Isnin, 25 Jun 2012

IKUT QURAN DAN HADIS...TAAT@TAQWA PADA ALLAH...KUAT IBADAH...KUAT BERDOA...KUAT BEKERJA DENGAN IKHLAS....TAWAKAL DENGAN SESUNGGUH2NYA....INSYAALLAH...KEMENANGAN AKAN DIBERI OLEH ALLAH SWT

Jangan guna saya pertahan Lynas - Dr Che Rosli

Muhammad Faizal, 25 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat memberi amaran agar tidak menggunakan nama beliau untuk mempertahankan projek Lynas atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Beliau yang berkata pada sidang media di Parlimen hari ini, tidak pernah ada mana-mana pihak meminta keizinan darinya untuk terus menggunakan nama beliau serta kenyataannya di Parlimen bagi menyatakan loji Lynas selamat didirikan di Kuantan.

"Secara jelas saya nyatakan bahawa kenyataan saya sebelum ini hanya merangkumi satu bahagian sahaja tetapi jika melibatkan keseluruhan operasi Lynas secara terus terang ia tidak selamat untuk beroperasi.

"Selain itu juga, saya tidak membenarkan mana-mana pihak cuba menggunakan nama saya bagi menunjukkan saya menyokong pembinaan loji tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, jika perkara ini berterusan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dari sudut undang-undang kerana menggunakan nama tanpa izin.

"Sebelum ini Perdana Menteri dalam kenyataannya  telah membabitkan nama saya yang turut menyatakan bahawa Lynas itu selamat dibangunkan.

"Saya tidak pernah mengizinkan nama serta kenyataan saya digunakan untuk menyokong pembinaan loji tersebut, Lynas bagi saya tetap merbahaya dan Najib perlu peka dalam soal ini kerana membabitkan saya tanpa sebarang kebenaran," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam kenyataannya memberitahu PAS mendengar pandangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar namun dalam masa yang sama faktor dari sudut lain juga turut diambil kira.

"PAS mengambil kira setiap pandangan pakar tentang isu Lynas seperti mana yang dinyatakan oleh Dr Che Rosli sebelum ini tetapi dari faktor lain kita juga turut mengambil perhatian.

"Secara jelas beliau menyatakan Lynas ini tetap merbahaya dan kepada mana-mana pihak tolong hentikan menggunakan nama beliau dalam mencari sokongan pembinaan loji tersebut jika tidak mahu tindakan undang-undang diambil," katanya.

Mangsa ISA diugut edar gambar bogel di internet

Majdan Dagang, 25 Jun 2012

(GMI menunjukan butir-butir penyeksaan Sami Hammd seperti yang diceritakan kepada peguam. Turut hadir ialah ibu bapa tahanan Mohamad Fadzullah [Hadijah – dua dari kiri dan Abd Razak – mendukung bayi])



KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini mendesak agar Menteri Dalam Negeri (KDN) segera memberi maklum balas atas kejadian mogok lapar tahanan ISA yang telah pun berlangsung selama enam hari.

Dalam sidang medianya, GMI menuntut agar kesemua tahanan ISA dibebaskan dengan kadar segera; Menteri Dalam Negeri diminta menjawab segera tuntutan tahanan ISA; dan menuntut jawapan segera isu penderaan tahanan ISA.

Tuntutan ini berikutan kempen bebaskan 45 tahanan yang masih berada di Kem Kamunting (Kemta) dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan dibebaskan.

Dalam sidang media ini juga, peguam Farhana Abdul Halim dan Fadiah Nadwa Fikri mendedahkan keterangan yang diberi oleh Sami Hammd, salah seorang tahanan ISA yang kini mengadakan mogok lapar.

Sami Hammd berasal dari Iraq telah ditangkap pada 21 Januari 2011. Beliau ditahan atas pertuduhan pemerdagangan manusia.

Sami disoal siasat di PRC selama 20 hari dan di Bukit Aman selama 39 hari, kemudiannya ditahan di Kemta pada 18 Mac 2011.

Dalam pertemuannya dengan peguam, Sami menceritakan penderaan fizikal dan mental yang diterimanya.
Antara bentuk penderaan fizikal yang dikenakan  termasuklah dipukul dengan paip getah, dibogelkan dan gambarnya diambil dan diugut akan disebarkan diinternet.

Badan beliau juga dibasahkan dengan air sejuk kemudian diletakkan di dalam bilik kecil yang suhunya paling rendah, dan sepanjang masa tangannya digari.

Selain itu, Sami turut ditumbuk dan ditendang oleh anggota penyiasat berulang kali, dicabut bulu dada, dicucuh puntung rokok, dipaksa memakan cili kisar beberapa lagi jenis penderaan.

Sehingga kini Sami masih tidak berganjak dan tidak mengaku akan pertuduhan yang dikenakan kepadanya.
Tahanan beliau dilanjutkan sehingga Mac 2013. Semua butiran tersebut dinyatakan dalam pertemuannya dengan peguam pada 22 Jun 2012 di bawah pengawasan Pegawai Kemta.

Dalam pada itu, Pengerusi GMI bimbang dengan nasib tahanan yang melakukan mogok lapar tersebut.

Beliau menggesa agar KDN bertindak segera sebelum berlaku kematian atau sebagainya.

Merujuk kepada isu penderaan terhadap tahanan sama ada yang masih ditahan atau pun yang telah dibebaskan.

“Kebanyakan tahanan menghadapi trauma sehingga mereka tidak tampil menceritakan kisah sebenar walaupun lebih setahun telah berlaku,” ujar Syed Ibrahim.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, Peguam yang bertemu dengan Sami Hammd iaitu Farhana dan Fadiah Nadwa serta keluarga tahanan Mohamad Fadzullah Abdul Razak.

Haram jadah: Najib enggan minta maaf

Muhammad Faizal, 25 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui jawapan bertulisnya enggan memohon maaf serta menarik balik kata-kata kasar 'haram jadah' yang dikeluarkan sebelum ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli yang memohon agar Perdana Menteri memohon maaf serta menarik balik kata-kata tersebut yang dihemburkan dalam ucapan beliau di Felda Jengka 8 pada 8 Mei lalu.

Najib melalui jawapannya menjelaskan soal permohonan maaf tidak timbul memandangkan kata-kata tersebut diungkapkan sebagai eskpresi kolokial (colloquial expression) semata-mata tanpa ditujukan kepada mana-mana individu.

Jelas, Dr Mohd Hatta apa yang dinyatakan oleh Najib melalui jawapannya itu tidak benar dan beliau perlu tampil memohon maaf bukannya cuba mengelakkan.

"Secara jelas kita lihat kata-kata haram jadah yang dikeluarkan oleh Najib itu ditujukan kepada peneroka yang menentang penyenaraian Felda.

"Dan perkara itu berlaku ketika beliau mengumumkan pemberian RM15 ribu kepada setiap peneroka," jelasnya.

Katanya lagi, mana mungkin beliau mengatakan tidak ditujukan kepada mana-mana individu sedangkan jelas ia dilemparkan kepada peneroka-peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda serta kepada mereka yang membawa Felda ke mahkamah.

"Najib menghina mereka yang dianggap menentang supaya tidak diberikan bantuan RM15,000 iaitu kumpulan 'haram jadah' jadi ianya bukan satu ekspresi kolokial yang begitu umum tetapi tuju khas kepada pihak-pihak yang mencabar Felda.

"Kita mahukan Najib tampil memohon maaf jika beliau ingin memulihkan imejnya sebagai Perdana Menteri," jelasnya.

Dr Mohd Hatta menegaskan Najib perlu meminta maaf dan kenapa perlu takut untuk mengaku salah.

Kalau hina Hindu, kami pertama bantah - DHPP

Salmiyah Harun, 25 Jun 2012


(Salahudin dalam sidang media bersama DHPP dan anggota Parlimen India hari ini)

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mempertahankan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bahawa beliau tidak berniat menghina agama Hindu dan penganutnya dan jika dia menghina Hindu, pihaknya yang pertama membuat bantahan.

Timbalan Pengerusi DHPP N. Balasubramaniam berkata, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu langsung tidak membawa apa-apa masalah di kalangan kaum India yang majoriti penganut agama Hindu.

"Orang India masih aman di Malaysia, dalam isu ini tidak ada bawa apa-apa masalah," katanya dalam sidang media.

Sebelum ini, Ketua Pemuda MIC T Mohan meminta Salahuddin mohon maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Menurut Bala, kenyataan Salahuddin dalam Debat Sinar Harian pada 19 Jun lalu sengaja diputar belitkan oleh MIC untuk menimbulkan persepsi negatif kepada kaum India.

"Jika benar ada penghinaan kepada penganut Hindu kami sendiri pun boleh tegur. Nampaknya MIC sengaja cari  pasal. Kenyataan Salahuddin cukup jelas," katanya.

Bala turut percaya Salahuddin tidak akan mengeluarkan kenyataan menghina kaum dan agama lain kerana agama Islam tidak mengajar untuk berbuat begitu.

Ahli Parlimen Batu Kawan P. Ramasamy juga menyifatkan MIC ketandusan modal politik sebab itu mereka sengaja putar belit kenyataan.

"Saya ada baca dalam akhbar Tamil tuduhan terhadap Salahuddin, tidak ada bukti beliau hina kaum India," katanya dalam sidang media yang sama.

P. Ramasamy turut mempertikaikan di mana kelantangan MIC apabila Umno pernah menimbulkan isu bebaur perkauman dan memperlekehkan kaum India.

"Umno pernah guna isu paria. MIC mendiamkan diri. Tapi berbeza dengan Salahuddin yang jelas tidak hina agama kami," katanya.

Begitu juga ketika penyokong Umno mengarakkan kepala lembu ke bangunan SUK Selangor yang memang jelas cuba menghina orang Hindu (gambar).

Salahuddin mengulangi penegasanya beliau tidak berniat untuk menghina penganut agama Hindu dan mereka perlu dengar serta faham konteks ayat yang diperdebatkan dalam debat itu.

Presiden ziarahi timbalan Mursyidul Am

Harakahdaily, 25 Jun 2012

(Ustaz Hadi berbual dengan Dr Haron di Bangi hari ini)

BANGI: Perkara pertama yang dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebaik saja tiba dari luar negara adalah menziarahi Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Ustaz Hadi tiba dari Abu Dhabi hari ini dalam rangka lawatan kerjanya ke luar negara termasuk menemui pemimpin Ikhwanul Muslimin yang baru menang pilihan raya.

Beliau menziarahi Dr Haron Din yang mula sihat selepas menjalani pembedahan jantung kali ke 5 di Amerika.

Walaupun belum dapat memenuhi apa-apa program di luar, Dr Haron yang merupakan Timbalan Pengerusi Harakah kelihatan ceria.

Beliau memohon maaf kepada semua ahli dan pemimpin PAS kerana masih belum dapat memenuhi sebarang undangan majlis di luar.

Anak dakwa FGVH menipu dalam prospektus

Nazri Abdullah, 25 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendakwa wujud penipuan dalam prospektus Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Dalam prospektus itu menurut Mazlan, FGVH menyenaraikan tanah-tanah kerajaan negeri yang sebenarnya tidak pernah diserah kepada FGVH termasuk di Kelantan Perak dan Johor.

"Saya ditunjukkan surat permohonan oleh Tan Sri Isa Samad untuk mendapatkan tanah-tanah itu tetapi Menteri Besar Kelantan (Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah menolak.

"Dah ditolak kenapa masih masukkan dalam prospektus ini, tidak relevan sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Dalam pada itu Mazlan juga mendakwa FGVH turut mencagarkan tanah berpeneroka termasuk 18,000 hektar di Negeri Sembilan yang belum mendapat hak milik.

Bagaimanapun maklumat lanjut berkaitan perkara itu akan didedahkan kemudian selepas mandapat maklumat terperinci mengenai tanah tersebut.

Beliau juga memberitahu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dijemput untuk turut serta mengetuai 'Himpunan Oren Selamatkan Felda' pada 14 Julai ini.

Selain Abdullah, bekas timbalan perdana menteri iaitu Tun Musa Hitam dan bekas Menteri Kewangan Tengku Raleigh Hamzah.

"Kita akan jumpa dengan semua tokoh-tokoh ini dalam masa terdekat dan hantar jemputan dengan tangan.

"Kita percaya mereka-mereka ini akan bersama kita dalam isu ini," katanya.

Menurut Mazlan, jemputan terhadap Tun Abdullah adalah kerana bekas perdana menteri itu pernah membatalkan hasrat penyenaraian Felda Holding yang dicadang Tun Dr Mahathir pada tahun 2004.

"Penyenaraian ketika itu dicadangkan Tun Mahathir, tapi bila Tun Abdullah jadi perdana menteri pada 2004, dia telah membatalkan cadangan tersebut," kata Mazlan yang juga AJK PAS Pusat.

Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam pula menurut Mazlan adalah antara pemimpin negara yang terlibat secara langsung dalam penubuhan agensi berkepentingan orang Melayu seperti Felda, Mara dan Uda.

Selain tokoh-tokoh itu, turut akan dijemput, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, anak Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar dan beberapa tokoh lain.

"Ini bukan isu PAS atau Anak, ini isu masa depan tanah orang Melayu.

"Belum terlambat beliau (Tun Abdullah) untuk menasihati Najib mempertimbangkan semula," katanya.

Sementara itu, Himpunan Oren mensasarkan 20,000 penyertaan.

Mereka dijadual berarak dari Masjid Wilayah Jalan Duta ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan turun sendiri mengepalai himpunan ini.

Kemenangan Ikhwan guna teknologi 1,400 tahun lalu

Mohd Yusof Hadhari, 25 Jun 2012
Kita renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.

Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.

“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”

Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang diperoleh Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.

Di sebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan diraih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka.  Melihat kepada anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10,000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.

Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “  Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.

Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir. Semoga kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13 akan datang.

"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."

Tiada ulasan: