Jumaat, 15 Jun 2012

MEREKA LEKA TADAH PROJEK...BARU MASUUUKKK...DAH MALAS TADAH KITAB...BILA MASA NAK TADAH KITAB....PATUT AWAL2 LAGI TADAH KITAB ...TAK LAH JAHIL MACAM SEKARANG...TAK CAKAP TAK TAHU BODOH...CAKAP AJE...CONFIRM MEMANG BODOH.....

Rakyat Palestin habiskan usia di penjara Israel

Firdaus Abd Rahman, 14 Jun 2012
SUDAH lebih 60 tahun bumi Palestin dijajah rejim haram Zionis Israel. Sejak tempoh itu, bumi anbiya itu tidak pernah sunyi dengan kezaliman dan penindasan di luar batasan kemanusiaan.

Rakyat Palestin diratah semahu-mahunya bagi membenarkan misi Yahudi mewujudkan negara haram Israel. Maka tidak hairanlah umat Islam di Palestin sudah begitu kebal dengan penderitaan.

Dalam tempoh itu sudah berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin ditahan tanpa bicara. Episod penahanan tidak pernah berakhir. Tentera-tentera penceroboh berkeliaran tanpa sekatan.

Nasib tahanan Israel sukar diramalkan. Kebanyakan tahanan menghabiskan umur di penjara. Namun, kebelakangan ini situasi agak berlainan. Tahanan penjara Israel mulai mendapat perhatian setelah tertawannya seorang tentera penceroboh, Gilad Shalit.

Mahkamah Israel memutuskan bagi memastikan Shalit dikembalikan, seramai 1000 tahanan Palestin di penjara-penjara Israel dibebaskan. Pertukaran bermula dengan pembebasan 550 tahanan Palestin dengan Gilat Shalit.

Ia dianggap satu kejayaan buat rakyat Palestin. Tahanan Palestin tidak putus asa. Tahun ini siri-siri mogok lapar dilakukan mereka.

Dunia dikejutkan dengan dua mogok lapar berprofil tinggi oleh Khadir Adnan selama 66 hari dan akhirnya mahkamah Israel terpaksa membebaskan beliau pada 21 Februari lalu.

Begitu juga Hana Shalabi dibebaskan setelah 43 hari melakukan mogok lapar. Beliau dibebaskan awal April lalu. Tahanan Palestin terus mendesak Israel dengan melancarkan mogok lapar.

Seramai 2,500 lagi tahanan melancarkan mogok lapar setelah Israel mengabaikan tuntutan Bilal Diab dan Thaer Halahleh yang meneruskan mogok lapar masuk hari ke-70.

Mereka cuma minum air dan kesihatan mereka semakin meruncing. Israel yang sering mendabik dada dengan mendakwa negaranya tidak melanggar undang-undang akan terjejas sekiranya tahanan tanpa bicara mati.

Isu di Palestin bukanlah terbatas kepada isu penganiayaan kepada tahanan sahaja malah lebih teruk lagi, Semenanjung Gaza diburukkan dengan kekurangan bekalan ubatan serta krisis bekalan elektrik.

Bumi Gaza hanya dapat menggunakan kemudahan elektrik selama 6-7 jam sahaja sehari. Bekalan ubat-ubatan dari misi-misi kemanusiaan disekat daripada menghampiri sempadan Gaza.

Stesen janakuasa Gaza dihadkan operasinya kerana ketandusan sumber bahan api. Palestin membeli bahan api dari Mesir, namun Kementerian Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Mesir masih melakukan sekatan ke atas Gaza.

Hampir sebulan lalu iaitu pada 15 Mei lepas merupakan hari peringatan ke-64 tahun Nakbah Palestin, hari malapetaka yang menyaksikan bumi Palestin dijajah rejim Zionis Israel.

Sejak tempoh itu bumi Palestin tidak pernah sunyi dengan kezaliman. Rakyatnya diratah semahu-mahunya oleh penjajah Israel.

3 kertas kerja di Himpunan Hijau Selangor

Anis Nazri, 14 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Semangat Himpunan Hijau yang membara di Alor Setar, awal bulan ini disemarakkan lagi di peringkat negeri Selangor, yang akan diadakan di Shah Alam, Ahad, 17 Jun ini.

Himpunan Hijau Fasa 1 ini akan membariskan exco negeri Kelantan, yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebagai pembentang kertas kerja.

Selain itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Md Ramli dan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Khairuddin At-Takiri turut membentangkan kertas kerja pada hari tersebut.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman (gambar), berkata program tersebut akan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bagi persiapan menuju ke Putrajaya.

Program yang akan menjadi medium perkongsian maklumat itu akan diadakan di Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam dengan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan majlis penutupan akan disempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata Himpunan Hijau Fasa 2 juga sedang dirangka bagi menghimpunkan anak-anak muda bagi meneruskan momentum menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun, tarikh dan tempat Himpunan Hijau Fasa 2 itu diadakan akan dimaklumkan kemudian.

"Saya dapat maklumat orang Umno dalam Jais ada agenda"

Muhammad Faizal, 14 Jun 2012
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan esok (15 Jun) sebagai mendengar hujahan terhadap kes saman Umno terhadap Harakah berhubung artikel yang mengaitkan serbuan ke atas gereja tahun lepas.

Datuk Ahmad Zaki Husin bertindak sebagai hakim dalam kes ini menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan dari semua saksi defenden dan juga plantif.

Mahkamah yang bersambung hari ini mendengar keterangan dari Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali yang merupakan individu yang memberi kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Mustafa dalam laporannya sebelum ini  mendakwa beliau mendapat maklumat, serbuan ke atas gereja itu didalangi oleh Umno.

Beliau yang menjawab pertanyaan peguam Asmuni Awi berhubung dengan dakwaannya itu menyatakan melalui maklumat yang diterima yang mengatakan di dalam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mempunyai orang Umno serta ada agenda tertentu.

Malah jelasnya, individu yang memberi maklumat itu merupakan kakitangan Jais.

"Saya mendapat maklumat melalui telefon yang mengatakan ada orang Umno di dalam Jais dan mereka mempunyai agenda tertentu.

"Pemberi maklumat tersebut juga merupakan kakitangan Jais namun identiti mereka tidak didedahkan," jelasnya.

Tambahnya, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali ketika menjadi exco bukan sahaja memberi penjelasan malah turut memberi taklimat kepada Jawatankuasa PAS Pusat bagi menerangkan apa yang telah berlaku semasa serbuan ke gereja tersebut.

Selain Setiausaha Agung PAS, turut dipanggil A. Zarin A. Kudus yang bertindak sebagai pihak pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Jelasnya ketika pertanyaan peguamnya, Zulhazmi Shariff, pihaknya tidak berhak untuk mengubah atau menelefon sesiapa yang nama mereka terkandung di dalam aktikel yang dikeluarkan.

Malah pihaknya hanya memproses cetakkan mengikut apa jua maklumat yang dihantar.

Beliau juga turut bersetuju bahawa akhbar Harakah itu diterbitkan hanya untuk ahli PAS sahaja.

Sebelum itu, Umno Selangor melalui Setiausaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, wartawan Harakah, Khairul Azlan Mohamad serta pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Bagaimanapun nama Abdul Hadi dan Mohamad Sabu telah ditolak oleh mahkamah dari menjadi defendan.

Umno Selangor menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Peninju 12 negara rebut Tali Pinggang Tok Guru

Mohd Nor Yahya, 14 Jun 2012


(Takiyudin bersama dengan peninju kanak-kanak)

KOTA BHARU: Peninju dari 12 negara akan bertarung merebut tali pinggang di kejohanan Royal Kelantan International Boxing Challenge 2012 pada 1 hingga 3 Julai ini bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Peninju terbabit dari Myanmar, Australia, Algeria, China, Thailand, Belanda, New Zealand, Iran, Costa Rica, England, Ireland dan tuan rumah.

Program berkenaan diadakan sempena sambutan Tahun Melawat Kelantan 2012, dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Boxing Sentosa Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak 17 regu akan dipertandingkan dalam tiga kategori iaitu Super Fight, Title Belt dan Special Fight.

Katanya, peninju akan merebut tiga tali pinggang iaitu malam pertama (Tali Pinggang Kejohanan YTM Tengku Mahkota Kelantan), malam kedua Tali Pinggang Kejohanan KDYMM Sultan Muhammad V.

Dan pada malam ketiga peninju akan merebut Tali Pinggang Tok Guru Menteri Besar Kelantan.

“Tuanku Al-Sultan Kelantan dijangka berangkat menyaksikan perlawanan itu pada malam kedua,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengelola Istana Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood dan Pengerusi Kelab Boxing Sentosa Jaya, Datuk Rozali Daud.

Tahun lepas kerajaan negeri menganjurkan kejohanan boksing Siam di Rantau Panjang yang juga disertai peninju luar negara.

Takiyuddin berkata, pada setiap malam pertandingan diadakan hadiah wang tunai sebanyak USD500 akan diberi kepada peninju terbaik.

“Kita akan dapat saksikan perlawanan antara peninju terkemuka dari Thailand yang pernah menyertai perlawanan sebanyak 350 dan 300 kali iaitu Oron Sumalee dan Pit Thaksin.

“Mereka akan merebut Piala Exco Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood. Manakala dua lagi peninju Thailand iaitu Jom Buniyarit dan Sikapirt akan bertarung merebut Piala Exco Pelancongan,” katanya.

Beliau juga berkata, setiap peserta akan dipastikan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan kawalan keselamatan diperketatkan.

PAC didesak segera mesyuarat 4 isu penting

Salmiyah Harun, 14 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Pakatan Rakyat mendesak pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid memanggil mesyuarat dengan kadar segera bagi menyiasat kes-kes yang telah dipersetujui sebelum ini.

Dalam mesyuarat PAC pada 5 Mac 2012, ahli-ahlinya telah bersetuju supaya pegawai-pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat berkanun kerajaan dipanggil untuk membincangkan empat isu yang penting.

Isu-isu yang telah dipersetujui bersama antaranya, Perbelanjaan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), Pembinaan Lapangan Terbang Kos Rendah (KLIA 2), Pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Kes Hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang dilupuskan.

Menurut Anggota PAC, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar, PAC perlu menyelesaikan empat isu terbabit yang melibatkan kerugian berbilion wang negara sebelum meluluskan Perbekalan Tambahan sebanyak RM`13 billion yang dibentangkan hari ini.

"PAC adalah jawatankuasa tetap parlimen, tempoh perkhidmatannya seperti parlimen, jadi sebelum parlimen dibubarkan jawatankuasa ini terus aktif. Cuma bila dan berapa kali kita boleh mesyuarat ia akan diputuskan atas persetujuan bersama," katanya.

Namun, katanya mesyuarat akhir Mac lalu secara bersama memutuskan untuk mengadakan mesyuarat seberapa segera untuk menyelesaikan kes-kes besar dari segi nilai dan integriti pengurusan kewangan negara.

"Kami ingin kemukakan perasaan kecewa kerana tiada mesyuarat yang dipanggil untuk membincangkan perkara-perkara terbabit selepas tiga bulan," katanya.

Misalnya, kata beliau kes pinjaman Tajuddin Ramli yang dilenyapkan diluar mahkamah sehingga kini menjadi tanda tanya dan perlu didedahkan.

"Kita minta PAC dimaklumkan apakah butiran dan perjanjian rahsia ini. Sekarang ini ada pula rang undang-undang perbelanjaan tambahan, jadi yang bermasalah pun kita tak selesai lagi nak tanmbah pula sebanyak RM13 billion," katanya.

Turut bersama dalam sidang media, Naib Pengerusi PAC Dr tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Telok Kemang Kamarul Bahrin Abbas dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Justeru katanya, isu pengurusan negara dipertanggungjawabkan mereka untuk menjaga pengendalian wang negara sebaik mungkin.

'Umno! tunggu saya di Johor' - Salahuddin

Nazri Abdullah, 14 Jun 2012
BANGI: Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub (gambar) berkata, beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk balik bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, biarpun Umno mendakwa ianya sebagai 'tindakan bunuh diri', namun demi perjuangan katanya, beliau tidak akan berpatah balik.

"Siapa terbunuh, siapa dibunuh, tunggu saya di Johor," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi malam tadi.

Selepas beliau mengumumkan akan balik bertanding di Johor, banyak pihak khususnya rakyat negeri itu menerima baik kepulangan beliau ke negeri itu.

Ianya sekaligus menggusarkan Umno apatah lagi dengan desas-desus beliau akan dicalon sebagai menteri besar jika Pakatan berjaya di negeri itu.

Dan terbaru ada yang mengatakan beliau ibarat membunuh diri kerana kerusinya di Kubang Kerian dilihat kerusi selamat untuk beliau.

Mengulas perkara itu, Salahuddin menujukan pantun berikut kepada Umno.

"Buah Salak masak sepiring, dibawa orang dalam perahu, seekor si jalak seekor si biring, ayuh bertarung kalah menang belum tahu.

"Limau Bantan masak di tingkap, budak-budak melempar tempurung, harimau di hutan sedang kita tangkap, inikan pula cicak mengkarung," katanya.

Sementara itu turut berceramah malam tadi adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi yang menyertai PAS, Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain.

Hadir juga malam tadi Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar dan bekas penyanyi dangdut Iwan yang turut menyampaikan empat buah lagu dakwahnya.

Haji: Pembodek Umno wajar ‘tadah’ kitab fiqh

Harakahdaily, 14 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh dan bersetuju dengan saranan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abdul Rani Osman supaya para petugas parti yang terlibat secara langsung untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya umum yang ke 13 supaya ‘menangguhkan’ hasrat untuk menunaikan haji pada tahun ini sekiranya terpilih.
Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, ini kerana keperluan untuk menukar pemerintah di peringkat pusat sekarang ini adalah terlebih penting di dalam pilihanraya nanti supaya rakyat akan dapat diselamatkan daripada penindasan dan kezaliman pemimpin Umno dan Barisan Nasional selama ini.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggap isu sensasi berkenaan penangguhan pemergian haji ini bukanlah isu yang besar sekiranya Umno dan Barisan Nasional mengamalkan sikap politik yang bertamadun,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sekiranya sejak awal lagi sudah ditetapkan tarikh untuk pembubaran Parlimen dan persediaan untuk menghadapi pilihanraya maka ianya akan menyelesaikan banyak perancangan-perancangan pelbagai pihak.

Tetapi, ujarnya Umno dan Barisan Nasional sememangnya spesis penakut dan pengecut yang hanya mahu mendapat kelebihan di atas kesusahan dan kepayahan orang lain.

Tambahnya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyelar beberapa kenyataan dangkal pemimpin-pemimpin Umno yang cuba untuk mengambil kesempatan menjadi populis di atas isu ini.

“Sememangnya sifat orang yang suka bermuka-muka dan berpura-pura akan terserlah apabila cuba mengekploitasi isu agama sedangkan dalam masa yang sama merekalah juara di dalam menghina agama mereka sendiri samada dalam bentuk tindakan, pemikiran, kenyataan dan tingkah laku,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia amat bersetuju dengan saranan Dr Rani supaya pemimpin, pembodek dan penjilat Umno perlu ‘menadah kitab’ untuk belajar berkenaan dengan Kitab Fiqh Keutamaan karangan Dr Yusuf Al Qardhawi bagi lebih memahami tuntutan dan kepentingan sesuatu perkara di dalam Islam.

Tiada ulasan: