Jumaat, 29 Jun 2012

KES LOMPAT2...KES KELUAR PARTI...ATAU DIPECAT...MUNGKIN KERANA KEPENTINGAN PERIBADI...WANG...PANGKAT...SYOK SENDIRI DLL...BUKAN KERJA KERANA ALLAH BAGI ORANG ISLAM...BAGI NON MUSLIM BUKAN KERANA RAKYAT ATAU PERJUANGAN PARTI YANG MEREKA JADI AHLI....

Pas nafi guna artis tarik pengundi muda
ROSLINDA HASHIM
29 Jun 2012
Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
ALOR SETAR - Kehadiran artis dalam parti politik bagaikan trend apabila seorang demi seorang menyatakan sokongan terhadap sesebuah parti politik. Terbaru, Hairie Othman menjadi ahli Pas dan Abby Abadi sebagai penyokong Pas.
Walaupun agak janggal mengaitkan artis dengan Pas, namun ia bukanlah sesuatu yang baru, ekoran sebelum ini beberapa nama sudah dikaitkan dengan Pas, antaranya, Yassin Brothers, Ringgo Arrow, Bob Lokman, Azmil Mustafa dan Akhil Hayy.
Ketika ditanya trend artis sertai parti politik, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia suatu perkembangan yang baik kerana Pas adalah sebuah parti politik yang terbuka untuk semua.
“Artis sekarang lebih berfikiran terbuka dan tidak takut hilang peminat gara-gara mereka memilih Pas sebagai parti pilihan, malah kita juga ada selebriti politik yang diibaratkan sebagai orang ternama dalam politik yang disenangi ramai iaitu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan artis yang menyatakan sokongan pada Pas menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ikon mereka dan menyanjung keperibadian beliau.
Bagaimana pun, Mahfuz menafikan Pas mempergunakan golongan artis untuk menarik golongan belia, khususnya pengundi muda untuk mendekati parti itu, terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Apa yang berlaku ialah selebriti politik (Nik Abdul Aziz) berjaya tarik golongan artis untuk mendekati Pas. Selain timbul kesedaran politik yang tinggi dalam diri masing-masing, ia bukan paksaan tetapi mereka lakukan secara sukarela,” katanya.
Mahfuz berkata, pembabitan beberapa artis sebelum ini dalam parti politik membuktikan kerjaya mereka tidak terjejas, sebaliknya pendekatan mereka berubah kepada lebih Islamik.
“Artis sekarang tak takut umum mereka sokong siapa, mereka tak bimbang peluang dalam industri hiburan terjejas. Memang ramai yang sertai atau sokong Pas dan peminat tetap minat mereka,” katanya.
Menurutnya, Pas mendekati semua golongan dalam kempennya, termasuk artis.
Malah diwujudkan lajnah kebudayaan dan keseniaan untuk mendekati golongan itu secara berkesan.
“Kita tidak sekat hiburan dalam Pas. Artis yang cenderung dengan Pas boleh berdakwah dan giat dalam seni secara Islamik. Mereka sering dijemput memeriahkan ceramah untuk berkongsi penghijrahan selain membuat persembahan berlandaskan Islam,” katanya.
Mahfuz berkata, industri hiburan dan politik saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain, dengan cara tersendiri berlandaskan pendekatan Islamik
Mahathir mahu Marina jauhi Bersih 2.0
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
29 Jun 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir tidak meletakkan diri terlalu rapat dengan Bersih 2.0 atau gerakan lain yang antikerajaan kerana ia tidak baik untuk dirinya.

Dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Observer (MobTV), Dr Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan anaknya itu sejak akhir-akhir ini dan berharap Marina sedar akan kesilapannya.

Pada Bersih 2.0 tahun lalu dan perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, Marina dilihat bersama dengan puluhan ribu demonstran lain menuntut lapan tuntutan yang mahukan pilihan raya umum  yang bersih dan adil.

“Bersih telah dirampas oleh pemimpin pembangkang, saya tidak suka beliau meletakkan dirinya dekat dengan gerakan itu.

“Beliau tidak pernah katakan ini, tapi Bersih dan beberapa gerakan lain didakwa ada kaitan dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Dia tidak pernah kata sokong lelaki kahwin lelaki, perempuan kahwin perempuan dan saya harap dia maksudkannya,” katanya.

Katanya lagi, Marina perlu mewujudkan sempadan berkenaan isu LGBT iaitu sejauh mana beliau memberi sokongan kepada golongan itu dalam sebuah negara seperti Malaysia.

“Memang beliau seorang aktivis yang menolong ramai orang termasuklah golongan ini, tapi dia perlu jelaskan pendiriannya,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut berharap Marina menyedari apa yang dilakukannya sekarang boleh menjejaskan peluang abangnya, Datuk Mukhriz Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Saya rasa beliau bukan ahli, tetapi beliau perlu lebih sensitif mengenai nasib abangnya,” katanya.

Ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa Mukhriz bakal dicalonkan menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri tersebut, Dr Mahathir menegaskan ia terpulang kepada keputusan parti.

Katanya, isyarat bahawa Mukhriz mungkin menjadi calon Menteri Besar apabila parti memilihnya untuk menjadi calon Dewan Undangan Negeri (Dun) dan bukannya calon Parlimen.

“Saya akan tolong dan menyokong apa yang dilakukan Mukhriz, tetapi segalanya terpulang pada parti. Walaupun beliau tidak dipilih jadi Menteri Besar, saya akan tetap sokong,” katanya.
Nik Aziz kekal tanding kerusi DUN
NURRUL HUDA AHMAD LUTFI
29 Jun 2012
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas Kelantan akan mempertahankan kedudukan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kekal sebagai Menteri Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Nik Abdul Aziz akan kekal bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat secara bersama antara pucuk pimpinan parti di peringkat Pas Negeri dan Pusat.
Nizar tidak pertahan Bukit Gantang
SAIFULLAH AHMAD
29 Jun 2012
Nizar tidak pertahan Bukit Gantang
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (dua, kiri) ketika mengadakan kunjungan mesra di Pejabat Sinar Harian Edisi Perak.
IPOH -  Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum akan datang bagi memberikan peluang kepada calon Pas lain.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang selama kira-kira 4 tahun.

“Selepas saya dicalonkan di Pasir Panjang dan menang menentang MIC, saya dilantik menjadi menteri besar selama 11 bulan ekoran kemenangan itu dan ia satu pengalaman yang cukup mencabar.

“Kemudian, menang di Bukit Gantang dan mentadbir di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) di bawahnya, saya merasakan ini cukup berat kerana Dun Pasir Panjang pun nak jaga dan tiga lagi Dun di Parlimen Bukit Gantang pun perlu ditadbir,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan mesra di Pejabat Sinar Harian Edisi Perak, di sini, semalam.

Hadir sama dalam kunjungan berkenaan, Ketua Penerangan Pas Negeri, Ahmad Nuri Al-Amin; Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Salman Salleh dan Penolong Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Safarizal Saleh.
PRU13: SPR temu parti politik bulan depan
G MANIMARAN
29 Jun 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan dengan semua parti politik di peringkat nasional dan negeri bulan depan sebagai persiapan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan berlangsung selepas Aidilfitri.

"Salah satu pihak yang kami akan bertemu dan mengadakan penerangan ialah parti-parti politik, ini akan dilakukan pada bulan depan," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Langkah itu diambil susulan selesainya sesi taklimat dan latihan kepada kesemua pengurus pilihan raya.

Sarawak adalah negeri terakhir terlibat dalam sesi taklimat dan latihan. Sesi peringkat Sarawak diadakan sejak kelmarin mengikut zon dan akan berakhir esok.

Wan Ahmad berkata, taklimat perlu diberikan kepada parti-parti politik memandangkan pihak itu merupakan salah satu komponen penting dalam sistem pilihan raya.

Selain itu katanya, banyak perkara baru akan diperkenalkan pada kali ini, termasuk penggunaan dakwat kekal.
“Oleh itu, wajar diadakan taklimat bagi mereka, di peringkat ibu pejabat dan juga di peringkat negeri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut kata beliau, sesi taklimat dan latihan yang merupakan segmen penting dalam urusan persediaan menghadapi PRU13 sudah selesai.
"Kalau pilihan raya lambat, kalau Parlimen tidak dibubarkan dalam waktu terdekat, kita akan buat taklimat baru," katanya.
Selain itu menurut Wan Ahmad, ibu pejabat SPR juga akan menghantar peralatan dan kelengkapan pilihan raya ke pejabat-pejabat pilihan raya negeri mulai bulan depan.
Faekah nafi letak jawatan
Wartawan Sinar Harian
29 Jun 2012
SPRM sedang teliti isu surat sokongan Faekah
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin menafikan dakwaan beliau akan meletak jawatan berikutan kontroversi penolakan dalaman PKR terhadapnya.

"Dakwaan oleh media ini muncul lambat, sedangkan ianya (spekulasi) berlaku lebih awal, namun saya fikir mereka agak laju dalam membuat kesimpulan.

"Sedangkan, saya bertemu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam (kelmarin) dan soal penamatan tugas langsung tidak disebutkan, malah, saya diamanahkan dengan lebih banyak tanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita AgendaDaily bahawa bahawa Faekah 'dijangka meletak jawatan hari ini'.

Faekah berkata, sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku termasuk berhubung jawatannya dalam Pejabat Menteri Besar.

"Jika ada apa-apa pengumuman, saya akan buat kenyataan atau sidang media," katanya.
Fokus masalah besar negara, PKR bukan isu
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
29 Jun 2012
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
$entry.content.caption.value
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu semua pihak lebih memfokuskan isu-isu penyelewengan yang lebih besar berbanding perkembangan dalaman parti tersebut.

Menurutnya, isu penyelewengan yang didakwanya seperti isu National Feedlot Corporation (NFcorp) dan penyelewengan MRT adalah lebih besar dan melibatkan kepentingan negara.

"Isu-isu itu lebih penting, isu-isu dalaman parti tidak melibatkan kepentingan awam, lagipun isu-isu negeri Selangor sudah diselesaikan Menteri Besar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai isu yang membabitkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, Dr Wan Azizah mengelak dengan mendakwa isu tersebut telah diselesaikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Saya tak fikir isu itu boleh menjejaskan Pakatan Rakyat (PR) Selangor. Masalah boleh timbul di dalam mana-mana pentadbiran. Cara untuk mengatasinya adalah penting dan saya rasa Menteri Besar telah melakukannya,” katanya pada sidang media di sini.
Selain itu, beliau turut menafikan bahawa Faekah adalah punca yang mendorong Pengarah Strategi, Rafizi Ramli meletak jawatan di sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat ekonomi Negeri Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pihak polis memberi maklum balas terhadap rungutan rakyat berkaitan kadar jenayah yang semakin mencemaskan.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan Hishammuddin, indeks jenayah bagi tahun 2011 telah menunjukkan penurunan 11.1 peratus dan mendakwa jenayah jalanan turun dengan mendadak pada kadar 39.7 peratus.

Katanya, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) juga mendakwa 70.5 peratus rakyat negara ini berpuas hati dengan polis.

“Saya ingin mencabar kenyataan ini, saya tertanya-tanya rakyat Malaysia mana yang beliau maksudkan dan mendapat maklumat dari sumber mana?

“Rakyat yang kami temui majoritinya berkongsi pandangan yang sama bahawa kadar jenayah di negara ini pada tahap mencemaskan,” katanya.
Padang PKNS: Nama MB Selangor dikait
RUWAIDA MD ZAIN
29 Jun 2012
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM – Pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hari kedua, semalam hangat apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) saling menuding jari dan mempertahankan ‘pasukan’ masing-masing.

Malah lebih mengejutkan, pegawai MBPJ mengaitkan individu yang bertanggungjawab mengarahkan pertukaran status zon tanah PKNS daripada kawasan lapang dan rekreasi kepada komersial dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ianya disangkal pegawai JPBD.

Jawatankuasa Selcat terutama Pengerusinya, Datuk Teng Chang Khim pula dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan saksi ketiga, iaitu bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Noraini Roslan.

Ini kerana jawatankuasa Selcat masih tidak memperoleh jawapan siapakah yang mengarahkan pertukaran zon tanah tersebut beliau terpaksa mengulangi soalan sama kepada Noraini.

Noraini yang kini Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor berkata, beberapa pindaan RTPJ2 itu dibuat tidak mengikut peruntukan undang-undang sebaliknya ia dilakukan hanya berdasarkan amalan biasa.

“MBPJ akan membuat sebarang pindaan di dalam RTPJ 2 itu meskipun selepas ia diberi kelulusan MMKN dan diwartakan.

Bagaimanapun, pindaan tersebut hanya melibatkan guna tanah semasa dan ia langsung tidak menyentuh mengenai pindaan status zon pada sesuatu kawasan itu,” katanya.

Saksi lain yang dipanggil Selcat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli akademik yang pakar dalam bidang berkaitan, Datuk Dr. Goh Ban Lee.

Selcat bagaimanapun ditangguh 5 Julai ini untuk mendapatkan maklumat lengkap mesyuarat berkaitan pindaan RTPJ2 tersebut.


MBPJ mengaku tidak patuh peraturan

Chang Khim: Bagaimana MBPJ dan JBPD boleh melakukan pindaan kalau tiada peruntukan. Di mana kuasa untuk meminda apabila ia telah digazet?
Noraini: Setuju Tuan Pengerusi, pemindaan ini ada dua perkara. Satu adalah kepada guna tanah sedia ada, pelan guna tanah itu sepatutnya betul pada tarikh pewartaan dan cetakan. Sekiranya pada tarikh pewartaan itu juga tidak betul. Amalan biasa, menjadi tanggungjawab pegawai membetulkannya sehinggalah ianya diwarta.

Chang Khim: Selepas diwartakan, di mana peruntukan yang membenarkan pindaan? Seksyen mana yang membenarkan pembetulan dibuat selepas diwartakan?
Noraini: Pembetulan boleh dibuat dengan kebenaran Kerajaan Negeri.

Chang Khim: Di mana seksyen itu?
Noraini: Di dalam Seksyen 16 “Pihak berkuasa kerajaan tempatan boleh pada bila-bila masa membuat cadangan untuk mengubah atau menggantikan sesuatu rancangan tempatan. Seksyen ini membenarkan perubahan itu dibuat setelah diwartakan. Tetapi, perubahan hendaklah melalui prosedur yang berbalik kepada seksyen awal tadi.

Chang Khim: Dalam erti kata senang, rancangan tempatan yang diwartakan tidak boleh dipinda melainkan melalui proses asal, seolah-olah tidak ada rancangan tempatan. Jadi, adakah proses ini dipatuhi?
Noraini: Seperti saya katakan tadi, guna tanah semasa pembetulannya memang perlu dibuat kerana guna tanah semasa...(belum sempat dihabiskan ayat, Chang Khim mencelah)

Chang Khim: Ya, soalan saya. Rancangan tempatan tidak boleh dipinda melainkan balik kepada proses asal. Jadi, adakah proses ini dipatuhi.
Noraini: Errr...tidak.

Chang Khim: Tidak dipatuhi dan dalam keadaan tidak dipatuhi, versi ketiga dikeluarkan dan dipamerkan untuk orang ramai dan digunakan.
Noraini: Itulah yang berlaku.


Siapa arah ubah status tanah?

Chang Khim: Adakah Puan Noraini mempunyai pengetahuan ada cadangan untuk perubahan ‘zoning’ tanah padang PKNS?
Noraini: Saya cuma boleh mengingat sewaktu memberikan nasihat kepada pemaju sahaja. Tidak adil bagi saya untuk saya katakan tahu atau tidak tetapi arahan untuk mengubah mana-mana 'zoning' itu tidak saya beri secara bertulis.

Chang Kim: Jadi, kalau arahan tidak datangdari pengarah perancang MBPJ pada masa itu, arahan daripada siapa?
Noraini: Perubahan seperti saya katakan, pembetulan terhenti ke atas guna tanah sedia ada di mana perubahan itu dikatakan perubahan 'zoning'..saya perlukan bantuan dari pegawai MBPJ,
saya ingat Puan Faiwos boleh bantu saya.


MBPJ salahkan JPBD

Faiwos: Arahan pengubahan ini adalah lanjutan daripada arahan JBPD mengenai pembetulan terhadap laporan RTPJ2. Pihak JPBD juga itu sama masa pada tarikh diwartakan masih memanggil
pihak MBPJ dan JBPD Federal (Pusat) untuk berbincang mengenai pindaan-pindaan dalam laporan RTPJ2 ini.

Chang Khim: Pindaan 'zoning'? Saya tidak nampak dalam ini (rujukan yang disediakan) ada mengatakan, cuma ada surat penyelarasan laporan akhir.
Faiwos: Pindaan itu termasuklah mengemaskinikan maklumat rancangan termasuk mengambil kira pelan yang diluluskan oleh MBPJ.

Chang Khim: Surat ini menyatakan adalah dimaklumkan mesyuarat penyelarasan laporan akhir RTPJ..itu sudah lain dengan pengubahan 'zoning'.
Faiwos: Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat ini adalah untuk mengemaskinikan lagi pelan di dalam laporan termasuk guna tanah semasa dan juga apa-apa mengenai kelulusan MBPJ.

Chang Khim: Sepanjang tempoh menyediakan draf rancangan tempatan sehingga ke peringkat kerajaan tempatan, adakah mana mana pihak yang mengemukakan bantahan terhadap 'zoning' tanah padang PKNS sebagai tanah lapang dan rekreasi.

Faiwos: Tidak ada.
*** Ketika ini Timbalan Pengarah JPBD, Norasiah Bee Mohd Hanif bangun mencelah menyangkal jawapan Faiwos.
Norasiah: Apa yang dikatakan Puan Fairos bahawa JPBD yang mengarahkan pindaan 'zoning' bagi lot tanah PKNS, itu adalah tidak benar sama sekali. Kita terpaksa menyangkal sebab walaupun ada mesyuarat pada 13 Januari 2011, tetapi nama mesyuarat kita (consisten dari mesyuarat pertama) ‘Mesyuarat Pindaan Rancangan Tempatan’ tetapi mesyuarat itu tidak membincangkan pindaan rancangan tempatan.

Pada peringkat itu, pindaan telah berakhir. Pindaan dimuktamadkan selepas mesyuarat pada 22 Oktober 2010 dan laporan JPBD daripada draf RTPJ2 sehingga laporan yang dihantar ke Exco serta diwartakan konsisten sebagai tanah lapang dan rekreasi.

Faiwos : YB Tuan Pengerusi, sebenarnya Cik Norasiah ini tidak pernah ada untuk mesyuarat kerja-kerja pindaan yang dibuat, ia dipengerusikan Tuan Haji Azman Talib (Ketua Penolong
Pengarah JPBD). Mungkin dia (Norasiah) tidak pasti apa yang dibincangkan. Semalam Tuan Haji Azman sudah bagitahu yang MBPJ dipertanggungjawabkan untuk pinda pelan, JPBD pinda
teks.

Norasiah: Tuan Pengerusi, betul. Pembahagian tugas memang benar tapi pembahagian itu berakhir 22 Oktober untuk proses pindaan selesai. Saya tidak hadir pada mesyuarat itu tetapi saya adalah ketua yang memantau pelaksanaan semua projek di bahagian rancangan pembangunan dan korporat JPBD. Segala proses kerja bagi rancangan tempatan akan dimaklumkan ketua-ketua
bahagian kepada saya setelah selesai mesyuarat.

Chang Khim: Jadi, tidak ada inisiatif diambil JPBD untuk meminda 'zoning' bagi tanah padang PKNS?
Norasiah: Tiada langsung.

Chang Khim: MBPJ pula, siapa yang mengambil inisiatif ubah 'zoning' tanah padang PKNS.
Faiwos: Tuan Pengerusi, pengubahan 'zoning' tanah PKNS ini adalah lanjutan kerja-kerja selepas MBPJ dan JPBD. Kita mengambil ‘spirit’ daripada arahan Tan Sri Menteri Besar di dalam mesyuarat perancang negeri. Dalam mesyuarat tersebut, MB menekankan PBT mengambil kira syarat nyata, ini disebabkan semasa mesyuarat tersebut ada PBT yang kemukakan pindaan RT
tak sampai enam bulan diwartakan.

Chang Khim: Baik. Itu adalah satu pandangan daripada Menteri Besar.
Norasiah: Datuk Pengerusi, boleh saya mencelah? Saya merujuk balik kepada mesyuarat jawatankuasa perancang negeri diadakan Julai 2011. Pada ketika itu, saya menanggung kerja sebagai
Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, saya juga menjadi setiausaha kepada jawatankuasa perancang bandar dan desa.

Arahan atau teguran yang diberikan Tan Sri pada ketika itu adalah secara umum sebab pada ketika itu, rancangan tempatan MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya) dibentangkan untuk pengubahan. Tiada dibincangkan berkenaan RTPJ2, RTPJ2, sudah selesai ketika itu. Hanya rancangan tempatan pengubahan MBSA dan MPSJ.

Teguran Tan Sri pada ketika itu supaya diselaraskan dengan syarat nyata tanah tapi Tan Sri juga beri peringatan bahawa walau apa prosedur perlu diikuti.


*** Selcat ditangguh pada 5 Julai ini.
Ramai calon Bebas bertanding PRU13
DR AMINUDIN MANSOR
29 Jun 2012
CALON bebas adalah kuasa ketiga selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yang boleh memecahkan undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Kuasa dan pengaruh calon bebas ini bukan calang-calang orang kerana kebanyakannya calon dan ahli Parlimen yang lantang dan berpengaruh di kawasan mereka.

Mengikut perhitungan dan kajian, ramai calon Bebas akan bertanding peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun). Ada antaranya yang bertanding atas tiket calon Bebas seperti Ahli Parlimen Pasir Mas iaitu Datuk Ibrahim Ali manakala tidak kurang juga yang dipecat daripada parti seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali.

Di belakang mereka ini adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara aktif seperti pertubuhan Perkasa dan juga Jati. Di Parlimen kini terdapat beberapa wakil calon Bebas antaranya Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Datuk Seri Zahrin Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar), Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawai), Datuk Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baru) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).

Mereka ini mempunyai kekuatan tersendiri dan terbukti lantang di Parlimen dan menjalankan tugas dengan berkesan iaitu menyuarakan hak dan kehendak rakyat di kawasannya.

Kalangan mereka mengambil pendekatan yang popular dari segi mengupas isu yang dibangkitkan di Parlimen dan isu semasa di media massa. Mereka mempunyai pengikut yang setia dan kebanyakannya adalah penyokong atas pagar yang tidak menyertai manamana parti.

Sejak akhir-akhir ini istilah “himpun” sangat popular digunakan semua pihak. Jika dikaji secara makna tersurat “himpun” membawa maksud proses mengumpulkan sesuatu atau orang. Dalam makna tersirat “himpun” boleh diterjemahkan sebagai mengumpulkan orang ramai dengan niat dan tujuan yang tertentu khususnya tujuan politik.

Justeru, melalui perhimpunan iaitu perihal berhimpun beramai-ramai untuk sesuatu tujuan tertentu mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat umum. Sementara itu, tidak kurang juga mereka yang akan bertanding atas tiket Bebas yang tidak mempunyai parti sebagai contoh di Pulau Pinang ada tiga atau empat calon Bebas dikatakan yang akan bertanding.

Di Kedah terdapat dua calon yang akan bertanding atas tiket Bebas. Di Selangor mungkin dua atau tiga calon Bebas yang akan bertanding. Begitu jugalah di beberapa negeri lain seperti di
Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan di peringkat Dun dan Parlimen.

Beberapa kawasan juga sangat popular ditandingi calon Bebas seperti di Sibu dan Batang Lupar, Sarawak; di Sungai Petani, Kedah; Gombak, Kapar dan Kota Raja. Kawasan tersebut dikatakan mempunyai pengundi atas pagar yang ramai berbanding dengan kawasan lain.

Kecenderungan mereka yang bertanding atas tiket calon Bebas mungkin disebabkan mereka tidak ada parti tetapi mempunyai pengaruh dan sokongan yang kuat di peringkat akar umbi. Mereka ini juga mungkin aktivis NGO yang berpengaruh di peringkat negeri dan kebangsaan yang memperjuangkan pelbagai masalah rakyat.

Bagaimanapun, ketika pilihan raya, kebanyakan pengundi akan memilih parti dan bukannya calon individu. Calon individu yang dipilih mestilah mempunyai sesuatu keistimewaan. Sistem ini mudah difahami kerana perwakilan di Parlimen atau di Dun mencerminkan kehendak rakyat di peringkat bawah.

Wakil rakyat seharusnya menjadi jurucakap rakyat yang diwakilinya di peringkat Dun dan Parlimen. Tetapi jangan dipandang enteng dalam PRU13 sudah pasti akan ramai calon Bebas yang bertanding untuk merebut dan memenangi kawasan “panas” tersebut.


* Penulis pengamal media, PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.
Fomca kemuka 8 tuntutan pengguna kepada semua parti politik

29 Jun 2012
FOMCA
$entry.content.caption.value
PETALING JAYA - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini mengemukakan lapan tuntutan pengguna kepada semua parti politik yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu berkata Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kini rancak membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan sudah pasti masing-masing sedang memikirkan manifesto terbaik bagi meraih pengundi kelak.
"Fomca yang mewakili golongan pengguna juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama menyertai suasana pilihan raya ini dengan menyediakan sebuah buku berkaitan tuntutan pengguna iaitu 'Manifesto Tuntutan Pengguna' untuk diambil perhatian oleh semua ahli politik," katanya pada sidang akhbar mengenai buku 'Manifesto Tuntutan Pengguna bagi PRU-13' di sini, hari ini.
Lapan tuntutan yang membabitkan makanan, pengangkutan awam, kesihatan, air, tenaga elektrik, keselamatan, alam sekitar dan perbankan itu diperjelas secara terperinci dalam buku itu.
"Lapan isu ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan oleh semua ahli politik sebelum dan selepas berlangsungnya pilihan raya ke-13 nanti kerana isu-isu berkaitan hak-hak pengguna seringkali tidak ambil tindakan sewajarnya," katanya.
Selain dalam bentuk buku, Fomca juga akan menerbitkan manifesto itu di laman web Fomca di www.fomca.org.my dan orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai buku itu boleh menghubungi Fomca di talian 03-78762009 atau 03-78756370.- Bernama
Tawaran lompat parti tindakan terdesak Umno
ROSILAWATI ROSEDI
29 Jun 2012
Tawaran lompat parti tindakan terdesak Umno
Azmin menunjukkan sistem SISPMEP 3.0 yang bakal digunakan jentera parti itu dalam PRU-13.
KUANTAN - Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ada pihak tertentu cuba menawarkan habuan lumayan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya mereka melompat parti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, ia adalah tindakan terdesak khususnya pihak kerajaan (Umno) yang dilihat terus menyuburkan politik wang dengan cubaan membeli pemimpin lain.

Menurutnya, beliau mengucapkan tahniah kepada pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR) tidak terpedaya dengan janji dan tawaran yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dalam laporan muka depan Sinar Harian semalam bahawa beliau pernah ditawar jutaan ringgit untuk melompat parti.

“Ini bukan cara PR, sebaliknya kita mengalu-alukan pemimpin daripada mereka (kerajaan) yang ingin menyertai kita, bukan sogokkan dengan wang sebaliknya meminta mereka memahami dasar perjuangan PR,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sistem SISPMEP 3.0 dan penyerahan bahan kempen pilihan raya peringkat negeri di sini, semalam.

Pahang adalah negeri terakhir untuk pelancaran dan penyerahan bahan kempen yang menyaksikan sebanyak 13 juta risalah memaparkan pelbagai isu seperti ekonomi, keselamatan dan Lynas bakal diedarkan.

Ditanya persediaan jentera parti itu, beliau memberitahu ia dalam peringkat akhir  bagi semua peringkat dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selain menyatakan kemungkinan ia akan dijalankan sebelum Ramadan.

“Malah perbincangan bersama komponen PR lain juga dalam peringkat akhir dan semua rundingan dan rumusan boleh dibuat pada minggu depan.

“Kita optimistik dengan kewibawaan semua komponen parti dalam pakatan. Dan jika kerajaan membubarkan parlimen dalam minggu ini, kita sudah bersiap sedia,” katanya.

Mengulas sistem SISPMEP 3.0, Azmin memberitahu, sistem tersebut adalah Sistem Pengkomputeran Membaca Data Pilihan raya dan mampu membuat analisa secara sistematik serta saintifik.

“Ia boleh menjadikan gerak kerja jentera parti tersusun dan teratur sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan parlimen.

“Sebenarnya sistem ini sudah dilaksanakan pada 2008 dan menerusinya kita boleh mengesan pergerakan pengundi seperti pengundi hantu ataupun mereka yang sudah berusia 100 tahun ke atas,” katanya.

Menurutnya, ia membantu petugas mengesan dan melaksanakan tugas mereka dengan menemui mereka dan mengedarkan risalah.

Tiada ulasan: