Rabu, 27 Jun 2012

BETUL...DARI PANDA...BAIK BELANJAKAN KEPADA KEBAJIKAN JANDA2....ATAU IBU TUNGGAL

Najib tak layak bercakap soal LGBT, pluralisme

Anis Nazri, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 'cakap tak serupa bikin' untuk tidak membenarkan kefahaman lesbian, gay, bisexual dan transexual (LGBT), pluralisme dan liberalisme bertapak di negara ini.

Dengan dasar pemerintahan yang tidak berlandaskan Islam, Najib sepatutnya menilai kembali ucapannya secara jujur dan ikhlas tentang hasratnya mempertahankan Islam.

"Contoh paling jelas, bagaimana seorang Perdana Menteri ingin mendaulatkan Islam jika isterinya sendiri tidak mengikut tuntutan Islam?  Bagaimana dengan sistem pentadbiran negara yang tidak berlandaskan Islam?" soal Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Ustaz Nik Zawawi Salleh (gambar) kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau mempersoalkan demikian sebagai mengulas ucapan Najib yang menyatakan ikrarnya untuk mempertahankan kesucian Islam dan memastikan budaya songsang seperti LGBT, pluralisme dan liberalisme tidak mendapat tempat di negara ini.

Mengulas lanjut, Nik Zawawi menegaskan dengan hanya berikrar dan berkata-kata, segala permasalahan berkaitan agama tidak boleh diselesaikan begitu sahaja.

Selagi negara ini tidak mengamalkan sistem perundangan Islam, tegas Nik Zawawi selagi itulah segala masalah di negara ini tidak dapat diatasi.

Katanya, selain isu-isu yang dibangkitkan Najib itu, lebih banyak masalah besar yang perlu diperhalusi Najib seperti pembuangan bayi, penzinaan dan rasuah yang masih berleluasa.

"Tiada perundangan Islam dikuatkuasakan ke atas mana-mana masalah membabitkan agama, mahupun moral yang mengakibatkan masalah itu gagal diselesaikan.  Kita tidak nampak undang-undang sedia ada berjaya mengatasi masalah tersebut.  Hanya dengan Islam, ia akan berjaya," tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, kata Nik Zawawi Perdana Menteri tidak layak untuk bercakap mengenai perkara tersebut, melainkan beliau menunjukkannya (pertahankan agama) dahulu dengan perbuatannya.

Tak perlu 'emo' wakil Singapura dalam Bersih - Kadir

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk Kadir Jasin (gambar) berpandangan, rakyat negara ini tidaklah perlu 'emo' sangat dengan kehadiran diplomat Singapura dalam perhimpunan Bersih 3.0.

"SAYA rasa kita tidaklah perlu “emo” sangat mengenai kehadiran diplomat Singapura di tunjuk perasaan Bersih pada 28 April lalu.

"Saya yakin banyak lagi Suruhanjaya dan Kedutaan yang hantar wakil untuk meninjau, memantau dan membuat laporan diplomatik peristiwa itu.

"Apalah yang hendak dihebohkan sangat, bukankah sejak bertahun-tahun mereka menghantar wakil meninjau, memantau dan membuat laporan mengenai mesyuarat agung Umno, PAS, DAP, PKR dan bermacam-macam kegiatan politik lagi?" tulis Kadir dalam blognya.

Bagi beliau, "Itu kerja mereka. Melainkanlah mereka sah pakai kemeja T kuning Bersih, berarak kutuk kerajaan Malaysia dan buat laporan yang memihak kepada Bersih. Yang kita patut risau ialah diplomat kita di luar negara tidak buat macam diplomat Singapura buat di Malaysia."

Kadir mengulas tindakan Menteri Luar memanggil Duta Besar Singapura ke Malaysia bagi membantah kewujudan diplomat dari Singapura dalam perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Selain itu, media Umno turut menyiarkan kenyataan Pengerusi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang membantah kewujudan diplomat Singapura dalam perhimpunan itu.

Sekumpulan penyokong Umno juga berhimpun depan kedutaan Singapura bagi membantah perkara itu.


Singapura Tahu "Rahsia" Kita



Bagi Kadir, yang perlu difikirkan oleh Malaysia adalah kegiatan perisikan sulit Singapura ke atas Malaysia.

"Maksud saya bukan hadir di tunjuk-tunjuk perasaan atau berjumpa wartawan dan pengarang, tetapi mencari rahsia sebenar," tulisnya.

"Itu pun kita di Malaysia tidak perlu peningkan kepala dan tidak lena tidur kerana memang pun Singapura lebih hebat daripada kita dalam hal ini," tulisnya.

Tentera dan perisik mereka dilatih dan bekerjasama rapat dengan Amerika dan Israel.

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mempunyai empat buah kapal terbang pengintip dan amaran awal jenis Gulfstream G550-AEW buatan Amerika/Israel yang boleh mengesan, mengenal pasti dan mengekori sasaran udara lebih 200 batu nautika dari Singapura (370.4 kilometer) iaitu melepasi Kuala Lumpur.

Ia juga mempunyai pesawat pengintip kawalan jauh (UAV) jenis Elbit Hermes 450, IAI Heron, Searcher dan Scout yang semuanya buatan Israel. UAV Elbit Hermes 450 boleh dikawal dari bumi sehingga 200 kilometer dan terbang selama 20 jam tanpa henti.

Jadi, memang Singapura tahu pergerakan tentera dan strategik yang berlaku di sebahagian besar Semenanjung Malaysia siang dan malam, sama ada dengan menggunakan kelengkapan pengintipannya sendiri atau dengan bantuan Amerika/Israel.
Secara kebetulan, tulisnya, kerjasama tentera antara Singapura dan Israel bermula pada 1965 iaitu sebaik saja Singapura disingkir daripada Malaysia.

"Masalahnya ialah ramai orang kita jahil mengenai geopolitik, pertahanan dan perisikan. Yang mereka tahu ialah buat bising mengenai pembelian senjata sehingga satu dunia tahu kekuatan dan kelemahan kita," tulisnya lagi.

Singapura Bimbang Perkembangan di Malaysia

Berbalik kepada kehadiran diplomat Singapura di tunjuk perasaan Bersih, beliau rasa tujuan sebenar mereka adalah membuat laporan mengenai peristiwa itu kerana Singapura sangat bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia.

Semua orang tahu, katanya, yang supremo Singapura, Lee Kuan Yew dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) amat bimbang dengan kemungkinan PAS berkuasa di Malaysia, sama ada dengan sendirinya atau melalui kerjasama dengan parti-parti lain.

Kedua, mereka hendak tahu psikologi penunjuk perasaan dan respons pihak berkuasa kerana mereka bimbang hal yang sama lambat laun akan berlaku di Singapura. Jadi mereka mahu bersiap sedia, tambah Kadir.

Harus diketahui iaitu sebelum merdeka (daripada tahun 1940-an hingga 1960-an), Singapura mengalami banyak tunjuk perasaan ganas oleh barisan bersekutu komunis (Communist United Front).

Dan ketiga, mereka perlu tahu kesan perkembangan politik di Malaysia ke atas keselamatan pelaburan dan rakyat jelata mereka di Malaysia. Apatah lagi sekarang apabila kerajaan Malaysia begitu beria-ia memujuk pelabur dan pelancong Singapura.

Namun begitu, katanya, Malaysia tidak boleh menolak bulat-bulat kemungkinan adanya parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik tertentu di Malaysia yang menggunakan perwakilan asing untuk tujuan politik mereka, termasuk memburuk-burukkan imej Malaysia di mata dunia.

"Bagi saya, mereka inilah yang lebih berbahaya dan perlu diawasi kerana mereka boleh diperalatkan oleh agen-agen perisik luar untuk mendapatkan rahsia negara kita dengan tujuan melemahkan kita dan menjadikan kita boneka mereka," tulisnya lagi.

PAS sasar 8 kerusi tambahan di Selangor, kata Dr Rani

Harakahdaily, 26 Jun 2012
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman (gambar) berkata, sasaran untuk menang lapan Dun baru di negeri itu pada pilihan raya akan datang dibuat berdasar kemampuan parti itu dan bukan cakap politik semata-mata.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menganggap  ianya hanya cakap kosong.

“Beliau (Noh) boleh cakap apa sahaja, dulu masa 2008 kata nak bagi pembangkang sifar untuk kerusi Dun, tetapi hakikatnya mereka jadi pembangkang," katanya ketika dihubungi Selangorku.

Malah menurut Rani, Umnolah yang terkenal dengan sikap sering bercakap 'ikut sedap mulut' tanpa berasaskan fakta.

“Mereka (Umno-BN) bila bercakap bukan atas fakta ataupun realiti.

"Jadi dia nak cakap apa pun dia boleh cakap tunggu saja PRU13 akan datang. Jika berani buatlah PRU13 sekarang, kenapa perlu tangguh-tangguh,” katanya.

Noh sebelum ini berkata sasaran lapan kawasan baru PAS untuk membantu misi menawan 16 kerusi Dun hanyalah kenyataan kosong untuk mengambil hati rakyat.

Noh juga meminta PAS Selangor tidak mengeluarkan kenyataan kosong untuk meraih undi bagi PRU13.

Jangan terpengaruh dengan yang ragukan perjuangan PAS

Mohd Sabri Said, 26 Jun 2012


(Himpunan Hijau di padang Ahmad Badawi mendengar ucapan Ustaz Hadi dari Dubai)

BUTTERWORTH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan semua ahli dan pendokong PAS jangan terpengaruh dengan kumpulan yang sering meragukan perjuangan PAS dengan lontaran kenyataan yang bertentangan dengan arahan kepimpinan.

Tugas mereka sebagai pejuang sambungnya, untuk menyebarkan dakwah dan berpolitik bagi memastikan kuasa pemerintahan dimiliki oleh orang atau parti yang benar-benar ikhlas serta mempunyai bermatlamat membentuk negara menjadi lebih bertamadhun.

"Ahli dan pendokong perjuangan PAS jangan terpengaruh dengan kumpulan yang bebal. 

"Di mana mereka sering berada di pentas pidato mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan suara yang di arahkan oleh kepimpinan.

"Kita kena fokuskan kepada gerak kerja agar kita menjadi kuat," tegasnya melalui lintas langsung dari Dubai ke skrin besar sempena Perhimpunan Hijau Peringkat Negeri Pulau Pinang di padang Haji Ahmad Badawi, Butterworth semalam.

Maka, kata beliau, menjadi tanggungjawab semua jentera pemuda mengembeleng tenaga dan buah fikiran untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sepertimana yang berjaya dilaksanakan di Mesir dan lain-lain negara sejak kebelakangan ini.

Semarakkan perjuangan

Kemenangan calon Ikwanul Muslimin, Dr Momamed Morsi sebagai Presiden Mesir semalam pastinya menyemarakan lagi semangat pejuang PAS yang selama ini ditindas, dibunuh atau dipenjarakan semata-mata untuk menghalang kebangkitan Islam.

Kematangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekarang ini terhadap politik juga perlu dipuji kerana sudah ramai di kalangan NGO makin berani tampil ke hadapan menyuarakan pandangan bagaimana membantu Pakatan Rakyat mencapai kemenangan.

"PAS tentunya merasa gembira terhadap kemenangan calon Ikwanul Musliimin, Dr Morsi mengalahkan calon pro barat, Ahmad Syafik dengan majoriti mudah.  Ambil semangat rakyat atau anak muda Mesir yang lantang mahukan perubahan pada negara," jelasnya.

Program anjuran PAS Pulau Pinang itu mendapat sambutan luar biasa apabila kira-kira 10,000 orang hadirin hadir untuk mendengar amanah dari semua kepimpinan PAS termasuk Muryidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga dibuat menerusi skrin yang dipancar secara lintas langsung dari pejabatnya di Kota Darul Naim, Kelantan selepas solat Maghrib.

10 tahun penduduk Machap diganggu lalat

Hazayani Zakaria, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung sekitar Pekan Machap, Simpang Renggam, Johor kesal terhadap kegagalan agensi kerajaan mengatasi masalah lalat yang melanda sejak 10 tahun lalu.

Jawatankuasa Bertindak Masalah Alam Sekitar Machap, Simpang Renggam yakin masalah tersebut berpunca daripada 20 ladang ternakan ayam di kawasan sekitar yang tidak mempunyai sistem menghalang pembiakan lalat.

Urusetia jawatankuasa tersebut, Suhaizan Kaiat berkata, penduduk sekitar termasuk peniaga gerai makan sangat terganggu dengan masalah tersebut.

Malah katanya, kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Machap, Lebuh Raya Utara Selatan dipenuhi lalat.

Jelas Suhaizan juga, najis ayam yang digunakan oleh pengusaha sayur-sayuran di sekitar Machap menjadi tempat pembiakan lalat sementara air yang digunakan untuk proses penternakan dilepaskan ke parit-parit berdekatan.

"Kami yakin perlepasan bahan kumbahan daripada ladang ayam di sekitar Machap ini bertentangan dengan perkara 4, Peraruran-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, Seksyen 4, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan Seksyen 7 Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Perlanggaran inilah menjadi punca lalat begitu banyak," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen dengan ditemani Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria, hari ini.

Katanya, tiada penyelarasan yang mantap di antara lapan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab menyebabkan masalah ini tidak dapat diatasi.

Lapan agensi terbabit ialah  Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Galian, Perkhidmatan Bekalan Air Johor, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Majlis Daerah dan Jabatan Parit dan Saliran.

"Punca utama adalah tiadanya penyelarasan yang mantap di antara agensi-agensi terbabit di peringkat daerah.

"Penguatkuasa seluruh negeri Johor hanya ada sembilan orang sahaja. Kompaun di bawah Enakmen Unggas Negeri Johor hanyalah RM2,000 sahaja," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Memorandum berhubung perkara ini turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Mula-mula tidak kenal, hari ini isteri yang kenal

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Mula-mula Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak kenal Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) mahupun pengerusinya Mohd Ali Baharom (gambar kanan).

Tetapi dalam sidang medianya hari ini, Ahmad Zahid  berkata, isteri beliau mengenali Mohd Ali kerana mereka berasal dari kampung yang sama.

"Siapa mereka itu?" soalnya kembali ketika ditanya mengenai tuntutan persatuan berkenaan - antaranya untuk mendapatkan elaun sehingga RM1,000 kepada bekas tentera berusia lebih 60 tahun.

"Saya tidak pernah kenal dia," katanya lagi dalam sidang media di Kementerian Pertahanan sebelum ini.

Namun dalam sidang medianya hari ini, Ahmad Zahid berkata,  "Saya tidak mahu gaduh dengan orang-orang yang kurang betul, nanti saya jadi tidak betul jugak," yang ditujukan kepada Mohd Ali.

Ahmad Zahid hari ini membuat sidang media bagi menafikan dakwaan Mohd Ali kononnya isteri beliau mengugutnya.

"Jadi isteri saya nasihatkanlah kepada Ali, tetapi Ali hanya ambil satu ayat sahaja, yang saya baca balik, itu bukan satu ugutan. Mengapa dia rasa ugutan?  Sebab Ali, dia biasa ugut orang, jadi bila dia kena lagu tu, dia rasa terugutlah.

"Pada hal, saya tidak fikir, mengapa isteri saya nak ugut Ali, seorang presiden sebuah persatuan yang besar yang didokong termasuk balu-balu tentera," katanya sinis.

Isteri Zahid telah menghantar 16 SMS kepada Mohd Ali berkaitan dengan rancangan Mohd Ali mahu mengadakan demonstrasi 29 Jun namun ia dibatalkan kerana Mohd Zahid tidak ada.

Sebelum ini, Mohd Ali bersama sekumpulan bekas tentera pimpinannya telah membuat senaman punggung di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Srevanasan. (gambar)

Ekoran tindakan Ali dan kumpulannya itu, sokongan orang India terhadap Umno jatuh merudum kerana simpati dengan apa yang berlaku ke atas Ambiga.

"Ambiga dan Bersih 2.0 sekarang  umpama Uthayakumar dan Hindraf dalam pilihan raya 2008," kata anggota Parlimen Telok Intan, M.Manogaran dalam satu majlis.

Hampir kesemua pengkaji politik bersetuju, sokongan besar pengundi India kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008 disebabkan isu Hindraf pimpinan Uthayakumar ketika itu.

Mahathir setuju bayar komisyen pembelian Scorpene?

Harakahdaily, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Laman web Asia Sentinel (AS) melaporkan bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju dengan pelan untuk menyalurkan komisyen pembelian kapal selam Scorpene melalui Perimekar.

Sumber AS adalah kertas pendakwaan skandal Scorpene yang kini berlangsung di Mahkamah Paris, Perancis.

AS melaporkan bahawa apabila kontrak pembelian kapal selam Scorpene hampir menjadi kenyataan, Razak Baginda dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, menteri pertahanan ketika itu telah cuba mencari pelbagai helah.

Mereka mencari cara bagaimana untuk mendapatkan habuan terbaik untuk mereka sendiri dan Umno dengan menubuhkan pelbagai syarikat di mana dana tersebut akan disalurkan.

“Aktiviti mereka termasuklah penubuhan beberapa syarikat, termasuk Perimekar pada tahun 2000 sebagai satu alat untuk menyalurkan komisyen berjumlah Euro 114.9 juta (atau RM500 juta) kepada Razak Baginda dan yang lain, dengan isteri Razak Baginda sebagai pemegang saham utama.

Pelan tersebut nampaknya mendapat kebenaran Mahathir.

Satu kabel diplomatik kepada Menteri Luar Negara  berkata, "Syarikat yang dipilih oleh kerajaan untuk projek kapal selam ialah Perimekar.

"Pilihan ini adalah subjek dalam satu kenyataan rasmi Kementerian Kewangan kepada Kementerian Pertahanan.

"Nota – keputusan Kementerian Kewangan ini adalah diambil ketika perdana menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, selepas Tun Daim keluar,” lapor AS.

Laporan penuh AS yang ditulis oleh John Berthelsen, 25 Jun 2012 boleh dibaca di sini:


http://www.asiasentinel.com/index.php?option=com_content&task=view&id=4626&Itemid=178

Dokumen-dokumen pendakwaan pula dapat dibaca di sini:


http://www.scribd.com/collections/3678742/The-French-Malaysian-Submarine-Scandal-the-Documents


Selain itu, bukti-bukti pendakwaan turut menyatakan bahawa mangsa pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak pernah menjejakkan kaki di Perancis.

Bagaimanapun AS mempertikaikan bukti tersebut dengan satu artikel yang dipaparnya pada tahun 2007 berserta dengan gambar-gambar Altantuya di Perancis sebagai bukti.

Gambar-gambar Altantuya di Paris dapat dilihat di artikel AS, bertarikh 5 Disember 2007 di sini.

http://www.asiasentinel.com/index.php?option=com_content&task=view&id=916&Itemid=178

FGVH: Peneroka hilang RM40,000 besarkan rumah

Nazri Abdullah, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendakwa Felda tidak akan lagi membuka bantuan pinjaman pembesaran rumah kepada peneroka selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Menurut maklumat yang diperolehinya, Mazlan mendakwa bantuan pinjaman sehingga RM40,000 itu tidak akan lagi dinikmati peneroka kerana Felda kehabisan peruntukan.

"Paling baru maklumat kita dapat, ada peneroka yang hantar permohonan, tetapi tak lulus dan Felda jawab kerana tiada peruntukkan lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Selain itu kata Mazlan, peneroka juga bakal berdepan dengan pemotongan hutang yang lebih radikal berbanding sebelum ini selepas Felda menyemak semula sistem pemotongan hutang mereka.

Ianya termasuk pemotongan wajib daripada pendapatan peneroka seperti baja, kerja-kerja pemulihan dan lain-lain

"Tak kurang daripada 20 potongan sebelum pendapatan sampai ke tangan peneroka.

"Kesanya kalau dahulu peneroka dapat RM1,300, lepas tolak sekarang tinggal RM500.

"Mereka nak bergantung pada apa lagi. Bergantung kepada saham mereka 800 unit? Berapa sangat mereka dapat," soalnya.

Selain itu, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat turut mendakawa, 'tanah poket' Felda juga kini tidak boleh lagi digunakan anak-anak peneroka.

Kalau dahulu menurut Mazlan, tanah poket ini dibenarkan Felda untuk diguna oleh anak-anak peneroka untuk mengusahakan projek hiliran dan melakukan aktiviti.

"Ada kes anak-anak peneroka mohon tanah-tanah ini tetapi tak dapat.

"Selama ini tiada masalah tapi sekarang Felda bagi alasan tanah itu sudah jadi tanah milik pajakan FGV," katanya.

Aktivis PAS Kuala Terengganu meninggal dunia

Khairul Azlam Mohamad, 26 Jun 2012
KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kuala Terengganu khususnya Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam kehilangan seorang aktivis parti yang komited.

Mohd Zaki @ Amri Yahya, 47, meninggal dunia setelah diserang penyakit stroke (angin ahmar) kali kedua di rumahnya Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 6.01 petang semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Solat jenazah allahyarham diimamkan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kaya di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Harakahdaily dimaklumkan, Allahyarham Amri merupakan seorang aktivis PAS yang komited dengan perjuangan parti hingga akhir hayatnya.

Semasa hayat, allahyarham merupakan Setiausaha Kerja PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Ketua Penerangan Dun, bekas Penyelaras Unit Pembangunan Insan (UPI) ketika kerajaan PAS Terengganu dan mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuala Terengganu.

Abangnya, Hanafi Yahya, 58, redha dengan pemergian allahyarham yang lebih dikenali sebagai Amri setelah 11 bulan terkena angin ahmar.

Menurut beliau, allahyarham mula diserang stroke pada bulan Ogos 2011 dan kali keduanya pada malam 25 Jun lalu.

“Semalam, dia (allahyarham) tiba-tiba mengalami muntah-muntah, kekejangan anggota badan dan pada keesokan hari (25 Jun) kami terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Antara pimpinan PAS yang hadir menziarahi allahyarham ialah Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan mantan Adun Batu Burok, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan diwakili isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.

'R' serah memo, ada pihak baling kayu

Harakahdaily, 26 Jun 2012

KOTA BHARU:
Ketika Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti), Nazri Deraman menyerahkan memorandum sokongan terhadap tuntutan royalti kepada Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa pada jam 10.45 pagi di hadapan pagar pejabat SUK, ada pihak yang membaling kayu.

Pihak polis sempat merampas kayu berkenaan.

Semasa pihak kumpulan Royalti (R) membacakan doa yang dipimpin oleh Ustaz Ikhwan, kumpulan MTRK memasang muzik.

Ramai yang duduk dan mengaminkan doa tersebut sementara kumpulan satu lagi hanya asyik menyebut 'air' dan 'rakyat'.

Begitupun, suasana terkawal dan himpunan menyokong tuntutan royalti berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.

Ada pihak melepaskan asap kuning di tepi jalan sebelum itu.

Pada sebelah pagi tadi, suasana tegang di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini apabila kumpulan menyokong royalti bertembung dengan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Kumpulan menyokong tuntutan royalti berpuluh kali ganda daripada MTRK yang diketuai adik Ibrahim Ali.

Seorang penyokong menuntut royalti dicedera di muka dipercayai ditumbuk oleh penyokong Umno.

Ketika pemimpin tuntutan royalti berucap, kumpulan satu lagi memasang kaset dikir barat.

Ramai anggota polis berkawal di situ dan memberitahu kedua-dua pihak mendapat keizinan polis.

Ssementara itu, jalan raya sesak kerana kehadiran orang ramai semakin bertambah.

Semalam, aktivis Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti), Jeming Hassan berkata, perhimpunan pihak tertentu dikatakan didalangi Tukar dan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan.

“Perhimpunan dianjurkan Royalti (R) mendapat kelulusan polis bagi menyokong titah baginda Sultan mendaratkan gas di Kelantan.

“Sedangkan satu lagi didalangi Tukar dan MTRK yang cuba menyaingi perhimpunan anjuran Royalti. Jadi saya mahu Ulama Muda Umno, Ustaz Fathul Bari menjelaskan perhimpunan yang mana haram,” katanya.

Kerajaan tak tahu keutamaan panda dan janda

Abdul Aziz Mustafa, 26 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan ternyata tidak tahu keutamaan antara panda dan janda, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kerajaan tidak tahu keutamaan untuk orang muda, sama seperti kerajaan tidak tahu keutamaan antara panda dan janda," kata beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Panda yang disebut oleh Mahfuz itu merujuk kepada dua ekor beruang panda yang disewa oleh Malaysia daripada negara China.

Ketika diminta mengulas lanjut kenyataan itu selepas perbahasan tersebut, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kerajaan ternyata lebih suka mengutamakan perkara-perkara yang membazirkan wang negara.

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) mendakwa, tindakan menyewa panda itu untuk meningkatkan kesedaran kepada kerja-kerja perlindungan.

"Itu untuk panda. Bagaimana pula kesedaran kepada kerja-kerja perlindungan entah berapa ratus ribu janda di negara ini?" katanya.

Apa yang berlaku itu, kata Mahfuz, jelas membuktikan kerajaan langsung tidak tahu keutamaan.

"Kerajaan Najib tak tahu keutamaan dan nampak benar tak tahu keutamaan antara panda dan janda.

"Akhbar The Star melaporkan kerajaan berbelanja sehingga RM20 juta untuk memelihara dan menjaga dua ekor panda itu.

"Berapa kerajaan berbelanja untuk setiap janda yang tidak berkemampuan di negara ini? Untuk dua ekor panda belanja RM20 juta, untuk janda bagi RM500 duit BR1M sahajakah?" katanya.

Mahfuz juga menyifatkan perjanjian penyewaan panda itu ternyata merugikan Malaysia.

"Kalau mati kerajaan Malaysia kena bayar ganti rugi. Kalau panda itu beranak dalam penjagaan Malaysia, anak itu jadi milik syarikat China berkenaan.

"Orang kampung yang pawah kambing atau lembu lebih pandai buat perjanjian dari kerajaan Malaysia," kata Mahfuz.

Mahfuz juga menyifatkan Najib sengaja mereka-reka dakwaan untuk mewajarkan tindakan kerajaan terhadap tindakannya berbelanja begitu besar untuk dua ekor panda itu.

"Najib kata tindakan kerajaannya menyewa panda itu akan menjadi pengalaman pendidikan untuk rakyat Malaysia.

"Adakah orang Alor Setar akan naik bas beratus-ratus kilometer untuk melancong di Kuala Lumpur kerana hendak tengok dua ekor panda itu kononnya untuk menimba pengalaman pendidikan?" beliau terus mempersoalkan.

Sebelum itu, seruan Najib dalam laman Facebook berbahasa Cinanya supaya orang ramai menamkan dua ekor panda itu dibalas oleh rakyat dengan pelbagai persendaan.

Sebahagiannya mengambil peluang memperolokkan Najib dan isterinya Rosmah Manosr dengan menamakan panda itu sebagai "cincin dan beg beg", "Altantuya dan Scorpene" dan "Rara dan Suahsuah".

Seorang pengunjung laman tersebut yang bernama Aun Huang Long menulis: "Lembu pun tak boleh jaga. Najib, u nak panda? Kesian panda tu".

Tiada ulasan: