Khamis, 21 Jun 2012

HUDUD HAQ ALLAH..KITA & SEMUA MAKHLUK DAN SEGALA ISI DUNIA HAK ALLAH..MAKA APA SEBAB ..APA ALASAN KITA NAK TOLAK HUDUD...KALAU ORANG ISLAM...LEBIH2 ORANG BERILMU...SEPERTI MUFTI2...USTAZ2...ULAMAK2..JIKA GULUNGAN NI MENOLAKNYA...MAKA MEREKA NAK MENCAMPAK DIRINYA KEDALAM NERAKA ALLAH

Hudud dan teokrasi: PAS sedia terus debat dengan MCA

Harakahdaily, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ekoran DebatKini baru-baru ini, PAS bersedia untuk terus berdebat dengan MCA dalam apa sahaja tajuk yang selalu dibangkitkan MCA termasuk isu hudud dan negara teokrasi.

Demikian dinyatakan oleh Dr Mujahid Yusof (gambar) kepada Harakahdaily ekoran debat beliau dengan Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu yang dianjurkan Malaysiakini baru-baru ini.

Dalam DebatKini itu, pemimpin Pakatan Rakyat berdebat dengan pemimpin BN di Dewan Perhimpunan China Selangor baru-baru ini.

Dr Mujahid dan anggota Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah mewakili Pakatan manakala Datuk Abdul Rahman Dahlan, ahli Parlimen Kota Belud serta Gan mewakili Barisan Nasional.

Dalam debat itu, isu hukum hudud menjadi isu apabila wakil MCA itu menyerang PAS dalam isu itu.

Gan mengutarakan isu adakah PAS akan menukarkan perkara asas di dalam negara sekiranya menjadikan negara ini, negara Islam dan melaksanakan hudud.

Sehubungan itu, Mujahid yang juga merupakan ahli Parlimen Parit Buntar dengan lantang membidas kenyataan Gan dengan mengatakan bahawa, walaupun PAS menjadikan agama Islam sebagai asas, tetapi parti itu sentiasa membuka ruang untuk demokrasi.

Beliau juga percaya, agama Islam merupakan sebuah agama yang menghormati pilihan.

“Kita komited dengan proses demokrasi. Walaupun dasar PAS ialah Islam tetapi kami percaya, Islam itu sebagai panduan. Sebab itu kita boleh komited dengan situasi yang pelbagai kaum.

“Saya juga percaya, kita perlu membincangkan (isu murtad) dengan lebih intelektual. Ia adalah intipati dalam ajaran Islam. Tetapi ia juga adalah interpretasi.

“Berdasarkan pengetahuan saya, mereka yang meninggalkan agama dalam sudut sejarahhnya adalah pengkhianat. Tetapi jika dia meninggal agama bukan atas dasar itu, maka lain pula pertimbangannya,” katanya kepada Harakahdaily.


(Keratan dalam ruangan komen Malaysiakini)

Ekoran debat itu, tokoh ekonomi dan pendidikan negara, Profesor Diraja Ungku Aziz mengucapkan tahniah kepada Mujahid.

Kata Ungku Aziz, "Syabas Mujahid Yusof Rawa!" dalam ruangan komen apabila berita debat itu disiarkan oleh Malaysiakini.

Mujahid membalas balik komen Ungku Aziz itu dengan menulis, "Salam, dan terima kasih Pak Engku."

Di samping Ungku Aziz, pelbagai pihak membuat ulasan atas ketegasan Mujahid menyatakan pendirian PAS di samping menyatakan dengan jelas komitmen PAS terhadap demokrasi.

Shahrun Ishak dalam ulasannya menulis, "Tahniah YB Mujahid Yusof Rawa. Ternyata UMNO selama ini berkawan rapat dengan MCA dan Gerakan tetapi makin menjauhkan mereka dari memahami Islam.

"Sedangkan PAS yang baru beberapa tahun bertahalluf dengan DAP sudah mampu memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam.

"Kita tidak paksa mereka menerima Islam sebagai agama sebab kita hormati hak beragama di Malaysia.

"Tapi sekurang-kurangnya mereka juga dapat menghormati hak umat Islam melaksanakan Islam di kalangan umat Islam."

Apa eloknya perjuangan asal Umno?

Subky Latif, 21 Jun 2012
SAYA terbaca seruan Khalid A. Samad, anggota Parlimen PAS Shah Alam menyeru  supaya UMNO kembali kepada perjuangannya yang asal.
Saya tidak ikut secara terperinci seruan itu. Tetapi  apakah perjuangan asal UMNO itu yang elok yang UMNO patut kembali kepadanya?

UMNO itu ditubuhkan atas kejayaan Dato Onn Jaafar menggagalkan Malayan Union dan berjaya mengembalikan kedaulatan raja-raja Melayu sesuai dengan perkembangan politik di Tanah Melayu.

Perjuangan utama UMNO yang asal itu ialah Hidup Melayu. Dan yang tersirat atas pembentukan UMNO itu ialah untuk mencabar perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu yang dipelopori oleh Partai Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan lain-lain.

Perjuangan yang mereka pelopori itu mendapat sambutan orang awam yang bekerja  sendiri atau yang tidak makan gaji dengan penjajahan British. Jumlah orang awam yang bekerja sendiri itu jauh lebih  ramai dari rakyat yang makan gaji dengan kerajaan penjajah.

Antara pegawai tinggi Melayu yang makan gaji itu ialah Dato Onn, Dato Panglima Bukit Gantang, Nik Ahmad Kamil dan lain-lain. Mereka tidak menyengutukan diri dengan pejuangan kemerdekaan itu. Lalu mereka pun menubuhkan UMNO dengan  slogan Hidup Melayu.

Ketika itu tidak salah menyuarakan Hidup Melayu kerana rakyat terbanyak masa itu adalah Melayu. Tiada berbangkit Hidup Melayu itu sebagai satu semangat perkauman.

Hidup Melayu tidak membawa erti kemerdekaan. Melayu boleh hidup di  zaman Peringgi. Ia hidup zaman Belanda dan ia hidup juga zaman Inggeris. Hidup Melayu boleh hidup bersama penjajah dan merdeka pun boleh. Tidak merdeka tak apa, merdeka pun tak apa.

Maka penjajah tidak curiga dengan penubuhan UMNO. Bila British bertindak mengharamkan PKMM dan lain-lain parti yang menyokong tuntutan kemerdekaan, Mat Saleh membenarkan UMNO terus dan mengangkat pemimpin-pemimpin UMNO menjadi menteri-menteri dalam kerajaan persekutuan dan Menteri-Menteri Besar.

Yang elok dalam perjuangan Hidup Melayu itu satu saja iaitu menyelamatkan takhta raja-raja Melayu. Ia tidak dibantah oleh majoriti orang Melayu. Tetapi Bahasa Melayu, kebudayaan orang Melayu, agama orang Melayu iaitu Islam tidak mereka pedulikan.

Kalau disuruh UMNO balik kepada perjuangan asalnya iaitu Hidup Melayu saja adalah sesuai dengan kemajuan masyarakat majmuk sekarang? Perjuangan itu pada masa ini sudah jadi perkauman. UMNO kini sudah sinonim dengan perkauman. Jika ia kembali kepada perjuangan asalnya, Hidup Melayu, maka menyuruh ia bertambah perkauman.

Bila Dato Onn, Dato Gantang dll keluar meninggalkan UMNO, barulah UMNO memadamkan  slogan Hidup Melayunya menggantikannya dengan UMNO. Bila Tunku dan Tun Razak beralih memperjuangkan kemerdekaan,  barulah orang Melayu yang menuntut kemerdekaan dulu beralih menyokong UMNO. Tetapi ia menekankan kedaulatan raja dan kemerdekaan saja. Bahasa Melayu, kebudayaan Melayu dan agama orang Melayu tidak diberatkan.

Selepas 54 tahun merdeka, Melayu pun tak berapa hidup, merdeka pun tak berapa merdeka, demokrasi pun tak demokrasi. Semuanya hanyut. Yang ada dalam UMNO ialah orang  cari makan dan mencari kekayaan sesama pemimpinnya dan kroni masing-masing.

Kata Tengku Razaleigh dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, UMNO sekarang sudah tidak lagi macam zaman Tunku dan Tun Razak. UMNO sekarang adalah parti politik yang rosak.

Bila Khalid suruh UMNO balik seperti dulu, nak balik ke mana? Ke zaman Dato Onn, Hidup Melayunya sekadar mendaulatkan  raja-raja. Merdeka tidak ada, dan jauh sekali dengan cabang perjuangan kebangsaan Melayu yang lain. Kedaulatan Raja-Raja sudah terjamin. Tidak ada rakyat Melayu, Cina, India dan lain-lain mahu derhaka macam Hang Jebat. UMNO tidak kembali ke  zaman dulu pun tak mengapa.

Kalau ikut kemahuan Hidup  Melayu, zaman ini ia seperti menghidupkan lagi perkauman.

Kalau ke zaman Tunku dan Tun Razak, merdekanya cacamarba. Perjuangan bahasa dan kebudayaannya seperti  tidak ada.

UMNO sekarang sudah tidak dapat diikut. Kalau ia kembali ke  zaman  dulu  termasuk zaman Tunku, tidak juga banyak yang elok yang dapat diikut. Sekarang ia  tidak dapat dibanggakan.  Dulu pun tidak banyak yang hendak dibanggakan.

Peristiwa Israk Mikraj suatu mukjizat

Nurul Fatimah Zahara Mohammad Radzi, 21 Jun 2012
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, tahun ke-12 dari masa kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Ianya juga merupakan peristiwa penting yang dirayakan setiap tahun oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini bersamaan 662M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah.

Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki burak bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj pula membawa maksud naiknya Nabi s.a.w ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud “Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama' tafsir secara umum menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh Nabi s.a.w. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan, yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.

Mukjizatnya peristiwa ini jelas tergambar dari masa perjalanan yang hanya selama 3/4 malam iaitu dari jam 6 petang hingga 6 pagi sahaja Nabi sudah kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar. Baginda menunggang Buraq bersama Malaikat Jibril dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Peristiwa luar biasa ini paling penting dalam kalendar Islam kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur. Ia sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah berlaku ke atas rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai tanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sepanjang perjalanan Israk Rasulullah s.a.w yang ditemani Malaikat Jibril a.s telah melihat pelbagai peristiwa aneh. Antaranya Nabi melihat satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Nabi telah diperlihatkan sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Nabi turut melihat sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

Selain itu, Nabi melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami. Turut kelihatan seorang lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril, itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Ketika Nabi diIsrakkan, Nabi telah diberi gambaran oleh Allah akan keadaan umur dunia yang sangat tua melalui keadaan seorang perempuan bongkok tiga yang menahan Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Pelbagai peristiwa aneh lain yang berlaku di malam Israk Mikraj ini yang banyak memberi maksud tersurat dan tersirat di sebaliknya.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita sebagai umat Islam hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya telah memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.

Penulis ialah pelajar kursus Bahasa Arab dan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Negara berkebajikan PAS bela semua kaum

Harakahdaily, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan bukan sahaja hak bumiputera malah hak kaum lain juga akan lebih terbela jika diberi mandat menerajui negara ini lebih-lebih lagi dengan konsep negara berkebajikan yang digagaskan parti itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan berkata, negara berkebajikan PAS juga akan memastikan negara ini ditadbir lebih baik dengan meletakkan pembangunan seimbang antara fizikal dan rohani.

"Kita tidak mahu membina sebuah negara yang maju dari sudut material dan fizikal, tetapi dipenuhi kemungkaran dari sudut ekonomi, politik dan sosial sehingga mengundang kemurkaan Allah," katanya.

"Kita tidak mahu kekayaan bumi yang Allah beri ini hanya berlegar-legar untuk golongan elit dan pemerintah sahaja," sambungnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program debat Dalam Radar Khas bertajuk 'Malaysia Negara Berkebajikan, Dasar Baharu atau Amalan Sedia Ada' anjuran Bernama Radio 24 di wisma Bernama di sini petang tadi.

Selain beliau, dua lagi panel debat adalah Pengerusi Sekriteriat Ilmuan Malaysia (Ilmu) Dr. Fadlan Mohd Othman dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman.

Debat itu dikemudi Sayed Munawar Sayed Mustar dan Wan Syahrina.

Menurutnya, negara berkebajikan PAS berbeza dengan apa yang dilaksanakan Umno BN pada hari ini dan ianya merupakan alternatif kepada pendekatan kerajaan sekarang.

Antara prinsip asas negara berkebajikan PAS adalah memastikan kepimpinan negara di kalangan orang yang berintegriti dan berakhlak.

Ianya bagi memastikan tiada unsur penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran.

PAS ujarnya telah terbukti mempunyai kepimpinan dengan ciri-ciri tersebut dan dapat dilihat pada model kerajaan negeri Kelantan yang 20 tahun memerintah dengan sifar rasuah.

"Ini menunjukkan nilai integriti kepimpinan yang kita tawarkan," katanya lagi.

Sayed Munawar turut bertanya, jika yang bermasalah itu adalah pemandu (pemimpin) sahaja, kenapa perlu untuk menukar kenderaannya (pemerintahan) sekali.

Nasrudin kemudian menjawab realiti di negara ini, pemandu bukan sahaja bermasalah malah cenderung mengubah struktur kenderaan sekali mengikut citarasa sendiri dan sebab itu ianya harus ditukar.

Beliau turut menjelaskan negara berkebajikan bukanlah dasar baru PAS menggantikan negara Islam tetapi hanya pendekatan yang terangkum dalam negara Islam itu sendiri.

Ianya juga katanya penjenamaan semula agar perjuangan Islam PAS itu lebih mudah diterima semua pihak.

"Memberi nama baru yang seerti dengannya (negara Islam) itu adalah satu kebijaksanaan yang perlu ada pada pemimpin sekarang ini," jelasnya.

Runtuh lagi: Astaka dalam pembinaan pula

Khairul Azlam Mohamad, 21 Jun 2012


BESUT: PAS Kawasan Besut menggesa pihak berkuasa menangguh serta menghentikan segera pembinaan sebuah bangunan baru Astaka Jertih yang sedang dalam pembinaan yang runtuh petang tadi.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 2.15 petang, apabila tiba-tiba bangunan astaka dalam pembinaan yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Jertih itu runtuh.

Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad menggesa agar kerja-kerja pembinaan bangunan tersebut dihentikan segera bagi tujuan siasatan.

Katanya, kejadian bangunan runtuh itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa bagi mempastikan selamat serta tidak membahayakan nyawa para pekerja lain jika diteruskan.

“Saya diberitahu oleh orang ramai yang mengetahui kejadian bangunan Astaka yang masih dalam pembinaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian itu.
(Gambar: Seorang mangsa kejadian bangunan Astaka dalam pembinaan yang runtuh diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat daerah Besut.
“Kita (PAS) melahirkan rasa dukacita kerana terlalu banyak kejadian bangunan runtuh berlaku di Terengganu di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita baru sahaja mengadakan program Himpun & Ingat Stadium Runtuh pada 8 Jun lalu, bagi mengingatkan rakyat tentang kelemahan Umno BN,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, petang tadi.

Menurutnya, kejadian malang tersebut sehingga jam 3.30 petang tadi seramai enam orang berjaya diselamatkan di bawah runtuhan berkenaan oleh pasukan anggota Bomba dan Penyelamat Besut.

Harakahdaily dimaklumkan kesemua mangsa runtuhan bangunan tersebut dihantar ke Hospital Daerah Besut yang sebahagiannya cedera parah.

Ustaz Wan Azhar mendakwa banyak kejadian runtuh berlaku di negeri ini termasuk Dewan Sekolah Menengah Ajil, makmal Komputer, bumbung Masjid Batu Putih, bumbung stesen bas Kuala Berang, bangunan tambahan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tiada ulasan: