Jumaat, 29 Jun 2012

KATALAH APA KITA NAK KATA...MATI TETAP MATI....TUA TETAP TUA....DIAKHIRAT BARU KITA TAHU KITA AHLI SYURGA ATAU NERAKA...KITA MATI DALAM AKIDAH BENAR ATAU TAK....

Parlimen boleh bubar hari ini, kata Azmin

Khairul Azlam Mohamad, 29 Jun 2012

(Azmin Ali melakukan gimik pada Majlis Pelancaran Bahan Kempen PKR negeri Terengganu di Kuala Terengganu.)

KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali  tidak menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang ini.

Ini kerana, katanya PM telah mengarahkan satu mesyuarat khas tergempar yang melibatkan semua Ahli Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada pagi ini.

Namun, ramai meragui pandangan beliau ini kerana jangkaan mereka pilihan raya tidak lagi akan diadakan dalam masa yang terdekat.

Namun, ekoran sambutan hari pertama IPO FGVH positif, kemungkinan itu tetap ada kerana ramai mengandaikan saham ini akan menjunam jatuh sebagaimana saham Facaebook selepas ini.

Untuk permulaan ini, ia boleh naik dengan sokongan pelbagai jentera kerajaan BN dan bantuan syarikat GLC terhadap IPO ini.

“Pecutan terakhir kita (PKR) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tarikh kita belum tahu tetapi nampaknya terlalu dekat.

“Esok (29 Jun) parti kita (PKR) akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, dan pada masa yang sama Perdana Menteri (Najib) juga memanggil satu mesyuarat khas tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

“Hari esok (Jumaat) hari yang sama, tempat berbeza sebab parti berlainan. Sebab kita telah buat perkiraan, jika esok (29 Jun) Majlis Tertinggi BN bermesyuarat pagi, petang dia (PM) boleh bubar Parlimen.

“Sabtu (30 Jun) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat mesyuarat, dia terus umum tarikh penamaan calon dan pembuangan undi. Jika dia (BN) buat esok, masih ada kemungkinan (pilihan raya) sebelum Ramadan,” ujar Azmin dalam ceramahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) 3.0 PKR Peringkat Negeri Terengganu, di sebuah hotel, dekat sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya Pakatan Rakyat bakal menamatkan kemarau berhubung pertindihan kerusi antara PKR, PAS dan DAP di seluruh negara.

Azmin menyifatkan, jumlah kerusi terbabit terlalu kecil dan yakin perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik selepas beberapa siri rundingan berlangsung sebelum ini.

“Insya’Allah, dalam masa satu minggu atau dua minggu lagi, kita (Pakatan Rakyat) akan bersidang sekali lagi untuk meneliti beberapa kerusi yang masih bertindih dan jumlahnya terlalu kecil untuk kita pertimbangkan,” jelasnya.

Apa yang penting, katanya persiapan yang teratur dan terancang perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Menurutnya, semua pimpinan PKR Terengganu mesti memberikan tumpuan dan fokus lebih bersungguh di peringkat Cabang, Ranting serta dareah mengundi.

“Insya’Allah, dengan persiapan ini kita (PKR) akan lebih teratur dan terancang menghadapi pilihan raya yang ke-13. Saya berharap pimpinan-pimpinan di negeri Terengganu memberikan tumpuan dan fokus khususnya di peringkat Cabang, Ranting dan daerah mengundi.

Sementara itu, dakwaan pihak tertentu mengenai hubungan dingin beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Gombak tersebut menafikan desas-desus berkenaan yang sengaja diperbesar-besarkan media.

“Baru hari Ahad lepas, Tan Sri Khalid memilih untuk turun ke Batu Caves dalam Parlimen Gombak. Saya selaku Ahli Parlimen, selaku Ketua Cabang menyambut dan meraikan kehadiran Tan Sri Khalid.

“Utusan (Malaysia) tidak melaporkan, TV3 tidak melaporkan. Jadi hubungan saya dengan Tan Sri Khalid baik, tak ada masalah” ujarnya.

Sehubungan itu, Azmin turut mengakui bukan mudah untuk memimpin negeri ini yang hingga kini, telah 12 orang pernah jadi Pengerusi PKR di negeri Terengganu.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Terengganu, Azan Ismail.

Guan Eng saman Utusan lagi, kali ini RM50 juta

Harakahdaily, 29 Jun 2012

(Lim Guan Eng bersama pemimpin DAP dalam sidang media mereka semalam)

KUALA LUMPUR: Selepas menang dua saman terhadap Utusan sebelum ini, Lim Guan Eng memfailkan lagi saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, News Straits Times dan Pertubuhan Pribumi Melayu Perkasa (PERKASA) berhubung laporan fitnah yang disiarkan.

Kali ini beliau menuntut RM50 juta dari media Umno berkenaan.

Dalam sidang media di Parlimen semalam, beliau menegaskan, laporan yang disiarkan itu menuduh seolah-olah beliau adalah pengkhianat negara dengan menjual maklumat kepada negara asing.

“Kedua-dua surat khabar dan Utusan memohon maaf kepada Datuk Kalimullah Hassan berhubung perkara ini tetapi saya tidak faham kenapa kedua-dua akhbar ini tidak memohon maaf kepada saya,” kata Guan Eng.

Tuduhan itu adalah berkenaan dakwaan wujudnya pertemuan di antara Guan Eng dengan pemimpin tertinggi di Singapura khususnya daripada PAP dalam satu majlis makan malam yang diadakan di negara itu.

Kata Guan Eng, saman malu itu dibuat kerana dakwaan yang dilemparkan amat serius.

“Menuduh saya menjual maklumat rahsia negara adalah dakwaan serius kerana kalau benar dituduh menjual rahsia negara itu adalah perbuatan khianat yang akan dihukum dengan hukuman yang berat (hukuman gantung).

“Saya terpaksa mengambil tindakan, ini bukan kali pertama Utusan Malaysia membuat tuduhan seperti ini, ia adalah usaha untuk mempertahankan nama baik saya,” katanya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Disember tahun lalu mendapati Utusan memfitnah Lim Guan Eng dan diarahkan membayar RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu ekoran laporan fitnahnya.

Mahkamah itu juga mendapati Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak anti Melayu atau anti Islam tetapi itu adalah niat buruk Utusan.

Sebelum itu, pada 22 Jun, kerana laporan kononnya Lim Guan Eng mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Mahkamah Tinggi Pulau Pinang juga mendapati lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia, telah melakukan fitnah.

Justeru, mahkamah mengarahkan Utusan membayar pampasan RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu serta RM20,000 kos mahkamah.

Guan Eng menyaman Utusan terhadap satu tulisan bertajuk “DEB: Guan Eng Tetap Berdegil” bertarikh 15 Mac 2008 yang mendakwa kononnya Setiausaha Agung DAP tersebut mahu menghapuskan DEB.

Saya akan sokong Mukhris jadi MB - Mahathir

Harakahdaily, 29 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menyokong jika anaknya, Datuk Mukhris Mahathir dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Kedah.


(Anak bapak...Mukhris dan Mahathir)

Dalam wawancaranya dengan sebuah stesen TV internet, Mahathir berkata, beliau juga akan menolong anaknya itu.

Mahathir juga berkata, dia tahu anaknya itu berminat dalam politik dan akan menolong beliau.

"Tetapi untuk jawatan apa, terserahlah kepada parti membuat keputusan. Jika dia dicalonkan untuk jadi MB, saya akan sokong," kata Mahathir.

Desas-desus bertiup kencang di Kedah kononnya Mukhris, anak ketiga Mahathir itu akan bertanding peringkat DUN dalam pilihan raya umum akan datang ini.

"Katanya dia akan bertanding di DUN Kota Seputeh," kata anggota Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria kepada Harakahdaily.

Adun Kota Seputeh sekarang, Datuk Abu Hassan Sarif (Umno - BN) sebelum ini didapati tidak layak menjadi Adun kerana gagal menghadiri sidang yang diadakan.

Menurut sumber lain pula, anggota Parlimen Jerlun itu tidak berapa berminat untuk bertanding peringkat DUN kerana takut kehilangan jawatannya yang ada sekarang.

Mukhris, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tahu bukan mudah untuk beliau menjadi MB kerana terpaksa bersaing dengan lain-lain pemimpin Umno Kedah yang lebih senior.

"Dia boleh menang kerusi DUN Kota Seputeh itu tetapi adakah BN akan menang Kedah? Jika BN menang pun, adakah Mahathir Khalid akan setuju dia jadi MB. Di mana pula kedudukan Datuk Ahmad Bashah, Pengerusi Umno Kedah sekarang," kata seorang pengkaji politik antarabangsa kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Menurut beliau, skala pertembungan dalaman Umno Kedah cukup tinggi iaitu 3.5 dari 5 markah penuh.

"Sebab itu, bagi saya, kalau Mukhris bertanding DUN pun bukan kerana dia yakin menang dan mahu sangat tetapi kerana tekanan ayahnya yang mahu legasi beliau diteruskan," kata pengkaji yang berasal dari Amerika itu.

Tun Mahathir tak perlu risau kalau tak buat salah

Basiron Abd Wahab, 29 Jun 2012
JENGKA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mohathir Mohamad tidak perlu bimbang beliau akan dipenjarakan jika Pakatan Rakyat memerintah, kata Timbalan Presiden PAS Muhamad Sabu.

Sebaliknya katanya, mereka yang melakukan kesalahan sahaja yang perlu bimbang kerana bakal diambil tindakan sewajarnya.

“Pakatan Rakyat bukanlah parti berasaskan dendam dan ingin membalas dendam kepada sesiapa,” katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika berucap kepada penduduk sekitar Jengka dalam majlis ceramah dan perasmian Ibu Pejabat PAS Kawasan Kuala Krau di Nadi Kota dekat sini.

Pakatan Rakyat ujarnya akan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum warna kulit dan agama.

Kata beliau kebimbangan Dr Mahathir akan dipenjara itu membayangkan bekas perdana menteri itu mulai gerun BN akan kalah dalam dalam pilihan umum ke-13 akan datang.

Sebelum ini, kata Mohamad belum pernah Dr Mahathir melahirkan kebimbangan sebegitu rupa.

Menurutnya lagi, jika Pakatan Rakyat menang dan memerintah beberapa isu besar yang menjadi tanda tanya dan persoal kepada rakyat seperti isu wanita Monggolia yang dibunuh dan di letupkan, Altantunya Saribu akan terjawab.

Isu berkenaan sehingga kini belum terjawab dan masih menjadi persoalan kepada masyarakat dunia kerana kematianya dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin ahli perniagaan dan politik Malaysia.

Marah buku diharam, Kassim ugut 'bunuh' Anwar

Harakahdaily, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Mungkin kerana kecewa dengan teorinya yang menolak hadis sebagai sumber kedua rujukan Islam ditolak, Kassim Ahmad (gambar - Malaysiakini) mahu mengantung Datuk Anwar Ibrahim sampai mati.

Dia juga berkata, "Saya bersedia untuk menembak dia," kata Kassim dalam wawancaranya dengan Malaysiakini.

Ugutan untuk menggantung sampai mati ini yang kedua keluar minggu ini selepas anggota Parlimen Umno, Datuk Mohamad Aziz mencadangkan agar Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga digantung.

Namun cadangan itu ditarik balik beliau selepas mendapat serangan dari kerabat BN sendiri yang sedar tindakan menyerang Ambiga telah menyebabkan menyarakat India semakin benci kepada BN khasnya Umno.

Sikap ini menyebabkan kerabat BN iaitu MIC dan PPP yang akan kehilangan undi dalam pilihan raya umum akan datang sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya umum 2008.

Dalam PRU 2008, isu Hindraf dan peguam Uthayakumar menjadi isu penting orang India sehingga majoriti mereka memberikan undi kepada calon-calon Pakatan Rakyat termasuk PAS.

Namun Kassim agak berbeza dengan Mohamad Aziz.
Selain menyerang Anwar dengan bahasa kesat sehingga sanggup meludah mukanya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga menjadi sasaran Kassim.

Beliau mengkritik keras Mursidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. Walaupun tidak jelas apakah maksud sebenarnya, beliau menyebut tentang budaya "feudal ulama" dalam parti Islam itu.

Bekas Presiden PSRM yang kritis terhadap "kasta" ulama dalam Islam itu juga merasakan Nik Aziz terlalu didewa-dewakan di kalangan pengikutnya.

Anwar dan Nik Aziz dianggap orang penting yang menyebabkan teori hadis Kassim Ahmad ditolak ulama dan umat Islam.

Menurut Malaysiakini, Kassim percaya Anwar berpakat dengan 'ulama' bagi menekannya walaupun bersetuju 'secara prinsip' di peringkat awal.

Kassim juga mendakwa, sekitar 1990-an, cadangan dialognya dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung kandungan bukunya tergendala apabila dihalang oleh Anwar walaupun Dr Mahathir didakwa sudah bersetuju.

TNB dituntut perjelas bil elektrik melonjak naik

Harakahdaily, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memberikan penjelasan segera ke atas aduan kenaikan bil elektrik ekoran sistem bil dua bulan sekali.

Ini kerana, sistem ini menyebabkan bil elektrik pengguna menjadi berlipat kali ganda.

Seorang pengguna elektrik menghantar satu surat aduan dan disiarkan oleh banyak blog termasuk dalam ruangan surat pembaca Harakahdaily sebelum ini.

Namun sehingga kini, TNB belum membuat sebarang penjelasan mengenainya sekurang-kurangnya tidak ada dalam pengetahuan pembaca Harakahdaily.

Berikut disiarkan sekali lagi surat yang ditulis oleh Mohd Fazli Hassan dari Meru, Klang itu:


Tidak lama dulu DS Najib mengumumkan kenaikan tarif elektrik baru. Seingat saya, beliau menyatakan bacaan bil bulanan di bawah 400 unit atau kurang dari RM90 tidak menerima kesan (tolong betulkan jika salah).

Oleh itu pengguna yang bil bulanan di bawah bacaan 400 unit atau kurang dari RM90 (jika tidak silap) tidak akan dikenakan kadar tarif elektrik baru. Mendengar pengumuman tersebut saya antara orang yang merasa lega kerana bil elektrik saya setiap bulan adalah kurang daripada RM90.

Perasaan lega itu hanya untuk sementara waktu sahaja atau beberapa bulan sahaja. Ada perancangan lain yang telah dilakukan bagi merealisasikan kadar tarif baru elektrik ini.

Beberapa bulan ini, pihak TNB (pembaca meter TNB) hanya melakukan bacaan meter dua bulan sekali sahaja ke rumah saya dan rumah-rumah jiran. Oleh itu bacaan meter elektrik yang dibuat dua bulan sekali, diselangi dengan bil anggaran yang dihantar melalui pos. Melalui cara ini, secara tidak langsung kadar tarif baru dapat dilaksanakan kepada pengguna, tanpa disedari.

Sebagai contoh bagi mereka yang menggunakan tarif elektrik sebanyak 350 unit sebulan, bayaran bil adalah sebanyak RM76.30. Melalui sistem bacaan meter DUA BULAN berserta BIL ANGGARAN (secara POS), penggunaan elektrik naik sekali ganda menjadi 700 unit (dua bulan).

Oleh itu, bayaran bil menjadi RM194.20, kiraan seperti berikut:

Penggunaan dua bulan 700 unit.

1. 400 unit X RM0.218 = RM87.20

2. 200 unit X RM0.334 = RM66.80

3. 100 unit X RM0.400 = RM40.00

JUMLAH = RM194.20

Bil bagi dua bulan menghampiri RM200. Berbanding jika bil dikenakan tiap-tiap bulan hanya antara RM70 ke RM80 sahaja. Jika dua bulan pun hanya RM140 ke RM160 sahaja jika pengguna membuat tunggakan bayaran.

Bagi bil anggaran yang dihantar melalui pos pula, jumlah yang dinyatakan hanya pada nilai RINGGIT MALAYSIA tetapi bukan pada jumlah UNIT elektrik yang digunakan. Maka bil dua bulan dalam jumlah ringgit ditolak dengan jumlah bil anggaran dalam nilai ringgit.

Kesimpulannya, TNB telah berjaya melaksanakan kadar tarif baru elektrik kepada pengguna yang pada asalnya bacaan tarif elektrik kurang dari 400 unit.

Sehubungan itu, saya meminta pembaca atau pengguna elektrik, renungkanlah....


Mohd Fazli Hasan
Taman Meru Damai, Kapar Klang.

Harus merenjis beras ke atas pelamin jika pengantin...

http://naimnikmat.blogspot.com, 29 Jun 2012

HARUS MERENJIS BERAS KE ATAS PELAMIN PENGANTIN JIKA PENGANTIN.......

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/s480x480/320430_455670081118464_1033102301_n.jpg

Ambik kau kah3...............


Mulut celupar Ali Hamsa

Ahmad Lutfi Othman, 29 Jun 2012
Kenyataan awal Ketua Setiausaha Negara yang baru dilantik, Dato' Dr Ali Hamsa, yang mengaitkan parti pembangkang dengan janji-janji kosong, bagi memburuk-burukkan Pakatan Rakyat pada kaca mata kakitangan awam, bukan saja satu langkah salah, malah mendedahkan kepincangan yang berlaku sejak sekian lama.

Malang sekali jika Ali sengaja mahu menempatkan dirinya sebagai satu lagi perkakas atau jurucakap Umno-BN, seperti dilakukan pegawai kanan kerajaan tertentu, misalnya Pengerusi Suruhanjaya  Pilihan Raya (SPR) dan Timbalan Ketua Polis Negara. Seharusnya beliau diberi amaran agar berhati-hati dengan mulut celuparnya itu!

Ketika ramai bercakap kemungkinan kerajaan persekutuan akan bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kenyataan Ali itu telah menimbulkan reaksi kurang senang banyak pihak. Apakah ia satu petanda jelas bahawa sektor awam akan diperalatkan semahunya oleh Umno-BN, sebagai talian hayat terakhirnya, dalam "ibu segala pilihan raya" itu?

Sesungguhnya, kerajaan boleh bertukar pada setiap kali pilihan raya umum diadakan, namun penjawat awam akan kekal di situ. Jika Pakatan berjaya menyisihkan BN dalam PRU13, pegawai kerajaan, termasuk KSN, tidak akan berubah. Lihat saja peralihan kerajaan negeri dalam PRU12, daripada BN kepada Pakatan Rakyat, atau sebelumnya PAS, di Kelantan dan Terengganu, pegawai-pegawai kerajaan langsung tidak diusik.

Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran awam yang berkecuali dan bukannya "spoils system" atau "sistem rampasan" atau "sistem penaung", yang memberikan jawatan dalam perkhidmatan awam kepada penyokong parti politik yang menang dalam pilihan raya. Terbukti ia menjamin kelancaran dan kelicinan pentadbiran awam kita.

Dalam sistem berkecuali ini, pengambilan kakitangan awam dan kenaikan pangkat adalah berdasarkan sistem merit, dengan menimbangkan kelayakan dan kecekapan, melalui suruhanjaya yang dikira bebas.

Justeru, kesetiaan mereka dilambangkan kepada ketua negara, Yang di-Pertuan Agong dan ketua negeri, iaitu Raja-Raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri, dan bukannya kepada parti pemerintah.


Sebenarnya isu kesetiaan kakitangan kerajaan kerap ditimbulkan apabila negara berdepan situasi politik yang dilihat tegang dan kritikal.

Ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan dalam kerajaan dan Umno, serta tercetusnya demonstrasi hujung minggu di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, maka KSN waktu itu, Tan Sri Abd Halim Ali mengeluarkan pekeliling agar kakitangan awam tidak terlibat dengan gerakan reformasi.

Cuba bayangkan, dalam keadaan Anwar diaibkan dan dizalimi sebegitu rupa, dengan kaedah pemecatannya yang cukup luar biasa, apakah mungkin seseorang kakitangan awam yang prihatin, apatah lagi melihat jasa besar Timbalan Perdana Menteri semasa berada kerajaan boleh berpeluk tubuh begitu sahaja?

Kini, menjelang PRU13 yang cukup mendebarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak -- yang memungkinkan buat pertama kalinya rakyat benar-benar mempunyai pilihan untuk menukar kerajaan --  peringatan sama, walaupun secara tidak rasmi, bergema semula.

Lebih buruk lagi apabila lantunan suara Ali itu dilihat memomokkan perjuangan pembangkang, sekali gus berkempen untuk BN.  Di kala perancang media Najib melancarkan program "Jelajah Janji Ditepati", manakala  Pakatan Rakyat pula menawarkan pelbagai jaminan dalam Buku Jingga, maka kenyataan Ali agar kakitangan awam  tidak diperbodohkan oleh janji-janji kosong pembangkang jelas sarat dengan motif politik.

Mengapa beliau mendefinisikan janji-janji pembangkang sebagai "kosong"; apakah itu sesuai dilafazkan oleh seorang bertaraf KSN? Bukankah selama ini banyak tawaran dalam Buku Janji telah diadaptasi oleh Najib dan mengemukakannya semula dalam pakej berbeza, terutama berkaitan insentif "one-off"?

Walaupun Ali berhak untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Najib, selepas dilantik ke jawatan tertinggi itu, tetapi bukanlah sehingga merendahkan martabat KSN ke tahap sama dengan "juak-juak politik" BN lainnya.

Kenapa harus melafazkan kalimat yang mengguris, malah menyakit hati, sebahagian besar rakyat negara ini? Tentu beliau amat menyedari bahawa sokongan BN dalam PRU13 hanya separuh daripada jumlah pemilih yang mengundi pada Mac 2008 itu?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim memberi respons: "Sebagai ketua yang baharu kepada 1.4 juta kakitangan awam, beliau perlu menunjukkan sikap profesional dan bebas tanpa memihak kepada mana-mana parti politik. Jika kita mengambil sikap beliau, adakah bermakna penjawat awam sekarang tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri yang tidak sealiran politik dengan kerajaan pusat?"

Presiden Teras, Cikgu Azmi Abd Hamid pula membidas: "Belum pernah mana-mana KSN sebelum ini yang terang-terangan menyatakan sikap politik kepada penjawat awam dan meminta mereka menolak pembangkang." Bagi Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, sebagai KSN, Ali boleh meminta kakitangan awam patuh kepada kerajaan tetapi bukan patuh kepada parti yang menguasai kerajaan.

Sebenarnya sikap yang ditunjukkan Ali itu bukanlah sesuatu yang pelik atau aneh. Di negara ini, segala kemudahan kerajaan seringkali tidak dapat dipisahkan dengan kepentingan Umno-BN. Aset negara dianggap seperti harta parti sendiri.

Kepincangan ini bukan hanya menyerlah semasa bahang pilihan raya meningkat tetapi diamalkan sepanjang masa.

Hinggakan garis pemisah antara maslahat parti pemerintah dan kepentingan negara sukar dibuat; ia mungkin difaktorkan oleh kerana Umno-BN terlalu lama memerintah dan elitpolitiknya begitu mencengkam dalam pentadbiran kerajaan. Pegawai kerajaan pula berlumba-lumba "mengipas" bos politik mereka.

Saya telah mendedahkan, sejak tujuh tahun lalu, bagaimana pegawai-pegawai kanan universiti, iaitu kakitangan awam, termasuk bertaraf Naib Canselor, berkomplot untuk menewaskan kumpulan pelajar yang bebas dan bersikap kritikal dengan kerajaan, dalam pilihan raya kampus.

Sepatutnya pimpinan tertinggi universiti yang mengendalikan perjalanan pilihan raya itu bersikap adil dan berkecuali, dengan tumpuan utama menyediakan "padang permainan" sama rata kepada semua calon-calon yang bertanding. Sepatutnya biarlah anak-anak muda kita bereksperimen dengan sistem demokrasi yang belum tercemar di kampus, malangnya pilihan raya di menara gading itu rupanya lebih buruk lagi!

Jika diteliti Peraturan 21 dalam Perintah Am mengenai kegiatan politik, seseorang kakitangan awam tidak dilarang daripada melaksanakan hak mereka untuk menyokong mana-mana politik di luar waktu pejabat.

Hanya pegawai tinggi dilarang daripada membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik; menerbit, mengedar buku, artikel, risalah mengenai politik; merayu undi; agen pilihan raya tempat mengundi; bertanding dan memegang apa-apa jawatan.


Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak, kerap menekankan bahawa beliau memberi kebebasan kepada  penjawat awam  di negeri itu untuk memilih pendirian politik masing-masing di luar pejabat asalkan tidak menganggu tugas dan amanah yang diberikan. Ustaz Azizan tidak melihat kepelbagaian kecenderungan politik pegawainya sebagai satu masalah.

Sebenarnya perkhidmatan awam tidak boleh dipisahkan daripada ciri-ciri profesionalisme dan sikap berkecuali atau neutraliti. Menurut Dr Abd Aziz Bari, secara idealnya perkhidmatan awam harus menjadi pelindung kepada rakyat, supaya tidak menjadi mangsa kepada parti yang memerintah.

Bagaimanapun, bagi pakar perlembagaan ini, peruntukan peraturan tatatertib perkhidmatan awam 1993, yang mahukan kakitangan awam "pada setiap ketika memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan"  hendaklah dipinda kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan kedudukan dan peranan pegawai kerajaan, kesetiaan kepada negara, yang dilambangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, adalah bersesuaian dengan Perlembagaan, tetapi kakitangan kerajaan tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. ... Ketua Negara atau Ketua Negeri perlu mengelakkan diri daripada menjadi boneka atau cop getah parti yang memerintah," tulisan Dr Aziz dipetik.

Sesungguhnya Pakatan perlu melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan awam dan pelaksanaannya, termasuk berkaitan "sikap politik" ini jika menang PRU13 nanti. Saya tidak pasti di mana kedudukan orang seperti Dr Ali Hamsa ketika itu ... Harapnya beliau tidak teraniaya.

Tiada ulasan: