Jumaat, 24 Februari 2012

SERONOK JUGA..KITA DENGAR KIASAN TEPI JALAN NI...BIASALAH YANG JALAN TEPI JALAN AKAN AMBIK BENDA2 YANG ADA DITEPI JALANLAH...KECUALI IA BERJALAN DITENGAH JALAN...BERADA TENGAH JALAN PULA AKAN BAHAYAKAN DIRI...SELAMAT DIDUNIA BUKAN MESTI SELAMAT DIAKHIRAT..KITA ULAMAK ZAMAN NI..BUKAN KITA SEMUA TAHU...AMALAN..DAN AKIDAH TU ALLAH SAJA YANG TAHU...SAPE YANG MEREKA TAKUT PUN...ALLAH SAJA YANG TAHU...

Gaji tertinggi RM80 ribu, pemandu naik RM1.70

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: PKR menggesa Perdana Menteri mengkaji syor terbaru yang dibentangkan Cuepacs serta saranan Pakatan Rakyat sebelum ini demi membela nasib penjawat awam.
Justeru, PKR terbuka dengan tuntutan terbaru Cuepacs agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam gred 1 hingga gred 54 menerusi skim yang sedia ada sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Naib Presiden PKR, Nuruk Izzah Anwar berkata, di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan sebelum Bajet 2012 Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk kerajaan pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam.

Ini, katanya akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada.


Tambahnya, Pakatan Rakyat juga komited untuk menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama berikutan pengenalan gaji minima tersebut, selain insentif khas RM500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana dijanjikan di dalam Buku Jingga.


Ini, ujarnya berbeza dengan syor awal SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori premier akan menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu serendah RM1.70 sebulan.


Menurutnya, mengikut maklumat dari laporan 2006 United Nations (UN) Public Administration Network Public Service, Malaysia mempunyai nisbah jurang gaji antara yang tertinggi dan terendah yang paling tinggi berbanding negara-negara jiran, iaitu sekitar 19.5:1. Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah.

“Oleh itu, PKR menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam satu kenyataan.


PKR, katanya turut menyarankan agar semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap 5 tahun, agar kenaikan yang selaras dengan inflasi akan dapat dilaksana dengan lebih mudah dan adil.

Adakah Felda bakal jadi seperti Manchester United?

Pada awal penyenaraian saham kelab bola sepak terkenal, Manchester United. Mereka beranggapan dengan penjualan saham di bursa saham boleh mendekatkan pasukan itu dengan peminat dari pelosok Britain. Benar, 10 tahun pertama penjualan saham hanya berlegar di kalangan pemegang saham dari peminat tetapi 15 tahun kemudian, sedikit demi sedikit saham itu dipegang oleh pelabur asing, sehinggalah pada lewat tahun 2000, peminat Manchester United kecewa kerana kelab tersebut akhirnya dimiliki oleh pelabur Yahudi. Yang paling malang mereka akan menanggung hutang akibat pembelian saham yang menggadaikan semula kelab tersebut kepada bank. Penjualan tiket meningkat hampir 30% dan pelbagai pendekatan bermotifkan keuntungan diambil oleh pemilik baru untuk membayar kembali kos pembelian mereka.

Apabila sesuatu syarikat mengeluarkan saham baru di pasaran terbuka, syarikat itu perlu menyenaraikan harta dan aset syarikat untuk menunjukkan keupayaan syarikat dan meyakinkan pelabur (pembeli saham baru) dan  siapa sahaja boleh membeli saham tu sekiranya dia ada duit dan berminat untuk melabur. Orang asing dari Amerika Syarikat pun boleh beli saham tersebut.

Selepas dijual di pasaran terbuka, maka pemegang saham dianggap memiliki syarikat itu. Pada permulaan, syarikat akan mendapat modal yang banyak apabila menjual saham-saham tersebut. Modal ini boleh digunakan utk apa saja kegunaan syarikat dan tidak mustahil dihabiskan, apatah lagi tidak dimaklumkan perancangan yang bakal dibuat selepas memperolehi pelaburan dari pasaran terbuka. Saham yg didagangkan kemudian dari jualan pertama hanya lah memberi keuntungan kepada pemegang saham berikutnya, bukan lagi kepada syarikat. Kerana keuntungan atau kerugian dari penjualan berikutnya tidak memberi kesan pada modal syarikat. Lumrah alam, tiada saham yg tidak mampu dibeli, kerana org yang berduit mampu membeli saham-saham tersebut.

Pemegang saham yang memiliki saham paling besar adalah berkuasa. Masalah timbul jika pemegang saham (terbesar) substiantial, tidak lg memikirkan manfaat peneroka-peneroka. Sudah tentu mereka memikirkan apa keuntungan yang mereka boleh dapat dari pelaburan ini. Mereka buleh membuat apa saja terhadap asset syarikat. Mereka boleh menjual, memajak dan menyewakan tanah tersebut. Peneroka juga tidak mustahil akan dihalau atau mungkin menjadi buruh di tanah yang dulu milik mereka sendiri.

Mungkin kita boleh fikirkan jika petronas dijual di pasaran terbuka, siapa yang mampu membeli Petronas? Jika dulu KFC milik bangsa bukan Melayu pun boleh dibeli oleh pelabur Melayu, tidak mustahil pelabur Yahudi boleh membeli saham Felda. Terdapat banyak kaedah untuk membeli saham secara diam-diam. Apabila berjaya mendapat jumlah tertentu baru lah pemilik sebenar akan muncul. Tanyalah Stan Kroenke dan Malcom Glazer bagaimana mereka menggunakan kedudukan mereka dengan saham yang kecil di dalam kelab Arsenal dan Manchester United walaupun pada awalnya kelab bolasepak ini adalah syarikat awam yang disenaraikan di bursa saham. Sedangkan kelab-kelab bola ini pun mampu dibeli. Inikan pula Felda.

Cara yang paling mudah ialah menggunakan proksi untuk membeli saham awalan (IPO) yang dijual, Kemudian jumlah saham akan dibeli sedikit demi sedikit menggunakan pelbagai proksi. Ianya sukar dikesan, sudah tentu jika dilihat dari permukaan kita tidak akan dapat mengesan proksi-proksi ini. Ianya hanya akan terdedah apabila pelabur sebenar muncul dengan memiliki sekurang-kurangnya 30%. Pada kebiasaanya jumlah 30% diperlukan untuk menwajibkan baki 70% dijual kepada pemegang saham (compulsory acquisition). Tidak penting berapakah harga yang perlu dibayar kerana ia mampu dibayar, yang kita perlu fikirkan akan tergadaikah tanah-tanah peneroka kelak. Pada ketika itu tiada apa yang mampu menghalang sebarang tindakan pemilik, kerana dia berhak sepenuhnya.

Tentulah orang yang bertanggungjawab menyenaraikan Manchester United tidak terfikir 20 tahun kemudian kelab ini akan dimiliki oleh pemilik Yahudi. Dan siapa boleh tahu 20-30 tahun lagi siapakah pemilik Felda? Sama ada pelabur Yahudi, Russia, China, Latin, Iran, Arab, mafia Itali, tak siapa yang tahu. Dalam dunia pelaburan pasaran terbuka, siapa yang memiliki wang, dialah raja.

Mungkin Isa Samad dan Najib Razak tidak sempat untuk melihat siapakah pemilik Felda 30 tahun akan datang, tetapi orang-orang Felda 30 tahun lagi akan menyesali tindakan ini. Dan tidak mustahil kita akan rasa diperbodohkan seperti mana kita melihat perjanjian jual beli air Johor dan Singapura sedekad yang lalu.

Saudara Nazimi Zaim al-Qedahy,
Alor Star, Kedah.

Air: NGO Umno ghairah burukkan Kelantan

Aslani M, 23 Feb 2012
KOTA BHARU, 23 Feb: Mungkin kerana terlalu ghairah mahu memburukkan kerajaan negeri, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak diserahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sedangkan bidang kuasa SPAN hanya mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan bekalan air. Lesen yang dikeluarkan mencakupi kategori Lesen Kemudahan dan Lesen Perkhidmatan.

MTRK ada kaitan dengan Datuk Ibrahim Ali, sekarang diketuai adiknya, Azmi Ali dilaporkan mahu mengadakan perhimpunan Sabtu ini bagi mendesak kerajaan negeri menyerah pengurusan air kepada SPAN.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman (gambar) berkata, pihak terbabit jangan terlalu ghairah sehingga mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak mengikuti perkembangan semasa yang berlaku.

Katanya, Akta SPAN mula dikuatkuasakan pada Februari 2007, manakala Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (IPA) 2006 berkuatkuasa 1 Januari 2008.

“Sebelum penstrukturan baru, perkhidmatan bekalan air bagi setiap negeri diurus selia kerajaan negeri dan operator air yang dilantik.

“Melalui konsep penstrukturan semula, kerajaan negeri mempunyai autoriti sepenuhnya ke atas sumber air mentah, manakala kerajaan Persekutuan melalui SPAN dan operator air mempunyai autoriti ke atas pengoperasian sistem bekalan air negeri.

“Ia bertujuan mencapai penyeragaman standard dan polisi perkhidmatan air bagi semua operator air di Malaysia,” katanya di sini.

Azmi dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu akan melancarkan kempen sejuta tandatangan untuk diserah kepada kerajaan negeri melalui satu perhimpunan yang akan diadakan di hadapan Kota Darulnaim.

Md Anizam berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan bersetuju melakukan migrasi dengan memajak aset kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Katanya, sekarang di peringkat akhir menyiapkan dokumen-dokumen perjanjian sebelum tandatangani dalam tempoh terdekat ini.

PAAB ditubuhkan pada Mei 2006 dengan objektif utama sebagai pemegang lesen kemudahan sistem bekalan air dan pembentungan di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Selain itu mengambil alih pinjaman bekalan air kerajaan Persekutuan daripada negeri-negeri.

PAAB juga menyediakan kemudahan bekalan air kepada pemegang lesen perkhidmatan dengan bertindak sebagai pembiaya untuk projek-projek pembangunan prasarana bekalan air.

Md Anizam berkata, tidak berbangkit mahu menyerah pengurusan air kepada SPAN kerana badan itu entiti yang berlainan.

Katanya juga kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berusaha meningkat prasarana bekalan air selepas mendapat pinjaman mudah lebih RM500 juta bermula 2003.

“Sedangkan sebelum itu Kelantan dinafikan sebarang peruntukan dan pinjaman. Cuba bayangkan dalam tempoh 13 tahun disisihkan. Dan sudah tentu mengambil masa untuk dipulihkan semula.

“Pinjaman diberi pula bukan sekaligus. Lagi pun masalah air bukan hanya berlaku di Kelantan. Masalah itu berlaku di mana-mana sahaja memandangkan jumlah penduduk semakin bertambah,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya masalah tekanan rendah yang berlaku di beberapa tempat sebelum ini sudah diselesai dan banyak projek perumahan baru dilaksanakan.

Antara kawasan pertumbuhan baru iaitu Lembah Sireh, Bandar Baru Tunjung, dan Kubang Kerian tidak berbangkit masalah bekalan air.

Mansuh ISA: Juham fail rayuan masa terdekat

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) berpendirian hukuman penjara 1 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam yang dikenakan ke atas orang empat belas daripada 11 individu yang ditahan kerana dikatakan terlibat dalam perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri di sekitar Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 lalu menunjukkan janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA hanya retorik semata-mata.


“Jika benar semua pihak menurut dan akur dengan iltizam Perdana Menteri, sudah tentu pertuduhan itu sudah ditarik balik lebih awal lagi,” kata Ketua Unit Tindakan Undang-undang Jenayah Juham, Azizzul Shariman.

Katanya, Juham melihat hukuman itu jelas membuktikan Barisan Nasional telah membuat suatu penipuan besar kepada seluruh rakyat Malaysia tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia tahun lalu mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Beliau yang mengetuai 10 orang barisan peguam Juham yang mewakili 11 orang daripada keseluruhan yang ditangkap berhujah di mahkamah semalam bahawa mahkamah seharusnya mengambil kira keputusan kerajaan yang berhasrat memansuhkan ISA dan meminda Akta Polis sebelum menjatuhkan hukuman terhadap semua yang ditangkap.

Jelasnya, walaupun mahkamah memutuskan kesemua yang ditangkap bersalah, Juham yakin keterangan menunjukkan sebaliknya iaitu apa yang berlaku adalah satu luahan rasa rakyat terhadap kezaliman ISA yang juga dijamin di dalam perlembagaan.

“Juham bertegas bahawa janji Kerajaan Barisan Nasional untuk memansuhkan ISA hanyalah sekadar gula-gula kepada rakyat untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum yang ke-13,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya tindakan Kerajaan Barisan Nasional mendakwa kesemua yang ditangkap dari awal lagi merupakan suatu langkah ke belakang tatkala majoriti daripada rakyat Malaysia mahukan ISA dimansuhkan sepenuhnya.

“Adakah ini pelan transformasi yang diumumkan Perdana Menteri?” soalnya.

Maka, ujar beliau benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai  sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya, tambah beliau Umno Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu akta kuku besi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno Barisan Nasional.

“Walaupun kita akur dengan keputusan itu, Juham akan meneruskan perjuangan membebaskan kesemua yang ditangkap di peringkat rayuan dan yakin bahawa rayuan ini mempunyai merit yang sangat kuat di mana Juham akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tersebut ke Mahkamah Tinggi.


“Malah, kes ini juga jelas suatu pendakwaan bermotifkan politik di mana fakta kes juga amat longgar untuk mensabitkan kesemua yang ditangkap terlibat di dalam perhimpunan haram,” jelasnya lagi.

Bai'ah: Harussani jangan ambil berita tepi jalan

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ditegur cara Sohibus Samahah beliau dalam mengutip dan mengulas berita tanpa menyiasat kesahihan berita terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan berbentuk nasihat hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menasihati Harussani untuk meninggalkan tabiat “mengambil berita di tepi jalan yang tidak mempunyai sandaran yang sah atau tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu berita, lalu terus membuat ulasan.”

Sebagai seorang mufti, Tuan Ibrahim menasihatkan beliau agar berpegang dengan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seseorang fasik membawa berita, maka hendaklah kamu menyiasat dahulu berita tersebut, agar tidak bertindak di atas kejahilan dan akhirnya akan membawa kepada kekesalan".

“Banyak peristiwa dan kenyataan yang beliau ulas tidak mempunyai sandaran yang kukuh, dan hanya berdasarkan dengar cakap sahaja. Ini termasuklah dakwaan beliau bahawa lebih 200,000 umat Islam telah murtad, dakwaan bahawa Pulau Pinang tidak benarkan perarakan Maulid Nabi dan sebagainya.

"Terbaru beliau cuba mengulas isu bai'ah, dalam keadaan beliau tidak memahami keadaan sebenar,” tegur beliau.

Dalam isu bai'ah yang diamalkan PAS selama ini, Harussani mendakwa bahawa tujuannya adalah untuk menakut-nakutkan ahli kerana soal akhirat adalah ketentuan Allah.

“Jadi kalau kita bersumpah berjanji kita dapati benda itu tak betul tak kan kita tak boleh tarik balik. Tak usah kita menakutkan orang dengan perkara akhirat sedangkan kita sendiri tidak pasti apakah orang berwajib baiah untuk tujuan berpolitik. Pada saya dia boleh buat perjanjian tapi masalah di akhirat bukan masalah kita, ia adalah masalah Allah,” beliau dipetik sebagai berkata.

Menjawab dakwaan Harussani, Tuan Ibrahim berkata bai'ah dalam PAS mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam. Bahkan, kata beliau dalam Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal bai'ah samada sewaktu perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya, semuanya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

Kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi, PAS menggunakan kaedah bai'ah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

“Mereka yang telah memenangi kerusi samada DUN atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat. Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak? Peristiwa perampasan kuasa di Perak, adakah Harussani berasa ini adalah perkara yang harus?” sindir beliau.

Atas dasar itulah, terang Tuan Ibrahim, PAS membuat bai'ah kepada semua calon, di mana mereka yang menang atas tiket parti adalah dilarang lompat parti, keluar parti bahkan, sekiranya dipecat dari parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

“Kerana asas kemenangan mereka atas lambang parti yang diwakilinya. Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kerana dalam ba’iah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak.

Sepatutnya Harussani membaca meneliti dan melihat secara dekat matan ba’iah yang dibuat di dalam PAS, bukan dengan mendengar cakap-cakap mereka yang di luar atau dikeluarkan PAS,” selar beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan Harussani bahawa bai'ah dalam PAS disediakan oleh Majlis Syura yang terdiri dari para alim ulama, bukan oleh DHPP atau dikutip di tepi jalan.

“Soal akhirat memang ketentuan Allah, tetapi apa yang dijelaskan dalam bai'ah iakah sekiranya seseorang calon yang menang berba’iah dengan nama Allah lalu melanggari ba’iah tersebut, apakah salah kalau diingatkan mereka tentang azab Allah di akhirat?

"Banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS kita menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS,” tambah Tuan Ibrahim.

Namun begitu, kata beliau, reaksi dan ulasan Harussani yang berbolak-balik sudah dijangka dan sudah dilihat sebagai satu kebiasaan kepada yang mengikuti secara dekat kenyataan beliau.

Sebagai contoh, kata beliau ialah dalam isu kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Caves, di mana, pada awalnya Harussani menyerang PM dengan tuduhan Syirik, rosak aqidah dan tidak mahu mendengar nasihat tiba-tiba bertukar kepada harus, dibolehkan dan tidak bercanggah.

“Inilah yang menyebabkan ramai umat Islam berpendapat mufti seperti beliau, bukannya dirujuk oleh pemerintah sebelum sesuatu tindakan dibuat, sebaliknya dipergunakan untuk mencari dalil dan nas untuk menyokong sesuatu tindakan yang telah dibuat walaupun ia bercanggah dengan nilai Islam,” kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim turut membidas cara Harussani mengulas isu perjuangan bangsa dan raja-raja yang yang dikatakannya bukan dari perspektif Islam.

Semasa pelancaran Jati, Harussani berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW juga anjur pertahankan Raja dan kaum.

“Kecintaan bangsa dan ketaatan kepada makhluk mempunyai batas sempadan yang sangat jelas. Tindakan beliau, dan disebabkan beliau adalah mufti negeri telah mengundang pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat umum.

"Keadaan ini jika berterusan akan menghilangkan thiqah masyarakat terhadap beliau dan dengan kedudukan beliau sebagai mufti, dan hal ini adalah satu tragedi yang sangat menyedihkan dan malang bagi beliau,” tegas Tuan Ibrahim.

Tiada ulasan: