Selasa, 14 Februari 2012

APA PUN..KEKUATAN ISRAEL..KEBIJAKSANAAN ISRAEL TIDAK DAPAT MENGATASI KEKUASAAN ALLAH...KEKUASAN SERTA KEBIJAKSANAAN MANUSIA@MAKHLUK ADALAH TERHAD LAGI TERBATAS...ITU SEBAB KITA JADI SYIRIK JIKA LEBIH TAKUT MANUSIA@MAKHLUK DARI ALLAH SWT..HINGGA TAKUT BERCAKAP YANG HAQ@BENAR..KHUATIR PANGKAT LUPUT,TAK NAIK PANGKAT@GAJI,BERHENTI KERJA DLL..JADILAH MEREKA NI SYAITAN BISU SERTA SYAITAN PENGAMPU...INI YANG KATAKAN MEMINTA RAHMAT MANUSIA BUKAN RAHMAT ALLAH...SIKAP BEGINI PUN RASA DIRI HEBAT@UJUB....

Israel: Dewan Ulamak sokong pendirian Mursyidul Am

Harakahdaily, 14 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 14 Feb: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel seperti mana yang dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ) atau bertindak menyaman majalah itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membuat gesaan itu dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr. Khairuddin Razali menyatakan pendirian itu ketika mengulas kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am yang dikeluarkan semalam.

“Kenyataan ini adalah bukti yang jelas bahawa PAS tetap akan menyuarakan pandangannya dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak apabila membicarakan tentang isu-isu prinsip Islam.

“PAS tidak akan menjual prinsipnya dalam memperjuangkan Islam,” ujar beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh turut menyatakan sokongan tegas yang sama kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz itu.

Menurutnya, Dewan Ulamak akan terus bertegas mempertahankan isu Palestin sebagai prinsip utama perjuangan membela rakyat negara itu.

Semalam, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik berkata, “Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.”



PAS dan negara haram Israel


10 Feb 2012

Bumi Palestin dimuliakan sejarahnya oleh Nabi Ibrahim A.S. Bapa kepada para nabi selepasnya yang diiktiraf oleh semua penganut agama samawi. Nabi Muhammad  S.A.W. dilahirkan daripada zuriatnya yang dihantar ke Makkah, yang dianugerah Allah kepada Ibrahim A.S. kerana jasa perjuangannya yang besar menentang syirik dan zalim oleh kuasa terbesar dunia di zamannya iaitu kerajaan Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud.

Bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam, selepas Makkah yang dibuka oleh Ibrahim A.S. dan Madinah tempat Hijrah Rasulullah S.A.W. Palestin dimuliakan  kerana ramainya para Rasul dilahirkan di situ dan berpijak di atasnya  kaki para anbiya’  dan banyak darah para syuhada daripada kalangan Nabi dan ulama, kerana dibunuh oleh bangsa Yahudi  dengan zalimnya, menyebabkan mereka dilaknat Allah sehingga hari Qiamat. Allah juga menjadikan kiblat pertama bagi umat Islam di bumi Palestin. Di sini juga tampat berakhirnya  Isra’ dan bermulanya Mikraj Rasulullah S.A.W. ketika dijemput menjadi tetamu Allah. Maka  yang layak memakmurkan Palastin ialah  mereka yang beriman dan budiman.

Agama Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang  penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka. Sejarah membuktika hanya pemimpin Islam sahaja dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.

Kejayaan tentera Islam di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. membebaskan Palestin daripada penjajahan Romawi disambut oleh Paderi besarnya dengan meminta Khalifah Umar  datang menyaksikannya. Maka Khalifah Umar datang sehingga mengunjungi gereja besarnya, kemudian dimeteraikan perjanjian yang memberi hak yang adil kepada semua, kerana selama ini penjajah Romawi Byzantin yang beragama Kristian  mazhab Ortodok, tidak melayani mereka yang tidak semazhab dengannya dan kerajaan Yahudi pula menzalimi mereka yang tidak seagama dengannya. Hal yang sama berlaku dalam era kelemahan kerajaan Islam, sehingga tentera salib menakluk Palestin. Keadaan  menjadi baik semula, setelah Sultan Salahuddin Al Ayyubi daripada bangsa Kurdis dapat mengalahkan tentera Salib yang zalim dan membebaskan semula bumi Palastin. Lalu melayani semua pengunjungnya dengan adil.

Di zaman mutakhir, malapetaka menimpa bumi Palestin dengan memuncaknya keganasan, setelah Palestin dirampas dengan ganas oleh penjajah Barat yang menyimpan dendam terhadap Islam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan umat  Islam Arab yang memperkecilkan Islam dan membesarkan kebangsaan Arab sehingga melebihi Islam dan mengatasinya. Dalam pembahagian tanah air yang dijajah di kalangan penjajah barat, maka Palastin jatuh ke dalam bahagian penjajahan British. Perjanjian Balfore dimeteraikan di antara pemimpin Zionis Yahudi dangan Menteri Luar British, Lord Balfore bagi menyerahkan bumi Palastin kepada golongan Zionis untuk mendirikan negara kebangsaan Yahudi dinamakan Israel. Kalangan penganut mazhab Ortodok Yahudi menentangnya dan memberi amaran bahawa tindakan ini bercanggah dengan ajaran mereka dan boleh menguburkan bangsa Yahudi. Kalangan sekular yang memisahkan agama Yahudi daripada politik melakukan kesalahan besar ini,  semata-mata menegakkan semangat kebangsaan dengan alasan sejarah bohong, bagi negara agung Israel yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. sehingga  menakluk dunia.

Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore  yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak  perang dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.

Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.

Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar  yang menghalalkan negara haram Israel  memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan kuasa veto paling zalim.

Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Bagi kami, hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak.

Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi  sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh.

Bagi Penganut Islam, bacalah firman Allah dalam beberapa surah. Di antaranya firman Allah:
وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (61 ) البقرة.
61.  Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas.
Firman Allah:
إنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (21) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (22 ) آل عمران .
21.  Sesungguhnya orang-orang yang engkar kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka, bahawa mereka akan menerima siksa yang pedih.
22.  Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong.

Bagi penganut Islam yang mendirikan solat lima waktu yang diwajibkan, memanjatkan doa pada tiap-tiap rakaat sembahyangnya supaya dijauhkan bersifat golongan yang dimurkai Allah, maksudnya seperti golongan Zionis Yahudi tersebut.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Beda situasi Najib dengan Pak Lah

Ahmad Lutfi Othman, 10 Feb 2012
Walaupun saya lebih cenderung dengan pendapat bahawa tarikh pilihan raya umum ke-13 tidak akan berlaku dalam waktu terdekat, namun ia bukan bermakna segala persediaan intensif jentera Pakatan Rakyat selama ini boleh dikendurkan.

Ia harus dilihat sebagai suatu peluang terakhir untuk memperkemas persiapan berdepan "pertarungan paling sengit yang sukar dijangkakan". Rata-rata pemerhati berpendapat PRU13 adalah kesempatan terbaik buat rakyat Malaysia menukar kerajaan persekutuan -- potensi yang tidak pernah dinikmati generasi sebelum ini.

Selaku orang paling berkuasa untuk menamatkan teka-teki yang berlanjutan sebegitu lama, Perdana Menteri Najib Razak pastinya begitu teliti dan cerewet memilih tarikh keramat itu. Berbanding presiden Umno dan pengerusi BN sebelum ini, beliau berada dalam posisi paling sukar. Survival Umno-BN berada di tangannya.

Malaysian Insider mendedahkan, sumber BN berkata pentadbiran Najib percaya terlalu berisiko untuk mengadakan pilihan raya umum sekarang disebabkan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dan soal kenaikan gaji untuk 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam (SBPA). Tarikh yang difikirkan sesuai adalah seawal separuh kedua tahun ini.

(Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali Alhabshee berkata kontroversi NFC perlu diselesaikan sebelum PRU13: "Jangan salahkan rakyat  jika mereka beralih sokongan disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan kepentingan umum termasuk NFC.")

Sesungguhnya suara dan kehendak rakyat selepas tsunami 8 Mac 2008 tidak mudah ditelah lagi. Selepas empat tahun menang besar pada 21 Mac 2004, Abdullah Ahmad Badawi  ternyata gagal membaca mesej dan isyarat akar umbi. Belum sempat mengubati duka ekoran tamparan hebat keputusan PRU12, beliau dipaksa turun oleh rakan-rakan rapatnya dalam Umno.

Meskipun seorang perdana menteri dibantu pelbagai kemudahan strategik (tidak terkecuali agensi perisik) dan sokongan kewangan yang melimpah, juga dengan bantuan penasihat sekeliling pinggang, ia belum menjamin kelangsungan hayat gabungan parti yang diterajuinya.

(Ironinya, seringkali berlaku, bagi mana-mana regim yang meniti sakratul maut, seperti yang menimpa Suharto dan ramai diktator di Timur Tengah, perhitungan di waktu kritikal kerap tersasar. Keputusan yang dipilih sebenarnya makin mempercepatkan lagi kuasa rakyat meratah kerakusan mereka).

Jika Abdullah boleh tertipu dengan petunjuk di sekitarnya, sehingga gagal memahami realiti dan menangkap maksud simbol-simbol di hadapannya, apakah hebatnya Najib untuk tidak mungkin mengulanginya lagi?

Memang situasi yang dihadapi Abdullah dan Najib itu berbeda.

Abdullah dan sekutunya (termasuk anak menantu dan perancang kempen di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri) terleka dan dibuai kemenangan gemilang 2004, serta langsung tidak menduga rakyat Malaysia bijak menggunakan kesempatan dalam kotak undi. Malah pembangkang sendiri tidak membayangkan akan memperolehi sokongan luar biasa itu. Semuanya terkedu.

Najib sekarang amat menyedari bahawa Putrajaya bakal terlepas tangan jika tiada langkah berkesan  diambil. Justeru, bermacam-macam program politik dilancarkan. Jentera BN mungkin memposisikan dirinya dalam kedudukan atau senario paling buruk, iaitu hilang kuasa di peringkat persekutuan -- situasi paling ngeri yang tidak pernah dialaminya.

Bukankah Najib pernah melafazkan ikrarnya di hadapan perwakilan Umno, yang ditonton rakyat Malaysia secara langsung, untuk mempertahankan Putrajaya sehingga "titisan darah terakhir"? Jika kekalahan PAS di Terengganu  pada 2004 langsung tidak dapat dihidu, apakah tidak mustahil strategi Najib kini juga belum dapat dijejak?

Bagi parti pemerintah yang tidak pernah kalah sejak merdeka 55 tahun lalu, ikrar seumpama itu besar sekali implikasinya. Ya, masakan Najib hanya menunggu takdir menelannya? Pastinya segala yang boleh diperkakaskan untuk mempertahankan kuasa demi menjaga kepentingan yang begitu banyak, akan dilibatkan, biar setinggi mana sekali pun nilai kosnya.

Najib tentu tidak mahu -- walaupun  sekadar untuk membayangkan -- memimpin Umno tanpa merangkul erat kuasa politik. Sebenarnya, kalaupun BN belum ditakdirkan tumbang, tetapi dengan mengulangi  prestasi buruk Abdullah pada 2008, ia sudah cukup untuk memaksa Najib berundur lebih awal. Dan saya tidak dapat bayangkan situasi Rosmah Mansor ketika itu!

Timbalannya, Muhyiddin Yasin, sudah berpengalaman melakukannya dengan berkesan sekalai terhadap Abdullah dahulu dan pasti tidak melepaskan peluang untuk mendesak Najib mengaku kalah. Dr Mahathir Mohamad tentu boleh membantu Muhyiddin ....

Jatuhnya Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Perak, sebelum tiga Adun Pakatan disogok Najib) pada 2008 cukup memeritkan. Dr Mahathir berkali-kali mengingatkan ahli-ahli Umno, bagi mengelak pertembungan merebut jawatan dalam parti, apa ertinya menang dan terpilih sebagai pemimpin Umno  sekiranya parti itu kalah dalam pilihan raya. Umno tanpa kuasa akan hilang seri, bisa dan segalanya.

Rakan saya, Zulkifli Yahaya memberi satu analogi menarik: "Umno ibarat mitos orang tua yang membela hantu raya. Pemilik hantu raya kelihatan gagah dan bergaya adalah kerana hantu raya yang menumpang dalam dirinya atau dia yang menumpang hantu raya. Sama-sama menumpang, macam BN yang bertenggek pada kekuatan kerajaan pusat. Kekuatan Umno ialah kerajaan. Tanpa kerajaan Umno sudah reput dan berkubur."


Kelebihan Najib berbanding Abdullah adalah daripada segi kewaspadaannya yang tinggi. Setiap rentak dan langkah, malah diam dan bicaranya pun diperhitungkan terlebih dahulu natijah politiknya. Abdullah masih berbekalkan mood bulan madu 2004 bila berdepan PRU12. Langsung tidak terbayang majoriti dua pertiga BN di Parlimen akan dinafikan, apatah lagi lima negeri turut tumbang.

Pelbagai janji, tawaran dan komitmen pembaharuan Abdullah hanya manis di bibir. Beliau tidak menyangka majoriti rakyat hanya menunggu masa untuk menghukumnya.

Kini, Najib melihat beliau masih ada peluang untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Jika wang perlu ditabur lebih banyak, seperti diamalkan melalui bermacam-macam insentif 'one-off' sekarang, maka segalanya akan dihambur.

Peduli apa jika negara bankrap kerananya nanti, asalkan kuasa masih di tangan, khazanah kekayaan menjadi harta sendiri. Bukankah selama ini pemborosan dan pembaziran menjadi kelaziman untuk habuan kroni dan suku-sakat? Justeru, apalah yang mahu difikirkan sangat untuk sesekali "bersedekah" buat rakyat bagi meraih kembali sokongan yang mula menghilang itu? Najib faham benar keberkesanan politik wang.

(Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan amalan korupsi dan kapitalis kroni oleh BN yang akan menjadikan negara ini muflis dan bukannya konsep negara berkebajikan yang dibawa Pakatan Rakyat).



Cuma, mampukah Najib mengekang budaya ceh keting di kalangan pemimpin Umno selepas mengetahui nama mereka digugurkan sebagai calon PRU13 nanti, satu fenomena biasa dalam setiap kali pilihan raya? Difahamkan  Najib ada taktik tertentu (mengulangi kaedah Mahathir) untuk memastikan kesetiaan itu berkekalan. Fail-fail rahsia pemimpin Umno yang berada di atas meja Perdana Menteri akan dijadikan bahan tarik tali atau umpam menjinakkan kemarahan tidak terpilih sebagai calon.

Apa pun saya kurang yakin ia berkesan mengubati derita Umno. Parti itu akan terus bergolak apabila tiba "bab kuasa". Tiada ubat mampu menyembuhkan penyakit kronik itu. Justeru, strategis Pakatan harus pintar menambah-parahkan lagi luka tersebut. Zulkifli Yahaya menyuntik idea: "(Untuk) menjana perpecahan dalam Umno, maka projek ala Trojan Horse mesti digerakkan secara berperancangan serta bersungguh-sungguh di semua peringkat jentera pilihan raya parti. Jangan biar perpecahan dalam Umno hanya berlaku secara kebetulan. Maksudnya perlu sediakan tenaga dan bajet untuk 'melicinkan' lagi perpecahan itu."

Dalam satu majlis makan malam mengutip dana PRU13 untuk PAS Pokok Sena, ketua Mahfuz Omar, yang juga Naib Presiden PAS, membayangkan bahawa berbeda pilihan raya sebelum ini, PRU13 ditunggu-tunggu rakyat. Ramai sudah memutuskan siapa yang akan diundi.

Berbeda pandangan seorang pensyarah sains politik, pengundi kali ini lebih cermat dan menghargai hak mereka. "Rakyat mengundi bukan lagi dengan sentimen, mereka menilai banyak sudut, terutama keuntungan yang bakal mereka perolehi. Mungkin orang yang kita nampak seperti penyokong kuat BN tetapi semasa mengundi akan menyokong Pakatan, begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan aktivis Pakatan Rakyat bahawa "ibu segala pilihan raya" ini terlalu getir dan bakal memakan korban besar. Ingatannya itu dituturkan oleh banyak pihak lain, namun saya tertarik dengan penekanannya, iaitu apa yang selalu saya ulangi:  "Umno-BN dan Najib tidak leka lagi. Mereka sudah bersedia dengan serangan hendap dan penembak tepat. Najib tidak akan ulangi kelalaian Pak Lah."

Namun, di atas segalanya adalah kehendak dan nurani rakyat. Apakah mereka, khususnya pengundi Melayu, mudah digula-gulakan lagi semasa kempen nanti, atau tekad mengimpikan perubahan tetap menyala biar Najib bersedia mempertaruhkan segalanya untuk survival kerjaya politik dirinya dan BN?

Saya tetap berdegil untuk mengingatkan diri sendiri bahawa Pakatan, khususnya PAS, perlu lebih bekerja kuat berkali lipat, dengan strategi dan pendekatan berkesan, bagi mengubah persepsi masyarakat Melayu-Islam. Saya masih risau dengan kecenderungan pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi dan penempatan Felda misalnya, tetapi tetap yakin bahawa ruang dan peluang tetap terbuka luas untuk dimanfaatkan.

Golongan rasis bukan kuasa ke-3

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 09 Feb 2012

Ada beberapa pihak mulai bercakap mengenai ‘kuasa ke-3’ dan peranannya dalam menentukan keputusan PRU Ke-13 nanti.

Pihak ini kelihatannya ada yang keliru dengan konsep ‘kuasa ke-3’ ini ataupun untuk pertama kali menyebut mengenai kewujudan ‘kuasa ke-tiga’ ini. Kata-kata ini mulai popular dalam waktu kebelakangan ini, terutama menjelang PRU Ke-13 nanti.

Ada pihak yang mendakwa bahawa oleh kerana ia tidak berpihak kepada parti yang memerintah mahupun parti pembangkang, lalu mendakwa pihaknya adalah ‘kuasa ke-3’ yang digambarkan sebagai kuasa penentu keputusan PRU tersebut.

Sebenarnya ‘kuasa ke-3’ diilhamkan atau dicetuskan oleh civil society, atau masyarakat sivil iaitu manyarakat yang diasosiasikan dengan masyarakat yang tinggi tamadunnya, menjunjung demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia, menolak fahaman perkauman, pemahaman agama yang sempit dan juga menolak nilai-nilai feudal yang menyebabkan fanatisme, diskriminasi dan seumpamanya.

Ada yang mengatakan konotasi ‘masyarakat sivil’ ini dicetuskan oleh Barat, justru Barat sangat diwar-warakan sebagai bumi yang sangat subur demokrasi dan kebebasan manusia.

Namun begitu, kalau kita menyedari bahawa konep masyarakat sivil ini ada digambarkan oleh Ibnu Khaldun, ahli sains sosial Islam yang tersohor itu dalam dalam kitabnya ‘Muqaddimah Ibnu Khaldun’ dan beberapa kitabnya yang lain.

Beliau tidak menyebut akan istilah ‘masyarakat sivil’, tetapi ia menggambarkan sebagai masyarakat madani yang di dalamnya wujud keluhuran undang-undang, menjunjung martabat ilmu, terpeliharannya martabat insan dan hak-haknya dalam batas yang dibenarkan oleh syara’.

Konsep masyarakat madani yang digambarkan oleh Ibnu Khaldun tidak lansung menjunjung fahaman fanatik perkauman dan agama, bahkan ia adalah sebuah masyarakat yang sangat berbuka, toleransi dan menghargai pelbagai idea dan pandangan. Namun ia tunduk kepada syariat Islam dengan segala tuntutannya.

Oleh kerana demikian keadaannnya – baik dari pandangan Barat mengenai masyarakat sivil, mahupun pandangan Islam mengenai masyarakat madani - sama sekali tidak memberi tempat kepada golongan rasis, atau panatik perkauman dan fahaman agama yang sempit.

Oleh itu ‘the third force’ atau ‘kuasa ketiga’ sama sekali menolak golongan perkauman dan fahaman agama yang sempit. Malah Nabi s.a.w. sendiri memberi ingatan jauh lebih awal dalam hadis sohehnya bahawa, “Bukan dari golonganku mereka yang menyeru kepada perkauman”. Tentu ada sebab yang sangat jelas mengapa Islam menolak fahaman perkauman itu sejak dulu lagi.

Berdasarkan pengertian ini semua, nyatalah bahawa golongan yang bergelut dengan fahaman perkauman ini sama sekali tidak boleh dipanggil sebagai ‘the third force’. Oleh itu, jika ada pihak yang masih bersungguh-sungguh – hingga parau suaranya meneriakkan bahawa pihaknya adalah ‘kuasa ketiga’ maka dakwaan itu adalah palsu semata-mata.

Dalam konteks Malaysia yang akan mengadakan PRU Ke-13 bila-bila masa sekarang, rakyat sewajarnya jangan keliru dengan seruan ini. Ia hanya seruan atau pandangan yang mengelirukan untuk mempengaruhi rakyat berdasarkan prejudice, kebencian, tantangan terhadap pihak yang tidak sehaluan dengannya.

Dalam situasi sekarang, boleh diduga akan muncul pelbagai golongan atau pihak yang akan tampil memberikan pandangan parti mana atau siapa tokoh yang sewajarnya dipilih oleh pengundi nanti.

Mereka ini, sesetengahnya datang dari golongan intelektual, pelajar universiti, ngo-ngo yang prihatin terhadap situasi yang ada sekarang. Ini seiringi dengan demokrasi dan kebebasan yang ada.

Namun dalam keadaan yang semikian, saya yakin para pengundi akan menolak mana-mana ngo atau orang perseorangan yang beriya-iya mendakwa sebagai ‘kuasa ketiga’ yang kononnya mampu untuk menentukan nisbah aliran pengundian, pada hal di antara mereka ada yang lantang meneriakkan faham perkauman dan pemahaman agama yang sempit.

Saya yakin hanya ngo dan pihak yang benar-benar berjuang untuk kebebasan dan hak-hak rakyat, prihatin dengan apa yang berlaku kepada negara, menentang rasuah dan penyelewengan, bukan perkauman dan fahaman sempit agama, yang wajar dianggap sebagai ‘kuasa ketiga’ dan yang boleh dipercayai oleh pengundi.

Golongan bukan perkauman sempit ini diyakini akan mengambil peranan penting, terutama menjelang PRU Ke-13 nanti dan mampu mempengaruhi rakyat untuk membuat perubahan.

Sewajarnya kita mengimbau kembali peristiwa Perhimpunan Bersih 2.0 di Ibu Negara tahun lalu, di mana pada pendapat saya, ia adalah cetusan kebangkitan masyarakat sivil, bukan didorong oleh sentimen parti politik atau sebagainya. Mereka bangkit untuk menuntut sebuah pilihan raya bersih dan demokratik.

Pesertanya bukan sekedar pendukung parti politik tertentu, tetapi pelbagai golongan – buruh, kalangan profesional, cendekiawan, mahasiwa, artis, malah Sasterawan Negara, A. Samad Said, hingga kasutnya terpelanting ketika bersama rakyat diburu oleh gas pemedih mata.

Tidak ada elemen perkauman dan fahaman agama yang sempit di situ walaupun ada pihak tertentu memberikan pandangan negatife, dengan menuduh kononnya ada elemen perkauman dan agama di situ. Tudahan ini tidak benar sama sekali. Ternyata Bersih 2.0 itu adalah bersih dan tulin dari masyarakat sivil yang mahukan perubahan.

Dalam hubungan ini golongan yang benar-benar tulin, yang boleh dipanggil ‘the third force’, ialah mereka yang tidak perkauman dan fahaman sempit agama, juga tidak berkepentingan dan sebagainya. Mereka akan mengambil peranan penting menjelang PRU Ke-13.

‘Kuasa ketiga’ yang tulin inilah yang benar-benar menawarakan sebuah perjuangan untuk kebebasan, demokrasi, keluhuran undang-undang, pro-rakyat, anti rasuah dan penyelewengan dan sebagainya.

Pada akhirnya, rakyat Malaysia berpeluang memilih calon terbaik dari kalangan individu terbaik dan dari parti terbaik yang mereka wakili. 

Tiada ulasan: