Sabtu, 4 Februari 2012

PERPADUAN ITU PENTING....PECAH DAN PERINTAH...NI PUNCA PECAH BELAH SERTA MENERIMA KEKALAHAN...BERSATULAH DEMI ALLAH...

Stadium RM292 juta tidak boleh digunakan lagi

Zulkifli Sulong,04 Feb 2012
KUALA TERENGGANU, 4 Feb: Stadium Sultan Mizan yang terletak di Gong Badak sudah tidak boleh digunakan lagi dan bakal diruntuhkan begitu saja.

Perkara ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di sini. 

"Stadium tu tak boleh guna dah, kena peruntuh dan buat yang lain," kata Abdul Wahid ketika berucap merasmikan forum kepenggunaan Terengganu di Kuala Ibai hari ini.

Stadium itu siap dibina pada tahun 2008 dengan kos RM292 juta dan gunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2009.

Sebahagian bumbungnya runtuh selepas itu dan dibiarkan tanpa digunakan sehingga kini.

Media melaporkan baru-baru ini sebanyak RM50 juta harta stadium itu hilang akibat kecurian selepas ia runtuh.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengakui kes kecurian itu namun menafikan jumlah kerugian sehingga RM50 juta itu.

Menurut Abdul Wahid, kerajaan negeri Terengganu membayar RM2.2 juta untuk mengkajinya dan RM6 juta lagi dibelanjakan untuk meruntuhkan bumbung yang belum runtuh.

"Namun saya mendapat maklumat, stadium itu sudah tidak selamat lagi untuk digunakan.

"Samalah macam bangunan pasaraya dekat stesen bas tu, siap tetapi tidak boleh digunakan," kata Wahid yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau dipercayai merujuk kepada bangunan sebuah pusat membeli belah yang mula dibina sejak tahun 1990an tetapi hanya siap sejak beberapa tahun lalu.

Namun begitu, hanya sebuah restoran makanan segera yang beroperasi di bahagian tepinya namun bangunan itu dikatakan tidak selamat untuk digunakan keseluruhannya akibat dari struktornya yang sudah terlalu lama.



PR Pahang akan selesai masalah tanah rakyat

Basiron Abdul Wahab,04 Feb 2012
TEMERLOH, 4 Feb:Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas kegagalan kerajaan BN meluluskan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah sebaliknya memberikan tanah kepada syarikat swasta.

Katanya, jika Pakatan Rakyat berkuasa, kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada rakyat dengan menyelesaikan isu tanah yang kini menjadi isu besar bagi rakyat Pahang terutama golongan muda.

Menurutnya, seperti yang dijanjikan didalam buku jingga, Pakatan Rakyat akan menutup Felda Plantation dan tanahnya akan diagih-agihnya kepada rakyat yang layak.

Di Pahang , kata beliau terdapat lebih kurang 134 ribu hektar ladang Felda Plantations yang mampu mengisi ribuan peneroka.

“Kita akan agih-agih tanah tersebut kepada rakyat yang berkeyakan dan sudah tentu ia mampu menyelesai sebahagian besar masalah itu,” katanya ketika berucap pada majlis dialong di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul dekat sini, semalam.

Katanya, dasar kerajaan negeri sekarang dilihat lebih mengutamakan pelabur asing dan syarikat korporat untuk mendapat tanah.

Beliau memberi contoh bagaimana syarikat Lynas yang penuh kontroversi itu telah beri tanah kira-kira 200 ekar sedang masih ramai rakyat Pahang belum mempunyai tanah untuk tapak rumah.

Perpaduan rakyat punca Ikhwan Muslimin menang

Aziz Muda,04 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 4 Jan: Ikhwan Muslimin Mesir secara jujur mengakui kemenangannya pada pemilihan Parlimen pertama negara itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu bukanlah kerana kekuatan strategi yang disusun oleh pihaknya.  

Malah, penyertaan Ikhwan dalam pilihanraya itu tanpa sebarang strategi dan hanyalah dengan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pemilihan mengikut kehendak masing-masing   

Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen berkata, kemenangan pihaknya pada pilihanraya itu jelas tercapai hasil perpaduan dan keinginan rakyat untuk bersama-sama menjatuhkan pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak. 

Menurutnya, sebelum revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu, keseluruhan rakyat Mesir telah bersama-sama menzahirkan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak untuk digantikan dengan kerajaan lain yang lebih baik. 

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat Mesir ternyata lebih yakin dengan Ikhwan Muslimin untuk memimpin kerajaan baru yang diingini oleh mereka itu.

"Mereka sendiri lebih yakin dengan calon-calon Ikhwan Muslimin, sejajar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Ikhwan yang diyakini lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya ketika ditemui Harakahdaily dan Harakah cetak, di sini, malam semalam.      

Keputusan akhir pilihanraya Parlimen pertama Mesir yang diumumkan pada 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Pilihanraya pertama yang diadakan setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak itu turut menepati ramalan beberapa pihak, apabila parti milik Ikhwan Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen).  

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Media melaporkan, Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Mesir, Abdul Moez Ibrahim ketika mengumumkan keputusan itu menjelaskan, jumlah pengundi yang keluar mengundi sebanyak 54 peratus. 

Dengan keputusan itu juga, FJP telah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.

Bagaimanapun, berdasarkan sistem pemilihan presiden di negara itu, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bukan dari parti yang memenangi pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan. 

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen pula dijangka akan diadakan pada bulan ini dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Menurut Gomaa, perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang tidak memerlukan pihaknya menyusun strategi tertentu untuk menghadapi pilihanraya kerana rakyat negara itu sendiri sudah berhasrat untuk melakukan perubahan.  

Katanya, sebelum dihalang oleh Kerajaan Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin memang pernah terlibat dalam pilihanraya di Mesir dan rakyat juga sudah tahu tentang dasar-dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam di negara itu.

"Jadi apabila revolusi rakyat tercetus, rakyat dengan sendirinya akan memilih parti Ikhwan Muslimin dan parti Islam kerana hanya parti Islam sahajalah yang diyakini mampu memberikan perubahan ke arah yang lebih baik seperti yang diingini oleh mereka sendiri," tegasnya. 

Perlaksanaan sistem perundangan Islam

Dengan kemenangan itu, tambahnya, Ikhwan Muslimin pasti akan berusaha merealisasikan dasar-dasar perjuangannya di negara itu dengan perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam pelbagai aspek. 

"Pengasas Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Bana sendiri sememangnya meletakkan asas perjuangannya adalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam dan matlamat itu tetap akan diutamakan oleh para pemimpin Ikhwan Muslimin sepanjang masa.  

"Dalam hubungan ini, kami akan bertindak berdasarkan keutamaan kerana perlaksanaan sistem perundangan Islam tidak hanya terhadap hukum hudud," katanya.

Sebaliknya, penekanan awal yang akan diberikan oleh pihaknya adalah terhadap pendekatan cara hidup rakyat dan bidang pendidikan agar selaras dengan kehendak Islam.  

Setelah rakyat didedahkan dengan cara hidup yang betul seperti yang dikehendaki Islam dan pendidikan pula diterima secara menyeluruh, beliau yakin kesemua pihak pasti akan dapat melihat individu-individu Islam yang hebat dalam pelbagai aspek. 

"Itulah yang akan diusahakan oleh Ikhwan Muslimin dan penekanan itu pula tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki, tetapi juga kepada kaum muslimah di Mesir," katanya. 

Kemenangan dalam pilihanraya, ujarnya, adalah fasa pertama dari perjuangan Ikhwan Muslimin hasil penerimaan rakyat negara itu terhadap dasar-dasar perjuangannya.  

"Fasa keduanya iaitu perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam aspek-aspek lain pula akan dimulakan dengan penggubalan undang-undang pada persidangan Parlimen nanti," tegas beliau.

Kehadiran Gomaa ke negara ini atas undangan Majlis Penyelarasan Gerakan Islam Sedunia yang bersidang di Kuala Lumpur pada 31 Januari hingga 1 Februari lalu.   

Pertemuan sekitar sejam dengan Harakahdaily bermula jam 9.30 malam itu turut dihadiri Mohd Faiz Nawi dari Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, manakala Wartawan Kanan Harakah Cetak, Zainuddin Hashim turut berperanan sebagai penterjemah.

Tiada ulasan: