Rabu, 13 Jun 2012

DEMAM PILIHANRAYA 13...DAH BERMULA...TARIKH TAK TAHU LAGI...ALLAH SAJA YANG PASTI TAHU...ALLAH TAHU SAPE YANG MENANG SAPE YANG KALAH....

 
 
 
MB Perlis: Tumpu menang PRU, bukan soal calon

12 Jun 2012
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu
Datuk Seri Dr Md Isa Sabu
KANGAR - Anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) hendaklah menumpukan usaha mengekalkan kemenangan parti dalam pilihan raya bukan tentang pemilihan calon, kata Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Berucap pada majlis penyampaian elaun kepada pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negeri di sini malam tadi, beliau berkata agenda terpenting menjelang pilihan raya umum ialah menguatkan kedudukan parti bagi memastikan kemenangan.

Md Isa yang juga Menteri Besar Perlis mahu setiap anggota parti mengelak daripada mempertikaikan calon yang bakal diputuskan pucuk pimpinan.

"Setiap anggota parti komponan BN perlu mempunyai tekad yang sama iaitu memenangkan parti dan bukan bertelagah soal pemilihan calon," katanya.

Md Isa berkata BN berazam terus kekal memerintah demi kepentingan rakyat dan berharap orang ramai mendapatkan maklumat sebenar isu semasa supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau janji manis pembangkang yang menagih simpati.- Bernama
Najib: Masa depan cerah menanti jika BN terus memimpin

12 Jun 2012
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) mampu untuk memenuhi aspirasi golongan muda yang mencari peluang untuk kemajuan dan kehidupan yang lebih berkualiti.
  
Perdana menteri berkata di bawah BN, masa depan yang lebih baik menanti mereka serta rakyat Malaysia keseluruhannya.
  
Beliau menegaskan BN telah membuktikan bahawa ia boleh memberikan apa yang rakyat mahukan untuk negara ini melalui pelaksanaan agenda transformasi kerajaan.
  
Tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan telah meningkat ekoran kejayaan pelaksanaan dasar transformasi negara, kata Najib dalam perbualan selama sejam dengan orang ramai melalui sesi sembang NSTlive pada laman web NST hari ini.
  
"Saya mendapat galakan daripada respons yang saya terima secara langsung daripada rakyat terutama semasa kunjungan-kunjungan saya yang tidak terhitung ke seluruh negara," katanya. - Bernama
105 kerusi 'di tangan', PR yakin boleh dapat majoriti mudah
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) yakin akan memperoleh sekurang-kurangnya 105 kerusi Parlimen dengan selesa, dan boleh menambah tujuh lagi kerusi untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan peringkat persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRu13).

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, pihaknya meletakkan keyakinan itu berdasarkan perkembangan demografi dan sokongan pengundi termasuk di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Ini bukan lagi harapan, tetapi keyakinan. Kami yakin boleh memperoleh 105 kerusi selepas menolak beberapa kerusi, kemungkinan tiga hingga empat kerusi yang kami miliki sekarang boleh kalah, tetapi kami akan menang di tempat-tempat lain.

"Pada pilihan raya umum 2008, kami (PR) menang 82 kerusi. Status quo jumlah kerusi 2008 akan kekal, selepas tolak dan tambah kerusi yang akan dimenangi dan kemungkinan kalah, kami yakin akan memperoleh kerusi tambahan di Johor, Sabah dan Sarawak," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Secara purata, katanya, Rafizi berkata, PR boleh memperoleh 24 kerusi, masing-masing lapan dari Johor, Sabah dan Sarawak.

"Di Johor, daripada 26 kerusi Parlimen, sebanyak 18 kerusi berada dalam bahaya, kesemua kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi campuran," kata beliau.

"Kalau tengok keadaan 'mood', saya yakin kami boleh mendapat lapan kerusi di Johor.

"Begitu juga di Sarawak, dengan mengambil kira perkembangan politik dan prestasi pilihan raya negeri tahun lalu, kami boleh memperoleh tambahan lapan kerusi Parlimen dan begitu juga di Sabah," katanya lagi.

Rafizi melahirkan keyakinan itu khususnya di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim di Sabah dan Sarawak.

Pada PRU12, PR yang terdiri daripada DAP, PKR dan Pas, pembangkang menang satu kerusi Parlimen dan 25 oleh BN.

Di Sabah dan Sarawak, yang masing-masing menawarkan 25 dan 31 kerusi, BN memperoleh 54 kerusi.

"Kira-kira 100 daripada 140 kerusi dimenangi BN empat tahun lalu datang dari tiga negeri ini," katanya.
Tindakan Pas minta anggota tangguh haji demi pilihan raya diselar

12 Jun 2012
Ahmad Maslan
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Tindakan PAS meminta anggota-anggotanya yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya umum ke-13 supaya menangguhkan ibadah haji, dianggap tidak wajar apabila meletakkan kepentingan parti melebihi kehendak agama.

Berikutan itu, PAS diminta memohon maaf di atas keterlanjuran mengeluarkan arahan sedemikian.

Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata beliau kesal dengan kenyataan PAS kerana sebagai parti Islam, ia meletakkan pilihan raya lebih penting daripada ibadah haji yang merupakan Rukun Islam kelima.

"Kita tidak tahu bila pilihan raya, tapi dia sudah buat spekulasi sebegitu.

Kita tidak boleh letak parti lebih dari agama.

"Jangan anggap parti ini agama. Itu perkara yang tidak betul. Tanyalah ulama mana sekali pun," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyebut Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta angggotanya menangguhkan ibadah haji kerana parti itu menjangka pilihan raya umum diadakan pada musim haji antara September dan Oktober.

Tuan Ibrahim, yang membuat kenyataan itu menerusi portal rasmi kerajaan Selangor, berkata penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana PAS memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa pilihan raya umum.

Ahmad berkata Tuan Ibrahim sepatutnya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu, yang menunjukkan PAS menjunjung pilihan raya melebihi agama.

Sementara itu,  Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai berkata bagi umat Islam, ibadah haji adalah jauh lebih penting daripada politik dan kenyataan itu tidak harus dibuat.

"Hampir 900,000 yang mendaftar (dengan Lembaga Tabung Haji). Ikut senarai menunggu, hampir 20 hingga 30 tahun baru boleh pergi (menunaikan haji).

"Kalau dapat peluang pergi kali ini, tapi tidak pergi, tidak tahu bila lagi boleh pergi...itu pun bergantung kepada faktor umur dan keadaan kesihatan...sebaik-baiknya janganlah dihalang pergi (menunaikan haji)," katanya.

Turut mengecam kenyataan PAS itu ialah Mursyidul Am Kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip yang mencabar Tuan Ibrahim supaya menunjukkan bukti dalil, hadis atau ayat Al-Quran bagi menyokong kenyataannya itu.

"Saya selar sikap beliau yang mempersendakan rukun Islam. Ini jelas menunjukkan PAS sangat terdesak (untuk menghadapi pilihan raya)," katanya. - Bernama
Jentera parti sudah bersedia
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.
Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.
Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood
Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood
Pilihan Raya Umum (PRU 13) semakin menghampiri, kini jentera parti sudah bersiap sedia menunggu pembubaran Parlimen pada bila-bila masa, dan di elantan akan berlaku persaingan sengit di mana Umno mensasarkan menawan 24 kerusi sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, manakala Pas pula mempunyai kekuatan tersendiri dengan mempertaruhkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagi mengetahui perkembangan politik semasa di Parlimen Tanah Merah ikuti wawancara bersama Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.


“Calon anak tempatan atau tidak ia bukan masalah besar, yang penting dapat mencapai kemenangan”- Fattah Bagaimana dengan persiapan bagi menghadapi PRU 13?

Fattah: Pas kawasan sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi PRU 13, dengan menyusun pelbagai strategi dan menyelesaikan perkara rutin
seperti daftar pemilih.


Adakah Datuk sudah berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti termasuk pemimpin di peringkat akar umbi?

Fattah: Kita tidak pernah berhenti bekerja selepas PRU 12 lagi, dari peringkat bawah hingga pimpinan tertinggi, saya sentiasa mengatasi segala kelemahan dan memperkemaskan lagi barisan sedia ada agar semangat untuk berdepan PRU dapat ditingkatkan lagi.


Bagaimana penerimaan rakyat terhadap parti?

Fattah: Kita sedia maklum di Parlimen Tanah Merah, Pas sentiasa diterima baik oleh rakyat dan ini jelas terbukti pada PRU 12 pada 2008, serta sehingga kini mereka masih bersama kita kerana pendekatan yang kita lakukan menepati kehendak mereka.


Harapan Datuk pada pucuk pimpinan parti dalam soal memilih calon?

Fattah: Dalam soal memilih calon kita serahkan 100 peratus kepada pucuk pimpinan tertinggi, kerana keputusan yang mereka berikan adalah terbaik dan demi kebaikan Pas kawasan, soal calon anak tempatan atau tidak ia bukan masalah besar, yang penting calon yang dihantar dapat memberikan kemenangan kepada parti.


Adakah Datuk meletakkan harapan pada rakyat sebagai balasan jika menang PRU 13 kelak?

Fattah: Kita tidak mahu memberikan harapan terlalu tinggi kepada rakyat sebelum PRU 13 sedangkan parti lawan sering mengumpan rakyat dengan kebendaan. Hak kerajaan adalah hak rakyat jadi pemberian selama ni seperti memulangkan hak mereka kembali.


Matlamat pihak lawan untuk tawan 24 kerusi dan tadbir negeri berjaya atau hanya sekadar gimik?

Fattah: Usaha tersebut ternyata sia-sia kerana Pas sudah sebati dengan rakyat, dan mereka juga menerima cara pentadbiran kita selama ini yang fokus pada negara berkebajikan dan berpandukan Islam.

Kita tidak tergugat dengan sebarang gimik dan provokasi Umno seperti Gelombang Merah dan ternyata usaha mereka untuk memerintah Kelantan ternyata tidak akan berhasil.


Harapan pada PRU 13?

Fattah: Saya berharap PRU 13 akan lebih adil dan telus seperti yang disuarakan pada perhimpunan Bersih 3.0 juga negara demokrasi lain. Di kawasan Tanah Merah sendiri kita sentiasa berdepan masalah pengundi hantu.

Kita tidak mahu ia mengganggu kelancaran proses PRU nanti agar matlamat untuk menawan Putrajaya jadi realiti.



"Rakyat kini bijak memilih, mereka mahukan pembangunan setelah 21 tahun berada di takuk lama” – Ikmal Adakah Umno/ BN sudah bersiap sedia menghadapi PRU 13?

Ikmal: Kita di kawasan Tanah Merah sudah bersiap sedia berdepan PRU 13, jika esok tarikh tersebut diumumkan kita tidak menghadapi sebarang masalah.


Adakah Datuk sudah berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti empat peringkat?

Ikmal: Hendak kata berpuas hati 100 peratus tidak, kerana masih ada perkara yang perlu diberi tumpuan, tetapi kita yakin jentera kita sudah bersiap sedia dan kini hanya mahu memperkemaskan mana yang lemah.


Penerimaan dan sokongan rakyat di Tanah Merah terhadap Umno/BN itu sendiri?

Ikmal: Kita tidak dapat ramalkan dan terlalu yakin, jawapannya nanti akan dapat diketahui apabila selepas PRU 13, namun menerusi gerak kerja yang mantap Umno kini sentiasa diterima baik, buktinya banyak program dan ceramah mendapat kehadiran yang amat baik contohnya karnival rakyat Tanah Merah yang dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor baru- baru ini, di mana hampir 25,000 rakyat hadir beri sokongan.


Harapan Datuk pada pucuk pimpinan parti dalam soal pemilihan calon?

Ikmal: Jika sebagai ahli parti, mereka perlu menyokong segala keputusan pucuk pimpinan kerana pemilihan mereka lebih tepat. Mungkin mereka melihat pada individu yang berkelayakan dan bekerja keras untuk parti.


Adakah matlamat BN mahu menawan 24 kerusi sekali gus memerintah Kelantan sesuatu yang mustahil?

Ikmal: semangat Gelombang Merah semakin diterima ramai, ia merupakan kebangkitan rakyat negeri ini yang mahukan perubahan dan pembangunan. Mereka kini bijak menilai dan memilih, Pas sudah 21 tahun terlalu lama namun, tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat terutamanya masalah air. Kita tidak memberikan sebarang harapan yang tinggi kepada rakyat pada PRU 13 nanti, kerana hanya mahu membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

Jadi hasrat untuk tawan Kelantan tidak mustahil jika dilihat pada sokongan hari ini.
Siapa bakal jadi calon P29?
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Calon
Calon
MACHANG - Gendang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hampir dipalu, gelanggang mula dibuka perlahan- lahan malah ramalan tarikhnya semakin hangat diperkatakan di bandar- bandar mahu pun di ceruk-ceruk kampung.

Perbincangan PRU13 ini sering dijadikan modal perbahasan di kedai- kedai kopi terutamanya apabila soal calon diperkatakan.

Persoalan sering dibangkitkan ialah calon, latar belakang keluarga dan pendidikan akademik serta agama, hubungan dengan masyarakat, kehebatan kepimpinan dan aura dalam meraih undi bagi memastikan kejayaan parti yang diwakili.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, calon yang dipilih mestilah calon yang boleh menang dan bukannya sekadar meletakkan sesiapa sahaja.

Masyarakat hari ini, rakyat yang berilmu dan mempunyai kesedaran yang tinggi. Mereka tidak akan menyerahkan masa depan mereka kepada sesiapa sahaja tanpa mengenali ‘latar belakang’ pemimpin itu.

Raih kepercayaan

Bercakap soal calon bagi Parlimen Machang (P029), pasti ramai yang bersetuju jika dikatakan hampir pasti, Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub bakal dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN).

Pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemuning, Ahmad Jazlan dilihat bekerja keras bagi meraih keyakinan rakyat terhadap BN pada PRU13 ini.

Jadual hariannya padat dengan program turun padang ke seluruh pelusuk Parlimen Machang dalam usaha mendengar suara hati rakyat seterusnya merealisasikan kehendak penduduk Machang itu.

Biarpun kesemua kerusi di Parlimen Machang dimiliki Pakatan Rakyat (PR) namun BN tidak pernah mengalah malah berazam bagi merampas semua kerusi itu.

Dalam masa sama, bekas calon Dun Temangan, Datin Rahimah Mohamad turut disebut-sebut bagi kerusi Parlimen Machang itu. Kewibawaan sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno Kelantan memberikannya kelebihan dan dikatakan mampu memberi saingan kepada pihak lawan biarpun kalah kepada Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan di Dun Temangan pada PRU12.

Dalam pada itu, terdapat juga suara- suara di akar umbi yang mahukan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Sazmi Miah dicalonkan sekali lagi.

Dakwa mereka, Sazmi pemimpin yang berkebolehan namun menjadi mangsa perhitungan politik. Apapun keputusan tersebut terletak di tangan kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan hala tuju BN.


Serah kerusi

Ketika penyokong BN sibuk menghitung calon-calonnya, penyokong PR pula mungkin buntu memikirkan calon parlimennya yang dikatakan bakal diwakili PKR.

Dalam pada itu, terdapat ura-ura mengatakan kerusi parlimen akan diserahkan kembali kepada Pas dan rata-ratanya, ia mendapat reaksi positif di kalangan penyokong Pas.

Biarpun Pas dan PKR mengekalkan ‘status quo’ dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya umum akan datang, namun dipercayai kerusi Parlimen Machang akan bertukar tangan.

Pas dikatakan akan mengambil semula kerusi Parlimen tersebut daripada PKR yang kini disandang oleh Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR.

Saifuddin dipercayai akan kembali ke negeri asalnya, Kedah dan berkemungkinan besar akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Bharu yang di kini disandang oleh Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Nordin.


Calon berkaliber

Jika ia benar-benar berlaku, Pas dipercayai akan meletakkan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains Dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temangan bagi menggantikan tempat Saifuddin.

Sebagai Adun Temangan dan exco serta anak tempatan, Mohamed Fadzli dilihat calon yang paling layak berada di kerusi Parlimen Machang. Dalam pada itu, berita mengenai menantu Mursyidul Am Pas, Abdul Ariffahmi Ab Rahman akan turut bertanding pada PRU13 ini turut ‘bertiup kencang’

Biarpun masih menjadi tanya tanya namun ada cakap-cakap yang mengatakan beliau mula turun padang mendekati masyarakat dan perjkara itu tidak mustahil memandangkan beliau anak jati Parlimen Machang Tidak ketinggalan, seorang lagi calon yang disebut-sebut untuk berada di kerusi tersebut ialah Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Zulkifli Mamat yang juga Adun Pulai Chondong.

Sebagai ‘orang lama’, Zulkifli dipercayai berpeluang merebut kerusi itu untuk penggal akan datang. Apa pun, sehingga kini, namanama yang disebut untuk bertanding kerusi Parlimen Machang itu, sama ada daripada BN atau Pas hanya sekadar ramalan kerana keputusan muktamadnya hanya dapat diketahui apabila Perdana Menteri meniupkan semboyan PRU13 nanti.
Peluang Pas, Umno seimbang
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Peluang Pas, Umno seimbang
Abdullah
Peluang Pas, Umno seimbang
Mohamad
RANTAU PANJANG – Keputusan pilihan raya lalu dijadikan sandaran untuk meletakkan calon pada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen dalam usaha untuk memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Pas dan Umno.

Bagi Parlimen Rantau Panjang, P023, tiga penggal lalu iaitu pada PRU 10, 11 dan 12 menyaksikan Pas menang untuk kerusi Parlimen.

Bagaimanapun itu bukan kayu pengukur Pas akan terus menawan kerusi ini memandangkan kedua-dua pihak dilihat mempunyai peluang yang sama untuk menang.

Pada ketiga-tiga PRU tersebut, Abdul Fattah Haron menang bagi PRU10 dan PRU11 sementara Siti Zailah Mohd Yusoff pula pada PRU12, 2008 lalu.

Pada PRU11, Abdul Fatah Haron, menang dengan majoriti 732 undi mengalahkan Mohd Daud Hamat yang memenangi 14,295 undi yang kini memegang jawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti.

Bagi kerusi Parlimen Pas, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamad Awang, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron, Adun Meranti, Nassuruddin Daud, dan Ahli Parlimen, Siti Zailah Mohd Yusof dilihat mempunyai peluang untuk dipilih sebagai calon Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Jika dilihat kepada pengalaman pilihan raya lalu, tidak semestinya calon yang menang kerusi Parlimen akan terus diletakkan sebagai calon untuk kerusi yang sama. Situasi ini agak jelas apabila Adun Bukit Tuku yang pernah memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, tidak terus diletakkan di kerusi Parlimen sebaliknya meletakkan calon wanita, Siti Zailah pada kerusi Parlimen.

Jika diteliti kepada tiga pilihan raya terdahulu, Adun Meranti, Mohd Nassuruddin Daud, menang pada ketiga-tiga pilihan raya sekali gus menerajui kepimpinan dalam tempoh agak lama di Dun Meranti dan tidak mustahil faktorkemenangan itu diambil kira kepimpinan Pas negeri untuk meletakkan beliau sebagai calon Parlimen pada PRU13.

Sementara itu, bagi Barisan Nasional, parti ini dilihat terus berusaha meraih kemenangan setelah hanya menang dua kerusi Dun pada PRU11.
Jika dilihat kepada senario semasa, kesemua pemimpin Umno tempatan mempunyai peluang untuk duduk di kerusi Parlimen.

Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdullah Mat Yasim, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Shaari Mat Hussain, Naib Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail, Mohd Daud Hamat, Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Mohd Afandi Yusof serta Ketua Wanita Umno Rantau Panjang turut berpeluang menjadi calon Parlimen P023 pada pilihan raya tidak lama lagi.

Selain daripada itu, Ghazali Ismail, pesara guru yang kini menggalas jawatan Penyelaras Dun Bukit Tuku dilihat antara muka baru yang ditonjolkan dalam politik Umno turut mempunyai banyak pengaruh.

Jika dilihat kepada pengaruhnya yang agak besar di Dun Gual Periok, tidak mustahil nama beliau juga akan disenaraikan sebagai calon oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan kepimpinan tertinggi Umno.

Beliau dilihat mempunyai pengaruh agakluar biasa di sekitar Dun Gual Periok memandangkan mempunyai keluarga besar dan ramai kenalan ditambah pula dengan kerjayanya pesara guru.

Sementara itu, dua pemimpin tempatan, Datuk Abdullah dan Datuk Mat Zain Ismail antara yang dikatakan berminat bertanding kerusi Parlimen Rantau Panjang.
Bekas Aun Gual Periok, Datuk Shaari Mat Hussain, 2004 hingga 2008 bagaimanapun antara yang disebut-sebut untuk turut dicalonkan di kerusi Parlimen biar pun ramai melihatnya lebih berminat kerusi Dun Gual Periok dan juga dilihat untuk cuba mengulangi kejayaan pilihan raya 2004 lalu.

Apa yang pasti kesemuanya mempunyai kelebihan dan pengaruh yang tersendiri di Bahagian Rantau Panjang.

Jika Abdullah dikatakan calon yang mempunyai peluang cerah untuk diletakkan sebagai calon di P023, kerana disenangi rakyat berikutan mempunyai sikap mudah mesra dan cakna kepada rakyat di parlimen ini, harus diingat Datuk Shaari Mat Husain juga mempunyai pengaruh tersendiri jika diukur dari segi kejayaan pada PRU11.

Selepas Pas muncul juara pilihan rakyat tiga musim berturut iaitu PRU11, PRU12 dan PRU13, kedua-dua parti dilihat mempunyai peluang seimbang bagi memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun pada PRU13.

Jika dilihat kepada sejarah, Pas dilihat mempunyai kekuatan kerana Kerajaan Negeri berjaya memerintah Kelantan selama 21 tahun, bagaimanapun harus diingat bantuan dan sumbangan yang banyak diberikan kerajaan Barisan Nasional sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak boleh menggugat pengikut parti Pas khususnya pengundi atas pagar.

Pada PRU11, 2004, BN melalui dua calonnya membuat kejutan apabila masing-masing menang pada kerusi Dun Gual Periok, N015 menerusi Datuk Shaari Mat Hussain dan DUN Bukit Tuku, Mohd Zain Ismail.

Apa yang pasti, kemenangan BN untuk dua kerusi Dun akan cuba diulangi pada PRU13 nanti seterusnya merampas kembali Kelantan dari Pas.

Bagi mereka yang ingin mencongak awal siapa pemenangnya, banyak faktor perlu diambil kira kedua-dua parti termasuk pemilihan calon yang betul atau lebih tepat calon boleh menang, isu semasa dan kalau ada, pergolakan dalaman parti.

Dari segi undi pula, selain mengharapkan pengundi tetap dalam kalangan ahli dan penyokong masing-masing terus konsisten, pengundi luar terutamanya pengundi muda terus dilihat antara faktor penentu kemenangan calon tanpa mengira parti.

Pastinya paling utama, calon dipilih bukan sahaja perlu ada sokongan pemimpin dan ahli parti tetapi juga menepati kehendak pengundi yang sudah tentu mengharapkan wakil rakyat pilihan mereka mampu beri khidmat terbaik dan benar-benar layak bergelar ‘juara’.
Mampukah BN bangkit semula?
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Pengundi dilihat lebih matang dalam memilih pemimpin.
Pengundi dilihat lebih matang dalam memilih pemimpin.
PASIR PUTEH - Pas membuktikan kekuatan dengan memenangi kerusi Parlimen dan empat Dun di Pasir Puteh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun 2008 dan mereka hanya perlu mengekalkan kemenangan itu.

Tidak sama bagi Barisan Nasional (BN) yang perlu meraih kepercayaan rakyat.

Tugasan ini sukar dan mencabar kerana ahli Pas tidak mudah berpaling tadah.

Bagaimanapun, ia menjadi motivasi BN untuk bekerja keras sekiranya mahu bangkit.


Persaingan adil

UNTUK P28 Parlimen Pasir Puteh, calon BN dan Pas pernah memenanginya dengan majoriti undi yang tidak banyak beza.

Pada PRU11, calon BN, Datuk Che Min Che Ahmad menang dengan majoriti 3,810 dan pada PRU12, calon Pas, Muhammad Hussin menandingi calon BN, Amran Mat Nor dengan majoriti 3,968.

BN boleh optimis merampas semula memandangkan bakal calon seperti Zawawi Othman, Che Min Che Ahmad, Aminuddin Mohamad dan Datuk Kamaruddin Md Nor mula curi tumpuan dengan program turun padang.

Namun tetap perlu berdepan penyandang, Mohammad Hussin, Dr Nik Mazian Nik Mohamed, Zainuddin Awang Hamat atau mungkin Yuganu Yunus.


Pengaruh Pas kuat

PAS dilihat agak kuat di N30 Limbongan kerana calon Pas, Zainuddin Awang Hamat mengatasi calon BN, DatuK Che Min Che Ahmad dengan majoriti 1,633 undi dalam PRU12. Peti Undi Alor Pasir, Jelor, Saring, Padang Pak Amat, Cherang Tuli dan Kampung Nara adalah kubu kuat Pas.

Tetapi itu bukan bermakna tiada peluang kerana kali ini, dua bakal calon berkualiti iaitu Mohd Rujhan Salleh dan Zainal Abidin Mohamad yang berkemungkinan menentang calon Pas seperti Zarir Yaakob, Mat Judin Samat atau mungkin penyandangnya, Zainuddin.


Mampu menang

UNTUK N31 Semerak, BN berdepan lawan sukar kerana Wan Hassan Wan Ibrahim akan mempertahankan kerusi dimenangi dengan majoriti 831 undi, namun pengaruh bakal calon dijangka seperti Datuk Wan Marzudi Wan Omar atau Zawawi Othman cukup kuat untuk menyainginya.

Paling logik, BN boleh menang di N32 Gaal kerana penyandangnya, Dr Nik Mazian Nik Mohamed daripada Pas hanya menang dengan majoriti kecil 323 undi mengatasi calon BN, Tuan Mustapha Tuan Mat.

Calon BN seperti Redzuan Stapha bakal memberi saingan kepada calon kemungkinan Pas, Yugan Yunus.


Calon berkualiti

MANAKALA di N29 Selising, BN perlu tampil dengan calon berkualiti bagi menyaingi Pas yang menang dengan majoriti 783 undi. Penyandangnya Saipul Bahrin Mohamed atau nama baru, Tuan Saifuddin Tuan Ismail tidak akan memberi laluan mudah kepada calon BN sama ada Zulkifli Ali, Rosli Abdul Rahman atau Datuk Amran Mat Nor.

Jika dikatakan tidak munasabah untuk mengaut kesemua kerusi yang terlepas ke tangan Pas, kejayaan memenangi dua daripada empat kerusi Dun sudah cukup memberangsangkan untuk BN membina semula empayar mereka bagi menghadapi pilihan raya seterusnya.

Rakyat bijak TIADA yang mustahil, BN boleh menggapai impian asalkan bebas budaya cah keting yang dikatakan akan berlaku apabila wujud perebutan antara calon pilihan umum dan calon pilihan Umno Bahagian sendiri.

Setiap calon perlu sedar bahawa pengundi sudah matang dan bijak menilai pemimpin baik.

Calon perlu membuktikan kesanggupan berkhidmat dan bukan menabur janji kosong semata-mata.

Mampukah BN menarik kepercayaan pengundi, jawapannya terletak pada pemimpin dan parti dalam BN sendiri kerana harus disedari, tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.
Semua komponen gerak sama
AZMAN CHE MAN
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Ahmad diiringi Ramzi bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Jentera Pilihanraya Dun Manek Urai
Ahmad diiringi Ramzi bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Jentera Pilihanraya Dun Manek Urai yang turut dihadiri pimpinan MCA dan MIC Kuala Krai.
KETIKA tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) masih jadi teka-teki, persiapan parti bakal bertanding terus diperkasa. Bagi gambaran lebih jelas persiapan Umno Bahagian Kuala Krai dalam menghadapi PRU13, wartawan Sinar Harian, AZMAN CHE MAN menemu bual Ketua Umno bahagian, juga Penyelaras parlimen itu, Datuk Ramzi Ab Rahman di Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Wilayah Kuala Krai.


Sejauh mana persediaan Umno Bahagian Kuala Krai untuk hadapi PRU13?

Secara keseluruhannya, Umno Bahagian Kuala Krai melalui program peringkat bahagian dan juga program sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta peti undi setakat ini bersiap sedia untuk hadapi PRU13 pada bila-bila masa.

Di peringkat peti undi, jentera pilihan raya telah digerakkan selain pelancaran Jawatankuasa Pilihanraya peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi Dun Dabong, pelancaran jawatan kuasa dan jentera pilihan raya dibuat Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala Dun Manek Urai pula dilancarkan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Bagi peringkat Peti Undi Kuala Pahi di Dun Guchil, Tok Pa (Mustapa) sekali lagi turun padang untuk tinjau persiapan PRU13 peringkat peti undi manakala bagi Dun Mengkebang, kita akan lancar dalam masa terdekat.

Kita berterima kasih kepada Pengerusi Umno Kelantan kerana ambil berat persiapan kita dan telah turun padang beberapa kali untuk pastikan segala persiapan berjalan lancar.

Umno bahagian juga adakan banyak program di peringkat akar umbi termasuk dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Kesedar, Risda, JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) dan beberapa agensi lain untuk bersama turun ke bawah dan menemui sasaran kita.

Saya sendiri ambil pendekatan turun padang bertemu rakyat seperti ziarah warga emas, orang sakit dan golongan veteran di seluruh Parlimen ini.


Adakah Datuk berpuas hati dengan gerak kerja jentera pilihan raya setakat ini?

Saya berpuas hati dengan sokongan diterima daripada jawatankuasa dan jentera pilihan raya parti terutama terhadap program kita anjurkan.

Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dapat sokongan begitu baik daripada parti komponen di Parlimen ini terutama MCA dan MIC yang beri kerjasama erat kepada Umno bahagian.


Pesanan untuk jentera pilihan raya?

Saya harap jentera akan terus bergerak hingga hari pengundian kerana ia penting bagi memastikan kita, sekali lagi di peringkat Kuala Krai, dapat menang semua empat Dun dan satu kerusi Parlimen dalam usaha membantu Umno Kelantan dan Umno Pusat.

Jadi, saya minta semua jentera parti teruskan kerja baik ini dengan melaksanakan program yang telah kita atur dan saya harap mereka bekerja dengan penuh ikhlas demi memastikan kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU13.


Sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap Umno dan BN di Parlimen ini menjelang PRU13?

Daripada program yang kita buat, nampak sambutan masyarakat terhadap Umno dan BN semakin meningkat. Kita juga dapat bertemu dengan lebih 20,000 orang melalui penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat Parlimen ini.

Selain dapat eratkan hubungan, BR1M juga satu platform yang baik untuk kita berinteraksi dengan rakyat dan menyampaikan dasar kerajaan secara bersemuka.


Harapan kepada pengundi di Parlimen ini pada PRU13 nanti?

Saya harap pengundi dapat beri kepercayaan sekali kepada Umno dan BN pada PRU13 nanti kerana saya yakin, jika diberi kerusi (kemenangan), BN akan laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

Kita akan pastikan setiap manifesto pilihan raya sama ada di peringkat negeri atau Parlimen ini pada PRU13 nanti dapat dilaksanakan demi  mengutamakan kepentingan rakyat.

Bukan sahaja masalah pembangunan, malah banyak lagi masalah lain yang kita harap dapat diselesaikan jika pengundi di Parlimen ini beri kepercayaan kepada Umno dan BN.


Harapan untuk ulangi kejayaan Umno dan BN di Parlimen ini seperti pada PRU11, 2004?

Daripada maklum balas rakyat dan kerja kuat jentera parti di semua peringkat, saya yakin Umno Bahagian Kuala Krai dapat mengulangi kejayaan tahun 2004 apabila kita menang kesemua empat kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen.

Saya juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana sediakan banyak program untuk kita laksanakan dan juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang banyak membantu.

Saya harap kerjasama ini berterusan kerana banyak lagi program terutama di peringkat akar umbi yang akan dilaksanakan untuk pastikan kita dapat ulangi kejayaan 2004 pada PRU13.
Pertembungan tiga penjuru
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Hanifa mempunyai kredibiliti yang kukuh, sekiranya bertanding untuk kerusi Parlimen Pasir Mas.
Hanifa mempunyai kredibiliti yang kukuh, sekiranya bertanding untuk kerusi Parlimen Pasir Mas.
PASIR MAS – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, Parlimen Pasir Mas adalah antara kawasan yang sengit, dalam menentukan kekuatan dan pengaruh seseorang calon.

Besar kemungkinan, ia melibatkan pertembungan tiga penjuru antara calon Umno, Pas dan Bebas.


Pilihan Raya Umum Ke-12 (Pru 12)

Sebelum ini, kerusi ahli Parlimen Pasir Mas dimenangi mudah oleh Ibrahim, yang ketika itu bertanding sebagai atas tiket Pas, melawan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad.

Ibrahim memperoleh majoriti yang agak besar, 8,991 undi selepas mengalahkan calon BN, dengan bilangan 28,673.

Ini jelas menunjukkan, Ibrahim mempunyai kekuatannya tersendiri, selain berjaya menambat hati pengundi, termasuk pengundi Pas yang ramai.


Kekuatan Ibrahim

Tidak dinafikan, penduduk begitu senang dengan keperibadiannya, malah begitu mudah mendekatinya, setiap kali aktiviti kemasyarakatan diadakan.

Calon lain yang bakal merebut kerusi ini kelak, berdepan tugas berat kerana kredibiliti Ibrahim, tidak boleh dipandang rendah.

Buktinya, lihat sahaja, menerusi aktiviti kemasyarakatan dan ceramah yang diadakan.

Sekurang-kurangnya, 10,000 penduduk hadir bagi memberi sokongan kepadanya, kerana beliau cekap mengatur acara malah bijak menjemput tetamu lain, bersamanya.


Potensi calon Pas

Masih samar calon Pas yang akan diletakkan bagi melawan Ibrahim, namun ada ura-ura yang menyatakan, Pas bakal meletakkan salah seorang barisan Exconya untuk PRU13 kelak.

Bagaimanapun, Pas Pasir Mas mempunyai ramai calon yang berdedikasi, untuk diletakkan di kerusi N22 ini, antaranya Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad.

Tidak kurang juga dengan Ketua Pemuda Pas Pasir Mas, Rozi Muhamad yang juga merangkap Penyelia Dun Tendong, selepas pemergian Bekas Adun, Allahyarham Dr. Mohamad Md Daud, 25 Disember lalu.


Potensi Umno

Perkara yang sama berlaku kepada Umno, apabila calon yang bakal diletakkan bagi kerusi Parlimen ini, juga masih kabur.

Jika dilihat menerusi calonnya, Umno juga mempunyai potensi besar dalam memenangi kerusi ini, kerana mempunyai ramai calon yang berkarisma dalam hierarki jawatan dalam parti peringkat bahagian.

Antaranya, Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat; Timbalannya, Che Johan Che Pa; Naib Ketua Umno, Abd Aziz Mohammad dan Ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Mas, Najib Rashdan Ab.Rahman.

Bukan itu sahaja, masih ramai calon Umno lain disebut-sebut bakal menjadi calon untuk kerusi N22 kelak, kerana mempunyai kekuatan besar, malah disenangi rakyat.


Parti Progresif Rakyat (PPP)

Penduduk di Pasir Mas dikejutkan dengan kenyataan Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 22 Februari lalu, apabila mahu meletakkan calon parti itu di P22, bagi mewakili BN.

Menurutnya, parti itu mempunyai calon anak tempatan yang sesuai untuk bertanding, selain berlatar belakangkan seorang ulama.

Beliau berkata, PPP menawarkan diri bertanding di Pasir Mas sebagai wakil BN dan akan mengemukakan permohonan kepada Presiden dan Pengerusi BN untuk kelulusan.

“PPP mempunyai calon bertaraf ulama dan dia cukup disenangi oleh rakyat, tambahan pula calon ini pernah berkhidmat di daerah itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


Dua calon BN?

Kenyataan Nik Sapeia itu, mengubah spekulasi rakyat yang membuat telahan awal sebelum ini, bahawa Ibrahim Ali akan menggunakan lambang dacing dalam PRU13.

Meskipun ditujah dengan pelbagai soalan, Ibrahim menjawab tenang, bahawa dia tetap bertanding, namun di parti yang akan disertai, akan menjadi rahsia, sehingga tiba masa yang sesuai, untuk diumumkan.
Ku Li terus dapat sokongan
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Ku Li terus dapat sokongan
Ku Li bermesra dengan pengundi kaum Cina di Kampung Pulai Gua Musang.
GUA MUSANG – Reaksi spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyebut tiga pemimpin disanjung rakyat Kelantan, antaranya Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), membayangkan pemimpin itu akan terus kekal dipilih sebagai calon Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) terdekat ini.

Harapan Perdana Menteri kepada Ku Li untuk bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein, merampas semula pemerintahan Kerajaan Ngeri Kelantan daripada tangan Pas.

Walaupun sekadar menyebut dalam ucapan pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Sivik Gua Musang, 4 Mei lalu, yang melakar sejarah kunjungan pertama kali Perdana Menteri ke kawasan Parlimen itu, namun ia sebagai isyarat penting kepada tiga pemimpin tersebut.

Sebagai pemimpin nombor satu negara, Najib tetap menghormati Ku Li yang diakui rakyat bahawa banyak menabur jasa yang bukan sahaja di negeri Kelantan, malah negara ketika menjawat beberapa Menteri Kabinet dahulu.

Dengan pengumuman Perdana Menteri itu sekali gus melenyapkan pelbagai andaian negatif berhubung kedudukan Ku Li, selepas mengeluarkan beberapa kenyataan yang bersifat menentang arus terhadap perjuangan Umno dan BN sebelum ini.

Mungkin segala kenyataannya itu hanya dilihat sekadar teguran dan tidak sedikit pun melukakan hati pemimpin tertinggi Umno dan BN. Ku Li mempunyai kewibawaan tersendiri dalam usaha menambat hati rakyat untuk terus menyokongnya.

Ini dapat membuktikan kepada umum, bahawa pemimpin yang berjiwa rakyat dan tidak pernah tewas pada setiap kali PRU, akan terus mendapat sokongan rakyat bagi kemenangan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU13 nanti.

Daripada kehidupan rakyat yang susah pada ketika Tengku Razaleigh menerajui Umno bahagian Hulu Kelantan tahun 1962 pada umurnya 25 tahun, tidak pernah jemu untuk membawa pembaharuan dengan mengorbankan masa membantu masyarakat.

Secara berperingkat kelihatan suasana kemajuan semakin berubah dan yang lebih ketara lagi ketika beliau dilantik sebagai Menteri

Kewangan Malaysia pada 5 Mac 1976 dengan mengambil langkah membuka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar dan Felda.

Serentak itu, Ku Li juga mengambil usaha untuk membina Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Kuala Lipis bagi kemudahan perhubungan rakyat kawasan Hulu Kelantan untuk menghubungkan dengan bandar lain kerana ketika itu hanya mengharapkan semata-mata kepada pengangkutan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Bermula dari situ, nama pemimpin tersebut terus dalam ingatan rakyat hingga setiap kali PRU diadakan mendapat sokongan padu semua masyarakat sama ada kalangan peneroka RKT Kesedar, Felda dan penduduk kampung tradisional dengan mendapat majoriti besar.

Setakat ini, tidak ada perkara negatif yang perlu dibangkitkan terhadap keperibadian Ku Li, malah beliau terus mendapat tempat di hati rakyat berikutan perjuangannya sejak dahulu\ sampai sekarang tidak mempunyai kepentingan diri.

Malah, ketegasan dalam kepimpinan negara turut menegaskan, supaya setiap pelaksanaan projek untuk dinikmati rakyat hendaklah dilakukan dengan cara yang betul dan ikhlas hingga beliau tidak membenarkan sama sekali diadakan tender runding, sebalik terbuka kepada semua.

Kedudukannya yang masih disanjungi rakyat ketika ini, termasuk kaum Orang Asli yang menentukan majoritinya, meletakkan kedudukan Ku Li di atas dan keadaan itu dapat dilihat kepada beberapa program yang diadakan bersama Orang Asli baru-baru ini berjanji tidak berpaling tadah.

Sebati dengan sokongan itu, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) BN termasuk Dun Galas, Nenggiri dan Paloh akan turut mendapat sokongan rakyat dan sekali gus dapat mengekalkan kemenangan pada PRU13.

Tidak ada isu besar pembangkang khususnya Pas yang boleh meranapkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Ku Li, sebaliknya penjelasan mengenai beberapa isu Kerajaan Negeri Kelantan termasuk royalti minyak juga memberi pembelaan kepada kerajaan negeri tersebut.

Andainya PRU13 diadakan dalam masa terdekat ini, kewibawaan Ku Li akan terus menyerlah kerana mendapat sokongan padu rakyat dan mungkin angin perubahan itu akan turut menular kepada kawasan Parlimen serta Dun lain di Kelantan bagi membolehkan BN menerajui semula kerajaan negeri itu.

Sebagai kubu kuat Umno di Kelantan, Gua Musang terus menerima keyakinan rakyat berikutan janji kerajaan BN khususnya Ku Li pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas November 2010 lalu, yang membawa kemenangan kepada BN.

Projek paling besar dijanjikan pemimpin termasuk pembinaan 1,500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kini giat dalam pelaksanaan dekat Bandar Baru Gua Musang, sebelum diagihkan kepada penduduk dengan tawaran harga mampu milik dan diskaun kerajaan.
BN kekal Awang Adek, Pas kemuka calon tempatan
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
BACHOK - Bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hangat dirasakan di setiap ceruk bandar mahupun kampung.

Orang ramai juga sudah berkira-kira mengenai calon yang bakal diketengahkan di kawasan masing-masing sama ada mengekalkan calon ‘favourite’ lama atau muka baru.

P25 parlimen Bachok mempunyai 64,808 pengundi berdaftar pada 2008 berbanding 55,319 pada 2004.

Daripada jumlah tersebut peratus bilangan yang keluar mengundi pada 2008 ialah 85.75 peratus iaitu 55,575 orang.


Penyandang tewas kepada orang luar

Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga penyandang Ahli Parlimen Bachok pada 2004 selepas mengalahkan Wan Nik Wan Yusoff dengan majoriti 6,272 tersungkur di tangan ‘orang luar’ yang dicalonkan pada 2008 iaitu Nasharuddin Mat Isa.

Namun, dikatakan sesi 2012 ini Pas tidak akan lagi memberi keutamaan kepada calon luar tetapi lebih kepada anak tempatan.

Masakan tidak, calon luar datangnya menjenguk sekali seminggu, mana mungkin mampu bersemuka dengan rakyat dalam tempoh dua hari seminggu.

Kesukaran bertemu wakil rakyat mereka seperti itu juga menjadikan Pas mengubah rentak beralih kepada calon tempatan sepenuhnya untuk memancing hati rakyat tahun ini.


Kekalahan mengajar Awang Adek

Selepas tewas pada 2008, Awang Adek yang bernasib baik diberikan jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Senator mula mengorak langkah sama bekerja keras seperti kemenangannya pada 2004.

Sesi ini juga didengari namanya mungkin dicalonkan sekali lagi sebagai Ahli Parlimen. Walaupun sibuk dengan rutin tugas rasmi sebagai Timbalan Menteri, jawatan Ketua Umno Bahagian Bachok tidak pernah diabaikan untuk menjenguk warga Bachok setiap minggu.


Calon luar bukan keutamaan

Selepas populariti Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa merudum berikutan beberapa isu yang tidak dipersetujui Pas, beberapa nama lain sebagai pengganti mula meniti di bibir warga Bachok.

Mulanya kedatangan Nasharuddin Mat Isa ke Bachok amat dialu-alukan.

Beliau sebelum ini pernah bertanding di Yan pada 1999, Besut pada 2004 dan Bachok pada 2008.

Namun, selepas suaranya lebih kepada ekspresi positif mengenai perpaduan Melayu melalui Umno dan Pas, semuanya berubah.

Kekalahan beliau ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas di tangan Mohamad Sabu yang sebelum ini disandangnya, adalah bukti idea Nasharuddin tidak boleh diterima Pas.

Selepas kekalahan menjawat Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin semakin berani bersuara termasuk mengkritik pemimpin sekutu Pas, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong keselamatan Israel dalam Wall Street Journal adalah perbuatan mengkhianati fatwa 63 ulama Islam sedunia di atas jawatannya sebagai Pengerusi Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia.

Pas mungkin letak calon anak tempatan

Pada awalnya, nama yang disebut Nasharuddin bakal dijadikan calon Ahli Parlimen Bachok ialah menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Arif Fahmi Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Bachok pada 1999 iaitu Wan Nik Wan Yusoff, dan terkini ialah anak bekas Adun Jelawat (Pas) 1999, Shaary Awang iaitu Ahmad Marzuk Shaari.

Ahmad Marzuk dilihat semakin aktif menyertai ceramah Pas sekitar tahun lalu dan dalam sebuah portal baru-baru ini, dikatakan beliau meletak jawatan sebagai penjawat awam.

Namun beliau yang ditemui Sinar Harian menafikan meletak jawatan. “Saya masih bekerja, cuma saya diberi kelonggaran untuk menjalankan aktiviti luar melalui batas-batas tertentu,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Bachok dan enggan mengulas lanjut perihal calon Pas di parlimen Bachok.


Rakyat boleh menilai

PRU ini dikatakan paling sengit untuk memancing undi terutamanya pengundi muda.

Tidak kira tua atau muda sebenarnya beberapa faktor perlu diambil kira sebelum anda semua membuang undi.

Justeru, nilailah sendiri berdasarkan hijab mata hati dan kewarasan akal sebelum membuang undi.
Sukar ramal calon BN, Pas
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Sukar ramal calon BN, Pas
Noor Zahidi (kiri) mempunyai reputasi baik dalam kalangan rakyat
TUMPAT - Sudah ada petanda dan isyarat yang sangat jelas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun tarikh PRU13 itu masih lagi menjadi teka-teki.

Walaupun desas-desus mengatakan PRU 13 akan diadakan 9 Jun dan ada yang membuat ramalan pada 8 Julai, tetapi sebenarnya keputusan muktamadnya terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di sebalik teka- teki tarikh PRU 13 ini, tanggapan ramai yang mengatakan PRU13 sudah hampir juga jelas, apabila bendera parti politik mula di pasang di sana sini.

Kelihatan juga kelibat wakil rakyat yang mula kerap turun padang hingga ke akar umbi apatah lagi yang namanya disebut-sebut bakal menjadi calon.

Siapa yang akan jadi wakil

BAGI Parlimen Tumpat (P19), amat sukar untuk diramalkan siapa calon BN mahu pun Pas yang akan mewakili parti masing-masing bagi merebut kerusi Parlimen.

Ketika hanya seorang pemimpin Pas disebut akan bertanding kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar yang sudah tiga penggal menguasai takhta tersebut sejak 1999, bagi calon BN pula agak ramai bakal calon yang disebut.

Termasuk desas-desus mengatakan ada calon muka baru akan tanding kerusi Parlimen Tumpat ini mewakili parti BN pada PRU13 nanti.

Berada dalam senarai bayangan calon BN dikatakan Ketua Bahagian Umno Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar yang sekarang ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor yang sudah dua penggal menjadi Adun Pengkalan Kubor.

Noor Zahidi mempunyai reputasi baik

NOOR ZAHIDI selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan mempunyai reputasi baik dalam kalangan rakyat, dan membawa pembangunan di Parlimen Tumpat khususnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor satu
kelebihan buatnya.

Pada PRU 12, nama Noor Zahidi juga disebut-sebut kerana beliau berjaya mempertahankan BN untuk kerusi Dun Pengkalan Kubor, satusatunya kerusi BN yang menang di Parlimen Tumpat.

Ketika itu beliau menewaskan calon PKR, Hassan Berahim yang baru meninggal dunia awal tahun ini dengan majoriti 100 undi.

Sekiranya Noor Zahidi bertanding kerusi Parlimen Tumpat pada PRU 13 ini, ia bukan satu kejutan buat pengundi di Parlimen ini kerana ketika PRU 10 pada 1999, beliau pernah bertanding sebagai calon BN untuk kerusi Parlimen.

Dan lawannya ketika itu juga Kamarudin Jaffar yang bertanding atas tiket Pas tetapi dimenangi Kamarudin dengan majoriti 10,442 undi.

Namun timbul persoalan sekiranya Noor Zahidi terus kekal bertanding di Dun Pengkalan Kubor yang dimenanginya selama dua penggal iaitu PRU 11 dan 12.

Serasi dengan rakyat

KEMENANGAN Noor Zahidi selama dua penggal di Dun Pengkalan Kubor itu memberi petunjuk beliau begitu serasi dengan rakyat di Dun tersebut, dan sekiranya beliau kekal bertanding di Dun itu menepati ciri calon pilihan rakyat.

Sekiranya beliau kekal bertanding di Dun Pengkalan Kubor, siapa calon lain BN yang layak bertanding kerusi Parlimen nanti.

Persoalan itu membawa kepada tersenarai beberapa calon lain untuk bertanding kerusi Parlimen Tumpat antaranya dikatakan ada calon muka baru, Zulkarnain Che Zakaria, seorang ahli perniagaan, calon orang muda dan juga anak tempatan.

Turut disebut bekas calon Parlimen Tumpat PRU 12, Asyraj Wajdi Dusuki, anak kepada bekas Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Dusuki Ahmad tahun 1982-1990 (BN) dan juga Mansor Salleh, bekas Adun Sungai Pinang tahun 1986-1990 (BN). Nama yang disebut untuk bertanding kerusi Parlimen ini sama ada BN dan Pas itu hanya ramalan yang menjadi perbualan hangat , di mana-mana sahaja sama ada di kedai kopi atau di laman sosial.

Bagaimanapun siapa calon yang sebenar akan bertanding kerusi tersebut hanya dapat diketahui apabila Perdana Menteri isytihar tarikh PRU 13 nanti.
PKR letak 90 peratus muka baru
Sapinah Ab Ghani
12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Ahli Parlimen Ketereh merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir.
Ahli Parlimen Ketereh merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir.
Bayangan pelbagai pihak menggambarkan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan diadakan bilabila masa, tambahan pula ‘mood’ rakyat juga memperlihatkan kesediaan mereka untuk membuang undi sebaik diumumkan tarikhnya nanti. Sinar Harian mendapatkan reaksi dan penjelasan pemimpin tempatan berhubung persediaan mereka sebelum menghadapi PRU13 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini. Ikuti temu bual wartawan, Sapinah Ab Ghani bersama Ahli Parlimen Ketereh merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir.


Berapa anggaran jumlah pengundi di Parlimen Ketereh?
Jumlah pengundi di parlimen ini kira-kira 54,000 melibatkan 33 peti undi dan tiga Dewan Undangan Negeri, iaitu Kok Lanas, Melor, dan Kadok.


Boleh YB jelaskan tentang persediaan PKR bagi menghadapi PRU13 yang dijangka akan berlaku bila-bila masa dari sekarang?
Persediaan PKR, setakat ini alhamdulillah, kita boleh dikatakan sudah bersedia, sebab logistik kita pun siap dah, dan calon-calon yang akan bertanding mewakili parti sudah disenarai pendek dan dihantar ke pusat lebih dua bulan lalu. Selain itu, kita juga sudah melaksanakan kursus Paca (Polling Agent County Agent), dan jenterajentera juga sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU13.


Ada perubahan atau muka baru pada calon-calon yang akan bertanding pada PRU13 nanti? Adakah 100 peratus perubahan bakal berlaku?
Kalau diikutkan banyak yang berubah, misalnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang kita kalah iaitu Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, dan Pengkalan Kubur, kita hantar nama calon- calon baru selain calon lama. Bagaimanapun di Dun Kuala Balah dan Paloh calon lama mengundur diri dan tidak lagi berhasrat untuk bertanding.

Begitu juga di Parlimen, kita sudah menghantar cadangan nama calon baru di samping yang lama, maknanya setiap kawasan ada dua calon dan bukan hanya satu nama sahaja, sebab kita mahu memberi kelonggaran kepada pimpinan untuk membuat pilihan. Perubahan tak sampai 100 peratus, tapi kita boleh katakan, dalam 90 peratus memang berubah.


Susulan kegagalan Pas memenuhi permintaan PKR untuk menambah kerusi, adakah timbul kekecewaan di sebalik keputusan tersebut? Kerusi mana yang diminta?
Secara peribadinya, tidak timbul isu kecewa kerana kita hanya mencuba, dan berpuas hati, namun dalam masa sama akur dengan keputusan yang dipersetujui kedua-dua parti (Pas- PKR), kerana suasana Kelantan berbeza dengan tempat lain.

PKR menerima keputusan itu dengan terbuka dan tidak timbul sebarang masalah berhubung perkara itu, kerana kedatangan PKR ke Kelantan dengan Pas sudah ada kerajaan, bukan kita datang dengan kemenangan bersama.

Kita menerima apa sahaja keputusan asalkan ia memberikan kekuatan kepada kami untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Kita minta penambahan di Parlimen Ketereh yang melibatkan Dun Kok Lanas dan Pasir Puteh, iaitu antara Dun Gaal atau Selising, tetapi itu hanya hasrat semata-maa. Kalau nak kata kita kecewa itu soal kedua, kerana banyak aspek yang perlu difikirkan sebelum meletakkan kekecewaan tersebut.

Pimpinan PKR pusat juga menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan menyifatkan ia adalah keputusan terbaik antara Pas serta PKR.

Adakah PKR merasakan seolah-olah menumpang di Kelantan?
Istilah kita, kita memainkan peranan yang dipanggil ‘sejengkal untuk sehaster’. Memang diakui kita kecil, tapi sumbangan itu ada, kalau tak ada sejengkal kita ini, tak cukup la sehaster. Sejujurnya kami tidak pernah merasa terpinggir dan boleh seiring dengan Pas yang juga merupakan parti komponen PR.

Kalau bercakap mengenai masa depan PKR di Kelantan, kita nak ke depan agak sukar, tetapi kalau di peringkat nasional itu tidak mustahil dengan isu-isu yang sudah dan akan diketengahkan. Selama sepenggal di Parlimen Ketereh, apa yang sudah dilakukan, dan adakah YB berpuas hati dengan gerak kerja yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu?
Sebagai wakil rakyat pembangkang, dalam kontak Malaysia, banyak yang kita nak buat tetapi tidak dapat, sepatutnya kita bertanggungjawab dengan Kerajaan Pusat, macam Kerajaan Negeri bukan tanggungjawab mereka untuk membantu kita. Misalnya dalam mengatasi masalah banjir dan kesesakan terutama di musim cuti serta perayaan, kita sudah membina lampu-lampu isyarat di kawasan terlibat tetapi ia tidak menyelesaikan masalah, malah walaupun perkara itu sudah diangkat ke Parlimen.

Dari sudut PKR sendiri, inisiatif untuk membantu dan menaik taraf keselesaan penduduk sentiasa diusahakan, dan ia berterusan sehingga ke hari ini.

Kalau kira dari aspek puas hati, memang ia belum memuaskan kecuali jika demokrasi negara kita berjalan sebagaimana konsep sebenar, mungkin ketika itu barulah boleh bercakap tentang puas hati, sedangkan apa yang berlaku hari ini tidak seperti diharapkan.

Misalnya dalam isu melibatkan royalti, kenapa tidak diberi kepercayaan kepada Kerajaan Negeri untuk menguruskannya, kalau alasan bimbang berlaku penyelewengan, itu bukanlah titik noktah yang perlu dijadikan isu. Ini kerana jika ada penyelewengan, kita ada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menanganinya.


Apakah yang dilakukan PKR dalam mendekati pengundi di peringkat akar umbi?
Pelbagai program dan aktiviti yang sesuai dengan peringkat dan kategori pengundi dijalankan dari dahulu hingga kini, dan alhamdulillah usaha kita untuk mendekati golongan di akar umbi juga sentiasa digerakkan walaupun tidak 100 peratus berjaya dijejaki, namun ia tetap ada dan menjadi rutin saya.

Agenda terbaru PKR kini mendekati pengundi wanita, dengan program-program yang diatur khusus untuk golongan ini, kita berusaha untuk menyampaikan maklumat secara langsung kepada mereka, kerana seperti yang kita tahu golongan ini lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan bergantung kepada televisyen sebagai sumber maklumat.

Media tersebut hanya menyampaikan maklumat di sebelah pihak dan ini akan menghalang mereka untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang perkembangan dunia semasa.


Sejauh mana keyakinan YB untuk terus mengekalkan kedudukan di Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum akan datang?
Perkembangan kini menunjukkan sokongan semakin baik diterima rakyat. Kita boleh lihat dari beberapa situasi termasuk bekas Penyelia Pembangunan Mukim Barisan Nasional (BN) yang menyertai Pas, begitu juga orang kanan kepada pemimpinpemimpin tertentu BN yang mula beralih arah.
Ada Exco mungkin tukar kerusi
MOHD ZAILANI AB RAHMAN
ROSMIZA KASIM

12 Jun 2012
logo politik kelantan menjelang pru13
Politik Kelantan menjelang PRU13
Jadi sebenarnya tidak ada senarai akhir kecuali hari penamaan calon sebab pengalaman kita banyak....
Jadi sebenarnya tidak ada senarai akhir kecuali hari penamaan calon sebab pengalaman kita banyak....Mohd Amar
Mampukah Pas mempertahankan kerusi yang dimenanginya apabila Umno dikatakan semakin agresif mengatur strategi untuk menumbangkan mereka pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti?

Adakah Pas masih lagi boleh meneruskan kepimpinan Mursyidul Am Pas di Kelantan selepas PRU13 ini dengan meletakkan 30 peratus muka baru di samping dicengkam dengan pelbagai isu termasuk hudud yang dikatakan dilaksanakan untuk meraih undi rakyat. Ikuti wawancara bersama Timbalan Pesuruh jaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengenai perkembangan terbaru persiapan Pas menghadapi PRU13.



Bagaimana dengan calon Pas untuk menghadapi pilihan raya nanti?
Setakat ini senarai calon sudah disediakan oleh Tok Guru, kita sudah serah kepada Pas Pusat untuk pengesahan latar belakang, peribadi dan semuanya. Pada PRU13 ini kita ada ramai muka baru. Saya jangka sekitar 30 peratus muka baru yang akan bertanding daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 14 Parlimen. Ada perubahan.


Kenapa Pas melaksanakan perubahan tersebut?
Perubahan ini kerana sebahagian wakil rakyat kita ada yang menyatakan mereka tidak mahu menyambung perkhidmatan kerana lama.

Ada yang mempunyai masalah kesihatan dan berdasarkan faktor itu maka Tok Guru mengemukakan calon baru. Selain itu ialah untuk mengukuhkan parti.

Sekarang disebut-sebut Pas akan menang tetapi kemenangan itu tidak sama seperti PRU12, maknanya ada kawasan-kawasan yang sebelum ini agak selesa akan jatuh?

Kita yakin. Insya-Allah berdasarkan perkembangan semasa kita yakin masih boleh mempertahankan Kelantan kerana tidak ada isu-isu yang besar dan tidak ada perkaraperkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat kepada Kerajaan Negeri. Biarpun ada satu dua perkara yang rakyat komen tetapi perkara ini tidak membawa kepada menukar kerajaan. Bagaimanapun, dari segi kita untuk mempertahankan rekod dengan kerusi yang ada ini satu persoalan yang memang kita sendiri pun sedang berusaha.

Kalau kita boleh mempertahankan rekod ini baguslah, tetapi kemungkinan ada kerusikerusi yang jatuh dan itu boleh jadi. Sebab kita tengok usaha Umno ni bermacam-macam cara ada baik dan tidak baik, jadi kemungkinan akan adalah beberapa kerusi yang terjejas, tetapi setakat ini kita mengatur beberapa program untuk pastikan supaya kerusi yang ada ini tidak terlepas kepada Umno dan kalau boleh kita mahu merampas tujuh kerusi yang dimenangi oleh Umno. Jadi kita tengoklah siapa yang lebih dari segi taktik dan programnya.


Sekarang ini kalau kita tengok Pas sudah bersedia tetapi dari segi momentum wakil rakyat masih ada yang nampak tenang lagi?
Program Pas bersifat parti bukan secara individu dan cara bergerak antara satu kawasan dan satu Dun tidak sama. Ada sesetengah Dun itu ada sifat-sifat orang itu sendiri, ada sesetengah kawasan itu sendiri memerlukan program besar, maka Pas melaksanakan mengikut kemahuan mereka.


Sesetengah orang dia tidak mahu dan memadai apabila wakil rakyat turun padang. Dikatakan nama Nik Abdul Aziz digunakan untuk mempertahankan Kelantan dan wujudnya desakan dalam Pas supaya beliau bertanding?

Pertama, Pas tidak bergantung kepada kekuatan individu, sejak dari dahulu pun kekuatan kita secara jemaah dan membina kekuatan kita ini atas dasar jemaah, organisasi, cuma kehebatan individu ini memberi nilai tambah kepada parti. Jadi dalam konteks sekarang kewujudan Tok Guru itu adalah nilai tambah yang besar kepada parti. Jadi itu asas dia. Adapun di Kelantan ini, bagi kita masih memerlukan kepimpinan Tok Guru walaupun ada orang persoalkan umur dia lama, dia orang lama. Sebenarnya ia bukan soal yang besar dan yang penting adalah kemampuan yang ada pada peribadi Tok Guru. Jadi untuk memimpin perjuangan, Tok Guru sendiri menyatakan kesediaan beliau untuk berundur daripada parti tetapi parti ini merasakan beliau perlu ada bersama- sama dengan kepimpinan kita. Dia sendiri sebelum ini pernah melahirkan hasratnya.


Maknanya dalam konteks ini Pas masih lagi memerlukan? Ia, untuk memimpin sebagai nilai tambah kepada kekuatan parti . Untuk memimpin parti dan selepas ini juga beliau masih lagi menjadi Menteri Besar Kelantan?
Itu terserah kepada beliau. Terserah kepada Pas Pusat selepas ini akan menentukan siapa yang akan menjadi Menteri Besar. Selepas itu Tok Guru sendiri. Atas diri beliau sendiri bersedia atau tidak bersedia.


Wujud spekulasi Tok Guru sudah membuat persiapan berundur selepas memenangi PRU-13?
Spekulasi ini ada macam-macam, kita tidak boleh menghalang orang mahu timbulkannya. Macam saya kata, pertama sekali dari segi Pas Pusat lah untuk buat keputusan.


Kemudiannya atas diri Tok Guru sendiri. Bagaimana dengan senarai calon yang dikemukakan Pas Kelantan?
Senarai yang terakhir saya tak tengok dan semua Tok Guru tentukan. Kita cuma bagi pandangan semasa berbincang. Biasanya kawasan akan menghantar tiga nama untuk Dun dan tiga Parlimen. Jadi kita bagi pandanganlah tentang calon tersebut. Senarai yang terakhir Tok


Guru yang akan selesaikan dan tentukan siapa beliau mahu ambil. Senarai itu saya tidak tengok. Mesti ada perbincangan?
Senarai akhir Tok Guru tentukan sebab kemungkinan beliau ada pertimbangan sendiri. Kita bagilah pandangan, sepatutnya orang ini dan kita nilainya menerusi laporan prestasi dan sebagainya. Itulah yang akan diangkat kepada Pas Pusat. Jadi senarai(akhir) itu memang kita tidak tengok.


Dikatakan ada exco akan bertanding di Parlimen?
Ada, ada cadangan macam itu. Masa bincang pelbagai pandangan keluar. Nak jawab tidak bolehlah, tidak tahu betul atau salah sebab kita tak tengok? Senarai itu sentiasa berubah dan yang diangkat pun ada pengalaman. Belum tentu lagi mungkin yang terakhir akan ada pertukaran. Bukan kata Pas sahaja, parti mana-mana pun pada saat-saat akhir akan berubah berdasarkan perkembangan semasa.

Jadi sebenarnya tidak ada senarai akhir kecuali hari penamaan calon. Sebab pengalaman kita banyak. Kita perhatikan Umno pun begitu juga saat akhir. Nama orang ini, tengok esok nama lain naik. Itu biasa dalam proses politik.


Adakah Pas ada mempunyai cadangan khusus untuk menguasai berapa kerusi yang menjadi kerusi tetap BN?
Memanglah kita ada perancangan. Kita berusaha untuk mengambil dan merampas kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Memang kita ada perancangan-perancangan.


Seperti di Kok Lanas?
Memang ada di Kok Lanas, kita buat gerakan dan program untuk merapatkan untuk merampas kerusi BN.


Bagaimana dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah?
Kita tak pasti beliau bertanding atau tidak sebab kita dengar macam-macam. Kalau Umno Gua Musang kita dengar maklumatnya tidak mahu kepada Ku Li. Macam Ku Li kata kalu tidak dicalonkan beliau akan bertanding juga. Jadi itu dilema.

Mungkin itu sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gua Musang untuk selesai masalah dalaman.


Setakat ini ada perbincangan mengenainya atau tiada dibincangkan?
Tidak ada. Kita tengok lah. Kita tengok di Gua Musang susah Pas nak masuk kecuali Ku Li sahaja mampu.


Adakah Pas berbincang sama ada Ku Li perlu berada di pihak Pas untuk menawan kembali kawasan itu?
Perbincangan memang tidak ada. Itulah kita tahu setakat ini tidak ada perbincangan cuma dari sudut pandangan politik Ku Li ini tidak bertanding di Gua Musang maka peluang kita menjadi lebih besar dan jika tidak bertanding atas tiket Umno atau bebas, maka dia memberi satu kelebihan kepada Pas bukan sahaja di Gua Musang tetapi di seluruh negeri Kelantan. Dari segi politiklah.


Bermakna peluang Pas di Gua Musang tipis?
Kalau berdasarkan rekod ia memang sukar untuk menang di Gua Musang selagi Ku Li ada dan Umno pun banyak bergantung kepada ketokohan Ku Li.

Maknanya bila Tengku Li tidak ada Umno sendiri pun akan jadi masalah. Kalau Ku Li tanding tidak atas tiket Umno, pun akan hadapi masalah juga.
Pas Johor akan rugi besar
SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
12 Jun 2012
Mohd Puad (dua, kanan)
Mohd Puad (dua, kanan) menyaksikan animasi 3D plan pembangunan pangsapuri
The Senai Garden selepas merasmikan upacara pecah tanah, kelmarin.
KULAIJAYA – Pas Negeri Johor diramal akan mengalami kerugian besar berbanding rakan sekutunya DAP sekiranya meneruskan pakatan bersama parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pas berkemungkinan menghadapi kerugian berikutan isu perpecahan dan pergolakan yang berlaku di dalam DAP yang boleh menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kedua-dua parti itu mula goyah.

“Kita dapat lihat pada masa ini dalam DAP sendiri sedang berlaku perpecahan dalam hal untuk menentukan pemimpin yang akan mengetuai parti itu di negeri ini.

“Pergolakan yang berlaku bukan sahaja memberi kesan terhadap keyakinan rakyat tetapi juga dari segi undian. Akhirnya sudah tentu menyebabkan kerugian kepada Pas yang merancang meletakkan calon pilihannya sebagai Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri The Senai Garden, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, barisan kepimpinan Umno telah bersiap sedia menghadapi PRU13 dan sedang menumpukan perhatian kepada kawasan-kawasan peti undi.

“Kita telah jalankan beberapa prosedur sebagai persediaan menghadapi PRU kali ini, antaranya dengan menjalankan kajian sikap di kawasan-kawasan peti undi.

“Selain itu, kita juga sudah mengenal pasti pengundi sebenar di satu-satu kawasan dengan membuat pemetaan lokasi.

“Kita juga turut mengadakan lawatan turun padang untuk menyelesaikan masalah yang timbul di kawasan peti undi,” katanya.

Mohd Puad berkata, beliau yakin Barisan Nasional dan Umno akan berjaya mengekalkan pemerintahan di negeri ini berdasarkan sokongan rakyat dan persediaan yang telah dilakukan jentera pilihan raya parti itu.
Siapa lebih hebat di Kelantan, BN atau Pas?
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
12 Jun 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
KOTA BHARU - Gendang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) belum lagi dipalu, namun semangat politik orang di Kelantan sudah membuak-buak.
Buktinya, bendera-bendera politik berwarna biru pekat, biru muda, hijau dan sesekali diselitkan dengan putih-merah sudah digantung di sana-sini. Seperti kebiasaan juga provokasi bakar bendera lawan juga sudah mula kedengaran.
Sebagai sebuah negeri yang majoritinya Melayu-Islam, sudah pasti Pas dan Barisan Nasional (BN) merupakan dua parti yang menjadi sinonim kepada rakyat Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Realitinya kewujudan PKR, MCA dan MIC di negeri hanya untuk melengkapkan sokongan dan ‘meraikan’ perjanjian di peringkat pusat.
Bercakap soal pilihan raya, topik yang kini berlegar di kedai kopi adalah mengenai calon!, ia seperti bermain ‘puzzle’, menyusun petak-petak yang akhirnya bercantum demi untuk mendapat kemenangan.
Bagi Pas, pilihan raya kali ini menjadi titik penting bagi meneruskan pemerintahan di negeri ini.
Kesediaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding seolah-olah memahami realiti beliau masih diperlukan untuk mengekal pemerintahan Pas di negeri ini.
Beliau dianggap sebagai benteng terakhir parti yang menjadi simbol berpadukan di kalangan ahli walaupun ada kalanya pendapatnya tidak sehaluan dengan pemimpin pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Persoalannya, mampukah Pas mempertahankan 38 dari 45 kerusi Dun yang disandang sebelum ini memandangkan terdapat isu yang masih tidak mampu diselesaikan dengan baik seperti kemudahan bekalan air.
Ditambah pula dengan sesetengah wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan di peringkat akar umbi menyebabkan undi atas pagar mungkin beralih arah.
Pas tidak lagi boleh mengharapkan undi penyokong tegarnya semata-mata kerana trend pengundi kini berubah. Faktor personaliti calon kini diambil kira. Buktinya pada PRU 11, kerusi parlimen Machang dimenangi BN sementara ketiga-tiga Dun dikuasai Pas.
Bagaimanapun, pengumuman pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sedikit sebanyak menaikkan imej Pas negeri walaupun keupayaan masih diragui sesetengah pihak.
Bagi Barisan Nasional, hasrat untuk menawan Kelantan bukan lagi angan-angan. Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku pemegang teraju BN Negeri menyusun gerak kerja parti dengan menyasarkan untuk memperoleh 23 kerusi Dun.
Namun jika BN mengidamkan negeri ini, faktor luaran dan dalaman perlu diambil kira. Dalam soal dalaman, BN Negeri perlu memastikan caj keting tidak lagi wujud seperti mana sebelum ini yang menyebabkan BN tumpas sebelum berjuang.
Kebimbangan ini disuarakan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail yang memberi peringatan kepada Umno supaya budaya ‘caj keting’ perlu dibuang sekiranya ingin menawan Kelantan.
Bagi faktor luaran, BN perlu meyakinkan rakyat bahawa parti itu bukan terlalu ‘kaya’ untuk rakyat sehingga merasakan ia hanya sesuai untuk golongan yang gah sahaja.
Rakyat Kelantan bukan mahu melihat parti yang eksklusif, tetapi parti yang mampu memperjuangkan hak lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan Islam.
Jika benteng itu mampu diruntuhkan, Umno sudah boleh membayangkan siapa Menteri Besar yang baru untuk dicalonkan!

* Laporan lanjut dalam Sinar Harian edisi Kelantan siaran hari ini.

Tiada ulasan: