Khamis, 9 Februari 2012

TIPU DIDUNIA MUNGKIN LEPAS..AKHIRAT HABUANNYA NERAKA...UNTUNG BERLIPAT GANDA TIDAK DIBENARKAN OLEH SYARAK...

Sekat pemerhati luar: SPR cuba sembunyikan sesuatu?

Salmah Mat Husain,09 Feb 2012

KOTA BHARU, 9 Feb: PAS menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah cuba mahu menyembunyikan sesuatu ekoran tindakannya tidak membenarkan pemerhati luar memantau pilihan raya umum ke 13.

(Nik Amar dakwa Wan Ahmad cuba sembunyikan sesuatu)

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata, berbeza pula dengan PAS yang mengalu-alukan pemerhati asing.

"Kalau SPR betul-betul telus, sepatutnya terima pemerhati asing. Buat apa takut," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mohamad Amar mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang mengingatkan parti-parti pembangkang supaya tidak ghairah menarik pemerhati asing ke negara ini untuk memantau proses Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Wan Ahmad berkata pemerhati asing, yang mungkin mewakili badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, tidak memahami undang-undang pilihan raya di negara ini.

Katanya, mereka juga tidak faham budaya berpolitik di Malaysia selain tidak memahami sensitiviti rakyat negara ini.

"Dia (pemerhati asing) datang seminggu sebelum pilihan raya, kemudian buat andaian dan kesimpulan mengenai proses perjalanan pilihan raya di negara ini," katanya.

Bagi Mohamad Amar, SPR tidak sepatutnya takut untuk membenarkan pemerhati antarabangsa datang memerhatikan perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Buktikan pada dunia yang kita ni telus dan terima pemerhati asing," cadang beliau yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Mohamad Amar ditemui wartawan selepas majlis perasmian sambutan suami isteri 2012 di Balai Islam hari ini.

PAS kutuk keganasan Syria bunuh rakyatnya

Aziz Muda,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: PAS melalui Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan pemimpin dan pihak berkuasa Syria dalam menangani kebangkitan rakyat di negara itu.

Tindakan tidak sepatutnya oleh pihak keselamatan negara itu yang sepatutnya menjadi benteng kepada rakyat amat dikesali sehingga mengakibatkan beribu kematian di kalangan orang awam.

Setiausaha Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Mohd Nawi berkata, pihaknya amat prihatin dengan penderitaan dan ketidakadilan yang dialami oleh rakyat Syria dalam usaha mereka menuntut hak dan kebebasan di negara mereka.

Menurutnya, Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat menggesa institusi serantau dan antarabangsa Islam seperti Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam agar segera menjalankan peranan mereka sebagai orang tengah yang boleh mendamaikan kemelut yang semakin bertambah serius itu.

"Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat menolak semua bentuk campur tangan asing di Syria," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya turut mengingatkan kepada semua pihak yang terbabit dalam kemelut itu agar dapat menghentikan segera tindakan keganasan bagi memulihkan kembali keamanan di bumi yang berkat itu.

"Kami meminta pihak pemerintah di negara itu agar mengembalikan semula hak rakyat melalui proses demokrasi yang lebih telus," tegasya.

Tindakan tersebut, tambahnya, perlu dilakukan segera oleh pemerintah Syria sejajar dengan hasrat rakyat negara itu yang bangkit menentang segala macam penindasan sejak sekian lama.

Bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Syria, pihaknya menyeru orang ramai hadir ke perhimpunan aman yang akan diadakan di hadapan Kedutaan Syria, Jalan U Thant, di sini, esok, 10 Februari, selepas solat Jumaat.

Untuk mengikuti perhimpunan aman itu, katanya, orang ramai boleh menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau masjid yang berdekatan sebelum berarak ke Kedutaan Syria.

Semalam Harakahdaily telah melaporkan mengenai himpunan aman yang akan diadakan itu yang akan dipimpin oleh pemimpin PAS, pimpinan NGO dan aktivis-aktivis masyarakat yang prihatin.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan antara lain dilaporkan berkata, himpunan tersebut diadakan bagi membantah dan mengecam pembunuhan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad yang semakin meningkat.

Semalam, enam anggota Majlis Keselamatan Negara Teluk (GCC) telah bertindak mengusir diplomat Syria dan memanggil pulang duta masing-masing yang berada di Damsyik ekoran kematian orang awam yang terus meningkat di negara itu.

GCC dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan turut mengutuk pembunuhan yang dilakukan terhadap rakyat Syria yang tidak bersenjata sejak demonstrasi menentang Presiden Bashar al-Assad tercetus 11 bulan yang lalu.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli PAS, NGO-NGO dan seluruh rakyat prihatin agar keluar beramai-ramai untuk berhimpun menyatakan solidariti kita bersama rakyat Syria yang tertindas,” kata Nasrudin kepada Harakahdaily.


Keuntungan 83,233% bagi segelas air 300 ml?

Harakahdaily,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menguatkuasakan dengan segera Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap kedai, restoran dan kedai kopi yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk air minuman.

"Pihak kementerian tidak seharusnya menunggu pengguna untuk membuat laporan dikenakan bayaran berlebihan tetapi menggunakan kuasanya di bawah Akta itu untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu," kata presidennya, S. M. Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Daripada laporan media, katanya dinyatakan bahawa pengguna dikenakan bayaran sehingga RM1.50 untuk segelas air sedangkan menurut Syabas, mereka mengenakan caj RM2.00 bagi 1,000 liter air di Selangor.

Berdasarkan kepada caj itu, tambah beliau segelas air (300 ml) yang biasanya berharga 50 sen di beberapa kedai sepatutnya hanya berharga RM0.0006.

"Ini bermakna restoran dan kedai memperolehi keuntungan 83,233% bagi setiap gelas air yang dijual. Ini merupakan satu rompakan di siang hari," ujarnya.

Katanya, pihak restoran berkata harga air meningkat memandangkan mereka terpaksa mengambil kira kos yang ditanggung, bagaimanapun, CAP merasakan ia bukanlah alasan yang wajar kerana sekalipun perbelanjaan yang ditanggung diambil kira, harganya masih tinggi.

Sebaliknya, kata beliau sudah menjadi satu kebiasaan di sesetengah restoran dan kedai untuk menghidangkan air sebaik sahaja pelanggan mereka duduk.

"Dalam kebanyakan kes, air tidak diminum memandangkan pelanggan memesan minuman lain dan air itu dibuang begitu sahaja. Dalam keadaan ini, air seharusnya dihidangkan jika pelanggan memintanya," katanya.

Oleh sebab itu, ujarnya CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan Akta itu.


Polis rampas Blackberry Khalid Samad

Harakahdaily,09 Feb 2012

SHAH ALAM, 9 Feb: Anggota Parlimen Shah Alam umpama patah tangan apabila terpaksa melepaskan telefon bimbit Blackberry beliau untuk tujuan siasatan.

Petang ini, seorang pegawai polis menemui beliau dan 'merampas' telefon itu untuk tujuan siasatan.

"Ia berkaitan dengan kes Teoh Beng Hock yang saya tweet setahun lalu melalui telefon itu," kata Khalid kepada Harakahdaily.

"Saya x boleh tweet lagi hingga BB dpulangkn. Istilah rampas adalah istilah yang diguna polis. Jam 2.30 Chief Inspector akan datang. WasSalaam.

"Sekadar nak maklum nombor baru. Akan dpulang bila selesai siasat," tulis Khalid dalam twitternya hari ini.

Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, beliau sendiri tidak ingat bilakah beliau membuat tweet berkaitan kes Teoh Beng Hock itu.

"Sudah beberapa kali polis datang nak ambil telefon tu tetapi saya berjaya tangguhkan. Hari ini tidak boleh lagi, kena serah," katanya.


Himpunan bantah penyenaraian FGVH 30 Mac

Muhammad Faizal,09 Feb 2012
PETALING JAYA, 9 Feb:Satu himpunan bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVHB) akan diadakan pada 30 Mac depan di Masjid Putrajaya sebelum penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said berkata, himpunan itu adalah sebagai rasa tanggungjawab menjaga khazanah negara dan juga masa depan peneroka agar tidak diperjudikan oleh kerajaan di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional.

Katanya lagi, Felda pasti akan mengalami masa depan yang cukup gelap selepas penyenaraian yang mana merujuk kepada jaminan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad bahawa Felda bakal dibayar RM1 bilion setahun selama 99 tahun bagi meneruskan aktiviti pertanian dan pembangunan sosio-ekonomi amat diragui.

"Ini adalah kerana pada masa ini kos operasi Felda adalah sebanyak RM1.9 bilion setahun, bermakna Felda akan menanggung kerugian atau defisit sebanyak RM0.9 bilion setiap tahun.

"Dengan keadaan ini pastinya akan merencatkan pelbagai aktiviti termasuklah urusan pentadbiran, kebajikan dan pembangunan sosio-ekonomi warga Felda, tambahan pula sehingga kini tidak ada jaminan bertulis yang dibuat mengenai perkara perjanjian pajakan tanah antara Felda dan FGVHB," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Tambah Suhaimi lagi, bagi tujuan penyenaraian dan pampasan RM1 bilion tersebut Felda dikatakan akan memajak seluas 830 ribu ekar tanah melalui Felda Plantation dan tambahan 20 ribu ekar tanah-tanah yang tidak mempunyai geran kepada FGVHB yang mana ia bertentang dengan semangat Akta Kemajuan Tanah yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein.

"Keputusan penyenaraian ini tidak mempunyai tujuan yang jelas, dan melihat kepada apa yang dikatakan oleh Najib pada lawatan beliau di Felda Gedangsa 6 Januari tempoh hari, kenyataan beliau terlalu umum dan menunjukkan bahawa Perdana Menteri sendiri tidak bersedia untuk melakukan penyenaraian.

"Dalam pada itu pihak FGVHB sendiri tidak pernah membentangkan apa-apa kertas cadangan projek penyenaraian yang menunjukkan perancangan perolehan.

"Sebagaimana kita maklum bahawa penyenaraian adalah bertujuan untuk mendapatkan modal dengan menjual unit-unit saham dan melepaskan kepentingan kepada orang luar," sambungnya lagi.

Beliau juga menekankan agar rakyat perlu tahu apakah tujuan sebenar penyenaraian FGVHB sehingga sanggup memperjudikan masa depan warga Felda.

Kempen bantahan penyenaraian itu juga turut mengumpul 100 ribu tandatangan rakyat Malaysia bagi menyatakan bantahan hasrat penyenarai tersebut.

Kempen yang bermula hari ini akan digerakkan ke seluruh negara selain hasrat mengumpul seramai mungkin rakyat yang akan berhimpun di perkarangan Masjid Putra di Putrajaya pada 30 Mac, jam 2.30 petang sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerah memorandum dan tandatangan bantahan penyenaraian.

Kempen itu merupakan kerjasama antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan juga Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Tiada ulasan: