Khamis, 14 Jun 2012

MUDAH2AN KELANTAN MASIH DAPAT DIPERINTAH OLEH ULAMAK...YANG RUMAH MB NYA BIASA SAJA BUKAN MACAM ORANG ADA ISTANA2 ATAU VILLA...ATAU BANGLO2...

Kalau sekadar nasihat tak payah guna Majlis Fatwa

Hazayani Zakaria, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 13 Jun: "Kalau hendak beri nasihat, tidak perlu sampai guna Majlis Fatwa Kebangsaan," kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mashitah Ibrahim bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya memberi nasihat mengenai penglibatan umat Islam dalam demonstrasi jalanan.

Mashitah dilaporkan menafikan bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan sebarang fatwa mengharamkan demonstrasi jalanan di ibu negara pada 28 April lepas.

Sebaliknya beliau berkata ia merupakan kenyataan media yang dikeluarkan sebagai nasihat daripada anggota muzakarah jawatankuasa berkenaan yang bersidang awal bulan lepas.

"Kalau sekadar nak beri nasihat, tidak perlulah melalui Majlis Fatwa Kebangsaan. PAS sangat dukacita dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Justeru beliau menasihati Mashitah agar lebih konsisten dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutamanya melibatkan soal agama.

"Mashitah sepatutnya lebih berhati-hati dalam berpolitik dan mengeluarkan kenyataan.

"Atau mungkin dalam hati kecil beliau sendiri mengakui tuntutan Bersih tapi tak boleh nyatakan pendirian sebab berada dalam Umno," katanya.

Nik Zawawi juga berkata, walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menyebut secara khusus berhubung himpunan Bersih 3.0, namun kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Bersih 3.0 diadakan.

"Walaupun kenyataan itu umum, tak sebut Bersih, tapi dalam waktu dan suasana ketika itu, nampak ia dituju kepada Bersih.

"Sepatutnya sebelum fatwa dikeluarkan, kena jelaskan punca fatwa dikeluarkan. Kena jelaskan bila demonstrasi jadi haram, bila harus, bila jadi wajib," tegasnya.

Tambah beliau lagi, kenyataan majlis fatwa itu seolah-olah sebagai cara untuk Umno melepaskan diri.

"Majlis fatwa keluarkan kenyataan mengenai demonstarasi jalanan ketika itu mesti ada kepentingan politik.

"Seolah-olah diperalat Umno supaya mereka boleh lepaskan diri," katanya.

Adilnya BN: Ambil tanah sekolah beri kepada kroni

Anis Nazri, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Apabila soal keadilan yang merupakan undang-undang moral yang tertinggi tidak diamalkan, maka berlakulah sesuatu pengkhianatan.

Lebih malang lagi, pengkhianatan itu dilakukan sebuah kerajaan yang bercogankatakan Tradisi Membela Rakyat apabila tanah yang diberikan kepada rakyat dirampas semula atas sebab politik sempit.

"Adalah tidak adil apabila tanah yang diberikan kepada rakyat bagi membangunkan sebuah sekolah, yang mana sebahagian tanahnya telah dibangunkan diambil dan kemudiannya diagihkan kepada pihak yang mereka suka," tegas Datuk Abu Bakar Chik (gambar bawah), Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, hari ini.

Bercakap kepada Harakahdaily, beliau berkata tanah seluas hampir dua hektar yang diberikan kepada Darul Bayan Development Sdn Bhd (DBDSB) pada 2003 itu, sebahagiannya diambil semula BN Terengganu apabila mengambil-alih negeri tersebut pada 2004.

Katanya, sudahlah sebahagian tanah itu diambil, ia kemudiannya dipecah-pecahkan kepada beberapa lot untuk diagihkan kepada pihak yang disukai mereka seperti anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung atau isteri masing-masing.

Tambah beliau, atas tanah tersebut sudah dibangunkan sebuah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang terletak di bahagian belakang, manakala tanah selebihnya di bahagian hadapan dibiarkan dipercayai untuk membina padang sekolah, diambil BN.

"Ia satu langkah yang tidak masuk akal, yang menolak konsep keadilan.  Di mana keadilan apabila tanah yang sudah diberi, diambil semula dan diberikan pula kepada pihak tertentu yang merupakan kroni mereka?" soal beliau.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan BN Terengganu memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain, meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 22 Oktober 2003.

Kes ini telah dibicarakan di mahkamah dan pihak mahkamah telah memberikan kebenaran untuk mencabar kuasa Exco kerajaan negeri Terengganu ini di mahkamah.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar), berkata amalan merampas tanah yang diberikan kerajaan PAS oleh BN ini sudah menjadi amalan biasa di Terengganu.

Dakwa beliau, selain isu Darul Bayan ini, beberapa kes lain membabitkan rampasan semula tanah di negeri itu sering berlaku selepas BN mengambil-alih pemerintahan daripada PAS pada 2004.

Sambil menegaskan rakyat Terengganu sudah tidak boleh mengharapkan apa-apa dari BN, ahli parlimen Kuala Terengganu itu juga menyifatkan rampasan itu sebagai perbuatan khianat.

Dalam pada itu beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan DBDSB membuat semakan kehakiman terhadap kes itu merupakan satu petanda baik.

"Ia satu petanda baik, kerana memang ada asasnya.  Pemilikan diberi mengikut prosedur, dan rampasan tersebut dibuat tanpa mengikut lunas prosedurnya," tegas beliau.

Pada 11 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa telah menolak bantahan pihak Peguam Negara yang menentang permohonan DBDSB bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan dua yang lain iaitu responden di dalam kes tersebut.

Dengan keputusan ini, mahkamah membenarkan permohonan sekolah agama itu untuk mencabar keputusan sebelum ini yang menghalang mereka mencabar perampasan tanah mereka dan diberikan kepada JKKK.

Pada 25 Mac lalu, DBDSD telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan responden yang memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 22 Oktober 2003 untuk diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang dikendalikan oleh DBDSB.

Seorang lagi bekas pegawai kanan sertai PAS

Harakahdaily, 13 Jun 2012


(Haji Rahman [tiga dari kiri]  menerima sijil keahlian seumur hidup beliau dari Wahid dengan diperhatikan kakitangan Pejabat Agung PAS)


KUALA LUMPUR: Seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan menyertai PAS hari yang menampakkan kebanjiran mereka ke dalam parti itu tidak boleh disekat lagi.

Hari ini, Hj Abdul Rahman Taib, mantan Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerima sijil PAS beliau.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Wahid Endut berkata fenomena bekas Pegawai kanan kerajaan menyertai PAS tidak dapat disekat lagi.

Seorang demi seorang mula tertarik dengan perjuangan PAS yang memartabatkan Islam dengan Melayu menjadi terasnya.

Beliau ditemui ketika menyerahkan Sijil Keahlian PAS kepada Hj Abdul Rahman dalam satu majlis ringkas meraikan beliau di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Sebelum menyertai PAS, Hj Abdul Rahman pernah menyertai UMNO di kampongnya, Bukit Petiti, Manir, Terengganu.

Beliau mula tertarik untuk menyertai PAS setelah pertama kali hadir program Dailog Anak Terengganu di Perantauan (Perantau)  dengan PAS pada bulan Mac, 2012 dan kemudiannya menyertai PAS pada bulan Mei, 2012.  

Turut hadir dalam majlis penyerahan Sijil Keahlian Seumur Hidup PAS adalah kakitangan Unit Keahlian Pas Pusat diketuai oleh Pegawai Keahlian, Puan Noriah Mohd Yunus dan Setiuasaha Perantau, Suhaimi Embong.

Ketika menceritakan mengapa pula beliau menyertai PAS, Abdul Rahman Taib berkata, kerana jawatan kanannya dalam LPP, beliau kerap diundang untuk bersama pemimpin Umno dalam siri-siri ceramah.

Beliau yang berasal dari Kampung Manir berkata, dalam ceramah-ceramah tersebut, apa yang dikatakan oleh pemimpin Umno tidak sama dengan apa yang dilakukan
mereka.


Rawatan Secara ‘Panadol’


Sebagai contohnya, kata Abdul Rahman, pemimpin Umno sebenarnya bukanlah mahu menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya memberi rakyat kesenangan sementara.

“Sebagai contoh, mereka ini(pemimpin Umno) mengatakan kalau kita nak selesaikan satu-satu masalah, buat macam ‘panadol’ tak payah selesai secara serius satu-satu isu itu,

“Contoh kalau ada banjir, kalau ada bantuan beri supaya rakyat seronok sahaja, seronok seminggu dua minggu pun cukup, tak payah bagi mereka (rakyat) kekal senang selama-lamanya,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Selamat Tinggal Umno di Chukai pada 26 Mei lalu.

Justeru, beliau menyedari perkara tersebut dan ‘berubah’ dari menjadi ahli Umno kepada menjadi ahli PAS dan bersedia memberikan khidmatnya supaya PAS dapat menggantikan Umno di negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

“Sebagai makhluk Allah semuanya tidak kekal semua berubah, saya dan rakan-rakan semua berubah, dulu daripada Umno telah masuk PAS,

“Makhluk mesti berubah, cuma Umno sahaja dengan slogannya dulu, kini dan selamanya, seolah-olah tidak berubah, menentang fitrah Allah SWT,”tambahnya.

Nazri: BN boleh jatuh dengan garam, botol

Harakahdaily, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz (gambar) berkata sesebuah kerajaan boleh jatuh walaupun dengan garam dan botol mineral.

Menurutnya sejarah membuktikan bahawa kerajaan di Mesir, Tunisia dan Libya telah tumbang hanya melalui telefon.

"Dengan botol pun kalau rakyat tak suka, kerajaan boleh jatuh. Sebab itu jangan pandang ringan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor).

Lim yang juga Ketua Parlimen DAP dalam soalannya meminta Nazri membuktikan tuduhan kerajaan bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 bertujuan menggulingkan kerajaan sedangkan pesertanya cuma membawa garam dan air mineral.

"Adakah garam dan botol mineral boleh tumbangkan kerajaan, atau kerajaan BN gelabah.

"Adakah perdana menteri mendapat maklumat dari cawangan khas bahawa Bersih 3.0 akan guling kerajaan," soalnya.



Nazri dalam jawapannya selepas itu sekali lagi berkata Bersih 3.0 adalah percubaan menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

Kenyataan Nazri itu juga menyebabkan dewan kecoh dengan sorakan apabila ramai ahli parlimen bangun untuk mencelah.

"BN ketakutan...takut dengan bayang-bayang sendiri," kata Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang turut mencelah.

 


'Curi royalti': Pemimpin Umno wajar dikena hudud

Mijie Yusoff, 13 Jun 2012
KUALA KRAI: Pemimpin Umno antara pihak pertama yang wajar dikenakan hukuman di bawah hudud kerana mencuri wang royalti minyak milik rakyat Kelantan.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, royalti sebanyak 5 peratus yang wajib dibayar kepada Kelantan setiap tahun dinafikan pemimpin Umno sehingga sekarang.

“Kalau hukum hudud sudah dapat dilaksanakan di Kelantan merekalah orang pertama yang boleh dikenakan hukuman potong tangan kerana 'mencuri' wang royalti.

“Kalau ramai pemimpin Umno hilang tangan nanti ia sudah tidak pelik lagi kerana kesalahan mencuri duit royalti rakyat Kelantan,” katanya pada ceramah menuju Putrajaya di sini malam tadi.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dan wakil-wakil kaum.

Orang ramai termasuk penduduk Tionghoa dan India memenuhi sekitar tempat ceramah berlangsung di perkarangan Dewan Sri Guchil.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau pernah ditawarkan MCA jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan dengan bayaran gaji lumayan sebelum menyertai PKR.

“Tetapi saya menolak. Apa guna emas dan perak yang banyak kalau akan tinggalkannya juga akhirnya.

“Lagi pun semua orang tahu Umno dan BN banyak terpalit dengan isu rasuah. Sedangkan ada hadis yang menyebut ‘orang yang memberi dan menerima rasuah akan masuk neraka’,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa hairan rakyat negara ini seperti ditipu kerana harga kereta nasional di Malaysia jauh lebih mahal berbanding yang dipasarkan di luar negara.

Misalnya kereta Proton Waja dijual di Malaysia dengan harga RM70,000 tetapi di Arab Saudi kereta sama hanya berharga RM33,000.  Begitu juga harga kereta di Langkawi lebih murah berbanding di tempat lain di negara kita.

“Ini kerana kerajaan mengenakan cukai yang tinggi terhadap kereta nasional biar pun rakyat sendiri terbeban,” katanya.

Oleh itu beliau berharap pengundi di kawasan parlimen Kuala Krai mengekalkan kemenangan yang ada sekarang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Undi rakyat tumbangkan BN, bukan garam dan botol

Harakahdaily, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa lucu dengan kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa ‘garam dan botol’ yang digunakan oleh peserta Bersih adalah untuk menumbangkan kerajaan.


“Bagi DPPWP, alasan Datuk Seri Nazri adalah jawapan ‘paling tidak cerdik’ yang pernah diucapkan oleh seorang menteri kabinet Malaysia,” KATA Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, ia bukan sebagai justifikasi bagi menggambarkan betapa negatifnya himpunan Bersih 3.0, sebaliknya ia menggambarkan betapa lemahnya intelek seorang pemimpin negara ini dalam menilai perhimpunan tersebut.

Menurutnya, DPPWP tidak boleh membayangkan tahap ketakutan Nazri dan pemimpin Umno yang lainnya berada dalam darjah tertinggi sehingga boleh menafsirkan botol air mineral dan garam sebagai faktor tumbangnya kerajaan.

“Jika ini gambaran mereka, ini bermakna kerajaan pimpinan Umno BN berada dalam keadaan gawat dan amat goyah sehingga botol air dan garam mampu menggoncang kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPWP, ujarnya merasakan Nazri sudah tidak boleh berfikir dengan waras sehingga sanggup berimaginasi dengan sesuatu yang di luar kotak pemikiran rakyat negara ini.

Katanya, umum mengetahui bahawa himpunan Bersih 3.0 diadakan pada waktu tengah hari dan dalam keadaan beratus ribu rakyat hadir menyertainya.

“Sudah pasti peserta membawa air botol sebagai bekalan bagi menghilangkan dahaga dalam cuaca yang amat panas itu.

“Ia juga digunakan bagi merawat jika peserta terkena gas pemedih mata atau air kimia yang dipancutkan oleh trak FRU,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya para peserta himpunan terlebih awal dinasihatkan membawa garam untuk dikemam bagi mengelakkan kepedihan akibat ditembak dengan gas pemedih mata.

Katanya, DPPWP yakin rakyat tidak terfikir pun bagaimana air mineral dan garam boleh dijadikan senjata untuk menumbangkan kerajaan yang gagah di sebalik segala kuasa yang mereka miliki.

“Seharusnya Datuk Seri Nazri Aziz sedar, kerajaan mempunyai segala agensi kerajaan yang patuh dan setia dengan segala arahan pemimpin negara.

“Mereka mempunyai tentera, polis, Rela, Cawangan Khas (SB) dan lain-lain pasukan keselamatan yang jumlahnya amat ramai,” katanya lagi.

Menurutnya, mustahil botol dan garam boleh menumbangkan kerajaan jika pasukan keselamatan ini dikerah menjaga keselamatan pentadbiran negara.

Selain itu, ujarnya kerajaan mempunyai undang-undang yang ketat dan menyebelahi mereka.

Jelasnya, negara ini mempunyai peraturan, perlembagaan dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Sebenarnya, kata beliau Nazri tidak perlu menuduh ‘botol air dan garam’ sebagai faktor tumbangnya kerajaan.

“Kerajaan akan tumbang hanya melalui undi rakyat dalam PRU ke 13.

“Rakyat kini mampu melihat suasana politik dengan pemikiran yang cerdik dan itulah sebenarnya kegerunan utama BN!,” ujarnya lagi.

Perbadanan Putrajaya 'takut' bendera Umno?

Harakahdaily, 13 Jun 2012


(Hanya berani naik banner tetapi tidak berani buang bendera Umno dan BN)

PUTRAJAYA: Bendera BN dan Umno sudah banyak terpampang terutamanya di Presint 8, Presint 9 dan Presint 16 di pusat pentadbiran negara, Putrajaya ini.

Adakah ini tanda pilihanraya semakin hampir? Namun tiada pula bendera PAS yang kelihatan.

Orang ramai yang biasa lalu lalang di sini tak ambil kisah pun namun hari ini terdapat satu kain rentang yang tertera logo Perbadanan Putrajaya (PPJ) yang menarik perhatian mereka.

Kain rentang itu berbunyi  “BENDERA PARTI INI LAMBANG KESOMBONGAN! WALAUPUN UNDANG-UNDANG TIDAK MEMBENARKAN, MEREKA TERUS MEMASANGNYA”.

Di belakangnya terdapat banyak bendera BN dan Umno. Demikian menurut saksi yang telah memuat naik gambar kain rentang itu.

Rosli Ahmad, seorang pegawai kerajaan yang melalui Presint 9 untuk ke tempat kerja pagi tadi telah melihat kain rentang Perbadanan Putrajaya ini yang menyatakan bantahan kepada parti politik ini.

Ini kerana, mereka meletakkan bendera politik di kawasan ini sesuka hati walaupun tanpa kebenaran tapi yang peliknya mengapa pihak PPJ tidak menurunkan sahaja bendera itu sebaliknya meletakkan kain rentang ini.

"Saya faham sangat pada kebiasaannya PPJ akan bertindak tegas untuk menjaga kebersihan, kecantikan dan keharmonian di Putrajaya ini," katanya.

Manakala seorang lagi yang dihubungi tidak mahu memberitahu namanya memaklumkan inilah sikap “double standard” PPJ.

Sekiranya bendera PAS dipasang tidak sampai beberapa jam akan datang pihak berkuasa menanggalnya manakala bendera Umno dan BN dah pun sebulan bahkan ada yang berbulan bulan tidak ada apa-apa tindakan.

Malah ada yang dah buruk dan lusuh dan mencacatkan keindahan Putrajaya masih kekal termasuklah kain rentang, khemah-khemah cap BN dan Ahli Parlimen Putrajaya yang buruk dibiar terpasang kekal di kawasan perumahan kuarters penjawat Awam.

Ramai penduduk tidak menyukainya, tapi apa boleh buat, pihak bertanggungjawab lembek.

Inilah taktik kempen umno di Putrajaya barangkali dan direstui pihak berwajib PPJ dan Unit Hartanah JPM.

Setelah pihak kami menghubungi PPJ untuk pengesahan dan jawapan petugas yang menjawab panggilan memberitahu 'biasalah' dan memaklumkan Presiden PPJ Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar Datuk Abd Ghani Ahmad (yang bertanggungjawab dalam perkara ini) sedang mesyuarat.

Menurut Yang Dipertua PAS PAS Putrajaya pula, Ustaz Nazir Zakaria, PAS menurut peraturan Perbadanan Putrajaya (PPJ) selaku pihak berkuasa tempatan disini yang telah menyatakan bendera parti politik hanya boleh dipasang setelah pembubaran parlimen.

"Kita ada banyak bendera tetapi kita menghormati undang-undang. Kita hanya bawa bendera sewaktu program sahaja dan tidak memasang sesuka hati.

"Namun sekiranya PPJ masih menjadi 'Perbadanan Bandar Cowwboy' terpaksalah kita mengambil tindakan yang bersesuaian," katanya.

PAS desak Myanmar henti bunuh warga Rohingya

Harakahdaily, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Myanmar menghentikan segera penganiayaan dan pembunuhan terhadap warga Rohingya yang sedang berleluasa di negara itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, PAS bersama NGO lain mengecam tindakan tersebut yang dilihat lebih kepada penghapusan etnik.

"PAS memandang berat peristiwa pembunuhan dan keganasan terhadap rakyat di negara itu.

"Kita mendesak kerajaan Myanmar menghentikan segera tindakan itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau turut mendesak negara jiran khususnya Bangladesh memberi bantuan segera dan tidak menambah tekanan dengan menutup sempadan.

"Kita juga meminta kerajaan Malaysia melalui wisma putra segera menggunakan peranan diplomatik dan sebagai anggota negara Asean, menuntut keganasan ini dihentikan," katanya lagi.

Semalam Warga Rohingya di Malaysia berkumpul berhampiran kedutaan Amrika Syarikat memohon bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan saki baki keluarga mereka yang berada di Myanmar.

Mereka merayu bantuan antarabangsa menangani insiden terbaru yang berlaku di wilayah Arakan, Myanmar sekarang ini.

Difahamkan sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu.

Keadaan mula tenang selepas kekecohan melampau

Abdul Matalab, Muangday, Arakan., 13 Jun 2012

(Keadaan huru-huru beberapa hari lalu)

MAUNGDAW: Keadaan beransur pulih di sekitar bandar Maungdaw. Anggota tentera bersenjata kelihatan mengawal keadaan di sana sini.

Situasi ini secara tidak langsung menimbulkan sedikit rasa selamat di kalangan umat Islam di sini.

Sejak tiga hari yang lalu, aktiviti rampasan barangan secara sistematik atau bersahaja sedang rancak dilakukan.

Pada 9 Jun lalu, pihak polis, dibantu oleh Lun Htin dan Rakhines bertindak merompak semua kedai-kedai di sekitar Bandar Maungdaw, terutama sekali kedai-kedai umat Islam.


(Mangsa kekejaman bergelimpangan)

Antara yang terlibat ialah Kedai Noor Huda, Kedai Noor Bashar (Khin Maung), Kedai Fayaz, Kedai Rafique (Kyaw Htun Sein), Kedai Hafiz Anwar, 3 cawangan Kedai Salimullah dan sekitar 100 buah kedai lain lagi yang dipecah-masuk dan dicuri barangan jualannya.

Kebanyakan dari barangan tersebut telah dipindahkan ke bangunan-bangunan biara untuk disimpan bantuan catuan kepada pelarian-pelarian daripada Rakhine dan Natala.

Jika dilihat dengan mata kasar, rampasan ini adalah satu tindakan terancang dari golongan tempatan Rakhine.

Kini masyarakat Rakhine mempunyai bekalan makanan berlebihan dan juga keperluan lain manakala komuniti umat Islam pula mengalami kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Keadaan akan semakin meruncing jika tiada bantuan yang datang.

Tindakan rampasan tiada henti dan 11 orang daripada Rakhine ditemani anggota polis dan Lun Htin telah ke perkampungan Bhomu dan membakar 3 rumah umat  Islam serta memusnahkan masjid.

Sebelum memulakan pembakaran, anggota polis dan Lun Htin telah memasuki rumah-rumah berkenaan dan mengarahkan penghuninya keluar dengan alasan mahu memeriksa rumah-rumah tersebut.

Pada masa yang sama mereka turut mengambil serta merampas barang-barang berharga.

Ketua rumah dibawa pergi kononnya untuk disoal-siasat. Anggota tentera cuba membantu memadamkan api namun gagal.

Rumah-rumah yang terlibat ialah milik Haji Shamsu, Saveed Hussein dan Noor Alam.

Dalam percubaan lain, puak Rakhine cuba memasuki sebuah rumah lain di Maung Ni untuk cubaan merampas makanan dan barang berharga, namun gagal apabila tindakan mereka berjaya dikesan oleh anggota tentera yang kemudiannya menangkap 6 ahli puak Rakhine tersebut untuk siasatan lanjut.

Ketika ditahan, terdapat beberapa senjata api dan botol-botol yang mengandungi petrol bersama mereka.

Keadaan huru-hara ini merupakan satu kelebihan pagi puak Rakhine kerana boleh dikatakan pihak pentadbiran dan berkuasa kebanyakannya terdiri daripada mereka yang beragama Buddha dan bangsa yang sama.

Hampir dalam semua keadaan, pihak berkuasa menyebelahi puak Rakhine.
Keadaan yang sama juga berlaku di sekitar Arakan, termasuklah Sittwe, Buthidoung, Rathedoung, Kyaukpru, Sandwe dan lain-lain.

Tiada sebab yang pasti dan agak mustahil bagi meminta bantuan daripada pihak berkuasa serta pasukan keselamatan bagi umat Islam di sini.

Sangat jelas keadaan di sini di mana umat Islam Rohingya menjadi mangsa dan dipinggirkan.

Satu konspirasi yang mengatakan mereka ini adalah pendatang dari Bangali telah disebarkan dan berbagai usaha untuk menghalau umat Islam dari bumi Arakan dilakukan.

Puak Rakhine sangat berhati-hati dalam memberikan hak kewarnegaraan kepada umat Islam di Myanmar, mahu pun kepada rakyat tempatan dan orang luar.

Keadaan ini bagaimanapun mungkin akan berubah dan kebarangkalian untuk umat Islam di Myanmar mendapatkan kerakyatan mungkin tiada lagi.

Kini umat Islam berharap agar pihak tentera dapat mengawal secara menyeluruh agar kegiatan rampasan dan rusuhan oleh pihak polis dan Lun Htin terkawal atau tamat sepenuhnya.

Pilihan raya musim haji khianati hak muslim

Salmiyah Harun, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pilihanraya pada musim haji adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat di dalam menunaikan hak mereka sebagai seorang muslim yang beriman, demikian tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Nik Mohd Abduh Nik Aziz.

Katanya, ibadah haji boleh ditangguhkan oleh kehadiran kewajiban lain yang perlu disegerakan dan disempitkan terhad waktunya seperti pilihanraya.

Bahkan katanya, asasnya orang muda yang berkemampuan berhak memilih tarikh hajinya sendiri dengan keluasan masa kurniaan Allah.

Tambahnya, kerajaan mestilah mempertegaskan secara pasti bahawa pilihanraya tidak akan diadakan pada musim haji demi keselesaan rakyat menetapkan tarikh ibadah haji masing-masing.

"Oleh kerana tarikh pilihanraya yang samar disebabkan was-was seorang perdana menteri, PAS mencadangkan bukan mewajibkan umat Islam agar memilih untuk menangguhkan haji jika wujud kebarangkalian berlakunya pilihanraya pada musim haji iaitu Oktober dan November nanti," katanya.

Katanya, undi adalah satu persaksian atau syahadah di hadapan Allah bahawa setiap muslim wajib memilih Islam sebagai satu ugama dan cara hidup yang tidak mungkin ditinggalkan.

Malangnya, kata beliau Umno melihat sebaliknya bahkan undi boleh dibeli dengan sekampit gula demi survival sekularisme.

Tegasnya, PAS melihat penyertaan rakyat dalam pilihanraya adalah satu kewajiban agama yang mesti ditunaikan.

Manakala Umno pula, katanya, melihatnya sebagai satu kewajiban warganegara yang tidak sama dengan kewajiban agama.

"Umno terus dengan otak sempitnya, melihat urusan politik dan kepimpinan negara sebagai terpisah daripada ugama," katanya di laman Facebooknya.

Justeru, baginya isu ini satu perbahasan hukum yang menarik untuk memahamkan masyarakat Islam mengenai hukum mengundi dalam pilihanraya umum untuk memilih kepimpinan negara.

"Kerajaan jangan asyik menghina diri sendiri dengan mengugut rakyat dengan kemungkinan kuota haji ditarik balik kerana aksi berani anak-anak muda menolak politik kotor umno di tanah suci umat Islam dengan peragaan baju Bersih," katanya.

Bakal menantu Najib yang hebat

Larry Celona dan Dareh Gregorian,NYP, 13 Jun 2012
NEW YORK: Menipu bapa tirinya yang mempunyai kaitan dengan Kazakhtan,  menipu pembelian Plaza kondo yang bernilai US20 juta, juga didapati memasuki University Columbia dengan cara menipu, kata kertas dakwaan terhadapnya.

Daniya Nazarbayev (gambar) – yang bapa tirinya ialah adik kepada presiden Kazakhtan Nursultan Nazarbayev – memasuki kolej menggunakan sijil palsu yang ditipu daripada sebuah sekolah tinggi yang beliau tidak pernah hadiri, tambah kertas dakwaan tersebut.

Semasa permohonan, Daniyar telah dituduh menyatakan bahawa beliau seorang graduan daripada sekolah tinggi di Kazakhstan. Sebenarnya beliau telah bersekolah di sebuah sekolah tinggi di Switzerland dan gagal mendapat ijazah, kata sumber.

Bukan itu sahaja, bahkan nama terakhir Daniyar yang berpengaruh juga adalah palsu, kata kertas pendakwaan itu.

Nama bapanya yang sebenar ialah Kesikbayev. Ibu beliau, Maira, didakwa telah menukar sijil kelahiran beliau selepas beliau berkahwin dengan Bolat Nazarbayev pada 2001.

Perkahwinan tersebut berakhir tahun lepas.

Daniyar, sekarang 24, telah mendapat ijazah daripada Columbia pada 2010.
Menurut satu sumber yang rapat, dakwaan telah dibawa kepada pengetahun Universiti Columbia, namun tidak pasti samada pegawai institusi tersebut telah mengambil tindakan.

Nama Daniyar masih tercatat di dalam direktori alumni institusi tersebut.

Seorang wakil Columbia enggan memberikan sebarang ulasan.

Tuduhan tersebut adalah sebahagian daripada surat saman Bolat terhadap Maira dan anaknya di Mahkamah Tinggi Manhattan, di mana beliau dituduh mengambil kesempatan ke atas kepercayaan beliau untuk merampas Plaza kondo dan dua lagi apartmen bernilai jutaan ringgit di Wall Street.

Bolat berkata beliau mendapati Maira mempunyai beberapa nama samaran – dan beliau dikehendaki oleh Interpol dan pihak berkuasa Kazakhtan untuk jenayah yang meliputi peras ugut dan culikan.

Akan tetapi, Maira, 50 kini menetap bersama anaknya di kondo di The Plaza, yang mempunyai empat bilik, apartmen keluasan 4,000 kaki persegi dilengkapi dengan 3.5 tandas.

Ia telah disenarai sebagai tempat yang berharga sewa US68,000 sebulan.

Beliau tidak dapat dihubungi untuk sebarang ulasan. Apartmen tersebut tidak mempunyai sebarang nombor telefon dan The Post tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan Plaza untuk mengetuk pintu beliau.

Daniyar, bagaimanapun dilaporkan hilang.


(Daniyar bertunang dengan Nooryana Najwa)

Di dalam kertas saman, peguam Bolat berkata mereka sedang mencari beliau di lima negara, termasuk Malaysia di mana beliau dikatakan telah bertunang dengan anak perdana menteri, Nooryana Najwa, kata seorang sumber yang mereka temui di Columbia.

Bolat cuba membeli sebuah apartment di New York pada 2008, dan Maira serta Daniyar telah memperolehi kebenaran daripada beliau untuk membuat perjanjian tanpa kehadiran beliau.

Saman tersebut berkata Daniyar sepatutnya meletakkan nama apartment itu di bawah nama bapa tirinya, tapi menambah nama ibunya bersama.

Lapan bulan selepas itu, ibunya menjual apartment tersebut kepada Daniyar pada harga US1, kata kertas pendakwaan.
------------------------
Berita diterjemah daripada New York Post – bertarikh Jun 11, 2012.



PAS yakin dapat kekal Kelantan

Rizal Tahir, 13 Jun 2012
KUBANG KERIAN: Biarpun PAS berhadapan dengan pelbagai tentangan sengit dengan isu pengundi hantu, BR1M dan lain-lain lagi, namun PAS Kelantan ‘optimis’ parti itu akan dapat mempertahankan kemenangannya Pada PRU13.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar), berkata kenyataannya sebelum ini yang membayangkan beberapa kerusi PAS akan jatuh di negeri itu hanya ‘motivasi’ untuk jentera parti akan lebih aktif.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semalam bagi mengulas kenyataannya sebelum ini yang ‘membayangkan’ beberapa kerusi PAS akan jatuh pada pihak lawan sekiranya tidak mempertingkatkan usaha perjuangan lebih berganda.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Maahad Ar-Rahmah Kenali, serta perasmian bangunan baru sekolah berkenaan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada majlis itu juga, hampir 50 pelajar cemerlang menerima cenderahati dari pihak sekolah oleh Nik Amar yang mewakili Tuan Guru.

Amar seterusnya memberitahu, mengikut kajian yang dibuat PAS berpeluang mengekalkan kemenangannya memandangkan kerajaan negeri sentiasa melaksanakan kebajikan untuk rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan pihak lawan sentiasa berusaha untuk menawan negeri ini mengikut cara mereka.

Menyentuh tentang kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ibrahim Tuan Man, yang mencadangkan haji ditangguhkan tahun ini kerana ‘rahsia’ pilihanraya umum belum diketahui hanya bersifat peribadi.

Bagaimanapun, katanya ibadat haji memang boleh ditangguh tidak seperti solat yang wajib dilakukan hari itu dan waktu itu juga.

“Walaupun ibadat haji wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, tetapi ianya boleh ditangguhkan,”ujarnya.

Anda belum mendapat zuriat, ada ubatnya

Salmah Mat Husain, 13 Jun 2012
KOTA BHARU: Pasangan yang telah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan zuriat berpeluang untuk mendapatkan ‘ubat’ yang dihasilkan oleh perubatan negara Iran yang diakui antara yang terhebat dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar), berkata golongan berkenaan berpeluang mendapatkannya di samping khidmat nasihat sempena Ekspo Perdagangan Dunia Islam Berasaskan Dinar Dirham.

Katanya, majlis ini akan bermula 15 hingga 18 Jun ini bertempat Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, di sini bermula 10.00 pagi hingga 11.30 malam.

Husam memberitahu, sebanyak 10 buah negara akan mengambil bahagian dalam pameran berkenaan antaranya, Iran, Uzbekistan, Khazastan, mesir, Taiwan, China, Brunei Darussalam, Thailand dan Indonesia.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan merasmikan majlis berkenaan pada 15 Jun ini jam 9.00 malam.

Beliau turut memberitahu, dengan adanya ekspo bertaraf dunia ini, Kelantan bakal menjadi ‘jambatan’ penghubung antara dunia-dunia luar untuk peluang ekonomi.

“Rakyat Kelantan khususnya usahawan dapat menjadikan ekspo ini sebagai platform untuk mereka terus memajukan ekonomi dalam bidang perniagaan,”ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini sebentar tadi.

Husam seterusnya berkata, pelbagai program menarik telah diatur sepanjang ekspo terbabit, antaranya ’ The Best Wall Ice-cream’ produk Iran yang telah diiktiraf dunia sebagai ice-cream tersedap.

Selain itu, seorang ‘hafiz genius’ dari Iran berusia 10 tahun akan menunjukkan kemahirannya dalam membaca al-Quran disamping menerima ‘uji’ bakatnya.

“Hafiz ini mampu membaca surah yang diminta oleh sesiapa sahaja disamping membaca al-Quran secara terbalik,”ujarnya.

Katanya, sebanyak 12 booth antarabangsa disediakan untuk memudahkan orang ramai mengunjunginya bagi menikmati juadah istimewa dari 10 negara terbabit.

Katanya, Iran sahaja akan membawa 60 syarikat pengeluar dari negara berkenaan termasuk pengusaha motosikal yang mampu menawarkan harga murah.


(Antara barangan yang bakal dipamirkan adalah motor dari Iran)

Katanya, pameran ini juga turut menerima tempahan dari orang ramai.
“Pada masa yang sama syarikat berkenaan akan membuka kilang pemasangannya sendiri di negeri ini untuk kepentingan masa panjang,”ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu, antara acara menarik yang akan menemui pengunjung, kebudayaan Islam, pameran kaligrafi Islam, Konvensyen  Halal Sedunia, tayangan filem Islam, animasi dan lain-lain lagi turut diadakan.

SPR diminta reaksi cadangan PSC

Muhammad Faizal, 13 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook (gambar) melahirkan kekecewaan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga sekarang belum memberi reaksi sepenuhnya terhadap laporan yang dikeluarkan oleh PSC sebelum ini.

Beliau menjelaskan tempoh tiga bulan yang diberikan kepada SPR akan tamat pada 2 Julai nanti namun SPR tetap berdiam diri tanpa sebarang respons.

"SPR sehingga sekarang masih berada di bawah pencapaian di mana tempoh yang ditetapkan oleh PSC untuk tiga bulan memberi maklumat terhadap cadangan tersebut masih tidak ada apa-apa perkembangan.

"Apakah yang berlaku di dalam SPR dan juga cadangan yang dibuat, kita mahu penjelasan segera dari SPR," jelasnya.

Sebelum itu beliau menyatakan pindaan terhadap Peraturan 7 di bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuatkuasa pada 30 April memansuhkan peruntukan undang-undang membenarkan bantahan terhadap kertas penamaan semasa hari penamaan calon bagi suatu pilihan raya.

"Ini merupakan perubahan yang besar dan apa yang ingin saya tegaskan adalah jika terdapat sebarang masalah teknikal berhubung dengan kesalahan alamat mahupun tidak menandatangani borang pencalonan SPR tidak boleh menolak kertas pencalonan tersebut.

"SPR hanya berhak menolak kertas-kertas pencalonan apabila seseorang calon itu telah melanggar akta di dalam Perlembagaan seperti muflis, tidak cukup 21 tahun mahupun telah dijatuhkan hukuman melebihi setahun oleh mahkamah," jelasnya pada sidang media di Parlimen.

Tambahnya lagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya mesti menjalankan tugasnya mengikut ruang lingkup yang telah ditetapkan bukannya di luar batasan.

"Kita tidak mahu mereka yang dilantik bertindak diluar batas tugas yang ditetapkan," sambungnya.

Menjawab kepada pertanyaan yang dikemukakan oleh Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan dengan syor yang dicadangkan oleh PSC, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu dari 32 cadangan PSC hanya 10 usul yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 1 Disember 2011.

Antara yang diluluskan dan akan dilaksanakan pada PRU13 nanti adalah penggunaan dakwat kekal.

 


Tiada ulasan: