Rabu, 13 Jun 2012

KEBAIKAN MULA DITONJOLKAN...KEBURUKAN DAN KEJAHATAN WALAUPUN CUBA DITUTUP...BERITA BURUK TERUS KELUAR MEMANCUT MACAM MUNTAH...NI HUKUM DAN TAKDIR ALLAH...BILA KITA KETEPIKAN SYARIAT ALLAH SWT.....

RM100 juta wang kebajikan peneroka dipotong

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dianggarkan sebanyak RM100 juta bantuan kebajikan kepada peneroka akan dipotong selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR Wong Chen berkata pada 2011, Felda telah membelanjakan RM424 juta untuk peneroka.

Walau bagaimanapun, bagi tahun 2012 Felda bercadang untuk memotong belajawan untuk peneroka ke RM326 juta.

Pemotongan itu katanya disebabkan kesan langsung dari pajakan tanah kepada FGVH yang menyebabkan pendapatan Felda menurun.

"Pada tahun 2011, pendapatan Felda mencecah RM2.5 bilion tetapi selepas tanah dipajak (kepada FGVH), pendapatan 2012 dijangka turun ke RM900 juta sahaja, pendapatan jatuh 64%.

"Oleh kerana pendapatan Felda jatuh teruk, maka kebajikan peneroka dipotong sebanyak RM100 juta," katanya.

Kebimbangan serupa sebelum ini turut dibangkitkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diketuai Mazlan Aliman.

Selama ini, peneroka menerima bantuan kebajikan dalam bentuk infrastruktur jalan, masjid, padang bola, perumahan, pendidikan, insentif Hari Raya dan insurans.

Bagaimanapun nilainya didakwa akan dipotong selepas penyenaraian nanti.

Butir-butir potongan adalah seperti berikut:

• Pembangunan Infrastruktur dikurangkan sebanyak 57%.

• Pembangunan Belia dan Generasi Dua dan Ketiga yang dikurangkan sebanyak 27%.

• Insentif Produktiviti untuk Peneroka dikurangkan sebanyak 22%.

• Hari Raya Bonus dikurangkan sebanyak 25%.

• Pelan Insurans bagi peneroka dikurangkan sebanyak 25%.

Menurut Wong Cheng, semua butir-butir tersebut adalah daripada Bajet rasmi Felda 2012 sendiri.

"Pada permulaannya kami telah mendedahkan durian runtuh yang terlalu kecil kepada peneroka, selepas itu pendedahan mengenai peruntukan saham yang memihak kepada bumiputera kaya, kini peneroka sekali lagi ditindas dengan potongan kebajikan RM100 juta," katanya.

DAP, MCA saja berani berdebat

Subky Latif, 12 Jun 2012
PADA 8 Jun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Dr. Chua Soi  Lek berdebat sekali  lagi dalam bahasa Inggeris pula.
Mereka sudah berdebat sekali sebelum ini dalam bahasa Mandarin. Perdebatan itu tidak tersebar luas kerana ia dapat diikuti oleh masyarakat Cina saja. Orang Melayu dan diplomat asing hanya dapat mengikuti dari petikan berita dan terjemahan yang tidak menyeluruh.

Kali ini penduduk Malaysia seluruhnya dan masyarakat Asia Tenggara akan dapat mengikuti perbahasan penting oleh dua tokoh yang mewakili pertubuhan politik yang mewakili masyarakat Cina Malaysia itu.

Debat politik adalah perkembangan penting dalam politik sekarang. Setiap ketua  parti utama di kebanyakan negara demokrasi di dunia wajib menyertai siri debat terutama menjelang pilihan raya.

Dan orang-orang yang hendak menjadi Presiden atau Perdana Menteri mesti berani berdebat di kalayak umum atas apa jua isu yang berbangkit. Tidak lagi ada calon ketua kerajaan atau ketua kerajaan mengelak dari berdebat di depan umum.

Sama ada bersedia atau tidak bersedia calon Perdana Menteri mesti berani berdebat. Tidak ada lagi dalam politik moden Perdana Menteri atau calon Perdana Menteri  takut berdebat.

Bagi yang takut berdebat tidak dikira sebagai calon yang layak jadi Perdana Menteri.

Dalam politik di  Malaysia sekarang orang menunggu bila Perdana Menteri dan Perdana Menteri menunggu sedia berdebat. Anwar Ibrahim yang sudah diumumkan sebagai Perdana Menteri menunggu sudah lama menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan  Perdana Menteri Najib.

Hanya Najib tidak pernah berani untuk menyahut seruan semasa. Najib dikira tidak bernasib baik seperti  Dr. Mahathir dan  Tun Abdullah  Badawi yang tidak pernah dicabar oleh mana-mana  tokoh pembangkang untuk berdebat. Tetapi musim Najib sudah tidak sama lagi. Masa ini calon PM mesti berani berdebat.

Kita hanya dapat melihat debat oleh tokoh muda seperti Rafizi Ramli dari PKR dan Khairy Jamaluddin yang berani berdebat, tetapi masa mereka untuk jadi  Perdana Menteri lewat lagi.

Bagaimana pun yang berani berdebat bila-bila masa ialah pemimpin-pemimpin Cina yang mewakili DAP dan MCA.

Semua tahu bahawa MCA adalah parti Cina zaman lalu, ia dirasakan  sudah tidak ada kekuatan dan kedudukannya dalam Barisan Nasional tidak lagi seperti di zaman Tan Cheng Lock dan Tan Siew Sin, tetapi Dr. Chua Soi Lek dengan serba kelemahan yang ada padanya dia berani untuk berdebat dengan seteru politik yang lebih gagah iaitu  Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Walaupun Guan Eng tahu kelemahan MCA dan ia seperti tinggal  nyawa-nyawa ikan, seolah-olah tidak cukup handal untuk berdebat dengan parti Cina yang terkuat sekarang, tetapi dia bersedia kerana debat itu dapat memberi pelajaran dan pengetahuan kepada kaumnya.

Walaupun mereka mahu mencari keuntungan politik peribadi, tetapi depat tetap ada   risiko baginya. Apa pun yang penting orang ramai  akan dapat mengambil bahan dan pengetahuan yang terbaik dari isi debat itu. Dalam hal masyarakat Cina akan beruntung kerana kedua-dua berani berdebat atas isu kepentingan kaum Cina atau kepentingan rakyat secara umum.

Sekarang yang berani berdebat adalah pemimpin dari kaum Cina. Pemimpin Melayu tidak berani. Rakyat melihat yang berani ialah Cina.

Perdana Menteri Melayu  tidak berani. Macam mana Perdana Menteri  Melayu dapat penghormatan  dan pengiktirafan dari sekalian rakyat khususnya bukan Melayu kalau orang Melayu tidak berani berdebat.

Calon Perdana Menteri  dan Perdana Menteri, bukan saja terdiri dari orang yang berani tetapi adalah orang yang serba boleh dan mampu menghadapi apa jua masalah yang timbul. Maka tiada juang bagi  Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri yang tidak berani untuk menjadi Perdana Menteri.

Pada masa orang membangkitkan isu orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri, maka bakal Perdana Menteri itu mesti berani ke depan.

Jika orang lihat yang berani pemimin DAP  dan MCA saja yang berani, maka bagaimana orang Melayu hendak mempertahankan kedudukan itu sebagai sifatnya orang Melayu  saja. Jangan jadi Perdana Menteri semata-mata kerana tok nenek orang Melayu,  tetapi  jadilah orang Melayu yang berani dan pintar.

Dunia demokrasi yang terbuka orang mahu melihat Melayu yang berani. Maka orang Melayu mestilah  tunjukkan mereka juga berani seperti pemimpin Cina yang ditunjukkan oleh Guan Eng dan Soi  Lek.

Dasar affirmatif harus diteruskan

Negara kita masih memerlukan dasar Affirmatif Action (AA) dan ia tidak boleh dikatakan salah kerana ia juga turut diamalkan di banyak negara, kata penulis ini.
Baru-baru ini saya menghadiri satu forum bertajuk ‘Halatuju Dasar Affirmative Action (AA) di Malaysia’ anjuran Pusat Penyelidikan PAS (PPP) yang diadakan di pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur.

Dua soalan yang diajukan pada sesi tersebut amat menarik perhatian saya di mana ianya membuktikan bahawa masih terdapat salahfaham mengenai dasar ini.

Soalan pertama -yang lebih berbentuk kenyataan - adalah bahawa dasar AA ini telah gagal di Malaysia, dan ianya harus dihapuskan dengan serta merta. Penyoal kedua bertanya mengapa dasar ini harus diteruskan sekiranya ia tidak adil – terutamanya terhadap kaum bukan Melayu – dan turut menyatakan bahawa bahawa dasar ini adalah zalim kerana merompak hak orang lain.

Ramai di kalangan yang hadir termasuk ahli-ahli PAS golongan professional nampaknya bersetuju dengan pandangan beliau. Walaubagaimanapun, kenyataan ini adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta sebenar.

Sebelum pergi lebih jauh lagi, amatlah wajar kita tafsir dan fahami dasar AA ini terlebih dahulu. AA bolehlah diterjemahkan sebagai satu dasar awam yang memberi keutamaan – seperti kemasukan ke universiti, akses kepada kontrak kerajaan, pinjaman dan sebagainya – berlandaskan keahlian di dalam sesuatu kelompok seperti kaum, agama, warna kulit, kerakyatan, lokasi, jantina, umur, dan lain-lain.

Tujuan dasar ini diperkenalkan adalah untuk meningkatkan penyertaan golongan tersebut di dalam golongan pekerja, pedagang ataupun golongan mahasiswa yang masih jauh ketinggalan. Golongan ini tercicir disebabkan dasar diskirminasi di masa lampau ataupun masa kini.

Ia dilaksanakan untuk memberi peluang samarata (equal opportunity) kepada kumpulan-kumpulan terpinggir. Pelbagai instrumen digunakan untuk menjayakan dasar ini; antaranya layanan khas, kuota, penubuhan institusi khusus, pemberian lesen, subsidi, sokongan harga dan lain-lain.

Di negara kita, banyak pihak menyamakan Dasar AA dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tanggapan ini adalah tidak berapa tepat.  AA telah wujud lebih lama dari DEB; malahan ia telah termaktub di dalam perlembagaan (pengkhususan dalam pendidikan, perkhidmatan awam, latihan dan pelesenan).

Sebenarnya, DEB memperluaskan lagi Dasar AA di mana ia merangkumi dasar kemiskinan, dasar pembangunan, perpaduan negara dan pengstukturan semula masyarakat.
Harus diingat bahawa bukanlah Malaysia sahaja yang mengamalkan dasar ini.

Banyak negara maju di Barat telah lama mengamalkan dasar ini. Di Amerika Syarikat, misalnya, dasar tersebut telah digunakan untuk melayakkan golongan kulit hitam, wanita, dan juga orang kurang upaya untuk pemilihan ke universiti dan peluang pekerjaan.

Di Kanada, terdapat layanan istimewa untuk wanita, orang kurang upaya, pribumi dan  kumpulan minoriti. Di Britain, undang-undang yang menghulurkan bantuan kepada golongan minoriti turut dan masih digunapakai.

Di New Zealand pula, pribumi di beri peluang kemasukan ke universiti dengan bantuan biasiswa.

Di Perancis, penduduk luar bandar (banlieu) – terutamanya golongan warga berketurunan Magreb atau French African- di-beri peluang  memasuki universiti yang berprestij (la grand ecole). Di Australia pula undang-undang untuk memudahkan wanita  mendapat  peluang pekerjaan  di sektor awam dipraktikkan. Di Norway terdapat kuota khusus untuk wanita berpeluang menjadi pengarah syarikat utama.

Banyak lagi contoh yang boleh disenaraikan di sini tetapi cukuplah untuk kita ambil maklum bahawa dasar AA bukannya unik di Malaysia; tetapi ia juga telah digunapakai di banyak negara maju yang lain.

Di Malaysia, ramai yang berangapan bahawa Dasar AA - ertinya  DEB- hanya tertumpu kepada kaum Melayu ataupun Bumiputera sahaja. Ini tidak benar sama sekali. Seperti yang dijelaskan di dalam DEB, objektif pertamanya adalah untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Semua kaum menikmati dasar ini.

Objektif kedua pula, iaitu penyusunan semula masyarakat, dikhususkan untuk kaum Bumiputera. Pendekatan berdasarkan kaum tidak dapat dielakkan, jika matlamatnya ialah untuk meningkatkan  bilangan bumiputra  dalam bidang profesional dan pengurusan.

Dasar sebegini juga di guna-pakai di Amerika Syarikat, India, dan banyak lagi negara kerana pelaksanaan yang lebih mudah.

Berbalik kepada perdebatan tersebut, izinkan saya menjawab kenyataan pertama bahawa dasar ini telah gagal. Ini tidak berpaksikan data.

Jika kita semak semula objektif pertama Dasar DEB iaitu untuk membasmi kemiskinan, kita sebenarnya telah berjaya dengan cemerlang. Kadar kemiskinan untuk semua kaum telah menurun dengan ketaranya.

Bagi golongan Melayu, kadar kemiskinan telah menurun dari 65% di tahun 1970 kepada 5.3% di tahun 2009, manakala bagi kaum Cina, kemiskinan kini hampir dilupuskan (26% di tahun 1970 kepada 0.6% pada tahun 2009).

Begitu juga bagi kaum India – kadar kemiskinan kini berada di tahap 2.5% berbanding 40% di tahun 1970. Jadi, amatlah dangkal jika kita berkata dasar ini gagal.

Objektif yang kedua pula ialah penyusunan semula masyarakat. Ia juga telah menunjukkan prestasi yang harus dipuji.

Jika pada tahun 1970, hanya 5% sahaja golongan professional terdiri dari orang Melayu, sekarang ia meningkat kepada 40%. Jika dahulu hanya 4% doktor dan arkitek adalah Melayu, sekarang ini peratusan mereka telah melonjak kepada 60%. Lonjakan tersebut amatlah menakjubkan.

Jadi di mana gagalnya dasar ini? Jangan kita lupa, tanpa dasar ini, tidak akan lahir ramai graduan, golongan profesional dan kelas menengah Melayu/Islam. Harus diingat, sebelum dasar ini diperkenalkan, penglibatan kaum Melayu ataupun Muslim amatlah terhad sekali, bahkan memalukan.

Jika dilihat data graduan Universiti Malaya sebelum DEB diperkenalkan, bilangan Melayu yang lulus dari tahun 1959-1970 amatlah menyedihkan.
Dalam tempoh 11 tahun tersebut, hanya ada 41 graduan Melayu dari Fakulti Kejuruteraan, 69 orang dari Fakulti Sains dan 12 orang dari Fakulti Perubatan. Bandingkan dengan komposisi golongan profesional seperti yang dihuraikan di atas. Adakah ia gagal? Jawapannya jelas – tidak sama sekali.

Persoalan kedua bahawa Dasar ini ‘zalim’ kerana ia merompak hak orang lain juga kurang tepat malah menafikan kebenaran. Jika kita lihat penguasaan korporat, tidak ada kemerosotan pegangan kaum bukan Bumiputera.

Yang berkurang adalah pegangan kaum asing berbanding waktu dasar ini dilaksanakan [1970-1990].

Harus kita ingat bahawa Dasar DEB adalah berdasarkan “expanding economic pie’’ dan bukannya melalui ‘rob peter to pay paul’ ataupun seperti kisah Robin Hood.

Data menunjukkan bahawa terdapat peningkatan pegangan ekuti bagi golongan bukan Melayu dari tempoh 1970-1990; peningkatan dari 34% kepada 47%.

Perkembangan pendapatan juga adalah positif dalam tempoh waktu tersebut untuk kaum bukan Melayu. Pegangan aset-aset yang lain juga meningkat. Jadi di manakah asas bahawasanya dasar tersebut merompak hak orang lain? Di mana ‘tak adilnya’ dasar ini?

Kesimpulannya dasar ini telah berjaya walaupun harus diakui ada berberapa perkara yang mesti diperbaiki. Tetapi untuk mendakwa bahawa ia gagal dan zalim, adalah salah dan tidak berasaskan fakta. Justeru, dasar ini harus diteruskan, tetapi wajib diubahsuai untuk mencapai  tahap yang lebih tinggi.

Pengubahsuaian dasar berkenaan haruslah dilaksanakan supaya hanya golongan yang memerlukan sahaja menerima faedahnya dan bukannya digunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dengan gelojohnya – terutamanya oleh individu Melayu [dan juga bukan-Melayu] yang sudahpun kaya-raya.

Dasar ini juga haruslah bersifat sementara, lebih fokus, dan harus dipantau dari masa ke semasa. Sebagai permulaan, institusi-institusi Bumiputera seperti PNB, MARA dan lain-lain harus diperkasakan lagi.

Ketidakseimbangan pemilikan dan diskriminasi di sektor swasta juga haruslah dibincangkan dan dirongkai pada masa yang sama.

Harus dinyatakan disini bahawa menghapuskan sama sekali dasar ini bukanlah tindakan yang bijak.

Malahan ianya akan membawa bencana dari segi politik, sosial, mahupun ekonomi sepertimana yang kita dapat saksikan berlaku di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat dewasa ini.

Dasar-dasar yang lain seperti Need-based, Class-based, Merit-based dan Market-friendly  adalah dasar sokongan dan bukan pengganti untuk DEB. Amatlah malang sekali apabila dasar pengganti seperti yang dicadangkan oleh pihak BN mahupun PR adalah diragukan, pincang dan tidak konsisten.

Harus diingat bahawa masyarakat egalitarian selalunya lebih berjaya dari segi rohani dan jasmani. United Nations, IMF, dan ADB turut menyarankan supaya pembangunan dan prinsip keadilan undang-undang yang berpaksikan keseimbangan masyarakat haruslah diutamakan.

Ia bukannya kisah dongeng tetapi telah diakui dan diperingatkan kepada kita melalui tulisan-tulisan pemikir agung seperti Plato, Aristotle dan Ibnu Khaldun.

Kesimpulannya, dasar AA seperti DEB adalah dasar yang betul, masih relevan dan diperlukan. Amatlah malangnya sekiranya kita melupuskan dasar ini tanpa melakukan pembaikan terlebih dahulu. Jika ia berlaku, itulah namanya zalim.

----------------------------
Dr. Awang Hitam merupakan nom-de-plume penulis. 


Tanah rizab Melayu dimiliki keluarga pemimpin MCA

M Faqih | Foto Rizal Tahir, 12 Jun 2012
KOTA BHARU: Lot 305 Seksyen 1 Bandar Tumpat merupakan tanah rizab Melayu, tetapi anehnya mengapa pula dalam geran tertera nama bekas pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong.

Sedangkan kawasan itu diduduki penduduk Melayu sebelum air bah merah (sekitar 1925) iaitu ketika Kelantan berada di bawah pemerintahan Siam.

Namun generasi ketiga yang mendiami lot berkenaan sekarang diarah berpindah kerana cucu kepada Chow Yong dikatakan mahu membangunkan kawasan itu.

Inilah nasib yang menimpa 39 penduduk Kampung Masjid yang terletak di tengah-tengah pekan Tumpat. Di situlah mereka membesar dan menumpang berteduh dengan membina kediaman sendiri.

Dan setiap tahun sejak belum merdeka mereka membayar sewa sebanyak RM1 kepada wakil tuan tanah. Bayaran akhir pada 2007 antara RM10 hingga RM70 setahun, bergantung kepada saiz rumah.

Resit bayaran sewa itu masih disimpan sehingga ke hari ini, sebagai bukti mereka dibenarkan menumpang di atas tanah berkenaan.

Pada Mac lalu mereka menerima surat peguam yang mengarah mengosongkan tanah tersebut, tanpa sebarang perbincangan dibuat.

Jurucakap kumpulan penduduk terbabit, Azizah Ibrahim, 57 memberitahu penduduk begitu hairan tanah yang mereka duduki sejak berpuluh tahun lalu boleh bertukar menjadi milik pemimpin politik MCA.

“Datuk nenek kami memberitahu kalau hendak baiki rumah kena minta izin dengan tuan tanah dahulu. Begitu juga kalau hendak tebang pokok kelapa kena bayar antara RM50 hingga RM100 sebatang sebagai ganti rugi.

“Saya difahamkan lot 305 dikeluarkan geran atas nama Foo Chow Yong pada 1981 di atas tanah rezab Melayu yang didiami penduduk Melayu,” katanya ketika ditemui selepas berbincang masalah tersebut di pejabat peguam Hisham Fauzi di sini petang semalam.

Beliau bersama 38 lagi pemilik rumah di lot 305 datang beramai-ramai bagi menandatangani surat pelantikan peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.

Pada 1981 Kelantan diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN). Ada penduduk merumuskan geran dikeluarkan dengan mudah kepada pemimpin MCA terbabit kerana beliau juga merupakan anggota Exco kerajaan negeri ketika itu.

Semasa pilihanraya awal 1980-an, Chow Yong calon tunggal MCA menang di kerusi DUN Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Difahamkan dengan kedudukan sebagai wakil rakyat memudahkan pemimpin terbabit mengambil kesempatan memiliki tanah diduduki penduduk kampung.

Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kemungkinan pemimpin terbabit menggunakan kedudukannya sebagai anggota Exco mendapatkan tanah bagi kepentingan peribadi dan keluarga tidak dapat dinafikan.

Azizah juga berharap kerajaan negeri dan pihak istana campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana kehidupan mereka terumbang ambing sekarang.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Tiada pilihan raya musim haji, selesai masalah

Anis Nazri, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan tidak akan membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-13 pada musim haji tahun ini.

Ia bagi memastikan jemaah haji yang terpilih dapat menunaikan ibadah haji dengan lebih tenang dan selesa, tanpa dipinggirkan hak mereka untuk mengundi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Perdana Menteri sepatutnya boleh mengumumkan tarikh pilihan raya dan tidak perlu berteka-teki kepada rakyat.

"Kita mahukan jaminan Perdana Menteri agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji tahun ini. Sebaik-baiknya kerajaan elak untuk adakan pada tarikh tersebut," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan arahan penangguhan untuk menunaikan haji yang dikeluarkan sebelum ini khusus kepada ahli-ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan jentera parti, bukannya kepada semua ahli.

Katanya, arahan itu lebih tertumpu kepada calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menegaskan bahawa menjatuhkan kerajaan yang penuh rasuah dan zalim juga merupakan satu kewajipan kepada umat Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, turut menyokong desakan Tuan Ibrahim agar kerajaan memberi jaminan agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji.

"Terpulang kepada Najib untuk menetapkan bila tarikh pilihan raya.  Tapi kita mohon jaminan daripada beliau supaya ia tidak diadakan pada musim haji.  Selesai masalah," komen ringkas beliau, hari ini.

Ini, tegasnya bagi membolehkan para pengundi yang beragama Islam menunaikan hak mereka di dalam sistem demokrasi.

Apa agenda Kosmo mainkan isu WWW1?

Salmiyah Harun, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Perak tidak menolak ada agenda pihak tertentu yang cuba mengaibkan Sultan Johor melalui laporan dan sindiran berhubung bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang disiarkan dalam akhbar Kosmo.

Ketuanya Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata, isu bidaan mula disensasikan oleh akhbar terbabit sejak 8 April lalu.

Akhbar itu menyiarkan laporan yang bertajuk 'sanggupkah anda bayar RM500 ribu untuk plat ini?'

Tambahnya akhbar berkenaan sudah mensensasikan isu itu sebelum dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada 25 Mei Kosmo telah melaporkan nombor kenderaan berkenaan telah dibida dan keluaran itu juga akhbar itu secara sinis telah menggambarkan nilai bidaan sebanyak RM520,000 dengan membuat pelbagai bandingan.

Seterusnya, pada 28 Mei pula Kosmo sekali lagi di ruangan karikatur telah membincangkan tentang bidaan plat kenderaan berkenaan.

Namun, katanya pada hari yang sama kira-kira jam 4.07 petang dimana Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin memberi pandangan berhubung bidaan itu melalui 'tweeter'nya.

Nizar di dalam 'tweeternya' berkata, "RM520k boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah pprt".

29 Mei sekali lagi akhbar Kosmo mengesahkan Sultan Johor pemilik WWW 1 dan meletakkan gambar sebuah kereta mewah di muka depan akhbar itu.

Bagaimanapun, jelas Raja Ahmad, satu kekeliruan berlaku apabila pada 30 Mei Sultan Johor mempertahankan bidaannya itu tetapi dalam akhbar Kosmo keluaran yang sama sekali lagi menyiarkan karikatur berbentuk sindiran.

Namun, Kosmo pada keluaran 31 Mei cuba melagakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dengan Sultan Johor apabila mengeluarkan berita di muka depan bertajuk Mohammad Nizar kritik Sultan Johor berhubung plat WWW 1 disiasat.

Jelas Raja Iskandar, ekoran itu Pemuda PAS Perak telah membuat laporan polis berhubung laporan akhbar pada 4 Jun lalu malangnya sehingga kini Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil tindakan terhadap akhbar terbabit.

"Saya lihat ada tindakan pilih kasih. Dan saya tidak menolak ada agenda tertentu oleh akhbar terbabit yang mempertikaikan isu bidaan," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini.

“Kenapa pada tahun 2010 isu bidaan plat ini yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?" soalnya.

Beliau hairan apakah agenda kementerian mendedahkan isu yang membabitkan Sultan Johor ini.

“Di mana Pemuda Umno dan Perkasa yang lantang bercakap tentang isu ini. Sebenarnya Pemuda Umno berbohong kepada rakyat Johor dan Sultan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Justeru, beliau sedia menyerahkan bukti-bukti laporan akhbar berkenaan yang jelas mempertikaikan bidaan nombor itu.

Bekas ADUN Umno: Rakyat NS tolak Mohamad

Harakahdaily, 12 Jun 2012
REMBAU: Negeri Sembilan dalam bahaya jika BN masih mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) bertanding dalam pilihan raya umum 13.

“Rakyat Negeri Sembilan mengatakan mereka tidak mahu Menteri Besar sekarang bertanding sekali lagi.

“Mereka kata,jika Mohamad bertanding, mereka tdak akan undi BN,” kata bekas ADUN BN Chembong, Datuk Mohamd Rais Zainuddin sebagaimana dilaporkan laman Free Malaysia Today hari ini.

Media melaporkan, Mohamad Hassan akan bertanding di DUN Paroi bagi berdepan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani di situ.

Ia bertujuan untuk memberikan semangat kepada pasukan Umno yang kini bimbang dengan kemaraan Pakatan Rakyat.

Jika benar laporan bahawa Mohamad tidak dikehendaki Umno, tindakan beliau bertanding di Paroi adalah tindakan membunuh diri.

Menurut bekas ADUN Umno Chembong itu, sekumpulan ahli veteran Umno Negeri Sembilan telah mengetengahkan perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Tazak.

Katanya, rakyat tidak gembira dengan Mohamad dan meminta beliau tidak bertanding mana-mana kerusi DUN di Negeri Sembilan.

“Mereka kata, mereka tidak gembira dengan keluarga Mohamad. Ini pandangan rakyat, saya cuma memberitahu.

“Jika Najib mengutamakan rakyat, beliau harus melihat dan mempertimbangkan perkara ini dengan serius, ” kata Mohamad Rais yang juga bekas AJK Umno Rembau.

Katanya, rakyat yang sayangkan BN dan Umno bimbang Negeri Sembilan akan jatuh ke tangan pembangkang jika Mohamad terus bertanding dalam PRU 13.

Sementara itu, seorang AJK Umno Rembau memberitahu,  penyokong bekas Menteri Besar Tan Sri Isa Samad juga tidak gembira dengan Mohamad.

“Mereka tidak mahu Menteri Besar sekarang bertanding lagi di DUN Rantau,” kata  Mohd Fauzi Othman.


‘Orang Isa tidak suka Mohamad’



Mohamad bekas tokoh korporat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selepas PRU 12. Beliau juga merupakan Ketua Umno Rembau.

Kata Mohd Fauzi, orang Isa masih belum puas dengan Pengerusi Felda itu yang telah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 21 tahun itu.

“Orang Isa tidak suka kepada Mohamad, mungkin mereka sudah tidak dapat apa yang mereka dapat semasa Isa menjadi Menteri Besar.

“Tapi apa yang Isa buat selama menjadi Menteri Besar? Sepatutnya Negeri Sembilan sudah jadi seperti Melaka jika ditadbir secara korporat.

“Ini yang mahu dibuat oleh Mohamad iaitu membangunkan Negeri Sembilan secara korporat.

“Cara ini (korporat)  mungkin menyebabkan orang tidak suka kepada Mohamad tetapi ia sesuai untuk pembangunan Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Menurut Mohd Fauzi, bagaimanapun beliau tidak mendengar bahawa  Mohamad akan bertanding di Parlimen atau DUN lain dalam PRU 13.

Katanya, Mohamad akan kekal di DUN Rantau dan pengundi serta boleh menerima pemerintahannya secara korporat yang sesuai dengan perkembangan semasa Negeri Sembilan yang berkembang pesat.

“Tanya rakyat Negeri Sembilan, apa beza Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang dengan Menteri Besar sebelum-sebelum ini?” katanya lagi.

Mohd Fauzi yakin Mohamad akan kekal bertanding di DUN Rantau kerana beliau merupakan anak jadi kawasan tersebut.

Mengapa kerajaan tidak serius rasuah Scorpene?

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana kerajaan Malaysia melihat kes rasuah Scorpene sebagai tidak serius sedangkan rakyat melihatnya sebagai sesuatu yang amat serius.
Bahkan, kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar) masyarakat antarabangsa termasuk media mereka memberikan liputan meluas terhadap kes ini.

“Kes ini melibatkan maruah, imej, dan integriti kerajaan. Malah ia juga melibatkan aspek keselamatan di mana rahsia keselamatan negara didakwa telah bocor kepada pihak lain oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ia juga, ujarnya dikaitkan dengan jenayah pembunuhan yang melibatkan seorang warga asing di negara Malaysia.

“Kesemua dakwaan dan kaitan kes ini amat besar dan terlalu serius yang perlu diberikan perhatian utama oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Sepatutnya, kata beliau Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman merasa malu kerana nama baik Malaysia boleh jatuh merudum di mata dunia  kerana ia membabitkan nama pemimpin tertinggi negara.

“Malah kewibawaan Anifah sendiri turut dipertikaikan sekiranya beliau menangani skandal ini dengan baik sehingga gagal menutup aib Malaysia,” ujarnya.

DPPM, ujarnya mempersoalkan apakah Anifah menganggap kes rasuah sebesar RM3.1 bilion sebagai bahan mainan dan senda gurau semata-mata.

“Mungkin juga beliau tidak memandang serius kerana baginya nilai rasuah yang dituduh terhadap PM tidak sebanyak rasuah pemimpin lain bernilai berpuluh berbilion ringgit,” katanya.

Atau, katanya ia mungkin telah menjadi amalan dan budaya pemimpin Umno dengan rasuah serta sebati dengan jiwa pemimpin-pemimpinnya sehingga dakwaan rasuah terhadap mana-mana pemimpin negara telah biasa didengar dan kerajaan tidak lagi memandang ini sebagai sesuatu yang serius.

“Jika beginilah sikap Menteri Luar Negeri Malaysia, DPPM tidak boleh membayangkan bagaimana kerajaan Malaysia mampu menyelesaikan dan menangani isu rasuah yang berleluasa yang membelit pemimpin-pemimpin negara,” katanya.

Menurutnya, negara akan menuju kemusnahan, masyarakat akan hancur manakala rakyat pula akan hilang pedoman sehingga hilangnya sikap toleransi, amanah dan bertanggungjawab dalam diri mereka.

Daftar Pemilih: Pakatan Rakyat akan jumpa SPR lagi

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Wakil Pakatan Rakyat akan mengunjungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi bagi membincangkan isu pembersihan daftar pemilih yang dilihat gagal diselesaikan oleh suruhanjaya itu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

Menurutnya, pasukan itu akan diketuai Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan akan disertai wakil PKR dan DAP.

Anwar berkata, banyak isu berkaitan pendaftaran daftar pemilih gagal diselesaikan SPR.

Ianya termasuk 26,000 nama dengan kod 12 yang berasal dari Sabah yang berdaftar di Selangor yang belum dikenal pasti dan disahkan.

Selain itu katanya, beberapa bukti yang didedah Pakatan Rakyat yang berkaitan keraguan dalam daftar pemilih sama ada dalam parlimen, melalui wakil PSC mahupun melalui sidang media, sehingga kini tidak diambil tindakan wajar oleh SPR.

Mustafa ketika ditemui selepas itu pula berkata, pasukannya itu akan disertai dua orang dari setiap parti dan bercadang berkunjung ke pejabat suruhanjaya itu minggu depan.

"Kita akan bangkitkan beberapa perkara dan paling besar adalah berkaitan dengan daftar pemilih," katanya.

Tiada ulasan: