Rabu, 13 Jun 2012

TU PUN JIKA SEMPAT TUA...KALAU SEMPAT TUA BIAR TUA YANG TAKWA SERTA BERJIHAD KEJALAN ALLAH...JANGAN SANGKA JAHAT PADA ISLAM...JANGAN JAHIL AGAMA...JANGAN BUAT MUNGKAR LEBIH BANYAK DARI AMAL SOLEH...LAGI TERUK PANJANG UMUR TAPI TAK SOLAT.....

Pas mahu jaminan PM tiada PRU musim haji
Wartawan Sinar Harian
13 Jun 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Pas mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya umum pada musim haji tahun ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jemaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi.

"Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Malah kata beliau, selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu.

"Kalau mereka sebagai pengundi tidak seberat tekanan sekiranya dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihan raya. Tambahan pula, seandainya pilihan raya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi," katanya lagi.
MB Selangor: Kita sedia beri pendidikan percuma
Wartawan Sinar Harian
13 Jun 2012
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi gambaran awal bahawa usaha melaksanakan pendidikan percuma di negeri ini mampu dilakukan di Universiti Selangor (Unisel), dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan cadangan menggunakan peruntukkan RM30 juta daripada penjualan tanah miliknya untuk membantu pentadbiran Unisel.

"Saya akan buat beberapa pengumuman berhubung perkembangan Unisel setelah mengadakan mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah tidak lama lagi.

"Dalam pertemuan itu, kita akan diberi penerangan dari segi jumlah pelajar dan status pentadbiran universiti," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Air Selangor 2012, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengesahkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkenaan cadangan menggunakan wang RM30 juta itu untuk merintis program pendidikan percuma di Selangor.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengambil keputusan mencairkan aset Unisel sebagai langkah membantu pelajar yang dibekukan dari menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Unisel dijangka akan mengapungkan tanah miliknya seluas 200 hektar untuk membantu pelajar yang dalam kesukaran bagi meneruskan pengajian di universiti tersebut.

Walau bagaimanapun, pembekuan pinjaman PTPTN itu telah ditarik balik 8 Jun lalu, setelah timbul pelbagai reaksi bantahan dari pelbagai pihak terhadap tindakan pembekuan tersebut.
Pas Johor: Sasaran sama, rugi jika tak bersama PR
AZLINA OTHMAN
13 Jun 2012
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed
SENAI – Pas Johor menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang meramal Pas akan mengalami kerugian besar berbanding DAP sekiranya meneruskan pakatan bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), umpama menyindir diri sendiri.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, sebaliknya Pas pula yang akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak bersama DAP dan PKR disebabkan mereka mempunyai pemahaman politik yang sama.

Menurutnya, mereka tetap akan berjuang di bawah landasan Pakatan Rakyat (PR) serta sudah mengikat janji dan semangat setiakawan untuk berjuang habis-habisan pada PRU akan datang.

“Kami khuatir, situasi ini berlaku sebaliknya. Ini kerana sokongan masyarakat Tionghua dan India dilihat semakin beralih arah kepada DAP dan PKR. Tidak seperti dahulu, mereka mungkin menyebelahi MCA atau MIC di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang pasti, Pas bukanlah kuda suruhan DAP. Motif perjuangan kami adalah sama. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini umpama menyindir diri mereka sendiri sahaja. Bahkan, kami sebenarnya sudah sangat bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat berkata, kenyataan itu membayangkan Umno seperti 'pukul anak sindir menantu'.

Ini kerana katanya, perpecahan serius sebenarnya bukan berlaku dalam PR, sebaliknya situasi itu berlaku dalam kalangan kepimpinan Umno di negeri ini sendiri.

Menurutnya, perpecahan Umno di peringkat bahagian tertentu sangat serius sehingga sukar untuk kepimpinan Umno meletakkan calon dalam PRU akan datang termasuk calon Menteri Besar Johor daripada BN.

“Kesan kepada perpecahan Umno Johor ini telah menyebabkan kepimpinan Umno terpaksa membuat lawatan di setiap Bahagian lebih daripada sekali untuk membuat persiapan PRU. Keadaan ini tidak pernah berlaku pada PRU sebelum ini di sini.

“Salah satu punca kenapa Parlimen belum dibubarkan kerana ketidakyakinan Umno mengekalkan kemenangan di Johor seperti sebelum ini.  Terdapat sembilan kerusi Parlimen BN yang panas di Johor dan semakin hari semakin banyak kerusi bilangan Parlimen yang panas.

“Walau bagaimanapun, keprihatinan Dr Puad Zarkashi terhadap Pas yang mahu menubuhkan kerajaan bersama PR di Johor adalah sesuatu yang membanggakan. Ini memberi gambaran bahawa dalam hati Dr Puad Zarkashi sudah ada sinar cahaya Pas, sebuah parti yang pernah dianggotainya suatu masa dahulu,” katanya.
'KJ boleh jadi PM pada hari tua'
Wartawan Sinar Harian
13 Jun 2012
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin
SHAH ALAM - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengingatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya bertindak bijak untuk memastikan peluangnya menjadi perdana menteri pada masa depan tidak  terjejas.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata, Khairy telah melakukan kesilapan di tangga awal pendakiannya, namun diberi peluang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mengamalkan politik balas dendam.

"Khairy dan beberapa orang rakannya tidak dapat membasuh tangan, bahawa percaturan politik mereka telah memberikan sumbangan ke arah ketidak setabilan politik dalam parti dan juga keruntuhankepada asas-asas ikatan perpaduan negara yang diletakkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan diperkukuh serta digemilangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," tulis dalam entri blognya, www. zamkata.blogspot.com yang bertajuk,  Khairy boleh jadi PM pada hari tua, semalam.

Menurutnya, dalam beberapa hal, percaturan ini dilanjutkan sehingga selepas Tsunami 2008, yang menampakkan ada usaha untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke dalam Umno sehingga ke peringkat membawa pasport antarabangsa kepadanya untuk berubat patah tengkuk di luar negara. "Tetapi ternyata Khairy salah membaca sikap orang Umno," tulis Zam.

Dalam menghadapi pilihan raya 2008, sesetengah media menjadi alat kepada memecahbelahkan Umno dan asas ketatanegaraan dengan laporan negatif terhadap orang yang tidak disukai oleh bakal pemimpin muda.

"Yang paling  menyedihkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dihina dan diperkecil dalam keadaan dia sakit, pada hal dia berjasa besar kerana pulihkan kekuatan BN di Kedah." Zam menulis, berita-berita sensitif yang  menyakitkan hati orang Melayu dan Islam dipermainkan dengan bebas oleh media berkenaan.

"Sorak megah pilihan raya 2004 berakhir dengan kehilangan maruah pada 2008 kerana kesombongan dan keegoan beberapa orang muda yang 'berkuasa'. Apabila saya buat kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia dan Sinar Harian, bahawa Tsunami 2008 menggagalkan cita-cita pemimpin muda dalam Umno untuk mengambil alih kuasa, salah seorang dari tingkat 4 telah menelefon dan memarahi Utusan," kata Zam.

Menurutnya, terlalu banyak kesilapan Khairy dan rakan-rakannya untuk diceritakan semula, tetapi ini bukanlah masanya.

"Ini adalah masa untuk lebih memfokuskan kepada pemulihan perpaduan dan seperti kata Tun Dr Mahathir, walaupun dia tidak suka seseorang calon, tetapi jika itu pilihan parti, maka dia akan mengundinya.

"Demikianlah juga dengan Khairy, sekalipun dosanya terlalu besar kepada keruntuhan asas-asas perpaduan negara kerana idealismenya dan kerana nafsu politiknya, tetapi Khairy harus diberikan kesempatan untuk memperbaiki kesilapannya, dan dia sedang melakukan ini sekarang. Kesempatan ini diberikan oleh Datuk Seri Najib yang memahami erti politik dan tidak ada perasaan membalas dendam, sekalipun usaha untuk mencegah kenaikannya, dilakukan sehingga saat terakhir," katanya.

Zam mengakui, Khairy kembali menyerlah kerana kegigihannya. "Bakat dan karisma politiknya terserlah," kata beliau.
Pisahkan sedikit dasar kerajaan dari dasar parti
DR ISMAIL IBRAHIM
13 Jun 2012
KERAJAAN Pusat atau Negeri haruslah berusaha memisahkan sesuatu tindakan yang berbau politik kepartian yang dilaksanakan untuk rakyatnya. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini rasanya telah melakukan satu tindakan yang bercampur aduk dengan sentimen politik kepartian, ketika menahan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel kerana membantah dasar pihak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang telah menjalankan kempen politik untuk memansuhkan skim pinjaman PTPTN sekiranya berjaya menawan Putrajaya, dan Unisel adalah Universiti Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Hari ini nampaknya Kerajaan Negeri Selangor juga  akan mengambil tindakan yang hampir serupa apabila seorang anggota Exco Kerajaan Selangor mengeluarkan pandangannya bahawa Kerajaan Selangor mungkin boleh membantu pelajar UiTM yang digantung pengajiannya selama tiga semester iaitu pelajarnya yang bernama Khalid Ismath, yang telah mengambil bahagian dalam satu aktiviti yang dikatakan melanggar undang-undang sedangkan tindakan pelajar tersebut pada pandangan kerajaan PR adalah sesuai dengan dasar  Kerajaan PR yang  mendokong aktiviti itu.

Bagaimanapun KPT telah membetulkan tindakannya iaitu bersetuju meneruskan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel dan tindakan ini saya rasa wajar kerana para pelajar itu adalah rakyat negara ini yang seharusnya diberikan layanan yang sama dengan para pelajar lain.

Oleh itu saya rasa amat tidak wajar Kerajaan Selangor atas nama Kerajaan juga mengambil tindakan untuk membela pelajar yang berkenaan, dan memberikan bantuan atas nama kerajaan kepada pelajar yang diambil tindakan disiplin oleh institusi tempat pengajiannya atas dasar yang termaklum sedangkan Kerajaan Selangor merasakan wajar membantunya kerana pelajar ini seolah-olah telah bertindak mengikut matlamat yang sama dengan tindakan yang didokong PR.

Saya pernah menulis dalam blog ini bahawa rakyat yang matang dan sedar akan kedudukannya sebagai rakyat, seharusnya tahu membezakan di antara dasar parti politik dan peranan kerajaan. Kerajaan menjalankan dasarnya yang adil kepada semua rakyat tanpa diskriminasi. Parti politik sememangnya akan bertindak untuk ahli-ahlinya sendiri, termasuk membela yang bersalah, yang tidak berdisiplin dan sebagainya.

Kalau seorang pelajar yang didapati bersalah oleh sebuah IPT kerana melanggar disiplin, maka tidak seharusnya sebuah kerajaan akan membelanya atas nama kerajaan tetapi mungkin boleh membelanya atas nama parti politik.

Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah tempoh hari yang mengambil tindakan ke atas para pelajar IPT Kerajaan Kedah iaitu Kolej Universiti Insaniah kerana para pelajar itu telah melanggar disiplin, malah MB bertegas mempertahankan disiplin dan peraturan IPT  tersebut, bukan dasar parti pemerintah kerajaan Negeri.

Tindakan yang bercampur aduk seperti yang saya sebutkan di atas itulah yang nampaknya menjadi budaya pemikiran kita di negara ini sehinggakan seorang rakyat yang didapati bersalah oleh undang-undang negara, maka kita atas nama parti politik akan bermati-matian mengatakan dia tidak bersalah, pada hal yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang tetaplah bersalah, walau sebesar mana sekali pun pangkat dan kedudukannya kerana ia diadili atas nama peribadinya sebagai rakyat negara ini.

Oleh itu kita haruslah segera sedar akan keadaan yang sebenar dan menimbang sesuatu tindakan kita itu secara rasional dan objektif, bukan dengan pandangan yang sempit, taksub dan radikal.

Saya rasa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan pemberian wang Bantuan Rakyat 1M kepada rakyat dan pelajar merupakan satu tindakan Perdana Menteri yang tidak mengira ideologi politik penerimanya. Demikian juga bantuan lain kepada sekolah, tempat ibadah dan sebagainya, semuanya dilakukan tanpa mengira keturunan kaum dan agama, iaitu satu tindakan untuk rakyat semua. Namun begitu hal ini pun sering dipolitikkan oleh ramai pihak yang hanya memandang segala-galanya melalui kaca mata politik partisan, yang seharusnya tidak timbul sama sekali dalam masyarakat demokrasi berbilang kaum dan agama ini.

Oleh itu dalam kuat kuasa undang-undang dan peraturan IPT umpamanya, kita haruslah rasional dalam tindakan kita, bezakan diantara politik kepartian dan kedudukan seseorang itu dari segi undang-undang negara dan peraturan yang tertentu. Mahkamah mempunyai banyak peringkat, boleh rayu dan bawa ke peringkat penghakiman yang lebih tinggi, sekiranya bersalah juga pada akhirnya, maka bersalahlah, jangan pula menuduh sistem kehakiman begitu dan begini mengikut selera dan kehendak kita.

Bacalah juga entri saya tidak lama dulu dalam blog ini tentang amaran Rasulullah SAW bahawa baginda akan mengambil tindakan ke atas sesiapa saja yang bersalah dan menghukumnya, walau pun yang melakukan kesalahan itu ialah puteeri baginda sendiri!

Kita sering berbicara tentang agama dan ajarannya, tetapi kadang-kadang kita tidak memahami falsafahnya yang adil dan saksama. Kita lebih mementingkan politik fanatik dan berat sebelah, pendek akal budi.


* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim
MB: Selangor teruskan langkah susun industri air
Nurul Aini Mohamed Ali
12 Jun 2012
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas Kerajaan Negeri akan meneruskan pendekatan menyusun semula industri perkhidmatan air, yang akan membatalkan perjanjian Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Langkah itu tetap membatalkan perjanjian di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air  walaupun mendapat tentangan daripada Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menurutnya, jika Syabas berdegil, beliau bercadang untuk merujuk perkara ini ke peringkat kerajaan persekutuan.

“Kita tidak  mahu meneruskan perjanjian yang dibuat bersama syarikat konsesi ini yang ditandatangani kerana dalam Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006), ia boleh dirombak dan digantikan.

"Jadi penyusunan atau penstrukturan air di negeri Selangor ini boleh diubah,” kata beliau selepas Forum Air 2012 di sini, hari ini.

Katanya, dasar penstrukturan semula akan memastikan industri perkhidmatan air akan diuruskan secara holistik melalui sebuah syarikat yang dimiliki atau di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

“Ini bagi menjamin pengguna membayar kadar tarif air yang munasabah,” tambah beliau.

Beliau menambah, semakan awal terhadap bayaran jualan pukal dan bayaran kapasiti yang dituntut pemegang konsesi sedia ada menunjukkan mereka mengaut keuntungan dan pulangan yang tinggi berbanding kos pembangunan, cukai dan faedah institusi kewangan.

“Jika mereka tidak setuju dan terus bertegas untuk menerima cadangan daripada Kerajaan Negeri Selangor, saya akan bawa perkara ini ke peringkat kerajaan persekutuan.

"Mengikut Akta 655, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mesti sama-sama bersetuju member kata putus untuk menyelesaikan isu ini,” tambah beliau.

Beliau turut menambah yang penstrukturan air ini akan memastikan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak akan dikenakan kenaikan harga air seperti dalam perjanjian dengan Syabas iaitu kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dari tahun 2009 hingga 2012, harga tarif air akan dinaikkan.

“Walaupun terdapat kenaikan kadar penduduk dan permintaan air semakin tinggi, jika penstrukturan air ini dapat dijalankan dengan baik, masalah kekurangan air di negeri ini dapat dihindari supaya tidak memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Mengikut perjanjian bertarikh 15 Disember 2004, di antara kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Selangor dan Syabas, ia diberikan konsesi selama 30 tahun yang hanya akan berakahir tahun 2034 untuk membeli air terawat daripada operator rawatan air dan membekalkannya ke kawasan pengagihan.
PRU13 tetap guna dakwat kekal

12 Jun 2012
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR - Penggunaan dakwat kekal tetap dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Kesalahan Pilihan Raya 2012 telah ditarik semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat kekal adalah selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan 13 Feb lepas dan berkuat kuasa pada 15 Feb.

"Penggunaan dakwat kekal adalah terpakai bagi semua pengundi yang akan mengundi pada hari diadakan pengundian awal dan hari pengundian biasa.

"Kecuali pengundi yang akan mengundi secara pos berdasarkan kepada peruntukan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) berhubung penggunaan dakwat kekal selepas penarikan balik Rang Undang-undang Kesalahan Pilihanraya (Pindaan) 2012.

Rang undang-undang itu dibentangkan pada 9 April lepas bagi menambah baik proses pengundian, termasuk menjauhkan lagi tempat menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi dari 50 meter kepada 100 meter, kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu pada 19 April lepas, namun ia ditarik balik semalam setelah kerajaan berbincang dengan pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya. - Bernama

 

 

Tiada ulasan: