Khamis, 21 Jun 2012

BAGUS 6T NI...LAKSANAKAN DENGAN SUNGGUH2 MEMANG CUN....I FOLLOW...1.TAKUT PADA ALLAH...2. TAZKIRAH & TARBIYAH...3.TELADAN BAIK..4.TOLAK PENYELEWENGAN & RASUAH...5.TAMRIN@LATIHAN DAN 6.TAKBIR

Artis tidak lagi takut biar pun diugut

Aslani M, 21 Jun 2012

BACHOK: “Saya tidak takut biar pun ada pihak mengugut. Kita hanya perlu takut kepada Allah Taala sahaja dan bukan takut kerana manusia.

“Biar pun berjuang bersama di pentas Pakatan Rakyat tanpa mendapat bayaran tetapi hati saya senang,” kata artis Dayangku Intan pada ceramah di Kampung Mahligai malam tadi.

Menurutnya tidak menjadi kesalahan untuk berjuang di pentas politik bagi menegakkan kebenaran.

Kata beliau ada rakan-rakan artis menanyakan tidak takutkah berjuang bersama Pakatan Rakyat, nanti susah hendak cari makan.

“Kamu artis hendaklah bangkit bagi menyuarakan hak. Sekarang artis tempatan tidak lagi mendapat keistimewaan berbanding artis yang didatangkan dari luar negara.

“Artis luar yang datang dibayar begitu mahal. Jadi kalau dilayan sebegitu rupa oleh kerajaan kita perlu bangkit bagi menyuarakan hak,” ujarnya pada ceramah di pentas PAS.

Program itu mendapat sambutan hangat apabila ramai hadir mendengar ceramah sulung artis terbabit di Kelantan, yang kini berjuang di pentas Pakatan Rakyat.

Orang ramai berderetan di atas tali air yang terletak bersebelahan tempat ceramah. Di hadapan pentas orang ramai melimpah.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Nor Azariza Alawi.

Ramai muslimat turut mengambil peluang bersalam dan bergambar dengan Dayangku Intan sebaik selesai ceramah.

Dayangku mendakwa beliau pernah diundang menghadiri program di sebuah rancangan televisyen di mana program berkenaan mendapat banyak tajaan di kalangan pengiklan.

Kata beliau biar pun stesen televisyen terbabit mendapat banyak pendapatan melalui iklan, namun beliau sebagai tetamu yang diundang bercakap kira-kira 45 minit hanya dibayar RM100 sahaja.

Dayangku Intan yang datang bersama suami juga memberitahu sudah lama tidak membaca akhbar harian yang dimiliki Umno.

“Sekarang saya hanya baca akhbar diterbitkan PAS, PKR dan melayari internet sahaja bagi mengetahui perkembangan semasa.

“Sebenarnya di mana sahaja berada saya tetap bercakap mengenai isu rasuah yang begitu kronik berlaku dalam negara sekarang,” katanya.

Menurutnya rakyat sudah bosan dan inginkan perubahan dalam pentadbiran negara.

Sementara itu Abdul Azziz berkata, beliau sudah beberapa kali berusaha menjemput Dayangku hadir pada program di Bachok, namun hanya malam tadi yang menjadi kenyataan.

Manakala pada 28 Jun ini seorang lagi selebriti, Abby Abadi dijangka menemui peminat pada program Sembang Petang di Dewan Majlis Daerah Kuala Krai di Guchil, manakala pagi 29 Jun pula program di padang Majlis Daerah Pasir Puteh.

Polisi kabotaj gaji minima untungkan kroni

Anis Nazri, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Penetapan gaji minima sebanyak RM800 tidak menepati kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak kerana polisi kabotaj yang mensabotaj gaji minima.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad mendakwa polisi kabotaj yang diperkenalkan pada 1980 itu dimonopoli kroni-kroni BN yang akhirnya meningkatkan perbezaan kos 20 hingga 30 peratus kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

"Polisi kabotaj ini yang me'reserve'kan pengangkutan barangan dalam perdagangan domestik kepada kapal-kapal yang mengibarkan bendera Malaysia, yang merupakan sistem kroni yang tidak mengizinkan persaingan terbuka yang akhirnya meningkatkan perbezaan kos 20 hingga 30 peratus lebih tinggi dari Semenanjung," dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di lobi parlimen, hari ini.

Jelas beliau dengan adanya polisi kabotaj ini menyebabkan rakyat Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pilihan untuk mendapat barangan dari kapal-kapal lain yang berkemungkinan harganya jauh lebih rendah.

Sebelum itu, Dzulkefly dalam soalan asalnya meminta Kementerian Sumber Manusia menyatakan rasional 'gaji minimum' RM900 ditetapkan untuk di Semenanjung dan RM800 di Sabah Sarawak.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata penetapan gaji minima itu dibuat berdasarkan kepada fakta perundingan gaji, selain beberapa kriteria lain serta keupayaan majikan untuk menggajikan pekerja. 

Scorpene: Sapina Jasbir sedia untuk diserahkan

Harakahdaily, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Sapina kepada pembantu kanan Abdul Razak Baginda, Jasbir Singh Chahl sudah diperolehi dari Mahkamah Perancis dan dalam proses penyerahan.
(Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel ketika memaklumkan Jasbir sebagai saksi pertama)

"Penghantaran sapina ini dalam proses dan memerlukan beberapa hari untuk dilaksanakan," kata satu kenyataan media Sekretariat Suaram hari ini.

"Kami tidak ada maklumat yang tepat bila jangka masa sapina itu akan diserahkan," kata kenyataan itu lagi.

Suaram mengulas kenyataan Jasbir Singh Chahl sebelum ini yang menafikan kaitannya dengan kes pembelian Scorpene.

Jasbir Singh Chahl juga berkata, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang sapina dari mana-mana mahkamah.

Menurut Suaram, peguam mereka di Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham mengesahkan Jasbir adalah salah seorang saksi kes ini dan mahkamah telah mengeluarkan sapina untuknya.

Suaran adalah pihak pelapor dalam kes rasuah pembelian Scorpene kepada mahkamah Perancis kerana ia melibatkan syarikat negara itu.

Sebelum ini, Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel telah memaklumkan saksi pertama kes skandal penyelewengan kapal selam Scorpene akan hadir ke mahkamah Perancis kerana sapina terhadapnya telah dikeluarkan.

Saksi berkenaan katanya, adalah Jasbir Singh Chal, bekas Pengarah Perimekar Sdn Bhd yang juga pembantu kanan Abdul Razak Baginda.

Cynthia mengumumkan perkara itu di akhir Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene anjuran Suaram yang dihadiri kira-kira 1000 orang, malam tadi.

“Kita patut merasa gembira dengan perkembangan kes ini kerana saksi pertama iaitu Jasbir Singh, saksi yang terlibat dan mengetahui banyak maklumat akan dipanggil ke mahkamah (Perancis) kerana sapina sedang dalam perjalanan ke rumahnya,” kata Chynthia.

Selain Jasbir, individu lain yang akan turut dipanggil sebagai saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; pemilik Perimekar Sdn Bhd dan Terasasi (HK) Limited, Abdul Razak Baginda serta isterinya, Mazlinda dan bapanya.

Selain itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Zahid Hamidi juga dinamakan sebagai saksi oleh peguam Suaram.

Pengundi baru Selangor akan dibersihkan

Muhammad Faizal, 21 Jun 2012
SHAH ALAM: PAS Selangor mensasarkan nama pengundi baru yang dimasukkan dalam senarai pemilih mereka untuk dibersihkan melalui program pendemokrasian dalam 'Kempen SelangorKU Bersih'.

Melalui tindakan ini, PAS berhasrat untuk mengenalpasti mereka dan seterusnya membersihkan senarai pemilih di Selangor menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada golongan pengundi yang baru dibawa masuk.

"Pendemokrasian ini merupakan salah satu kempen 'Selangorku Bersih' yang mana kita memberi fokus sepenuhnya untuk membersihkan daftar pemilih.

"Bagi Dun Meru yang saya wakili misalnya, pertambahan pengundi adalah seramai lapan ribu orang jadi tumpuan kita adalah kepada golongan tersebut," jelasnya.

Pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di Selangor untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah  316,788 berbanding daftar pemilih induk 2008 mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar 6,049 , Hulu Selangor 15,481, Tanjong Karang 4,307, Kuala Selangor 10,083, Selayang 16,189, Gombak 15,467, Ampang 9,467, Pandan 13,175, Hulu Langat 23,334, Serdang 23,748, Puchong 19,772, Kelana Jaya 13,714.

Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143, Petaling Jaya Utara 5,603, Subang 27,765, Shah Alam 15,417, Kapar 21,606, Klang 11,702, Kota Raja 22,256, Kuala Langat 17,172 dan di Sepang 14,627.

Ekoran itu, ramai pihak yang beranggapan usaha Umno untuk merampas balik negeri Selangor ini sama seperti usaha Umno merampas balik Terengganu dalam pilihan raya 2004 lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula berjanji, pilihan raya peringkat negeri Selangor tidak akan diadakan selagi daftar pemilih ini tidak bersih walaupun Parlimen telah dibubarkan di peringkat pusat.

Menurut Dr Rani, gerak kerja untuk membersihakan daftar pemilih ini dilakukan oleh jentera kerajaan negeri iaitu Ketua Kampung dan juga Penghulu yang mana setiap nama yang diperolehi akan diberikan bayaran oleh kerajaan negeri.

"Kerja pendemokrasian ini dilakukan sepenuhnya oleh Ketua Kampung mahupun Penghulu dengan dibantu oleh jentera parti.

"Setiap nama yang diragui ditemui oleh mereka kerajaan negeri akan menbayar RM3 setiap nama tersebut.

"Setelah kesemua nama kita perolehi dan kumpulkan maka Ketua Kampung akan membuat laporan polis dan kalau perlu ia turut dibawa ke mahkamah," sambungnya lagi.

Dr Rani turut menyatakan pihaknya telah dapat mengesan nama-nama yang meragukan tetapi jumlah sebenar belum diperolehi.

"Kita dapat mengesan nama-nama yang meragukan tetapi buat masa kini kita belum mengetahui jumlah sebenar.

"Sehingga kesemua maklumat kita kumpul barulah jumlah itu kita maklumkan beserta dengan laporan polis," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku ini.

Program tersebut adalah satu inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.

Laporan PSC Lynas: Siapakah yang keliru?

Huzir Sulaiman, 21 Jun 2012
Ramai di kalangan  sukarelawan gerakan Anti-LYNAS sudah menjangka keputusan akhir dari Jawatankuasa PSC LYNAS yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri itu. Jangkaan itu bukanlah dikhususkan hanya kepada penubuhan Jawatankuasa itu sahaja, tetapi kepada seluruh respon dan tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional melalui agensi-agensi yang berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar(DOE) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) terhadap segala desakan dan bantahan dari penduduk setempat semenjak tahun 2008 lagi yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Malah satu perjumpaan di antara penduduk Balok yang majoritinya Melayu yang semuanya tinggal di dalam ZON Impak 5KM dengan pihak MITI dan disertai AELB, MOH dan DOE telahpun diadakan pada pertengahan tahun yang lalu walaupun MPK dan Kerajaan Negeri Pahang tidak bersedia untuk berjumpa dan berbincang dengan mereka walaupun mereka juga majoritinya orang Melayu.

Terlalu banyak persoalan yang disenaraikan, seingat saya lebih 70 soalan dan banyak juga soalan yang masih tidak terjawab sehingga ke hari ini.

Saya tumpang simpati kepada masa hadapan penduduk Balok khususnya dari aspek pencemaran alam sekitar (habuk, bunyi, asap dan sebagainya) yang sudah sedia ada kerana lokasi penempatan mereka yang agak dekat dengan Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan.

Ini hanyalah pemerhatian dan pandangan peribadi saya dan kerana itu kewujudan kilang LYNAS itu amatlah tidak dialu-alukan.

Hanya pihak yang pernah menetap di kawasan itu akan tahu isi sebenar hati dan perasaan mereka yang pastinya tidak sama dengan mereka-mereka yang jauh duduknya dari kawasan itu.

Ramai yang tidak tahu bahawa kilang ini sedang dibina. Ramai yang tidak tahu apakah itu nadir bumi, apakah itu radiasi dan apakah itu radioaktif.

Ramai juga yang tidak tahu kesannya kepada mereka jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil oleh pihak kilang LYNAS itu.

Malah jika kita amati Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (PEIA), kita akan temui pentingnya cadangan ‘adequate mitigation’ atau pencegahan yang sesuai dan secukupnya untuk mengelak pencemaran Alam Sekitar khususnya kepada kawasan di sekitarnya.

Perkataan ‘ZON IMPAK’ juga terdapat di dalam laporan itu termasuk senarai kawasan penempatan yang berada di dalam ZON itu.

Sukarelawan Anti-LYNAS malah penduduk setempat tidak mempertikaikan Laporan itu. Laporan yang disediakan oleh ENVIRON, konsultan yang dilantik pihak LYNAS dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar ada asasnya.

Ia termasuklah maklumat tahap pencemaran yang sudah sedia ada kepada Sg. Balok yang akan digunakan pula oleh pihak LYNAS untuk melepaskan sisa buangan cecair yang dirawat mereka.

Sejauhmana keberkesanan ‘Waste Water Treatment Facility’ atau kemudahan rawatan sisa buangan air itu tidak pulak saya ketahui. Sama ada kemudahan itu dinilai pihak ketiga untuk memastikan tahap keberkesanannya juga tidak juga saya ketahui.

Banyak juga yang saya masih tidak tahu, banyak juga persoalan yang masih tidak terjawab. Lagipun saya bukan pakar yang sepatutnya ambil tahu tetapi saya perlu tahu agar air yang saya minum dan mandi termasuk ikan yang saya tangkap di sungai itu tidak dicemari sisa radioaktif dari kilang LYNAS itu.

Keberkesanan ‘Waste Water Treatment Facility’ hanyalah satu daripada 70 lebih persoalan yang dibangkitkan.

Jika diulas seluruh 70 lebih persoalan yang dibangkitkan penduduk setempat dan sukarelawan gerakan Anti-LYNAS, saya yakin ulasan mereka akan lebih tebal dari buku Laporan Jawatankuasa PSC itu.

Cuma yang ingin saya sampaikan hari ini adalah, TIDAK ADA satu persoalan pun yang dibangkitkan berkenaan TAHAP RADIASI.
TIDAK ADA satu pun kenyataan yang dibuat berkenaan Kilang LYNAS yang dikatakan LOJI NUKLEAR. Namun begitu, 2 aspek ini lah yang kerap dibangkitkan pihak tertentu dan diulas berulang kali di media-media. Hakikatnya bukan dari penduduk setempat dan sukarelawan gerakan Anti-LYNAS.

Kenapa kedua-dua aspek ini pula yang lebih diulas dan diulang tayang berulang-ulang kali? Kedua-dua aspek itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada 70 lebih persoalan yang dibangkitkan.

Walaubagaimanapun, adakah kerana kenyataan Kilang LYNAS itu Loji Nuklear membuktikan bahawa seluruh 70 lebih persoalan itu yang dibangkitkan tidak berasas? Adakah kerana tahap radiasi yang rendah memadai untuk meluluskan lesen TOL kepada LYNAS?

Kitaran proses nadir bumi LYNAS melalui banyak peringkatnya, bermula dengan perlombongan, pengangkutan, penyimpanan bahan mentah, pemprosesan dengan menggunakan jumlah asid sulfurik dan hidroklorik yang tinggi setiap hari pada suhu yang amat tinggi, penyimpanan produk akhir dan sisa buangan serta pelupusan sisa buangan yang terdiri dari gas, cecair dan pepejal.

Persoalannya, adakah tahap radiasi itu diukur pada setiap peringkat kitaran proses itu lebih-lebih lagi LYNAS belum memulakan operasinya. Jawapannya adalah ‘PASTI BELUM SEMUANYA’.

Persoalannya, adakah makluman Tahap Radiasi yang rendah sudah muktamad? Di peringkat manakah kitaran proses nadir bumi itu sudah diukur tahap radiasinya?. Sekali lagi, banyak yang kita tidak tahu dan tidak diberitahu.

Namun begitu, 2 aspek ini TIDAK PERNAH dijadikan persoalan penduduk setempat dan sukarelawan gerakan Anti-LYNAS dan kerana itu saya tidak berhasrat untuk berhujah panjang.

Namun begitu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada penduduk setempat dan sukarelawan gerakan Anti-LYNAS kerana berfungsi sebagai kumpulan pendesak yang baik. Jika tiadanya mereka, pasti, banyak aspek yang akan terlepas pandang sebelum TOL diluluskan.

Tiada niat yang lain, hanya untuk memastikan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk setempat tanpa mengira warna kulit dan agama terperlihara dan tidak musnah kerana rakusnya kita mengejar kepentingan ekonomi.

‘Check and Balance’ harus ada. Semua pihak haruslah mengambil sudut positif dari semua konflik yang berlaku untuk terus maju sebagai masyarakat yang kritis dan progresif dalam sebuah negara yang sedang berkembang maju dari aspek amalan demokrasinya.

Bukankah sumbangan kumpulan pendesak ini salah satu teknik penyuburan amalan demokrasi. Datuk Saifuddin dan  Salahuddin pasti tersenyum dengan komentar ini.

---------------------------------------
Penulis terlibat secara langsung dalam kajian mengenai kilang Lynas yang terletak di Gebeng, Kuantan.

Kemarau di hulu punca gangguan bekalan air

Mohd Nor Yahya, 21 Jun 2012

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan ketiadaan hujan di hulu Sungai Kelantan semenjak 25 Mei lalu antara punca gangguan bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat sekarang.

Selain itu kedudukan bulan yang mempengaruhi tarikan graviti air laut  mewujudkan air laut pasang menyebabkan berlaku penurunan air di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud (gambar) berkata, aras air Sungai Kelantan di muka sauk LRA Kelar pada 20 Jun lepas menurun kepada 0.63 meter iaitu antara terendah sejak tujuh tahun loji itu beroperasi.

Loji Rawatan Air Kelar dibina pada 2003 dan beroperasi pada 2005. Punca air mentah ialah dari Sungai Kelantan melalui muka sauk yang dibina dengan aras air Sungai minima 1 meter.

“Keadaan itu menyebabkan kuantiti air mentah yang dipam tidak mencapai sepertimana rekabentuk iaitu pada kadar 2,700 m³/jam.

“Pada satu tahap air mentah hanya mampu dipam pada kadar 1,500 sejam. Keadaan biasanya berlaku pada waktu air laut surut iaitu sekitar jam 9.30 malam sehingga 2.30 pagi,” katanya di sini.

Kebelakangan ini media sering kali melaporkan aduan penduduk mengenai masalah gangguan bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat.

Media juga melaporkan operasi pam saliran KADA di Kemubu, Machang dan Lemal, Pasir Mas tidak dapat beroperasi kerana fenomena penurunan paras air sungai.

Hanapi berkata, sekiranya tiada hujan di hulu Sungai Kelantan dalam masa beberapa hari, aras air Sungai  Kelantan dijangka lebih serius, tambahan pula tarikan graviti terhadap air laut masih lemah.

Sedangkan pada Mei lalu purata pengeluaran air bersih ialah 62.9 juta liter sehari (JLH),

Bagaimanapun katanya, AKSB melaksanakan pelbagai cara bagi mengatasi masalah tersebut termasuk mengubah rekabentuk operasi pam air bersih serta pemasangan peralatan elektrikal.

Tiga pam dipasang berserta variable speed drive (VSD) dalam sungai bagi pemindahan air sungai ke muka sauk.

Pemasangan VSD bagi membolehkan pam air mentah beroperasi dengan kadar alir yang lebih tinggi semasa air pasang.

“Kesemua kerja-kerja itu siap sepenuhnya semalam yang melibatkan kos hampir RM300,000. Melalui usaha tersebut AKSB berjaya mengelak daripada menutup operasi LRA Kelar sehingga boleh menjejaskan bekalan air bersih.

“Tidak dinafikan beberapa kawasan terjejas bekalan air bersih akibat pengurangan pengeluaran air bersih dari LRA Kelar,” ujarnya.

Oleh itu Hanapi menasihatkan pengguna terutamanya di Pasir Mas dan Tumpat supaya lebih berjimat menggunakan air ketika musim kemarau sekarang.

Menurutnya fenomena berkenaan dijangka berterusan dalam masa sebulan lagi sekiranya tiada hujan di kawasan hulu.

'Enam T' PAS mampu selamatkan negara - Tamrin

Mohd Sabri Said, 21 Jun 2012
TASEK GELUGOR: Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar mengakui PAS mempunyai 'enam T' yang mampu menyelamatkan negara dari Umno BN.

Jelasnya, enam T itu ialah takutkan kepada Allah s.w.t, tazkirah dan tarbiyah, teladan yang baik, tolak penyelewengan kuasa dan rasuah, tamrin (latihan) serta takbir.

Menurutnya, enam T dalam PAS sangat berbeza dengan T dalam Umno yang hanya yang hanya berseronok semata-mata iaitu topi, TShirt, tambang, tapau, transpot dan tipu.


"Ikut Umno binasa bukan sahaja badan malahan negara boleh bangkrap hasil penyelewengan kepimpinan yang ada," tegasnya dalam ceramah anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Padang Awam Kampung Jarak Atas semalam.

Sebab itu katanya tidak hairan, jika ahli dan penyokong Umno bila dapat topi, T'shirt, tambang, transpot, tapau serta tipu sudah memadai untuk mereka hidup lima tahun lagi.

Selain beliau turut berpidato ialah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Pengerusi Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (Kerabat), Kol (B) Haji Nazari Haji Mokhtar serta Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Khalid Man.

Baginya, PAS sebuah parti yang unik dan tahan dugaan walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

PAS juga tambahnya, kuat berpegang dengan agama, kepimpinanya pula mempunyai moral yang tinggi kerana menolak penyelewengan hasil daripada budaya tamrin yang jitu.

Umno pula jelas beliau, tidak bermutu berbanding perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga sanggup menghabiskan kewangan negara untuk poket sendiri dan kroni demi mahu kekal berkuasa.

"Walaupun saya masih berada dalam Umno ia bukan budaya saya.  Lepas ini tengoklah macamana keadaanya, " kata Tamrin disambut laungan takbir dari hadirin.

Jumpa di Himpunan Hijau Melaka 24 Jun ini

Ahmad Danial, 21 Jun 2012
MELAKA: Rakyat negeri Melaka diseru untuk bersama-sama menyertai program Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat negeri Melaka pada 24 Jun 2012 ini.

Program tersebut akan bermula pada jam 4.30 petang hingga 12 tengah malam dan akan berlangsung di perkarangan Surau Ustaz Ali di Permatang Pasir, Alai.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Melaka, Asri Shaikh Abdul Aziz dalam kenyataannya pagi ini menjemput seluruh rakyat Melaka untuk sama-sama menunjukkan solidariti dan perpaduan bersama-sama PAS dan PR menyelamatkan negara ini dari rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kezaliman.

"PAS Melaka menyeru seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira bangsa, agama, ideologi politik dan sebagainya untuk berkumpul pada Ahad ini bagi menyatakan tekad dan keazaman untuk membentuk sebuah kerajaan baru di Putrajaya bagi menggantikan Umno BN".

"Kerajaan pusat yang ada pada hari ini sudah terlalu lama memerintah yang menyebabkan mereka sudah tersasar jauh dari menjadi sebuah kerajaan yang telus, bersih dan bebas rasuah" ujar Asri.

Beliau berkata rakyat Melaka mesti memberikan isyarat kepada kerajaan Umno BN supaya mereka sedar bahawa rakyat sudah muak dan menunggu masa untuk menukar kerajaan pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Menurut Asri pelbagai program telah diatur untuk himpunan tersebut antaranya konvoi motorsikal Alternative Riding Club (ARC), persembahan dari Iwan Syahman, Hafiz Bandboyz, bacaan ikrar dan bai'ah,  munajat perdana serta amanat dari Timbalan Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu.

"Pimpinan Pakatan Rakyat negeri Melaka juga akan sama-sama memeriahkan himpunan tersebut dan kita juga mempelawa seluruh ahli dan penyokong parti komponen PR untuk turut sama memeriahkan himpunan yang julung kali diadakan ini".

"Perpaduan dan solidariti penggerak PR dan rakyat Melaka Insya Allah akan menghasikan suatu gerakan yang mampu menggantikan kerajaan BN Melaka dan Pusat bagi menyelamatkan negara kita" tambah Asri yang juga merupakan Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah.

Program himpunan tersebut yang pada peringkat awalnya dicadangkan di Stadium Hang Tuah akhirnya terpaksa dipindahkan ke Permatang Pasir kerana permohonan untuk menggunakan stadium tidak diluluskan kerana ia digunakan untuk pertandingan Bolasepak Piala AFC bawah 22 tahun.

PAS Perak jalin kerjasama dengan polis negeri

Harakahdaily, 21 Jun 2012

IPOH:
PAS Perak yang diketuai Pesuruhjaya Ustaz Abu Bakar Hussain semalam mengadakan sesi lawatan kunjung mesra ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini.

Rombongan turut disertai pimpinan negeri yang lain termasuk Timbalan Pesuruhjaya Ustaz Misbahul Munir,  Haji Razman Zakaria, Ketua Pemuda PAS Perak Ustaz Zawawi Hassan, Ketua Muslimat PAS Perak Dr Najihah Ahmad.

Kehadiran mereka disambut Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri bin Dahlan dan beberapa pegawai.

Menurut Abu Bakar, selain menjalin kerjasama, lawatan semalam sebagai tanda PAS Perak menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh polis negeri selama ini.

“Pertemuan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dan PAS Perak sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua pihak bagi memastikan hubungan silaturrahim sesama insan terpelihara dengan baik”.

“PAS Perak sentiasa mengharapkan agar pihak polis menjalankan amanah mereka dengan adil dan saksama terhadap rakyat tanpa membezakan latarbelakang politik," katanya.

Dalam pertemuan semalam juga, beberapa isu turut dibincangkan termasuk bentuk kerjasama yang boleh dimainkan PAS dalam usaha membantu polis membenteras jenayah di negeri ini.

Selain itu turut dimaklumkan kepada Datuk Shukri berhubung beberapa siri ceramah Pakatan Rakyat yang sering diganggu pihak tertentu.

Dalam pada itu, Datuk Shukri semasa pertemuan itu melahirkan rasa terima kasih kepada PAS Perak atas kunjungan itu.

“Saya sangat menghargai kerjasama yang diberikan pimpinan PAS Perak, insyaAllah pihak polis akan memberikan kerjasama yang baik atas segala pandangan dan idea yang diberikan pimpinan PAS Perak," katanya.

Tapak SAR: PAS Gopeng pertahan prinsip Islam

Salmiyah Harun, 21 Jun 2012
IPOH: PAS Gopeng mempertahankan prinsip Islam apabila menyokong sekumpulan penduduk yang mempertahankan tanah mereka daripada dirampas walaupun untuk membina sekolah agama.

Prinsip itu adalah menentang assobiyah iaitu tidak membela kezaliman yang dibuat hatta untuk kepentingan golongan sendiri.

Namun PAS kawasan itu tidak pernah membantah usaha mana-mana pihak sama ada kerajaan Umno BN ataupun Pakatan Rakyat yang mahu membina sekolah apatah lagi Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Bagaimanapun dalam isu kononnya PAS dan PKR membantah pembinaan SAR di Taman Pegoh Aman, Ipoh di atas tapak sebuah padang awam telah disalah ertikan.

Semalam Utusan melaporkan PAS membantah pembinaan sekolah agama rakyat di Gunung Rapat.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng, Radzi Zainon, yang turut terlibat dalam kemelut itu, menafikan sekeras-kerasnya mereka membantah pembinaan SAR sebagaimana yang dilaporkan akhbar milik Umno itu.

Apa yang tidak dipersetujui PAS dalam hal ini, katanya tindakan pihak terbabit yang mengambil tapak padang tersebut tidak mengikut prosedur yang sah.

"Cara mereka mengambil tanah tersebut tidak ikut prosedur, (seolah-olah dirampas sahaja) dan saya hanya melahirkan simpati terhadap penduduk disitu,"katanya.

Radzi pernah didatangi penduduk terbabit sambil menceritakan kekecewaan mereka apabila memorandum bantahan pembinaan sekolah yang dihantar kepada Adun Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman, langsung tidak diendahkan.

Pada 4 Mei 2012,  penduduk telah menghantar memorandum kepada Hamidah meminta diadakan sesi dialog bersama penduduk, malangnya ia telah tertangguh selama dua minggu.

Beliau juga difahamkan tahan lapang itu adalah milik penduduk bersama selepas mereka membayar lebih RM1000 kepada pemaju bagi mendapatkan tanah itu.

"Adun BN berkenaan tidak hirau langsung masalah penduduk terbabit, akhirnya mereka datang jumpa PAS dan Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye," katanya.

Ekoran itu, PAS dan PKR telah membuat sidang media pada 29 Mei 2012  di padang Taman Pegoh Aman dan disertai oleh seramai 80 penduduk tempatan.

Bahkan, beliau juga dimaklumkan pihak Datuk Hamidah telah  mengumumkan perutukan RM100 000 untuk membina sekolah agama secara tergesa-gesa.

Tambahnya, sekolah terbabit dibina dalam keadaan tanpa perancangan awal sepertimana jawatankuasa SAR yang biasa, tanpa prosedur Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kerja Raya, dan Bomba.

"Tanpa pagar keselamatan atau papan tanda projek yang selalunya mengambil masa enam bulan hingga setahun.  Projek tersebut dibuat tanpa sesiapa tahu apakah status bangunan dan untuk apakah bangunan misteri itu dibina.

"Jika ditinjau dari segi pengalaman Jawatankuasa SAR Desa Perlancongan, jangkamasa untuk memohon tapak sahaja memakan masa hingga setahun," katanya.

Tiada ulasan: