstrasi Bersih itu diadakan adalah menjadi kayu ukur kepada haram atau wajib demonstrasi ianya dianjurkan.

Bersih membuat tuntutan terhadap perubahan kepada 8 perkara iaitu, (1) bersihkan senarai undi, (2) mereformasikan undi pos, (3) Gunakan dakwat kekal, (4) Masa kempen minima 21 hari (5) Akses media yang bebas dan adil, (6) Kukuhkan institusi awam, (7) Hentikan rasuah dan (8) Hentikan politik kotor.

Kelapan-lapan tuntutan ini bukan sahaja tiada satu pun yang bercanggah dan haram di dalam Islam bahkan sebahagiannya adalah tuntutan Islam dan sebahagian yang lain pula adalah menjadi instrumen kepada keadilan yang lebih terjamin. Sampai hari ini, kerajaan tiada sebab untuk menolak dan tidak melaksanakan tuntutan ini melainkan hanya bersebabkan ianya sengaja dilakukan oleh pihak UMNO dan BN bagi menjamin penerusan kuasa mereka secara kotor.

Matlamat Bersih demi keselamatan negara

Apa yang lebih penting, demonstrasi bersih mempunyai tujuan yang sangat penting. Hari ini terlalu banyak bantahan yang dibuat terhadap daftar pengundi rakyat asing yang hanya dipandang sepi oleh pihak kerajaan yagn dikawal sepenuhnya oleh UMNO dan BN.

Isu ini boleh melibatkan isu keselamatan negara yang sepatutnya diambil berat oleh Parti Pemerintah dan kerajaan itu sendiri. Isu warga asing dengan mudah mendapat kerakyatan dengan diberika kad pengenalan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara, seterusnya dilayakkan mengundi dengan dimasukkan nama-nama mereka di dalam daftar pengundi.

Pihak Bersih berkeyakinan penuh bahawa rakyat yang menyokong UMNO dan BN bukan menyokong secara bundle. Ramai rakyat kebanyakan yang menyokong UMNO atas isu-isu tertentu dan termasuk juga rasuah politik melalui instrumen kerajaan. Tetapi dengan mandat dan kuasa yang diberikan oleh rakyat, UMNO dan BN telah menyalahgunakannya dengan memberikan kerakyatan dan Kad Pengenalan kepada warga asing, seterusnya SPRM melayakkan mereka untuk mengundi di dalam PRU ke 13.

Senarai pertambahan pengundi baru bukan hanya 10 atau 20 orang, tetapi senarainya mencecah ratusan ribu, peningkatan angka yang sangat drastik. Kemungkaran ini bukan setakat kemungkaran yang melibatkan individu, tetapi ia melibatkan keselamatan negara dan isu kedaulatan. Jika di zaman rasulullah, kepentingan individu berkait dengan individu lain dibolehkan untuk berada di jalanan bagi memprotes dan memberitahu awam, maka isu umat dan keselamatan negara ini lebih utama untuk dilakukan protes jalanan setelah segala rundingan dan cara perbincagnan dipandang sepi dan di’ding dong’kan oleh pihak berkenaan.

Maka apakah cara terbaik untuk mencegah UMNO dan BN melalui instrumen kerajaan membahayakan keselamatan negara demi kepentingan mengekalkan kuasa mereka? Rundingan telah diadakan, bantahan telah dibuat, perbincangan telah dilakukan, tak sampai 1 perseribu senarai yang tidak dikenali diluluskan bantahannya oleh SPR? Bakinya lagi bagaimana? SPR mengenakan birokrasi pelbagai bagi melambatkan bantahan, siapakah rakyat yang faham dan tahu? Manakah stesyen televisyen yang boleh memberikan ruang pendedahan kepada mana-mana rakyat sama ada ahli politik, akademik, hatta rakyat pernah ‘tangkap orang asing’ yang diberikan kad pengenalan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara?

Selain demonstrasi jalanan, apakah lagi instrumen terbaik di dalam realiti Malaysia yang mengamalkan Demokusi bagi memberitahu mereka yang tidak tahu, menyedarkan mereka yang masih tidur, menakutkan mereka yang berkepentingan, menyedarkan semua rakyat supaya bergerak membantah tindakan UMNO dan BN menggunakan instrumen kerajaan yang boleh membahayakan keselamatan negara?

Bersih hanya menuntut hak keadilan dan perubahan ke arah kebaikan di samping menyedarkan rakyat tentang tingkah laku UMNO dan BN melalui jentera kerajaan, bukan menuntut kerajaan ditumbangkan. Justeru itu, dimanakan kezaliman pihak Bersih dan di  manakah salahnya pihak bersih?


Ulamak perlu bersatu



Untuk menentukan masa depan Islam dan negara seluruh para alim ulama mestilah mempunyai sikap yang boleh menguntungkan Islam dan menjauhkan diri dari sikap kepentingan diri dan takut untuk berkata benar. Perjuangan untuk mengajak seluruh rakyat kembali kepangkal jalan dan menolak segala kemungkaran merupakan titik untuk para ulama bersatu. Mereka harus peka dengan suasana sekitar seperti sistem pemerintahan yang terpesong jauh dari landasan Islam seperti arak, judi, pelacuran, sistsem kehakiman dan mahkamah, sistem riba, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ratusan lagi yang haram disisi Islam yang perlu di keluarkan fatwa rasmi oleh semua para ulama Islam tanpa rasa takut dan samar. Semua ini berpunca dari silapnya rakyat memilih pemimpin atau disebabkan sistem pilihanraya yang berat sebelah yang membolehkan kemungkaran terus berleluasa.


Bergabung dan menyertai non-muslim dari perspektif Islam



Ada yang berpandangan bahawa PAS tidak sepatutnya menyertai Bersih yang dikepalai oleh Ambiga, seorang peguam yang bukan Islam. Pandangan itu sebenarnya tidak menepati realiti bersih dan hatta tidak bersandarkan kepada nas dan dalil yang tepat.

Bersih bukanlah parti politik atau gabungan parti-parti yang ada. Ianya hanyalah platform sementara yang bersifat NGO bagi membuat tuntutan keadilan pilihanraya bersih, adil dan telus atau dengan kata lain, menentang kezaliman sistem yang terus menerus semakin teruk dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun.

Bagi tujuan menentang kezaliman dan kemungkaran, maka golongan Islam boleh bergabung dengan non-muslim sama ada gabungan itu dalam bentuk orang Islam menjadi panganjur dan membenarkan non muslim menyertainya ataupun bergabung untuk menentang kezaliman dengan gerakan yang telah dianjurkan oleh golongan non-muslim.

Dalilnya keharusan menyertai gerakan atau perjanjian menentang kezaliman sangat jelas daripada hadis nabi SAW yang berbunyi: Maksudnya: sesungguhnya aku menyaksikan bersama bapa-bapa saudaraku satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku menyukainya sebagaimana aku memperolehi humru an-niam (unta terbaik dan termahal). Jika aku diajak untuk menyertainya di zaman islam, nescaya aku menyahutnya. – (Sanad yang sahih menurut kitab Ad-Duraru As-Sunniyyah).

Perjanjian Al-Fudhul adalah perjanjian menentang kezaliman terhadap mana-mana penduduk mekah atau pengunjungnya. Perjanjian Al-Fudhul berlaku di zaman Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam masih kanak-kanak dan belum lagi diangkat menjadi rasul. Perjanjian itu sudah pasti satu perjanjian yang dimeterai antara golongan non-muslim kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam belum lagi diangkat menjadi rasul. Pengiktirafan Nabi bahawa akan menyertai perjanjian seperti itu jika diajak di zaman Islam, iaitu di zaman beliau sudah menjadi rasul menunjukkan bahawa gabungan dengan non-muslim untuk mencegah dan menentang kezaliman adalah perkara yang bukan menjadi tegahan.

Perlu difahami bahawa Bersih bukan bermakna semua parti dan golongan yang menyertainya akan menerima dasar parti dan badan-badan bukan kerajaan yang menyertainya. PAS hanya menyertai gerakan Bersih bersama-sama dengan parti dan NGO lain atas dasar menentang penyelewengan dan tindakan kerajaan melaluil SPR dan pihak JPN yagn dianggap boleh membahayakan masa depan negara, buka mempunyai perjanjian untuk menerima dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam untuk diamalkan di dalam PAS.


Penutup dan Ringkasan Pandangan Majlis Syura Ulama PAS Pusat



Kesimpulan daripada perbincangan ini, apa yang paling penting yang perlu dilihat sebelum mengeluarkan fatwa hukum berkaitan demonstrasi Bersih ialah matlamat demonstrasi itu dan apa yang dituntut oleh Bersih, bukan perbuatan demonstrasi itu sahaja.

Ini kerana, demonstrasi tidak mempunyai hukum tersendiri tetapi hukumnya berubah disebabkan matlamat dan cara perlaksanaanya.

Di dalam perbincangan ini didapati bahawa demonstrasi mempunyai asas yang kuat daripada sunnah dan sejarah Islam sendiri dalam konteks untuk mendapatkan pembelaan dan mencegah kemungkran yang disembunyikan. Oleh itu, demonstrasi bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka yang menentang kezaliman dan kemungkaran.

Teknikal menentang kezaliman seperti bergabung dengan non muslim bukanlah isu utama selama mana gabungan itu bukan bermaksud menghakiskan dasar perjuangan yang mengikat gerakan Islam atau dengan kata lain, gabungan yang hanya mengfokuskan tuntutan perlaksanaan keadilan dan menentang kezaliman.

Atas alasan ini, maka MAJLIS SYURA ULAMA PAS melihat demonstrasi Bersih adalah paling sesuai dan sama sekali tidak bercanggah dengan syariat. Ianya amat selari dengan Syariat bagi menegakkan amar makruf dan nahi mungkar, bahkan ianya menjadi wajib apabila tiada cara lain yang lebih berkesan bagi menyekat kemungkaran dan tindakan UMNO dan BN yang membahayakan keselamatan negara dan terus menerus dengan cara kezaliman dan penipuan yang licik bukan sahaja kepada PAS tetapi kepada orang UMNO itu sendiri.

Sekian, Wassalam.

Tiada ulasan: