Sabtu, 30 Jun 2012

TAKDIRLAH...ORANG MELAYU SELALU KATA 'NASIBLAH'....BUAT BAIK TAK MENJADI...BUAT JAHAT DAN MENGANAS PUN TAK MENJADI...HELAH PUN TAK MENJADI...PERANGKAP PUN TAK MENJADI...FITNAH APA TAH LAGI...MUHASABAH DIRILAH BERAPA BANYAK BUAT SALAH GAN RAKYAT...LEBIH2 LAGI DENGAN ALLAH SWT....

ISA: SMM tuntut mansuh segera, bebaskan tahanan

Harakahdaily, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tegas dengan pendirian bahawa kerajaan perlu membebaskan tahanan ISA yang masih berbaki seramai 45 orang.


“Kami melihat suatu percanggahan berlaku di peringkat kerajaan apabila masih ada tahanan ISA yang tidak dibebaskan walaupun sudah lama jaminan pemansuhan ISA dijanjikan oleh Perdana Menteri.

“Kami membidas sikap kerajaan yang berdolak-dalik menggunakan isu ISA sebagai janji politik dalam masa tahanan ISA masih dipenjara secara zalim,” kata Pengerusinya, Safwan Anang.

Beliau berkata, akta drakonian ISA melalui tahanan tanpa bicara itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan negara yang mundur dari sudut moral pengamalan kedaulatan undang-undang.

Katanya, Kerajaan Malaysia seharusnya malu dengan sikap acuh tak acuh mereka terhadap akta zalim itu.

“Sekiranya benar mereka didapati bersalah, kami menggesa pihak kerajaan memberikan mereka peluang perbicaraan yang adil bersama bukti yang kukuh kesalahan mereka, bukannya tahanan senyap seperti ISA,” ujarnya.

Jelasnya, SMM di peringkat mahasiswa menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya mahasiswa dan anak muda untuk sama-sama menyokong Gerakan Mansuhkan ISA yang akan mengadakan protes esok malam di hadapan Bukit Aman, juga pada 1 Julai di hadapan Kem Tahanan Kamunting.

Kemenangan Morsi: Antara persepsi orientalis dan sikap apologis

Dalam laporan dan komentar sebahagian besar media Barat mengenai dunia Islam, identiti ideologi politik tidak dapat dielakkan daripada disebut untuk memperkenalkan kedudukan seseorang individu atau kumpulan tersebut.

Selain kecenderungan - yang dalam banyak kes dibuat-buat - untuk melabel dengan label "progresif," dan "moderat," satu lagi kecenderungan ialah memberi label Islamis.

Label Islamis, dari sudut pandangan Barat yang bersifat orientalis memberi implikasi yang pelbagai, yang dalam pandangan hitam-putih mereka meletakkan kumpulan ini dalam kategori bertentangan dengan moderat, malah mempunyai kecenderungan ekstrem yang bertentangan dengan demokrasi, walaupun mereka menang hasil pilihan raya.

Liputan sejurus selepas kemenangan calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di Mesir, Mohamed Morsi memperlihatkan pandangan orientalis yang kuat dalam kalangan media Barat, terutama media besar di Amerika Syarikat dan Inggeris.

Pemerhatian pada laman web beberapa media Barat mendapati penggunaan istilah Islamis bagi menyifatkan Morsi, yang diumumkan menang jawatan presiden. Antara akhbar yang menggunakan istilah Islamis dalam laporan utama mereka ialah Washington Post (Islamist Morsi Wins Egyptian Presidential Vote), Wall Street Journal (Islamist Morsi Wins Egypt's Presidential Vote), The Times (Islamist Morsi Becomes Egypt President), BBC (Islamist Mursi Wins Egyptian Presidency), dan Financial Times (Islamist Leader Wins Egyptian Presidency).

Penggunaan istilah Islamis mungkin tidak dilihat sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar satu identifikasi, tetapi identifikasi hanya kumpulan-kumpulan tertentu menjelaskan maksud dan implikasi penggunaan istilah atau label tersebut.

Ini kerana label (selain pengenalan biasa konservatif dan liberal) tidak digunakan terhadap terhadap kumpulan dominan yang diterima sebagai pegangan yang "sewajarnya." Label biasa digunakan terhadap kumpulan seperti Hamas dan gerakan Islam lain dan juga kumpulan berhaluan kiri. 

Pemilihan penggunaan istilah Islamis dalam tajuk-tajuk berita utama di atas memberi kesan kepada audiens utama media terbabit, dan termasuk sebagai satu bentuk pembentukan pendapat dan agenda.

Satu lagi kecenderungan ialah perbandingan simplistik hitam-putih yang oleh pihak tertentu di Barat perkembangan melibatkan kumpulan Islam seperti yang berlaku di Mesir kini dengan pemerintahan seperti di Iran.

Wacana Orientalis seperti ini mencetuskan persoalan seperti Mesir menjadi seperti Iran, kebimbangan terhadap pemerintahan yang mengekang minoriti dan pelbagai soalan lain yang menggambarkan prejudis dan kelemahan dalam berfikir dan membaca sejarah semasa dan silam.

Pada masa sama, ramai daripada kalangan umat Muslim dan pengkagum Ikhwan al-Muslimin hanya melihat dari sudut tertentu, seperti isu Morsi yang dikatakan hafal al-Quran (dan ada yang kemudian membandingkannya dengan pemimpin-pemimpin pemerintah di negara ini sebagai satu serangan peribadi murahan) dan terlalu bergembira dengan kemenangan itu.

Wujud juga kecenderungan apologis dalam kalangan umat Muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia juga, yang suka menekankan kepada hal yang dilihat sebagai satu prioriti baharu gerakan Islam dan memberi gambaran gerakan Islam kini sudah matang dan tidak akan menumpukan pada isu agama.

Malah ada yang menyatakan Morsi akan meletak jawatan dalam parti dan Ikhwan "supaya dapat menjadi presiden untuk semua," seolah-olah beliau akan menjadi presiden untuk kelompok gerakan Islam sahaja jika tidak berbuat demikian.

Pelbagai persepsi dan wacana yang dipaksakan muncul dalam era ini, yang menyebabkan ramai menerima bulat-bulat hujah dikemukakan tanpa menilai dengan lebih kritikal, ketika gerakan dan parti Islam mula menjadi pilihan dalam sistem politik demokrasi.

K-pop, artis dan Pilihan Raya Umum ke-13

Budaya popular semakin menjadi ciri penting kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, sehingga semakin mengambil bahagian yang besar dalam wacana politik popular negara.

Kempen Barisan Nasional melalui perhimpunan belia di Putrajaya minggu lalu menerima reaksi negatif, termasuk daripada mufti Perak ekoran kemunculan artis pop Korea yang berpakaian tidak sopan.

Sekitar masa yang sama, pemerintah juga menerima artis popular Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman menyertai Umno, perkembangan yang mencetuskan kejutan ekoran publisiti meluas sebelum ini melibatkan hubungan Amy dengan PAS.

Pada masa sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak ketinggalan dalam kempen menarik undi belia, dengan program utama untuk tujuan ini, festival Rock the Youth.

Festival ini menampakkan ciri politiknya dengan jelas, antaranya melalui kemunculan A Samad Said, seniman dan kini lebih dikenali sebagai aktivis Bersih 3.0 dan penyokong kuat PR.

Dengan tema "celebrating and empowering," kempen Rock the Youth ini menjadi medan untuk PR terutama di Selangor berusaha memenangi hati pengundi muda, tanpa terlalu menampakkan penglibatan ahli politik atau kerajaan negeri.

Sentimen yang digabung dan diraikan dalam festival itu memperlihatkan dengan jelas kecenderungan politiknya, yang paling jelas dapat dilihat melalui liputan oleh media kerajaan negeri.

Elemen rock dan budaya popular biasanya seiring dengan sentimen anti-establishment atau antirejim, yang dapat diperhatikan melalui festival Rock the Youth oleh kerajaan Selangor.

Kempen Rock the Youth oleh kerajaan Selangor ini mempunyai beberapa persamaan dengan kempen kesedaran politik Rock the Vote di Amerika Syarikat, yang dijalankan dengan imej budaya pop berciri MTV ditujukan kepada belia.

Elemen budaya popular dan kecenderungan liberal kempen berciri MTV itu (termasuk penglibatan artis yang sebahagian besarnya menyokong Demokrat) secara langsung memberi manfaat kepada Parti Demokratik berbanding Parti Republikan, walaupun Rock the Vote tidak memperlihatkan atau menyatakan pilihan parti dengan jelas.

Malah, salah satu peristiwa yang disebut sebagai satu kejayaan kempen Rock the Vote ialah tindakan Presiden Bill Clinton menandatangani Akta Pendaftaran Pengundi Nasional pada 1993. 

Kerajaan PR Selangor dapat memanfaatkan semangat yang diraikan dan dibina melalui program itu, pada masa sama memperlihatkan sikap mesra dengan generasi muda dan hiburan.

Hal ini penting dalam kempen politik melalui budaya popular yang semakin meningkat pada masa ini, dengan perdana menteri turut sama menonjolkan diri dalam acara-acara melibatkan golongan muda.

IPO FGVH akan jadi macam IPO Facebook?

Dr Dzulkefly Ahmad, 28 Jun 2012
Meskipun kerajaan sangat berbangga dengan menyebutkan bahawa saham FGVH yang akan disenaraikan atau diapong, telah lebih dilanggan (oversubscribed) sebanyak 17kali sebelum IPO atau Pensenaraiannya hari  ini, saya pernah membuat ramalan bahawa pelabur institusi (institutional investors) tidak akan mahu kekal sebagai pelabur jangka panjang khasnya kerana beberapa informasi khususnya tentang usia pokok Felda yang akan memerlukan tanaman semua hampir lebih dari 50% beserta dengan perbelanjaan kos yang besar.

Telahan saya ini semacam disahkan apabila Jurnal Wall Street (WSJ) semalam, membuat ramalan bahawa pelabur tidak mahu kekal dalam jangka waktu panjang sebab tahap pengeluaran dan unjuran pegeluaran CPOnya adalah rendah berbanding dengan pesaing-pesaingnya. Felda adalah pengeluar CPO yang ketiga di dunia.

WSJ merakamkan pendedahan FELDA, dua hari sebelum IPOnya tentang penurunan keuntungan sebanyak 50% dalam suku tahun yang pertama adalah sangat mengejutkan berbeda dengan apa yang disebutkan dalam prospektus penyenaraian FGVH. Sementara prospektus merakamkan permintaan global minyak makan dan lemak (fats) meningkat 4.2%  (produk utama minyak kelapa sawit), WSJ mempertikaikan bagaimana pertumbuhan yang baru dilaporkan oleh Felda hanya mampu menunjukkan pendapatan sebanyak 1.8% sahaja.

Felda telah memberi alasan yang cukup meleset kerana menyalahkan tentang kos bayaran yang lebih untuk CPO atau minyak sawit mentahnya berbanding pesaingnya. Alasan ini diremehkan oleh Jurnal ulung itu sebagai satu kelemahan pihak pengurusan yang sepatutnya tahu tentang kedudukan pokok sawitnya.

Maklumat seperti ini yang datang kemudian tidak dapat menyuntik keyakinan pelabur diambang pensenaraian FGVH ini seperti juga ia tidak akan menggalakkan pelabur untuk terus kekal bersama mereka mengikut ramalan WSJ itu.

FGVH adalah pensenaraian kedua terbesar selepas Facebook yang menjana USD16. Seperti juga Facebook, FGBH kini ditakuti akan mengalami nasib yang sama.

Untuk pengetahuan umum, Facebook sehingga hari ini masih mengalami kesan IPO atau penyenaraiannya yang penuh dengan kontroversi. Facebook berdepan dengan beberapa tindakan mahkamah oleh beberapa pemegang saham Facebook dan pelabur institusi yang mendakwa bahawa Facebook tidak mendedahkan kedudukan kewangannya yang sebenar dan juga membuat pendedahan secara selektif kepada beberapa pelabur akan maklumat tertentu.

Nasdaq (Bursa Saham New York) masih bergelut dengan dakwaan atau law-suit ini. Penanggung utama (lead arranger) dalam pensenaraian Facebook iaitu Morgan Stanley (MS, Fortune 500) didakwa mendapat informasi kewangan yang tidak diberikan (disclosed) kepda semua pihak dalam prospektus. Di katakan bahawa harga $38 kekal pada berapa hari selepas IPO kerana saham-saham yang dijual dibeli saham-saham itu oleh beberapa penanggung utama seperti Goldman Sachs (GS, Fortune 500), JPMorgan (JPM, Fortune 500) and Bank of America (BAC, Fortune 500).

Saya khuatir IPO FGVH akan mengalami nasib yang sama khasnya kerana pensenaraian ini adalah lebih kontroversi lagi dari Facebook. Bayangkan apabila pemegang saham antarabangsa  tahu cerita tentang segala kontroversi perihal lantikan pengerusi, tribunal, dakwa-dakwi dan segala yang dilalui pahit maung dalam IPO FGVH ini.

Kita perlu ingat terkadang kali ada pelabur-plabur ‘asing’ yang lebih menitikberatkan juga hal-hal moral-etika (seperti tuntutan pertumbuhan mapan-hijau, mesra alam, mesra binatang dll)  dan aspek  komplian dalam peraturan menulis prospektus seperti  tuntutan ketelusan atau ‘disclosure’ seperti disaksikan dalam IPO Facebook.

Apakah semua karenah yang dilalui Facebook akan juga dilalui FGVH termasuk harga saham dan keyakinan pelabur-pemegang saham dan dakwa-dakwi mahkamah nanti? Mungkin tidak seteruk Facebook.

Perhatikan gelagat mengambil keuntungan pada harga yang dijangka tinggi pada hari IPO tetapi lebih penting adalah siapa yang akan bertahan menjadi pemegang saham dalam jangka waktu jauh.

Hanya Allah yang lebih tahu dan masa akan menentukan!

Mufti dengan haji dan pilihan raya

Subky Latif, 26 Jun 2012
SAMA ada Perdana Menteri Najib dapat petunjuk atau tidak  dapat petunjuk rasanya dia tidak akan mengadakan pilihan raya dalam musim haji.
Jika dia hendak mengadakan pilihan raya berhampiran dengan musim haji, maka dia akan pastikan belum ada jamaah yang sudah berangkat ke Mekah dan sesudah semuanya balik baru Parlimen dibubarkan.

Kalau Dr. Mahathir yang lebih degil daripadanya tidak lagi mengganggu orang haji selepas PRU 1986 setelah kerajaan  dikritik gara-gara PAS bercadang untuk menangguhkan haji, maka Najib juga tentu mengambil ikibar daripada kecaman dan ingatan PAS itu.

Simpati  rakyat kepada PAS atas isu ini boleh menjejaskan peluang Najib bagi mengekalkan kuasa.

Tindakan Najib itu dibuat setelah mengambil kira hisab politik, bukan kerana mendengar alasan setegah mufti yang kebanyakan mahir dengan kitab kuning yang tidak memahami politik itu adalah satu juzuk penting dalam Islam.

Baik Mufti Selangor mahu pun Mufti Perak hanya tahu siapa yang  cukup syarat menangguhkan haji kalau mati sebelum menunaikan haji wajib, maka matinya mati Yahudi,  Nasrani dan mati jahiliyah. Tidak langsung ada mempelajar kitab ulama terbaru seperti Sheikh Yusof  Qardawi, Hassan al-Banna, Abdul Karim Zaidan dan lain-lain.

Mungkin ulama PAS itu politik belaka. Tetapi pandangan bekas Mufti Perlis,
Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang mengajinya bukan sekadar di institusi pengajian tinggi  Islam antarabangsa tetapi mengaji juga di Universiti Oxford ternyatalah tidak standardnya setengah mufti kita.

Dr. Maza berpendapat adalah satu kesalahan mengadakan pilihan raya pada waktu haji. Ia seperti mengadakan  solat  di  tengah jalan, tempat orang lalu lintas. Kesalahan itu bukan terhadap orang yang lalu lalang di depan  dan belakang orang yang solat, tetapi orang yang memilih solat di tempat  seperti itu yang berdosa.

Padanya perkara ini pernah dibahaskan oleh ramai ulama termasuk  Ibn Hajar yang menghasilkan kitab Fathul Bari.

Setakat ini pandangan Dr. Maza itu adalah lebih kuat dari pandangan beberapa mufti yang menyanggah amaran PAS tentang isu itu.

Dr. Maza adalah bekas mufti  dan ada pengalaman sebagai pembuat fatwa. Dia tidak lagi jadi mufti bukan kerana  dibuang atau pandangannya tidak disenangi oleh kerajaan Perlis. Dia berhenti sendiri dengan dia saja yang tahu sebabnya.

Semasa jadi mufti dulu ada juga pendapatnya disanggah orang. Tetapi Dr. Maza belajar lagi. Dia tidak terhenti dengan ilmu yang ada. Sekali pun pandangannya lebih menarik dari setengah mufti, tetapi merasai tidak memada dengan ilmu yang ada.

Pandangan bebas Dr. Maza dalam isu itu menyebabkan kenyataan beberapa mufti mengenainya dirasakan amat koman.

Adalah dipercayai Penasihat Agama Perdana Menteri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan agama Islam tentu boleh menasihatkan Perdana Menteri tentang pandangan Dr. Maza dalam perkara itu.

Kesimpulan Dr. Maza, berdosa mengadakan pilihan raya  dalam musim haji. Najib mestilah mengelak perbuatan yang mendatangkan dosa.

Pandangan Dr. Maza dipercayai mempengaruhi Perdana Menteri mengelakkan pilihan  raya musim haji.

Tetapi elok juga Penasihat Agama Perdana Menteri dan JAKIM mencadangkan supaya para mufti menghadiri kursus singat mengenai siasah syariyah supaya  dapat membandingkan isu-isu politik. Dr. Maza boleh diberi slot bagi melengkapkan mufti dengan  perkembangan semasa dan kepentingan ummah.

Dalam isu ini PAS dilihat menang. Ternyatalah ulama PAS bukanlah terdiri ulama haid dan nifas seperti yang al-Marhum Imam Khomeini pernah kata. Dengan pandangan setengah mufti itu seolah-olah mereka mahir hukum haid dan nifas saja.

Najib bimbang rakyat hanya makan umpan

Idris Ahmad, 26 Jun 2012
Datuk Seri Najib Tun Razak masih takut mengumumkan tarikh Pilihan raya Umum ke-13 kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.
Walaupun banyak gula-gula telah ditabur sehingga kemanisan melebihi paras bahaya, namun beliau masih tidak yakin dengan sokongan kepada rakyat.

Berbagai-bagai segmen pengundi cuba ditarik oleh beliau melalui janji manis dan slogan transformasi namun graf sokongan masih tidak berpihak kepada BN.

Terbaru beliau mengumumkan untuk menghapuskan monopoli lesen teksi oleh syarikat swasta kepada individu di perhimpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada 24 Jun 2012. Di dalam program tersebut 66,000 pemandu teksi akan mendapat baucar tayar bernilai RM520 untuk empat biji tayar.

Alhamdulillah sekarang baru Najib sedar bahawa pemandu teksi menjadi hamba kepada kroni-kroni BN selama ini.

Nasib baiklah BN lemah dan Pakatan Rakyat semakin kuat barulah pemimpin Umno sedar selama ini dasar mereka memang menindas pemandu teksi.

Sebelumnya kerajaan telah memberi peruntukan BR1M sebanyak RM1.92 bilion kepada 3.8 juta isi rumah atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara.

Baucer setiap pelajar sekolah rendah dan menengah RM100 dan untuk pelajar universiti RM200. Pasukan keselamatan yang berkhidmat sebelum merdeka pun dapat RM3,000 walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Tidak cukup dengan duit diberi supaya mereka ini memberi sokongan kepada BN, maka diadakan pula perhimpunan 100,000 di Bukit Jalil dan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya untuk menunjukkan kekuatan  bahawa pengundi bersama BN.

Namun begitu Najib masih tidak yakin, kerana beliau tahu mereka yang datang bukan dengan sukarela, berbanding dengan himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Kedah.

Beliau juga khuatir pengundi hari ini hanya makan umpan, tidak lagi makan mata kail. Najib bernasib malang ketika memimpin PRU13 menghadapi pengundi yang celik maklumat dan rakyat semakin cerdik.

Najib yang memang terkenal sebagai orang yang suka menggula-gulakan rakyat dengan berbagai slogan dan janji kebendaan. Inilah tabiat beliau yang memang daripada muda sampai sekarang.

MB Pahang patut pindah ke Gebeng

Subky Latif, 26 Jun 2012
PARLIMEN memperakukan laporan jawatankuasa kajian atas bahan  radio aktif nadir bumi dalam projek Lynas di Gebeng adalah rendah dan tidak mengancam keselamatan rakyat.
Justeru projek Lynas boleh diteruskan.

Saya pernah menyentuh hal keselamatan ini dalam Facebook betapa semua pihak mesti cemburu tentang bahasa nadir bumi itu sekali pun ancaman terhadap keselamatan penduduk ada rendah.

Saya setuju dengan  pandangan Khalid Samad di Parlimen bahawa keselamatan penduduk mesti diutamakan sebelum projek yang ada unsur radio aktif hendak diteruskan. Bukan kerana semuanya anti pembangunan tetapi semua pembangunan mestilah yang tidak risiko.

Apa pun pembesar UMNO/BN termasuk Dr. Mahathir tidak menentang projek itu kerana rendahnya risiko ancaman keselamatan itu.

Jika ia tiada apa-apa maka Dr. Mahathir, Perdana Menteri Najib  dan Menteri  Besar Datuk Seri Adnan  Yaakob mestilah   tampil meyakinkan rakyat bahawa nadir bumi di Gebeng itu adalah selamat.

Caranya ialah masing-masing membina rumah di Gebeng dan pindah ke situ. Mungkin Datuk Najib tidak dapat pindah ke situ kerana kediaman Perdana Menteri adalah di Putrajaya.

Tetapi ikhtiarkan keluarga terdekat Datuk Najib atau keluarga isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tinggal  di situ sementara dia bersara.  Lepas itu boleh ajak bondanya Tun Rahah pindah ke Gebeng.

Datuk Seri Adnan boleh pindah ke Gebeng sekarang. Mungkin Kuantan lebih dekat  dengan pejabat Menteri Besar, tetapi demi meyakinkan rakyat bahawa keselamatan tidak terancam, maka mereka patut pindah ke Gebeng yang tidaklah jauh sangat dengan pejabat MB.

Dr. Mahathir pula patut jadikan Gebeng rumah kedua. Jika sekarang dia berulang alik ke Langkawi, maka sekarang jadikan Gebeng rumah ketiga yang kehadirannya ke situ dari semasa ke semasa. Dalam sebulan dia patut sekurang-kurangnya tinggal seminggu di kediaman Gebeng.

Tunjukkan kepada rakyat kalau Lynas itu projek membunuh manusia, maka biar mereka mati dulu. Jika mereka dapat menunjukkan contoh, maka barulah orang ramai boleh bebas dari kebimbangan.

Kita boleh mengambil contoh dari persetujuan Rasulullah SAW dalam perjanjian Hudaibiyah dengan kafir Quraisy. Perjanjian itu dirasakan oleh para sahabat sebagai berat sebelah.

Sebelum rombongan umrah baginda berangkat pulang ke  Madinah setelah menangguh umrah kali itu baginda memerintahkan sekaliannya bercukur atau memotong  rambut. Ia syarat bagi mengakhiri ibadat itu sekali pun ia ditunda.

Sekalian anggota rombongan enggan melaksanakan perintah Nabi SAW itu. Baginda yang terharu atas reaksi jamaah lalu masuk ke khemah dengan penuh pilu. Isteri baginda bertanya tentang kepiluan itu. Baginda menjelaskannya.

Isterinya mencadangkan supaya baginda keluar khemah dan bercukur di depan orang ramai. Nescaya sekalian tidak seronok itu akan ikut apa yang baginda lakukan. Maka baginda pun melakukannya. Ia diikut oleh semua.

Jika Dr. Mahathir, Najib dan Datuk Adnan dan kalau boleh Sultan Pahang pun ikut sama pindah, maka orang pun  akan hilang kebimbangan.

Bukan sekadar mereka saja pindah ke situ. Malah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berpakat menjadikan Gebeng pusat bandar baru dengan semua kemudahan  sehingga ia didiami oleh ratus ribu manusia dan jadi pusat komersial yang penting di sebelah menyebelah dengan kilang Lynas, maka akan hilang segala syak dan  waham orang yang anti Lynas.

Jika boleh tawarkan kepada diplomat asing masing-masing ada rumah rihat di situ.

Demikian ikhtiar bagi menghilang cemburu orang atas tahan keselamatan itu.

Nampaknya orang kita terutama orang Melayu tidak tinggi rasa cemburu atas bahan berbahaya itu. Asal ada jaminan ia tidak apa-apa maka mereka pun tidak apa-apa. Tidak setinggi rasa cemburu orang-orang barat.

Semua negara barat cemburu atas projek nuklear Iran. Sekalipun Iran mengaku dan bersumpah bahawa ia tidak akan membina  senjata nuklear dan memberi hujah bahawa Islam mengharamkan pembinaan senjata pemusnah seperti itu, mereka tetap  cemburu Iran akan sekadar menggunakan loji nuklear itu untuk keperluan tenaga saja.

Kita tidak gembira atas buruk sangka barat itu tetapi itu kuatnya rasa cemburu mereka atas apa yang mereka bimbang.

Strategi Najib serba tidak menjadi, menikam diri

Ahmad Lutfi Othman, 25 Jun 2012
Memang segalanya serba tidak menjadi. Banyak strategi BN menikam diri sendiri. Ada saja yang tidak kena kepada Umno-BN. Lupa sekejap masalah lembu Shahrizat Jalil, timbul pula pelbagai isu berkaitan projek kerajaan yang dibolot anak-anak menteri dan duta khas bertaraf menteri.

Skandal kes Scorpene dan pembunuhan Altantuya muncul semula, dengan paparan cerita yang lebih panas dan menggemparkan. Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar mengacah Jamil Khir Baharom isu pemindahan wang Tabung Haji, lebih RM300,000, ke dalam akaun Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Reda sebentar kontroversi "wanita pertama" Rosmah Mansor, dengan segala cincin, beg tangan dan gaya hidup mewah (strategis kempen BN sendiri minta media mengendurkan kisahnya), meletup pula gosip tentang bakal menantu dan besan Perdana Menteri.

Rakyat juga masih terngiang-ngiang pendedahan pemandu peribadi seorang artis, yang dikaitkan  dengan skandal seorang menteri kanan, yang juga Naib Presiden Umno. Pembekuan pinjaman PTPTN kepada Unisel membongkar mentaliti bebalisme pemimpin Umno bertaraf menteri sehinggalah Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Dalam masa sama, di samping rantaian cerita sensasi yang tidak berkesudahan itu, isu-isu yang lebih melibatkan kepentingan ramai seperti penggadaian aset orang Melayu dalam Felda melalui FGVH makin menjauhkan Umno daripada penyokong tradisinya selama ini.

Sewaktu Najib Razak rimas dengan pelbagai faktor tolakan kepada Umno, saingan paling digeruninya, PAS pula semakin mendapat tempat dalam masyarakat Melayu.

Hampir semua penganalisis bersepakat bahawa pengundi Melayu menjadi rebutan sengit parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, khususnya Umno dan PAS, sementara masyarakat Tionghua terus diyakini bakal memberikan sokongan lebih besar kepada Pakatan Rakyat.

Secara tiba-tiba, golongan artis yang menghiasi dunia hiburan tanahair berduyun-duyun mendekati PAS. Bermula seorang dua selibriti terkemuka, kini senarainya bertambah panjang dan lebih membanggakan ia bermula dengan kesedaran untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup.

Ya, sejak mengikuti perkembangan PAS sejak akhir 1970-an, saya tidak pernah menjangkakan Parti Islam ini akan mendapat sokongan hebat daripada masyarakat bukan Islam dan juga kelompok artis; mutakhir ini ia menjadi satu fenomena!

Tidak terhenti setakat itu, PAS juga menerima penyertaan bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, daripada Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan terbaru, Timbalan Menteri Pelajaran dari Sarawak.

Daripada demonstrasi Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, saya saksikan gelombang kesedaran politik anak-anak muda begitu luar biasa.

Minggu lepas, semasa menghampiri lokasi Himpunan 10,000 Pesawah di Masjid Tinggi, Bagan Serai, Perak, saya lihat konvoi anak-anak muda bermotosikal, yang menunggu kehadiran Tok Guru Nik Abd Aziz, cukup bersemangat sekali, dengan jumlah yang begitu ramai. Wajah mereka memancarkan keyakinan tinggi untuk melakukan perubahan besar dalam PRU13.

Khamis lalu, semasa menziarahinya, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din menceritakan, dalam perjalanan pulang ke tanahair selepas menjalani pembedahan jantung di California, Amerika Syarikat, beliau secara kebetulan, bertemu ahli-ahli sukan negara di Dubai,  dari kalangan anak-anak muda, yang begitu teruja dan gembira dapat bersua muka dengannya.

Sementara itu, dilaporkan, selepas Najib cuba memperagakan diri dengan pelbagai bentuk transformasi (yang sebahagian besarnya langsung tidak dipedulikan rakyat, malah oleh ahli-ahli Umno sendiri), popularitinya terus merosot. Harus diingat, sebelum PRU12, populariti Abdullah Ahmad Badawi berada pada tahap lebih tinggi berbanding Najib sekarang.

Bermacam-macam insentif one-off dicurahkan, sehingga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun mungkin akan diberikan untuk pusingan kedua, namun reaksi rakyat terus membimbangkan Najib. Bajet 2012 mungkin gula-gula terakhir sebelum membuka gelanggang tempur PRU13.


Saya selalu membayangkan situasi paling buruk bakal dihadapi pembangkang, berdasarkan kemungkinan pelbagai taktik dan strategi jahat Umno-BN dalam pilihan raya, namun kali ini, saya lebih yakin dengan potensi Pakatan.

Jika dapat dielak melakukan kesilapan dan menghindari kealpaan, serta tidak memecahkan benteng kekuatan sendiri, laluan ke Putrajaya sukar disekat lagi, insya-Allah.

64 janji-janji Mursi dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya


Sekumpulan pemuda Mesir melancarkan sebuah laman web yang disebut 'Morsi meter' untuk memantau prestasi presiden baru Mesir, untuk memastikan dia tidak mengingkari janji yang dibuat selama kempen.

"Ini merupakan usaha untuk mendokumentasikan dan memantau prestasi presiden terpilih Mesir, Muhammad Mursi, terhadap janji yang dibuatnya dalam program pemilihannya untuk 100 hari pertama," demikian tertulis website tersebut dalam posting pendahuluannya, sebagaimana dilaporkan oleh laman Alarabiya, Selasa 16 Jun lalu.

Website ini mengandungi senarai lima program dari 100 hari Mursi: roti (makanan), lalu lintas, keselamatan, bahan bakar, dan kebersihan. Di bawah masalah masing-masing, penyelesaian yang dicadangkan oleh Mursi berdaftar sehingga setiap dari mereka boleh diperiksa pada bila-bila dilaksanakan di lapangan.
Sebagai contoh, di dalam masalah lalu lintas ia menyarankan menggunakan ruang tanah kosong sebagai tempat letak kenderaan dan tetapan jam khusus untuk lori melepasi bandar dan di dalam hal keselamatan ia menyarankan untuk memberikan bonus kepada polis yang terbukti berkesan dalam melindungi rakyat dan menjaga undang-undang dan ketenteraman awam dan melancarkan kempen secara meluas yang bertujuan untuk mengambil kepercayaan yang hilang di antara polis dan masyarakat.

Adapun mengenai masalah BBM, Mursi bersumpah untuk menghukum semua yang terlibat dalam penyeludupan bahan bakar sehingga menyebabkan kekurangan serta memberi penghargaan tergadap pam petrol dengan catatan terbaik dalam melayani pelanggan.

Laman ini mendakwa bahawa Mursi membuat 64 janji-janji selama kempen pemilihannya. Morsi Meter akan mendokumentasikan mana yang dia berikan pada tempoh 100 hari pertama. Hal ini membolehkan pengguna untuk melihat prestasi berbanding dengan waktu di mana mereka dibuat.

Website ini adalah yang pertama dari jenisnya di Mesir dan dipandang oleh pemerhati sebagai penunjuk perubahan drastik yang terjadi di negara ini selepas Revolusi 25 Januari yang membolehkan rakyat negara untuk secara terbuka mengkritik dan menilai pejabat negara.

Tiada ulasan: