Ahad, 19 Februari 2012

DIEROPAH LAH NI..ISLAM MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN...RAMAI TELAH MASUK ISLAM...ALHAMDULLILLAH..

Keadilan Islam atasi perkauman sempit

Ahmad Danial, 18 Feb 2012
BUKIT KATIL, 18 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata keadilan Islam berjaya mengatasi masalah semangat perkauman sempit dalam sesebuah negara.

"Islam mengajar konsep keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, agama, warna kulit dan bangsa di mana Allah menjadi manusia berbangsa-bangsa supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain.

"Islam adalah agama yang sesuai untuk semua kaum, agama dan bangsa dan Islam tidak pernah menafikan keujudan pelbagai bangsa dan agama di dunia ini, semuanya dilayan dengan adil," ujarnya.

Beliau berkata Rasulullah yang menegakkan pemerintahan Islam di Madinah mengadakan tahalluf dengan semua penduduk Madinah termasuk golongan Yahudi, malah membenarkan orang munafik untuk terus menjadi rakyat negara Islam Madinah.

"Negara Islam Madinah menjadi Negara Madani negara bertamadun yang berjaya menyatukan semua bangsa dan agama.

"Hati manusia tidak boleh disatukan dengan duit tetapi dengan keadilan Islam yang mentadbir negara dengan adil tanpa meminggirkan mana-mana pihak," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Presiden PAS itu berkata demikian semasa berucap pada program taklimat penerangan di Pejabat PAS Cawangan Paya Dalam, Ayer Molek, Melaka pagi tadi.

Beliau berada di Melaka dalam lawatan sehari menyertai Konvoi Lajnah Penerangan PAS Pusat turun ke seluruh negara.

Tuan Guru juga berkata Melaka adalah sebuah pusat pendagangan Islam dan pemerintahan Islam semasa zaman kegemilangannya sebelum ditakluk oleh Portugis pada tahun 1511.

"Semasa Melaka jatuh ke tangan Portugis para paderi di Vatican City berpesta kegembiraan menyambutnya.

"Penjajah datang ke Melaka bukannya untuk berdagang tetapi bertujuan untuk menakluk dunia Islam yang berkembang pesat di dunia sebelah timur ini,"tambah beliau.

Beliau berkata, penjajah menggunakan cara pecah dan perintah dalam pentadbirannya untuk kekal menakluk Melaka dan memunggah segala kekayaan yang ada di sini.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula negeri Melaka kepada Islam yang pernah menjadi didaulatkan di negeri ini.

"Seluruh ahli PAS mesti bekerja kuat untuk memenangkan Islam dan menyelamatkan rakyat dari pemerintahan kerajaan BN yang sudah memerintah lebih dari 50 tahun," tambah beliau.

Turur berucap dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Muslimat PAS hantar 30 senarai calon PRU13

Hazayani Zakaria, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) telah mengemukakan senarai nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kepada PAS Pusat.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, lebih 30 orang muslimat dari seluruh negara dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi Dun dan Parlimen.

"Muslimat sudah bersedia (menghadapi PRU13) dan senarai nama calon telah siap diserahkan kepada pimpinan PAS Pusat.

"Kita serahlah kepada pimpinan untuk memilih mana calon yang lebih layak dan sesuai mengikut kawasan untuk bertanding," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu turut membayangkan separuh daripada calon yang tersenarai terdiri daripada muka baru.

"Muslimat ada ramai calon yang berwibawa dan senarai yang kita kemukakan ini, muka baru dan muka lama bergabung. Ada calon berpengalaman, ada muslimat muda," katanya.

Menurutnya juga, persiapan calon di kalangan DMPP itu sebagai menyahut saranan Buku Jingga yang memperuntukkan 30 peratus perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

"DMPP memandang positif kandungan Buku Jingga yang mengiktiraf golongan wanita dan kita berusaha mencapai sasaran 30 peratus itu," katanya.

Pada PRU12, seramai 13 muslimat bertanding iaitu lima di kerusi Dun manakala 8 di kerusi Parlimen.

Lima kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen berjaya dimenangi.

Kerusi Dun yang menang ialah N.06 Jitra, Kedah N.33 Merbau Pulas, Kedah N.24 Selat Klang, Selangor, Dun Tanjong Mas, dan Dun Kijang, Kelantan (menang tanpa bertanding).

Manakala kerusi Parlimen pula ialah P.23 Rantau Panjang, Kelantan P.119 Titiwangsa, Wilayah Persekutuan dan P.111 Kota Raja, Selangor.

Menyentuh mengenai persiapan menghadapi PRU yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang, Siti Zailah berkata, jentera muslimat sudah bergerak kerja mengikut bilik gerakan Unit Pusat Mengundi (UPU) selain turun ke kawasan yang disasarkan untuk bertanding.

"Muslimat memang sudah bersiap sedia dengan kekuatan yang ada dan kita juga telah menurunkan bakal-bakal calon ke kawasan yang dijangka bertanding supaya masyarakat setempat kenal mereka," katanya.

Pakatan selesai agih kerusi dalam masa terdekat

Harakahdaily, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: PAS yakin Pakatan Rakyat mampu menyelesaikan rundingan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu seperti dilapor Merdekareview berkata, rundingan kerusi dengan PKR dan DAP telah hampir 80 peratus selesai dan tidak ada masalah jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

"Boleh kata kalau dia panggil bubar parlimen minggu depan pun kita boleh selesaikan perkara ini. Insya Allah," katanya pada sidang media selepas forum berjudul "PRU13: Peranan Strategik dan Kritikal PAS menjayakan Roadmap Pakatan ke Putrajaya", anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) di Hotel Midah, dekat sini, hari ini.

Beliau bagaimana pun mengakui wujud beberapa pertindihan kerusi yang ingin ditandingi antara PAS dengan PKR dan DAP dengan PKR.

Mohamad berkata, PAS mungkin bertanding sekitar 80 kerusi berbanding 66 kerusi Parlimen ketika PRU12, dengan pertambahan kerusi dari Sabah dan Sarawak.

Menjawab soalan wartawan mengenai kerusi di Johor, beliau berkata Pakatan Rakyat tidak banyak mengusik status quo di negeri itu, dengan PAS bertanding lebih banyak kerusi di peringkat Dun, sementara PKR dan DAP lebih bertanding di peringkat Parlimen.

Sementara itu, beliau masih belum pasti akan bertanding atau tidak dan akur jika parti memutuskan beliau tidak bertanding.

PRU13: Rakyat perlu tolak 'politik hipokrit' BN

Harakahdaily, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: PAS menyifatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hanya bermain 'politik hipokrit' apabila mendakwa setiap undi yang diberi kepada DAP akan memperkukuhkan PAS menguasai kerajaan negeri ataupun persekutuan.

Malah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, politik jenis itu bukan sahaja dimainkan MCA, namun juga oleh pemimpin Umno komponen BN yang lain.

"Bila MCA jumpa orang Cina dia kata undi DAP akan bagi kuasa pada PAS, bila Umno jumpa orang Melayu mereka canang kata undi PAS akan bagi kuasa kepada DAP.

"Saya nak kata bahawa ini adalah sikap hipokrit BN yang mesti ditolak rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Chua di persidangan sehari "Cina Malaysia di Persimpangan Politik" anjuran bersama Institut Strategi dan Kepimpinan  Asia (ASLI) serta kumpulan pemikir MCA, Insap siang tadi.

Dalam ucapannya, Chua mendakwa setiap undian kepada DAP akan membuka jalan bagi PAS menjadi "taiko" dalam kerajan negeri dan persekutuan.

Beliau juga berhujah contoh "taiko" PAS itu boleh dilihat di Perak selepas PRU-13 di mana DAP memenangi 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tujuh dan PAS hanya enam, tetapi wakil PAS yang menjadi menteri besar.

Selain Perak, beliau juga mendakwa kononnya terbaru PAS sedang membuat tuntutan untuk kerusi menteri besar Johor sedangkan DAP berkelebihan kerusi di negeri itu.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, politik hipokrit yang dimainkan Umno, MCA dan komponen lain BN itu harus ditamatkan pada PRU-13 nanti.

Sehubungan itu, rakyat digesa menggunakan kuasa undi mereka menolak parti-parti yang bergelumang dengan politik hipokrit tersebut.

"PRU akan datang rakyat perlu humban politik hipokrit dan perkauman ini.

"Kita perlu pastikan tidak ada tempat untuk politik hipokrit dalam pembentukan Malaysia baru selepas PRU-13 nanti," katanya.

Ahmad bakul sampah Buku Jingga terhangat

Harakahdaily, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Ulasan blogger Mohd Sayuti Omar (MSO) yang menyamakan tindakan Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan membuang Buku Jingga ke dalam bakul sampah seperti hadiah penyapu pada zaman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo adalah artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-7.

“Sikap Mat Maslan itu kurang lebih daripada perangai Inchek Ibrahim Ali sahaja ataupun kumpulan Melayu polong yang memijak kepala lembu atau pun menganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat,” ulas MSO sambil menyoal apakah Maslan kini begitu tertekan sehingga hilang akal.

Pada tangga kedua ialah berita mengenai penghijrahan  Aziz Desa, seorang pengacara yang petah bercakap ke Kelantan untuk berkhidmat di Kelantan Trade Centre (KTC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Tulisan setiausaha akhbar Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membidas Dr Mashitah Ibrahim yang mempersoalkan pendirian YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dikatakan berdiam diri berhubung isu Valentine's Day meskipun Tuan Guru sudah berkata bahawa Valentine's Day tidak boleh disambut dan mencadangkan agar diadakan sambutan Hari Suami Isteri.

Sebaliknya, Fadhli menyuruh Mashitah untuk menegur rakan-rakannya di Umno dan MCA yang terang-terang menyokong sambutan Hari Valentine.

Sementara itu, permohonan BBC yang memalukan negara menduduki tangga ke-4.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu 12 Februari hingga 18 Februari, 2012.


1
Ahmad Maslan ulangi perbuatan Anwar, Khir
2
Aziz Desa berhijrah ke Kelantan
3
Valentine: Sedarkah Mashitah pandangan rakan BN?
4
Permohonan maaf BBC memalukan Malaysia
5
Isteri Muhyiddin shopping sakan di KLCC?
6
Israel: Anwar tarik balik kenyataan

Tiada ulasan: