Isnin, 18 Jun 2012

BIASALAH SIBUK2 PILIHANRAYA MUSIM HAJI...HINGGA BAWA PEMIKIR2 ISLAM DARI LUAR...SEBENAR...INSYAALLAH PILIHANRAYA TAK KAN BUAT MUSIM HAJI...BANYAK SEBAB TAK BUAT...SALAH SATUNYA KURANG YAKIN KEMENANGAN....

Fitnah PKINK: Mahkamah tolak rayuan Adun Umno

Harakahdaily, 18 Jun 2012
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Adun Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainudin terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu berhubung kes saman fitnah.

Pada 30 Oktober tahun lepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim  membenarkan tuntutan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) ke atas Raja Ahmad Zainudin berhubung fitnah disiarkan Mingguan Watan.

Dalam artikel disiarkan akhbar itu pada 21-27 Disember 2008 pemimpin Umno terbabit yang bertindak sebagai Penasihat Sidang Editor memfitnah PKINK dengan menerbit berita bertajuk “Siasat pemimpin-pemimpin PAS Kelantan seleweng ekuiti PKINK”.

Raja Ahmad Zainudin disaman atas kapasitinya sebagai anggota Sidang Editor, beliau juga salah seorang kolumnis akhbar tersebut.

Ekoran itu pemimpin terbabit memfailkan rayuan ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Rayuannya didengar di hadapan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Low Hop Beng, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

Dalam keputusan ringkas yang dibacakan Hakim Low, mahkamah memutuskan ketiga-tiga panel hakim sebulat suara bersetuju menolak rayuan Raja Ahmad Zainudin.

Alasannya Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul berdasarkan fakta dan keterangan kes tersebut.

Mahkamah juga bersetuju hujah peguamcara PKINK terdapat keterangan sidang editor akhbar tersebut enggan meminta maaf kerana berpendirian artikel yang memfitnah PKINK tersebut benar dan tepat.

Peguam PKINK, Hisham Fauzi, Mohamed Hanipa Maidin dan Rosilawati Zakaria berhujah kewujudan perkataan sidang editor enggan meminta maaf menunjukkan keputusan sidang editor dibuat secara kolektif.

Mahkamah juga mengarahkan Raja Ahmad Zainudin membayar kos rayuan sebanyak RM10,000 kepada PKINK.

Raja Ahmad Zainudin diwakili peguam Dato’ Hafarizam Harun, Badrul Hishah dan Hasnal.

Punjab amal sistem kewangan tanpa riba

M Faqih | Foto Yusri Amin, 18 Jun 2012
KOTA BHARU: Bekas wartawan yang kini anggota parlimen negeri Punjab, Pakistan, Humaira Shahid (gambar) berjaya memperjuangkan sistem kewangan tanpa riba di negara tersebut.

Katanya, perundangan tersebut dilulus di parlimen Punjab pada 2007 selepas usahanya mahu membebaskan penduduk Islam di negara Pakistan daripada amalan riba.

“Islam secara jelas mengharamkan riba. Maka saya bertindak dengan membawa suara supaya amalan riba dihapuskan ke parlimen.

“Usaha saya akhirnya menjadi kenyataan apabila parlimen negeri Punjab mengharamkan amalan riba dalam sistem jual beli, katanya pada konvensyen Halal Berasaskan Dinar dan Dirham di Dewan KTC hari ini.

Konvensyen sehari itu disertai wakil dari beberapa negara termasuk China, Indonesia, Iran, Thailand dan cendikiawan universiti tempatan.

Humaira berkata, perjuangan mengharamkan riba bagi memastikan generasi akan datang di Pakistan mendapat kefahaman lebih jelas mengenai riba yang diharam di sisi Islam.

Katanya perjuangan mengharamkan riba pernah dilakukannya semasa bertugas sebagai wartawan.

Presiden World Islamic Mint, Dr Umar Vandillo berkata, usaha yang dirintis kerajaan Kelantan sejak 2006 dengan memperkenalkan Dinar dan Dirham kini mendapat sambutan meluas di seluruh dunia.

“Model kewangan Islam itu bermula di Kelantan, kini sudah berkembang sehingga diperkatakan umat Islam di Indonesia, selatan Thailand, selatan Filipina dan banyak lagi.

“Kalau kita menggunakan wang kertas hanya laku dalam sebuah negara sahaja, sedangkan Dinar dan Dirham boleh digunakan tanpa batas sempadan negara,” katanya pada konvensyen tersebut sambil mencanangkan gagasan One World One Ummah.

Anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan memulakan semula keagungan tamadun Islam dengan menggerakkan kembali penggunaan Dinar dan Dirham.

Katanya, Dinar dan Dirham yang digunakan di Kelantan sekarang dipertingkatkan mencapai standard hologram.

“Apa yang kita dilakukan di Kelantan sekarang sebagai sebahagian sumbangan untuk umat Islam,” ujarnya ketika merasmikan konvensyen tersebut sebagai mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam juga berharap konvensyen tersebut mampu mencetus resolusi bagi memperluaskan lagi penggunaan mata wang syariah ke seluruh rantau negara Islam.

Speaker Parlimen Indonesia, Dr Marzuki Ali ketika membentang kertas kerja memberitahu negara terbabit memperkenalkan Bank Muamalat pertama pada 1991.

Kemudian telah diperkembangkan kepada Syariah Takaful Indonesia pada 1994 dengan nama PT Asuransi Takaful Indonesia di mana sekarang ada 120 cawangan.

Katanya, jumlah pelanggan PT Asuransi Takaful sekarang seramai 600,000 dengan nilaian pelaburan sebanyak 1.6 trilion Rupiah.

Dr Marzuki juga yakin penggunaan Dinar dan Dirham serta industri halal boleh berkembang di Malaysia, Thailand dan Indonesia melalui kerjasama segi tiga di posisi IMT-GT.

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran sertai PAS

Hazayani Zakaria, 18 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut sambil disaksikan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid.

Salleh berkata, beliau menyertai PAS atas pilihan sendiri dan yakin dengan petunjuk Allah selepas melakukan solat istikharah.

"Selepas bermesyuarat dengan ahli Parlimen PAS bulan lepas, saya terus berfikir, istikharah minta petunjuk dari Allah.

"Kalau PAS ini baik untuk saya, baik untuk perjuangan keluarga, agama dan negara saya minta Allah tunjukkan.

"Mungkin hidayah atau petunjuk yang diilhami daripada istikharah itulah yang membuatkan saya buat keputusan untuk masuk PAS," kata beliau ketika ditemui selepas itu.

Salleh, 68 pernah menjadi Adun dan ahli Parlimen Sarawak dan pernah bertanding sebagai calon Bebas menentang Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kerusi DUN Balingian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, tahun lalu.

Salleh yang berketurunan Melanau dari Oya, merupakan dua pupu Taib.

Beliau merupakan anak emas Tun Rahman Yaakob ketika menjadi ketua menteri dan gabenor dalam tahun 70-an dan 80-an itu, turut bersama Rahman dalam insiden Ming Court 1987 untuk menjatuhkan Taib.

Kini, Salleh giat melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah secara persendirian di Sarawak dan membuka beberapa sekolah tahfiz.

"Saya ada aktiviti dakwah untuk menyebarkan syiar Islam secara persendirian di Sarawak sebab kedudukan saya sebagai pembangkang, sukar saya nak mendapatkan laluan ataupun kemudahan daripada kerajaan.

"Bahkan saya nak mengadakan sekolah tahfiz 19 tahun lalu guru-guru agama datang dari Indonesia saya terpaksa hantar ke Sabah," katanya.

Tambahnya lagi, selepas mengenali PAS dengan lebih dekat, beliau yakin dengan perjuangan PAS membawa Islam.

Penyertaan beliau ke dalam PAS menambahkan lagi bilangan tokoh-tokoh pentadbir dan teknokrat yang bersama-sama dalam perjuangan Islam.

Dakwaan KGT terbabit skandal tak berasas – Husam

Aslani M, 18 Jun 2012
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyifatkan dakwaan mengatakan seorang pegawai kanan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT) terbabit dengan salah laku sebagai tidak berasas.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, berita tersebut jelas berniat jahat dan menyebarkan dakwaan yang bohong.

“Tindakan pihak terbabit secara jelas berniat jahat dan satu pembohongan yang cuba disebarkan kepada orang ramai,” katanya pada reaksi awal berhubung dakwaan kononnya KGT diselubungi skandal seperti dilaporkan media milik Umno hari ini.

Akhbar terbabit dalam laporan muka hadapan mendakwa KGT milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan berhadapan dengan kemelut salah laku terutamanya melibatkan salah seorang pegawai kanan syarikat terbabit.

Husam ditemui selepas perasmian Konvensyen Halal Berasaskan Dinar dan Dirham di Kelantan Trade Centre hari ini. Program berkenaan diadakan sempena Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012.

Hadir sama Speaker Dewan Rakyat Indonesia, Dr Marzuki Ali, Speaker Dun Kelantan, Dato’ Nasuruddin Daud, anggota Exco kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malek Kasim, anggota parlimen Punjab, Pakistan, Humaira Shahid.

Selain itu pakar ekonomi, Dr Borjayai Bardai, President of World Islamic Mint, Prof Umar Vadillo, wakil Persatuan Muslim China, wakil Thailand dan Iran.

Sementara itu pihak pengurusan KGT menjelaskan laporan Utusan Malaysia kononnya syarikat itu dilanda skandal tidak berasas sama sekali.

Katanya, dakwaan itu yang cuba mengaitkan KGT dengan seorang bekas pegawai kanan KGT tidak boleh diterima memandangkan beliau sekarang hanya bertindak sebagai penasihat syarikat sahaja.

“Dakwaan berlaku penipuan seperti dilaporkan tiada kaitan langsung dengan KGT,” katanya di sini.

Manakala dalam perkembangan terbaru petang ini Muhamad Yusri Amin melaporkan Husam menyerahkan kepada KGT untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Utusan dan bloggers berkenaan.

"Sebelum ini saya sudah dua kali menang dalam kes saman terhadap akhbar terbabit. Sebenarnya saya sudah lama tidak baca Utusan kerana mutu pemberitaannya. Keseluruhan dakwaan Utusan itu adalah berniat jahat.

"Seratus peratus karut, tidak ada satu pun fakta, ia hanya tujuan jahat dengan niat jahat terhadap saya dan kepada Dinar serta Driham yang sekarang mendapat sambutan hangat," katanya.

Menurutnya pihak terbabit cuba menghancurkan apa yang telah kita bina di mana Dinar dan Dirham mendapat sambutan meluas dan berkembang dengan cepat sekali.

Ditanya mengenai laporan polis terhadap pegawai KGT, Husam berkata, sehingga hari ini tidak ada mana-mana pegawai di syarikat berkenaan diminta polis untuk memberikan apa-apa kenyataan.

"Saya mencabar Utusan dan blogger terbabit menamakan pegawai yang dikatakan menyeleweng dalam KGT. Mungkinkah tindakan mereka itu sebagai salah satu cara untuk mengelakkan disaman sehingga nama orang berkenaan tidak disebut secara jelas.

"Dan orang yang dikatakan membuat laporan polis itu pun tidak pernah berurusan dengan KGT. Saya meminta mereka menyatakan bukti yang jelas," katanya.

Shura, Mapim lancar Tabung Bantuan Rohingya

Harakahdaily, 18 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Persidangan Tergempar Ulama Asean yang bersidang pada 16 Jun di Kuin , Alor Setar dihadhiri oleh wakil ulama dari Malaysia, Kemboja, Indonesia, Thailand telah melancarkan Tabung Bantuan Mustadh'afin Rohingya (TMR) untuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa keganasan etnik di Arakan.
“Tabung ini adalah di bawah pengendalian Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan beberapa NGO Islam yang lain yang bersetuju untuk segera bekerja mengumpul dana kemanusiaan untuk dihantar kepada mangsa Rohingya,” kata setiausaha kedua-dua NGO itu, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, tabung itu bertujuan untuk mengembleng rakyat Malaysia segera menyumbang bagi membela nasib warga Rohingya yang kini menderita akibat serangan etnik Rakhine yang mendapat sokongan dari pihak keselamatan Myanmar.


Menurutnya, sehingga ini lebih 1,000 rumah di 40 perkampungan Rohingya sudah dibakar, 10 masjid dimusnahkan, 30,000 menjadi pelarian.

Malah, ujarnya testimoni yang diterima langsung dari Arakan Merali telefon ialah keganasan menjadi-jadi sehingga ke tahap memperkosa anak gadis, mencincang mayat dan dicampak ke dalam rumah yang dibakar, menyerbu ke dalam rumah etnik Rohingya, menangkap dan menembak mati seisi rumah.


Katanya, keadaan di sempadan Arakan-Bangladesh semakin meruncing bila pihak keselamatan Bangladesh tidak membenarkan ribuan pelarian Rohingya untuk masuk menyelamatkan diri dari serangan kaum Rakhine dan polis Hluntin Myanmar.

Justeru, ujarnya bot yang dipenuhi kanak-kanak, wanita, orang tua, dan yang cedera ditembak oleh tentera dan polis Myanmar dipaksa berpatah balik ke Arakan.

Mereka, jelasnya lagi menyabung nyawa kerana makanan dan ubatan tidak dibekal oleh mana-mana pihak sekalipun.


Setakat ini, katanya pihak UNHCR telah mengeluarkan petugas dari kawasan Arakan kerana didapati keadaan semakin merbahaya.

“Kami dengan ini mengumumkan bahawa sumbangan untuk TMR boleh disalurkan  kepada Akaun  Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia BIMB bernombor 12047010037282.


“Sidang ulama Asean ini juga telah memutuskan agar bantuan dari sumbangan orang ramai akan dihantar segera kepada mangsa dikalangan umat Islam Rohingya, Arakan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, rancangan sedang digerakkan untuk menghantar bantuan melalui kapal laut bagi memastikan pelarian mendapat bantuan makanan, ubatan secepat mungkin.


Justeru, ujarnya seluruh pertubuhan masyarakat yang cintakan kebenaran dan keadilan diseru agar melancarkan kutipan derma untuk pihak sekretariat Mapim dan Shura sampaikan kepada pihak yang beramanah amanah di Arakan.

PRU musim haji: Majlis Fatwa perlu bertindak

Harakahdaily, 18 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ingin bertegas untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengeluarkan fatwa atau sekurang-kurangnya pendirian umum Majlis Fatwa berkenaan dengan isu mengadakan pilihan raya dalam musim haji. Timbalan Ketuanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata ini ekoran kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli-ahli dan para penyokong PAS yang akan menunaikan haji pada tahun ini menundakan haji mereka untuk mengutamakan Pilihan raya Umum ke-13 mendapat hentaman hebat bertubi-tubi daripada pihak media arus perdana yang dikelolai Umno dan BN.
Beliau berkata, seandainya Datuk Seri Najib Razak tetap ingin mengadakan pilihan raya semasa musim haji, maka seramai lebih kurang 20 ribu rakyat Malaysia yang sedang menunaikan haji telah terlepas dan terhalang haknya untuk memilih dan mengundi.
"Apa yang membimbangkan DPPM dan mengecewakan seluruh rakyat Malaysia amnya, sehingga hari ini Perdana Menteri Malaysia masih bermain tarik tali untuk membubarkan parlimen dan sekaligus mengumumkan tarikh pilihanraya umum ke-13," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, jika Majlis Fatwa Kebangsaan Jakim mampu bersuara dan mengeluarkan fatwa untuk aktiviti yang berkaitan dengan pihak pembangkang, maka amatlah wajar Majlis Fatwa untuk mengeluarkan fatwa dan pendirian berhubung dengan isu yang amat besar ini walaupun ia berkaitan dengan Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, selari dengan fungsi yang ditetapkan oleh pihak Jakim terhadap bahagian Pengurusan Fatwa, Majlis Fatwa menjadi penasihat kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal-hal berkaitan dengan fatwa dan juga menjadi sumber rujukan dengan mengemukakan fatwa sebagai penyelesaian terhadap setiap permasalahan berkaitan hukum-hakam.
"Isu mengadakan pilihanraya semasa musim haji adalah isu yang amat besar dan serius, kerana ia melibatkan kehormatan kita sebagai umat Islam terhadap musim ibadah tersebut dan juga hak rakyat Malaysia seramai lebih kurang 20 ribu orang yang terjejas dan kehilangan hak memilih, Majlis Fatwa mesti bertindak cepat sebelum terlambat," katanya lagi.
Ini, jelasnya mengambil ibrah tercetusnya perjanjian Hudaibiyah, apabila Rasulullah S.A.W dan para sahabat bermusafir ke Makkah dengan berpakaian ihram dan tidak membawa senjata kerana menghormati asyhurul ahram (bulan-bulan mulia yang diharamkan peperangan oleh Allah).
"Saya mewakili DPPM berharap agar pihak yang berwajib yang menanggung amanah ini tidak mengambil sikap sambil lewa dalam menangani permasalahan umat seperti ini, janganlah bersikap memilih bulu pihak-pihak berkepentingan sahaja dalam hal ini demi menjaga kemaslahatan yang lebih besar," ujarnya.

Tiada ulasan: