Jumaat, 15 Jun 2012

MEMANG SUKAR DICARI GANTI...BLOGGER PERNAH MENDAPAT TARBIYAH DARI BELIAU...SEMASA US ISMAIL HASHIM MENJADI PERSURUHJAYA PAS SELANGOR....

Agen tawar RM2 juta beli MP Pakatan Rakyat

Harakahdaily, 14 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini menayangkan video pendek yang didakwa bukti cubaan agen Umno Barisan Nasional (BN) membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Rakaman sepanjang 3 minit 41 saat itu mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di ibu negara.

Mereka terdiri daripada dua orang agen yang membuat tawaran, dua orang wakil ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat dan seorang driver kepada agen.

Khalid turut mendedahkan salah seorang agen tersebut adalah bekas ketua AMK Kedah, Zamil Ibrahim yang kini mengaku dirinya sebagai pemimpin Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita).

Antara kandungan perbincangan itu, salah seorang dari wakil ahli parlimen Pakatan itu berkata "Dua juta tak berapa cukuplah".

Lalu disambut oleh seorang lagi agen yang dinamakan Mr. X berkata "kita punya maksimum is like that...".

Kemudian kedengaran Zamil mencelah dengan berkata "kita dapat syiling sahaja...cuma itu Pak Zahrain...".

Rakaman perbincangan itu diakhiri dengan Mr. X berkata "Mula-mula dia dah bagi, lepas tu dia increase...tapi dalam Barisan Nasional sudah ada dah, ini price mana standardized,".

Lalu Zamil mencelah dengan berkata "Directlah!".

Menurut Khalid, rakaman yang didedahkan hari ini (gambar bawah) adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 3 jam.

Menurutnya perbincangan itu dirakam dua tahun lepas selepas beberapa ahli parlimen dari PKR melompat termasuk Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

"Video ini membuktikan bahawa pembelian ahli parlimen Pakatan Rakyat memang dijalankan oleh agen-agen yang bertindak bagi pihak Umno.

"Sebelum ini kita tidak ada bukti, tapi sekarang kita ada bukti dan kita mintak orang yang dinamakan (Zamil) memberi respons," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga turut mempersoal kemewahan yang diperolehi Zamil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Zamil katanya kini tinggal di banglo mewah di Kelab Cinta Sayang di Sungai Petani dan memiliki beberapa kereta mewah.

Sedangkan kata Saifuddin, beliau hanya mengenali Zamil dengan latar belakang seorang penjual burger, dan isterinya hanya penjual alat kosmetik tradisional.

"Dengan latar belakang itu, tidak diketahui dia ada perniagaan yang dapat laba tinggi," katanya.

Wajarkah pelabur mengelakkan kaunter FGVHB?

Dr Rosli Yaakop, 14 Jun 2012
Pengapongan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) pada 28 Jun ini berkemungkinan besar tidak akan membawa berita gembira kepada bakal pelabur. Masa dan ketika pengapongan amat tidak kena memandangkan arah aliran yang tidak menentu di dalam pasaran saham Malaysia dan dunia sekarang. Tambahan lagi, ekonomi dunia tidak sihat dengan beberapa negara Eropah menghadapi krisis hutang dan pelbagai negara lain termasuk Malaysia berdepan dengan kadar pertumbuhan rendah dan menurun.  Justeru, ada kemungkinan harga saham FGVHB akan jatuh di bawah harga IPO (harga tawaran awam awal) pasca pengapongan sepertimana yang telah menimpa saham Facebook dan pelbagai lagi saham syarikat yang senasib dengannya.
Maklumat terpercaya memberitahu pada mulanya harga IPO saham FGVHB dicadangkan pada RM5.85 se saham tetapi akhirnya bila pengapongan diluluskan Suruhanya Sekuriti Malaysia, harga didapati telah diturunkan kepada RM4.65 se saham, iaitu, penurunaan sebanyak RM1.20 atau 20.5% dari harga awal. Ini mengambilkira - berasaskan akaun terkini yang terkandung di dalam prospektus yang telah diluluskan - prestasi FGVHB yang tidak berapa memberangsangkan kebelakangan ini. Juga, penurunan harga IPO terpaksa dibuat memandangkan pasaran saham yang lemah dan tidak menentu. Harga yang terlalu tinggi (over-pricing) boleh memantulkan selera pelabur sehingga mereka mengambil sikap berhati-hati sebelum melanggan saham termasuk saham FGVHB yang bakal diapongkan ini. Penerbit (Felda) saham pula tidak mahu berdepan dengan situasi saham yang diterbitkan bermasalah untuk dijual sehingga badan kerajaan kaya tunai seperti Tabung Haji, KWSP, KWAP dan seumpamanya terpaksa dikerah untuk menyelamatkan keadaan.

Pada harga RM5.85 se saham, pengapongan 2,188,890,000 (2.2 bilion) unit saham FGVHB menjana kira-kira RM12 bilion tetapi pada harga RM4.65 dana dijana hanya kira-kira RM10 bilion, kerugian sebagayak RM2 bilion. Hatta, belum disenaraikan pun harga telah jatuh, maka kemungkinan bahawa harga pasca pengapongan juga boleh jatuh tidak boleh ditolak sama sekali.

Felda, yang bakal menawarkan seluruh sahamnya dalam FGVHB untuk dijual, iaitu, berjumlah 1,208,890,900 (1.2 bilion) unit atau 33% dari seluruh saham yang bakal diapongkan, akan kerugian RM1.4 bilion akibat daripada penyemakan menurun harga IPO saham FGVHB ini. Pada harga RM 5.85 se unit, ia menjana RM7 bilion tetapi pada harga RM4.65 se unit, ia hanya menjana RM5.6 bilion.

Mengambilkira harga yang tidak memberangsangkan ini, sepatutnya cadangan penyeneranain FGVHB ditangguhkan ke suatu waktu yang lebih baik supaya Felda tidak rugi besar. Soalnya: Kenapakah Perdana Menteri mahu menyenaraikan juga FGVHB dalam suasana pasaran yang tidak menentu yang jelas menyebabkan kerugian besar kepada Felda? Sikap ini amat sukar difahami. Penganalisis berpendirian penyenaraian FGVHB dibatalkan sahaja kerana tiada apa-apa untungnya kepada 112, 635 orang peneroka dan 1.6 juta ahli keluarga mereka.

Wajar bakal pelabur-pelabur mengambil iktibar dari bencana yang telah menimpa saham Facebook kerana pengapongan saham Facebook di Bursa Saham New York, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2012 lalu adalah yang terbesar di dunia setakat ini dan pengapongan saham FGVHB pula adalah yang kedua terbesar. Tidak boleh ditolak bahawa bencana yang telah menimpa saham Facebook boleh juga menimpa saham FGVHB. Lagi pun, Perdana Menteri telah menjadikan pengapongan saham Facebook sebagai tanda aras (benchmark) kepada pengapongan saham FGVHB.

Pengapongan saham Facebook pada 18 Mei pada harga IPO USD38 se saham menjana USD104 bilion untuk Facebook, yang tertinggi di dunia tetapi sejak pengapongan, harga telah jatuh teruk mencecah harga terendah USD25.52 se saham, iaitu, jatuh sebanyak 32.8%. Untuk menyekat kejatuhan harga berterusan, Facebook melancarkan kempen perhubungan awam besar-besaran mulai hari Selasa, 12 Jun 2012 tetapi harga hanya pulih sedikit kepada USD27.40 pada waktu tutup perniagaan pada hari berkenaan, menunjukkan bahawa pengiklanan secara besar-besaran pun tidak mampu menghasilkan kesan yang diharapkan. Prestasi lemah saham Facebook ini memeranjatkan ramai pelabur. Dengan membeli saham Facebook, ramai pelabur mengharapkan untuk menjadi kaya dengan segera tetapi dalam tempoh sebulan sejak penyenaraian, satu pertiga daripada nilai pelaburan telah terhakis. Ramai yang menjadi papa.

Selain daripada saham Facebook, banyak lagi saham yang menerima nasib seperti Facebook, iaitu, harga merudum pasca pengapongan. Setakat 30 Mei 2012, harga saham syarikat-syarikat berikut (ini contoh sahaja) telah jatuh teruk selepas pengapongan:


Nama Syarikat
Tarikh Pengapongan
Kejatuhan Harga Sejak Pengapongan
1
Zeltiq Aesthetics
19 Oktober 2011
-66%
2
Vanguard Health Systems
22 Jun 2011
-57%
3
Horizon Pharma
28 julai 2011
-57%
4
Groupon
4 November 2011
-45%
5
Taomee
9 Jun 2011
-44%
6
C&J Energy
29 Julai 2011
-40%
7
Zynga
16 December 2011
-40%
8
KiOR
24 Jun 2011
-41%
9
Compressco Partners
15 Jun 2011
-35%
10
Pandora
15 Jun 2011
-34%

Ini menunjukkan dengan jelas bahawa masa sekarang bukanlah masa yang terbaik untuk mengapongkan saham apatah lagi saham yang amat besar jumlahnya sperti FGVHB ini.

Kini, ramai pelabur mengambil tindakan undang-undang terhadap Facebook. Pada hari Rabu, 13 Jun 2012, tiga pelabur telah memfailkan saman menuduh Facebook dan penanggungnya (its underwriters) gagal mendedahkan kepada pelabur-pelabur maklumat bahawa penganalisis  telah menyemak turun unjuran hasil bagi suku tahunan dan tahunan 2012 sebelum hari pertama urusniaga saham berkenaan bermula (Jumaat, 18 Mei 2012). Maklumat ini adalah “material information” yang wajar didedahkan kepada  semua pelabur-pleabur.

Saman ini kemudian (pada hari yang sama) disusuli oleh satu tindakan saman berkumpulan (class-suit action) yang difailkan oleh firma guaman Robbins Geller Rudman & Dowd, menamakan Facebook, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg dan penanggung-penangung utama penyenaraian itu termasuklah Morgan Stanley, JPMorgan Chase, Goldman Sachs, Merril Lynch dan Barclays Capital sebagai tertuduh. Menurut siaran akhbar firma berkenaan, mereka dituduh melanggar  Securities Act 1933. Saman berbunyi:

Pada atau sekitar 16 Mei 2012, Facebook memfailkan dengan SEC Borang S-1/A Penyata Pendaftaran (Registration Statement) untuk IPO.  Pada atau sekitar 18 Mei 2012, Prospektus yang merupakan sebahagian daripada “Registration Statement” menjadi efektif dan tertuduh (defendants) telah menjual 421 juta saham biasa Facebook kepada orang awam pada harga USD38 se saham dan menjana hasil jualan melebihi USD16 bilion.
Saman menuduh bahawa “Registration Statement” dan Prospektus yang diterbitkan berhubung dengan IPO berkenaan adalah falsu dan menyeleweng (false and misleading) menyalahi Securities Act. Penuduh berkeyakinan bahawa tertuduh telah gagal mendedahkan maklumat bahawa Facebook telah mengalami penurunan yang ketara di dalam pertumbuhan hasil (revenue) berpunca dari penambahan penggunaan Facebook app atau sesawangnya melalui “mobile devices” berbanding melalui traditional PCs. Pada masa IPO, Facebook telah mengarahkan penanggung-prnanggungnya menurunkan unjuran prestasi bagi tahun 2012. Penyemakan semula ini adalah “material information” yang sewajarnya dikongsi dengan semua pelabur-pleabur tetapi tertuduh hanya mendedahkannya secara berpilih-pilih kepada pelabur-pelabur tertentu (certain preferred investors) dan telah tidak memasukkan “material information” berkenaan di dalam Registration Statement dan/atau Prospektus.”


Seorang peguam sekuriti yang pakar, Chris Keller (rakan kongsi firma guaman Labaton Sucharow) berpendapat bahawa “kes ini (saman terhadap Facebook)  besar dan agak kuat.”


Sesetengah penganalis pasaran melihat bahawa kejatuhan berterusan harga saham Facebook mulai hari Jumaat, 18 Mei 2012 (hari ia mula diniagakan)  di sebabkan oleh “too many shares were offered at too high a price causing a supply-demand imbalace that lead to the stock falling as much as 18% from it $38 offering price.” (“terlalu banyak saham ditawarkan pada harga yang terlalu tinggi menyebabkan penawaran dan permintaan tidak seimbang  menyebabkan harga saham jatuh sehingga 18% dairpada harga tawaran $38”).

Penganalisis pasaran menganggap pengapongan saham Facebook adalah “botched IPO” dan pengawalselia pasaran kewangan, iaitu, Securities and Exchabge Commision dan Senate Banking Committee dilaporkan telah mengambil maklum akan hal ini dan akan bertindak.

Kalau Facebook dikatakan gagal mendedahkan “material information” kepada pelabur, maka penganalisis melihat bahawa di dalam kes penyenaraian FGVHB terlalu banyak “material information” yang gagal didedahkan oleh pengurus terbitan dan bank-bank penangung kepada bakal  pelabur. Diperhatikan bahawa prospektus ditulis di dalam Bahasa Inggeris yang memang tidak difahami langsung oleh peneroka-peneroka Felda yang bakal melabur di dalam sahm FGVHB ini. Tidak ada usaha dan program yang teratur untuk memberi kefahaman secukupnya kepada bakal pelabur mengenai pengapongan saham FGVHB ini. Malah, ada permohanan dibuat oleh penerbit saham bagi dikecualikan dari mendedahkan maklumat mengenai prestasi anak-anak syarikat FGVHB di luar negara. Kalau Facebook disaman oleh pelabur-pelaburnya, maka adalah lebih wajar kalau pelabur-pelabur juga menyaman FGVHB.

Penganalis berpendapat bahawa harga saham FGVHB setelah diapongkan dan dijual beli nanti berkemungkinan menghadapi nasib yang sama dihadapi saham Facebook, iaitu, harga akan jatuh di bawah harga IPO menyebabkan kerugian kepada pelabur-pelabur.  Sebabnya, antaranya ialah, pertama, memandangkan terlalu banyak unit saham ditawarkan berbanding permintaan, sama seperti dalam kes saham Facebook. Kedua, masa dan ketika saham FGVHB diapongkan tidak kena kerana pasaran saham dalam negeri dan dunia seluruhnya sedang berdepan dengan suasana ketidaktentuan dan aliran menurun. Ketiga, faktor-faktor  fundamental bagi syarikat FGVHB itu sendiri tidak memberangsangkan – produktiviti ladang yang rendah dan menurun kerana lebih 50% pokok sawit sudah tua dan perlu ditanam semula, projek-projek pelaburan di luar negara milik FGVHB masih di peringkat belum mampu menjana keuntungan dan harga komoditi yang diunjurkan beraliran menurun. Keempat, diperhatikan saham FGVHB didominasi oleh pelabur institusional menyebabkan aktiviti jual beli saham tidak aktif dan meluas menyebabkan harga sentiasa tertekan. Kelima, keadaan ekonomi dunia yang tidak sihat menyebabkan pelabur-pelabur saham antarabangsa (hot money investors) akan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pelaburan.  Keenam, isu perundangan berkaitan penyenaraian FGVHB – misalnya, pelanggaran peruntukan GSA 1960 dan tidakturut sertanya KPF, pemilik majoriti Felda Holding Berhad (yang mana asetnya dipindahkan kepada FGHVB) - berpotensi menimbulkan risiko tidak diduga.

Memangkan faktor-faktor di atas, pelaburan dalam saham FGVHB berkemungkinan berisiko besar. Penganalis mengambil sikap mengelakkan dari membeli saham FGVHB. Pelabur-pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum melabur.

Harapan penganalisis, analisis yang didedahkan ini salah.

Haji atau pilihan raya menurut perbahasan syarak

Muhamad Zuhaili Saiman, 14 Jun 2012
Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

“Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim

Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :

1- Islam
2- Baligh
3- Berakal
4- Merdeka
5- Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.

Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :

- Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam
- Kewajipan hanya sekali sahaja
- Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib
- Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

- Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
- Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

“Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1- Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2- Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4- Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5- Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1- “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

2- “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3- Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :

4- “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

6- “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :

- Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
- Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
- Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
- Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1- Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2- Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3- Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

- Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
- Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
- Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

Feqh Aulawiyat : -

- Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
- Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1- Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2- Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3- Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4- Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :
1- Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2- Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3- Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4- Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5- Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6- Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :

1- Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2- Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3- Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4- Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5- Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6- Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami

Kehilangan besar buat rakyat Kelantan

Aslani M, 14 Jun 2012
KOTA BHARU: Kematian bekas anggota jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Ustaz Yahya Othman (gambar) petang tadi diterima dengan berita berbaur sedih seluruh rakyat Kelantan.

Beliau meninggal dunia di rumahnya di Banggol Judah, Labok akibat sakit tua. Beberapa tahun lalu Allayarham diserang angin ahmar menyebabkan pergerakannya terbatas.

Biar pun dalam keadaan keuzuran bagaimanapun beliau berjaya menyiapkan sebuah pusat latihan yang terletak di hadapan rumahnya, kini menjadi tumpuan banyak pihak.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai bapa tarbiyah PAS merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri ketika PAS menang pada 1990. Beliau menang di Dun Banggol Judah.

Berita kematiannya juga memenuhi ruang facebook di kalangan penyokong PAS.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya di atas kematian Ustaz Yahya.

“Saya dikhabarkan berita kematian alfadhil Ustaz Yahya Othman sebentar tadi. Innalillahi wainna ilaihi rajiun,” katanya.

Menurutnya Allahyarham seorang yang banyak berjasa kepada perjuangan mendaulatkan Islam terutamanya dalam aspek pentarbiahan.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, rakyat negara ini kehilangan seorang murabbi yang disegani dan sukar dicari ganti.

Katanya, Allahyarham bukan sahaja dikenali di negara ini sebaliknya mempunyai ramai sahabat di seluruh dunia terutamanya gerakan Islam sedunia.

"Tuan Guru Presiden pun ada menziarahi Allahyarham pada bulan lepas ketika menghadiri satu program anjuran PAS Machang di Madu," ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Ketua Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak juga terkejut mendengar berita kematian Allahyarham yang juga merupakan gurunya.“Allahyarham seorang yang istiqomah dan tegas dalam proses pentarbiahan ahli-ahli PAS, sebab itulah beliau menjadi penggerak utama program tarbiah dan seminar kepemimpinan yang diadakan di seluruh negara,” ujarnya.

سُوۡرَةُ الفَاتِحَة
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣) مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥) ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)
Surah Al-Fatiha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7) 
 
 

Ustaz Yahya Othman meninggal dunia

Harakahdaily, 14 Jun 2012
MACHANG: PAS hari ini kehilangan murabbi dan juga tokoh dakwah yang disegani, Datuk Ustaz Yahya Othman, 76, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang tadi di kediamannya di sini.

Menyorot latar belakang beliau, ketika dalam parti, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama’ (pernah jadi setiausahanya yang pertama) selain pernah menjadi AJK PAS Pusat dan AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat.

Beliau juga pernah menjawat jawatan YDP PAS Machang selama tempoh lebih kurang 20 tahun.

Di dalam kerjayanya pula, beliau pernah menjadi pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihanraya tahun 1978.

Pada pilihan raya 1990 beliau menang bertanding dan diamanahkan menjawat jawatan EXCO DUN Negeri Kelantan.

Beliau juga seorang pendidik yang gigih dan merupakan Pengasas Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (Kias), pengasas Maahad Dakwah wa Imamah, pengasas dan pengarah Institut al-Nur dan lain-lain lagi.

Beliau banyak menghasilkan kertas-kertas kerja dalam sektor tarbiyah Islamiyyah. Antara karyanya yang popular dan sentiasa dijadikan rujukan oleh sekalian ahli-ahli PAS yang beristiqamah dalam aktiviti-aktiviti parti ialah; Amal Jamai (Pengertian dan Tuntutannya) dan juga Himpunan Kertas Kerja Tarbiyah.
PAS sebelum ini menobatkan beliau sebagai Murabbi PAS sepanjang zaman.

Difahamkan solat jenazah akan diadakan di kediaman beliau jam 9 pagi esok.

Bersih 3: Berani menteri tanya kabinet mohon maaf

Lim Kit Siang, 14 Jun 2012
Jawapan yang telah diberikan oleh Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang dipayungi kerajaan Barisan Nasional dalam Parlimen semalam adalah satu pengakuan bahawa tiada sekelumit pun bukti yang mengesahkan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Gua Musang pada 4 Mei bahawa perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan pada 28 April. Oleh sebab itu, Menteri-menteri Barisan Nasional mesti meletakkan topik ini sebagai tajuk utama agenda Kabinet esok.
Menteri-menteri Kabinet mesti bersepakat dan ‘menyelamatkan air muka’ Perdana Menteri dengan mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf secara terbuka bagi pihak Perdana Menteri kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang telah berhimpun secara aman dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan kesemua 28 juta rakyat Malaysia bagi dakwaan yang tidak berasas mengenai Bersih 3.0 sabagai satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan pada 28 April.

Persoalan yang ditanya oleh warga Malaysia adalah sama ada akan adakah mana-mana Menteri sama ada daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak yang berani menyoal Kabinet untuk memohon maaf secara terbuka mengenai dakwaan Perdana Menteri yang melulu dan tidak berasas bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan pada 28 April.

Ataupun, adakah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir akan terbukti benar bahawa Menteri dalam Kabinet tidak kurang dari menteri yang “kurang cerdik”?

Selepas jawapan terkemuka yang diberikan oleh Nazri semalam di Parlimen, yang dicerminkan dengan kegagalan sepenuhnya untuk membekalkan sekelumit pun bukti untuk mengesahkan dakwaan Najib yang melulu dan tidak berasas, Kabinet wajib melakukan tiga perkara seperti berikut:

Pertamanya, untuk menyelidik pihak mana yang memberi maklumat palsu dan tidak berasas kepada Perdana Menteri bahawa perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan pada 28 April.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang telah memberi sokongan padu kepada dakwaan Najib, telah berkata pada hari keesokannya bahawa Perdana Menteri sudah pasti telah menerima ‘maklumat risikan’ oleh anggota cawangan khas sebelum membuat apa-apa dakwaan.

Akan tetapi, kenyataan ini telah dinafikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang telah mengeluarkan satu kenyataan selepas dua hari di Kulim bahawa pihak polis sedang menyiasat dakwaan Perdana Menteri yang perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Ini menunjukkan satu percanggahan kenyataan – jika Najib diberi nasihat oleh anggota cawangan khas yang menyebabkan beliau membuat satu kenyataan di Gua Musang, mengapa pula IGP mengeluarkan kenyataan akan penyiasatan diatas kenyataan yang dibuat oleh Najib selepas dua hari di Kulim?

Ada yang tidak kena dengan situasi ini. Adakah Perdana Menteri mempunyai satu lagi ‘cawangan khas’ untuk memberikan maklumat risikan yang tidak kena-mengena dengan pihak polis di bawah Ketua Polis negara yang tidak diketahui oleh Ketua Polis Negara itu sendiri?

Keduanya, Kabinet haruslah berhadapan dengan realiti dalam jawapan Nazri semalam bahawa kerajaan Barisan Nasional sebenarnya takut akan garam dan air mineral berbotol yang telah dibawa oleh peserta-peserta Bersih 3.0 pada 28 April – bukan sebagai alat untuk mencabar pihak polis tetapi untuk melindungi diri mereka daripada tembakan gas pemedih mata atau semburan air yang bercampur bahan kimia seperti yang telah berlaku pada hari itu.

Dalam jawapan yang telah diberikan kepada soalan tambahan jika kerajaan Barisan Nasional begitu rapuh sehinggakan boleh ditumbangkan dengan menggunakan garam dan air berbotol, Nazri berkata bahawa garam dan air berbotol tidak patut dipandang rendah kerana ia boleh menggulingkan kerajaan yang telah hilang keyakinan rakyat.

Kabinet harus berunding dan berbicara secara mendalam berhubung dengan pengakuan bijaksananya – bahawa kerajaan boleh digulingkan bukan sahaja dengan garam dan air berbotol tetapi oleh telefon bimbit juga seperti yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir sekiranya hilang sokongan oleh rakyat.

Isu sebenarnya bukanlah garam dan air berbotol atau telefon bimbit tetapi kehilangan keyakinan disebabkan rasuah yang berleluasa, penyalahgunaan kuasa, kemelesetan ekonomi, eksploitasi dan pencabulan hak asasi manusia.

Adakah Kabinet mampu untuk membuat pengakuan dan mengenalpasti mengapa selepas tiga tahun dalam pelbagai polisi transformasi, pentadbiran Najib masih tidak popular berbanding dengan Pakatan Rakyat sehingga Menteri-menteri dalam pentadbiran Najib yang membayangkan garam, air berbotol serta telefon bimbit sebagai weapons of mass destruction untuk mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional dan pimpinan Najib?

Ketiganya, Kabinet mestilah meminda dan mengaku akan prasangka buruk kerajaan dalam pengendalian perhimpunan Bersih 3.0 yang merupakan satu kemudaratan terhadap persepsi awam berbanding dengan pengendalian perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

Adakah Kabinet bersedia untuk mengambil keputusan untuk mengakhiri tohmahan dan fitnah terhadap penganjur Bersih 3.0 dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di dalam Parlimen serta media arus perdana dan paling pentingnya untuk membubarkan “panel penyiasatan bebas” Hanif diatas Bersih 3.0 dan memberi sokongan penuh kepada penyiasatan Suhakam untuk memastikan proses penyiasatan yang bebas, komprehensif dan kredibel terhadap keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira jika mangsa-mangsa tersebut adalah kakitangan polis, wakil media atau peserta perhimpunan?

Tiada ulasan: