Isnin, 18 Jun 2012

BIASALAH MEREKA AKAN BERCAKAP MELALUI PERGALAMAN DAN PERKARA SERING DIBUAT...MAKA MEREKA MENYAMAKAN ORANG LAIN MACAMNYA JUGA...MEREKA KALAU TAK BAYAR MEMANG KURANG YANG DATANG...

Penyertaan tokoh gelombang baru kepada PAS

Hazayani Zakaria, 18 Jun 2012

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Penyertaan tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang dan latar belakang ke dalam PAS merupakan lonjakan baru kepada parti itu.

Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS yang membangun di negara demokrasi memerlukan sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan kemahiran untuk menyampailkan mesej Islam yang luas.

"Bahkan kita melihat dalam Al-Quran sendiri banyak surah yang dinamakan dengan pelbagai nama yang berkait pemuda, wanita, binatang, penyair.

"Itu menandakan bahawa sejak awal lagi Islam menarik pelbagai golongan untuk menyertai Islam dan mereka boleh bergiat dengan peranan masing-masing dengan petunjuk yang betul yang terkandung dalam Al Quran.

"Islam tidak menghalang kebolehan seseorang tetapi kebolehan itu mestilah disalurkan untuk membuat kebajikan, bukan membawa kemungkaran," kata beliau kepada Harakah dan Harakahdaily di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, selepas menerima borang keahlian daripada bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin. (Gambar atas)

Mengulas penyertaan Salleh ke dalam PAS, beliau berkata, kemasukan Salleh bukan sahaja memberi gelombang baru kepada PAS di Sabah dan Sarawak tetapi turut sampai ke Semenanjung kerana Salleh merupakan orang yang berpengaruh dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

"Penyertaan Datuk Salleh yang sangat PAS alukan bukan sahaja menjadi satu gelombang kepada PAS di Sarawak secara khusus bahkan di Semenanjung kerana beliau seorang tokoh politik yang menyertai kabinet, merupakan timbalan menteri pelajaran dan beliau juga seorang aktivis masyarakat yang terlibat dalam pembukaan sekolah-sekolah tahfiz di Sabah dan Kalimantan.

"Ini merupakan satu peranan yang besar dan beliau merasakan tidak habis jika tidak melibatkan diri dalam politik kerana politik merupakan satu pemangkin yang terkuat bagi melaksanakan cita-cita bagi seorang Islam," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Tambah beliau, Islam merupakan fitrah dan ideoloi ciptaan manusia tidak mampu memberikan kepuasan kepada manusia menyebabkan merek akan kembali kepada fitrah.

"Perkembangan ini berlaku kerana kegagalan ideologi ciptaan manusia untuk memberi kepuasan kepada manusia kerana semua ideologi dan ajaran itu tidak memenuhi segala aspek yang ada dalam naluri manusia.

"Inilah yang menyebabkan bila mereka sudah menyelami bidang masing-masing, tak sampai ke mana-mana. Akhirnya bila habis tempohnya mesti balik kepada asalnya dan Islam adalah asal kepada manusia seluruhnya," katanya.

Salahuddin berbesar hati dipelawa debat esok

Hazayani Zakaria, 18 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan bertemu dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dalam Debat Sinar Harian, jam sembilan malam esok.

Debat bertajuk Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi akan berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 17, Shah Alam.

Debat itu akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Salahudin yang berbesar hati menerima jemputan debat itu berkata, itulah peluang untuk beliau menyumbangkan idea dan melahirkan pemikiran yang boleh diterima semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

"Inilah sumbangan yang boleh saya berikan kepada mereka yang mahukan politik yang sihat.

"Kita mahukan hujah berdasarkan fakta, bukan berasaskan sentimen, emosi dan politik murahan seperti fitnah dan sebagainya. Rakyat perlu diberi kedewasaan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Katanya lagi, beliau yakin Saifuddin juga dapat menterjemahkan pemikiran baru kepada masyarakat.

"Saya telah banyak kali berkongsi pentas dengan Datuk Saifuddin sama ada dalam televisyen atau di pentas universiti. Saya yakin ada pemikiran baru yang akan diterjemahkan," katanya.

P'raya Presiden: PAS ucap tahniah kepada Ikhwan

Salmah Mat Husain, 18 Jun 2012

KOTA BHARU: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir semalam.

Tuan Guru juga turut mengucapkan tahniah kepada pengundi-pengundi Mesir yang memilih calon Ikhwan, sebagai Presiden baru, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin.

Kemenangan itu juga turut mencipta rekod baru apabila buat julung kalinya presiden dari Ikhwan memangi pilihanraya itu selepas 83 tahun perjuangannya.

“Saya sendiri akan menunaikan solat sunat syukur dua rekaat tengahari ini dan insyaallah malam nanti saya akan meneruskannya pula di rumah.

“Saya juga berdoa dan berharap semoga umat Islam di seluruh dunia termasuk pejuang Islam di Malaysia menunaikan solat sunat yang sama bagi melahirkan rasa syukur di atas kemenangan itu,” ujarnya.

Katanya, semoga dengan cara itu akan mempertingkatkan lagi hubungan dan kekuatan kepada perjuangan Islam di dunia ini, termasuk Malaysia.

Katanya, tidak ada orang Islam di muka dunia ini yang tidak gembira dengan kemenangan Ikhwan Muslimin di bawah partinya (Kebebasan dan Keadilan).

Katanya, walaupun selepas 83 tahun Asyahid Hassan Al-Banna meninggal dunia setelah ditembak di siang hari sehingga tidak ada orang yang berani mengangkat mayatnya ketika itu, akhirnya perjuangan itu menang juga.

Kata Tuan Guru, usaha ‘juak-juak’ sekular seperti CNN, Reuters, bekerja keras untuk menangkan calon mereka akhirnya tewas juga.

Dengan kemenangan Ikhwan, beliau berkeyakinan ianya akan terkesan di Malaysia di mana perjuangan Islam di Negara ini juga akan menemui kemenangan.

“Dengan dunia tanpa sempadan ini manusia dapat melihat secara terus apa yang berlaku tanpa ditapis,” jelasnya.

Sambungnya,  walaupun perjuangan Islam di Malaysia tidak bebas akibat ditekan dan dikongkong, apa lagi  tidak mempunyai media, namun dengan langit tanpa sempadan itu, ianya akan membantu kemenangan PAS di Malaysia.

Tuan Guru berpendapat kemenangan itu sudah tentu pengundi Mesir mendapat hidayah dari Allah selepas rakyat mereka selama ini dibunuh, dikurung dalam penjara.

“Pelbagai seksa di bawah kerajaan Mesir yang terdahulu, Jammal Abdul Nasir, Anwar Saddat, Hosni Mubarak.

“Mereka membuat macam-macam pada pejuang ikhwan ada yang dibakar janggutnya supaya janggut hilang dan kulit melecur,” ujarnya.

Katanya, tindakan itu tidak ubah seperti zaman firaun yang melakukan kepada pengikut Nabi Musa.

Sambungnya kekayaan manusia tidak sama dengan kesempurnaan Allah yang memiliki segala-galanya.

Tuan Guru seterusnya berkata, Shah Iran merupakan pemipin yang terkaya dunia zaman pemerintahannya, namun tidak mempunyai zuriat hasil perkahwinan dengan isterinya Surayya.

“Suraya dan Shah Iran tidak mempunyai zuriat walaupun kaya sekalipun kerana tidak mampu membuat zuriat sendiri selain Allah,” ujarnya.

Akibatnya, Shah Iran berkahwin lain dengan Farah Debba sehingga mendapat zuriat empat orang anak, tetapi kerajaan Shah diguling kemudiannya oleh komunis.

Menurutnya pejuang Islam di seluruh  dunia, seperti Ikhwan di Mesir, PAS di Malaysia, Masyumi di Indonesia dan lain-lain lagi pasti akan bertambah kuat dalam memperjuangkan kebenaran Islam walaupun ditentang pelbagai cara di tempat masing-masing.

Malah, katanya bukan itu sahaja kebangkitan Islam di Eropah juga semakin meningkat.

Nik Aziz ziarah keluarga kanak-kanak tertembak

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir, 18 Jun 2012
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pagi tadi melawat kanak-kanak yang tertembak diri sendiri.

Ketika mengunjungi keluarga allahyarham, Tuan Guru berharap mereka bersabar menerima ujian Allah yang sememangnya cukup memilukan hati.
Beliau berkata demikian kepada bapa allahyarham adik Mohd Fais Faizal, Hisham Ghazali, di rumahnya, di Ketereh.
Mohd Fais Faizal Hisham, 7, pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Pohon Tanjong, Pasir Mas, Sabtu lalu meninggal dunia apabila tertembak diri sendiri menggunakan pistol bapa saudara yang disangka pistol mainan.
Kejadian itu berlaku pada hari Sabtu kira-kira 9.00 malam sewaktu bapa saudaranya ke masjid dan beberapa jam selepas menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-7.
Fais dikatakan bertemu pistol berkenaan yang diletakkan di bawah meja.
Akibat kesan tembakan sendiri, seorang lagi bapa saudara adik Fais, Helmi, yang berada di belakangnya turut terkena serpihan itu.
Tuan Guru yang memahami perasaan keluarga berkenaan seterusnya memberitahu, ianya satu ujian besar yang memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Kita hidup ni pasti berakhir dengan kematian,” ujarnya.
Sementara itu, Hisham melahirkan rasa terharu di atas kesudian Tuan Guru menziarahinya.
“Terima kasih banyak tok guru,” ujarnya.
Ibu mangsa, Fadhilah Rifa’in, 27, redha dengan ketentuan Ilahi untuknya.
Baginya, Fais seorang anak yang baik serta pintar memandangkan allahyarham dapat membaca ketika berusia lima tahun.

PAS gesa keluar fatwa masalah alam sekitar

Salmiyah Harun, 18 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan turut menyenaraikan memelihara alam sekitar sebagai tanggungjawab syariat.

Mujahid berkata, alam sekitar merupakan anugerah ciptaan Allah dan ia perlu dipelihara dan dijaga sebaiknya.

"Saya cadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan khususnya kepada Umat Islam, boleh menghuraikan permasalahan itu sekiranya mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (pindaan) 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, walaupun cadangan ini tidak ada lagi tetapi ia boleh diajukan memandangkan alam sekitar sekarang ini semakin hari semakin binasa kerana perbuatan manusia sendiri.

"Saya cadangkan tambah lagi satu, iaitu memelihara alam sekitar di mana agar Majlis Fatwa kebangsaan berani keluarkan fatwa bahawa jaga alam sekitar harus dipertahankan.

"Majlis Fatwa Kebangsaan buat ketetapan bahawa Malaysia memberi kuasa kepada majlis itu untuk keluarkan fatwa pelihara alam sekitar dan mungkin menjadi rujukan kepada negara lain selepas ini," katanyan yang juga AJK PAS Pusat.

Justeru katanya, badan bebas dan pemantau sama ada Majlis Alam Sekitar perlu terdiri dari kalangan ahli politik pembangkang dan kerajaan, badan bukan kerajaan serta badan agama yang boleh menegur dalam hal-hal yang berkaitan dengan alam sekitar.

Ahli Parlimen Kuala Kedah Ahmad Kassim ketika membahaskan rang undang-undang itu turut menyokong cadangan Mujahid sebagai langkah tegas dalam memelihara kualiti alam sekitar.

"Selain adanya tindakan dan undang-undang namun tindakan itu masih tidak menyeluruh, paling kurang apabila ia menjadi tanggungjawab umat Islam  sekurang-sekurangnya usaha memelihara alam sekitar terjaga," katanya.

Peserta Himpunan Hijau tidak dibayar – Abby Abadi

Khairil Abdul Rahim, 18 Jun 2012
TEMERLOH: Selebriti terkenal Abby Abadi menyatakan beliau kini sedar tuduhan bahawa orang-orang PAS dibayar untuk ke Perhimpunan Hijau di Alor Setar, Kedah baru-baru ini oleh orang-orang tertentu rupa-rupanya tidak benar.
Beliau yang terkenal dengan watak Inspektor Aleeza dalam siri drama Gerak Khas, berkata ini disebabkan beliau perhatikan sendiri dalam ceramah-ceramah PAS ahli-ahlinya yang menyumbangkan derma dan mereka tidak dibayar untuk hadir seperti diamalkan oleh sesetengah parti politik.

“Jadi saya yakin mereka tidak dibayar seperti yang diperkatakan dalam media sebelum ini,” katanya dalam program Talk Show Malam Keinsafan di Dataran Kompleks PAS Pahang, Kerdau malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan pengerusi majlis Ustaz Kamal Ashaari yang mengumumkan pelancarkan kutipan derma.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran Pemuda PAS itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Menceritakan tentang pengalamannya, Abby berkata beliau pada mulanya hanya melihat Islam itu hanya sebagai rutin umpamanya ramai-ramai pergi solat Jumaat dan acara-acara keagamaan tetapi tidak melibatkan kehidupan sosial.

“Tetapi setelah menunaikan ibadah haji ke Mekah barulah terbit rasa insaf dan mahu melakukan penghijrahan daripada hidup sebagai artis.

“Tak sangka pula penghijrahan saya mendapat perhatian ramai orang sehingga boleh dipanggil untuk berada di pentas PAS.

“Tapi saya seronok sangat dengan pengalaman baru ini, seronok dapat berkongsi sedikit sebanyak cara hidup Islam sebab tak pernah didedahkan dengan suasana seperti ini dulu,” ujarnya.

Ini merupakan kali kedua beliau berada di pentas PAS di Pahang. Kali pertama beliau dipanggil untuk majlis yang serupa di Kuala Lipis.

Abby yang kini berstatus ibu tunggal, berkata pada mulanya tidak ambil tahu sangat tentang politik. Setelah didedahkan kefahaman Islam dan banyak membaca barulah beliau faham kenapa perlunya perjuangan Islam.

Mengenai dunia artis, beliau berkata jika tak pandai membodek atau tak pandai melobi memang susah untuk dapat job.

“Sekarang saya rasa lebih lapang tidak kalut untuk mendapatkan peluang berlakon. Saya seronok dengan suasana baru ini,” jelasnya.

Beliau sempat menasihatkan generasi muda agar tidak leka sangat dengan dunia hiburan dan turut kesal masih ada filem yang memaparkan adegan-adegan ghairah sedangkan itu semua tidak menyumbang langsung kepada pendidikan generasi muda.

Sementara itu, kira-kira 5,000 yang hadir memberi tumpuan kepada Abby turut mendapat ‘usikan’ Nasruddin.

“Saya sedar siapa diri saya, orang datang bukan nak tengok saya,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Abby turut diberi penghormatan melancarkan sebuah buku baru “Muslimat Celik Berpolitik’ tulisan Ustazah Anisah Tahir.

Tiada ulasan: