Rabu, 13 Jun 2012

BILA KITA BUAT NIATNYA TAK ELOK...KADANG2 HASILNYA MENGEPONG DIRI SENDIRI...DIMANA KESALAHAN2 SERTA DOSA2 KITA MENGEPONGNYA...HINGGA BILA NAK MEMBELA DIRI...DAH SUSAH....LAGI BELA LAGI TERANG KESALAHAN DAN DOSA ITU...BELA ITU NAMPAK BERBENTUK KITA MENGAKU MEMANG KITA ADA MEMBUATNYA...

Bukit Kepong: Jangan buang masa teruskan kes

Hazayani Zakaria, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 12 Jun: Pihak pendakwa disaran menutup kes dan membebaskan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu daripada pertuduhan memfitnah polis Bukit Kepong.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi (gambar) berkata, Jabatan Peguam Negara tidak perlu membuang masa meneruskan kes itu kerana jelas ia cuma pendakwaan politik.

Tambahan pula katanya, saksi pertama kes itu sendiri mengaku membuat laporan polis pada tahun lepas hanya berdasarkan laporan akhbar Utusan Malaysia dan meminta maaf kepada Mohamad Sabu serta mahu beliau dibebaskan.

"Sepatutnya Jabatan Peguam Negara memberhentikan kes ini dan membebaskan Mohamad Sabu dari sebarang pertuduhan kerana jelas tak ada kes sebenarnya.

"Mohamad Sabu menyatakan pandangan beliau mengenai sejarah, tiada niat menghasut  jadi mahkamah bukan tempat yang sepatutnya untuk mengadili beliau. Pendakwa jangan buang masa, buang duit dan buang tenaga teruskan kes ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Zamri berkata, dakwaan kes seperti ini hanya menunjukkan sistem perundangan di negara ini digunakan untuk tujuan politik dan dalam masa yang sama menenggelamkan kes-kes besar yang lain.

"Sekali lagi kita lihat sistem perundangan dan kehakiman diperkudakan untuk tujuan politik. Daripada awal lagi kita melihat kes ini tidak patut dibawa ke mahkamah.

"Mahkamah jangan jadi bahan lawak antarabangsa sedangkan kes melibatkan skandal-skandal besar negara dibiarkan," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa.

Beliau turut mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar membuat transformasi secara menyeluruh termasuk dalam sistem perundangan bagi membuktikan beliau 'bapa transformasi'.

"Kalau Najib betul nak jalankan transformasi, transformasikan semua sistem, jangan biarkan mahkamah jadi medan politik. In merupakan kad merah untuk Najib," katanya.

Semalam, Visvanathan yang merupakan pesara polis berulang-ulang kali memohon maaf kepada Mohamad selepas perbicaraan kes di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan itu berlangsung.

Taktik bom: RM1.5 juta tambahan tiap parlimen BN

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa BN akan menggunakan 'taktik bom' menabur wang kepada rakyat agar mengundi parti itu mungkin benar apabila semalam perdana menteri meluluskan pemberian RM1.5 juta kepada setiap parlimen BN.

Difahamkan dalam pertemuan pre-coucil dengan ahli-ahli parlimen BN semalam, Datuk Seri Najib Razak juga membenarkan mereka membelanjakan RM1,000 hingga RM5,000 secara tunai kepada pengundi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan tersebut menunjukkan sikap terdesak dan cemas BN.

"Menampakkan sikap yang agak terdesak yang membenarkan ahli parlimen boleh belanja wang tunai RM1,000 hingga RM5,000 kepada pengundi.

"Ini mengikut kefahaman saya dalam peraturan kewangan, sangat tidak wajar," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Difahamkan juga, sejumlah RM300,000 awal akan diberikan kepada setiap parlimen BN pada Khamis ini.

"Dia (Najib) beritahu minta disegerakan dan tumpu kepada pemuda dan wanita, kalau perlu RM1,000 bagi RM5,000 bagi, kerajaan akan pertahankan tindakan itu.

"Langkah paling baik adalah bantahan rakyat dan pilihan raya," katanya.

Sebelum ini, bekas menteri kabinet yang isytihar keluar Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendedahkan, BN sedang menggunakan 'taktik bom' iaitu menabur wang untuk membeli undi di kampung-kampung.

 


 


 

Takut-takut Mohamad bermimpi di siang hari

Aspan Alias, 12 Jun 2012
Saya telah dihubungi oleh beberapa pemimpin UMNO Baru di Negeri Sembilan dan meminta saya membuka Free Malaysia Today kerana ada berita hangat yang akan saya temui. Bila saya bertanya apa beritanya dia menjawab, “Baco lah bang. Ado coghito Mad Hasan nak botanding di Paroi. Nak tumpaskan PAS terus bang” katanya.
Setelah sampai ke rumah saya pun membelek-belek apa kah benar cerita yang di katakan oleh AJK Bahagian UMNO itu. Benar, ada berita tentang kecenderungan MB Negeri Sembilan untuk bertanding di DUN Paroi untuk menentang YB Taufek (gambar) yang kini ahli Legislatif Negeri Sembilan mewakili  DUN Paroi itu.

Sebenarnya saya percaya apa yang di tulis oleh FMT itu. Kalau berita itu datangnya dari Utusan, kita terpaksa berfikir panjang untuk mempastikan berita itu benar atau pun tidak Ini adalah kerana akhbar milik UMNO itu belum lagi berjaya menulis berita-berita yang benar. Akhbar milik UMNO itu tidak ‘professional’ dan tugasnya hanyalah untuk memecah belahkan pihak-pihak yang hendak bersatu. Akhbar itu tidak sedar yang semua rakyat kini mahu bersatu, tetapi diluar UMNO dan BN.

Saya tidak terkejut jika Mohamad mengambil keputusan beralih kawasan dari Rantau ke mana-mana kawasan DUN yang lain.  Saya tidak perlu memberikan sebab-sebab secara ‘detail’ kenapa beliau mahu berhijrah ke kawasan yang baru tetapi cukuplah jika saya katakan yang Rantau tidak lagi kawasan yang selamat bagi beliau. Pengundi Rantau hanya menunggu masa untuk menolak beliau di dalam PRU yang akan datang ini.

Ramai pengundi Rantau yang pasti kecewa kerana tidak sampai hajat mereka untuk melihat Mohamad ditewaskan oleh orang-orang kampungnya sendiri. Tindakan Mohamad untuk berhijrah ke Paroi itu memang mudah untuk beliau lakukan kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau dalam mana Paroi adalah salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Rembau. Beliau juga adalah Pengerusi kepada Badan Perhubungan Negeri Sembilan.
Mengikut berita itu, Mohamad bertindak berpindah itu kerana beliau mahu menambah aura pilihanraya dengan bertanding melawan satu-satunya ADUN PAS dan ia kononnya akan memberikan uumph yang lebih untuk beliau memenangi kembali kerusi-kerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya yang lalu.

Baguslah kalau begitu niatnya, tetapi apakah itu sebab yang sebenarnya beliau hendak menukar kawasan itu?  Jawapannya ada dipemikiran pengundi-pengundi di NS dan tidak payah kita sebut-sebut lagi.

Boleh kah Mohamad berjaya menumpaskan YB Taufek dari PAS itu sedangkan beliau hanya berjaya memenangi kerusi Rantau dengan majoriti kecil semasa menentang tukang jahit dari PR dalam pilihanraya yang lalu? Kalau di Rantau tempat kariah dan kampungnya sendiri beliau tidak berani bertanding, bagaimana kah perkiraan beliau yang beliau boleh berjaya denagan cemerlang di Paroi?

Bagaimana kah perkiraan pengundi-pengundi di seluruh Negeri Sembilan dengan penghijrahan itu. Tidak kah mereka berfikir yang penghjrahan itu adalah untuk lari dari kawasan yang beliau wakili sekarang kerana beliau telah merasakan yang pengundi di DUN Rantau sudah tidak lagi diyakini memberi beliau sokongan kali ini?

Tidakkah beliau merasakan yang walaupun mungkin beliau merupakan ‘winnable candidate’ untuk Paroi, tetapi tindakan itu akan menjejaskan prestasi UMNO di kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan. Berita ini merupakan berita yang amat menarik, kerana seorang yang bergelar MB yang bertindak lari dari kawasan beliau sendiri dengan alasan yang melakukannya sebagai ‘gerakan strategik’ untuk menumpaskan PAS.

Kalau beginilah keadaannya maka teori saya yang mengatakan yang sekarang ini hakikatnya BN sebenarnya sedang melawan PAS, bukannya PAS yang hendak melawan BN. Lain-lain perkataan PAS dan PR di Negeri Sembilan sedang mendahului BN secara psikoloji nya. BN pula yang sedang bersilat mengikut rentak dan tari PR pula.

Bagaimana pun kita tahu PAS tidak akan mampu ditumpaskan lagi. PAS sudah menyelinap jauh kedalam sanubari rakyat, bukan sahaja dikalangan orang Melayu tetapi juga mendapat sambutan dari semua kaum dinegara ini, termasuk di Negeri Sembilan sendiri.

YB Taufek akan tetap menjadi wakil bagi rakyat kawasan Paroi di Dewan Legislatif Negeri Sembilan itu, insyaallah. “Takut-takut Mohamad Hasan hanya bermimpi di siang hari sahaja” kata beberapa orang pimpinan UMNO di Negeri Sembilan.

Kalaulah benar berlaku pertembungan di antara Mohamad dengan Taufek di Paroi ianya adalah pertandingan di antara seorang yang sentiasa merendah diri dan berperibadian baik dengan seorang yang sombong dan meninggi diri yang merasakan dirinya sebagai pemimpin yang datang dari langit. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Selamatkan saki baki Muslim Rohingya

Majdan Dagang, 12 Jun 2012

(Warga Rohingya berkumpul di Kuala Lumpur bagi membantah pembunuhan keluarga mereka di sana)

KUALA LUMPUR: Warga Rohingya telah berkumpul berhampiran kedutaan Amrika Syarikat dekat sini memohon bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan saki baki keluarga mereka yang berada di Myanmar sebelum terlambat.

Mereka merayu bantuan antarabangsa menangani insiden terbaru yang berlaku di wilayah Arakan, Myanmar sekarang ini.

Selain menghantar memorandum rayuan bantuan ke kedutaan Amerika Syarikat, mereka juga menghantar memorandum yang sama ke kedutaan British, China, Rusia dan Perancis.

Dianggarkan lebih 1,000 orang warga Rohingya berkumpul bagi menyatakan bantahan mereka sambil memegang pelbagai sepanduk yang mengecam tindakan penghapusan etnik oleh puak Rakhine.

Menurut jurucakap perhimpunan, Abdul Ghani, Timbalan Presiden, Rohingya Society in Malaysia (RSM), sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera.

Angka itu dijangka terus meningkat kerana tiada usaha daripada mana-mana pihak menghentikannya – termasuk pihak polis dan tentera Myanmar.

Beliau bimbang jika pihak antarabangsa lambat bertindak, kemungkinan semua Muslim Rohingya akan lenyap daripada bumi Arakan.

Dalam memorandum tersebut, Muslim Rohingya melalui wakil NGO di Malaysia iaitu NDPHR, MERHROMRSM, RARC dan ERCA mendesak supaya PBB menghantar segera pasukan pengaman agar penghapusan etnik dapat dihentikan.

Mereka meminta PBB menghantar misi segera ke kawasan serius dan menyelamatkan baki Muslim Rohingya yang masih hidup.

Pada masa yang sama meminta agar media antarabangsa dibenarkan masuk dan memantau keadaan di seluruh Arakan.

Di samping itu, bagi membantu mangsa yang tercedara, bantuan kemanusiaan dan bantuan perubatan hendaklah dibenarkan masuk bagi membantu mangsa yang cedera dan kebuluran.

Perhimpunan ini juga menuntut Junta tentera Myanmar memberi maklumat sebenar situasi di wilayah Arakan dan mendesak PBB dan badan penyiasat bebas menjalankan siasatan agar penjenayah dapat didakwa.

Salah seorang peserta perhimpunan yang dikenali sebagai Husin Ahmad bin Jalal Ahmad mendesak agar pihak media dibenarkan masuk ke sana bagi melaporkan keadaan sebenar.

“Ibu dan ayah saya masih di sana dan kami tidak tahu nasib mereka sama ada masih hidup atau sudah dibunuh,” ujarnya yang telah menetap di Malaysia sejak 25 tahun yang lalu bersama isterinya.

WWW 1: Pemuda PAS cabar Pemuda Umno berdebat

Muhammad Faeez, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Perak mencabar Pemuda Umno Johor berdebat dalam isu pembidaan plat WWW 1.


Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Pemuda Umno Johor telah membohongi rakyat Johor tentang kemelut bidaan plat yang sedang hangat diperkatakan ini.


Menurutnya, Pemuda Umno Johor telah menjadikan mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai sasaran utama dengan mengheret rakyat Johor terhadap isu bidaan nombor plat WWW 1 yang berharga RM520,000.


“Kami sangat kesal dengan tindakan Pemuda Umno yang meracuni pemikiran.


“Justeru kami mengajak Pemuda Umno berdebat tentang isu ini bagi merungkai perkara sebenar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. Ahli Parlimen Pokok Sena dan Bukit Gantang, Datuk Mahfuz Omar dan Nizar turut serta.


Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, pihaknya akan menghantar semua bukti-bukti tentang penghinaan Kosmo terhadap Sultan Johor berhubung isu bidaan plat WWW 1.


Tambahnya, Pemuda PAS hairan sehingga hari ini pihak polis langsung tidak membuat kenyataan dan tindakan kepada akhbar Kosmo dan ianya menggambarkan pihak Polis ‘memilih bulu’ dalam membuat sesuatu tindakan.


Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu juga mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menteri Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini.

“Kenapa pada 2010 isu bidaan plat MCA 1 yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?

“Apa agenda sebenar akhbar Kosmo dan siapa di belakang akhbar ini?,” soal beliau.

Terdahulu, Pemuda PAS Perak mendedahkan akhbar Kosmo yang sudah lama memainkan isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1.


Sebanyak enam keluaran sejak 8 April akhbar kepunyaan anak syarikat Utusan Malaysia itu telah mensensasikan isu bidaan ini dan Pemuda PAS telah mendesak pihak Polis turut membuat siasatan terhadap akhbar Kosmo.

Buku Nik Aziz masuk pasaran Indonesia

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Buku karya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertajuk 'Bertemu Janji Allah' akan memasuki pasaran Indonesia tidak lama lagi.


(Masri menunjukkan buku TG Nik Aziz yang akan dialihbahasa ke Indonesia untuk membolehkan ia dipasarkan di sana)

Buku yang diterbitkan oleh penerbit tempatan, Kemilau Publika ini sedang dialih bahasa ke Bahasa Indonesia untuk membolehkan ianya dijual di sana.

"Kami mengadakan kerjasama dengan penerbit dan penjual buku di sana untuk mengedarkan buku ini di sana," kata penerbitnya, Masri Abu Soed kepada Harakahdaily.

Buku 'Bertemu Janji Allah' juga menjadi sejarah tersendiri bagi penerbitan ini kerana buku edisi Bahasa Malaysia juga dicetak di Indonesia.

"Buku ini berkulit keras dan di cetak di Solo, mula sampai ke pasaran Malaysia awal Jun," kata beliau.

(Buku 'Bertemu Janji Allah' yang baru sampai dari Indonesia)

Buku ini adalah kompilasi dari kuliah Tok Guru Nik Aziz yang boleh dianggap segar sepanjang masa.

Untuk permulaan, edisi Malaysia telah dicetak 5,000 manakala untuk edisi Indonesia juga akan dicetak 5,000.

Harga buku ini adalah RM39.90 di Malaysia manakala harga untuk edisi Indonesia masih dalam penilaian pihak penerbitan.

Ia diterbitkan dengan kerjasama Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka yang merupakan sekolah yang diasaskan oleh keluarga Tok Guru Nik Aziz.

Tiada ulasan: